KUALA LUMPUR - Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dianggap calon paling layak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, kata Naib Presiden parti itu, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, Dr Wan Azizah, yang juga Adun Kajang, dianggap sebagai calon tepat berdasarkan kepimpinan dan pengalaman beliau yang pernah menjadi anggota Parlimen kawasan itu.
"Saya menyokong penuh, pastinya kita akan melalui proses di peringkat Keadilan (PKR) dan juga peringkat pakatan rakyat seperti biasa, sudah tentu ada beberapa calon yang akan dipertimbangkan.
"Tetapi jika dilihat dari segi kepimpinan dan pengalamannya, Kak Wan (Dr Wan Azizah) adalah paling layak," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Portal berita 'The Malaysian Insider' hari ini memetik Dr Wan Azizah sebagai berkata beliau tidak menolak kemungkinan akan bertanding sekali lagi di kerusi Parlimen Permatang Pauh sekiranya diperlukan.
Semalam, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh pada 16 Mac lalu sebaik sahaja Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon oleh keluarganya.
Justeru, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, SPR akan mengadakan mesyuarat khas berhubung PRK Parlimen Permatang Pauh, Rabu depan (8 April).
Rafizi, yang juga anggota Parlimen Pandan berkata, mesyuarat menentukan calon PRK itu akan dibuat sebaik sahaja pengumuman rasmi SPR.
Pada 2008, Dr Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding kerusi tersebut.
Tindakan itu memaksa Dr Wan Azizah digantung daripada bertanding dalam mana-mana pilihan raya selama lima tahun kerana meletak jawatan sebagai wakil rakyat tanpa alasan kukuh.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada 24 Februari lepas dilaporkan berkata isu penggantungan presiden PKR itu tidak timbul lagi kerana tempoh tersebut hanya berkuat kuasa selama lima tahun.
Pada Pilihan Raya Umum 2013, Anwar mengekalkan kubu kuatnya di Permatang Pauh dengan menewaskan calon BN, Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi.
- Sumber: Bernama