Wednesday, 31 July 2013

5 maut dalam kemalangan ngeri


5 maut dalam kemalangan ngeri

JOHOR BAHRU:  Lima maut manakala seorang lagi cedera dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 21, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Johor, kira-kira jam 2.30  pagi tadi.

Kemalangan membabitkan kereta pelbagai guna, MPV, yang dinaiki enam rakan itu.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta berkenaan gagal mengawal kenderaan, lalu terbabas sehingga melanggar pokok dan tiang lampu di tengah pembahagi jalan.

Pemandu Mohd Fadzli Mohd Fakri, 20, dan empat penumpang belakang, Hairul Adham Hamidan,21, Nazierul Khalies Mohd  Ashar,23, dan Nor'ain Alias, 23,  mati di tempat kejadian.

Manakala,  Nor Syarifah  Hazwani Bardaidi, 21, yang duduk di bahagian hadapan mengalami kecederaan dan di hantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Seorang lagi mangsa yang maut masih belum dapat dikenal pasti.
-- Astro Awani 

Saya tidak akan minta maaf, kata pembikin video Raya bersama anjing

Saya tidak akan minta maaf, kata pembikin video Raya bersama anjing

KUALA LUMPUR:  Saya tiada niat untuk menghina Islam dan saya tidak akan memohon maaf untuk sesuatu yang saya anggap bukan satu kesalahan.

Itulah adalah kata-kata pembikin video kontroversi YouTube bertajuk ‘Video Menghina Islam 1 Hari di Hari Raya’, yang dikatakan menghina Islam.

Maznah Mohd Yusof, yang juga dikenali sebagai Chetz Yusof, berkata dia tidak akan memohon maaf kerana berpendapat ia bukan kesalahan ataupun tanggungjawabnya sekiranya orang ramai tersalah faham tentang maksud sebenar video itu.

“Jikalau saya memohon maaf untuk video itu, ia bermaksud saya bersetuju bahawa saya membuat sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Video itu bukan menghina Islam. Membuat tuduhan bahawa saya ingin menghina Islam ialah seperti memfitnah saya,” kata jurutera berumur 38 tahun itu kepada Astro Awani.

Video yang berdurasi 1 minit 44 saat itu memaparkan Chetz memakai Baju Melayu hitam dan membasuh kaki anjingnya, kemudian seolah mengambil wuduk dengan membasuh kakinya pula serta mengelap anjingnya sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.

Video itu juga menyiarkan kata-kata "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga anjing itu).

Ia turut memuatkan ucapan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin dari Chetz sekeluarga" dengan gambar seorang lelaki duduk bersama tiga ekor anjing di atas sofa.

Chetz mengakui beliau adalah pembikin asal video berusia tiga tahun itu dan video itu dimuat naikkan semula tanpa kebenarannya.

Dia juga mendakwa tajuk video itu telah diubah oleh orang yang memuat naikkan semula video itu untuk menggambarkan dia menghina Islam.

“Adakah membela anjing itu sesuatu yang tidak Islamik. Saya hendak bertanya, siapa yang sebenarnya menghina Islam? Saya pastikan anjing-anjing saya bersih. Saya menjaga mereka dengan baik. Jadi, apa masalahnya?

“Saya menjaga anjing-anjing saya mengikut ajaran Islam dan Quran. Orang-orang yang memuat naik semula video itu salah tafsir kandungan video dan terlalu beremosi.

“Saya hanya merakamkan ucapan Hari Raya. Saya hendak menunjukkan di video itu bahawa saya pergi berjalan dengan anjing-anjing saya di waktu pagi. Jadi, apa isunya? Saya benar-benar tidak faham.

“Bersihkan anjing-anjing saya? Adakah salah untuk saya bersihkan anjing-anjing saya? Saya bersihkan seluruh badan anjing-anjing itu. Dalam video saya, saya hanya mencuci tangan saya.

“Mesej saya adalah kita sambut Hari Raya bukan sahaja dengan manusia tetapi dengan spesis lain termasuk haiwan,” katanya.

Chetz berkata dia kini bimbang tentang keselamatannya, anjing-anjingnya serta keluarganya selepas menerima ancaman bunuh menerusi SMS.

“Saya telah membuat laporan polis semalam tentang orang-orang yang telah memuat naikkan video itu semula dan menuduh saya menghina Islam. Hari ini saya akan membuat lagi satu laporan polis mengenai ancaman bunuh yang saya terima,” katanya.

-Astro Awani 

Suspek mungkin pembunuh upahan - Mohmad Salleh

Suspek mungkin pembunuh upahan - Mohmad Salleh

KUALA LUMPUR:  Susulan kes tembak yang menyebabkan Pengasas Arab Malaysian Bank Hussain Ahmad Najadi maut semalam, Polis Kuala Lumpur mengesyaki individu tersebut merupakan pembunuh upahan.

Menurut Ketua Polis KL, Datuk Mohmad Salleh beberapa imej dan gambaran suspek dikenalpasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditempatkan di sekitar kuil di lokasi kejadian.

Tambah beliau, dalang sebenar disebalik pembunuhan masih belum dikenalpasti. Walaubagaimanapun, pihak polis telah mengenalpasti tujuh saksi yang turut berada ditempat kejadian bagi membantu siasatan.

"Kita sudah (kenalpasti) ramai saksi dan sekarang kita nak padankan kenyataan mereka untuk  (mendapatkan gambar) menjurus ke arah spesifik agar suspek boleh dikenalpasti dengan lebih spesifik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis KL.

Polis juga tidak menolak kemungkinan pembunuhan ini mempunyai kaitan dengan urusan jual beli hartanah.

Sementara itu, isteri mangsa yang turut tercedera waktu kejadian ditempatkan di Hospital Prince Court dan beliau dilaporkan berada dalam keadaan yang stabil.

Pihak polis bagaimanapun masih lagi belum mengambil keterangan dari mangsa.

Semalam, Hussain Ahmad Najadi ditembak mati manakala isterinya cedera parah ditembak dari jarak dekat di sebuah kawasan meletak kereta selepas keluar dari sebuah tokong cina, Kuan Yin Temple di Lorong Ceylon di Kuala Lumpur.

Kejadian berlaku kira-kira jam dua petang ketika mangsa datang ke tokong itu berjumpa dengan seorang rakannya untuk berbincang mengenai urusan jual beli saham. -
-Astro Awani