Monday, 17 August 2015

Mereka hanya panggil MP, bukan penjenayah

Dyana bercakap sesuatu dengan moderator, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

SHAH ALAM – Ahli Majlis Eksekutif Sosialis Muda DAP Kebangsaan, Dyana Sofea Mohd Daud membidas tindakan sesetengah pihak pengurusan universiti yang menggantung pelajarnya kerana menjemput ahli politik untuk menyampaikan ucapan di dalam universiti.

Menurut Dyana, 27, tindakan tersebut seolah-olah untuk menyekat kebebasan bersuara dan pendapat dalam kalangan mahasiswa di negara ini.

“Tindakan tersebut dibuat seolah-olah cuba untuk menakutkan mahasiswa daripada terus menyuarakan hak mereka di universiti. Ruang untuk kebebasan bersuara tidak pernah cukup. Kita perlu manfaatkan apa yang ada.

“Seperti apa yang berlaku di sebuah universiti, mereka (mahasiswa) panggil ahli Parlimen untuk bercakap tentang isu semasa.

“Mereka hanya panggil ahli Parlimen, bukan penjenayah tetapi mereka ini akhirnya digantung pengajian,” katanya ketika menyampaikan pandangannya tentang kebebasan bersuara menerusi Wacana Sinar Harian Siri ke-36 bertajuk ‘Kuasa Politik Baharu, Apa Anak Muda Mahu’ di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Menurut Dyana yang juga AJK DAP Negeri Perak, selain mahasiswa, anak muda lain juga terhimpit kerana tidak mempunyai platform yang sesuai untuk menyatakan pendapat masing-masing.

“Anak muda mahukan kebebasan berfikir dan kebebasan pendapat. mereka juga tidak suka disuruh. Memperjuangkan kebebasan adalah salah satu keutamaan dalam perjuangan saya.

“Anak muda adalah generasi smart phone (telefon pintar). Mereka cepat dan responsif. Sekiranya kerajaan mahu anak muda duduk dan dengar kata kerajaan hanya kerana anak muda dianggap masih tidak matang, maka ia tidak boleh diterima lagi,” katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

Jururawat bukan ‘kerja’ tengok anu lelaki!

Salinan paparan perkongsian oleh Putry Al Wafa di Facebook

TINDAKAN beberapa pelayar laman sosial yang menghina jururawat dan menuduh mereka suka melihat kemaluan pesakit lelaki mendapat perhatian seorang jururawat wanita yang bertindak membalas kembali kritikan tersebut menerusi satu perkongsian.

"Assalamualaikum Tuan Cham Cham yang dihormati. Semoga saya dan kawan-kawan nurse (jururawat) yang lain diampuni segala dosa dan pekerjaan kami diterima dan diredai ALLAH taala," kata Putry Al Wafa di laman sosial Facebooknya, semalam.

Putry bertindak membalas kenyataan pemilik akaun Tuan Cham Cham memuatnaik status yang menuduh jururawat wanita 'suka melihat kemaluan pesakit lelaki'.

"Untuk pengetahuan tuan, kami sebagai nurse wanita langsung tak hadap nak tengok kemaluan lelaki melainkan itu adalah sebahagian dari tugas kami.

"Bab-bab tugas yang lain saya tak mau cerita panjang, memandangkan tuan hanya berkata kami 'sebok nak tengok kemaluan pesakit lelaki sahaja'," tambahnya.

"Sekali lagi, saya harap Tuan faham apa yang saya nak sampaikan dan terima kasih kerana menghina," akhiri Putry dalam perkongsian tersebut.

Pada bahagian komen, Putry sekali lagi menegaskan pendirian beliau.

"Saya bukan mencari glamour apatah lagi publisiti murahan macam ni. Saya cuma fight for the right. Pertahankan profesion saya sebagai jururawat.

"Sesiapa yang bekerja seperti saya, akan faham apa yang nak saya sampaikan. Tak perlu hina kami dengan kata-kata yang boleh menjatuhkan maruah kami yang juga seorang wanita," tegasnya.

Majoriti pelayar yang dipercayai jururawat juga memberikan sokongan dan menghentam kritikan Tuan Cham Cham tersebut.

"Kenapalah prasangka negatif. Tuan Cham Cham ni.. Tugas kami merawat dan membantu.. Masya-ALLAH jangan sangka kami bukan-bukan. Tiada apa yang kami harapkan dan sangat-sangat gembira melihat pesakit kami datang dengan sakit dan pulang dengan sihat...," kata Mma Aini Ahmad .

"Adik aku, sepupu aku pun kerja jururawat. Hormatilah kerja orang. Tukang sapu sampah pun ada maruah. Inikan pula jururawat. Dunia ni bulat. Jangan bangga sangat apa yang kita ada. Tak kekal mana pun," kata Kenji Faizal.

"Biadapnya laki tu... Harap nanti dia sedar la kebodohan dia tu boleh makan diri dia," kata Fiena Annie.

- Sumber: Sinar Harian 

Penemuan cebisan tulang, sisa kayu api

Kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya

PUTRAJAYA - Polis menemui cebisan tulang manusia dan sisa kayu api, yang digunakan untuk membakar mayat-mayat mangsa, berdasarkan maklumat daripada dua tertuduh, Mahkamah Rayuan di sini diberitahu hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin berkata, petunjuk utama yang mengukuhkan kes pendakwaan ialah apabila T.Thilaiyalagan dan R.Kathavarayan membawa polis kepada penemuan beberapa barang bukti yang dilupuskan mereka. 

Thilaiyalagan dan Kathavarayan menunjukkan tempat di mana cebisan tulang manusia dan abu dibuang ke dalam Sungai Panchau, katanya sambil menjelaskan bahawa Kathavarayan adalah yang pertama menunjukkan tempat tulang dan abu mayat itu.

Menurutnya Kathavarayan dan Thilaiyalagan serta lelaki ketiga U. Suresh juga membawa polis ke tempat lain untuk mengambil barang-barang yang menjadi bahan bukti.

Suresh kini menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan barang bukti berkaitan pembunuhan. 

Saiful Edris berkata, tiga telefon bimbit milik pembantu Datuk Sosilawati Lawiya dijumpai di kunci air Pasar Besar Banting selepas Kathavarayan dan Thilaiyalagan membawa polis ke sana.

Beliau berkata sebuah jam tangan Seiko Honda Racing Team milik pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, turut dijumpai selepas kedua-dua tertuduh dan Suresh membawa polis ke Jambatan Sungai Endah.

Kathavarayan dan Suresh juga membawa polis ke Jambatan Sungai Endah dan menemui sebuah jam tangan 'Bell & Ross' kepunyaan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, katanya.

Menurutnya Thilaiyalagan membawa polis ke tempat pembuangan sampah Sungai Arak, di mana 14 sisa kayu api yang digunakan untuk membakar mayat mangsa ditemui.

"Setibanya di situ, perayu kedua (Thilaiyalagan) berkata: 'Kayu ini gunakan bakar mereka'," kata beliau. 

Saiful Edris berkata, Thilaiyalagan dan Suresh turut membawa polis ke Sungai Kelanang yang membawa kepada penemuan enam kepingan zink yang digunakan sebagai tapak untuk membakar mayat-mayat mangsa.

Saiful Edris berhujah demikian pada prosiding mendengar rayuan yang dikemukakan oleh bekas peguam N. Pathmanabhan, 45, dan pekerja ladang iaitu Thilaiyalagan, 23, R.Matan, 24 dan Kathavarayan, 35, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mensabitkan dan menjatuhi hukuman mati terhadap mereka kerana membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, Ahmad Kamil, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin, 44.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos, 2010.

Saiful Edris berkata Suresh juga membawa sepasukan polis ke Subang Jaya, tempat kereta BMW X5 berwarna hitam yang digunakan oleh Sosilawati pada hari beliau ke Banting, ditemui di dalam longkang.

Beliau berkata, maklumat yang diberi oleh kedua-dua tertuduh dan Suresh hingga menghasilkan penemuan barang-barang itu di sekitar Banting dan Subang Jaya, boleh diterima.

Saiful Edris berhujah bahawa Pathmanabhan mempunyai motif untuk membunuh Sosilawati kerana dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk cek bernilai RM3 jut dan RM1 juta yang perlu dibayar kepada Sosilawati hasil penjualan tanah di Pulau Pinang.

Perbicaraan di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Aziah Ali bersambung pada Isnin. 

- Sumber: Bernama

Muhyiddin bukan dalang komplot‎, kata TPM

Ahmad Zahid Hamidi

SERI MANJUNG - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam ini mengesahkan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak terlibat dalam komplot untuk mengulingkan kerajaan.
Menurut Ahmad Zahid, pendedahan itu dibuat kerana beliau faham situasi yang sedang dialami oleh Timbalan Presiden Umno tersebut yang telah digugurkan dari Kabinet. 

"Saya juga pernah jatuh, jadi saya faham situasi orang jatuh. Kita tidak akan henyak orang yang jatuh.

Jangan salahkan beliau (Muhyiddin) kerana ada orang lain yang bercita-cita untuk jatuhkan kerajaan,'' katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Umno Bahagian Lumut malam ini.

Katanya, individu berkenaan menyatakan komplot bukan untuk menjatuhkan kerajaan tetapi untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.‎

"Kononnya komplot ini untuk jatuhkan PM. Kita anggap PM adalah satu institusi yang harus dihormati.

"Apabila saya dedahkan perkara ini kenapa individu berkenaan perlu takut,"katanya.

Semalam Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ampang mendedahkan terdapat gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pembangkang dan turut didalangi pemimpin BN termasuk Umno.

Beliau berkata, rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli Parlimen pembangkang, serta cuba menarik ahli Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui 'jalan belakang'.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau mendapat maklumat itu daripada sumber yang sangat boleh dipercayai.

- Sumber: Sinar Harian