Wednesday, 1 July 2015

'Kenapa sampai tiga kali serangan tweet palsu hari ini?' - Ahmad Maslan



AHMAD MASLAN: 'Kenapa sampai tiga kali serangan tweet palsu hari ini?' - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan terkilan kerana pemilik akaun Twitter palsunya tidak serik mempermainkannya dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar yang kononnya daripadanya.

Dalam sistem pesanan WhatsApp kepada Astro AWANI, Ahmad menyatakan rasa kesalnya kerana fitnah yang dilemparkan sehingga tiga kali hari ini dilihat keterlaluan terutama pada bulan Ramadan.

"Pihak ini tidak berhenti-henti memfitnah saya sejak pagi tadi. Sudahlah letak jawatan saya salah, maklumat mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga dieja salah.

"Gambar akaun saya yang digunakan juga tidak sama dengan akaun Twitter sebenar. Gambar untuk Twitter saya lain, untuk Facebook juga lain," katanya.

Ahmad mengulas serangan bertubi-tubi pemilik akaun palsu miliknya yang memberi pelbagai maklumat dengan niat untuk memburukkan namanya.

Pada pagi Isnin, Ahmad menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa dia telah menghantar satu tweet mengenai kenaikan harga minyak dan kehadiran orang ramai di restoran ayam goreng KFC.

Katanya, dakwaan yang disifatkan tidak masuk akal itu dibuat bagi memburuk-burukkan namanya susulan perubahan harga minyak bermula 1 Julai.

Harga runcit petrol RON95 naik 10 sen manakala RON97 sebanyak 20 sen seliter bagi Julai 2015 berkuat kuasa 1 Julai.

Harga baharu RON95 ialah RM2.15 seliter manakala RON97 sebanyak RM2.55 seliter selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memaklumkan bahawa notis pemberitahuan perubahan harga petrol dan diesel hanya akan dimaklumkan kepada pengusaha minyak pada setiap hujung bulan.

- Sumber: Astro Awani 

Kisah sedih jadi viral tarik perhatian

Mas Imran (kanan) dan Mohammad Khairi menghulurkan bantuan kepada Johari dan keluarganya.

JOHOR BAHRU - Kisah sebuah keluarga kurang berkemampuan dari Pangsapuri Jasa, Taman Mutiara Rini, di sini, yang menjadi viral di laman sosial Facebook sejak beberapa hari lalu mendapat perhatian banyak pihak.

Saudara baharu, Johari Nordin, 38, bersama isteri, Safinah Abdul Manan, 27 dan tujuh anak mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan tanpa kelengkapan rumah yang mencukupi.
Difahamkan, enam dari tujuh anaknya pasangan terbabit tidak mempunyai sijil kelahiran.

Malah akibat kesempitan wang, salah seorang daripada anak mereka iaitu Alia Maisara, 2, terpaksa dihantar ke kampung dan dijaga oleh ibu Safinah.

Manakala anak kelima, Danish Aqasha, 3, meninggal dunia akibat sawan demam panas ketika berusia 11 bulan.

Safinah ketika ditemui menzahirkan rasa syukur dan gembira di atas keprihatinan yang ditunjukkan orang ramai dan pemimpin setempat bagi membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

Ibu kepada tujuh anak memberitahu mereka sebelum ini pernah menetap di sebuah surau lama di Taman Pulai Indah, dekat sini, kerana kesempitan wang untuk menampung kos sewa rumah dengan pendapatan suami sebagai pembantu bengkel sebanyak RM1,300 sebulan.

“Kehidupan kami amat sukar, sebelum ini hanya tinggal di surau selama setahun lebih dan baru berpindah ke sini sejak setahun lalu dengan bayaran sewa RM350,” katanya.

Safinah mengakui tidak tahu terdapat pihak berkongsi mengenai kesempitan hidupnya sekeluarga di laman sosial sehingga secara tiba-tiba mendapat panggilan bertalu-talu sejak malam semalam.

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut datang dan berjanji membantu kami menguruskan permohonan mendapatkan surat beranak untu anak-anak.

“Saya sudah beberapa kali berusaha mendapatkan surat beranak untuk mereka tetapi sehingga kini anak sulung yang berusia lapan tahun dan adiknya tujuh tahun tidak dapat ke sekolah kerana tidak mempunyai surat beranak,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Econsave, Mas Imran Adam berkata, pihaknya menyalurkan bantuan kelengkapan rumah seperti tilam, kipas dan almari pasang siap bernilai kira-kira RM1,000 sebaik sahaja terbaca mengenai kisah keluarga itu di facebook.

Ketua Umno Bahagian Gelang Patah, Mohammad Khairi A Malik berkata, keluarga itu turut diberikan bantuan di bawah Tabung Sayangi Gelang Patah.

Katanya, kesusahan keluarga terbabit juga akan dirujuk kepada Jabatan Agama Islam bagi mendapatkan bantuan sewajarnya.

- Sumber: Sinar Harian

'Aku sembelih mu, aku kambus dale kubur'

Tertuduh (tiga, kanan) keluar dari mahkamah selepas hukuman terhadapnya diputuskan.

KOTA BHARU - Balasan buat seorang anak yang berkata kasar dengan mengugut untuk menyembelih ibunya, dia dihukum penjara lapan bulan oleh mahkamah majistret, di sini, hari ini.

Hukuman diputuskan Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed terhadap tertuduh, Mohd Fahmin Mohamad Anipa selepas dia mengaku bersalah.

Tertuduh mengaku atas tuduhan melakukan ugutan jenayah kepada Norfazilati Mat Zain, 46, dengan berkata, “nak sembelihmu” hingga menyebabkan pengadu ketakutan dalam kejadian di alamat Kampung Terusan Limbat, di sini, pada jam 3 petang, 14 April lalu.

Pada prosiding hari ini, tertuduh memohon hukumannya diringankan kerana insaf atas kesalahan itu, namun pihak Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Syahrun Nizam Mohd Misan memohon hukuman setimpal mengambil kira jenayah yang membabitkan ahli keluarga.

Mohamad Nasrudin kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan, hari sama kejadian.

Dalam kejadian lalu, pengadu berada di rumah dan tiba-tiba anak pengadu mengamuk tanpa sebab serta mengugut dengan kata-kata, "aku sembelih mu, aku kambus mu dale (dalam) kubur, aku katok (pukul) kaki mu bagi mapuh.”

Tertuduh juga menghampiri pengadu dan mengangkat tangan mahu menampar pengadu, tetapi pengadu mengelak dan menepis tangan anaknya itu. Pengadu menjadi takut dan bimbang dibunuh kemudiannya bertindak melarikan diri. Kejadian turut disaksikan dua lagi anak pengadu.

Perlakuan tertuduh sedemikian dipercayai akibat dia berang kerana pengadu yang tidak memberi duit serta meleterinya.

- Sumber: Sinar Harian 

Batalkan kenaikan petrol


1. KERAJAAN Malaysia didesak untuk membatalkan kenaikan harga runcit Petrol RON 95 sebanyak 10 sen seliter dan Petrol 97 sebanyak 20 sen seliter serta merta. Tindakan menaikkannya adalah sangat tidak munasabah kerana berdasarkan Crude Oil Brent, harga pasaran dunia dalam relatif rendah.

2. Sepatutnya, kerajaan harus mengambil pendekatan lebih bijak untuk mengurangkan beban rakyat setelah dampak pelaksanaan GST (6%) pada 1 April disusuli dengan kenaikan harga runcit petrol dan diesel pada 1 Jun yang lalu. 

3. Kerajaan Malaysia juga dilihat cuba mengelirukan rakyat apabila mengambil sikap lepas tangan dengan tidak lagi memberikan notis awal kenaikan bahan api ini setiap hujung bulan. Ini sekali lagi membuktikan bahawa kerajaan tidak serius untuk membela nasib rakyat apatah lagi untuk mengambil langkah konstruktif mengurangkan beban rakyat.

4. Kenaikan yang berlaku hari ini sudah pasti akan memberikan kesan besar terhadap beberapa harga barang keperluan rakyat dalam tempoh terdekat. Ini akan menambahkan beban rakyat khususnya masyarakat Islam yang akan menyambut hari raya kira-kira 15 hari lagi.

5. Kebiasaannya akan berlaku kenaikan beberapa jenis barang keperluan seperti ayam dan daging menjelang hari raya dan perkara ini sukar dikawal oleh kerajaan. Ini tidak termasuk kemungkinan kenaikan kadar tol pada bulan Ogos dan juga tarif elektrik pada awal tahun hadapan.

6. Tekanan kos sara hidup dan peningkatan inflasi ini dijangka akan terus berlarutan dan ia akan terus menekan golongan berpendapatan rendah (B40). Pas mendesak sekali lagi supaya kerajaan membatalkan kenaikan ini serta merta kerana tidak terdapat justifikasi kukuh.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan Pas
Ahli Parlimen Temerloh

- Disiarkan di Sinar Harian

Tabika kesan ada unsur dera sejak Februari

Keadaan belakang badan kanak-kanak itu yang penuh parut.

PASIR MAS - Pengurusan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Ummi di Rantau Panjang di sini mengesan sejak awal Februari, ada sesuatu yang tidak kena dengan kanak-kanak perempuan lima tahun yang ditemui cedera serius dipercayai didera baru-baru ini. 

Pembantu tabika itu Rohaida Mohamad, 44, berkata, kanak-kanak itu telah dimasukkan ke tabika itu oleh ibu tirinya awal tahun ini. 

"Memang pada awal Januari tidak ada tanda-tanda dia didera tetapi pada awal Februari nampak dia berbeza dan kami juga merasa sedikit pelik. 

"Hingga pada awal Mac, dia (kanak-kanak itu) ada mengadu sakit dada kepada saya...kemudian saya periksa badan ada kesan lebam seperti dia kena pukul dan cubit," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kubang Rambutan di sini, hari ini. 

Beliau berkata, pengurusan tabika kemudiannya memanggil ibu tiri kepada kanak-kanak itu untuk bertanya mengenai kesan lebam pada badan mangsa. 

Wanita itu sebaliknya memarahi kami dan tidak lagi menghantar kanak-kanak itu ke tabika. 

"Pihak tabika juga cuba untuk memberi kaunseling kepada ibu tiri dan ayah kandung kanak-kanak itu tetapi tidak dilayan. 

"Kami bagaimanapun tidak membuat sebarang laporan polis," katanya. 

Rohaida berkata, kanak-kanak itu seperti tidak diberi makan oleh penjaganya kerana kelihatan begitu lapar ketika waktu makan tengah hari atau sarapan pagi. 

"Kalau pada waktu makan memang dia akan makan banyak, ada satu ketika saya tanya adakah dia tidak makan di rumah, dia jawab 'ya'. 

"Kami berharap dia cepat sembuh dan perkara ini memang tidak boleh dibiarkan berlaku kepada kanak-kanak kecil," katanya.

Kanak-kanak malang itu ditemui ibu kandungnya pada 24 Jun dalam keadaan wajahnya cengkung dan seluruh badannya berlebam dan dipenuhi parut, sementara kepalanya pula didapati luka manakala belakangnya dalam keadaan membongkok dipercayai akibat patah tulang belakang, rusuk serta paha. 

Pada hari yang sama, kanak-kanak itu dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan dan berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Bapa kandung dan ibu tiri kanak-kanak berusia 39 dan 25 tahun itu yang menjaganya sebelum ini, ditahan reman pada 28 Jun lepas oleh polis selama empat hari untuk siasatan lanjut. 

- Sumber: Bernama

Taktik dua sahabat sewa rumah untuk berniaga mercun terbongkar


Dua rakan karib sanggup menyewa sebuah rumah untuk dijadikan stor simpanan dan lokasi panas menjual pelbagai jenis mercun dan bunga api. -Gambar hiasan

KUANTAN: Dua rakan karib sanggup menyewa sebuah rumah untuk dijadikan stor simpanan dan lokasi panas menjual pelbagai jenis mercun dan bunga api sempena perayaan hari raya Aidilfitri nanti.

Bagaimanapun, rahsia kedua sahabat berbangsa Melayu dan berumur sekitar 40an itu terbongkar apabila rumah di Taman Medan Warisan dengan nilai rampasan hampir RM40,000 berkenaan diserbu pasukan polis dari unit Risikan Polis Marin Wilayah 3 kira-kira jam 1 pagi tadi.

Menurut Komander Polis Marin Wilayah 3, ACP Azmi bin Ibrahim, ketika serbuan kedua lelaki tersebut sedang leka mengira keuntungan jualan dan menyusun mercun sebelum diserahkan kepada pelanggan.

Sumber intipan dan risikan polis mendapati semua mercun tersebut dibawa masuk dari negara jiran oleh sindiket yang lebih besar yang masih aktif dan dihantar masuk ke Pahang dengan menggunakan ejen penghantaran atau orang tengah.

Kedua-dua suspek ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 di mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara 7 tahun atau denda tidak melebihi RM10,000.

- Sumber: Astro Awani 

141 dipercayai korban nahas Hercules dibawa ke hospital untuk pengecaman

Sebanyak 135 jenazah korban nahas pesawat Hercules di Medan, Indonesia berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Adam Malik.

MEDAN: Jumlah korban nahas pesawat Hercules di Medan, Indonesia meningkat kepada 141 orang.

Semua jenazah berjaya dikeluarkan dari lokasi nahas dan dibawa ke hospital, lapor AFP yang memetik pengesahan pihak berkuasa di Hospital Adam Malik di sini hari ini.

Jenazah mangsa akan segera dikenal pasti untuk diserahkan kepada keluarga.

Dalam perkembangan sama, ketua pusat maklumat Tentera Negara Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) Brigadier Jeneral Dwi Badarmanto berkata senarai terbaharu menunjukkan terdapat 121 penumpang dan kru di dalam pesawat malang itu.

Senarai akhir penumpang yang dikeluarkan Markas Besar TNI AU itu termasuk 12 kru di dalam pesawat tersebut, lapor detik.com.

Selain itu, ia turut menyenaraikan sejumlah 109 penumpang yang turun dan naik dari beberapa lokasi berbeza sebelum nahas berlaku.

Pihak berkuasa Indonesia, dalam pada itu, masih menyiasat baki mayat yang ditemukan sama ada melibatkan orang awam yang berada di lokasi kejadian.


Terdahulu, setakat jam 11 malam tadi, sejumlah 91 mangsa korban pesawat tentera Hercules C-130 yang terhempas pada Selasa telah ditemui.

Daripada jumlah itu, sebanyak 23 jenazah telah dikenal pasti melalui teg nama pada pakaian mangsa.

Kesemua mangsa yang ditemui dibawa ke Hospital Adam Malik, lapor portal kompas.com.

Pesawat yang membawa 113 penumpang itu terhempas pada jam 11:38 pagi dipercayai kerana mengalami kerosakan pada enjin.

Pesawat Hercules C-130 A1310 milik TNI terhempas di Jalan Letjen Jamin Ginting, Padang Bulan di sini setelah dua minit berlepas dari Pangkalan Udara Soewondo, Kota Medan.

Pesawat yang sepatutnya menuju ke Pangkalan Udara Tanjung Pinang, Kepulauan Riau itu terhempas di atas rumah awam dan kedai termasuk sebuah pusat spa yang terkenal di kawasan itu.

- Sumber: Agensi

Kanak-kanak Orang Asli dakwa diikat dan dipukul 3 guru

Mangsa dilapor ditendang sehingga lebam di bahagian muka, tangan dan paha.

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak darjah 4 dari suku kaum Temiar mendakwa dia diikat dan dipukul oleh tiga guru sekolahnya pada 15 Jun lalu kerana dituduh mencuri.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis, Gua Musang itu, mangsa juga berkata dia ditendang sehingga lebam di bahagian muka, tangan dan paha.

Menurut laman sesawang Centre of Orang Asli Concerns (COAC), perkara itu hanya diketahui pada keesokan harinya.

COAC bersama sebuah perkumpulan wanita yang aktif di Kampung Angkek menyarankan keluarga mangsa membuat laporan polis.

Ibu saudara mangsa yang dikenali sebagai Deena membawa anak saudaranya itu ke klinik pada keesokan hari di mana doktor yang bertugas turut mengambil beberapa gambar sebagai bukti menyokong laporan polis.

Nenek kepada mangsa, Andak binti Caling yang akhirnya membuat laporan polis di Balai Polis daerah Gua Musang pada 27 Jun 2015.

Laporan polis yang dibuat keluarga mangsa. Foto - Facebook Centre of Orang Asli Concerns

Namun beberapa hari kemudian, mangsa mendakwa rakan guru terbabit, termasuk wakil pihak sekolah serta guru besar telah meminta keluarga mangsa menarik balik laporan polis.

Satu perjumpaan khas dihadiri Deena, Andak dan wakil suku kaum Temiar dengan pemimpin masyarakat Kampung Parik diadakan bagi membincangkan kes itu.

Kesemua mereka bersependapat bahawa pihak sekolah tidak sepatutnya melindungi guru berkenaan atas apa sebab sekalipun.

Mereka bersetuju untuk tidak bersemuka dengan pihak sekolah dan terus memanjatkan laporan kepada pihak berkuasa.

Kes itu telah dilaporkan secara lisan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) oleh pemimpin Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) pada 23 Jun 2015.

Penyelaras COAC, Dr Colin Nicholas telah memuat naik perihal kejadian di laman Facebook COAC.

Memetik laporan The Malaysian Insider, sumber polis mengesahkan kejadian dan ia kini sedang disiasat.

- Sumber: Astro Awani 

Pian Pendek diburu polis Terengganu

Dikehendaki...Mohd Sapian Ali, 28, atau lebih dikenali Pian Pendek diburu polis selepas berjaya lolos semasa berada di lokap mahkamah.

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu melancarkan Operasi Tutup untuk menjejaki seorang lelaki yang menjadi tahanan Orang Kena Tuduh (OKT), yang melarikan diri dari lokap mahkamah di sini, kelmarin.

Usaha menjejaki OKT, Mohd Sapian Ali, 28, atau lebih dikenali ‘Pian Pendek’ yang beralamat dari Kampung Dusun, Kuala Ibai, di sini, turut dihebahkan kepada kontinjen negeri lain untuk bantuan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abdul Rahman berkata, OKT itu berjaya meloloskan diri semasa berada di lokap mahkamah kira-kira jam 2.30 petang dengan memanjat ruang di antara jeriji lokap berkenaan dengan bumbung premis terbabit.

Katanya, sebelum itu OKT berkenaan dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan atas tiga kesalahan jenayah iaitu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak, Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB).

“Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan dan dibenarkan diikat jamin. Memandangkan tiada ahli keluarga yang tampil untuk memberi jaminan, dia dibawa ke lokap di tingkat bawah mahkamah, sebelum disedari melarikan diri dengan berpakaian lokap.

“Sebaik mendapat maklumat berhubung kejadian, hebahan terus dilakukan kepada anggota pasukan supaya melancarkan Operasi Tutup di beberapa lokasi strategik di daerah ini.

“Selain itu, polis Kuala Terengganu turut menghebahkan kejadian kepada seluruh daerah di negeri ini serta kontinjen lain untuk bersedia sekiranya OKT itu masuk ke kawasan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya sehingga semalam, OKT itu masih belum ditemui serta pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kedudukan lelaki itu dapat menyalurkannya ke balai polis berhampiran.

Rosli turut memberi amaran kepada orang awam dan ahli keluarga OKT supaya tidak melindungi lelaki terbabit kerana tindakan undang-undang terhadap mereka boleh dikenakan.

- Sumber: Sinar Harian 

Bakar diri dalam kereta api laju

Pegawai polis membawa bukti yang diambil dari kereta api laju Nozomi selepas ia berhenti di di stesen Odawara. - Foto AFP

TOKYO. Sekurang-kurangnya dua penumpang maut manakala dua lagi cedera parah selepas seorang lelaki bertindak membakar dirinya di dalam sebuah kereta api laju yang sedang bergerak di Jepun, semalam.

Akhbar Yomiuri Shimbun melaporkan, letupan didengari berhampiran bahagian tandas hingga menyebabkan kereta api tersebut berhenti serta merta sejurus loceng kecemasan ditekan.

"Kami menerima maklumat bahawa kebakaran berlaku berdekatan tandas dan dua orang meninggal dunia akibat kegagalan jantung. Beberapa penumpang lain turut cedera dalam insiden itu," menurut jurucakap Jabatan Bomba Odawara.

Difahamkan, pemandu kereta api mendapati mayat lelaki tersebut masih terbakar dan polis Kanagawa telah mengesahkan kematiannya.

Ketika kejadian, kereta api laju Nozomi dinaiki kira-kira 1,000 penumpang sedang dalam perjalanan dari Tokyo menuju ke Osaka, sebelum kebakaran tercetus berhampiran Odawara, dekat barat daya ibu negara. 

- Sumber: Channel News Asia

Niat bantu bertukar tragedi

Kereta Toyota Lexus dipandu seorang lelaki berusia 20an terbalik selepas merempuh Viva dan Exora ketika cubaan mengelak MyVi yang terlebih dahulu terbabas di lorong laju.

Ilustrasi: Sinar harian oleh Siti Aima

MARAN - Niat dua keluarga untuk membantu mangsa kereta terbabas bertukar tragedi apabila masing-masing kehilangan seorang anak dalam satu kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 149.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, dua kanak-kanak, Nur Damia Batrisha Paizo, 5, dan Muhammad Akmal Nuraidi, 11, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Bapa kepada Nur Damia, Paizo Yusof, 28, berkata, ketika kejadian dia sekeluarga termasuk isteri dan dua anak serta dua adik ipar yang menaiki kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan pulang ke Kuantan dari pengebumian nenek isterinya di Raub.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia bertindak memberhentikan kereta di lorong kecemasan sebaik melihat Perodua Myvi di hadapannya terbabas ke kanan lebuh raya selepas melanggar belakang sebuah treler.

"Dalam masa yang sama sebuah kereta jenis Proton Exora di belakang kereta saya turut bertindak sedemikian kerana mahu membantu mangsa," katanya yang merupakan seorang anggota tentera.

Kereta dirempuh tiba-tiba

Difahamkan sebelum kejadian, pada awalnya tiga kenderaan ini berada di lorong perlahan dan secara tiba-tiba MyVi melanggar belakang treler di depannya sebelum terbabas ke lorong laju dan merempuh pembahagi jalan.

Paizo berkata, kejadian itu menyebabkan dia dan pemandu Exora segera berhenti di tepi jalan.

"Saya keluar kereta sementara isteri dan anak termasuk anak yang bongsu berusia tiga tahun serta dua ipar berada dalam kereta.

“Ketika sedang membantu mangsa terbabas dalam tempoh kurang lima minit, secara tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Toyota Lexus dan cuba mengelak MyVi berkenaan,” katanya.

Paizo berkata, Lexus yang mengelak ke arah kiri jalan terbabas merempuh belakang keretanya (Viva) sebelum turut merempuh belakang Exora.

Menurutnya, anaknya yang berada di tempat duduk belakang meninggal dunia sementara ahli keluarga lain mengalami kecederaan dan tersepit.

“Saya memang tidak menyangka kehilangan anak sulung dalam kemalangan sebegini kerana saya berhenti dengan niat membantu orang lain.

“Dia yang sangat manja dengan saya dan menjadi penyeri kami sekeluarga kerana dia petah bercakap serta periang,” katanya sugul.

Maut akibat rempuhan kuat

Sementara itu, Mohd Syukor Abdullah, 24, iaitu bapa saudara kanak-kanak Muhammad Akmal berkata, mereka anak-beranak dalam perjalanan dari Bangi ke Kuala Krai untuk menziarahi nenek yang sedang tenat.

Katanya, dia keluar dari kereta membawa lampu suluh untuk memberi isyarat kepada kenderaan lain selepas MyVi terbabit terbabas dan masih di lorong laju. 

“Anak saudara saya (mangsa) keluar dari kereta dan duduk dekat tepi longkang mungkin kerana hendak lihat apa yang berlaku sementara yang lain ada di dalam kereta.

“Rempuhan kuat Lexus ke Viva terus mengenai Exora dan ke arah anak saudara sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, ASP Mohd Rizal Mat Radzi mengesahkan kejadian tersebut dan kedua mayat kanak-kanak terbabit di hantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.

"Tiga mangsa dalam kereta Viva yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh," katanya.

- Sumber: Sinar Harian