Gerard hanya berusia 18 tahun ketika didakwa menikam Rita pada tahun 1990.
SYDNEY: Seorang lelaki warga Australia didakwa membunuh seorang ahli perniagaan berbangsa Cina dengan kerakyatan Malaysia, di rumahnya di Sydney, Australia dalam satu kes yang berlaku lebih dua dekad lalu.
Gerard Philip Caleo, abang ipar mangsa, Rita Caleo, didakwa di mahkamah pada Selasa, menurut laporan antarabangsa seperti Daily Mail dan Daily Telegraph.
Gerard, 42 tahun, ditahan oleh penyiasat pembunuhan sesampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney, dari Kuala Lumpur pada 15 Ogos.
Menetap di Thailand, Gerard merupakan Pengurus Besar di Hard Rock Cafe di Phuket.
Gerard masih berusia 18 tahun ketika didakwa menikam Rita sehingga mati di dalam bilik air di apartmen mewah miliknya, lewat malam pada 10 Ogos 1990, ketika anaknya yang berusia 4 tahun dan bayi perempuannya sedang tidur di bilik sebelah.
Pembantu rumah Rita kemudiannya terdengar bunyi dari bilik tidur utama, sebelum menjumpai mayat Rita pada jam 1.30am.
Pada waktu pembunuhan, suami Rita, Mark Caleo sedang sedang bekerja di salah satu cawangan restoran Itali miliknya di Sydney.
Rita merupakan anak kepada bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Peter Chye.
Hanya 10 bulan sebelum kematiannya, abangnya Dr. Michael L. Chye ditembak mati ketika sedang duduk di dalam kereta Mercedes Benz di garaj rumah agamnya di Woollahra, Sydney.
Sementara itu, Sydney Morning Herald melaporkan bahawa Rita telah menghantar sepucuk sampul surat sulit kepada peguam caranya tiga bulan sebelum kematiannya.
Pada sampul surat tersebut tertulis: “Hanya buka sekiranya kematian secara luar biasa.”
Selepas kematiannya, sampul surat tersebut telah dibuka oleh peguam cara terbabit dengan disaksikan penyiasat.
Rita telah menuduh dua orang yang merancang pembunuhan abangnya, dan dalam kes di mana dia mati secara luar biasa, tertuduh yang sama yang bertanggungjawab ke atas kematiannya.
- Sumber: Astro Awani