Jb
KELIBAT wanita ini menerusi karpet merah industri hiburan Hollywood barangkali tidak perlu diperkenalkan lagi.
Biarpun sering membawakan watak pembantu, namun semua karakter pasti dibawa dengan jayanya.
Maka tidak hairanlah apabila dia sering membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Terbaik dan antara watak yang melonjakkan namanya adalah menerusi filem francais Hunger Game sebagai Effie Trinket.
Namun lupakan seketika karakternya sebagai si penasihat dengan imej pelik itu kerana pelakon yang sudah hampir 20 tahun dalam industri seni ini bakal menarik perhatian ramai menerusi peranannya sebagai si antagonis, Rita Repulsa dalam naskhah adiwira yang terkenal pada 90-an, Power Rangers.
Berkongsi pengalamannya terlibat dalam filem arahan Dean Israelite ini, pelakon berusia 43 tahun ini berkata, dia perlu melalui proses solekan dan memakai kostum selama empat jam.
"Saya rasa hanya karakter itu aja yang ambil masa lama untuk bersiap kerana perlu pakai silikon dan bersolek. Ramai kru banyak menghabiskan masa untuk saya sahaja," katanya sambil ketawa.
Tapi di sebalik kepayahan itu, Banks bangga apabila penerbit dan pengarah memberi kepercayaan dia membawakan antara watak yang cukup terkenal itu.
"Apatah lagi saya tidak pernah membawakan watak penjahat yang mempunyai kuasa sebelum ini," jelasnya.
Tambahnya, karakter Repulsa juga berbeza dengan apa yang pernah diterjemahkan kerana Repulsa adalah seorang penjahat yang mempunyai visi dan misinya.
"Rita Repulsa dulu adalah seorang ahli sihir dan yang terkini ia adalah makhluk asing yang tidak boleh dijangka, merbahaya dan dalam masa sama agak lucu.
"Dia juga percaya apa yang dia mahu pasti akan dapat dan sentiasa memikirkan sesuatu yang mustahil itu boleh dicapai. Contoh seperti asteroid jatuh ke bumi dan kemudian kita berada dalam musim nuklear. Ia seperti itu," katanya.
Banks berkata, versi Power Rangers kali ini lebih matang dan bergerak seiring dengan kecanggihan teknologi.
Power Rangers adalah naskhah ketiga selepas Mighty Morphin Power Rangers: The Movie pada 1995 dan Turbo: A Power Rangers Movie (1997).
Bagaimanapun, jalan cerita filem terbaru ini tiada kaitan dengan dua filem terdahulu itu.
Menampilkan barisan wajah baru, filem ini membariskan pelakon seperti Dacre Montgomery sebagai Jason Scott, Naomi Scott (Kimberly Hart), RJ Cyler (Billy Cranston), Ludi Lin (Zack) dan penyanyi Becky G (Trini).
Power Rangers mengisahkan lima pelajar sekolah perlu berubah menjadi adiwira bagi menyelamatkan bandar didiami mereka, Angel Grove dan juga dunia daripada ancaman makhluk asing.
Inspirasi buat generasi baru
Ditanya mengenai pemilihan filem yang kebanyakannya menyaksikan dia bergandingan dengan pelakon muda dan jalan cerita yang bersesuaian dengan generasi muda, Banks menjelaskan, dia adalah individu yang suka memberi inspirasi kepada golongan itu.
"Saya sangat suka bercakap dengan anak muda dan tidak dinafikan saya suka terlibat dengan filem yang digemari mereka.
"Lagipun bukan sesuatu yang mudah untuk seorang wanita yang berusia 43 tahun terlibat dengan naskhah yang digemari oleh generasi baru.
"Jadi saya lihat itu sebagai satu kelebihan kerana secara tidak langsung, memberi inspirasi kepadam mereka menerusi penceritaan dalam lakonan.
"Malah saya rasa sekiranya kita mahu bercakap dengan generasi muda, tidak semestinya melalui karakter sebagai seorang ibu atau isteri, tetapi watak lain yang boleh berkait dengan mereka," katanya.
- Sumber: Sinar Harian | 18 Mac 2017