Monday, 15 June 2015

1MDB: 'Saya tak gasak Najib, saya cuma dedah benda yang tak kena' - Tun M

TUN M: 1MDB: 'Saya tak gasak Najib, saya cuma dedah benda yang tak kena' - Gambar fail

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohammad menegaskan, dia tidak pernah menggasak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam apa juga isu terutama melibatkan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seandainya semuanya berjalan dengan betul dan tanpa kontroversi.

Kata bekas perdana menteri itu, apa yang dilakukan selama ini adalah mendedahkan perkara yang dirasakan salah selain melibatkan kepentingan negara.

"Saya bukan gasak, saya dedahkan benda yang tidak kena. Benda yang 'kena' saya tak pernah mengadu‎. Saya sokong dia dahulu sampai dia menang walaupun kecil (undi).

"Sekarang ini saya dedahkan perkara yang tidak baik dan‎ dilakukan Najib. Tak apalah jika dia hendak selesaikan isu 1MDB, pada masa ini biar saya teruskan cerita mengenainya," katanya kepada media selepas majlis ‎perjanjian dalam memorandum persefahaman (MoU) a‎ntara PROTON Holdings Berhad (PROTON), DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) dan Suzuki Motor Corporation, Japan (Suzuki) di sini, hari ini.

Selain MoU, ketiga-tiga pihak itu turut menandatangani persetujuan lesen untuk kerjasama jangka panjang dan strategik bersama.

“Benda yang 'kena' saya tak pernah mengadu ” - Dr Mahathir

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Harith Abdullah dan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif Suzuki, Osamu Suzuki.

Dr Mahathir mengulas pertemuan Najib dengan lebih 1,200 perwakilan dari pelbagai pertubuhan yang dijemput khas dalam majlis Majlis Penerangan Perdana (MPP) UMNO yang diadakan pada Ahad di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Antara yang disentuh Perdana Menteri dalam majlis itu adalah isu hutang 1MDB dan kemelut melibatkan Dr Mahathir.

Dalam pada itu, Dr Mahathir melahirkan keyakinan isu 1MDB tidak akan selesai walaupun pelbagai ulasan serta usaha membetulkannya dibuat Najib.

"Saya tidak yakin selesai, duit sudah tidak ada," katanya ringkas.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tuduhan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan kepadanya yang dikatakan punca kejatuhan nilai ringgit, ini katanya;

"Tidak apa dia (Ahmad) hendak kata apa pun, biarlah dia kata."

Pada Isnin, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hass‎an meminta Najib segera membuat pertemuan dengan Dr Mahathir sekali gus menyelesaikan kemelut negara terutama tentang isu 1MDB.

Tegas Khairuddin, Najib juga diharap tidak menjadi jaguh dengan menyerang Dr Mahathir melalui forum tertutup bersama ahli UMNO yang dijemput pada majlis penerangan khas sahaja. 

- Sumber: Astro Awani

Dua kali jumpa kembar seiras





Shamil Hizamie, Astro Awani | Kemas kini: Jun 15, 2015 (Diterbitkan pada: Jun 15, 2015 19:45 MYT)
Beberapa bulan selepas berjumpa kembar seiras, Niamh bertemu seorang lagi gadis dengan wajah yang sama dengannya.

Laporan sebelum ini pernah menyatakan, terdapat tujuh orang dengan wajah yang seiras di seluruh dunia.

Projek Twin Strangers ditubuhkan bagi mempertemukan individu yang berhasrat untuk bertemu dengan kembar diri.

April lalu, Niamh Geaney dikira bertuah apabila bertemu dengan kembar seiras yang tinggal kurang satu jam dari kediamannya di Ireland. Niamh bertemu Karen Branigan selepas mencari selama dua minggu sahaja.


Niamh dipertemukan dengan Karen pada April lalu. Foto: Twitter NiamhGeaney

Beberapa bulan kemudian, siapa sangka Niamh akan menemui seorang lagi gadis dengan wajah yang sama buat kali kedua.

Pelanduk dua serupa itu bernama Luisa Guizzardi dan menetap di Itali.

Sebelum bersua muka dengan Luisa, Niamh bertemu dengan Andrea yang mengenali Luisa selama 24 tahun.

“Andrea mengatakan bahawa saya dan rakannya menyalurkan aura dan perasaan yang sememangnya sama,” Ujar Niamh.

Ibu Luisa yang bertemu dengan Niamh turut tidak menyangka persamaan gadis itu dan anaknya sungguh ketara.

Persamaan Niamh dan Luisa sungguh ketara. Foto – Twitter NiamhGeaney

Ternyata persamaan jelas kelihatan apabila kedua-dua gadis ini bertemu. Kedua mereka mengenakan cara solekan yang serupa, menggayakan stail rambut yang hampir sama serta bahasa badan yang seakan.

“Ketika mula-mula berjumpa gadis lain yang mempunyai wajah sama seperti saya, ia sesuatu yang menakjubkan. Apabila ia berlaku sekali lagi, terasa sedikit janggal pula,” ujar personaliti televisyen berusia 27 tahun itu.

Niamh bercadang untuk meneruskan usahanya bagi mencari lagi lima lagi ‘kembarnya’ dari seluruh dunia.

- Sumber: Astro Awani

Faktor umur, kesihatan halang saya pimpin Sarawak

Adenan Satem

KUCHING - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata, beliau hanya memerlukan lima tahun lagi untuk memimpin Sarawak sebelum bersara.

"Faktor umur dan kesihatan menghalang saya untuk memimpin Sarawak lebih daripada tempoh itu," kata Adenan ketika berucap merasmikan Seminar Kepimpinan Akar Umbi Negeri Sarawak Bahagian Kota Samarahan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi memberi beliau mandat penuh lima tahun lagi sebagai ketua menteri bagi membolehkan beliau meneruskan usaha serta tugas-tugas yang masih belum sempat beliau tunaikan untuk rakyat dan negeri itu sejak dilantik sebagai ketua menteri pada 28 Februari tahun lalu.

Antara perjuangannya yang belum tercapai ialah untuk mendapatkan persetujuan kerajaan pusat untuk menaikkan peratusan royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus serta mengurangkan jurang kemiskinan antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Adenan, 71, berkata beliau telah memohon kepada kerajaan pusat untuk memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta untuk pembangunan luar bandar Sarawak yang masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. 

Mengenai pendatang asing tanpa izin di Sarawak, beliau mahu supaya Jabatan Imigresen sentiasa membuat pemantauan serta mengambil tindakan tegas termasuk menahan dan menghantar mereka pulang ke negara asal.

Menurut Adenan, beliau menerima laporan bahawa terdapat rakyat Pakistan yang menjalankan perniagaan di negeri itu tanpa permit dan mahu supaya Jabatan
Imigresen bertindak ke atas mereka.

Sementara itu, beliau menegaskan Sarawak tidak memerlukan parti politik dari Semenanjung Malaysia untuk datang ke negeri itu termasuk Umno.

"Kita orang Sarawak tahu bagaimana untuk mentadbirkan negeri kita sendiri dan saya sudah beritahu Perdana Menteri sendiri bahawa kita tidak mahu Umno datang ke Sarawak," tambahnya. 

Katanya, beliau juga akan terus dengan dasar untuk menyekat kemasukan individu dan kumpulan ekstremis dari Semenanjung Malaysia ke negeri itu. 

- Sumber: Bernama

Tun M: Terserahlah apa mereka nak kata

Mahathir Mohamad

SHAH ALAM - "Tak apalah.. Apa mereka nak kata, mereka katalah," demikian reaksi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika diminta mengulas mengenai dakwaan penyusutan nilai mata wang berlaku disebabkan oleh beliau.

Tersenyum ketika menjawab soalan, beliau jelas mempamerkan riak tenang dan tidak mudah melatah ketika ditanya soalan tersebut.

Dr Mahathir lebih senang mempamerkan reaksi 'tidak kisah' dengan apa yang diperkatakan oleh orang lain terhadapnya.

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin ketika dihubungi wartawan Sinar Harian semalam mendakwa, ketidaktentuan iklim ekonomi negara kini dipengaruhi dengan iklim politik dalaman yang tidak stabil, sekali gus menyumbang penyusutan mata wang ringgit.

Dr Amir berkata, pelabur luar akan lebih berwaspada untuk melabur apabila melihat politik negara yang tidak menentu terutamanya isu di antara bekas perdana menteri dan Najib.‎

Konflik kedua pemimpin ini bermula pada Ogos 2014 apabila Dr Mahathir menerusi tulisan dalam blognya mengesahkan beliau menarik balik sokongan dan mengkritik kerajaan pimpinan Najib kerana dasar Najib yang tidak berkesan.

Konflik antara kedua-dua pemimpin ini dilihat semakin panas apabila Dr ‎Mahathir tajam membidas pelbagai isu berkaitan Najib dalam blognya, manakala Najib pula memberi jawapan balas menerusi tulisan diblognya Najibrazak.com.

Antara pelaksanaan yang dikritik hebat oleh Dr Mahathir termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), jambatan bengkok dan isu pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

- Sumber: Sinar Harian 

Berbual menerusi Twitter


TWITTER sememangnya sangat popular di kalangan pengguna telefon pintar. Bagi memudahahkan pengguna mereka, kini Twitter dalam usaha untuk memudahkan pengguna mengikuti perbualan dan melihat interaksi.

Setiap perbualan yang berkait kini ditandakan dengan satu garisan, yang memudahkan pengguna mengikuti sesuatu interaksi antara satu sama lain.

Ini juga memudahkan lagi pengguna mengikuti perbualan antara satu Tweet dan lain tanpa keliru seperti sebelum ini.

Pihak Twitter mengatakan fungsi ini diperkenalkan pada web, dan ia akan turut diperluaskan ke aplikasi mudah-alih tidak lama lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

Menteri tiada hak hina institusi diraja

Datuk Zulkurnain Kamisan

BATU PAHAT - Jangan kurang ajar! Demikian kenyataan tegas, Ketua Umno Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan yang ditujukan kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

"Saya teramat kesal dengan kenyataan menteri itu. Semua orang perlu sanjung tinggi kedaultan institusi istana, termasuk pemimpin di peringkat pusat. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) hormatkan istana, inikan pula menteri. Kena hormatlah juga.

"Jawatan menteri bukan lesen untuk hina institusi yang sudah wujud sekian lama ini," katanya.

Zulkurnain berkata, kenyataan Mohamed Nazri bukan sahaja melampau tetapi dibimbangi akan mencetuskan kemarahan rakyat Johor sekali gus menjejaskan keharmonian rakyat keseluruhannya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan menteri itu, kelmarin yang membidas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang diminta supaya tidak campur tangan dalam urusan politik negara.

Ini berikutan Tunku Ismail pada 5 Jun lalu dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, "orang yang ingin menyembunyikan segala-galanya tentu sekali tidak akan muncul..." yang dipercayai merujuk kepada tindakan perdana menteri tidak hadir dalam sesi dialog dengan NGO, Nothing2Hide.

Menurut Mohamed Nazri, kenyataan anakanda Sultan Johor itu berhubung isu-isu politik negara akan menyebabkan beliau dikecam.

“Saya rasa beliau (Tunku Ismail) harus menjauhkan diri daripada politik. Jika tidak, beliau juga akan dapat benda yang sama. Kita akan whack (belasah) dia. Raja-raja dan keluarga diraja ini berada di atas undang-undang. Kalau dia (Tunku Ismail) mahu jadi ahli politik, dia perlu beritahu. Kemudian kita boleh menjawab balik.

"Kamu memegang jawatan penting di negeri… kalau kerajaan 'belasah' kamu balik, jangan marah,” demikian kata Mohamed Nazri dipetik.

Zulkurnain berkata, kenyataan menteri itu yang merujuk kepada Tunku Mahkota Johor amat dikesali.

"Saya cukup kesal dengan tindakan sesetengah pemimpin yang semakin kurang ajar hingga sanggup mengeluarkan perkataan yang begitu sekali menghina institusi raja," katanya.

Zulkurnain bagaimanapun yakin pendirian Mohamed Nazri tidak mewakili pandangan kepimpinan Umno atau rakyat kerana beliau bukan anggota majlis tertinggi parti.

“Saya sarankan beliau muhasabah diri, cermin diri dahulu apabila mahu buat kenyataan berkaitan institusi raja,” katanya.

Zulkurnain juga percaya, bukan sedikit rakyat Johor yang marah dengan kenyataan menteri itu.

Menurutnya, sejak dahulu lagi rakyat Johor akan bangun menentang sesiapa juga yang cuba menghina institusi raja yang boleh merosakkan perpaduan rakyat.

“Orang luar yang tidak suka ‘Cara Johor’ tidak perlu cerca atau hina, mereka boleh mencari tempat lain tetapi bukanlah di negeri Johor ini yang sudah cukup aman selama ini,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi berkata, Tunku Ismail berhak menyalurkan pandangan sebagai seorang warganegara Malaysia yang prihatin.

Katanya, baginda mempunyai hak khususnya dalam hal-hal berkaitan dengan kepentingan awam.

“Oleh itu, adalah tidak wajar bagi sesiapapun untuk menafikan hak ini. Malah adalah agak keterlaluan bagi mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan yang berbaur ugutan dan boleh mencemarkan nama baik institusi diraja Johor khasnya,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Campur dadah dalam biskut, gula-gula

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan taktik terbaru menyeludup dadah dengan mencampurkan bahan itu bagi dijadikan bentuk makanan pepejal seperti biskut dan gula-gula.

PDRM dalam kenyataan hari ini berkata taktik berkenaan digunakan dengan menjual bahan terlarang itu dalam bentuk makanan pepejal yang dijual melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurut kenyataan itu, modus operandi yang digunakan dalam pengedaran dadah adalah dengan mencampurkan adunan bahan makanan dengan campuran dadah.

"Suspek hanya berinteraksi dengan pembeli melalui Facebook dan aplikasi Instagram sahaja untuk menempah pembelian dan penghantaran ‘makanan’ yang dipesan, manakala penghantaran hanya dibuat melalui perkhidmatan kurier atau pos sahaja.

"Sindiket pengedaran dadah kini mencari alternatif baru untuk menarik sesiapa sahaja yang berminat untuk membeli dan memiliki pelbagai jenis dadah," kata kenyataan itu.

PDRM menasihatkan ibu bapa atau penjaga agar mengawasi aktiviti sosial anak-anak seperti perhubungan melalui media sosial.

Selain itu, orang ramai diminta sentiasa bersikap ingin tahu apabila melihat ahli keluarga dan rakan berkelakuan aneh serta melakukan pemeriksaan terhadap bungkusan yang diterima melalui kurier atau pos. 

- Sumber: Bernama

Suri rumah miliki darah istimewa

Penerima Anugerah Penderma Cemerlang kategori Penderma Indian B ,Tatchana (kiri) bersama Gayathri pada Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Perak 2015, semalam.

IPOH - Seorang suri rumah dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Penderma Cemerlang kategori Penderma Indian B pada Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Perak 2015 di sini, semalam.

S Tatchana, 28, berasal dari Ipoh merupakan seorang daripada dua individu di negara ini yang memiliki darah jenis Indian B iaitu sejenis darah yang jarang ditemui bukan sahaja di Malaysia malah di negara lain.

Menurutnya, darah itu dikesan sewaktu dia melahirkan anak pertama di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), tahun lalu.

“Saya tidak sangka mempunyai jenis darah istimewa yang jarang ditemui di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, doktor yang menguruskan kes suri rumah terbabit, Dr J Gayathri berkata, selain Tatchana terdapat seorang lagi wanita yang dikesan mempunyai jenis darah sama di Kuala Lumpur.

Katanya, darah wanita itu sangat istimewa dan telah digunakan sebagai serum untuk mengenal pasti jika terdapat individu lain di negara ini yang mempunyai jenis darah tersebut.

“Individu yang memiliki darah ini hanya boleh menerima darah yang sama sahaja,” jelasnya.

Beliau memberitahu, pihaknya mengesan perkara itu ketika Tatchana hendak melahirkan anak pada tahun lalu kerana mereka tidak dapat mencari darah sesuai untuknya.

“Berikutan itu, sampel darah Tatchana dihantar ke Australia dan Pusat Darah Negara untuk menjalani beberapa ujian dan kita mendapati dia adalah pemilik darah jenis Indian B.

“Setakat ini, dia (Tatchana) telah dua kali menderma darah pertama kali pada tahun 2014 dan terbaru pada Februari baru-baru ini.

“Malah darahnya telah dibekukan serta mampu bertahan sehingga 10 tahun untuk digunakan pada masa akan datang,” katanya.

Gayathri berkata, pihaknya sentiasa memantau wanita terbabit dari semasa ke semasa supaya kesihatannya berada dalam keadaan baik.

- Sumber: Sinar Harian