Saturday, 11 January 2014

Irma Hasmie bakal timang anak kedua

Irma Hasmie bakal timang anak kedua

SHAH ALAM - Pengacara, Irma Hasmie dan suaminya Redza Syah Azmeer dilaporkan bakal menimang cahaya mata kedua.

Berita gembira ini dikongsi oleh Redza Syah Azmeer menerusi gambar di Instagram yang memaparkan gambar bayi yang telah 'discan’.

“Alhamdulillah...Alhamdulillah..Alhamdulillah...Allahuakbar...Allahuakbar...Allahuakbar!

“Terima kasih atas pemberian zuriat pada kami Ya ALLAH... Doakan Irma Hasmie dipermudahkan untuk terima amanah ALLAH SWT... Saya sangat bangga dengan kamu, mommy :) Syukur alhamdulillah,” tulisnya di instagram.
Pasangan ini dikurniakan anak sulung pada 29 Mac tahun lalu yang diberi nama Redza Syah Irfhan Shah Redza. -- Sinar Harian 

Terengganu mula dilanda banjir gelombang kedua

-- gambar fail


KUALA TERENGGANU: Banjir gelombang kedua mula melanda Terengganu apabila 155 orang daripada 45 keluarga di daerah Kemaman dipindahkan sejak awal pagi Jumaat.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga pukul 9 pagi Sabtu, tiga pusat pemindahan mangsa banjir dibuka.

Ia membabitkan Balai JKKK Padang Kubu yang menempatkan 87 orang; berek kilang Padang Kubu, 33 orang daripada lapan keluarga dan Rumah Pegawai Sungai Mas seramai 35 orang daripada 11 keluarga.

Kesemua mereka mula berpindah ke pusat pemindahan kira-kira pukul 8 pagi Jumaat berikutan kawasan kediaman mereka yang rendah dinaiki air limpahan hujan.

Dalam kejadian banjir gelombang pertama baru-baru ini, daerah Kemaman merupakan kawasan yang teruk terjejas menyebabkan puluhan ribu orang terlibat dalam bencana itu.

Sementara itu, di daerah Kuala Terengganu, cuaca pada sebelah pagi buruk dengan angin kencang disertai hujan lebat sekali-sekala.

Astro Awani 

Kronologi pesawat Cessna terhempas di Malaysia

Insiden pesawat Cessna 172 terhempas di Empangan Batu, Ulu Yamsemalam menjadikan 13 kes pesawat jenis itu terhempas sejak 1973.

Berikut ialah kronologi pesawat Cessna terhempas di negara ini;

* 10 Nov 1973 - Sebuah pesawat Penang Flying Club, jenis enjin tunggal Cessna terhempas dan meletup berhampiran kawasan penerbangan Pulau Langkawi menyebabkan juruterbangnya terbunuh.

* 10 Jan 1982 - Pesawat Cessna 26 dengan Menteri Luar Negeri Tan Sri Ghazali Shafie dan dua yang lain, terhempas di gunung di Kampong Som Som Hilir berhampiran Kampong Janda Baik, 37.5km dari Kuala Lumpur. Hanya seorang juruterbangnya terselamat iaitu Tan Sri Ghazali dan pesawat itu adalah milik Kelab Penerbangan Diraja Malaysia.

* 23 Mac 1987 - Sebuah Cessna 177, dalam penerbangan ke Ipoh dari Pulau Pinang terhempas di Kampung Paya, Pengkalan Pegoh, 6.5km dari Lapangan Terbang Ipoh, Perak dan tiga penumpangnya terselamat.

* 10 Sept 1992 - Sebuah Cessna 172 terhempas di dalam paya bakau berhampiran Pulai Kelumpang, Bagan Serai, setelah berlepas dari landasan terbang Taiping mengakibatkan juruterbang dan tiga penumpangnya terbunuh.

* 28 Feb 1996 - Pelatih Juruterbang dari Mofaz Flying Academy, Ahmad Izwani Md Zainal, 23, terselamat apabila Cessna 152 terbalik dalam nahas semasa mendarat di sawah padi kira-kira dua kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Mat Sirat.

* 2 Mac 1997 - Sebuah pesawat Mofaz Air Cessna 172 terhempas dalam sebuah paya di Kampung Bakau, Kelibang, kira-kira 5km dari bandar Kuah, Pulau Langkawi.  Juruterbang, Nik Alfian Nik Abdul Ghani, 26, dan dua jurukamera Abdul  Razak Mohd Noor, 43, dan Ishak Latif, 32, dari Filem Negara maut dalam nahas itu.

* 7 Feb 2000 - Pesawat Cessna 172 berkedudukan empat yang dipajak kepada Kelab Penerbangan Diraja Selangor terhempas di Kampung Merting, dekat Taman Negara, Pahang selepas melanggar kabel keluli 20m tinggi merentasi 150m-luas Sungai Tembeling. Impak nahas ke dalam sungai itu menyebabkan kapal terbang patah kepada lima kepingan dan tiga terbunuh.

* 18 Jun 2000 - Sebuah pesawat ringan Cessna 172 milik sekolah penerbangan Flyright Air Sport Sdn Bhd, yang membawa empat orang, terhempas di Laut China Selatan 100 meter dari perairan Kampung Sri Pantai, Mersing, Johor. Dua maut manakala dua lagi terselamat kerana menggunakan payung terjun.

* 16 Ogos 2001 - Sebuah pesawat Cessna 402B enjin-berkembar bersama lima orang terhempas semasa mendarat kira-kira 3km dari Batu Arang kem askar di Rawang pada 3.50 petang, berikutan kegagalan enjin menyebabkan lima cedera.

* 11 Okt 2001 - Sebuah kapal terbang Cessna 172 terhempas di landasan di pangkalan Tendera Udara Diraja Malaysia di Sungai Besi semasa membuat pendaratan. Juruterbang dan dua pekerja Jerman selamat.

* 26 Jan 2009 - Seorang juruterbang warga Singapura terselamat setelah pesawat Cessna 152 terjatuh dan tersangkut di atas sebatang pokok dengan muncungnya menghala ke bawah pada lereng sebuah bukit di dalam hutan simpan di Gunung Pulai, Johor.

* 29 Julai 2012 - Seorang juruterbang warga Singapura terbunuh selepas pesawat ringan jenis Cessna yang dipandunya terhempas di sebuah kebun sawit di Kampung Parit Puasa, Ayer Baloi, Pontian, Johor.

** sumber: Bernama


Dikemaskini oleh ASTRO Awani 

Setiap alat boleh digodam jika disambung ke internet


-gambar fail


LAS VEGAS: Para penggodam yang mendapat masuk ke komputer atau telefon pintar anda kini boleh menggodam alat-alat yang menggunakan internet.

Berus gigi elektronik, peralatan sukan dengan sensor dan peti sejuk pintar adalah beberapa benda yang dipamerkan ketika Pameran Elektronik Pengguna Antarabangsa.

"Benda-benda itu semua hebat tetapi ia boleh digodam,” kata pengarah Symantec Security Response Kevin Haley.

"Jika objek itu disambungkan ke Internet, anda akan mendapat mengesannya dan jika ia mempunyai OS (sistem operasi), ia boleh digodam,” kata beliau kepada AFP di Las Vegas dimana expo itu berlangsung.

Haley berkata kadar inovasi boleh mendahului sistem keselamatan yang ada.

"Apabila kita membawa pulang gajet-gajet berkenaan, kita harus bertanggungjawab,” katanya.

Antara produk-produk yang dipamerkan ketika CES termasuk bola keranjang kawalan jauh dan pakaian bayi yang boleh memantau pernafasan bayi dan kedudukannya.

Penyelidik keselamatan telah menunjukkan berkemungkinan, sekurang-kurangnya dalam teori, kereta elektronik dan alat perubatan boleh digodam.

Ketua strategi keselamatan Catalin Cosoi berkata ancaman ini boleh berlaku secara teori setakat ini.

"Saya tidak fikir orang jahat telah memahami manfaat untuk mereka membuat perkara-perkara seperti ini," katanya.

Tetapi Cosoi berkata beberapa kes godaman yang berlaku telah membuat orang ramai mengambil perhatian tentang isu ini.

"Kami pasti akan melihat sesuatu yang berlaku tahun ini... kita mungkin mempunyai mangsa yang pertama dan berkemungkinan boleh cedera akibat ini," katanya.

Pengenalan pintu yang boleh dikawal menggunakan internet menimbulkan soalan jika ia boleh digodam.

Alex Colcernian, Pengarah pembangunan produk di Unikey, berkata kunci kawalan jauh Kwikset mempunyai teknologi keselamatan “gred tentera” yang tidak boleh digodam.

Leo Herlin dari Medissimo yang berpangkalan di Perancis memperkenalkan kotak pil pintar, dan berkata sistem itu adalah "sangat selamat" untuk mengelakkan pencerobohan yang tidak diingini.

Salah satu faktor yang mengurangkan risiko ini ialah nilai yang boleh diperoleh oleh para penggodam: adakah mereka akan menggodam peti ais seseorang untuk senarai benda-benda keperluan yang ingin dibeli (grocery list)?

" nda perlu menjadi pengguna yang bijak apabila menggunakan gajet-gajet pintar," kata jurulatih produk LG Randy Overton di mana syarikat berkenaan memperkenalkan beberapa produk yang boleh berkomunikasi bersama pemiliknya menggunakan sistem pesanan ringkas.

Untuk mengurangkan kebimbangan pengguna, Intel mengumumkan bahawa ia akan menawarkan perkhidmatan keselamatan McAfee secara percuma.

Ketua Eksekutif Intel Brian Krzanich memberitahu bahawa dengan menawarkan tahap keselamatan ini “ia akan membolehkan ekosistem ini untuk berkembang."

Pembuat peralatan Cisco menganggarkan 50 bilion objek di seluruh dunia akan dihubungkan pada tahun 2020.

"Ia adalah mustahil untuk meletakkan perisian keselamatan pada setiap objek," kata David Orain dari Cisco.

Jawapannya ialah untuk melihat dan menangani "aktiviti yang tidak normal", kata Orain, sambil berkata ini adalah sebahagian daripada apa Cisco menawarkan kepada pelanggannya.

Salah satu kebimbangan utama adalah mengenai keselamatan dalam aplikasi industri.

Andreas Haegele yang berpangkalan di Perancis dengan firma keselamatan digital Gemalto berkata pengesanan elektronik telah dilakukan selama beberapa dekad untuk perkara-perkara seperti penghantaran kapal dan platform petroleum, dan bahawa keselamatan objek-objek ini diberi fokus utama.

Pegawai keselamatan siber AS juga telah meningkatkan amaran untuk penggodam bagi infrastruktur penting seperti saluran paip dan pembekalan kuasa.

Haley dari Symantec berkata kes kamera pengasuh digodam mendapat perhatian bulan lepas tetapi tiada perkara yang serius berlaku.

Tetapi teknik yang sama boleh digunakan untuk menggodam industri lain.

"Jika saya boleh melihat kamera keselamatan kilang pesaing saya, saya dapat melihat bagaimana mereka bekerja,” kata Haley.

AFP 

Kubur kanak-kanak digali: Polis nafi unsur khianat

KUALA TERENGGANU - Pihak polis percaya tiada unsur khianat berhubung kewujudan lubang di kubur seorang kanak-kanak yang meninggal dunia kira-kira lapan bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner K. Manoharan berkata bagaimanapun siasatan lanjut berhubung insiden itu tetap dijalankan.

"Setakat ini kita tidak melihat ada unsur khianat dalam kes ini berikutan keranda masih berada dalam keadaan baik namun hanya sebahagian tanah yang hilang.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan berlaku mendapan tanah atau sebaliknya namun kita akan terus menyiasat kejadian ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam seorang bapa, Kamaruddin Muhammad, 44, membuat laporan polis selepas mendapati kubur anak perempuannya di Tanah Perkuburan Kampung Binjai Berambu, Padang Midin di sini, berlubang dipercayai akibat digali oleh pihak tertentu.

Kejadian itu disedari anggota jawatankuasa keselamatan dan kemajuan Kampung (JKKK) yang mengadakan gotong-royong membersihkan tanah perkuburan itu kira-kira pukul 9 pagi semalam.

Terdapat lubang sedalam kira-kira satu meter di kubur anaknya itu yang meninggal dunia ketika berusia sembilan bulan dan si bapa percaya perbuatan dilakukan oleh pihak tertentu yang mempercayai amalan khurafat.

Arwah anaknya Siti Nur Anisah merupakan anak bongsu daripada enam beradik, meninggal dunia disebabkan komplikasi jantung dan jangkitan paru-paru.-- Bernama

Sharifah Aleya selamat nikah kali kedua

Sharifah Aleya
Sharifah Aleya selamat bernikah dengan Miko atau nama sebenarnya Muhammad Azam Abdullah. - Foto Ihsan Twitter Farah Fauzana


SETELAH hampir dua tahun bersendiri, penyampai radio dan pelakon, Sharifah Aleya kembali menemui cinta baharunya.

Lebih mesra dipanggil Leya, anak sulung kepada Fatimah Abu Bakar itu dilaporkan telah selamat bernikah dengan Miko atau nama sebenarnya Muhammad Azam Abdullah.

Memetik laporan Facebook Artis Malaysia, mereka berdua diijabkabulkan di Masjid Al-Mukarramah, Sri Damansara Petaling dalam majlis serba sederhana.

Leya bercerai bekas suaminya pada 29 Februari 2012 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua anak kembar perempuan Aza Ameena dan Asha Ameena.

Sementara itu, melalui laman mikro Twitter adiknya yang juga pelakon popular, Sharifah Amani dipetik sebagai berkata, "syukur alhamdulillah. Selamat semuanya.

"Terima kasih ya ALLAH. Restui mereka dengan cinta, kedamaian dan kegembiraan sehingga ke jannah. Insya-ALLAH. Amin," katanya

Bapa kesal kubur anak digali

KUALA TERENGGANU - Kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungawab menggali kubur anak perempuannya yang meninggal dunia kira-kira lapan bulan lepas, seorang lelaki hari ini membuat laporan polis.

Terdapat lubang sedalam kira-kira satu meter di kubur anaknya itu yang meninggal dunia ketika berusia sembilan bulan.

"Saya percaya ini dilakukan oleh pihak tertentu yang mempercayai amalan khurafat...kerana tiada longgokan tanah yang digali itu di kawasan kubur berkenaan," kata Kamaruddin Muhammad, 44, ketika ditemui pemberita di tanah perkuburan Kampung Binjai Berambu, Padang Midin di sini sini hari ini.

Katanya dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) selepas mengadakan gotong-royong membersihkan tanah perkuburan itu kira-kira pukul 9 pagi ini.

Susulan itu, katanya dia membuat dua laporan polis iaitu di Balai Polis Chabang Tiga dekat sini dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Ekoran laporan polis itu, sepasukan anggota Balai Polis Chabang Tiga dan dua anggota Unit Cawangan Jenayah, IPK Terengganu turun padang bagi menjalankan siasatan di tanah perkuburan itu petang ini.

Kamaruddin berkata dia dengan kerjasama penduduk setempat telah menutup lubang di kubur anak perempuannya itu dengan tanah.

Katanya dia juga telah berbincang dengan JKKK untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tanah perkuburan yang berusia hampir 100 tahun itu tidak lagi dicerobohi termasuk mengadakan pemantauan dan membina pagar di kawasan sekitar.

Katanya arwah anaknya Siti Nur Anisah merupakan anak bongsu dari enam beradik meninggal dunia disebabkan komplikasi jantung dan masalah jangkitan paru-paru.

"Saya tidak faham dan tidak tahu apa tujuan sebenar mereka menggali kawasan kubur anak saya itu. Saya kesal dengan perbuatan tidak bermoral itu, di zaman serba moden ini masih ada pihak mengamalkan amalan khurafat," katanya. - Bernama

Alza baru lebih murah, harga bermula RM52,400

Alza baharu murah
Aminar (kanan) bersama Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin (tengah) dan Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd Yasumitsu Morita dengan Alza baharu. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI


PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melancarkan kereta Perodua Alza serba baharu dengan pengurangan harga atas jalan antara dua dan tujuh peratus berbanding sebelum ini, menjadikannya kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan harga paling kompetitif di pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Aminar Rashid berkata, selain pengurangan harga atas jalan, Alza baharu itu juga melalui penambahbaikan keseluruhan bernilai RM4,000.

“Pengurangan harga ini dibuat melalui pengurangan kos secara berkesan bermula rangkaian pembekal, kilang, pembuatan, pusat servis, pusat jualan serta menambah baik produktiviti barisan hadapan.

“Kami mampu kurangkan harga atas jalan Perodua Alza generasi baharu ini antara RM1,000 sehingga RM5,500 (bagi tiga varian berbeza), sekali gus menyahut seruan kerajaan supaya syarikat automotif melakukan pengurangan harga kenderaan secara berperingkat,” katanya dalam Majlis Pelancaran Perodua Alza Generasi Baharu di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, Perodua menyasarkan 4,300 unit Alza baharu itu dijual setiap bulan tahun ini, berbanding 3,800 unit setiap bulan bagi model sebelum ini pada 2013.

"Kami sasarkan peningkatan sumbangan jualan Alza kepada 26 peratus daripada jualan keseluruhan Perodua tahun ini, berbanding 23 peratus tahun lalu,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada November 2009 sehingga Disember 2013, sebanyak 169,000 unit Alza berjaya dijual.

Menurut Aminar, jumlah keseluruhan MPV yang dijual daripada 2010 sehingga 2013 di Malaysia adalah 396,000 unit, menjadikan Alza MPV paling banyak dijual sepanjang tempoh itu.

Perodua Alza generasi baharu ditambah baik melalui ciri-ciri keselamatan lebih baik, rekaan dalaman lebih versatil dan penjimatan penggunaan minyak.

Ia boleh didapati dalam tiga varian iaitu standard dan edisi Khas dengan transmisi automatik dan manual, serta Versi Advanced transmisi automatik serendah RM52,400 sehingga RM64,000 seunit.


Sinar Harian 

China lapor kes baharu selesema burung H7N9

China lapor kes baharu H7N9

BEIJING:  Wilayah Fujian di tenggara China melaporkan kes pertama H7N9 membabitkan manusia pada Jumaat selepas seorang lelaki berusia 38 tahun meninggal dunia akibat jangkitan itu.



Menurut Suruhanjaya Kesihatan dan Perancang Keluarga wilayah itu, lelaki dengan nama keluarga Zeng dari daerah Hui’an, bandar raya Quanzhou, disahkan dijangkiti selesema burung H7N9 pada awal hari Jumaat.

Lelaki itu meninggal dunia pada pagi hari yang sama selepas dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu, lapor agensi berita Xinhua.

Sementara itu, kes baharu H7N9 membabitkan manusia dilapor pada Khamis di wilayah Zhejiang di timur China, membabitkan seorang wanita berusia 51 tahun yang disahkan dijangkiti virus berkenaan pada Rabu.

Xinhua melaporkan wanita itu kini berada dalam keadaan kritikal di hospital tempatan.

Kira-kira 150 orang di China dijangkiti virus itu sejak wabak tercetus pada Mac 2013. - BERNAMA 

Polis buru dua lelaki terbabit dalam cubaan culik di Pulau Pinang

Polis buru dua lelaki terbabit dalam cubaan culik di Pulau Pinang

GEORGE TOWN:  Polis sedang memburu dua lelaki yang terbabit dalam cubaan menculik seorang akauntan berhampiran sebuah hotel di Tanjong Tokong pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata polis sudah mengenal pasti nombor pendaftaran dan kenderaan yang diguna oleh suspek dalam kejadian 9.30 pagi itu.

Suspek dipercayai berusia antara 20-an dan 30-an, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas kes itu, Gan berkata mangsa, seorang lelaki berusia 25 tahun, dalam perjalanan ke tempat kerja apabila keretanya dilanggar dari belakang oleh kereta yang dinaiki dua lelaki.

Mangsa kemudian memberhentikan kereta dan turun dari kenderaannya untuk berunding dengan dua lelaki tersebut apabila secara tiba-tiba seorang daripada suspek menekup muka mangsa menggunakan tuala kecil yang dipercayai mengandungi bahan kimia.

Mangsa juga dipukul sebelum cuba ditarik masuk ke dalam kereta suspek, katanya.

Bagaimanapun kata Gan, mangsa sempat menjerit meminta tolong dan berjaya menarik perhatian orang awam yang bergegas membantu mangsa, menyebabkan suspek melarikan diri menaiki kereta jenis Proton Gen 2.

Gan berkata kes itu disisasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. - BERNAMA 

Pesawat Cessna dilaporkan hilang, nasib tiga individu belum diketahui

KUALA LUMPUR:  Operasi mencari dan menyelamat tiga individu yang menaiki pesawat ringan jenis Cessna yang dilaporkan hilang pada petang semalam disambung semula hari ini.

Pesawat berkenaan dilaporkan hilang di sekitar kawasan Ampangan Batu dekat Batu Caves kira-kira pukul 6 petang semalam selepas terputus hubungan dengan menara kawalan.

Operasi mencari dan menyelamat kemudian digerakkan oleh pasukan bomba dan polis kira-kira tiga jam selepas pesawat berkenaan tidak kembali ke pangkalan, lapor New Straits Times.

Pesawat milik Kelab Penerbangan Diraja Selangor itu dilaporkan berlepas dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang kira-kira pukul 5.20 petang.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kehilangan pesawat berkenaan.

Sehingga tengah malam tadi, nasib penumpang, juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat berkenaan belum diketahui.


- ASTRO Awani , Jan 11