Thursday, 16 January 2014

Ikan paus hidup terdampar di Bintulu

Ikan paus hidup terdampar di Bintulu

BINTULU - Seekor ikan paus yang masih hidup ditemui terdampar di pantai Kuala Tatau awal pagi semalam oleh sebuah keluarga ketika mereka sedang berjalan-jalan di pantai berkenaan.

Rosmiros Mesral, 50, berkata beliau dan keluarganya mendapati ikan paus itu terdampar di tepi pantai dan tidak bergerak.

"Pada mulanya saya tak sangka objek besar itu ikan paus tetapi bila mendekati objek itu, saya dapati ia seekor ikan paus dan saya terus panggil suami serta anak-anak saya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ibu kepada tiga anak itu berkata ikan paus itu mula bergerak selepas anak lelakinya menyiram air di kepala mamalia berkenaan.

"Ekor ikan paus mula bergerak dan saya sekeluarga terkejut melihat di mata ikan paus itu ada air mata mengalir.

"Simpati dengan keadaan ikan paus itu, kami sekeluarga cuba menolaknya supaya dapat ke laut semula tetapi mengalami kesukaran, namun sekitar jam 11 pagi, ikan paus itu dapat ditolak ke laut semula," katanya.

Rosmiros menyifatkan kejadian itu sebagai ganjil kerana belum pernah ada kejadian ikan paus terdampar di pantai Kuala Tatau sebelum ini.

"Saya dilahirkan di Bintulu, dan ini kali pertama kejadian pelik ini berlaku, mungkin faktor cuaca dan keadaan laut menyebabkan ikan paus itu terdampar," katanya.

Berita penemuan ikan paus itu tersebar luas di media sosial sejak semalam sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan penduduk tempatan.

Antara lain, kebimbangan kemungkinan berlaku tsunami dan ada juga yang mengaitkannya dengan fenomena semasa musim tengkujuh. - Bernama

Sekatan akses artikel kangkung di BBC: SKMM nafi sekat, TM pula siasat


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menafikan bahawa yang terlibat dalam sekatan akses pengguna Internet dari melayari artikel mengenai kangkung yang disiarkan oleh laman berita Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Namun, sekatan akses tersebut dikatakan hanya memberi kesan kepada pengguna jaringan jalur lebar milik TM.

The Malay Mail Online melaporkan Ketua Komunikasi Korporat SKMM, Sheikh Raffie Abdul Rahman menafikan bahawa agensinya yang menyekat akses tersebut dan mendakwa bahawa tiada sebarang halangan berlaku kepada pelayar Internet dari terus melayari Internet.

Sementara itu, Penolong Pengurus Komunikasi Korporat TM, Asma Abdul Aziz pula menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut dan akan mengeluarkan kenyataan media selepas siasatan itu.

Tinjauan Astro AWANI pula mendapati, pelayar Internet tiada masalah untuk melayari berita yang dipaparkan dalam laman berita BBC.

Malah, laman sesawang pengguna teknologi, Lowyat.NET juga telah mengemaskini maklumat menerusi lamannya dan akaun Twitter dengan menyatakan bahawa artikel kangkung yang dipaparkan menerusi laman berita BBC kini telah boleh dilayari.

Semalam, ribuan pelayar Internet hampa kerana gagal untuk ‘menembusi’ artikel kangkung yang disiarkan di laman berita BBC.

Kegagalan untuk melayari artikel itu kerana halangan akses itu disifatkan sebagai halangan yang telah melanggar Rang Jaminan MSC Malaysia yang memperuntukkan bahawa ‘tiada penapisan Internet’.

Astro Awani 

Pasangan ditahan kerana didakwa pukul anak di Sweden dikenalpasti

KUALA LUMPUR: Pasangan warga Malaysia yang didakwa memukul anak lelaki mereka kerana tidak menunaikan solat di Sweden dikenalpasti sebagai Azizul Raheem Awalludin, kakitangan Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya Shalwati Nurshal, seorang guru sekolah menengah.




Identiti mereka diperolehi hasil siasatan wartawan Astro AWANI yang turut mendapatkan pengesahan mengenainya dari sumber yang enggan dinamakan. Sumber itu turut berkata nasib samada pasangan terbabit akan didakwa di mahkamah Sweden atau tidak akan diketahui hari ini.

Dari pemerhatian di media sosial, empat anak pasangan terbabit turut dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan kini di bawah penjagaan sebuah keluarga angkat. Mereka turut dikatakan merindui kedua-dua ibu-bapa mereka. Ia disuarakan menerusi beberapa paparan di media sosial.








Sementara itu, menurut pakar psikologi, Dr Hariyati Shahrima Abdul Majid, adalah jelas sebarang situasi dimana anak-anak dipisahkan dengan ibu-bapa mereka adalah satu pengalaman yang traumatik sekiranya tidak dikendalikan dengan sebaiknya.

Katanya, kanak-kanak perlu berada di sisi mereka yang boleh dipercayai dan melindungi mereka. Meskipun mereka berada dalam jagaan, mereka seharusnya diberikan kebenaran untuk menemui ibu-bapa mereka yang ditahan.

“Adakalanya, dalam kes penderaan sebenarpun, anak terbabit masih enggan melaporkannya,” kata Dr Hari yati.

Astro AWANI turut menghubungi Wisma Putra, Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan, Kedutaan Sweden dan Swedish Ombudsman for Children, namun kesemuanya enggan memberikan sebarang komen mengenai kes terbabit.


Astro Awani

Berjaga-jaga! Empat negeri terdedah kenaikan paras air laut

Jabatan Meteorologi Malaysia

KUALA LUMPUR - Angin kencang dan laut bergelora tahap kategori ketiga yang melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, kawasan pedalaman Pantai Barat dan Kudat di Sabah, Labuan dan Sarawak dijangka berterusan sehingga Isnin depan.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam (km/jam) dan ombak melebihi 5.5 meter itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk perkhidmatan feri.

"Selain daripada itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut," menurut kenyataan itu.

Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua yang melanda perairan Sandakan di Sabah juga akan berterusan sehingga Isnin depan dengan keadaan angin kencang yang bertiup antara 50 hingga 60 km/jam serta ombak setinggi 4.5m.

Keadaan ini juga berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

Angin kencang dan laut bergelora tahap kategori pertama juga akan berterusan sehingga Isnin di kawasan perairan Tawau, Semporna dan Lahad Datu di Sabah dengan kelajuan angin 40 dan 50 km/jam serta ombak mencapai ketinggian 3.5m. - Bernama

Shila Amzah takut diserang gangster

Shila Amzah

SUDAH lumrah menjadi artis apabila tidak terlepas daripada dihimpit gosip dan kontroversi, lebih-lebih lagi soal cinta.

Begitulah yang berlaku kepada penyanyi muda, Shila Amzah, 24. Walaupun dalam kesibukannya mengatur karier seninya di Shanghai, Shila tetap dikaitkan dengan lelaki.

Terbaru, Shila dikatakan sedang intim dengan pelakon Aman Nassim dan dilihat keluar bersama.

“Sebenarnya saya betul-betul terkejut dan saya juga pelik. Sebab saya dengan dia hanyalah kenalan biasa,” katanya yang agak terkejut apabila isu itu mula diperkatakan di media cetak dan juga laman sosial.

Menurut penyanyi lagu Masih Aku Cinta ini, hubungannya dengan pelakon Sebenarnya Dia Isteri Saya itu hanya sekadar kawan dan dia tidak pernah kenal rapat seperti yang diperkatakan. 

“Saya berkawan dengan ramai orang. Memang saya kenal tapi tak rapat, ia hanya cuma kenalan saja. Pernahlah saya jumpa beberapa kali bersama rakan-rakan seangkatan Abang Azhan Rani (pelakon), Beto Kusyairy dan Zahiril Adzhim. Tapi saya sekadar kenal macam biasa saja. Tak lebih daripada itu.

“Dia (Aman) adalah sekadar kawan kenalan lelaki saya. Kami tak pernah pun bergambar berdua. Sekarang, tiada definisi rapat dengan mana-mana kawan lelaki kecuali dengan kawan-kawan perempuan saya,” katanya yang ditemui pada sesi ramah mesra bersama Shila Amzah, di pejabat Warner Music Malaysia, semalam.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan pelakon yang semakin meningkat naik itu (Aman Nassim) mengakui pelik apabila ibu Shila, Fauziah Sarman memintanya untuk lebih mengenali pelantun Patah Seribu itu.

Bagaimanapun, Shila enggan mengambil pusing kenyataan itu dan tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana jejaka lagi. Akui lebih berhati-hati, kata Shila, soal jodoh bukan lagi keutamaan dalam hidupnya kini. 

“Saya tidak kisah dah dengan cerita macam ni, sebab selalu sangat dikaitkan dengan masalah seperti ini.

“Apa yang penting, saya mahu tumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya sebelum memberi tumpuan kepada perkara berkaitan dengan cinta,” katanya.

Mengakui hatinya masih tertutup untuk mana-mana lelaki, Shila bagaimanapun tidak menolak untuk menerima jejaka yang benar-benar ikhlas dengannya dan berjaya mengetuk pintu hatinya.

“Bukan bermakna saya sudah serik dengan lelaki, namun saya akan lebih berhati-hati untuk berhubungan dengan lelaki selepas ini,” katanya yang pernah dikaitkan dengan Sharnaaz Ahmad dan Johan As’ari.

Takut diserang gangster

Dalam pada itu, Shila turut mengulas mengenai laporan sebuah akhbar (bukan Sinar Harian) yang mengisytiharkannya sebagai selebriti jutawan dengan pendapatan mencecah lebih RM2.5 juta setahun.

“Jumlah tersebut itu adalah mengarut. Sudahlah tak betul, tak pasal-pasal nanti gangster serang saya. Ramai perompak sekarang ni berada di mana-mana saja.

“Memang saya menang Asian Wave dulu, saya dapat hadiah berupa dana sebanyak RM5 juta tapi bukan dalam bentuk wang tunai. Hadiah tu tak boleh dikira sebagai aset saya kerana pihak pengurusan yang tentukan berapa bayaran saya.

“Saya tiada gaji bulanan tapi saya dibayar mengikut projek. Namun, jumlahnya bukan seperti dilaporkan,” katanya yang menafikan sekeras-kerasnya laporan akhbar itu.

Menurut Shila, ekoran laporan tersebut, dia turut digelar sebagai 'gadis RM2.5 juta’ oleh segelintir pihak. Tegas Shila, situasi itu membuatkan dia berasa kurang selamat.

“Saya harap masyarakat tidak mempercayai dengan apa yang digembar-gemburkan itu.

"Memang saya berhasrat untuk kumpul aset yang bernilai jutaan ringgit, tapi perkara itu masih belum dapat direalisasikan lagi,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terbarunya, Shila kini dalam perancangan untuk menjayakan konsert sulung berskala besar, yang akan mendapat tajaan sepenuhnya dan akan berlangsung pada April depan.

Sinar Harian 

Kwang Soo tersalah cakap panggil Da Jung "kakak"

Kwang Soo tersalah cakap

UMUM sedia maklum dengan karakter Lee Kwang Soo dalam rancangan variati, Running Man yang sentiasa menimbulkan masalah dan menjadi pembelot bagi memastikan dia menjadi pemenang.

Kali ini, dalam episod terbaru yang mengangkat tema perlawanan masakan, Kwang Soo sekali lagi mahu menunjukkan dia antara peserta terbaik di hadapan tetamu undangan seperti, Raymond Kim, Shim Young Soon, Louis Kang dan penulis laman web Unlicenced Cooking, Jung Da Jung.

Dek kerana terlalu mahu menjadi yang terbaik, Kwang Soo telah memanggil Da Jung dengan gelaran kakak, sehingga mengejutkan Da Jung. Ini kerana gadis itu muda enam tahun daripadanya.

Setelah mengetahui dirinya silap, Kwang Soo bertanya kepada Da Jung bagaimanakah lelaki yang digemarinya dan dengan cepat Da Jung menjawab: "Yang pasti lelaki itu bukan seperti Kwang Soo."

Dan seterusnya disambut deraian ketawa oleh peserta Running Man dan tetamu yang lain.

Tidak berdendam dengan Kwang Soo, Da Jung kemudiannya memuat naik gambarnya bersama Kwang Soo di laman sosial Twitter dengan tajuk gambar, "Bersama abang Kwang Soo yang memanggil saya kakak."

Kawasaki W800 - jentera klasik moden miliki gaya retro

Kawasaki W800


Kawasaki W800
Kemasan krom serlahkan karakter jentera ini.

Kawasaki W800
Walaupun bentuk badannya kelihatan sarat dengan besi, ia ringan dan mudah dikendalikan.


Sekali pandang, anda mungkin tidak dapat meneka jenis motosikal ini dengan jelas. Mungkin juga anda akan beranggapan ia adalah hanya sebuah motosikal yang dipulihara semula. Realitinya, ia merupakan jentera klasik moden W800 hasil keluaran Kawasaki.

Model ini dihasilkan Kawasaki di bawah produksi siri W yang memiliki gaya retro klasik sejak dikeluarkan pada 1965. Pada hari ini, ramai peminat gaya retro di luar sana dan tidak kurang juga yang mempunyai hobi mengumpul motosikal lama.

Sebenarnya, bukan kerja mudah untuk membela motosikal yang sudah dimamah usia. Sudah pasti ia menelan belanja yang tinggi.

Ada juga niat di dalam hati untuk memiliki sebuah motosikal klasik. Namun, niat murni saya itu kadangkala disalahertikan, terdengar juga bebelan daripada ibu kerana menganggap ia sebagai satu pembaziran.

Bagi tujuan ingin merasai perwatakan motosikal klasik, saya mendapatkan unit tunggang uji W800 daripada Kawasaki Malaysia.

Unit tunggang uji yang disediakan merupakan siri edisi khas W800 yang dikeluarkan pada 2012. Unit ini mempunyai rim jejari berwarna emas, ekzos berkembar dan enjin yang dicat warna hitam.

Triumph mungkin mempunyai nama yang besar dalam menghasilkan jentera klasik seperti Bonneville dan sementara itu, Moto Guzzi mula bangkit dengan jentera berkonsepkan Cafe Racer, V7 Classic.

Kawasaki W800 yang mempunyai identiti motosikal klasik British - BSA juga tidak kurang hebatnya daripada segi rupa dan gaya yang diterapkan.

Susunan enjin berkembar selari berjaya mengekalkan karakter vintaj jentera ini. Tanpa sistem sejukan cecair seperti motosikal berkuasa tinggi moden lain, ia tampak lebih kemas dan pengukuhan konsep klasik berkesan di samping reka bentuk keseluruhannya.

Kemasan krom pada bahagian-bahagian badan pula merupakan satu langkah bijak Kawasaki untuk serlahkan karakter jentera ini. Reka bentuk tangki bahan api, lampu hadapan, lampu belakang, lampu isyarat dan rekaan pelana sudah cukup untuk memberi pesona klasik.

Akan tetapi, terdapat beberapa komponen yang terpaksa menggunakan barangan moden seperti penggunaan brek cakera di bahagian hadapan, sistem penghidup elektrik dan juga sistem suntikan bahan api.

Pada awal tunggangan, saya amat mengagumi pengendalian kotak gear W800. Penukaran gear lembut tanpa sentakan yang keras. Daya pecutan awal sedikit perlahan, tetapi respons enjin beransur lebih baik selepas ia mula bergerak.

Tunggangan W800 tidak banyak memerlukan penurunan gear melainkan semasa memotong kenderaan lain.

Keserasian dan keseronokan tunggangan dapat dirasakan dengan cepat. Walaupun bentuk badannya kelihatan sarat dengan besi, ia ringan dan mudah dikendalikan.

Sistem penyerap hentak bahagian belakang agak lembut tetapi peranannya munasabah untuk menyediakan keselesaan tunggangan.

Cuma, dalam kelajuan 120 kilometer sejam (km/j) ke atas, motosikal sedikit berayun. Akan tetapi, sedikit berbeza apabila saya membawa pembonceng. Kadar ayunan minimum dan lebih selesa berbanding menunggang berseorangan.

Saya menikmati perjalanan selesa dengan tunggangan pada kadar kelajuan 100 km/j. Tunggangan menaiki bukit langsung tidak menjadi masalah.

Perjalanan mendaki ke Genting Highlands lancar dan cukup mudah mengendalikannya di selekoh.

Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan tawaran prestasi, keupayaan pengendalian dan nilai yang diberikan W800.

Jentera ini lebih sesuai untuk tunggangan santai pada hujung minggu dan ia boleh dipertimbangkan terutamanya kepada peminat klasik yang tidak mahu dibebani kos untuk memulihara jentera lama.

Melaka Gateway mercu tanda baru di Melaka

Melaka Gateway mercu tanda baru
Idris menunjukkan gambaran Melaka Gateway di Taman Melaka Raya yang dijangka siap lima tahun lagi.


AYER KEROH – Melaka bakal berubah wajah menjadi pusat pelancongan terkemuka dunia apabila tertubuhnya Melaka Gateway yang diyakini mampu menarik lebih ramai bilangan pelancong ke negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, projek bernilai RM40 bilion itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 16 hektar di Pulau Melaka.

Projek yang akan menjadi mercu tanda pusat pelancongan di negara ini dijangka akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Februari depan.

“Projek ini bakal membangunkan kemudahan hotel, premis perniagaan, tapak pelancongan rekreasi, taman tema, muzium dan pelbagai lagi untuk kunjungan pelancong.

“Ia akan memberi satu daya penerus kemajuan Melaka dengan pembangunan ini selain menikmati kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Seri Negeri, di sini, semalam.

Katanya, pembangunan itu akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat tempatan dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun lagi.

Sinar Harian 

Apple pulangkan RM106.8juta kepada pelanggan


WASHINGTON: Apple telah bersetuju untuk memulangkan sekurang-kurangnya 32.5juta dollar atau RM106.8juta kepada para pelanggannya di Amerika Syarikat atas pembelian atas talian aplikasi kanak-kanak dari Apple Store miliknya yang dibuat tanpa kebenaran ibu bapa.

Langkah itu bakal dilaksanakan selepas Apple bersetuju terhadap perjanjian dengan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat, FTC.

Pengerusi FTC, Edith Ramirez berkata, Apple gagal memberitahu kepada ibu bapa terhadap tempoh bukaan selama 15 minit yang membenarkan kanak-kanak terus membuat pembelian tanap perlu memasukkan kembali kata laluan.

Apple turut diminta oleh FTC bagi menukar prosedur pengebilan bagi memastikan pelanggan mendapat atau diberi kebenaran sebelum mereka dicaj untuk pembelian aplikasi dalam talian dan syarikat pengeluar telefon pintar itu juga telah memperuntukan minimum 32.5juta dollar untuk dipulangkan kepada pengguna serta tiada had maksima.

Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook berkata, Apple tidak akan melawan perintah FTC kerana syarikat itu telah sekian lama menuruti amalan yang ditetapkan kawal selia Amerika Syarikat dan enggan terlibat dengan pertelingkahan panjang di mahkamah.

Tambahnya, Apple telah menghantar 28 juta emel kepada pengguna App Store untuk menawarkan pembayaran balik, dan telah menghantar poskad apabila ada antara emel-emel terbabit gagal disampaikan. - AFP 

Rahsia awet muda Raja Ema

Raja Ema
Raja Ema


BERGELAR seorang ibu, pelakon dan penyanyi dalam satu masa bukanlah perkara mudah, sebaliknya memerlukan kesihatan dan tenaga yang mencukupi untuk memastikan tanggungjawab dipikul dapat dilaksanakan dengan baik.

Perkara yang sama turut dirasai oleh selebriti popular era 80-an, Raja Ema yang kini kembali mewarnai industri hiburan tanah air.

Baginya, kesihatan tubuh badan amat penting buat seseorang wanita untuk tampil lebih cantik dan bertenaga.

Walaupun tidak memiliki masa luang yang banyak, ibu kepada dua orang anak lelaki, Putera Amar, 19, dan Putera Alqasha, 17, ini sentiasa mencuri masa untuk melakukan aktiviti bersenam bagi memastikan kesihatannya berada dalam keadaan yang baik.

Istimewa kali ini, Raja Ema tidak lokek berkongsi rahsia kecantikannya bersama peminat. Jom kita ikuti wawancara ini...
Antara kecantikan dan kesihatan, mana yang lebih anda utamakan?

Saya pilih kesihatan dan sentiasa mementingkannya. Bagi saya, kecantikan seseorang bermula daripada penjagaan kesihatan. Kalau cantik tapi tidak sihat pun tidak ada gunanya.

Sibuk dengan aktiviti kerjaya, bagaimana anda kelihatan sentiasa bertenaga?

Untuk sentiasa kelihatan bertenaga, sudah tentu saya amalkan senaman. Bukan sahaja menyanyi, berlakon juga memerlukan tenaga yang mencukupi, tambahan pula waktu penggambaran tidak menentu.
Bagaimana cara anda bersenam?

Kalau ikutkan memang saya tidak ada masa untuk bersenam tapi demi kesihatan, saya curi masa dan lakukannya di rumah dengan pergerakan senamrobik menerusi video kerana itulah cara paling murah dan mudah. Paling kurang saya buat tiga kali seminggu.

Selain bersenam, adakah anda mengamalkan diet?

Maklumlah, bila usia sudah meningkat, berat dan bentuk badan yang ideal memang sukar untuk dikekalkan. Jadi mamang saya amalkan diet tapi tidaklah terlalu ketat. Tapi saya cuba elakkan pengambilan makanan yang tidak berkhasiat dan yang paling penting, setiap hari saya akan minum tiga liter air kosong.

Seperti yang diketahui umum, anda pernah menjalani rawatan kosmetik...

Dalam usia saya yang semakin meningkat ini, penampilan perlu dijaga, bila memasuki peringkat umur macam saya ini, kulit-kulit memang tidak tegang macam zaman muda dahulu. Atas sebab itu, saya mengambil keputusan untuk menjalani rawatan thread lift bagi mengekalkan kecantikan dan awet muda. Rawatan ini, tidak melakukan sebarang pembedahan cuma ianya adalah prosedur yang normal dan tiada sebarang penggunaan botoks dan sebagainya.

Apakah tip penjagaan kulit yang diamalkan?

Sama seperti wanita lain, penjagaan kulit saya menggunakan beberapa produk yang bersesuaian dengan kulit bagi memastikan ianya dilindungi dengan baik. Sebab kalau masa penggambaran, kadang-kadang saya terdedah kepada cuaca dan pemakaian solekan juga akan memberi kesan.
Adakah anda amalkan pengambilan suplemen?

Ya, saya memang ada ambil beberapa suplemen. Saya akui pengambilan suplemen ini mampu membantu mempercepatkan proses penjagaan kulit, berat badan dan juga memberi lebih tenaga.

Berapa kerap anda mendapatkan rawatan di pusat kecantikan?

Sebenarnya, saya memang jarang pergi ke pusat kecantikan kerana lebih selesa dengan penjagaan yang tersendiri.

Perkembangan terkini?

Sekarang saya sibuk dengan karier lakonan dan sedang menjalani penggambaran dua telemovie untuk siaran RTM iaitu Maya dan Kata Hati. Untuk nyanyian pula, saya juga ada menerima undangan nyanyian untuk majlis-majlis keramaian.

Bagaimana anda membahagikan masa antara kerjaya dan seorang ibu?

Saya memang akui setiap hari sibuk dengan kerjaya lakonan dan juga nyanyian. Tapi itu bukan alasan untuk saya abaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada dua putera kesayangan saya. Walau sibuk bagaimanapun dalam seminggu, sehari saya akan luangkan masa bersama untuk lakukan aktiviti-aktiviti yang menarik dan pada masa yang sama berinteraksi untuk mengetahui perkembangan mereka.

Sumber: Sinar Harian 

Proton jangka keluar kereta hibrid akhir 2014

Proton

PUTRAJAYA - Proton Holdings Berhad (Proton), anak syarikat DRB-HICOM, dijangka mengeluarkan kereta hibrid pada akhir tahun depan.

Pengerusi Eksekutif Proton Tan Sri Mohd Khamil Jamil berkata Proton, pengeluar kereta nasional, kini dalam usaha mencari jalan dan cara inovatif untuk mengeluarkan dan memasarkan kereta hibrid berkenaan.

"Kami masih lagi berusaha dengan projek itu. Kami akan menyiapkan teknologi baharu itu menjelang akhir 2014," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Proton Perdana berwajah baharu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Perdana Putraja di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khamil berkata Proton dijangka melancarkan Kenderaan Elektrik (EV) menjelang akhir tahun 2015.

"Protaip kereta EV sudah siap dan kami kini dalam peringkat percubaan untuk memastikan ia memenuhi spesifikasi tempatan," katanya. - Bernama

Sedih: Water Front Marang tak terurus

Water Front Marang tak terurus
Sebuah bangunan kayu berciri tradisional dipercayai dahulunya digunakan sebagai pusat perniagaan kini rosak teruk.


MARANG - Kawasan riadah dan rehat Water Front berhampiran jeti ke Pulau Kapas di Bandar Marang dekat sini, didakwa tidak terurus dan gagal diselenggara dengan baik.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan riadah tersebut mendapati terdapat sebuah bangunan kayu berciri tradisional dekat jeti itu dipercayai dahulunya digunakan sebagai pusat perniagaan, kini rosak teruk sekali gus mencacatkan pemandangan.

Keadaan itu juga menjejaskan nama baik PBT selain masyarakat tempatan.

Taib Mohd, 60, yang sering berbasikal ke situ berkata, sudah pasti pelancong asing mempunyai pelbagai tanggapan buruk terhadap kawasan rehat ini kerana mereka perlu melaluinya untuk tiba di jeti ke Pulau Kapas.

Menurutnya, hanya deretan bangunan kedai yang tersusun dan sebuah surau terjaga di jeti berkenaan menyelamatkan keadaan Water Front yang dirasmikan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh pada 2007 itu.

“Selain daripada kerja pembinaan menambah baik sedang berjalan, masalah paling teruk berlaku di sekitar kawasan riadah ini ialah sampah dibuang merata-rata.

“Sampah dan bahan pembinaan bersepah menyebabkan kami sebagai penduduk di sini malu dengan pelancong," katanya.

Kata Taib, kemudahan itu sepatutnya dijaga dan diselenggarakan kerana ramai pelancong yang ingin bercuti ke Pulau Kapas melalui kawasan riadah dan rehat tersebut.

Sinar Harian 

Karnival Proton Melaka: 80 kereta untuk pandu uji

Proton

SEBANYAK 80 kereta Proton terdiri pelbagai model disediakan untuk pandu uji pada Karnival Jualan Proton selama tiga hari, kali ini akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.

Proton Holdings Berhad dalam kenyataan hari ini menyatakan karnival bermula Jumaat ini dianjurkan berikutan kejayaan karnival serupa yang diadakan November lepas di Shah Alam.

"Sepanjang acara tiga hari itu, peserta berpeluang pandu uji pelbagai modelkereta Proton termasuk modal terbaru seperti Suprima S, Preve dan Satria Neo R3," menurutnya.

Pada karnival itu, diskaun menarik turut ditawarkan bagi model terhad 2013 dan promosi jualan alat ganti model terpilih sehingga 60 peratus dengan sesetengahnya boleh dibeli serendah RM1.

Selain itu, turut ditawarkan pakej kewangan istimewa dari segi bayaran ansuran bulanan dan kadar faedah di samping pelbagai aktiviti kekeluargaan dan persembahan oleh artis tempatan.

Karnival serupa akan dianjurkan di Juru Auto-City Pulau Pinang dari 25 hingga 26 Januari, menurut kenyataan itu. - Bernama

Alasannya: 'Saya tak tahu ia salah'

'Saya tak tahu ia salah'
Mohamad Arif mengaku bersalah memiliki pedang samurai di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam


KUALA TERENGGANU - “Saya langsung tidak tahu memiliki pedang samurai itu adalah satu kesalahan, sebab itu saya sentiasa membawanya,” demikian alasan Mohamad Arif Mazlan, 21, dalam rayuannya selepas mengaku bersalah memiliki pedang samurai di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Walau apa jua alasan diberikan, Mohamad Arif dari Jalan Tanjong Kampung Baru, Kertih, Kemaman, tetap menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman denda RM800 atau berdepan lapan bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Semua hukuman itu diputuskan selepas Mohamad Arif mengaku bersalah dengan sengaja memiliki sebilah pedang samurai iaitu senjata dijadualkan dalam jadual kedua, Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Dia mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 itu di tepi jalan Kampung Pasir Puteh, Marang, antara jam 12.45 tengah malam hingga 1 pagi, 12 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mahathir Mohd Yusof di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi, manakala Mohamad Arif tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Mohamad Arif yang memandu Perodua Kenari dari arah Kuala Terengganu ke Dungun ditahan dalam satu sekatan jalan raya di hadapan Balai Polis Merchang kira-kira jam 12.45 malam, 12 Januari lalu.

Bagaimanapun, Mohamad Arif tidak memberikan kerjasama sebaliknya melarikan diri ke arah Dungun sebelum polis bertindak mengejar dan berjaya menahannya di Kampung Pasir Putih, Merchang, Marang.

Hasil pemeriksaan, polis menemui sebilah pedang samurai yang disimpan dalam bonet belakang sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Sinar Harian 

ICJ: Sijil pengiktirafan 'Sultan Melaka' palsu


Idris Haron
Idris Haron


MELAKA - Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengesahkan sijil pengiktirafan sebagai waris kesultanan Melayu Melaka milik Noor Jan Tuah adalah palsu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka telah menerima surat daripada pihak ICJ di the Hague, Belanda, pada September tahun lalu menyatakan Noor Jan sebagai pembohong.

“Kenyataan Noor Jan adalah pembohong besar jelas dinyatakan dalam pengakuan pihak ICJ yang ditulis kepada kami,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri di sini, semalam.

Baru-baru ini, Idris menerima surat daripada Noor Jan yang mahu perbincangan dilakukan bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai ‘Sultan Melaka’ kerana mendakwa beliau telah mendapat pengiktirafan daripada ICJ.

Noor Jan, 57, bagaimanapun ditahan polis pada 10.50 pagi kelmarin di jeti Anjung Batu, Umbai dekat sini sebelum sempat menaiki bot ke Pulau Besar untuk melakukan aktiviti bersama pengikutnya.

Sinar Harian 

Terkejut guna wang palsu RM20

Terkejut guna wang palsu
Sukar dibezakan wang didakwa palsu (atas) dan wang asli kecuali wang asli kelihatan lebih panjang.


KUANTAN – Seorang kakitangan awam, Mohammad Naharuddin Awang, 48 terkejut apabila wang kertas RM20 yang digunakan untuk membayar barangan di sebuah pasaraya di dakwa palsu oleh kakitangan premis berkenaan.

Setelah diteliti oleh jurujual bertugas, wang kertas berkenaan dikembalikan semula kepadanya dan dia terpaksa menggunakan wang lain walaupun pada pandangan mata kasar duit itu kelihatan tulen.

Mohammad Naharuddin berkata, pada 11 Januari lalu dia mengunjungi sebuah kedai makan di sekitar daerah ini untuk membeli makanan dan menggunakan wang RM50.

Menurutnya, tanpa sebarang syak wasangka wang baki bernilai kira-kira RM30 termasuk sekeping RM20 diterima dan terus disimpan.

“Kira-kira jam 10.00 malam saya bersama keluarga ke sebuah pasaraya di Tanah Putih dan saya menghulurkan sekeping RM20 kepada anak untuk membuat bayaran.

“Jurujual bertugas terus menilik wang kertas berkenaan dan memanggil penyelia bagi memastikan sama ada ia palsu atau wang asli.

“Setelah diperiksa, penyelia berkenaan memulangkan wang berkenaan memandangkan kemungkinan besar ia adalah palsu,” katanya kepada Sinar Harian.

“Saya rasa pemilik kedai sendiri tidak tahu sekiranya wang itu adalah palsu dan jika ada satu tidak mustahil masih banyak di pasaran.

“Saya juga bertindak membuat laporan polis di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi mengelak wang berkenaan terus digunakan dalam pasaran dan tidak mahu lebih ramai terkena.

“Pihak polis memaklumkan wang berkenaan akan dihantar ke bank negara untuk diselidik bagi memastikan statusnya.

“Dari pandangan mata kasar, memang tiada langsung perbezaan jika dibandingkan dengan wang kertas RM20 yang asli tetapi bentuknya sedikit pendek dan terdapat hanya sedikit sahaja perbezaan.

“Pada kebiasaannya hanya wang bernilai RM50 dan RM100 mempunyai mesin pengimbas bagi memastikan ia palsu atau tidak tetapi RM20 peniaga tidak menggunakannya,” katanya.

Sinar Harian 

Insiden Bukit Tabur: Hobi bertukar tragedi

Insiden Tabur: Hobi bertukar tragedi
Anggota Bomba dan Penyelamat mengangkat mangsa, Soleha Abd Rahman yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 60 meter di Bukit Tabur, Taman Melawati.


AMPANG – Minat seorang penuntut sebuah universiti tempatan terhadap aktiviti lasak membawa padah, apabila hobi itu akhirnya meragut nyawanya dalam kejadian awal pagi semalam.

Mangsa, Soleha Abdul Rahman, 25, dilaporkan terjatuh dari Bukit Tabur kira-kira 60 meter ke dalam gaung selepas mendaki bersama kakak dan rakannya kira-kira jam 10.40 pagi.

Ketua Pusat Operasi Bomba dan penyelamat Selangor, Amer Haizal Sahak berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 1.46 petang.

Menurutnya, seramai 55 anggota polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang mengambil masa selama tiga jam.

“Mangsa dikeluarkan dari gaung pada jam 2 petang, sebelum bantuan dari anggota helikopter unit udara bomba tiba kira-kira jam 3.30 petang.

“Mangsa ditarik ke atas dengan menggunakan pengusung dan dibawa keluar dengan helikopter,”katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira jam 4 petang untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa yang mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan disahkan meninggal dunia kira-kira setengah jam kemudian,”katanya.

Sementara itu, kakak sulung mangsa yang enggan dikenali berkata, dia tiba di hospital kira-kira jam 3.30 petang, selepas dimaklumkan oleh sahabat adiknya berhubung kejadian.

Menurutnya, Solehah sangat menyukai aktiviti luar tetapi dia tidak menyangka adiknya turut menggemari aktiviti mendaki.

“Saya memang tahu minat dia, tetapi tidak sangka ia boleh mengancam nyawanya.

“Ibu bapa kami yang berada di Manir, Terengganu dalam perjalanan ke sini dan jenazah adik akan dibawa pulang setelah selesai bedah siasat,”katanya.

Difahamkan, mangsa yang merupakan jurusan ekonomi di Universiti Putra Malaysia juga bekerja sambilan di sebuah bank di ibu negara.

Sinar Harian 

83 tahun sekolah tiada kelas

83 tahun sekolah tiada kelas
Murid Sekolah Agama Kampung Pagoh beratur menunggu giliran untuk menggunakan kelas


MUAR – Murid Sekolah Agama Kampung Raja, Pagoh, terpaksa belajar dalam keadaan kurang selesa kerana terpaksa menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Raja sejak 83 tahun lalu.

Situasi itu menimbulkan rintihan ramai ibu bapa yang mahu anak mereka belajar di sekolah agama dengan bangunan sendiri.

Susulan itu, pihak berkenaan bertindak membina bangunan baru sekolah itu pada jarak 0.5 kilometer daripada SK Kampung Raja.

Malangnya, bangunan yang dibina pada 2008 dengan anggaran kos lebih RM1 juta tersebut terbengkalai meskipun pembinaannya telah siap 90 peratus.

Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Kampung Raja, Azman Hashim berkata, bangunan dua tingkat yang mempunyai empat bilik itu sepatutnya boleh digunakan setahun lalu.

“Kita kenal pasti projek ini terbengkalai kerana pendawaian dan jalan utama masuk ke sekolah masih belum disiapkan.

“Masalah jalan masuk utama pula disebabkan pemaju tidak mengikut spesifikasi yang betul. Pintu utama sekolah itu berdepan kebun kelapa sawit penduduk dan untuk membuat jalan perlukan kebenaran serta pampasan,” katanya.

Raja Azman berkata, sekolah agama berkenaan didirikan di atas tanah wakaf seluas kira-kira 0.5 hektar, sumbangan seorang dermawan dikenali sebagai Mohd Nor Ismail.

Katanya, ketika ini, sekolah itu mempunyai 140 murid daripada darjah satu hingga darjah enam daripada lapan kampung berhampiran, dan jumlah murid bertambah setiap tahun.

“Pelajar datang dari Kampung Raja, Kampung Tengah, Kampung Selancar, Kampung Bukit Panjang, Kampung Tangga Aur, Kampung Olak Sepam, Kampung Gelam, Kampung Semeriut dan Kampung Brohol.

"Masalah makin meruncing apabila pihak sekolah kebangsaan mahu menggunakan empat kelas yang dipinjamkan untuk aktiviti kelas tambahan dan murid sekolah agama terpaksa belajar di kantin.

“Lebih menyulitkan apabila guru sekolah agama tidak mempunyai bilik guru dan menggunakan bilik stor menyimpan barang serta bilik operasi simpanan kitab yang tidak mempunyai kemudahan lengkap," katanya.

Menurutnya, masalah berkenaan telah dirujuk kepada Pejabat Pendidikan Agama Daerah (PPAD) Muar.

“Bagaimanapun, tindakan perlu diambil tertangguh kerana PPAD Muar perlukan persetujuan bertulis pemilik kebun sawit untuk menggunakan tanah mereka," katanya.

Sinar Harian 

Tumbuk Kamalanathan: Umno beri surat tunjuk sebab

Tengku Adnan

KUALA LUMPUR - Umno akan memberikan surat tunjuk sebab kepada seorang anggotanya yang didakwa telah menumbuk Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan baru-baru ini, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, surat itu perlu dijawab individu terbabit, Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Hulu Selangor, Muhammad Rizuan Suhaimi sebelum tindakan lanjut diambil.

"Umno memandang serius terhadap tindakan tersebut dan kepimpinan tertinggi parti berasa kesal dengan insiden itu dan menganggapnya sebagai tidak sewajarnya berlaku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Adnan berkata, Umno menolak tindakan kekerasan dalam apa-apa penyelesaian masalah sebagaimana yang telah dilakukan oleh pihak terbabit terhadap Kamalanathan yang juga Anggota Parlimen Hulu Selangor.

Katanya, dalam apa-apa hal pun, pendirian Umno tetap teguh kepada penyelesaian masalah secara bermesyuarat dan perbincangan tanpa ada pertelingkahan atau bentuk kekasaran yang tentunya hanya akan mengundang keadaan lebih buruk.

Pada kejadian Ahad lepas, Kamalanathan dilaporkan ditumbuk oleh seorang lelaki di pejabat wakil rakyat itu selepas satu program dianjurkan di kawasan berkenaan. -- BERNAMA 

Kemalangan van sekolah di Pakistan ragut 19 nyawa



KARACHI: Sekurang-kurangnya 19 orang termasuk 17 kanak-kanak terbunuh di Pakistan pada Rabu apabila van sekolah yang dinaiki mereka merempuh sebuah trak muatan berat.

Kemalangan tersebut berlaku berhampiran bandar Nawabshah kira-kira 270 kilometer ke utara Karachi wilayah selatan Sindh.

Kanak-kanak yang terbunuh yang juga merupakan pelajar Bright Future School yang terletak berhampiran bandar Daulatpur yang dipercayai menyertai rombongan sekolah ke Nawabshah.

Van mereka dalam perjalanan pulang ke Daulatpur ketika kemalangan itu berlaku.

"19 mayat telah dikenalpasti dan 17 daripadanya adalah kanak-kanak” kata Ketua Hospital Awam Nawabshah Doktor Hashim Langa.

" Kanak-kanak yang terlibat adalah dalam lingkungan umur lima hingga 16 tahun” katanya kepada AFP.

Menurut Hashim lagi, 15 hingga 20 orang yang cedera masih dirawat di hospital. Polis berkata punca kemalangan mungkin disebabkan pemandu memandu dalam keadaan bahaya.

"Kami sedang menyiasat punca kemalangan, namun perkara ini mungkin berpunca dari kecuaian salah seorang pemandu” kata Pegawai Kanan Polis Asif Ali Pechuho kepada AFP.

Pemandu van sekolah adalah antara mangsa yang meninggal dunia.

Pakistan merupakan negara yang mempunyai rekod kemalangan maut paling buruk di dunia. 

- Agensi

Lima pekerja Bangladesh nyaris maut kebakaran di Menara Tradewinds

Tradewinds


KUALA LUMPUR: Pihak bomba mengesahkan berlakunya kebakaran di Menara Tradewinds, Jalan Raja Laut seperti yang dilaporkan orang ramai di media sosial sejurus ianya berlaku petang tadi.

Menurut bomba lagi, lima daripada mangsa yang terperangkap di tingkat 27 bangunan tersebut berjaya menyelamatkan diri, manakala lima lagi diselamatkan bomba dari tingkat 31.


Tradewinds

“Pihak bomba menerima laporan pada pukul 4:46 petang dan jentera bomba pertama tiba adalah dari Balai Bomba Titiwangsa” kata Penguasa Bomba Farid Norizam Jafri ketika dihubungi Astro AWANI .

Sementara itu, ketika dihubungi Ketua Operasi Pegawai Kanan Bomba Cawangan Titiwangsa Imam Bukhari Susami memaklumkan sehingga pukul 10:30 malam tadi kebakaran masih tidak dapat dipadamkan sepenuhnya malah merebak ke tingkat lebih tinggi.

“Kebakaran telah merebak sehingga tingkat 30 dan pihak bomba juga mengalami masalah bekalan air yang menyebabkan proses pemadaman api mengambil masa lebih lama” katanya kepada Astro AWANI.

Selain itu, menurut laporan Bernama, lima mangsa yang terlibat adalah pekerja Bangladesh.

Kelima mereka nyaris maut terhidu asap tebal kerana terperangkap hampir dua jam di dalam kebakaran tersebut.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail kesemua mangsa dalam keadaan lemah namun stabil kerana agak lama terhidu asap tebal.

"Kesemua mangsa yang berusia lingkungan 20-an, terperangkap di tingkat 30 kerana berlaku kebakaran di tingkat 27 hingga 29 bangunan berkenaan. Mangsa dalam keadaan stabil namun masih lemah kerana agak lama terhidu asap tebal," katanya kepada Bernama.

Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat pemotongan saluran pendingin hawa di tingkat 27, bangunan 36 tingkat itu.

Bangunan yang terletak berhampiran Menara Tun Razak itu juga sedang mengalami proses pengubahsuaian.






Source: ASTRO Awani  

Tertawan keikhlasan menantu

Tertawan keikhlasan menantu
Pasangan pengantin diarak menaiki tandu sebelum majlis persandingan mereka yang berlangsung di Rumah Rakyat Dangi, semalam.


KUALA PILAH– "Keikhlasannya yang datang bertemu saya untuk memohon restu hubungannya dengan anak saya membuatkan saya bersetuju untuk merestui hubungan mereka," luah ketua keluarga campur, Sin Yeow Kong, 52.

Anak Yeow Kong, Norhafizatun Nisa Sin Abdullah, 21, memeluk Islam lapan bulan lalu bertemu jodoh dengan pasangannya, Mohd Hafizie Ramli, 25, dan selamat diijabkabulkan pada 13 Januari lalu di Pejabat Agama Islam Kuala Pilah.

Majlis persandingan mereka pula berlangsung di Rumah Rakyat Dangi, semalam.

Yeow Kong berkata, dia menerima dengan hati terbuka apabila anaknya bertemu jodoh dengan orang Islam.

“Saya tidak menghalang mereka untuk meneruskan perkahwinan. Lagipun, saya pun berkahwin dengan isteri, S Kanama, 47, berketurunan India dari Masai, Johor manakala anak nombor tiga berkahwin dengan orang Thailand.

“Jadi, hubungan ahli keluarga kami sangat unik kerana terdapat pelbagai bangsa dan agama,” katanya yang mempunyai lapan anak.

Malah katanya, walaupun anaknya sudah berkahwin, hubungan mereka tidak akan terputus kerana menantunya bertugas sebagai anggota polis di Balai Polis Dangi.

"Mereka sentiasa ada di sini, jadi hubungan antara bapa dan anak tidak akan terputus walaupun sudah berlainan agama,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada pengantin lelaki, Ramli Mohd Nor, 50, melahirkan rasa syukur di atas kemeriahan perkahwinan anaknya.

“Saya tinggal di Sintok, Kedah dan sudah berada di Dangi pada 12 Januari lalu.

“Saya tiada halangan dan sebagai umat Islam kita bersyukur kerana berjaya menarik seorang lagi insan untuk menjadi umat Rasulullah SAW. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan insya-Allah, kenduri pihak lelaki akan
berlangsung pada 8 Februari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hafizie turut mengucapkan terima kasih kepada bekas Ketua Balai Polis Dangi, Sarjan Mejar Nurhayazi Abdul Rahman dan Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga Dangi yang bertungkus-lumus membantu
menjayakan majlis perkahwinannya.

Katanya, pertemuan dengan isterinya diistilahkan sebagai cinta pandang pertama.

“Pada mulanya, saya bertemu dengan isteri di Rumah Rakyat Dangi yang berada bersebelahan dengan Balai Polis Dangi. Saya sangka, isteri orang Melayu kerana wajahnya iras Melayu, namun selepas diselidik, rupanya dia berketurunan India Cina.

“Bagaimanapun, selepas mengetahui salasilah keluarganya, saya nekad menyuntingnya sebagai isteri,” katanya.

Sebelum majlis persandingan yang bermula pada 1 tengah hari, pasangan pengantin itu terlebih dahulu diarak menaiki tandu dan melihat pertunjukan silat.

Sinar Harian