Friday, 14 February 2014

Aedes: Kem PLKN dipantau

nyamuk aedes denggi

KUALA KANGSAR - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sentiasa memantau kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi membasmi pembiakan nyamuk aedes.

Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata setakat ini tiada kes yang dilapor di semua kem di seluruh negara.

"Kita telah berhubung dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan untuk ambil tindakan sesuai bagi memastikan denggi tidak merebak di kem PLKN.

"Saya juga minta pengusaha kem untuk ambil tindakan sesuai kalau ada elemen yang boleh menyebabkan denggi merebak di kem mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat Kem PLKN Desa Rimba dekat sini hari ini.

Beliau berkata langkah itu diambil berikutan peningkatan kes denggi di seluruh negara sejak kebelakangan ini.

Abdul Hadi berkata selain itu melalui program khidmat komuniti yang disertai pelatih PLKN, mereka digalak memfokus kepada usaha menghalang pembiakan nyamuk aedes.

"Pelatih PLKN bersama Briged Sukarelawan Khidmat Negara akan mengadakan aktiviti dalam masa satu atau dua minggu lagi melalui program khidmat komuniti dan saya harap mereka akan fokus kepada tempat tertentu yang boleh mengelak denggi daripada merebak," katanya.

Beliau berkata untuk tujuan itu, mereka boleh bekerjasama dengan pihak kerajaan tempatan dan masyarakat setempat untuk membersihkan kawasan persekitaran.

Kini terdapat 32,000 pelatih yang sedang menjalani latihan di 79 kem PLKN di seluruh negara. - Bernama

Tiada tandingan Cai Lin muncul ratu renang SUKIPT

SHAH ALAM - Perenang wanita elit kebangsaan Khoo Cai Lin berjaya melengkapkan penguasaan merangkul enam pingat emas pada temasya Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Pusat Akuatik Darul Ehsan di sini.

Dalam dua acara hari ini, penuntut Kolej Universiti Taylor itu menyambar pingat emas dalam acara 200m kuak dada dengan catatan masa 3:04.72s, sekali gus
memperbaharui rekod kejohanan 3:07.05s.

Perenang berusia 25 tahun itu turut menepati ramalan dalam acara 400m gaya bebas apabila menggondol emas dengan masa 4:31.67s.

Sebelum ini, Cai Lin berjaya meraih pingat emas menerusi acara 800m gaya bebas, 400m rampaian individu, 100m kuak dada dan 1,500m gaya bebas.

Bagaimanapun, bekas perenang Olimpik 2008 dan 2012 itu hanya memperoleh pingat perak dalam acara 50m kuak lentang dengan masa 34.49s. 

Pencapaian cemerlang perenang negara itu menguatkan lagi peluang beliau untuk dinobatkan sebagai Olahragawai SUKIPT edisi kedua kali ini. 

"Walaupun berjaya meraih enam pingat emas, saya lihat temasya ini kurang memberikan saingan kepada saya. Namun sedikit sebanyak ia menjadi pemanas badan kepada saya," kata Cai Lin, pelajar jurusan komunikasi itu. - Bernama

Impian Anwar jika menang PRK

Anwar Ibrahim
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap dalam sesi Dialog Anak Muda di Sunway Resort Hotel, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI


KAJANG - Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa masuk veteran Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ke dalam pentadbiran Selangor sekiranya beliau berjaya memenangi PRK Dun Kajang bulan depan.

Menurutnya, Muhammad mempunyai kepakaran dalam program desa dan luar bandar selain akan dapat membantu dalam pentadbiran Selangor.

“Saya akan panggil beliau kerana kepakarannya dalam program desa dan luar bandar.

“Saya yakin, beliau akan dapat membantu dan memanfaatkan kepakarannya dalam pentadbiran kerana program Kajang dan Selangor ini adalah program untuk rakyat,” katanya dalam ucapan di Kompleks Penghulu Batu 10, Jalan Cheras, Kajang, semalam.

Muhammad atau lebih dikenali sebagai Mat Taib ketika zamannya memegang jawatan Menteri Besar Selangor pernah dicalit kontroversi apabila Mahkamah Majistret Brisbane memutuskan beliau bersalah membawa wang tunai berjumlah RM2.4 juta ke Australia.

Berikutan keputusan itu, beliau melepaskan jawatannya pada 1998 setelah memegang jawatan tersebut sejak 1986.

Menjelang PRU13, beliau ambil keputusan menyertai Pas dan turut giat berceramah dalam kempen PR.

Sinar Harian 

Guru cederakan pelajar diarah jalani pemeriksaan

IPOH - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak telah mengarahkan guru lelaki yang didakwa mencederakan empat pelajar dua hari lepas, menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Manjung.

Timbalan Pengarahnya Mohd Idris Ramli berkata guru berkenaan direhatkan selama seminggu sehingga 19 Feb ini dan diarahkan menjalani pemeriksaan itu berdasarkan laporan pihak sekolah bahawa guru itu dipercayai mengalami tekanan di samping masalah mental.

Beliau berkata ini kerana tindakannya mencederakan empat pelajar itu dilihat tidak normal berbanding hukuman rotan yang dianggap biasa.

Katanya selepas tempoh berkenaan guru yang mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris dan komputer di sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di Sitiawan itu akan ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Manjung sehingga
kes itu selesai.

"Kita akan meneliti dan menyiasat perkara ini dengan melibatkan semua pihak untuk mengetahui kejadian sebenar termasuk kesemua pelajar berkenaan. Kita telah menghantar dua pegawai kita ke sekolah berkenaan pagi tadi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Idris berkata guru berkenaan juga pernah terlibat dalam kejadian hampir sama di sekolah yang sama pada 22 Jan lepas namun ia berjaya diselesaikan secara baik dengan keluarga pelajar.

Hari ini, akhbar melaporkan guru berkenaan didakwa bertindak keterlaluan apabila membelasah empat pelajar di sekolah berkenaan pada 12 Feb lepas.

Seorang pelajar lelaki disepak di bahagian muka dan mengalami pendarahan di dagu ketika berada di makmal komputer selain seorang pelajar perempuan ditumbuk lima kali di bahagian muka sehingga menyebabkan cermin matanya patah.

Dua lagi pelajar turut didakwa menjadi mangsanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung ACP Jaafar Baba berkata pihaknya menerima laporan daripada empat pelajar berkenaan iaitu seorang pelajar Tingkatan Dua dan tiga pelajar Tingkatan Satu.

"Siasatan mendapati kejadian terhadap tiga pelajar Tingkatan Satu ada kaitan dengan tidak membawa buku latihan ke sekolah, manakala kejadian melibatkan seorang pelajar lagi mungkin tidak disengajakan adalah berkaitan botol air," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di sini.

Beliau berkata polis telah merekodkan keterangan daripada guru berusia 34 tahun itu semalam selain mendapatkan rekod kesemua pelajar terbabit daripada pihak sekolah dan rekod guru itu daripada PPD Manjung untuk siasatan. - Bernama

Artis dangdut Dewi Persik kurung diri dalam bilik elak ke penjara

Dewi Persik - Foto Facebook


JAKARTA: Bintang dangdut seksi Indonesia, Dewi Persik dilaporkan telah mengunci dirinya di dalam bilik pada Khamis bagi mengelak daripada dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman penjara tiga bulan.

Menurut laporan portal Jakarta Globe, keluarganya memberikan alasan bahawa Dewi atau lebih dikenali sebagai Depe ketika itu sedang sakit dan meminta pegawai berkenaan untuk kembali pada keesokan hari bagi membawa Depe ke penjara.

Depe bagaimanapun dilaporkan telah memuatnaik satu status di Twitternya dan meminta agar media tidak mensensasikan keengganannya untuk ditahan dan menyatakan dia sebenarnya sedang bersiap dan bukan mahu melarikan diri.

Hukuman penjara tiga bulan dikenakan ke atas Depe ekoran insiden pergaduhannya dengan Julia Perez yang telah dirakam dan dimuatnaik di YouTube.

Insiden tersebut tercetus ketika mereka berdua sedang berlakon di dalam satu babak yang sama, namun berlanjutan menjadi satu pertengkaran ketika kamera masih merakamkan babak sebenar filem berjudul ‘Arwah Goyang Karawang’ itu.

Julia Perez turut dikenakan hukuman yang sama dan telah selesai menjalani hukuman tersebut baru-baru ini.

Pihak pendakwaan bagaimanapun dilaporkan enggan menerima alasan ‘tidak sihat’ yang diberikan keluarga Depe.

“Dewi tidak sihat, kata mereka, tapi kami tetap akan tunggu,” ujar peguamcara, Ibnu Suud.

Dia turut menjelaskan bahawa alasan tersebut merupakan alasan biasa yang diberikan oleh mereka yang enggan ke penjara termasuk segelintir ahli politik dan selebriti.

Depe kemudian menyerah diri untuk dibawa ke penjara pada malam Khamis.

Dewi Persik pernah membuat persembahan di Malaysia pada 2011 bagi menjayakan Konsert Fiesta Indonesia.

Astro Awani 

Guru didakwa tumbuk, tendang murid gara-gara tidak bawa buku sekolah

ACP Jaafar Baba - Foto Astro AWANI


IPOH: Akibat tidak membawa buku sekolah, empat orang pelajar di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Sitiawan, Perak didakwa telah ditumbuk dan ditendang oleh guru mereka.

Mangsa dua lelaki dan dua perempuan masing-masing pelajar tingkatan satu dan tingkatan dua itu cedera di bahagian badan, pinggang, perut dan dagu akibat perbuatan guru tersebut.

Pihak polis yang bertindak atas laporan mangsa telah merakam percakapan kesemua mangsa serta guru berusia tiga puluh empat tahun itu pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Jaafar Baba memberitahu guru tersebut turut mempunyai kes yang sama pada Januari lalu namun perkara tersebut diselesaikan secara baik antara pihak sekolah, PIBG dan keluarga pelajar.

"Siasatan awal kita dapati kejadian ini ada kaitan dengan tidak membawa buku latihan. Yang satu lagi itu berkemungkinan berkaitan dengan perbuatan yang tidak sengaja dan sebagainya yang berkaitan dengan botol air,"

"Guru terbabit telah dipanggil semalam dan rakaman percakapan telah pun dibuat. Maknanya kita akan kumpul kesemua maklumat dan juga termasuklah laporan perbuatan ini dan kita akan panjangkan perkara ini kepada timbalan pendakwaraya untuk tindakan sewajarnya." katanya lagi.

Kesemua mangsa telah mendapat rawatan pesakit luar di hospital Seri Manjung.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan di mana jika di bersabit kesalahan, guru tersebut bakal dikenakan hukuman penjara selama setahun atau denda RM2000 atau kedua-duanya sekali.

Astro Awani 

Tidak mahu bersalin di penjara

Tidak mahu bersalin di penjara
Tertuduh cuba melindungi wajahnya daripada dirakam petugas media semasa dibawa keluar dari mahkamah.


AYER KEROH - Mahkamah Majistret di sini, memerintahkan seorang wanita yang sarat mengandung dipenjarakan selama 18 bulan kerana menipu seorang lelaki untuk berkahwin sehingga menyebabkan mangsa rugi RM29,800 dua tahun lalu.

Majistret Syajaratudur Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mimi Sahima Ismail, 29, selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 27 tahun untuk mempercayai bahawa dia akan berkahwin dengannya dan memulangkan wang yang dipinjam sehingga mendorong mangsa memasukkan wang sebanyak RM2,140 secara berperingkat antara 25 Mei dan 7 Jun 2012.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perkara yang sama sehingga mangsa terdorong memasukkan wang sebanyak RM4,100 secara berperingkat ke akaun tertuduh antara 16 Mei dan 9 Jun 2012.

Untuk pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan perkara sama sehingga mangsa bersetuju memasukkan RM12,150 secara berperingkat ke akaun tertuduh antara 31 Mei dan 6 Oktober 2012.

Dalam pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama sehingga mangsa memasukkan RM11,450 secara berperingkat ke dalam akaun tertuduh antara 10 Mei 2012 dan 26 April tahun lalu.

Kesemua kejadian ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara setahun dan 10 tahun dan sebat serta boleh didenda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam manakala tertuduh diwakili seorang peguam bela Pelatih Dalam Kamar (PDK).

Sementara dalam rayuannya, tertuduh memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman yang ringan atas alasan ingin bersalin di sisi ibunya dan tidak mahu bersalin di penjara.

Bagaimanapun, Nabilah memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana jumlah wang dalam kes ini tidak dapat dikembalikan.

“Lebih memalukan apabila tertuduh berjanji untuk berkahwin dengan mangsa tetapi sebaliknya berlaku apabila tertuduh sebenarnya telah berkahwin dengan lelaki lain,” katanya.

Dalam penghakimannya, Syajaratudur memerintahkan tertuduh di penjara selama 18 bulan bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, semua hukuman itu akan berjalan serentak.

Sinar Harian 

Isu pengganti: Sangkaan Taib Mahmud meleset

Abdul Taib Mahmud
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud


KUCHING - Mesyuarat tertutup Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hujung mingggu lepas yang menjadi titik tolak kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk memilih Tan Sri Adenan Satem sebagai pengganti beliau, tidak terlepas daripada saat-saat dramatik.

Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini berkata, Abdul Taib terperanjat apabila beliau bersama Adenan dan naib presiden kanan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan tidak bersetuju dengan Abdul Taib yang mahukan Majlis Tertinggi parti dan kaukus memilih penggantinya.

"Sebenarnya beliau (Abdul Taib) agak terkejut. Beliau menyangka kami akan bergaduh (sesama sendiri). Saya cuma mahu berterus-terang di sini. Kami bertiga bersetuju untuk memberikan mandat kepada beliau untuk membuat keputusan, katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Abang Johari, Awang Tengah bersama Adenan tersenarai sebagai calon berpotensi untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Menteri sebelum Abdul Taib mengumumkan semalam bahawa Adenan bakal menggantikan tempatnya apabila beliau berundur pada 28 Feb ini.

"Kemudian, kami (Abang Johari, Adenan dan Awang Tengah) mahu menghentikan mesyuarat Majlis Tertinggi dan kaukus dan Adenan mencadangkan kepada mesyuarat itu untuk memberikan mandat kepada Ketua Menteri (Abdul Taib) menamakan penggantinya dan saya menyokongnya. Itulah semangat berpasukan yang kami ada di PBB," katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Pelancongan negeri berkata, Adenan patut diberi cukup ruang dan masa untuk membuktikan kebolehannya menjadi Ketua Menteri Sarawak yang baharu.

"Dalam tempoh peralihan ini, kita perlu memberikan cukup ruang dan masa untuk Ketua Menteri yang baharu memahami selok belok pentadbiran dan kemudian untuk beliau bergerak ke hadapan meneruskan dasar-dasar (yang telah diletakkan oleh Abdul Taib)," katanya.

Beliau berkata ia bukan hanya menjadi hasrat beliau tetapi kesemua pemimpin-pemimpin Barisan Nasional di Sarawak untuk melihat peralihan kepimpinan negeri di antara Abdul Taib dan Adenan berjalan lancar, tidak seperti apa yang berlaku apabila Abdul Taib mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Ketua Menteri sebelum beliau, Tun Abdul Rahman Yaakub pada 1981.

"Semasa peralihan (antara) Tun Abdul Rahman kepada Taib terdapat masalah.

Sekarang kita tidak mahu masalah itu berlaku antara Abdul Taib dengan Ketua Menteri yang baharu. Apabila Abdul Taib memberitahu saya, Adenan akan menjadi Ketua Menteri yang baharu, saya memberi sokongan yang penuh kerana beliau (Adenan) memerlukan sokongan kami semua," katanya.

Beliau juga menepis spekulasi bahawa Adenan akan menjadi 'Ketua Menteri Interim' sementara menanti Perhimpunan Agung PBB yang akan datang.

"Seorang Ketua Menteri adalah seorang Ketua Menteri. Beliau (Adenan) adalah Ketua Menteri. Kita beri keutamaan kepada kepentingan parti," kata Abang Johari.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak perubahan-perubahan tertentu akan berlaku berikutan peralihan kepimpinan negeri tetapi perubahan sedemikian akan berlaku menerusi persefahaman di antara pihak yang terlibat.

"Apabila ada peralihan, memang ada penyesuaian. Dalam kes kami sudah pasti ada penyesuaian. Jika tidak ia akan statik. Perkara-perkara tertentu perlu diubah," katanya.

Abang Johari juga menolak kemungkinan campur tangan Abdul Taib dalam pentadbiran negeri apabila Adenan mengambil alih tugas Ketua Menteri.

"Apabila seseorang pemimpin meninggalkan legasi, beliau perlu memahaminya. Tetapi dalam kes ini beliau (Abdul Taib) memahaminya dan berharap penggantinya adalah lebih baik daripadanya," kata Abang Johari. - Bernama

Sanggup berparang demi air


DENGKIL : "Saya sanggup berparang demi hendak mendapatkan air bersih.''

Itu tegas peniaga kedai makan, Faridah Mahudin yang menyifatkan kelewatan lori tangki Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menghantar air punca pili air di kawasan itu dipecahkan.

Katanya, masalah ketiadaan air akibat penutupan Loji Air Bukit Tampoi di kawasan itu yang sudah lebih lapan hari dihadapi penduduk sekitar disifatkan semakin kronik seandainya lori tangki air SYABAS lewat sampai untuk menghantar bantuan.

"Sudah seminggu tidak berniaga, tidak tahu hendak cari di mana mata pencarian. Semuanya kerana tiada air bersih.

"Pili di sebelah ini dipecah penduduk kampung, kami berebut dan benar-benar terdesak hendak dapatkan air,'' ujarnya.

Faridah merupakan salah seorang daripada 8,000 keluarga yang menjadi mangsa ketiadaan air di Dengkil.

Bekalan air di kawasan itu terjejas sejak seminggu lalu selepas loji Bukit Tampoi dikesan mengandungi tahap ammonia tinggi.

Ia difahamkan akan dibuka seandainya tahap ammonia kembali ke paras selamat iaitu 1.3 peratus.

Pada masa kini, tahapnya berada dalam keadaan bahaya iaitu 5 peratus.

Sementara itu, pekerja swasta, Shah Wahid Mohd Amin mahu SYABAS menambah bilangan lori tangki air di kawasan itu.

Katanya, kekurangan bekalan menyebabkan penduduk yang tinggal di kawasan jauh tidak mendapat air.

"SYABAS harus memikirkan keperluan penduduk secara keseluruhannya. Jika hanya sedikit penghantaran air dari lori tangki yang dihantar, pasti masalah ini tidak akan berkesudahan,'' jelasnya.

Shah turut mencadangkan SYABAS mengadakan bekas takungan air sementara di setiap bahagian untuk memastikan bekalan air berpanjangan.

Difahamkan pada ketika ini, kira-kira 20 lori tangki air berulang alik dan menghantar bekalan di kawasan perumahan sekitar Dengkil.

Ia disifatkan masih kurang kerana setiap kawasan perumahan memerlukan sekurang-kurangnya sembilan lori tangki untuk sesuatu masa.

Keadaan itu turut menyebabkan pesakit kencing manis, Abdul Hamid Mohd Yatim merasakan bagai jatuh ditimpa tangga.

Kesukarannya bergerak untuk mendapatkan air semakin terasa selepas memberitahu, anaknya tidak ada di rumah pada waktu siang kerana bekerja.

"Bila sampai lori air itu rasanya seperti datang lori emas. Semua menanti-nanti kehadiran lori di tepi jalan, tetapi saya terpaksa menunggu di rumah,'' katanya.

Rata-rata penduduk terpaksa menunggu kehadiran lori tangki air SYABAS, seawal jam empat pagi.

Astro Awani 

Suhaida peserta tunggal wanita Endure Challenge

Suhaida peserta tunggal wanita Endure Challenge
Siti Nor Suhaida beraksi di atas motosikal lasak sempena Piala Tengku Amir-45 Enduro Challenge 2014 di litar Tasik Burung Mandi, Kemahang Hilir, Benta.


KUALA LIPIS - Sukan motosikal lasak (motorcross) tidak hanya terbatas kepada golongan lelaki sahaja dan ini terbukti apabila golongan wanita turut berminat untuk menceburi aktiviti berkenaan.

Ini jelas dibuktikan oleh peserta tunggal wanita Piala Tengku Amir-45 Enduro Challenge 2014, Siti Nor Suhaida Jafri, 18, yang teruja bersaing dengan lebih 300 peserta lelaki dalam pertandingan berkenaan.

Siti Nor Suhaida berkata, minat yang bercambah sejak tujuh tahun lalu telah mendorong dirinya menyertai banyak aktiviti motosikal lasak di seluruh negara.

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, ayahnya, Jafri Abdullah, 44, merupakan insan banyak memberi galakan dan dorongan untuk dirinya terbabit dalam sukan lasak itu.

“Saya memang suka aktiviti motosikal lasak sejak zaman sekolah. Saya juga pernah mengalami kecederaan patah kaki pada tahun 2012 ketika menyertai satu pertandingan motorcross.

“Namun itu tidak mematahkan semangat saya, malah pengalaman yang dirasai ketika meluncur laju sambil melompat dan mengatasi halangan di atas jalan tanah merah yang tidak rata memberi satu
keseronokan yang cukup berbeza,” katanya pada Piala Tengku Amir - 45 Enduro Challenge 2014 di litar Tasik Burung Mandi, Kemahang Hilir, Benta di sini, kelmarin.

Menjadi impian gadis dari Kuala Krai, Kelantan ini untuk membuat persembahan motorcross di peringkat antarabangsa dan mahu memartabatkan sukan itu dalam kalangan wanita di negara ini.

“Walau bagaimanapun saya turut menasihati wanita yang ingin mencuba bidang ini supaya mempunyai jiwa yang kental dan jangan takut untuk mencuba.

“Sukan ini memang untuk merosakkan motor. Jadi wanita yang ingin mencubanya jangan takutkan cabaran dan saya harap lebih ramai wanita menyertai sukan pemotoran ini sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Sinar Harian 

Ribuan bangkai ikan ditemui terapung di perairan Tanjung Kupang


NUSAJAYA: Beberapa nelayan dan penternak ikan sangkar terjejas pendapatan mereka apabila ribuan bangkai ikan ditemui terapung di sekitar kawasan perairan Tanjung Kupang di Selat Johor.

Memetik laporan The Star, kematian ikan tersebut mula dikesan sekitar empat hari lalu dan ianya dipercayai berpunca daripada oleh kerja-kerja penambakan tanah di kawasan tersebut.

Dianggarkan hampir 10 sangkar ikan dan 250 nelayan telah menjadi mangsa dalam kejadian ini.

Sorang penternak ikan sangkar, Lee Boon Hock, 30, kerugian lebih dari RM150,000 dalam tiga hari akibat kejadian tersebut apabila lebih 90 peratus ikan ternakannya itu mati.

Menurutnya, dia mendapati air laut telah tercemar apabila permukaan air tersebut telah mula bertukar keperang-perangan berikutan kerja-kerja penambakan tanah yang bermula sebulan yang lalu.

“Ini adalah pertama kali berlaku dan kami hanya mampu menyelamatkan beberapa ekor ikan yang masih selamat dari kejadian itu. Walau bagaimana pun, ikan-ikan tersebut terpaksa diperiksa terlebih dahulu untuk memastikan ianya selamat untuk dimakan,” katanya ketika ditemui di kawasan penternakan ikan di Kampung Pendas Laut berhampiran Jambatan Link Kedua yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Akhirnya Fizz Fairuz umum kahwini Almy Nadia


KUALA LUMPUR: Berdepan pasang surut perhubungan selama lapan tahun, Fizz Fairuz mendedahkan akan bernikah dengan pasangannya, Almy Nadia pada 30 Mei ini.

Majlis akad nikah akan diadakan di Pulau Pinang diikuti dengan majlis resepsi di Raub pada Jun.

Fizz dan Almy melalui turun naik perhubungan termasuk yang mencetuskan kontroversi seperti pertunangan Fizz dengan seorang wanita yang sudah bersuami.

Namun hubungan mereka bertaut kembali yang mana Fizz menyifatkannya sebagai jodoh yang sudah tersurat.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 22 Oktober tahun lepas.

Muhdalena percaya lelaki amuk itu 'Imam Mahadi'

Muhdalena
Muhdalena


PUTRAJAYA - Bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhdalena Ahmad memberitahu Mahkamah Seksyen di sini hari ini bahawa dia percaya lelaki yang ditembak mati dalam kejadian amuk bersenjatakan pedang samurai di pekarangan kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) dua tahun lepas, adalah 'Imam Mahadi'.

Muhdalena, 29, turut mengaku membawa pedang samurai dalam kejadian itu seperti mana diarahkan oleh 'Imam Mahadi' kerana percaya lelaki itu adalah pahlawan yang diutuskan Tuhan.

"Saya benar-benar percaya beliau adalah 'Imam Mahadi' dan perlu mematuhi arahannya kerana dia adalah seorang pahlawan yang dihantar oleh Tuhan untuk menyelamatkan umat manusia," jelas Muhdalena ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh.


Beliau berkata demikian ketika membela diri terhadap empat tuduhan yang dihadapinya berhubung kejadian amuk di Kompleks B. JPM, Presint 1 di sini, pada kira-kira 2.30 petang, 9 Julai 2012.

Dalam kejadian itu, Khalil Afendi Abdul Hahamid, 47, yang mengaku dirinya 'Imam Mahadi' terbunuh selepas terkena tembakan di bahagian ari-ari dan tangan kiri manakala Muhdalena cedera pada paha kanannya.

Wanita itu menghadapi tuduhan iaitu melakukan ugutan jenayah, membawa senjata berbahaya, tidak mematuhi perintah polis agar meletakkan senjata yang dibawanya dan berada di premis itu yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan tanpa kebenaran.

Muhdalena memberitahu mahkamah beliau mula mengenali lelaki itu melalui blog 'Abu Bakar' yang dapat memberikan penjelasan berhubung pelbagai persoalan mengenai umat manusia bermula sebulan sebelum kejadian.

Lulusan bidang Perbandingan Agama dan Usulludin itu berkata lelaki berkenaan turut menulis dalam blog 'Arif Effendi' dan kemudiannya dalam 'Jaya Negara'.

Muhdalena berkata dia kemudiannya berpindah ke rumah 'Imam Mahadi' tiga atau empat hari sebelum kejadian itu di Seri kembangan, sebelum lelaki itu mendedahkan identiti sebenarnya sebagai Khalil Afendi Abd Hamid.

Katanya dia berpindah ke rumah 'Imam Mahadi' bersama suami dengan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Muhdalena, yang berpakaian serba hitam dengan seluar, tudung serta kot, sepanjang prosiding, berada dalam keadaan tenang, melainkan ketika menceritakan semula saat-saat dia ditembak dan menerima rawatan di hospital.

"Dengan perasaan marah, saya telah menjerit kepada semua yang berada di pekarangan kompleks untuk beredar. Saya ada mendengar bunyi tembakan tetapi tidak sedar saya telah cedera ketika itu. 

"Saya melihat darah pancut daripada tangan Khalil Afendi dan terus berjalan ke arah kaki lima kompleks berkenaan sebelum sedar saya pun cedera di kaki akibat ditembak," katanya.

Dia berkata ramai orang telah berkerumun sekelilingnya dan salah seorang daripada mereka memberitahu bahawa Khalil Afendi telahpun meninggal dunia.

Sebelum itu, ketika pemeriksaan utama oleh peguam M.Visvanathan, Muhdalena berkata dia telah dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan untuk kecederaannya dan beberapa hari kemudian telah dirujuk kepada pakar psikiatri yang telah mengesahkan bahawa dia telah mengalami penyakit kemurungan ketika kejadian.

Muhdalena berkata dia turut mendapat rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, di Tanjung Rambutan, Perak, yang turut mengesahkan beliau memang ada sindrom sebagai pesakit mental. 

Hakim Mohamed Kamil Nizam menetapkan 24 dan 25 Feb ini untuk mendengar keterangan dua pakar psikiatri iaitu Dr Umi Adzlin Silim dari Hospital Putrajaya dan Pengarah dan Perunding Psikiatri Forensik, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Rabaiah Mohd Salleh.

- Bernama

Lelaki ditemui mati tergantung

TUMPAT – Seorang lelaki ditemui mati tergantung di ruang tamu rumahnya di Kampung Pasir Pekan, petang kelmarin.

Mangsa berusia 44 tahun merupakan pesakit mental tinggal bersama ibu bapanya yang uzur serta adik lelakinya yang bisu berusia 22 tahun.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip berkata, kejadian itu disedari ahli keluarganya apabila ibu mangsa memberitahu menantunya yang tinggal di Kampung Pauh Ganja bahawa mangsa meninggal dunia pada jam 2.30 petang.

“Satu laporan polis dibuat oleh adik ipar mangsa di Balai Polis Wakaf Bharu.

“Anggota polis ke lokasi kejadian menemui seutas tali tergantung dan sebuah kerusi di ruang tamu rumah tersebut,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut, tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini,” katanya.

Mangsa merupakan anak sulung daripada lapan beradik, tidak pernah berkahwin dan tiada pekerjaan.

Yana Samsudin keluar MIG?

Yana Samsudin
Yana Samsudin


BAKATNYA di cungkil syarikat penerbitan gergasi, Metrowealth International Group (MIG) sejak usia belasan tahun lagi.

Malah, penat lelah 'tauke'nya, Mejar (K) David Teo, dalam memperkenalkan nama, Yana Samsudin, 28, membuahkan hasil apabila bintang ini kini berada dalam kelas yang tersendiri.

Terkenal menerusi filem-filem terbitan MIG termasuk, Adnan Sempit, Wawa Semput dan Bini-Biniku Gangster, nama Yana sebaris dengan pelakon ternama.

Namun kini, tiba masanya untuk Yana membuat keputusan bergerak sendiri tanpa dibayangi syarikat penerbitan itu.

Menurut anak jati Johor ini, setelah 11 tahun bersama MIG, kini dia memilih untuk menguruskan kerjaya seninya sendiri.

"Pada 26 Februari ini, tamatlah kontrak saya bersama MIG. Ini bermakna, saya menjadi artis residen syarikat itu selama 11 tahun.

"Setelah memikirkan perkara ini masak-masak, saya membuat keputusan untuk bergerak sendiri dan perkara ini turut mendapat 'restu' daripada David.

"Lagipun, ia adalah perkara yang normal dan saya mengakhiri kontrak ini tanpa ada apa-apa kontroversi ataupun pergaduhan," katanya yang pernah dilabel 'anak emas' MIG.

Tambah wanita yang diberi jolokan, Primadona Mainstream Future Film ini, sepanjang berada di MIG, dia memperbaharui kontrak setiap lima tahun.


Tak lupa David Teo

Walaupun bukan lagi di bawah naungan MIG, namun pemilik nama sebenar, Norliana Samsudin, ini tidak keberatan memberikan kerjasama kepada bekas majikannya itu.

Jelas Yana, sekiranya ada tawaran daripada pihak MIG, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerimanya, namun bergantung kepada jadual kerja.

"Sebenarnya, saya membesar di depan mata David, jadi bukan mudah untuk saya jauh daripadanya. Jika dia (David) memerlukan khidmat saya, sudah tentu saya akan mempertimbangkannya.

"Saya sangat menghargai jasa David dan isterinya, Madam Jane, kerana merekalah yang banyak membantu saya sehingga kini.

"Malah, saya sudah anggap mereka seperti keluarga saya sendiri memandangkan bapa saya sudah lama tiada," katanya yang pernah diberi kepercayaan mengarahkan filem, Selamat Pagi Cinta, di usia 23 tahun.

Sepanjang pembabitan Yana dalam industri, dia berjaya menggondol beberapa anugerah termasuk, Anugerah Pelakon Filem Wanita Popular menerusi Anugerah Bintang Popular (ABP 2012) dan Anugerah Heroin Terhebat dalam Anugerah Blokbuster 1 & 2.

Sinar Harian 

'Risiko bagi kami jika mereka serah diri'

Sabah diceroboh

KOTA KINABALU - Seorang komando VAT69 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau dan pasukannya terdedah kepada bahaya jika beliau memberi opsyen kepada tiga penceroboh bersenjata yang ditembak mati di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu pada 6 Mac, untuk menyerah diri.

Inspektor Shahar Omar berkata, pada masa itu, beliau tidak pasti sama ada terdapat lagi anggota kumpulan penceroboh selain tiga orang yang telah ditembak mati.

"Kalau bagi mereka serah diri, ia akan menjejaskan atau mendedahkan kedudukan saya dan pasukan saya dan akan memberi risiko ancaman kepada saya dan pasukan saya," katanya.

Semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed tentang apakah yang beliau faham perkataan 'serah diri', Shahar berkata ia bermakna kumpulan penceroboh mesti mengangkat kedua-dua belah tangan dan meletak senjata.

Abdul Wahab: Sepanjang menjalankan tugas di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu, ada atau tidak penceroboh bersenjata mengangkat tangan dan melepaskan senjata?

Shahar: Tiada.

Semasa pemeriksaan balas, Shahar tidak bersetuju dengan peguam Datuk N Sivananthan bahawa ketiga-tiga penceroboh yang bersenjata parang tidak menimbulkan apa-apa ancaman kepada pasukannya mengandungi 12 anggota yang membawa senjata. 

Ketika disoal oleh Sivananthan bagaimanakah kumpulan penceroboh boleh memberi ancaman kepada pasukannya, Shahar berkata ketiga-tiga penceroboh memakai pakaian tentera dan sebelum insiden di Kampung Tanjung Batu, risalah telah digugurkan memaklumkan mana-mana penceroboh yang hendak menyerah diri tidak dibenar membawa apa-apa senjata.

Dalam tembak-menembak di Kampung Tanduo membabitkan pasukannya di sektor A pada 1 Mac, Shahar berkata kuasa tembakan daripada senjata kumpualan penceroboh adalah lebih kuat daripada pasukannya.

Beliau berkata anggota pasukannya membawa senjata M16 (M203) dan dua Bushmasters (senjata tempur) yang boleh memuntahkan peluru 5.56mm.

Sivananthan: Ada tak mana-mana anggota kamu menggunakan peluru 7.62mm?

Shahar: Tidak, bukan pasukan saya.

Sivananthan: Dalam VAT69, adakah peluru-peluru ini digunakan dalam mana-mana senjata?

Shahar: Dalam VAT69, peluru berkenaan digunakan bagi senjata bantuan.

Sivananthan: Dalam konteks kuasa tembakan, adakah senjata-senjata bantuan itu lebih hebat?

Shahar: Ya

Sebelum itu, Shahar memberitahu mahkamah bahawa ada lebih daripada dua orang penceroboh yang melepaskan tembakan terhadap pasukannya mengandungi 18 anggota di Kampung Tanduo dan bahawa kuasa tembakan senjata penceroboh lebih hebat daripada pasukannya.

Ketika disoal oleh Sivananthan mengapa kuasa tembakan kumpulan penceroboh lebih kuat daripada pasukannya sedangkan terdapat lebih daripada dua orang penceroboh dan 18 anggota dalam pasukannya, Shahar berkata kuasa tembakan senjata yang memuntahkan peluru 7.62mm adalah lebih kuat daripada senjata yang melepaskan peluru 5.56mm.

"Adakah kamu bermaksud bahawa musuh (penceroboh) menggunakan peluru 7.62mm," tanya Sivananthan.

"Sesetengah menggunakan peluru 7.62mm, sesetengah pula guna peluru 5.56mm," jawab Sahar.

Tiga puluh orang tertuduh, 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan.

Sesetengah mereka menghadapi tuduhan menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau memberi perlindungan kepada individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung bersambung esok. Perbicaraan diadakan di Jabatan Penjara Sabah. - Bernama

Penduduk gempar sungai tiba-tiba berubah merah


SAMARINDA: Penduduk tempatan heboh dan kecoh apabila sebatang anak sungai di Bontang Selatan, Kalimantan Timur yang berubah menjadi warna merah.

Menurut berita yang dilaporkan oleh KOMPAS.com, misteri air sungai yang tiba-tiba berubah menjadi merah seperti darah itu berlaku pada Selasa, lalu.

Pihak polis dan penduduk setempat pada awalnya mengesyaki kejadian perubahan warna air sungai tersebut berpunca daripada pembuangan sisa cat atau perwarna ke dalam anak sungai terbabit.

Hasil siasatan polis ke atas tiga orang suspek yang disoal siasat mendapati kejadian terbabit berpunca daripada pembuangan sisa pembersihan tong yang mengandungi pewarna organik.

Menurut Polis Bontang, AKBP Heri Sasangka, lima tong yang berukuran 200 liter sudah dirampas dan ketiga-tiga suspek telah dibebaskan setelah selesai disoal siasat.

Pihak Polis Bontang juga telah mengambil dan menghantar sampel air sungai untuk ujian.

"Jika hasil ujian air itu mengandungi sisa-sisa yang berbahaya dan memudaratkan, kes ini akan disiasat dengan lebih terperinci lagi," ujar Heri.

Tambahnya, hasil ujian akan diketahui dalam tempoh dua hingga tiga hari.

Keadaan air sungai kini dilaporkan telah kembali normal namun, penduduk setempat masih lagi terkejut dengan kejadian itu.

Astro Awani 

Konsert lagenda rock Rolling Stones di Singapura 15 Mac


KUALA LUMPUR: Kumpulan rock terkenal, Rolling Stones akan mengadakan konsert jelajah asianya di Marina Bay Sands, Singapura pada 15 Mac ini.

Konsert 14 ON FIRE akan memperlihatkan gabungan klasik penghibur seperti Mick Jagger, pemain gitar Keith Richards dan Ronnie Wood serta pemain dram Charlie Watts.

Gabungan ini telah membentuk Rolling Stones sejak tahun 1960.

Manakala pemain gitarnya, Mick Taylor turut hadir sebagai pemain jemputan.

Kumpulan Rolling Stones terkenal dengan lagu berhantunya seperti (I Can’t Get No) Satisfaction, Paint It Black dan It’s Only Rock ’N Roll (But I Like It).

Rolling Stones sebelum ini pernah mengadakan konsert di Stadium Tertutup Singapura pada Mac 2003.

Tiket berharga S$250, S$400, S$550 dan S$700 boleh dibeli secara online.

Jualan murah tiket akan dibuka esok untuk maklumat lanjut sila layariwww.sistic.com.sg.

Selepas Sinabung, Gunung Berapi Kelud pula muntahkan laharnya

Antara penduduk sekitar Gunung Kelud yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara - Foto AP


JAKARTA: Selepas kejadian Gunung Sinabung meletus baru-baru ini, satu lagi gunung berapi di Indonesia meletus dan memuntahkan laharnya malam tadi.

Kejadian memaksa ribuan penduduk yang berada di sekitar gunung berapi terbabit dipindahkan ke tempat selamat.

Menurut jurucakap agensi kecemasan nasional republik itu, Sutopo Purwo Nugroho, sehingga malam tadi, dianggarkan lebih 200 ribu penduduk dari 36 perkampungan sekitarnya telah diarahkan berpindah.

Gunung Kelud yang terletak di wilayah Kediri di Jawa Timur mula meletus pada pukul 10.50 malam (waktu Indonesia Barat). Kejadian itu disahkan oleh Ketua Pelaksana Bidang Pengamanan dan Penyelidikan Gunung Api, Kediri, Indonesia, Gede Suartika.

“Bunyi letusan letupannya sangat dahsyat,” katanya seperti dipetik pihak media.

Ketua Pusat Data Informasi dan Humas Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Dr. Sutopo Purwo Nugroho memberitahu hujan abu, pasir dan kerikil dijangka meliputi kawasan barat daya Gunung Kelud seluas 15 kilometer radius.

Menurut laporan Kompas.com, jarak pandang Gunung Kelud hanyalah 5km dari wilayah Wates, 40 kilometer dari kawah dan pada masa yang sama, Kota Kediri turut dilanda hujan lebat.

Beliau turut menasihatkan penduduk setempat agar berpindah keluar sejauh 10 kilometer radius dari kawasan tersebut dan tidak panik ketika berpindah ke penempatan sementara yang telah disediakan.

Gunung Kelud sebelum ini diletakkan sebagai gunung berapi aktif yang merbahaya dan amaran ia akan meletus telahpun dikeluarkan sejak Khamis lalu.

Gunung setinggi 1,731 meter itu telah meragut 15 ribu nyawa sejak 1500. Letusan pada tahun 1568 telah meragut 10 ribu nyawa.

Ia adalah satu daripada 130 gunung berapi yang masih aktif di Indonesia dimana ia terletak dalam lingkaran gunung berapi sekitar Lautan Pasifik.

Letusan Gunung Sinabung di Sumatera Barat awal bulan ini telah meragut 16 nyawa.

Astro Awani 

Takungan air Empangan Klang Gates susut, 80,000 akaun pengguna dijangka terjejas


KUALA LUMPUR: Bekalan air kepada 80,000 akaun pengguna sekitar Lembah Klang bakal terjejas ekoran paras air di Empangan Klang Gates kini menyusut kepada 57.6 peratus sejak fenomena kemarau melanda negara, awal bulan lalu.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penyusutan air di empangan itu dijangka menjejaskan operasi loji pembekalan air Wangsa Maju dan Bukit Nenas yang membekalkan air kepada lebih 80,000 akaun pengguna.

Menurutnya, kadar penyusutan air di empangan itu merupakan yang tertinggi pernah dicatatkan dalam tempoh 10 tahun.

Tambah beliau, situasi itu berlaku kerana tiada hujan dicatatkan di sekitar kawasan tadahan empangan terbabit sejak tiga minggu lalu.

Kerajaan kini sedang mengkaji kemungkinan untuk melakukan pembenihan awan walaupun langkah itu belum dapat menjamin hujan di kawasan tadahan berkenaan.

Bekalan air di empangan itu bagaimanapun masih mampu untuk disalurkan kepada pengguna tanpa gangguan.

Ujarnuya lagi, kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor akan mengadakan perbincangan lanjut bagi menyelesaikan isu pembinaan loji rawatan Langat Dua secepat mungkin sebagai langkah jangka panjang kerana ia mampu untuk membekalkan tambahan 1.13 juta liter air sehari.

Astro Awani 

Malaysia di kedudukan ke 150 Fifa

Trofi Piala Dunia FIFA 2014


KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak negara melonjak empat anak tangga ke kedudukan 150 berbanding bulan lepas dalam ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) hari ini.

Kedudukan terkini itu menyaksikan Malaysia yang dikendalikan sementara Datuk Ong Kim Swee berkongsi tempat bersama Singapura dan Liechtenstein selain turut setanding dengan beberapa negara lain seperti Guyana dan India (kedua-duanya 154) serta Puerto Rico (157).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan keenam di belakang Filipina (127), Myanmar (130), Vietnam (143), Thailand (147) serta Singapura (150). 

Di peringkat Asia, Malaysia turut naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-29 daripada 46 negara.

Skuad Harimau Malaya dijangka menentang Filipina dalam aksi persahabatan, 1 Mac ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebelum berdepan Yemen pada perlawanan terakhir kumpulan D, kelayakan Piala Asia 2015 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), empat hari kemudian.

Sementara itu, naib juara Piala Konfederasi 2013, Sepanyol terus mengekalkan status selaku pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,506 mata manakala Jerman dan Argentina masing-masing mengekalkan kedudukan kedua dan ketiga terbaik dunia.

Jerman dan Agentina masing-masing mengumpul 1,314 mata dan 1,255 mata. Kedudukan ranking FIFA itu melibatkan 209 negara. - Bernama