Wednesday, 25 November 2015

Lenovo lancar 18 alat transformatif, aksesori baharu

PENGGUNA Channel Lead, Microsoft Malaysia, Bruce Howe (dua dari kiri), Pengurus Besar Negara, Lenovo Malaysia, Khoo Hung Chuan (tiga dari kiri), Ketua MNC dan Telco Intel Malaysia dan Singapura, Karen Chow (tiga dari kanan) dan Negara Kanan 4P Pengguna pakar, Lenovo Malaysia, Andy Tan (dua dari kanan) semasa Lenovo "Teknologi Evolusi" media pelancaran di Aloft Hotel, Bangsar.

KUALA LUMPUR: Lenovo, sebuah syarikat komputer multinasional telah melancarkan 18 peralatan transformatif dan aksesori baharu untuk keperluan pengkomputeran, hiburan dan permainan pengguna.

Ini adalah sebahagian daripada MyLENOVOtainment yang membolehkan ianya secara strategik menghubungkan MyLENOVOMusic, MyLENOVOMovie dan MyLENOVOGaming.

"Lenovo telah menyaksikan permintaan yang konsisten bukan sahaja untuk komputer riba dan telefon pintar tetapi juga bagi tablet, nod pelbagai dan komputer peribadi kerana kami mempunyai kumpulan pelanggan yang berbeza," kata Pengurus Besar Negara, Khoo Hung Chuan kepada pemberita semasa pelancaran produk itu di sini, hari ini.

Khoo berkata, pendekatan MyLENOVOtainment akan membolehkan ia untuk terus meningkatkan kehidupan semua orang.

"Di seluruh dunia, kami dikenali untuk inovasi, gaya dan ekspresi peribadi dan tetap mengekalkan kelebihan ini melalui rangkaian produk baharu kami," katanya.

Dengan MyLENOVOtainment, Lenovo akan terus kekal sebagai satu-satunya syarikat yang mempunyai warisan digital dan capaian global bagi meningkatkan pengalaman pengguna bagi menyenangkan hiburan digital.

Ia akan memudahkan setiap bahagian rantaian nilai untuk menyampaikan produk, kandungan, perkhidmatan dan perkongsian industri bagi membantu pengguna membuat sambungan pada setiap peringkat gaya hidup mereka.

Produk-produk baharu ini terdiri daripada Siri Y untuk permainan, siri YOGA, ideacentres, ideapads, Siri Lenovo PHAB (Telefon+Tablet) bersama-sama dengan aksesori permainan serta projektor poket Lenovo.

Rangkaian harga 18 produk bermula dari RM399 ke RM6,999.

Lenovo adalah sebuah syarikat Fortune 500 dan peneraju teknologi global dengan AS$46 bilion (RM195 bilion) dalam jualan, dengan produk yang dijual di lebih daripada 160 negara di seluruh dunia.

- Sumber: BH Online 

Emma Maembong kesal isu alat ujian kehamilan diperbesar

Emma Maembong

KUALA LUMPUR : Pelakon, Emma Maembong enggan mengulas lanjut berhubung kontroversi beliau membeli alat ujian kehamilan di sebuah farmasi bagi mengelakkan salah faham itu daripada terus berlanjutan.

Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 23, menjelaskan beliau berkongsi perkhabaran gembira kakaknya, Yaya yang kini hamil lima bulan. 

Beliau tidak menyangka perkara ini dimanipulasi oleh sesetengah pihak sehingga timbul kontroversi beliau mengandung.

"Saya tidak faham bagaimana isu ini boleh menjadi hangat secara tiba-tiba kerana ia berlaku lima bulan lalu. Tujuan saya bercerita adalah untuk berkongsi khabar gembira Yaya sudah hamil. Tidak sangka nama saya pula terpalit dengan kontroversi ini.

"Saya memilih untuk tidak bercerita lebih lanjut supaya perkara ini tidak lagi dipanjangkan dan bagi mengelakkan salah faham. Tidak sangka perkara kecil boleh dimanipulasi oleh sesetengah pihak sehingga timbul cerita saya mengandung pula.

"Perkongsian itu adalah atas dasar perbualan antara saya dan teman media, tidak sangka timbul pula cerita mengenai situasi saya ketika membeli alat menguji kehamilan itu," kata Emma kepada BH Online.

Namun, beliau meluahkan rasa gembira kerana Yaya kini sedang hamil lima bulan anak sulung hasil perkongsian hidup bersama Wan Raja. 

Terdahulu Yaya atau nama sebenarnya Rabbiati Adawiyyah, 39, dan Wan Raja atau nama sebenarnya Saiful Redzuan Abu Bakar, 38, selamat bernikah di Masjid Al-Redhuan Hulu Klang dekat sini pada 12 Disember 2014 dengan sekali lafaz.

- Sumber: BH Online 

Nur Aurora nama pilihan Farid, Diana Danielle

PELAKON, Farid Kamil, dan isterinya, Diana Danielle bersama anak sulung mereka.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Farid Kamil, 34 dan isterinya, Diana Danielle, 24 sepakat memberikan nama Nur Aurora kepada anak kedua mereka yang lahir pada 19 November lalu. 

Nama yang membawa makna Cahaya Fajar diilhamkan bersempena waktu kelahiran si kecil iaitu kira-kira jam 4.05 pagi. 

"Nur Aurora dianugerahkan kepada kami dalam Subuh yang hening, sekali gus nama ini adalah perlambangan keindahan alam di permulaan hari setiap insan. 

"Syukur, proses kelahirannya dipermudahkan kerana kontraksi hanya dalam tempoh sekejap apabila tidak sampai sejam bayi kami menjengah dunia," katanya ketika ditemui pada majlis promosi filem baharunya, Langit Cinta, di sini, malam tadi.

Diana melahirkan bayi perempuan yang genap berusia seminggu hari ini dengan berat 3.29 kilogram secara kelahiran dalam air (water birth) di Hospital Pantai, Bangsar. 

Mengenai pengalaman menemani isterinya di bilik bersalin khas itu, kata Farid, walaupun tidak memasuki tab bersama-sama, sokongan moral terus diberikan sepanjang proses berkenaan. 

"Diana memaklumkan proses kelahiran dalam air ini membantu mengurangkan kesakitan berbanding melahirkan anak sulung sebelum ini. Apa pun, saya sentiasa di sisinya," katanya yang menjaga isterinya sendiri ketika berpantang. 

Kata pelakon dan pengarah itu lagi, beliau sedia berkongsi wajah puterinya apabila tiba masa yang sesuai nanti. 

Terdahulu, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada November 2012 dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad, yang kini berusia dua tahun lebih.

- Sumber: BH Online 

Anak Steve Irwin dinobat pemenang Dancing With the Stars

Irwin dan pasangannya dalam Dancing With the Stars, Derek Hough, dinobatkan juara. Foto/AP

Bindi Irwin, anak kepada bekas pengacara televisyen terkemuka Australia, Steve Irwin, diumumkan sebagai pemenang pertandingan realiti tarian Dancing With the Stars.

Irwin dan pasangannya, Derek Hough, menewaskan dua pasangan pencabar mereka; Nick Carter dan Sharna Burgess di tempat kedua, manakala Alek Skarlatos dan Lindsay Arnold di tempat ketiga.

Pada malam final pada Selasa, Irwin mendedikasikan persembahannya untuk mendiang bapanya. Dia dan Hough menerima markah penuh iaitu 30 untuk persembahan tersebut.

Kemenangan remaja berusia 17 tahun itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan berdasarkan persembahan konsistennya setiap minggu.

Malah Irwin dilabel sebagai penari dengan bakat semulajadi oleh para juri.

Irwin merupakan anak tunggal mendiang Steve, yang terkenal di seluruh dunia melalui rancangan The Crocodile Hunter.

Pencinta haiwan itu meninggal dunia pada tahun 2006 selepas tertusuk duri sengat ikan pari ketika melakukan penggambaran di dalam laut untuk sebuah program popularnya. 

- Sumber: Astro Awani 

Rasuah: Inspektor ditahan kali kedua


KOTA BHARU – Angkara didakwa menerima suapan RM10,000 daripada seorang individu yang mahu dilepaskan berkait satu kes kecurian kereta, seorang inspektor polis ditahan reman seminggu di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

Perintah reman terhadap pegawai berusia 25 tahun itu dikeluarkan mahkamah bagi membolehkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009.

Suspek yang bertugas di Kota Bharu ditahan di satu kawasan di Rantau Panjang oleh SPRM pada jam 5 petang, semalam.

SPRM bertindak selepas menerima aduan pengadu yang mengatakan suspek pada mulanya meminta wang suapan sebanyak RM15,000, bagaimanapun pengadu hanya mampu menyediakan wang RM10,000 dengan tujuan dibebaskan.

Suspek sebelum ini pernah ditahan SPRM Kelantan, Januari lalu atas kesalahan sama berkaitan satu kes rogol dengan dia dikatakan menerima suapan sebanyak RM3,000. Ketika itu, inspektor terbabit bertugas di sebuah IPD juga di negeri ini.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Abdul Aziz Aban mengesahkan tangkapan terbabit.

“Tangkapan terbaru ini menjadikan seramai 34 individu ditangkap SPRM tahun ini dan 11 daripadanya adalah anggota polis,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Jasad lelaki terjatuh sungai ditemui pasukan SAR

Mangsa dipercayai sedang melakukan kerja-kerja pengukuran dan pelebaran sungai sebelum dihanyutkan arus deras ketika sedang menyeberangi sungai. - Gambar fail

BIDOR: Jasad seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh di sebatang sungai di Jalan Changkat Sulaiman pada Isnin lepas berjaya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Mangsa, Mohd Shafiq Ridzuan, 20, dipercayai sedang melakukan kerja-kerja pengukuran dan pelebaran sungai sebelum dihanyutkan arus deras ketika sedang menyeberangi sungai dan tidak dapat dikesan sejak Selasa lepas.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan Mohamad Azlan Mahiyidin berkata mangsa ditemui kira-kira jam 11.05 pagi pada jarak 1.5 kilometer dari tempat dia dihanyutkan ketika melakukan kerja-kerja pengukuran sungai.

"Mangsa ditemui terapung dalam timbunan sampah yang berada 1.5 kilometer daripada lokasi dia terjatuh, iaitu di kawasan tengah-tengah sungai.

"Mayat mangsa kemudiannya diangkat oleh anggota SAR dan dibawa ke tebing sungai sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya," katanya kepada Astro AWANI.

Menurutnya, operasi berjalan selama dua hari dengan bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor, BBP Slim River, unit anjing pengesan K9 dan Skuad Barisan Nasional (BN).

"Seramai 60 orang yang terdiri daripada anggota Bomba dan PenyelamIat, PDRM, RELA, Skuad BN dan JPAM," katanya lagi. 

- Sumber: Astro Awani 

Sentuhan terbaharu Syafiq Yusof


NAMA Syafiq Yusof sememangnya cukup dikenali dalam arena pengarahan filem. Namun tidak terbatas setakat itu, Syafiq membuktikan dia seorang pengarah versatil.

Terbaharu, Syafiq tampil dengan sebuah drama bersiri bertajuk ‘Cinta Dari Marikh’. Menariknya drama bersiri 26 episod tersebut menggandingkan pelakon yang mula mencipta nama Fattah Amin dan Chacha Maembong, bersama A. Galak, Amyza Aznan, Harun Salim Bachik dan ramai lagi.

Menerusi drama bersiri yang bakal menemui penonton mulai 30 November ini, setiap Isnin, jam 9 malam di TV2, Fattah memegang watak sebagai Aiman, seorang jejaka yang jatuh cinta dengan makhluk asing dari Planet Marikh iaitu Nova (Chacha).


Ia mengisahkan Aiman, pelajar kolej yang bercita-cita besar mahu menjadi seorang pelakon aksi terhebat seperti Aaron Aziz. Aiman mempunyai dua teman rapat, Farah dan Zam.

Datuk Aiman sudah tidak tahan dengan perangai cucunya itu lalu mahu menghantar Aiman ke kolej tentera untuk mendapatkan pendidikan dan mendisiplinkan cucunya itu.

Sementara itu Nova berasal dari planet Marikh yang sedang mengalami cuaca yang teruk akibat pemanasan global yang berlaku di planet itu angkara penghuni-penghuninya tidak mengendahkan ekosistem dan alam sekitar mereka.

Tidak lama lagi, mereka terpaksa berpindah ke planet lain. Tujuan Nova berhijrah ke bumi adalah untuk mengkaji kehidupan di dunia dengan menjalani kehidupan seperti manusia biasa sebelum membawa kaumnya berhijrah ke bumi.

Dalam pada ketika Nova sedang merentasi portal ke bumi, Aiman telah berkhemah bersendirian di dalam gua diatas bukit yang selalu dikunjunginya.

Aiman terkejut dan amat takut melihat Nova yang kelihatan bercahaya bersinar-sinar. Setelah itu Aiman terus lari jauh ke dalam hutan, tetapi malangnya telah terjatuh ke dalam gaung yang sangat dalam dan tidak sedarkan diri.

Kaiser, pemburu makhluk asing, berniat untuk membunuh kedua-dua mereka tetapi tidak kesampaian kerana wajah Nova sama seperti bekas kekasih hati Kaiser.

Bagaimanakah kesudahannya? Adakah ada cinta antara manusia dan makhluk asing ini dan mampukah mereka bersatu? Saksikan kesudahannya hanya di TV2.

- Sumber: Sinar Harian 

Apalah dosaku, rintih Muhyiddin

Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM - Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yaasin hari ini menyatakan rasa sedih dan kecewanya berhubung keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang memutuskan timbalan presiden tidak akan lagi merasmikan persidangan sayap-sayap Umno.

Ujarnya, tindakan itu telah menyebabkan dirinya tidak lagi berpeluang menyampaikan amanat kepada ahli Umno yang disayanginya.

"Sejak enam tahun yang lalu sebagai timbalan presiden, menyampaikan amanat kepada perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno yang datang dari segenap pelusuk negara sentiasa saya laksanakan dengan penuh tanggungjawab.

"Ia adalah ucapan terpenting saya di hadapan para pejuang parti yang melakarkan harapan serta cita-cita saya agar Umno terus gagah meredah cabaran zaman.

Nampaknya, saya tidak berpeluang lagi untuk menyampaikan amanat saya dalam satu majlis yang amat bermakna buat saya sebagai timbalan presiden," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik menerusi Facebooknya hari ini.

Muhyiddin berkata bahawa dia dimaklumkan ada pihak-pihak tertentu yang mahu menghalangnya daripada berucap.

"Apalah dosa yang telah saya lakukan terhadap Umno sehingga tradisi berucap yang saban tahun diberikan kepada setiap timbalan presiden dinafikan kepada saya pada tahun ini?

"Atau apakah ada mereka yang cukup takut dengan apa yang akan saya ungkapkan di hadapan anak-anak muda yang dipercayai boleh meluputkan keyakinan kepada seseorang pemimpin," ujarnya.

Katanya beliau menghormati keputusan itu, namun beliau tidak akan berdiam diri jika ada sesuatu yang tidak kena dalam perjuangan Umno kini.

"Sementara saya menghormati keputusan MT, tetapi saya juga ingin mengingatkan mereka bahawa dalam sebuah negara yang bebas dan merdeka, tiada siapa yang boleh mendiamkan saya.

"Saya akan terus berbicara menyatakan yang hak. Perjuangan saya di dalam Umno bukanlah untuk mempertahankan mana-mana individu, tetapi untuk membela agama, bangsa dan negara yang tercinta.Insya-ALLAH , saya akan terus istiqamah di atas landasan perjuangan suci ini," katanya.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Majlis Tertinggi memutuskan mesyuarat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pada Perhimpunan Agung Umno bulan Disember depan akan dirasmikan ketua sayap masing-masing dan bukannya Muhyiddin.

- Sumber: Sinar Harian 

Pelajar saman sekolah RM64 juta

Gambar kecil, Ahmed Mohamed

CHICAGO - AMERIKA SYARIKAT. Seorang pelajar lelaki beragama Islam yang sebelum ini ditahan kerana hasil rekaciptanya dianggap sebuah bom kini merancang untuk menyaman sekolah dan sebuah bandar sebanyak AS$15 juta (RM63.6 juta).

Menurut laporan AFP, peguam kepada Ahmed Mohamed, 14, mengatakan remaja tersebut kini mengalami 'trauma psikologi' akibat Islamophobia mahu menyaman Sekolah Tinggi MacArthur dan bandar Irving, Texas.

Ahmed yang merupakan anak kepada pasangan imigran Sudan sebelum ini ditahan pada September selepas membawa hasil rekaciptanya, sebuah jam untuk ditunjukkan kepada gurunya.

Guru Ahmed kemudian menyangka jam tersebut sebuah bom sebelum menelefon polis.

Peguam Ahmed, Kelly Hollingsworth menuduh pihak sekolah, pihak polis dan kakitangan bandar Irving menafikan hak Ahmed.

"Ahmed tidak diberikan sebarang peluang kerana bangsanya, tempat asalnya dan agamanya," kata Kelly.

Kata Kelly, peluang Ahmed dan keluarganya untuk hidup selamat kini musnah.

"Bukan sahaja masa depan mereka musnah, malah mereka difitnah," jelas Kelly.

Keluarga Ahmed menerima pelbagai surat dan emel ugutan selepas alamat rumah mereka disiarkan oleh media massa.

Mereka kini tinggal di Qatar dan Ahmed pula ditawarkan biasiswa ehsan dari kerajaan.

- Sumber: Sinar Harian