Wednesday, 15 January 2014

Dekan UPM menang tuntutan di mahkamah AS

Dekan UPM menang tuntutan di mahkamah AS
Dekan Fakulti Seni Bina UPM, Dr Rahinah Ibrahim. - Foto Ihsan NST


SAN FRANCISCO - AMERIKA SYARIKAT. Dekan Seni Bina, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Rahinah Ibrahim berjaya mengenepikan larangan memasuki Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan ke atasnya sejak 2005.

Memetik laporan Reuters, polisi larangan masuk ke AS menetapkan mana-mana individu yang dipercayai mempunyai hubungan dengan pengganas dimasukkan dalam pangkalan data dan disekat daripada menggunakan kapal terbang komersial memasuki negara itu.

Bagaimanapun, pengkritik melihat keputusan itu adalah mustahil untuk mengeluarkan nama individu daripada senarai itu.

Hakim William Alsup semalam berpihak kepada Raninah yang mencabar polisi negara itu memutuskan bahawa prosedur sedia ada perlu diperbetulkan kerana senarai itu tidak memberikan perlindungan proses yang mencukupi.

Jurucakap Jabatan Keadilan AS, Wyn Hornbuckle berkata, kerajaan sedang menyemak perintah dan enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, peguam Rahinah, Elizabeth Pinpin, berkata: "Keadilan akhirnya berjaya ditegakkan untuk Rahinah. Seorang wanita yang tidak bersalah yang telah terjebak dalam sistem penyenaraian kerajaan yang tidak sempurna."

Rahinah dilaporkan telah berjuang selama lapan tahun untuk membersihkan namanya dalam pangkalan data itu selepas ditahan di lapangan terbang San Francisco 2005 lalu ketika dalam perjalanan dari Malaysia dan singgah di Hawaii.

Sementara itu, Associated Press (AP) melaporkan, Pipkin berkata, adalah hampir mustahil untuk membuang sebarang nama yang dimasukkan ke dalam data itu.

Rahinah turut memberitahu AP, namanya tersilap dimasukkan ke dalam pangkalan data itu kerana beliau berasal dari Malaysia dan beragama Islam.

Wanita berusia 48 tahun itu bagaimanapun menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas ketika disoal siasat oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada 2004.

Sejak penahanannya pada 2005, beliau dihalang daripada memasuki AS termasuk untuk membuat kenyataan dalam perbicaraannya.

Sinar Harian 

Koo-Tan tersingkir, Chong Wei mara pusingan kedua

Lee Chong Wei
Lee Chong Wei


BEREGU utama negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong tersingkir manakala juara bertahan Datuk Lee Chong Wei berjaya melepasi pusingan pertama Kejohanan Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil di Kuala Lumpur hari ini.

Gandingan Kien Keat/Boon Heong ditunjukkan jalan keluar oleh beregu bukan pilihan China, Chai Biao/Hong dalam straight set 21-17 dan 21-14 dalam pertarungan selama 36 minit.

Pemain nombor satu dunia, Chong Wei membuka kempen memburu gelaran ke-10 Terbuka Malaysia apabila menjinakkan pemain Denmark Hans-Kristian Vittinghus 21-7 dan 21-13 dalam perlawanan selama 35 minit.

Chong Wei akan menentang pemain China Wang Zheming pada pusingan kedua esok.

Bagaimanapun, penantian kemnculan Kien Keat/Boon Heong selepas hampir sebulan setengah daripada pentas dunia, menghampakan apabila beregu itu menampilkan prestasi paling buruk.

Kien Keat mengakui beliau terlalu kecewa dengan prestasinya dan menyifatkan kekalahan itu berpunca daripada kesalahan mereka sendiri.

"Hari ini adalah perlawanan pertama selepas tidak menyertai mana-mana kejohanan hampir sebulan setengah. Terus terang tiada lagi alasan, memang kami bersalah, lagi banyak saya bercakap, lebih banyak pandangan lain terhadap saya.

"Ini tidak bermaksud kami bermasalah tetapi sukar untuk saya jelaskan... memang salah kami, tetapi saya tidak tahu mana silap kami," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Bagi Boon Heong, beliau masih mengharapkan gandingannya bersama Kien Keat dapat diselamatkan dan relevan untuk terus memberikan sesuatu buat negara.

"Jika masih ada keinginan mahu bermain dan ada sasaran, saya rasa kami perlu bekerja lebih bersungguh-sungguh lagi dalam latihan," katanya.

Dua lagi perseorangan lelaki negara Liew Daren dan Chong Wei Feng turut terkandas pada pusingan pertama. - Bernama

11 sekolah ditutup di Sabah akibat banjir

KOTA KINABALU - Sebelas buah sekolah rendah di empat buah daerah di Sabah ditutup akibat banjir ekoran hujan berterusan sejak awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Jame Alip berkata, sekolah itu terletak di Kota Kinabalu, Sipitang, Kota Belud dan Sipitang.

“Kota Kinabalu melibatkan empat buah sekolah iaitu SK St Cathrine, SK Gudon, SK Kebayau dan SK Tombongon. Di Tuaran, ia melibatkan dua buah sekolah iaitu SJK (C) Chung Hwa Tenghilan dan SK Kauluan.

"Di Kota Belud, ia melibatkan tiga buah sekolah iaitu SK Menunggui, SK Tampasuk 1 dan SK Lasau Tintapon. Di Sipitang, dua buah sekolahnya ialah SK Lubuk Darat dan SK Kawang manakala SJK (C) Sin Boon tidak ditutup namun kelasnya dipindah ke tingkat atas," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, sekolah-sekolah itu menampung kira-kira 2,000 murid.

Jame berkata, sekolah-sekolah berkenaan akan dibuka semula setelah air banjir surut kecuali bagi sekolah yang turut terlibat dengan tanah runtuh.

“Sekiranya terdapat sekolah yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh, pihak sekolah perlu mengetahui pergerakan tanah di kawasan sekolah mereka dan meminta nasihat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Beliau meminta sekolah lain yang turut terlibat dengan banjir agar segera melaporkannya kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan JPNS untuk tindakan lanjut.

“Saya mahu pihak sekolah mengutamakan keselamatan seperti peralatan sekolah dan buku teks dengan meletakkannya di bahagian tinggi bagi mengelak dari ditenggelami air,” katanya.

Sementara itu di Tuaran, sebuah keluarga di Kampung Mongkolud telah berpindah atas nasihat JKR disebabkan tanah runtuh.

Setiausaha Bencana Alam Daerah Tuaran, Abdullah Sani berkata lima anggota keluarga terbabit kini tinggal di rumah keluarga mereka yang lain.

“Pihak Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Tuaran akan memantau keadaan di kawasan yang berisiko dinaiki air dan tanah runtuh. Sebarang pertanyaan boleh dimajukan ke bilik urusetia bencana alam di talian 088-093055,” katanya. - Bernama

Didie Alias hamil di usia 40-an

Didie Alias
Didie Alias


TAHNIAH, diucapkan kepada pelawak serta pelakon popular Didie Alias, atas berita kehamilannya.

Didie Alias atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Ali dilaporkan hamil tiga bulan pada usia 40-an hasil perkahwinan keduanya dengan Norisham Ismail.

Memetik laporan akhbar tempatan, Didie berkata, dia dan suami berasa begitu gembira apabila mengetahui dirinya hamil.

"Alhamdulillah, usia kandungan saya sekarang sudah mencecah usia tiga bulan. Orang yang paling gembira adalah suami saya.

"Selain itu, keluarga mertua turut berkongsi kegembiraan kerana ini merupakan kandungan sulung saya bersama Norisham," kata Didie yang sudah lima tahun berkahwin dengan Norisham.

Mengulas lanjut, Didie menambah, dia dan suami enggan menaruh sebarang harapan berkenaan jantina bayi yang sedang dikandungnya dan menyerahkan segala-galanya kepada rezeki yang diberikan Tuhan.

"Pada mulanya, saya begitu inginkan anak lelaki, tetapi, apa yang dikurniakan oleh ALLAH kelak, kami terima dengan hati yang terbuka," katanya.

Sinar Harian 

Dakwa ada Taming Sari, alat warisan

Dakwa ada Taming Sari, alat warisan
Noor Jan dalam sidang media baru-baru ini, mendakwa mendapat pengiktirafan ICJ.


SEAWAL jam 8 pagi 10 pegawai polis berpakaian preman, dari IPD Melaka Tengah sudah berada di pekarangan Jeti Tanjung Batu.

Sekitar jam 9 pagi pula, dalam keriuhan menunggu feri, Noor Jan dan isteri muncul. Dipercayai kira-kira 60 pengikut Noor Jan tiba di jeti sama.

Beberapa wartawan mendekati Noor Jan dan isteri. Belum lama dia berbual, Raja Shahrom datang mencelah perbualan.

Noor Jan meninggalkan kumpulan wartawan mengikut Raja Shahrom yang disangka orang awam.

Raja Shahrom kemudian memperkenalkan diri dan menyatakan Noor Jan akan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Pada waktu itu sekumpulan empat lagi polis preman menyertai Raja Sharom menahan Noor Jan.

Dia kemudian dibawa ke sudut belakang jeti sebelum ke foyer jeti dan dimasukkan ke dalam kenderaan polis lalu dibawa ke IPD Melaka Tengah.

Raja Noor Jan Shah adalah salah satu nama digunakan selain Norjan Shah Tuah Shah, Raja Alang Norjan Alang Tuah dan Yang Maha Mulia Raja Norjan Shah Yang Maha Mulia Raja Tuah Shah.

Kali pertama dia diketahui menuntut takhta Sultan Melaka ialah pada November 2005. Sejak itu, dia terus mendakwa sebagai Sultan Melaka walaupun dakwaannya itu dinafikan banyak pihak.

Dia mempunyai kes lampau membabitkan Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada 2006.

"Jika saya bukan sultan sebenar, saya tidak akan buat dakwaan ini. Kami sentiasa berbangga dengan sejarah kami, era kegemilangan Melaka, tetapi ia tidak diendahkan,” kata Noor Jan suatu ketika dahulu.

Dia mengaku dirinya keturunan Sultan Abdullah Muhammad Shah yang memerintah Perak dari 1851 hingga 1857.

Dia juga mendakwa memiliki keris Taming Sari, tongkat Lang Buana dan pelbagai lagi alat kebesaran warisan Sultan Melaka.

Lelaki ini juga pernah menyewa sebuah kereta Rolls Royce yang dijadikan gimik pada majlis pertabalannya.

Polis kemudian mengesahkan kereta itu yang dimiliki oleh sebuah syarikat kereta terpakai menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tiada cukai jalan.

Sinar Harian 

Singapura nafi laporan NYT pekerja imigran ditindas


SINGAPURA: Singapura hari ini menafikan rusuhan lebih 400 pekerja asing dari Asia Selatan bulan lalu berpunca akibat rasa tidak puas hati mereka berhubung upah dan soal kebajikan.

Dalam sepucuk surat sebagai reaksi kepada lidah pengarang yang tersiar di New York Times pada akhir Disember lepas, dutanya ke Amerika Syarikat Ashok Mirpuri berkata "kami melayan pekerja asing dengan hormat tetapi akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar undang-undang."

"Pekerja asing menyumbang kepada ekonomi. Mereka bekerja secara sah dan sukarela. Kami berusaha untuk memastikan mereka dilayan dengan baik dan dibayar dengan saksama," katanya.

Surat berkenaan dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan Singapura yang mendakwa akhbar berkenaan enggan menyiarkannya.

Lidah pengarang New York Times pada 27 Disember membayangkan bahawa rusuhan di Little India pada 8 Disember itu berpunca daripada pekerja asing yang kecewa dengan upah rendah dan keadaan hidup yang tidak selesa.

Menurut Mirpuri, New York Times tidka memberikan "bukti yang cukup" untuk menyokong dakwaannya tentang kenapa pekerja asing itu merusuh selepas seorang buruh binaan warga India terbunuh dilanggar oleh sebuah bas di kawasan itu tempat ribuan pekerja asing berkumpul pada hujung minggu.

Rusuhan itu menyebabkan 39 anggota polis dan petugas kecemasan cedera.

Sejumlah 25 buah kenderaan termasuk 16 kereta polis dirosakkan serta dibakar dalam kejadian rusuhan tersebut yang merupakan insiden pertama dalam masa lebih 40 tahun.

Lebih 50 pekerja asing dihantar pulang manakala sekurang-kurangnya 25 lagi berdepan tuduhan merusuh yang boleh dikenakan hukuman penjara.

"Penilaian awal kerajaan mendapati mereka bertindak spontan kesan daripada kemalangan maut itu.

Dalam apa juga keadaan, sebuah jawatankuasa siasatan yang diketuai oleh seorang hakim bersara akan menentukan punca sebenar yang membawa kepada rusuhan tersebut," kata duta itu.

Singapura sangat bergantung kepada buruh asing. Daripada penduduknya yang berjumlah 5.4 juta orang, hanya 3.84 juta adalah warganegara dan pemastautin tetap.

Di kalangan pekerja asing, hanya 700,000 orang memegang permit kerja dalam sektor pembinaan dan sektor-sektor lain dngan lebih 200,000 bekerja sebagai amah.

Lidah pengarang New York Times itu menyebut "kekecewaan terhadap sikap tidak menghargai warga Singapura dan pekerja asing yang dibayar gaji rendah telah berlarutan sejak bertahun-tahun kebelakangan," dan meledak dalam rusuhan itu. - AFP 

Polis tahan pemilik farmasi bantu siasatan kes rompak guna M16

Jalaluddin Abdul Rahman - Gambar Fail


KOTA BHARU: Polis Kelantan telah menahan seorang pemilik kedai farmasi berusia 52 tahun bagi membantu siasatan kes rompakan menggunakan senjata api jenis M16 di sebuah kedai serbaneka di bandar Tanah Merah pada Disember lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata lelaki itu ditahan susulan serbuan di sebuah rumah di Wakaf Baharu, Tumpat pada Isnin lepas.

Turut ditahan isteri kepada lelaki itu juga berusia 52, dan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini siang tadi.

Jalaluddin berkata kes disiasat di bawah seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, seksyen 8(b) Akta Senjata Api 1960 dan seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.

Pihaknya akan menjalankan siasatan secara terperinci bagaimana suspek berkenaan boleh menyimpan banyak peluru sedangkan yang dibenarkan hanya 200 butir sahaja.

Lelaki itu direman tujuh hari bermula semalam, manakala wanita dan remaja itu di reman dua hari bagi membantu siasatan.

Polis Kelantan juga akan menyiasat latar belakang semua pemilik senjata api di negeri ini yang dilesenkan bagi mengelak kejadian berulang.

Dalam kejadian 30 Dis lepas, polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun dan merampas selaras senjata api jenis M16 kira-kira setengah jam selepas suspek merompak kedai itu.

Ia disusuli penahanan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun pada 5 Jan yang disyaki terlibat dalam rompakan sama.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata pihaknya akan menubuhkan satu pasukan khas untuk memburu beberapa kumpulan peragut yang kini dipercayai melakukan rondaan awal menggunakan kenderaan sebelum menjalankan aktiviti jenayah mereka.

Katanya peragut berkenaan ada yang berlagak sebagai pelanggan dan memasuki kedai runcit untuk melakukan aktiviti mereka.

Astro Awani 

Kenapa harga limau mandarin meningkat tahun ini?


KUALA LUMPUR: Persatuan Pemborong Buah-Buahan KL mengesahkan bahawa harga limau mandarin akan meningkat, lebih-lebih lagi sempena sambutan Tahun Baru Cina hujung bulan ini.

Setiausaha persatuan itu, David Tey berkata margin kenaikan harga adalah di antara 20 hingga 35 peratus tahun ini berbanding tahun lepas.

"Ini bermakna, sekotak limau mandarin seberat 4kg akan dijual pada harga borong RM12.00 manakala sekotak limau mandarin seberat 8kg akan dijual pada harga borong RM24.00,” katanya kepada Astro AWANI.

Tey berkata harga limau mandarin tahun ini meningkat kerana permintaan tempatan yang semakin meningkat di negara China dan kos buruh yang lebih tinggi di sana.

"Taraf hidup di China semakin baik dan mereka mampu untuk membeli limau mandarin. Mereka tidak lagi sangat bergantung kepada eksport ," katanya.

Tey berkata sesetengah pelanggan memilih untuk tidak membeli limau mandarin tahun ini disebabkan harga yang tinggi.

"Sesetengah pengimport telah turut mengurangkan bilangan limau mandarin yang mereka import. Ini telah membuat beberapa pelanggan membeli secara pukal kerana mereka takut limau mandarin akan berkurangan, " katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Paul Selvaraj menasihatkan mereka-mereka yang bakal menyambut Tahun Baru Cina , untuk berbuat demikian pada bajet yang terkawal.

"Kita tahu limau mandarin merupakan aspek kebudayaan yang penting untuk Tahun Baru Cina. Walau bagaimanapun , perbelanjaan semasa Tahun Baru Cina perlulah terkawal dan berada dalam bajet masing-masing. Jangan membazir wang,” katanya.

Paul juga berpendapat bahawa perlu ada pasaran terbuka untuk membolehkan mereka yang ingin mengimport limau mandarin untuk berbuat demikian.

"Suruhanjaya Persaingan Malaysia perlu mengkaji semula jika terdapat pasaran untuk membolehkan perkara ini," katanya.

Menurut laporan di sebuah portal berita, harga limau mandarin dari China akan meningkat sebanyak 20 peratus kepada 60 peratus tahun ini ekoran kekurangan buah itu kerana musim kemarau di wilayah Fujian dari Jun hingga Oktober tahun lalu.

Astro Awani 

'Sultan Melaka' ditahan reman empat hari


Raja Noor Jan Shah Raja Tuah (dua, kanan) yang ditahan pada pukul 10.50 pagi semalam di Jeti Anjung Batu Umbai, Jasin. --fotoBERNAMA


MELAKA: Mahkamah hari ini membenarkan polis menahan reman individu yang mendakwa dirinya Sultan Melaka selama empat hari bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rendah, V.Kanasan bagi membolehkan polis menyiasat kes berkenaan di bawah Akta hasutan 1948.

Individu tersebut yang dikenali sebagai Raja Noor Jan Shah Raja Tuah ditahan pada pukul 10.50 pagi semalam di Jeti Anjung Batu Umbai, Jasin sebelum sempat menaiki bot ke Pulau Besar untuk melakukan aktiviti bersama 'pengikutnya'.

Raja Noor Jan sebelum ini mendakwa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengiktiraf beliau sebagai Sultan Melaka. - ASTRO Awani 


Senarai kes-kes kecelakaan lampau di Bukit Tabur

Senarai kes-kes kecelakaan lampau di Bukit Tabur

KUALA LUMPUR:  Kematian pelajar berusia 25 tahun, Allahyarham Soleha Abd Rahman dalam tragedi di Bukit Tabur membuatkan bukit rekreasi tersebut kembali mendapat perhatian.

Mangsa terjatuh dari ketinggian 60m ke dalam gaung ketika mendaki ke puncak bukit itu bersama-sama tujuh rakan lain.

Allahyarham meninggal dunia sejurus tiba di hospital.

Berikut merupakan senarai kes-kes lampau di Bukit Tabur yang berakhir dengan kecelakaan:

  • 5 Januari 2014: Noor Asmahani Hashim, 28, mengalami kecederaan belakang, tangan dan wajah setelah terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter.
  • 3 Disember 2013: Guru sains, Ng Pee Tat, 30an, maut setelah tergelincir di sebuah cerun yang curam ketika pertama kali menyertai pendakian di Bukit Tabur bersama rakan-rakannya
  • 28 September 2013: Tan Tick Soon, 51, jatuh sejauh 60 meter di cerun curam dan mengalami kecederaan serius. Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil masa empat jam untuk menyelamatkan mangsa
  • 17 Disember  2012: Seorang jurutera berusia 27 tahun terselamat setelah terjatuh dari ketinggian 100 metre ke dalam gaung di Bukit Tabur. Chan Wing Sing bagaimanapun mengalami kecederaan buku lali dan pinggang.
  • 19 Disember 2009: Lima sekawan dilaporkan sesat selama lima jam ketika mendaki Bukit Tabur, namun berjaya ditemui dengan selamat.
  • 23 September 2009: Lim Kok Leong, 51, terselamat daripada maut setelah dahan-dahan pokok memperlahankan jatuhan mangsa ketika mendaki berseorangan di Bukit Tabur. Mangsa terperangkap selama lima jam sebelum berjaya diselamatkan.
  • 28 Mac 2009: Dua doktor ditemui mati di dalam gaung berhampiran Klang Gates di Ulu Ampang selepas sebuah ekspedisi mendaki di Bukit Tabur. Kedua-dua mangsa Dr Haliza Mohd Shafie, 53, seorang pakar kanak-kanak dan Dr Amin Tai Abdullah @ Tai Yen Ming, seorang pakar bedah kanak-kanak dilaporkan tergelincir dan jatuh dalam jarak sekitar 500 meter.
  • 15 Oktober 2008: Seorang pelajar kolej jatuh dari ketinggian 100 meter namun terselamat ekoran dahan-dahan yang menahan mangsa dari jatuh dengan lebih cepat. Mangsa bagaimanapun dilaporkan cedera parah antaranya luka dalam di dahi, retak tulang rusuk serta tertusuk ke paru-paru.

Sumber: ASTRO Awani 

Pendaki wanita mati jatuh gaung di Bukit Tabur

Mangsa dibawa keluar dari tempat kejadian ke HKL dengan sebuah helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. --fotoBERNAMA


KUALA LUMPUR: Seorang pendaki wanita yang dilaporkan terjatuh ke dalam gaung di Bukit Tabur, Taman Melawati di sini mati selepas ditemui pengsan oleh pasukan mencari dan menyelamat Selasa.

Soleha Abd Rahman, 25, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira 4 petang selepas dilaporkan mengalami pendarahan dalaman akibat terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 60 meter.

Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Khairuldin Saad berkata mangsa meninggal sebaik tiba di hospital.

Pelajar jurusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu mendaki bukit bersama tujuh rakannya kira-kira 8 pagi.

Ketua Bahagian Operasi Pasukan Khas Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penolong Penguasa Juyana @ Azlan Musa berkata mangsa dibawa keluar dari tempat kejadian ke HKL dengan sebuah helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

"Mangsa ditemui pengsan di tebing curam di kawasan berbatu dan mengalami pendarahan di bahagian mulut dan mungkin terdapat kecederaan dalaman," kata Azlan kepada pemberita.

Beliau berkata pasukan penyelamat mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mangsa dari gaung yang curam itu.

"Mangsa dikatakan terjatuh ketika berada di Check Point 10 untuk ke Check Point 11 manakala tujuh lagi rakannya dilaporkan selamat dengan menuruni bukit menggunakan trek asal.

"Ketika kejadian, kesemua mereka berada pada ketinggian kira-kira 470 meter dari aras laut," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat Soleha disertai 60 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Pandan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan polis.

Kakak sulung mangsa dari lima beradik itu, Fadilah Ab Rahman, 38, berkata jenazah adiknya akan dibawa pulang ke kampung di Padang Machang, Manir, Kuala Terengganu malam ini selepas bedah siasat dan akan dikebumikan Rabu. - BERNAMA 

Pamela Anderson- Saloman kembali bersatu

Anderson- Saloman kembali bersatu

AKTRES, Pamela Anderson, mengakui kembali ke pangkuan bekas suaminya, Rick Saloman.

Walaupun tidak mendedahkan tarikh pernikahan itu, bintang seksi berusia 46 tahun itu, memberitahu, ia adalah keputusan yang terbaik buat dirinya.

"Kami sangat bahagia. Keluarga kami juga menerima keputusan ini," katanya ketika menghadiri rancangan, Sean Penn & Friends Help Haiti Home Gala ke-3, Los Angeles, Sabtu lalu.

Ogos tahun lalu, desas-desus mengenai hubungan pasangan ini mula bertebaran apabila mereka dilihat bercuti bersama di Hawaii.

Malah, sebelum ini, Anderson mengakui telah berbaik dengan bekas suaminya dan berkawan rapat.

Pasangan ini berkahwin pada Oktober 2007 namun, berpisah dua bulan kemudian dan bercerai pada Mac 2008.

Sebelum itu, Anderson pernah berkahwin dengan pemain dram Motley Crue, Tommy Lee pada 1995, dan Kid Rock pada 2006.