Thursday 20 August 2015

Dr M minta maaf, yakin masih ramai sokong TSMY

Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali diiringi Naib Canselor, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim di pameran diadakan UTP, semalam.

SERI ISKANDAR – Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas 'kesilapan' memilih penyambung legasi kepimpinan negara ini.

“Saya ingat saya pilih Mr Clean, tapi yang bersih, pilih jadi kotor. Manalah saya tau. Kalau bagi nasihat awal, saya boleh pilih orang lain. Jadi saya minta ampun dan maaflah pada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Bekas perdana menteri itu berkata, ketika pilihan dibuat, beliau hanya melihat individu yang mempunyai rekod bersih dan layak untuk memimpin negara.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan peserta forum ‘Social Evolution in Malaysia: What’s Next?’ di Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini, semalam.

Forum itu membincangkan topik potensi pemimpin yang diputuskan bagi menyambung legasi kepimpinannya sebelum beliau melepaskan jawatan perdana menteri pada 31 Oktober 2003 setelah menyandang posisi nombor satu itu selama 22 tahun bermula 16 Julai 1981.

Dr Mahathir kemudian melantik Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menggantikannya manakala Datuk Seri Najib Tun Razak pula mengambil alih kerusi Abdullah pada 3 April 2009 hingga sekarang. 

Menurut Dr Mahathir, keadaan negara kini sudah berubah menjadi lebih kotor apabila sistem perundangan sedia ada tidak lagi boleh dipraktikkan seperti mana diharapkan.

“Bila ada orang kata cash is king....susahlah. Ideanya, kita beri wang, mereka akan suka dan sokong kita. 

“Tapi nak bagi orang duit, kita kena ada duit," katanya sinis.

Menjawab persoalan dibangkitkan seorang ahli Umno mengenai kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan daripada Kabinet Najib, Dr Mahathir berkata, pihaknya yakin, ramai ahli parti itu masih menyokong untuk Muhyiddin dikekalkan sebagai timbalan perdana menteri.

"Isu ini (pengguguran Muhyiddin) banyak kontroversinya. Ada yang duit tiba-tiba hilang, ada pula yang tiba-tiba masuk dalam akaun sendiri. Mungkin ada baiknya dia (Muhyiddin) waktu jadi timbalan dulu, jangan banyak bertanya... inilah kesannya.

“Tapi saya yakin, kalau tanya ahli Umno, ramai masih suka Muhyiddin jadi TPM,” katanya.

Pada era Mahathir sebagai perdana menteri, tiga daripada empat timbalannya tidak sempat diangkat untuk menggantikan beliau melainkan Abdullah. Mereka ialah Tun Musa Hitam yang meletak jawatan timbalan perdana menteri, Tun Ghafar Baba (kalah pemilihan jawatan Timbalan Presiden Umno kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1993) dan Anwar yang dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan Timbalan Presiden Umno pada 1998.

Pada forum yang sama, Dr Mahathir mengakui tiada keperluan bagi kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) seperti diumumkan Najib baru-baru ini.

Mengikut cadangan itu, JKNMPP bertujuan merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti, komprehensif dan inklusif. 

“Buat apa? Ia bukan mengenai penubuhan jawatankuasa pun, jadi tak perlu tubuh jawatankuasa. Cukuplah,” tegasnya.

Dr Mahathir kemudian mengingatkan hal wujudnya had tertentu di sebalik erti kebebasan yang diamalkan di negara ini bagi menjaga hubungan dalam komuniti.

“Anda boleh bercakap apa sahaja atas dasar kebebasan, tapi bila bercakap berkenaan orang lain, ia masih ada hadnya kerana kita hidup dalam komuniti.

“Jika nak lihat keadaan yang lebih baik, kena bijak memilih kebebasan itu. Pilih mana yang baik dan tinggalkan yang buruk,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian

Mayat empat mangsa letupan bom selamat tiba

Wakil Media terpaksa menunggu di luar kawasan MasKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang setelah pihak berkuasa tidak membenarkan mereka masuk untuk membuat liputan ketibaan empat mangsa korban kejadian letupan bom Bangkok, Thailand, Isnin malam.

GEORGETOWN - Mayat empat rakyat Malaysia yang terkorban dalam letupan bom di pusat bandar Bangkok Isnin lepas, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas dekat sini, malam tadi.‎

Mayat Lim Siew Gaik, 49; menantu lelakinya Lee Tze Siang, 33; anak lelakinya Neoh Jai Jun, 20; dan cucu perempuannya Lee Jing Xuan, 4, yang diterbangkan dari Bangkok dengan pesawat Thai Airways TG 425, tiba di LTAPP pada 11 malam.

Turut kelihatan mengiringi kesemua mayat itu ialah anak perempuan Siew Gaik, Neoh Yee Ling, 33, yang terselamat dalam kejadian itu, serta lebih 20 anggota keluarga lain yang menunggu di Kompleks Kargo LTAPP sejak 9 malam tadi.

Turut hadir di LTAPP ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun, Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir serta barisan kepimpinan Barisan Nasional negeri.

Suami Siew Gaik, Neoh Hock Guan, 55, yang turut terselamat dalam kejadian itu, tiba di rumahnya di Taman Dedap, Butterworth kira-kira 5.30 petang semalam.

Suasana suram menyelubungi Kompleks Kargo LTAPP apabila anggota keluarga dilihat menitiskan air dan cuba mengelak pemberita dan jurugambar yang menunggu di pekarangan kompleks berkenaan. 

Usaha pemberita untuk menemubual anggota keluarga mangsa gagal apabila mereka bergegas meninggalkan lapangan terbang itu.

Kesemua mangsa adalah daripada satu keluarga yang bercuti di Bangkok dalam kumpulan tujuh orang.

Difahamkan kesemua mayat akan dibawa ke Hospital Pulau Pinang, sebelum dibawa pulang ke rumah mangsa di Taman Dedap, Butterworth dan Kampung Selamat, Kepala Batas.

Dalam kejadian letupan bom di persimpangan Ratchaprasong berdekatan Kuil Erawan dan pusat beli-belah di Bangkok pada 7 malam (8 malam waktu Malaysia) Isnin lepas, empat rakyat Malaysia terkorban dan tiga lagi cedera.

Mereka adalah antara 20 orang yang maut dan 123 yang cedera akibat letupan bom itu, satu daripada kes keganasan paling buruk di Bangkok dalam tempoh beberapa bulan lepas.

- Sumber: Bernama | 20 Ogos 2015