Wednesday, 4 June 2014

Dr Ika kena penjara

Hasdi yang menyamar sebagai Doktor Ika dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana memperdaya pemilik sebuah klinik di Batu Berendam membayar gaji sebanyak RM8,280 tahun lalu.
Hasdi yang menyamar sebagai Doktor Ika dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana memperdaya pemilik sebuah klinik di Batu Berendam membayar gaji sebanyak RM8,280 tahun lalu.


AYER KEROH - Seorang lelaki menyamar sebagai doktor wanita dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh mahkamah majistret di sini, semalam kerana memperdaya pemilik sebuah klinik sehingga menyerahkan wang hampir RM10,000 daam kejadian tahun lalu.

Hasdi Jamal Aripin, 27, dijatuhi hukuman itu selepas menukar pengakuan dari mengaku tidak bersalah ke mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurul Ezwaney Husin pada prosiding kes itu, semalam.

Hasdi yang didapati menyerahkan Sijil Perakuan Amalan Tahunan palsu menggunakan nama samaran ‘Doktor Nurzulaikha Jamaluddin’ didakwa memperdaya Norman Mohd Norawai, 42, untuk menyerahkan wang gaji berjumlah RM8,280.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Klinik Doktor Norman Sdn Bhd di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, antara 15 Januari dan 11 April tahun lalu.

Ketika rayuan, tertuduh memohon supaya hukuman ke atasnya diringankan kerana dia yang bekerja sebagai guru tuisyen perlu menanggung ibunya yang baru sahaja keluar wad akibat darah tinggi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashaf Abd Hamid meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh yang memalsukan dokumen hingga memperdaya seorang doktor, selain mencemarkan kerjaya doktor sebagai pekerjaan profesional.

Selepas mendengar rayuan dan hujah kedua pihak, Nurul Ezwaney menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Hasdi dan memerintahkan ia bermula semalam.

Pada 14 April 2013, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki berwajah ayu dan bertubuh kecil menyamar sebagai doktor perubatan serta memperdaya lima klinik di daerah ini bagi membolehkan dia diterima bekerja secara sambilan.

Lelaki itu dikenali sebagai ‘Doktor Ika’ yang sering berbaju kurung dan bertudung itu turut memalsukan Sijil Perakuan Amalan Tahunan bagi meyakinkan majikan untuk mengupahnya dengan bayaran maksimum RM45 sejam.

Dia yang tidak pernah menamatkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan dan kejururawatan di institusi pengajian tinggi (IPT) di Johor dan Selangor itu dikatakan memberi lebih perhatian kepada pesakit lelaki yang datang mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, penyamarannya terbongkar apabila sebuah klinik di Batu Berendam menerima aduan seorang isteri pesakit memberitahu suspek sering menghubungi suaminya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Soh Hock Seng berkata, aduan itu kemudian membawa kepada pendedahan penipuan suspek selepas pihak klinik membuat pemeriksaan terhadap latar belakang peribadinya, lalu membuat laporan polis pada 8 April 2013.

- Sinar Harian 

Budak 11 tahun mekanik kereta

Tuan Asyraaf menghabiskan masa luangnya mempelajari ilmu mengenai enjin kereta daripada abangnya yang juga seorang mekanik.
Tuan Asyraaf menghabiskan masa luangnya mempelajari ilmu mengenai enjin kereta daripada abangnya yang juga seorang mekanik.

DUNGUN - Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Biarpun umurnya baru 11 tahun, anak seorang mekanik, di sini, sudah pandai membaiki enjin kenderaan.

Malah Tuan Asyraaf Tuan Muter mula berjinak-jinak dengan kerja membaiki enjin kereta sejak umurnya 9 tahun lagi.

Bakatnya itu diwarisi daripada bapanya, Tuan Muter Tuan Putih, 53, yang membuka bengkel kenderaan di rumah mereka dekat Gong Pasir sebelum dia diserang angin ahmar kira-kira lapan bulan lalu.

“Saya nak jadi mekanik yang berjaya suatu hari nanti, dapat buka bengkel kereta sendiri,” kata murid tahun lima SK Batu 48 itu.

Tuan Asyraaf berkata, dia tidak kisah dipandang sinis oleh rakan sebayanya berikutan dia memilih melakukan pekerjaan yang terpaksa bergelumang dengan minyak dan kotoran.

Katanya, dia yakin kerja membaiki kenderaan yang diminatinya itu memberikan masa depan yang cerah walaupun jika dia gagal dalam pelajaran.

“Kerja baiki kereta juga boleh dapat banyak duit jika dilakukan secara bersungguh-sungguh.

“Apa pun saya bangga dengan pekerjaan ini kerana ia juga satu pekerjaan halal dan boleh menjamin masa depan,” katanya.

Bagaimanapun Tuan Asyraaf berkata, walaupun sangat meminati pekerjaan itu, dia tidak pernah melupakan pelajarannya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, dia cuma melakukan pekerjaan itu selepas pulang dari sekolah, manakala masa terluang cuti sekolah pula dimanfaatkan untuk mendalami ilmu membaiki kenderaan daripada abangnya, Tuan Syed Azhan, 24, yang juga
seorang mekanik.

Katanya, dia kini sudah dapat menguasai kerja asas enjin seperti menukar minyak pelincir, penapis, membuka tayar dan servis enjin.

"Setiap hari saya akan belajar perkara baru berkaitan enjin dan sejak tiga tahun saya membantu abang di bengkel, sudah banyak yang saya pelajari," katanya.

Menurutnya, setakat ini dia banyak membaik pulih kereta buatan tempatan seperti Proton Saga, Wira dan Perodua.

Bagaimanapun, dia bercita-cita mahu mendalami selok-belok enjin kereta buatan Eropah kerana tidak ramai mekanik yang mahir dengan kenderaan import itu.

“Kalau ada peluang, saya nak belajar enjin kereta BMW, Mercedes dan Audi.

“Mana tahu saya dapat jadi mekanik profesional yang mahir tentang enjin kereta mewah suatu hari nanti,” katanya. - Sinar Harian 

Timbalan Menteri Kesihatan dipecat kerana MERS

Mers

RIYADH - ARAB SAUDI. Menteri Kesihatan Arab Saudi memecat seorang daripada timbalannya ketika angka korban sindrom pernafasan akut Timur Tengah (MERS) mencecah 190 orang, menurut satu kenyataan kementerian itu di laman mikro Twitter, hari ini, lapor AFP.

Namun tiada alasan diberikan berhubung pemecatan timbalan menteri, Ziad Memish itu.

Menteri Kesihatan yang sebelum ini, Abdullah al-Rabiah dipecat April lalu tanpa penjelasan rasmi dan digantikan dengan Menteri Buruh, Adel Fakieh, yang menjanjikan ketelusan dalam menyampaikan maklumat kepada media dan orang awam berhubung MERS.

MERS merupakan sejenis virus akut pernafasan misteri berasal dari Timur Tengah yang dilaporkan amat mudah merebak antara manusia sekali gus lebih bahaya berbanding virus SARS.
Virus MERS mula dilaporkan merebak di tanah Arab pada 24 Semptember 2012 dan ia masih belum dapat diubati.

Setakat ini, rekod menunjukkan MERS mula menjangkiti penduduk di Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Perancis, Jerman, Itali dan Tunisia yang mana pesakit pernah menjejakkan kaki ke rantau Timur Tengah.

Penghidap disahkan mengalami simptom seperti demam dan batuk berlarutan selama beberapa hari dan jika tidak diberi rawatan khas, mereka akan meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru.

Pakar tidak menolak MERS berkait rapat dengan virus kelawar walaupun sebahagian daripada mereka mengesyaki ia merebak menerusi haiwan sakit seperti unta atau kambing.

- AFP melalui Sinar Harian 

Kupu-kupu gergasi muncul dipengaruhi banyak faktor

KUANTAN - Kemunculan jutaan kupu-kupu gergasi sejak seminggu lepas di bandar ini menimbulkan banyak tanda tanya dalam kalangan penduduk di sini dan pelancong luar.

Serangga bersayap ini dilihat sangat aktif pada waktu malam dan sering mengurumuni kawasan yang melimpahkan cahaya lampu amat terang.

Malah, ia turut mengerumuni padang Stadium Darul Makmur ketika perlawanan bola sepak Pahang menentang Johor Darul Takzim dalam saingan separuh akhir Piala FA Jumaat lepas.

Profesor Entomogi Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia Profesor Che Salmah Mat Rawi berkata serangga 'misteri' ini dikenali dengan nama saintifiknya Lyssa Zampa Docile.

Beliau berkata pelbagai teori boleh dikaitkan dengan kemunculan kupu-kupu termasuk faktor perubahan cuaca yang menyebabkan peningkatan mendadak serangga itu di bandar ini.

"Lazimnya, serangga ini mendiami kawasan tanah tinggi tetapi ada kemungkinan ia boleh didapati dengan banyak di kawasan penanaman atau kawasan pembangunan terutama pada Mei hingga Ogos setiap tahun.

"Serangga yang bersifat nokturnal ini sangat aktif pada waktu malam dan akan mudah tertarik dengan cahaya lampu. Pada siang hari, ia akan berehat dan mendiami kawasan teduh dan sejuk seperti di bumbung-bumbung rumah atau di kaki pokok-pokok besar," katanya ketika dihubungi di sini.

Prof Che Salmah berkata faktor tarikan lampu, perubahan cuaca, banyak sumber makanan serta tiada musuh yang mengancam keselamatan serangga ini turut mempengaruhi kemunculannya.

"Walaupun kajian menyatakan serangga ini tidak beracun, namun ia boleh menyebabkan kegatalan pada kulit jika disentuh.

"Bulu pada kepak serangga ini juga boleh mengganggu penafasan dan amat sensitif terhadap penghidap penyakit lelah," katanya. - Bernama

Fakta menarik mengenai pasangan panda Fu Wa dan Feng Yi

Pasangan panda dari negara China, Fu Wa dan Feng Yi dari Chengdu, China telah diterbangkan ke Malaysia untuk dipinjamkan selama 10 tahun.

Dalam tempoh tersebut, Malaysia akan membayar sekitar RM3 juta kepada China untuk penjagaan haiwan tersebut.

Untuk menempatkan pasangan panda, dianggarkan RM25 juta dibelanjakan untuk membina kompleks panda gergasi di Zoo Negara melibatkan kawasan eksibit khas berkeluasan 1.6 hektar.

Berikut adalah fakta-fakta menarik mengenai haiwan dilindungi dan semakin pupus di dunia itu.

Rhys Ifans

Sumber: ASTRO Awani 

Orang Islam bukan Melayu perlu diberi kelonggaran beragama - Gan Ping Sieu


Presiden bersama CENBET, Gan Ping Sieu. Foto BERNAMA



KUALA LUMPUR: Orang Islam bukan Melayu atau Mualaf sepatutnya dibenarkan memeluk agama pilihan mereka, sebagaimana mereka dibenarkan memeluk agama Islam pada sebelumnya, kata Presiden bersama CENBET, Gan Ping Siew.

Menurutnya, ini adalah untuk mengelakkan tercetusnya ketegangan kaum seperti yang berlaku semasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu sebuah majlis perkahwinan yang diadakan di sebuah kuil di Petaling Jaya, dua hari lepas.

Kata Ping Sieu kedudukan kaum Melayu dalam Perlembagaan telah pun diterangkan dimana jika seseorang Melayu Islam itu keluar dari agamanya, bermakna ia lari dari identitinya.

Bagaimanapun ujarnya, definisi tersebut tidak tertakluk kepada orang-orang bukan Melayu yang memeluk Islam.

"Satu penyelesaian perlu diwujudkan bagi golongan Mualaf dan bagi pemohon tulen dalam kes-kes yang luar biasa. Sebagai contoh, dalam kes perkahwinan Hindu baru-baru ini, pengantin India 'Muslim' tersebut telah dibesarkan oleh keluarga bukan Islam sejak kecil dan tidak pernah mengamalkan ajaran Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ping Sieu turut memetik ayat 256 di dalam Surah Al-Baqarah yang mengatakan "tiada paksaan dalam beragama".

Jelasnya, perkara ini perlu ditangani pihak kerajaan negeri untuk menyediakan mekanisma bagi pemohon memeluk agama lain kerana urusan hal ehwal agama Islam tertakluk di bawah kerajaan negeri.

Katanya dengan ketiadaan mekanisma tersebut, adalah hampir 'mustahil' untuk seseorang Mualaf meninggalkan agama (Islam) yang telah dipeluknya.

"Dengan ketiadaan jalan penyelesaian. mereka tiada pilihan selain 'mencabar pihak berkuasa' - yang kebiasaannya mendalamkan lagi perselisihan antara kaum dan agama dalam negara apabila mereka berbuat demikian,' katanya.

Sementara itu, beliau menyelar tindakan JAIS menyerbu kuil berkenaan sambil menyifatkan tindakan itu sebagai 'tidak munasabah dan tidak sensitif'.

Beliau juga berpendapat bahawa JAIS perlu memohon maaf atas 'pencerobohan biadap' tersebut kerana menurutnya serbuan itu bukanlah tindakan wajar yang dilakukan atas nama JAIS.

JAIS, pada 1 Jun telah menyerbu majlis perkahwinan yang dijalankan mengikut adat Hindu di sebuah kuil di Petaling Jaya berikutan aduan pengantin perempuan yang berkahwin itu dipercayai beragama Islam.

Menurut sumber, JAIS menerima aduan sejak Jumaat lalu dan mengarahkan tiga pegawai penguat kuasa menjalankan siasatan, dengan bantuan polis.

- ASTRO Awani 

Perancis eksperimen galak rakyat berbasikal ke pejabat

Tindakan kerajaan Perancis itu mencontohi langkah sama yang dilaksanakan oleh beberapa negara Eropah

PARIS: Kerajaan Perancis memulakan eksperimen selama enam bulan membayar insentif kepada warganya yang berbasikal ke tempat kerja dalam usaha menggalakkan penggunaan basikal untuk kesihatan rakyat, mengurangkan pencemaran udara dan mengurangkan penggunaan bahan bakar, lapor agensi berita Reuters.

Tindakan kerajaan Perancis itu mencontohi langkah sama yang dilaksanakan oleh beberapa negara Eropah yang lain seperti Netherlands, Denmark, Jerman, Belgium dan Britain. Semua negara itu menawarkan pelbagai insentif seperti potongan cukai, pampasan setiap kilometer serta bantuan kewangan untuk membeli basikal.

Di Perancis, lebih kurang 20 buah syarikat dan institusi yang menggajikan sejumlah 10,000 pekerja telah bersetuju untuk membayar kakitangan mereka sebanyak 25 sen euro (lebih kurang RM1.10) bagi setiap kilometer perjalanan dengan basikal ke tempat kerja, kata Kementerian Pengangkutannya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menteri Pengangkutan Perancis, Frederic Cuvillier berkata eksperimen itu akan diperluaskan sekiranya langkah pertama ini menunjukkan hasil yang positif.

Pihaknya berharap skim insentif berbasikal ke tempat kerja ini akan meningkatkan penggunaan basikal sehingga 50 peratus berbanding 2.4 peratus daripada semua jenis pengangkutan dari rumah ke tempat kerja sekarang.

- Agensi

Selepas seminggu hilang, usaha cari Huntley terus diperhebat

Usaha mencari dan menyelamat Gareth David Huntley terus dipergiatkan


PULAU TIOMAN: Selasa, genap seminggu warga Britain, Gareth David Huntley, 34, hilang di Kampung Juara di sini, dan pencariannya terus menemui jalan buntu.

Bagaimanapun, usaha mencari dan menyelamat sukarelawan Pusat Penyu Juara itu terus dipergiatkan dengan penambahan aset dan anggota penyelamat.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata kawasan pencarian Huntley diperluaskan sejauh tujuh kilometer persegi dari lokasi beliau dilaporkan hilang di kawasan Air Terjun Lubuk Teja di Kampung Juara pada Selasa lepas.

Anggota-anggota penyelamat seramai 154 orang merangkumi Polis Pahang, Polis Marin, Rela, Tentera Darat, Bomba dan Penyelamat Pahang dikerahkan mencari dan menyelamat Huntley, katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi Huntley dilaporkan hilang di Air Terjun Lubuk Teja di sini.

Huntley, yang bekerja dan tinggal di Projek Juara Penyu di Kampung Juara, Pulau Tioman dilaporkan hilang setelah pergi ke Air Terjun Lubuk Teja pada hari berkenaan.

Sharifuddin berkata pasukan mencari dan menyelamat turut menambah empat lagi ekor anjing pengesan iaitu dua dari Unit K9 dan dua ekor dari bomba, menjadikan jumlah anjing pengesan tujuh ekor kini.

Seramai 20 anggota VET 69 dari Kem Ulu Kinta, Perak juga akan menyertai misi mencari Huntley pada hari Rabu menjadikan usaha itu kini di tahap maksimum.

Ditanya kemungkinan Huntley pergi ke kawasan air terjun itu atau ke tempat lain, Sharifuddin berkata pihaknya mengambil kira semua kemungkinan kerana sehingga pihaknya tidak mendapat sebarang petunjuk.

"Tadi saya melalui sendiri laluan yang digunakan mangsa untuk ke Air Terjun Lubuk Teja. Saya tengok treknya cantik dan ada diletakkan penanda arah jalan sepanjang jalan, jadi untuk mangsa sesat di laluan kawasan itu atau sebaliknya kita ambil semua kemungkinan itu," katanya.

Sementara itu, ibu Huntley, Janet Southwell, yang berusia 50-an, berkata dia berpuas hati dengan semua usaha yang dilakukan oleh pasukan keselamatan dalam mencari anaknya.

Wanita itu, yang tiba di sini pada hari Isnin dari Britain, berkata beliau kini hanya mampu berdoa dan berharap anak kedua daripada tiga beradik itu segera ditemui dalam keadaan selamat.

Menurutnya Huntley dijangka memulakan kerja baharunya di Singapura pada minggu depan dan mahu menghabiskan cutinya di Pulau Tioman selama 10 hari dengan menjadi sukarelawan di Pusat Penyu Juara.

"Kali terakhir saya bercakap dengannya ialah 10 hari lepas.

"Saya mahu berada di Pulau Tioman apabila mereka menemuinya. Saya yakin ada hasil yang baik...marilah kita berdoa untuk keselamatannya," kata beliau.

Bernama

Umno hantar surat tunjuk sebab kepada ibu Dyana

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor


KUALA LUMPUR - Umno menghantar surat tunjuk sebab kepada Yammy Samat hari ini kerana didakwa berkempen untuk anak perempuannya, Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP pada Pilihan Raya Kecil Teluk Intan baru-baru ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Yammy perlu menjawab surat tunjuk sebab itu dalam tempoh 14 hari bagi dipertimbangkan untuk tindakan seterusnya sebagaimana tertakluk dalam perlembagaan Umno.

"Kita ada proses dan sistem sendiri sebelum ambil tindakan terhadap mana-mana anggota.

"Jika tiada jawapan, terpulang kepada parti sebab tugas saya telah selesai dan saya hanya menjalankan tugas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Guru anjuran Yayasan Pendidikan Cheras di sini, hari ini. 

Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, mengulas desakan sesetengah pihak yang mahu tindakan diambil terhadap Yammy yang didakwa telah berkempen untuk Dyana.

Yammy sebelum ini dilaporkan berkata beliau berharap kekal bersama Umno dan terpulang kepada parti itu untuk menentukan kedudukannya.

Pada PRK Teluk Intan Sabtu lepas, Dyana Sofia, 27, tewas dengan majoriti 238 undi kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong, 53. - Bernama