Wednesday, 28 January 2015

"Saya sedia berdepan Ibrahim Ali atau sesiapa sahaja di mahkamah" - Joseph Kurup

Joseph berkata berkata kelangsungan perpaduan nasional adalah penting bagi memastikan Malaysia terus maju.

KUALA LUMPUR: Susulan tindakan saman fitnah oleh Perkasa, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata beliau bersedia berdepan sesiapa di mahkamah demi mempertahankan perpaduan negara.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, beliau berkata kelangsungan perpaduan nasional adalah penting bagi memastikan Malaysia terus maju serta mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

"Keamanan dan kestabilan merupakan kekayaan negara yang tidak ternilai dan kerajaan akan sentiasa berusaha untuk mengekalkan 'harta negara' ini.

"Akibat dari kegagalan untuk melindungi, memelihara dan mengukuhkan perpaduan yang berharga ini ialah kemusnahan ekonomi dan pembangunan yang dibina," katanya.

Mengulas tentang tindakan saman oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali pagi tadi, Joseph berkata beliau pasti telah lakukan sesuatu yang betul sehingga mengundang tindakan sedemikian.

"Sebagai menteri yang menyelia perpaduan negara, saya telah membuat pendirian untuk tidak bertolak ansur dengan fanatik perkauman dan agama yang merosakan keharmonian masyarakat.

"Ia adalah tanggungjawab dan misi saya untuk melihat kejadian ekstremis seperti ini dipatahkan," kata Joseph lagi.

Terdahulu, Ibrahim telah memfailkan saman fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup atas dakwaannya melabel pertubuhan itu sebagai pelampau.

Ia dipercayai berikutan kenyataan Joseph pada 24 Disember lalu telah mengeluarkan kenyataan dengan menyifatkan pertubuhan seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan PERKASA sebagai pengganas dan pelampau. 

- Sumber: Astro Awani 

Bekas isteri Jimmy Shanley rayu tangguh hukuman penjara

Peguam Nursuhaila, Saadiah Din ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi memaklumkan bahawa anak guamnya mengemukakan rayuan sekitar jam 3:30 petang tadi - Foto Sumber Facebook

KUALA LUMPUR: Bekas isteri pelakon dan pengacara Jimmy Shanley, Nursuhaila Eliani Suhaimi mengemukakan permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara tujuh hari mulai hari ini.

Hukuman tersebut diperintahkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sekitar tengah hari tadi selepas Nursuhaila didapati ingkar perintah mahkamah berkaitan hak lawatan dan bermalam anak mereka, Zahrah Rania.

Keputusan tersebut diputuskan demikian selepas menolak tunjuk sebab yang dikemukakan Nurshuhaila.

Peguam Nursuhaila, Saadiah Din ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi memaklumkan bahawa anak guamnya mengemukakan rayuan sekitar jam 3:30 petang tadi dan perbicaraan semula diadakan sejam kemudian.

“Dalam perbicaraan jam 4:30 petang tadi, Hakim Syarie Mawardi Che Man memutuskan perlaksanaan hukuman pada hari ini digantung bagi mendengar rayuan” kata Saadiah.

Saadiah memberitahu pihaknya masih lagi menunggu tarikh perbicaraan dari mahkamah rayuan. 

- Sumber: Astro Awani 

Benarkah seekor kucing mati dan hidup kembali?

Mungkin ada yang percaya atau pernah dengar kenyataan bahawa kucing mempunyai sembilan nyawa.

Suatu perkara aneh berlaku di Amerika Syarikat apabila seekor kucing dipercayai sudah mati dan ditanam dikatakan hidup kembali.

Laporan saluran televisyen FOX 13 menyebut organisasi perlindungan haiwan, Humane Society di Tampa, Florida sedang menjaga seekor kucing yang mati dilanggar sebuah kereta dan sudah ditanam oleh tuannya.

Namun lima hari kemudian, kucing yang sama kelihatan berada di halaman jiran mereka.

Kucing itu ditemui dalam keadaan lemah dan mengalami kecederaan parah, dikatakan merangkak perlahan-lahan ke arah rumah tuannya.

Setelah diberi rawatan, kucing yang diberi nama Bart itu kembali sihat walaupun terpaksa hidup dengan hanya sebelah mata.

Bart kini diberi jolokan 'zombie cat' ataupun kucing zombi selepas cerita mengenainya popular di media sosial. 

- Sumber: Astro Awani 

Doktor jumpa Spongebob dalam perut budak


JEDDAH - ARAB SAUDI. Seorang doktor di Hospital Universiti di Jeddah, terkejut apabila menemui ‘makhluk akuatik’ berada dalam perut seorang kanak-kanak.

Bagaimanapun, setelah diamati menerusi imbasan X-Ray, ‘makhluk akuatik’ yang berada dalam perut kanak-kanak terbabit sebenarnya sekeping pin berukiran kartun animasi ‘Spongebob Squarepants’.

Doktor yang merawat kanak-kanak berkenaan, Dr Ghofran Ageely Raja Abdulaziz berkata, pin tersebut sebenarnya loket yang dimiliki oleh kanak-kanak tersebut.

“Menerusi imbasan X-Ray, apa yang boleh kita lihat adalah sekeping loket kecil yang agak nipis, ia kelihatan seperti pin. Saya hampir menjerit apabila melihat objek tersebut dengan lebih dekat.

“Saya kagum dengan butiran jelas yang boleh kita lihat. Kalau kita teliti dari imbasan tersebut, kita boleh lihat kasut, mata dan wajah Spongebob yang sedang tersenyum; berada dalam perut kanak-kanak ini,” katanya seperti yang dipetik menerusi sebuah kiriman e-mel.

Memetik laporan oleh portal Metro.co.uk, doktor telah berjaya mengeluarkan loket tersebut dan kanak-kanak tersebut dibenarkan pulang ke rumahnya.

- Sumber: Sinar Harian 

Rita akui bekas suami konsisten masukkan wang

Rita Rudaini Mokhtar

PELAKON jelita, Rita Rudaini Mokhtar mengakui bahawa bekas suaminya, Aidil Zafuan memasukkan wang RM2,000 ke dalam akaunnya secara konsisten bermula Januari sehingga Disember 2013.

Namun katanya, pada tahun 2012, Aidil Zafuan tidak memberikannya wang secara tetap setiap bulan.

“Saya lupa bulan berapa defendan gagal berbuat demikian. Saya kena semak semula,” katanya.

Menurutnya lagi, Aidil Zafuan mula memasukkan wang ke dalam akaunnya pada Mei 2012.

“Jumlahnya RM1,500 hingga RM2,000,” katanya.

Beliau berkata, wang yang diberikan itu bukan digunakan untuk dirinya.

“Saya tidak pernah menggunakan duit itu kerana dia (Aidil Zafuan) memberitahu wang yang dimasukkan tersebut adalah untuk nafkah anak,” katanya.

Ketika berjumpa dengan Aidil Zafuan, Rita Rudaini pernah memaklumkan bahawa jumlah wang yang diberikan oleh suaminya ketika itu tidak mencukupi untuknya dan dua anak mereka.

“Selain berjumpa, saya juga ada memberitahu melalui perkhidmatan pesanan mesej (SMS),” katanya ketika soal balas oleh peguam defendan, Rushdan Sujak Rafee, hari ini.

Rita Rudaini memfailkan tuntutan nafkah tertunggak RM5100 sebulan yang merangkumi perbelanjaan tempat tinggal, pakaian, makan dan pengangkutan serta keperluan asasi lain selama 20 bulan yang berjumlah RM102,000.

Perbicaraan permohonan tuntutan itu berlangsung di hadapan Hakim Syarie, Mawardi Che Man ditangguhkan dan bersambung pada 14 April depan.

- Sumber: Sinar Harian 

Lisa Surihani mengaku hamil anak pertama

Lisa Surihani mengaku hamil anak pertama

KUALA LUMPUR: Pelakon Lisa Surihani mengaku sedang hamil anak pertamanya bersama pengarah Yusry Abdul Halim.

Namun demikian, pelakon filem Suamiku Encik Perfect 10 itu enggan mengulas lanjut kerana masih di peringkat awal.

Menurut Yusry, mereka enggan menghebohkan berita kehamilan tersebut kerana usia kandungan Lisa masih di peringkat awal.

Berita gembira itu turut disahkan oleh suaminya, Yusry Abdul Halim di majlis pelancaran trailer filem Cicakman 3 di Pavilion, Kuala Lumpur.

Berita lanjut akan menyusul.....

- Sumber: Astro Awani 

Kisah Gerai Mak Cik Sombong

Keunikan nama gerai ini menjadi tumpuan pelanggan.

Menjadi tumpuan orang ramai untuk menikmati hidangan makanan tengah hari.

TELOK AIR TAWAR - Nama sebuah gerai makanan yang terletak bersebelahan Pangkalan Udara Butterworth ini pastinya mencuit hati sesiapa sahaja.

Mak Cik Sombong, demikian nama gerai makanan yang terletak di Taman Senangan yang menjadi tumpuan penduduk sekitar Teluk Air Tawar dan Kepala Batas.

Menceritakan sejarah nama Mak Cik Sombong ini, pemilik gerai, Saiful Bahri, 43, berkata, nama gerai ini menjadi salah satu tarikan utama bagi pengunjung ke sini.

“Dahulu kami berniaga di Bagan Lebai Tahir, waktu itu perniagaan makanan ini diuruskan arwah ibu yang mempunyai raut wajah yang garang, berat melemparkan senyuman, waktu itu ada pelanggan yang takut-takut untuk bertandang ke kedai makanan kami di sana.

“Jadi disebabkan itu, ada pelanggan yang memanggil nama kedai dengan gelaran Gerai Mak Cik Sombong dan gelaran itu kekal sehingga ke hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kedai asal mereka yang terletak di Bagan Tahir terpaksa ditutup dan kemudiannya berpindah ke Taman Senangan.

“Gerai makanan di sana dibina pada 1972, namun terpaksa ditutup tiga tahun lalu untuk memberi laluan kepada kerja pembangunan di sana.

“Disebabkan nama gerai sudah menjadi ingatan pelanggan, saya mengambil keputusan untuk mengekalkan nama ini,” katanya.

Menurut Saiful, ada juga yang sanggup datang jauh semata-mata untuk melihat sendiri gerai makanan Mak Cik Sombong kerana gerai ini unik.

Tidak cepat melatah dengan kehadiran ramai ‘peminat’, Saiful berkata, perkara itu secara tidak langsung mengingatkannya kepada arwah ibu.

“Arwah ibu tidak sombong seperti nama gerai, namun disebabkan raut wajahnya yang tegas, pelanggan menggelar gerai makanan ini dengan nama Mak Cik Sombong.

“Walaupun ibu meninggal lapan tahun lalu, namun saya bersyukur sambutan yang diterima masih tetap sama seperti dahulu,” katanya.

Menurutnya gerai Mak Cik Sombong dibuka dari jam 11 pagi hingga 5 petang dan menyajikan pelbagai hidangan menarik kepada pelanggan.

- Sumber: Sinar Harian

'Saya hanya bergurau'


PENYANYI dangdut, Mas Idayu menganggap tindakannya mencekik dan menyerang pengacara belakang pentas Mentor Legend, Zuan Azmi hanyalah gurauan semata-mata.

Bagaimanapun, Mas Idayu atau mesra dengan panggilan Ayu, tidak menyangka perkara itu diambil serius Zuan yang juga wartawan rancangan hiburan popular.
"Saya tak tahu pula dia tak boleh bergurau kasar.

"Kalau nak lihat, penampilan saya dalam rancangan seperti ini sememangnya sentiasa dibayangi gurauan kasar.

"Dulu, ketika di Mentor 3, saya siap membawa rotan. Tetapi, tiada apa-apa masalah pun," katanya.

Bahkan, penyanyi yang popular dengan lagu Bolehlah Boleh itu kesal dengan tindakan Zuan yang memuat naik status perkara tersebut di akaun Twitternya.

"Semalam (Isnin), saya baru dapat tahu yang dia menulis tentang perkara ini di Twitternya.

"Saya pula sememangnya tidak mempunyai Twitter dan saya tahu pasal ini setelah seorang peminat prihatin mengirimkan WhatsApps kepada saya.

"Dia menulis sesuatu di belakang saya. Jadi, siapa yang tidak profesional sekarang ini? Saya atau dia?," katanya.

Tambahnya, Zuan tidak pernah memberitahu apa-apa ketika mereka menjalani latihan sebelum itu.

"Gurauan itu spontan dan bukan dibuat-buat," katanya.

Tidak mahu lagi memanjangkan isu itu, penyanyi berusia 41 tahun ini memberitahu, dia ada menghubungi Penerbit Eksekutif Mentor Legend, Muhd Sufian Isa untuk mengirimkan kata-kata maaf kepada Zuan.

Sementara itu, penyanyi dangdut ini menyifatkan penyingkiran anak didiknya, Tuah pada Konsert Battle Ketiga Kumpulan A Mentor Legend sebagai sesuatu yang bermaruah.

- Sumber: Sinar Harian 

Bekas isteri Jimmy Shanley dipenjara

Jimmy Shanley dan Nursuhaila Eliani Suhaimy

SHAH ALAM - Bekas isteri pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 35, dihukum penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebentar tadi kerana dengan sengaja ingkar perintah mahkamah berhubung hak lawatan dan bermalam anak pasangan itu.

Hakim Syarie, Mawardi Che Man mengarahkan hukuman ke atas Nursuhaila Eliani Suhaimy, 29, bermula hari ini. 

Jimmy Shanley dan Nursuhaila Eliani mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010 dan mula tinggal berasingan selepas 20 hari pernikahan mereka atas alasan tiada persefahaman.

Pasangan itu kemudian sah bercerai pada Oktober 2012.

- Sumber: Sinar Harian 

Sembilan 'projek sakit' selesai

Bangunan rumah kedai di Pulau Melaka yang terbengkalai sejak 1998 kini sudah berjaya dipulihkan dan akan diserahkan kepada pembeli.

BANDARAYA MELAKA - Kerajaan negeri berjaya memulihkan sembilan projek terbengkalai, lebih separuh dari keseluruhan projek dengan sebahagian daripadanya terbengkalai sejak penghujung 1990.

Secara keseluruhan, terdapat 15 projek terdiri daripada premis perniagaan dan perumahan terbengkalai di negeri ini.

Exco Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Lim Ban Hong berkata, meskipun kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk memulihkan baki enam projek yang masih terbengkalai, ia terpaksa mengambil sedikit masa memandangkan banyak aspek perlu diberi perhatian.

Menurutnya, pengambil alihan mana-mana projek terbengkalai merupakan isu rumit kerana membabitkan aspek perundangan, termasuk pihak bank.

"Aspek pemaju terdahulu pun perlu diberi perhatian kerana ada pemaju yang telah memajukan sebahagian projek terbabit tetapi tidak menerima bayaran.

“Meskipun kebanyakan projek ini merupakan projek swasta, kerajaan negeri merasakan perlu untuk mengambil alih demi untuk menjaga kepentingan pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke Pulau Melaka, di sini semalam.

Projek Pulau Melaka yang mula dibangunkan pada pertengahan 1990an merupakan satu projek terbengkalai di negeri ini berikutan kegawatan ekonomi pada 1998.

Bagaimanapun, setelah ia diambil alih kerajaan negeri menerusi Perbadanan Ketua Menteri (CMI) beberapa tahun lalu, projek berkenaan berjaya dipulihkan semula dan majlis penyerahan kepada pembeli dijangka diadakan Ahad ini.

Menurutnya, hasil usaha CMI dan KAJ Development Sdn Bhd, Pulau Melaka bakal berwajah baru mulai bulan hadapan apabila kunci untuk premis di pulau berkenaan diserahkan kepada pembeli.

“KAJ Development berjaya memulihkan lebih 1,233 unit rumah kedai dan pejabat lengkap dengankerja infrastruktur dan lanskap di pulau berkenaan.

“Seiring dengan pembangunan Melaka Gateway di sini, kerajaan negeri yakin Pulau Melaka akan suatu hari nanti menjadi satu pulau pelancongan yang akan berjaya menarik kunjungan orang ramai,” katanya.

Untuk rekod, Sijil Layak Menduduki (CFO) untuk 612 unit bangunan yang dipulihkan telah dikeluarkan pada 30 April tahun lalu manakala untuk 564 unit dan 621 unit lagi masing-masing dikeluarkan pada 8 Ogos lalu.

- Sumber: Sinar Harian