Thursday, 10 April 2014

'Saya terdesak, tuan'

'Saya terdesak, tuan'
Tertuduh tenang ketika diiring anggota polis untuk dibawa keluar dari mahkamah selepas hukuman dijatuhkan, semalam.


AYER KEROH - “Saya terdesak tuan, saya dah minta kerja di kilang tetapi mereka tidak mahu ambil kerana faktor usia," kata Mohd Zahar Basiron, 43, yang dijatuhi hukuman penjara 3 tahun 6 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Beliau menerima hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas tuduhan cuba merompak sebuah kedai runcit, bulan lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Firdaus Saleh terhadap pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Zahar didakwa cuba melakukan rompakan ke atas kedai milik Lim Terk Loong, 29, di kedai runcit Star Biz Mini Market di Jalan Rambai Jaya 2, Taman Rambai Jaya, kira-kira 8.30 malam pada 6 Mac lalu.

Dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 7 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon supaya dikenakan hukuman ringan terhadapnya yang tidak mempunyai pekerjaan dan perlu menyara dua anak, selain isteri dan ibu.

"Sewa rumah pula sudah empat bulan tertunggak. Isteri saya kena tanggung dua anak, salah seorang kurang upaya (OKU) dan ibu saya berusia 70 tahun. Saya benar-benar insaf dan berjanji tidak akan ulang kesalahan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak yang mengendalikan kes meminta tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran dan tidak mengulangi kesalahan sama.

“Walaupun disebabkan desakan hidup, tindakan dilakukan tertuduh itu salah. Tambahan pula tertuduh menggunakan parang yang bukan hanya mengundang bahaya kepada pemilik kedai tetapi juga pelanggannya,” katanya.

Selepas meneliti fakta kes, mendengar rayuan tertuduh dan faktor pemberat oleh pihak pendakwaan, Mohd Firdaus kemudian menjatuhkan hukuman dipenjara tiga tahun enam bulan dari tarikh ditangkap pada 28 Mac lalu.

Beliau turut memerintahkan tertuduh membayar denda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Sinar Harian 

Sisi bahagia Ashraf, Dayana, Sakinah

Sisi bahagia Ashraf-Dayana-Sakinah

Sisi bahagia Ashraf-Dayana-Sakinah

“TERIMA kasih Sakinah, terima kasih Dayana dan yang paling penting terima kasih Allah kerana mendengar doa-doaku selama ini,” begitulah luahan Ashraf Muslim menerusi laman Instagram yang turut memuat naik foto kelahiran bayi pertamanya.

Menerusi gambar yang dimuat naik itu, membayangkan betapa bahagianya Ashraf, sementelah isteri pertamanya Dayana turut hadir melawat anak pertama mereka. Malah Sakinah, yang baru sahaja melahirkan bayi itu pada Ahad malam lalu, turut berada sama di sisi mereka.

Melihat kemesraan itu, jelas menunjukkan mereka kini semakin bahagia hidup berpoligami.

Teruja dengan kehadiran 'orang baru' dalam kehidupan mereka, Ashraf turut memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dikurniakan bayi perempuan sempurna dengan seberat 2.51 Kilogram itu.

Malah akui Ashraf, kehadiran bayi itu melengkapkan lagi serta merapatkan lagi silaturahim antara mereka sekeluarga.

Bagi Ashraf, ia merupakan saat dan momen indah buat mereka sekeluarga dan mengharapkan semua peminat dan masyarakat mendoakan kesihatan bagi anaknya yang baru lahir.

Sebelum ini kisah poligami mereka pernah menjadi perhatian masyarakat apabila Ashraf bertindak mengahwini Sakinah di Thailand. Bagaimanapun, kini Ashraf berjaya membuktikan mereka mampu bahagia meskipun harus berbahagi kasih.

Sinar Harian 

Masih dail nombor telefon anak

Masih dail nombor telefon anak
Amirtham tidak pernah putusputus cuba menelefon anaknya Puspanathan sejak kehilangan MH370 dilaporkan hingga semalam.


TELOK PANGLIMA GARANG - A Amirtham, 60, ibu kepada penumpang pesawat MH370, S Puspanathan meluahkan rasa terkejut mendengar suara operator sebaik dia mendail nombor telefon bimbit anaknya, selepas sarapan pagi semalam.

Bercerita lanjut, ibu yang masih mengharapkan kepulangan anaknya itu memberitahu, sebelum ini, setiap kali mendail nombor telefon Puspananthan, hanya respons error yang tertera. Tetapi sebaliknya berlaku, semalam.

"Saya sangat terkejut dengar bunyi 'nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi'. Sebab sebelum ini kalau saya dail nombor dia, tiada bunyi apa-apa kemudian keluar perkataan error. Tapi hari ini (semalam) bila saya dengar suara operator, saya betul-betul terkejut," katanya.

Amiratham berkata, kira-kira jam 10.15 pagi semalam, dia tergerak hati mendail nombor anaknya itu selepas menikmati sarapan kuey tiaw goreng yang juga makanan kegemaran Puspanathan.

Dia kelihatan sebak ketika menceritakan kejadian itu sambil mengakui bukan ingin menolak segala kemungkinan yang berlaku. Tetapi dia dan keluarga masih mengharapkan kepulangan Puspanathan walaupun lambat.

Dia memberitahu, jika selepas ini nombor telefon anaknya itu tidak aktif lagi, dia akan terus mendailnya, dan itulah yang dilakukannya semenjak hari pertama kehilangan pesawat MH370 dilaporkan, 8 Mac lalu.

“Walaupun orang kata penemuan pesawat itu sangat sukar sebab dah sebulan berlalu, tapi saya dan keluarga masih harap semua penumpang selamat.

“Saya nak tengok anak saya di depan mata, tak kisahlah dia dalam keadaan apa sekali pun. Saya percaya masih ada harapan,” katanya yang mulai tenang menjawab pertanyaan wartawan.

Dalam pada itu, Amirtham memaklumkan dia juga mesti mengambil sikap berjaga-jaga apabila menerima kunjungan orang awam kerana risau kejadian tidak diingini berlaku kepada keluarganya, lebih-lebih lagi selepas mendengar berita salah seorang ahli keluarga penumpang pesawat MH370 terlibat dalam kejadian samun.

“Saya kena berhati-hati sama ada berseorangan atau ketika bersama saudara-mara di rumah. Apa-apa boleh berlaku. Memang kadang kala saya tak benarkan orang yang tidak dikenali masuk, termasuk pemberita,” katanya.

Sementara itu, adik kepada seorang lagi penumpang MH370, Zurihan Yusop, 43, ketika dihubungi semalam memaklumkan dia juga cuba menghubungi abangnya Muzi, 50, namun tiada perubahan pada talian abangnya itu.

Katanya, dia masih mendengar suara berkomputer menyebut 'nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi, sila cuba sekali lagi.'

“Dari mula kehilangan pesawat, sehingga hari ini saya cuba dail, ia tetap sama dan tidak aktif,” katanya.

Sinar Harian 

Penculik tuntut tebusan RM36.4 juta untuk bebaskan wanita


Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi



KUALA LUMPUR: Penculik dua orang wanita di Resort Singamata, Semporna, Sabah, telah menuntut wang tebusan sebanyak RM36.4 juta untuk membebaskan tebusan.

Menurut laporan The Star, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya telah menerima nota daripada kumpulan penculik tersebut mengenai tuntutan wang tebusan itu.

Namun, Ahmad Zahid telah berkata wang tebusan itu hanyalah untuk salah seorang wanita yang diculik, iaitu pelajar dari China, Gao Hua Yuan, 29.

Seorang wanita Filipina Marcy Dayawan, 40, yang merupakan pekerja Resort itu turut diculik di dalam kejadian malang itu.

Ahmad Zahid berkata pihaknya telah menghantar satu pasukan untuk berunding dengan ‘orang tengah’ yang terbabit dengan perkara itu.

Pada 2 April, tujuh lelaki telah menyerbu Resort itu sebelum menculik dua wanita itu.

Tiga dari suspek tersebut – seorang daripadanya mengenakan topeng muka telah naik ke resort tersebut manakala empat yang lain menanti di dalam bot.

Suspek mengarahkan seorang pekerja di situ yang sedang menonton TV di sebuah bilik supaya mendiamkan diri dan tidak melakukan apa-apa namun disebabkan ketakutan, pekerja tersebut telah bertindak terjun ke dalam laut demi mengelakkan diri dari diapa-apakan oleh penjenayah tersebut.

Mereka kemudian telah membawa lari kedua wanita itu.

Ekoran itu, pihak polis telah menahan empat orang untuk disoal siasat dan membantu penyiasatan.

Semporna adalah sebuah bandar di pantai timur Sabah, yang dilindungi di bawah Timur Zon Keselamatan Sabah ( ESSZONE ) yang ditubuhkan berikutan pencerobohan Lahad Datu oleh lelaki bersenjata Sulu pada Februari tahun lepas.

Astro Awani 

Pelan Catuan Air di Selangor, KL dan Putrajaya masih diteruskan


KUALA LUMPUR: Tiada sebarang perubahan dalam jadual catuan bekalan air di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga keputusan memansuhkannya dikeluarkan kerajaan Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) memaklumkan perkara berkenaan ekoran kekeliruan yang timbul ekoran kenyataan berkaitan kelonggaran pelaksanaan pelan-pelan catuan bekalan air yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam SYABAS, Priscilla Alfred berkata kelonggaran itu merujuk beberapa kawasan catuan mendapat bekalan air seperti biasa disebabkan adanya pengeluaran air tambahan dari loji-loji rawatan air yang terlibat.

"Ini berikutan berlaku sedikit peningkatan paras air Sungai Selangor dan Sungai Langat hasil daripada hujan lebat yang turun kebelakangan ini.

"Pengeluaran tambahan inilah diagihkan ke kawasan-kawasan yang sedang mengalami catuan secara bergilir-gilir mengikut kawasan.

"Ini bermakna akan ada kawasan yang sepatutnya dalam jadual catuan tetapi kekal menerima bekalan air sekurang-kurangnya untuk satu hari atau lebih. Walau bagaimanapun, situasi ini adalah sementara," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, sehingga hari ini, LRA Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi masih lagi beroperasi sejak ianya dibuka semula pada 30 Mac lalu.

Namun jelas beliau operasi kedua-dua loji rawatan air tersebut terus terdedah kepada risiko paras kandungan ammonia di dalam Sungai Langat yang masih belum dapat dipastikan ianya kekal rendah. 

Sementara itu, Priscilla berkata hujan yang turun di sekitar kawasan Sungai Selangor sejak beberapa hari lalu telah meningkatkan sedikit aliran sungai.

"Kesempatan ini diambil oleh kelima-lima loji-loji rawatan air yang berkenaan untuk menambah sedikit pengeluaran masing-masing walaupun berdasarkan kepada maklumbalas dari Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) paras simpanan air empangan Sungai Selangor masih rendah dan kritikal dan pengurangan pelepasan air masih dikawal dan diteruskan oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH)," katanya.

Justeru beliau menasihatkan pengguna di kawasan yang terlibat supaya sentiasa bersedia menghadapi catuan bekalan air seperti yang dijadualkan sekiranya bekalan air tambahan ini tidak lagi dibekalkan oleh loji-loji berkenaan.

Astro Awani

Satu lagi isyarat dari dasar laut di kesan pesawat Australia hari ini



PERTH: Satu lagi isyarat dari dasar laut dikesan sebuah pesawat tentera laut Australia di kawasan carian sama bagi kotak hitam penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Angus Houston berkata pesawat P-3 Orion menerima isyarat di kawasan carian di selatan Lautan Hindi.

“Data bunyi ini bagaimanapun memerlukan analisis lebih lanjut," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Ini merupakan isyarat dari dasar laut kelima dikesan dalam misi pencarian yang dilakukan di selatan Lautan Hindi.

Astro Awani

Usaha mengesan pesawat hadapi pelbagai cabaran

Kapal Australia, Ocean Shield, yang menunda alat pengesan pinger milik Tentera Laut Amerika. --fotoAP

PERTH: Usaha mencari 'tempat persemadian' pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang di Lautan Hindi, di luar pantai barat Australia, berdepan dengan pelbagai cabaran.

Ia menjadi lebih sukar dengan kehadiran lapisan tebal kelodak, yang mungkin meliputi dasar lautan, isyarat yang semakin lemah daripada apa yang dipercayai sebagai kotak hitam pesawat berkenaan dan ketiadaan serpihan untuk membantu mengesan lokasi sebenar pesawat itu berada.

Komodor Peter Leavy, yang menyelaras usaha pihak tentera Australia mencari pesawat itu, memberitahu media bahawa bukti wujudnya kelodak tebal diperoleh daripada penyelidikan yang dilakukan di satu lokasi kira-kira 180km di luar kawasan mencari yang menjadi tumpuan sekarang.

"Usaha mencari secara visual mungkin mengalami banyak halangan kerana bangkai atau sebarang serpihan dengan mudah akan tenggelam ke dalam lumpur," katanya.

Beliau berkata pengelodakan di dasar lautan juga boleh menyekat isyarat yang dipancarkan kotak hitam, berbanding dengan di permukaan pejal seperti batu, yang boleh memantulkan isyarat yang dipancarkan.

Sementara itu, ketua penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) Ketua Marsyal (B) Angus Houston berkata beliau gusar dengan kemerosotan kekuatan isyarat kerana para pencari memerlukan lebih banyak pancaran isyarat untuk membuat analisis terhadap data bagi menentukan lokasi pesawat syarikat penerbangan Malaysia itu berada.

Katanya isyarat berkenaan mungkin semakin lemah berikutan keadaan bateri kotak hitam yang semakin habis kuasa.

Empat isyarat dikesan kapal Australia, Ocean Shield, yang menunda alat pengesan pinger milik Tentera Laut Amerika. Alat itu mampu membuat pengesanan di kawasan enam kali lebih luas daripada kawasan yang mampu diliputi oleh drone yang dilengkapi sonar, kata Houston.

"Lebih jelas Ocean Shield dapat memastikan kawasan yang perlu diberi tumpuan, maka lebih mudahlah bagi kenderaan khas bawah air (Bluefin 21) untuk mencari bangkai pesawat terbabit," katanya.

Kotak hitam yang mengandungi perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit diyakini mampu menjawab persoalan tentang apa yang dialami pesawat MH370 bersama 239 orang di dalamnya, yang menyimpang beribu-ribu kilometer daripada laluan asalnya bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac.

Para pakar mengesahkan bahawa dua isyarat yang dikesan pada Sabtu konsisten dengan isyarat yang datang daripada peranti buatan manusia, dan bukan bunyi semula jadi hidupan marin di lautan itu.

Pesawat MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian ketika berada di ruang udara Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat itu, pada mulanya di Laut China Selatan dan kemudian di sepanjang dua koridor - koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi - apabila MH370 didapati melencong daripada laluan asalnya.

Berikutan analisis yang dilakukan terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit dari United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan bahawa Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

Pada 24 Mac iaitu 17 hari selepas pesawat Boeing 777-200ER itu hilang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 'berakhir di Lautan Hindi'.

Bernama

Kulit bayi tujuh bulan mengelupas dan berdarah selepas keluar hospital

PASIR GUDANG: Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru diminta memberi penjelasan terperinci berhubung penyakit kulit seorang bayi berusia tujuh bulan yang semakin teruk.

Ibu bayi terbabit Naziah Mat Nasir, 25, berkata keadaan kulit anaknya, Muhammad Adam Aryan Muhammad Danial semakin teruk selepas menerima rawatan di hospital berkenaan pada akhir bulan lalu.

Menurutnya, seluruh badan anaknya menjadi kemerahan, mengelupas dan berdarah setelah pihak hospital tersebut membuat pemindahan darah sebanyak tiga kali pada 25, 26 dan 27 Mac.

Kaki kanan bayi itu turut dilaporkan membengkak dan kehitaman.

Naziah membawa Adam Aryan ke hospital untuk rawatan susulan kali kedua akibat kekurangan protien dan darah berkata, beliau telah meminta penjelasan dari pihak hospital berkenaan namun tidak memperoleh sebarang jawapan.

Ekoran kejadian itu, Naziah dan suaminya membuat laporan polis di Balai Polis Seri Alam, Pasir Gudang pada 9 April kerana bimbang dengan keadaan anaknya yang kerap menangis akibat sakit kulit itu serta kurang aktif seperti sebelum kejadian.

Beliau yang ditemui di Pasir Gudang memberitahu, anaknya yang mengalami penyakit kulit Eczema sejak berusia dua bulan dimasukkan ke HSI selama 12 hari bermula 25 Mac lalu.

Pihak hospital kemudian membenarkan anaknya pulang ke rumah pada 7 April walaupun mengetahui keadaan anaknya masih belum pulih.

Akibatnya Muhammad Adam Aryan akan lebih banyak menangis terutama ketika cuaca panas.

Losyen dan krim badan yang dibekalkan pihak hospital itu juga tidak menghentikan tangisan Adam Aryan, ujar Naziah yang kesal dengan tindakan hospital.

Sementara itu, Pengarah Hospital Sultan Ismail, Dr Arbain Lani ketika dihubungi media memberitahu HSI akan menyiasat kes bayi tersebut dan akan menghubungi keluarga bayi itu setelah laporan perubatan selesai.

Astro Awani 

Isu Memali: Dr. Mahathir jawab Musa Hitam


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatakan beliau tidak ingat apakah bekas timbalannya, Tun Musa Hitam ada menasihati beliau supaya menangguhkan lawatan kerja ke China susulan insiden berdarah di Memali pada 19 November 1985.

Dr. Mahathir berlepas ke Beijing untuk lawatan negara sehari selepas kejadian itu.

"Saya tidak ingat yang Tun Musa datang berjumpa saya untuk saya tidak pergi ke Beijing tetapi beliau berada di lapangan terbang bersama dengan ramai orang yang ingin ucap selamat pemergian saya ke Cina.

"Di waktu itu pun saya tidak ingat yang Tun Musa menasihat supaya saya tidak pergi luar negeri," katanya dalam satu makalah di blognya, chedet.cc.

Beliau juga yakin Musa sebagai Timbalan Perdana Menteri dapat menangani keadaan sebagai pemangkunya dan sepanjang berada di luar negara, tidak ada apa-apa yang berlaku yang tidak boleh ditangani oleh timbalannya itu.

Dr. Mahathir menulis makalah itu sebagai menjawab kenyataan Musa baru-baru ini bahawa bekas Perdana Menteri itu berada di tanahair semasa kejadian Memali dan beliau bukan memangku tugas Perdana Menteri.



Forum


Isu siapa yang ada dan tidak ada di dalam negara pada masa kejadian Memali timbul semula selepas Musa dalam satuforum di Kota Bharu, Kelantan pada 27 Mac lepas mendedahkan bahawa Dr. Mahathir berada di Kuala Lumpur "dua tiga hari" selepas insiden itu berlaku.

Dalam satu penjelasan lebih kurang seminggu selepas forum itu, Musa berkata beliau memohon Dr Mahathir supaya menangguhkan lawatan ke China selepas kejadian tersebut antara lain dengan alasan ia memperlihatkan beliau mengambil berat peristiwa yang telah berlaku apatah lagi ia berlaku di Kedah, negeri Dr. Mahathir sendiri.

Menurut Dr. Mahathir, soal beliau kononnya tidak ada dalam negeri semasa kejadian itu bukan disebarkan oleh dirinya sendiri. Malah kata beliau, dalam bukunya -- merujuk kepada memoirnya, A Doctor in the House yang juga diterjemahkan dengan judul Doktor Umum -- beliau tidak sebut perkara itu.

Jelas Dr. Mahathir, apa yang diketahui umum ialah Musa pada masa itu merupakan Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri.

"Sebagai Menteri Dalam Negeri rundingan dan laporan oleh Ketua Polis Negara dibuat kepadanya. Menteri Dalam Negeri juga terlibat dalam memutuskan tindakan yang diambil.

"Jika hanya apabila semua berjalan dengan baik pengakuan bertanggungjawab dibuat, tentulah ini kurang manis," katanya.



Kabinet


Menurut Dr. Mahathir, semasa beliau jadi Perdana Menteri, masalah keselamatan negara dipikul bersama oleh beliau dengan Timbalan Perdana Menteri dan antara mereka, masing-masing memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan atau Menteri Dalam Negeri.

"Amalan ini disebabkan soal keselamatan negara begitu penting," katanya.

Dr. Mahathir juga menarik perhatian kepada tugas Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab atau sekurang-kurangnya merestui tindakan terhadap ancaman keselamatan negara yang besar.

"Tun Musa telah akui beliau bertanggungjawab. Dalam sistem kabinet yang kita amalkan semua anggota kabinet, terutama Perdana Menteri bertanggungjawab," katanya.

Dr. Mahathir juga mempertahankan Musa apabila berkata beliau tidak fikir Musa telah meramalkan akan berlaku kehilangan nyawa dalam kejadian di Memali hasil keputusannya sebagai Menteri Dalam Negeri.

Pada pagi 19 November 1985 itu, polis membuat operasi di Memali untuk menahan Ibrahim Mahmood atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa terlibat dalam kegiatan memecah-belahkan umat Islam.

Dalam serbuan itu, empat anggota polis terbunuh bersama-sama 14 penduduk kampung termasuk Ibrahim.

"Harus diingat bahawa anggota polis dibunuh sebelum polis menembak balas. Amat malang sekali sementara kematian Ibrahim dan pengikutnya diingati, bahkan dilaung sebagai syahid, kematian anggota polis yang menjaga keselamatan kita dilupakan," kata Dr. Mahathir.

Bekas Perdana Menteri itu juga mengakui kejadian itu tidak sepatutnya berlaku tetapi beliau bertanya apakah ia harus dibiarkan melarat sebelum diambil tindakan.

Dewan Rakyat pada Rabu menolak usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar supaya kertas putih berhubung peristiwa Memali ditarik balik.

Sumber: Astro Awani

Pil kuda dan heroin bernilai RM5.7 juta dirampas di Rantau Panjang

Gambar hiasan


KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas 199,791 biji dipercayai pil kuda dan 350 botol berisi heroin yang keseluruhan dianggar bernilai RM5.7 juta dalam Ops Cantas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang pada Selasa lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata ia merupakan hasil serbuan ke atas sebuah rumah kira-kira 9 malam yang turut menyaksikan penahanan seorang wanita warga Thailand yang berumur 40 tahun bersama empat kanak-kanak berusia antara dua hingga 12 tahun.

"Dadah disembunyikan dalam lubang yang ditutup dengan jubin dalam rumah berkenaan.

Bagaimanapun suspek utama iaitu seorang lelaki yang dipercayai suami wanita itu, melarikan diri sebelum serbuan dilakukan.

"Polis telah mengenal pasti lelaki rakyat tempatan berumur 47 tahun itu yang disyaki mengedar dadah di Kelantan dan Terengganu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Siasatan awal mendapati wanita itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau, kata Jalaluddin sambil menambah pihaknya percaya pil kuda itu dijual dengan harga RM25 sebiji.

Wanita tersebut direman seminggu bermula semalam untuk siasatan lanjut manakala empat kanak-kanak berkenaan dibebas dengan jaminan.

Jalaluddin berkata pihaknya telah meminta kerjasama polis Thailand bagi mengesan lelaki itu yang disyaki melarikan diri ke negara jiran berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bernama

Enggan terima hujah Speaker, Azmin Ali dihalau keluar dewan


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gombak, Mohd Azmin Ali diarahkan keluar dari Dewan Rakyat hari ini setelah mempertikaikan keputusan yang dibuat yang Dipertua Dewan Rakyat, lapor The Malaysian Insider.

Mohd Azmin kecewa dengan tindakan meletakkan usul yang dibawanya berkaitan perilaku hakim sebagai perkara terakhir dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini.

Katanya, keputusan yang dibuat oleh Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sangat mengecewakan dan alasan yang diberikan tidak kukuh.

“Saya minta penjelasan mengapa usul penting dan menepati perlembagaan untuk membincangkan perilaku hakim ditolak sewenang-wenangnya.

“Usul kerajaan setakat nombor enam. Kenapa tidak letak usul saya di nombor tujuh?” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Dalam usulnya, Azmin meminta Dewan Rakyat membincangkan perlaku tiga hakim Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat yang dihadapinya.

Astro Awani

Universal perkenal 'Minion Mayhem' ke taman tema Hollywood


LOS ANGELES: Selepas kejayaan filem animasi "Despicable Me”, pembikin filem tersebut bekerjasama dengan jurutera taman tema untuk membina taman tema ‘Minion Mayhem’.

‘Minions’ iaitu karakter comel berwarna kuning yang bercakap dalam bahasanya sendiri semakin mendapat tempat di hati penggemar filem tersebut selepas popular menerusi dua buah filem yang berjaya mendapat kutipan AS$1.5 bilion (RM 4.85 bilion) seluruh dunia.

Sebagai bukti kejayaan, Paris studio Illumination Entertainment menerbitkan filem mereka sendiri iaitu "The Minions," yang bakal ditayangkan pada Julai 2015, sebelum sekuel ketiga "Despicable Me" pada 2017.

Sejak 2012, Universal Theme Park di Orlando, Florida membina sebuah permainan bertemakan watak Minions ini selepas produk berkaitan karakter comel ini menjadi popular.

Pada hujung minggu ini, satu persembahan khas akan diadakan untuk Minions dengan permainan ‘permaidani kuning’ dimana ianya dua kali ganda lebih besar daripada permainan taman tema yang dibina di Florida yang dilengkapi teknologi canggih.

Idea tersebut datang daripada Steve Burke, Ketua NBCUniversal, selepas kejayaan filem pertama "Despicable Me" pada 2010.

"Kami tidak pernah terfikir menganai ini sebelum ini,” ketua Illumination Entertainment, Chris Meledandri memberitahu AFP.

"Daripada kejayaan ini, membina taman tema untuk watak ini merupakan perkara paling menarik bagi kami,” tambahnya.

Rakaman animasi selama 20 minit diwujudkan dimana pengunjung akan ‘menjelma’ menjadi Minions menerusi teknologi simulasi 3D.

“Amat penting untuk kami memberi penghormatan kepada watak berkenaan selain mendapat pengalaman sendiri untuk menjadi lucu seperti karakter itu dengan suara yang comel,” kata Meledandri.

Permainan taman tema versi Hollywood itu dibuat pada skala besar dimana ia boleh memuatkan 192 orang pada satu masa manakala versi Orlando hanya mempunyai rumah watak Gru.

Illumination Entertainment kini sedang bersiap sedia untuk filem "The Minion" tahun depan dimana filem ini akan menceritakan sejarah kehidupan karakter comel ini. - AFP 

Pesawat peribadi pertama Presiden Indonesia tiba di Jakarta hari ini

Susilo Bambang Yudhoyono


JAKARTA: Setelah beberapa kali tertangguh, dan hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi beliau akan berundur daripada jawatan, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, yang baru-baru ini dikritik kerana menggunakan kemudahan milik negara ketika berkempen untuk partinya, Parti Demokratik, akhirnya berpeluang menggunakan pesawat peribadi presiden pertama negara itu.

Sepanjang lebih sembilan tahun menjadi presiden, Susilo dan rombongan beliau menggunakan pesawat jet yang dipajak daripada syarikat penerbangan kebangsaan, Garuda Indonesia.

Pesawat baharu itu, Boeing Business Jet (BBJ2), akan dipertontonkan kepada umum pada Khamis dalam satu majlis khas di Pangkalan Tentera Udara Halim Perdanakusuma di sini.

Menurut laporan Jakarta Post pada Rabu, pesawat mewah itu berharga US$91.21 juta (RM294 juta).
Selepas upacara itu, pesawat berkenaan akan beroperasi sepenuhnya untuk membawa presiden dalam lawatan rasmi beliau ke seluruh negara dan seberang laut. Susilo dijangka menggunakannya untuk kali pertama dalam lawatan ke Myanmar pada Mei untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-24. -- BERNAMA

Pelancong China merosot sejak MH370 hilang

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz


KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kemasukan pelancong China ke Malaysia terjejas ekoran kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Beliau berkata setakat ini kebanyakan pelancong China telah membatalkan lawatan mereka ke Malaysia, malah tiada 'tempahan penerbangan' direkod bagi penerbangan dari China ke Malaysia.

Nazri berkata, pihaknya akan menangguh segala bentuk promosi dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 di China bagi menghormati sensitiviti rakyat negara itu berikutan majoriti penumpang MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas adalah warga China.

Astro Awani 

Serah kotak hitam kepada yang cekap dan bersih, kata Kapten Nik Huzlan

Black box
Kotak hitam  yang merakam suara dan data penerbangan - Gambar Fail



Kotak hitam pesawat penerbangan MH370, sekiranya ditemui kelak, harus diserahkan untuk siasatan kepada pihak yang boleh dipercayai dan cekap untuk melakukan analisis ke atas perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan itu.

Bekas juruterbang kanan Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata siasatan itu juga perlu dilakukan oleh pihak yang bebas dan bukan di kalangan mereka yang berkepentingan dengan siasatan tersebut.

"Pencarian MH370 mungkin berakhir. Sekiranya kotak hitam itu ditemui adalah menjadi kepentingan semua pihak, ia disiasat oleh pihak yang boleh kita percayai, yang cekap, yang boleh berkomunikasi dengan baik, neutral dan bukan pihak yang berkepentingan.

"Mendapatkan semula (kotak hitam), mengeluarkan datanya dan menganalisis data itu harus dilakukan dengan bersih dan tidak terjejas dengan penglibatan mereka yang tidak tahu apa-apa," katanya dalam satu komentar di jaringan sosial Facebook hari ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu wawancara dengan The Straits Times pada Selasa berkata secara peribadi beliau tidak kisah sama ada siasatan itu dilakukan di Perth atau Kuala Lumpur.

"Secara peribadi, saya hanya mahukan kebenaran. Saya mahu tahu apa yang terjadi pada MH370. Tidak kisah bagaimana atau siapa atau di mana," katanya.

Pesawat Boeing 777-200 itu didaftarkan di Malaysia dengan pendaftaran 9M-MRO atas milik MAS. Di bawah Konvensyen Antarabangsa Penerbangan Awam (ICAO), Malaysia sebagai negara asal pesawat hendaklah melancarkan siasatan dan mendapatkan semula bangkai pesawat.

Malaysia bagaimanapun telah meminta bantuan Australia untuk mengetuai usaha mengesan pesawat berkenaan yang dipercayai kini berada di selatan Lautan Hindi.

"Di bawah ICAO, kita ada tanggungjawab untuk mencari kotak hitam. Tetapi ada cabaran diplomatik kerana ia melibatkan 14 negara," kata Hishammuddin, merujuk kepada kewarganegaraan 239 orang penumpang dan anak kapal.

Malaysia minggu lalu membentuk tiga jawatankuasa siasatan merangkumi hal ehwal waris, ketenteraan dan aspek teknikal usaha mencari MH370.

Jawatankuasa ini disertai oleh pakar dari agensi pengangkutan dan penerbangan dari Amerika Syarikat, Perancis, Britai dan China.

Pesawat penerbangan MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur dan Beijing hilang kira-kira satu jam setelah lepas landas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi 8 Mac yang lalu.

Siasatan awal mendapati sistem komunikasi pesawat telah dimatikan dengan sengaja dan pesawat berkenaan berpatah balik dari laluan asalnya.

Setelah usaha mencari dipergiatkan di Laut China Selatan dan kemudian beralih ke Lautan Hindi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac lepas mengumumkan pesawat itu "berakhir" di selatan Lautan Hindi — kawasan yang terpencil dan tidak ada tapak mendarat.

Astro Awani 

MH370: Siapa yang bertanggungjawab?

Azrai Izet dan isterinya, Fadzilah Abd. Rahim

Azrai Izet, suami kepada seorang penumpang MH370, menulis kepada Astro AWANI meluahkan suara hatinya berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu.

_______________________________

Terdapat kekaburan dari segi tanggungjawab terhadap keseluruhan kejadian. Secara am, pihak mana yang seharusnya rasa bertanggungjawab terhadap keseluruhan kejadian?

Secara spesifik, siapa yang bertanggungjawab terhadap perkara-perkara berikut:

1. Siapakah yang bertanggungjawab terhadap keselamatan penumpang dan pesawat?

2. Siapakah yang bertanggungjawab terhadap keselamatan industri penerbangan negara?

3. Siapakah yang bertanggungjawab terhadap keselamatan ruang udara negara?

Setakat ini kita dapat melihat tiada pihak yang bersungguh-sungguh menyatakan rasa tanggungjawab terhadap mana-mana perkara.

Yang ada hanyalah penafian.

1. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyatakan mereka tidak bertanggunjawab terhadap keselamatan pesawat awam yang terbang dalam ruang udara negara.

2. Tiada pihak rasa bertanggungjawab mengapa tiada kerjasama antara Pusat Kawalan Udara (ATC) penerbangan awam and ATM untuk mengesahkan status pesawat yang berpatah balik.

3. Tiada pihak rasa bertanggungjawab apabila Panglima Angkatan Tentera menyatakan mereka menyedari pesawat dikesan radar melalui ulang tayang rakaman radar, hanya setelah empat hari kejadian berlaku.

4. Tiada pihak rasa bertanggungjawab apabila dua penumpang menggunakan pasport palsu berjaya membolosi imigresen.

Menerusi sidang media yang kerap dikendalikan pada awal kejadian, rakyat Malaysia dapat melihat dengan jelas bahawa semangat yang ditunjukkan lebih kepada penafian tanggungjawab dan liabiliti, bukanlah perkongian maklumat ikhlas untuk menyelesaikan masalah yang ada.

Kerap kali kita dengar bahawa maklumat yang diminta adalah 'rahsia keselamatan negara' atau 'tidak boleh didedahkan kerana masih dalam siasatan dan boleh menjejaskan pendakwaan'.


Kebenaran yang hakiki

Di sebalik persoalan di manakah penumpang dan krew pesawat, rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui kebenaran yang mutlak terhadap perincian kepada apa yang telah terjadi. Walau berapa lama dan walau berapa kos, kita harus mendapatkan jawapan tersebut.

Tanpa jawapan tersebut, tiada jaminan peristiwa ini tidak akan berulang di masa depan. Jika harga 239 nyawa dan keluarga mereka tidak cukup, apakah jumlah nyawa yang cukup untuk kita mendapatkan jawapan tersebut?

Adakah setelah berulang sekali atau dua kali lagi peristiwa yang sama?

Atas harga 239 nyawa dan kesan terhadap keluarga yang terlibat, apakah pengajaran yang dapat kita ambil?

Saya pasti rakyat Malaysia tidak mahu 239 ini terkorban sia-sia tanpa sebarang pengajaran. Kita mahu kepastian bahawa peristiwa ini tidak akan berulang lagi kepada orang lain.

1. Apakah pembaharuan yang perlu dari segi keselamatan pesawat dan penumpang?

2. Apakah pembaharuan dari segi keselamatan industri penerbangan negara?

3. Apakah pembaharuan dari segi keselamatan ruang udara negara untuk penerbangan awam? Apakah aset ketenteraan tidak dapat digunakan untuk menjamin keselamatan awam?

4. Apakah pembaharuan kepada pelan bertindak sekiranya peristiwa yang sama berulang?


Keperluan keluarga mangsa

Seringkali kenyataan yang rakyat Malaysia dengar adalah MAS akan menjaga kebajikan keluarga mangsa. Namun kebajikan yang MAS berikan adalah berbentuk memujuk dan menenangkan keluarga. Hakikatnya keluarga hanya inginkan dua perkara pada peringkat ini:

1. Keselamatan penumpang dan krew

2. Mengetahui kebenaran mutlak terhadap apa yang telah terjadi serta segala perinciannya.


_____________________
Azrai Izet ialah suami kepada Fadzilah Abd. Rahim, penumpang penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang hilang sejak 8 Mac lalu.

* Tulisan ini telah disiarkan di  Astro AWANI pada 9 April 2014

Hanya pengguna tertentu lepas catuan air

Syabas

KUALA LUMPUR - Pengecualian catuan air hanya diberikan kepada pengguna yang mendapat kelulusan dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sahaja.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataan hari ini berkata, berkata golongan yang tidak terlibat dengan catuan bekalan air itu telah disenaraikan semula ialah pusat dailisis, hospital kerajaan dan swasta, Pelabuhan Klang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

Selain itu, pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, pusatpentadbiran kerajaan negeri Selangor, pusat bandaraya Kuala Lumpur dan Stesyen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Kapar turut tersenarai dalam kategori pengguna yang dikecualikan dari catuan air.

Kenyataan itu juga berkata pengguna di kawasan Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang juga tidak terlibat dengan pelan catuan bekalan air peringkat pertama kerana mereka tidak menerima bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi yang tercemar akibat kandungan ammonia dalam Sungai Langat.

"Walaupun mereka tinggal berhampiran dengan pengguna yang menerima bekalan air dari kedua-dua loji itu namun saluran bekalan air terawat bagi kawasan itu bukanlah dari sumber Sungai Langat," katanya.

Begitu juga bagi sesetengah pengguna kawasan Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang yang tidak menerima bekalan air dari sumber air mentah dari empangan Sungai Selangor dan empangan Klang Gates turut tidak terlibat dengan pelan catuan peringkat ketiga dan keempat.

Pelan catuan air masih diteruskan atas arahan kerajaan Negeri Selangor dengan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) walaupun hujan telah turun di kebanyakan kawasan.

"Pihak Syabas berkeyakinan bahawa keputusan yang dibuat itu tertakluk kepada keadaan takungan di empangan dan juga kadar pencemaran di Sungai Langat di mana paras kandungan ammonia masih tidak menentu," kata kenyataan itu.

Untuk maklumat dan keterangan lanjut berkenaan pelan catuan bekalan air, pengguna boleh melayari laman web Syabas www.syabas.com.my. - Bernama

AirAsia: Kami pindah bila semua OK

Air Asia

KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, akan memindahkan operasinya ke terminal baharu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), kata Pengerusi Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun.

"Saya boleh sahkan bahawa kami akan berpindah apabila semuanya OK. Tak perlu bincangkan mengenainya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar sesi rundingan meja bulat Kepelbagaian dan Keterangkuman TalentCorp, di sini hari ini.

Pada 1 April lepas, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) di Sepang akan ditutup pada 9 Mei.

Mengulas pengumuman itu pada hari yang sama, AirAsia berkata semua operasi penerbangannya akan terus berpusat di LCCT, malah selepas 9 Mei.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengarahkan AirAsia supaya berpindah ke klia2 mengikut jadual, walaupun kerajaan, menerusi Malaysia Airports Holdings Bhd, bersedia mendengar dan berbincang dengan mereka jika ada sebarang masalah berhubung pemindahan itu.

AirAsia dijangka menyumbang kira-kira 80 peratus daripada trafik klia2. - Bernama