Monday 17 June 2013

Operasi mencari dan menyelamat di Jalan Macalister dihentikan

Operasi mencari dan menyelamat di Jalan Macalister dihentikan

GEORGE TOWN: Operasi mencari dan mengesan mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian penebat kilat jatuh dan menghempap jalan di Jalan Macalister di sini Khamis lepas, dihentikan pada pukul 8 pagi hari ini.

Ketua operasi Datuk Lim Kok Khong berkata keputusan itu diambil kerana pihak berkuasa bimbang operasi menggali yang berterusan akan menjejaskan struktur bangunan warisan di situ.

"Operasi ini dihentikan terus dan lubang sedalam lapan meter yang digali itu akan ditimbus. Ini kerana kawasan ini tanahnya lembut dan berselut, menjadikannya mudah terhakis dan mendap," katanya kepada pemberita, di sini.

Semalam, lubang asal sedalam lima meter digali sedalam tiga meter lagi untuk mengesan penjual nasi lemak Lim Chin Aik, 44, yang dikhuatiri tertimbus di kawasan runtuhan berkenaan.

Mengulas lanjut, Lim yang merupakan bekas Pengerusi Institut Jurutera Malaysia Pulau Pinang, berkata pihaknya akan melakukan kerja menstabilkan struktur tanah di kawasan lubang itu bagi mengelak hakisan.

"Selepas kerja-kerja menstabilkan tanah selesai barulah pihak yang terbabit seperti Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Indah Water Konsortium (IWK), dan syarikat telekomunikasi akan menjalankan tugas masing-masing untuk memulihkan semua kemudahan infrastruktur," katanya.

Dalam kejadian petang Khamis lepas, seorang lelaki maut selepas kenderaannya dihempap struktur penebat kilat di atas Menara Umno itu yang jatuh akibat ribut kencang.

Sehari selepas itu, seorang wanita Lee Chai Song membuat laporan akan kehilangan suaminya dan khuatir lelaki berkenaan turut terbabit dalam insiden tersebut.

Susulan itu, pihak berkuasa memulakan usaha mencari dan mengesan Chin Aik dan pada Sabtu Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan nombor casis kereta yang ditemui terbenam di kawasan runtuhan penebat sepadan dengan kereta milik Chin Aik.

Lewat petang semalam, pasukan mencari dan menyelamat menemui tiga tayar kereta termasuk tayar simpanan.

Chin Aik yang memandu kereta jenis Honda City berwarna kelabu dikatakan keluar dari rumah untuk mengambil anak perempuan bongsunya dari Penang Chinese Girl's High School di Jalan Gottlieb pada pukul 6.30 petang.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta pemilik bangunan Menara Umno agar menurunkan saki-baki struktur penebat kilat yang masih tergantung pada bangunan secepat mungkin.

Langkah itu demi menjaga keselamatan orang ramai kerana jalan ini akan dibuka semula kepada lalu lintas dalam masa terdekat, katanya kepada pemberita semasa meninjau lokasi kejadian hari ini.


- BERNAMA