Friday, 4 October 2013

2 mayat ditemui dalam but kereta Waja


IPOH - Mayat dua lelaki ditemui dalam keadaan kaki dan tangannya diikat serta muka ditutup dengan plastik lut sinar di dalam but sebuah kereta di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Alor Pongsu, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, dekat Bagan Serai, sini hari ini.
   
Mayat Ting Liong Chin, 28, yang berasal dari Cheras dan Seu Hong Chee, 19, dari Kepong, Kuala Lumpur, ditemui dalam but kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu kira-kira pukul 4.05 petang tadi.
   
Menurut seorang pekerja di hentian itu yang enggan dikenali, beliau melihat kereta itu dalam keadaan mencurigakan selepas terhidu bau busuk dan terdapat banyak lalat di kereta berkenaan.
   
"Kereta yang berkunci ini berada di sini sejak pukul 7.30 petang semalam. Saya tidak pasti siapa yang tinggalkan kereta di sini dan melaporkan perkara itu kepada polis," katanya.
   
Polis telah memecah tingkap kereta berkenaan untuk membuka but kereta sebelum menemui dua mayat berkenaan, katanya.
   
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan. 

- Bernama

Peduli apa aku dengan Laporan Ketua Audit Negara?

"Peduli apa aku dengan Laporan Ketua Audit Negara?"

Itulah apa yang saya faham dan rumuskan mengenai apa yang ditulis oleh wartawan ASTRO Awani di bawah:

Laporan Ketua Audit Negara: Apa lagi nak kata?

APA lagi yang kita hendak kata tentang Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini? Secara umumnya, adakah apa-apa yang baharu? Bukankah setiap tahun apabila laporan itu dikeluarkan ceritanya sama?

Tema ceritanya sama: barangan atau perkhidmatan yang sepatutnya diperolehi dengan harga yang rendah dibayar dengan harga yang tinggi; projek yang sepatutnya diuruskan dengan baik, jadi tidak teratur dan terlewat daripada jadual; belanja yang tidak berhemat; kerja yang tidak dirancang dengan teliti, pengurusan tidak cekap dan banyak lagi.

Itu ini, begitu begini; yang itu, itu juga.

Apakah yang dipelajari daripada laporan yang dikeluarkan saban tahun itu? Apakah sebenarnya ada pelajaran yang diambil? Apakah pula sikap penjawat awam di kementerian, jabatan dan badan berkanun terhadap laporan itu?

Adakah mereka peduli?

Apa yang ternampak daripada laporan audit negara setiap tahun ini ialah mereka yang terlibat semacam tidak peduli. Kalau mereka peduli, hal-hal seperti itu tidak akan terjadi lagi. Tetapi sebaliknya itu ini, begitu begini, akhirnya yang itu, itu juga

Itulah juga pandangan Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Mohd Tap Salleh dalam wawancara bersama Astro AWANI. Beliau membangkitkan soal sikap di kalangan kementerian, jabatan dan badan berkanun yang ambil mudah semua teguran Ketua Audit Negara kerana yang ditegur bukan mereka tetapi kementerian, jabatan dan badan berkanun lain.

Ini bukan soal kementerian, jabatan atau badan berkanun yang mana atau di bawah bidang kuasa siapa. Rakyat buta kepada semua itu. Bagi rakyat, kementerian, jabatan dan badan berkanun itu secara pakejnya ialah kerajaan — kerajaan yang mereka pilih melalui pilihan raya dan diberi amanah serta tanggungjawab untuk menguruskan negara dengan duit cukai yang mereka bayar.

Itu saja.

Itu sebabnya semua kementerian, jabatan dan badan berkanun perlu ambil peduli. Ambil peduli itu satu kerja mesti.

Mereka mesti peduli kerana kita peduli — sangat peduli. Sebagai rakyat, kita peduli kerana yang dibazirkan itu adalah wang yang kita bayar sebagai cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri setiap tahun serta lain-lain cukai yang dikenakan ke atas kita.

Maka itu, kita berhak bertanya dan kita harus bertanya. Berhak bertanya dan (berani) melontarkan pertanyaan adalah dua perkara yang tidak sama. Misalnya, seseorang boleh melintas jalan tetapi kalau dia memilih untuk tidak membuka langkah untuk berjalan, tegaklah dia jadi macam tugu di tepi jalan.

Kita pun sama. Sekiranya kita tidak bertanya, jadilah kita pembaca laporan audit tahunan yang setiap tahun ditunjukkan dengan cerita yang sama. Memang ada penambahbaikan di sana sini tetapi secara keseluruhannya masih lagi itu ini, begitu begini; yang itu, itu juga.

Itu sebabnya kita wajar bertanya: Apakah mereka yang terlibat dalam semua pendedahan yang memalukan ini sedar diri, ada maruah dan tahu malu? Sedar diri, ada maruah dan tahu malu itu adalah ciri-ciri integriti yang paling asas. Itulah juga nilai-nilai yang diajar sejak tadika — ikut peraturan; jangan ambil barang yang bukan hak sendiri; kalau buat sepah, kemas sendiri dan kalau buat silap, minta maaf.

Adakah mereka yang terlibat rasa ini semua?

Itu yang kita kena tanya. Kerja bertanya itu tidak salah sebaliknya tidak bertanya itulah yang menjadi satu dosa — dosa kepada bangsa dan negara, dosa kepada anak cucu dan masa depan tetapi yang lebih pentingnya ialah dosa kepada diri sendiri.

Kalau kita sebagai ibu dan ayah pun biasa bertanya kepada anak-anak ke mana dan bagaimanakah duit jajan sekolah dibelanjakan, salahkah kalau rakyat dan pembayar cukai bertanya hal yang sama yang berbangkit daripada pendedahan laporan audit itu?

Ada banyak hal sebenarnya yang telah ditanyakan oleh media dan banyak juga pertanyaan-pertanyaan lain yang timbul selepas media melaporkan dengan agak bersemangat isi kandungan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dikeluarkan awal minggu ini.

Tetapi dalam masa beberapa hari lagi, semua ini akan reda. Setahun lagi, kita akan didedahkan dengan laporan audit yang baru — dan ceritanya nanti mungkin sama: itu ini, begitu, begini; yang itu, itu juga.

Apa lagi yang hendak kita kata?

Kepala hancur diseret lori simen


KEADAAN mayat mangsa setelah diseret oleh lori simen berkenaan di Jalan Kolombong-Tuaran, kelmarin.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Indonesia terbunuh dalam keadaan ngeri setelah kepala dan sebahagian badannya hancur akibat diseret beberapa meter oleh sebuah lori simen dalam satu kejadian nahas jalan raya di Jalan Kolombong-Tuaran  kelmarin.

Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 7.50 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Heri Bertrus Niran, 33, sedang dalam perjalanan menuju ke Likas dari Inanam menggunakan sebuah basikal.

Bagaimanapun sebaik tiba di sebuah simpang berhampiran lokasi kejadian, tidak semena-mena muncul sebuah lori pengangkut simen yang seterusnya merempuh basikal dinaiki oleh mangsa.

Impak daripada rempuhan itu menyebabkan mangsa dan basikalnya diseret beberapa meter dengan bahagian kepala  dan badan mangsa hancur digilis tayar.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata mangsa disahkan meninggal dunia  akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat,” katanya.

Menurut beliau kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- Borneo Post, Oct. 1, 2013

Insiden rempuh sekatan White House , suspek ditembak mati

WASHINGTON:  Seorang wanita ditembak mati ketika cuba merempuh sekatan polis berhampiran White House di Washington, Amerika Syarikat

Suspek yang menaiki kereta turut membawa bersama anaknya.

Rakaman video menunjukkan polis mengepung dan menghala senjata ke arah  kenderaan yang dinaiki suspek yang bertindak mengundur ke arah kereta polis dan kemudian memecut di kawasan Capitol Hill.

Wanita yang memandu kereta berdaftar di Connecticut itu kemudian ditembak mati dan drama berkenaan turut disaksi para pelancong yang berada berhampiran.

Berikutan insiden yang berlaku, polis menutup seketika kompleks pentadbiran berkenaan.

Dalam kenyataannya, pihak berkuasa menyifatkan kejadian sebagai kes terpencil dan tidak mempunyai kaitan dengan keganasan.

Insiden berlaku selepas 2 minggu insiden tembakan pesakit mental yang meragut 13 nyawa.  -ASTRO Awani 

40 orang meninggal dunia masih terima bantuan JKM

Laporan Ketua


SEREMBAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), masih memberi bantuan kepada 40 individu yang sudah meninggal dunia di Negeri Sembilan sepanjang tempoh 2008 sehingga 2012.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, didapati sejumlah RM45,350 dibayar kepada 15 orang penerima yang sudah meninggal dunia tidak termasuk 25 yang meninggal pada tahun 2012.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10 kes melibatkan wang berjumlah RM23,070 berlaku di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Seremban, empat kes melibatkan wang berjumlah RM19,040 di PKMD Kuala Pilah dan satu kes di PKMD Port Dickson, yang melibatkan wang sebanyak RM3,240.

“Pengiraan adalah dengan mengambil kira wang bantuan kerajaan negeri dan juga bantuan tambahan daripada kerajaan persekutuan. Penerima yang meninggal dunia pada tahun 2012 tidak diambil kira kerana ada di antaranya baru dan belum dimaklumkan kepada PKMD.

“Semakan lanjut mendapati ada antara wang bantuan terlibat diagihkan melalui serahan kepada wakil penerima,” menurut laporan tersebut.

Sementara itu, Pengarah JKM negeri, Abdullah Hanapi berkata jabatan telah mengambil tindakan yang proaktif untuk menuntut semula wang tersebut daripada waris.

Katanya, sehingga kini usaha untuk mengesan waris masih lagi dijalankan.

“Jumlah pungutan terkini semakin bertambah daripada statistik yang dikeluarkan laporan audit itu, dan kita yakin ia akan bertambah dari masa ke semasa,” katanya.

Pada Mei 2012, seramai 3,819 orang menerima Bantuan Am secara tunai dan bank bagi PKMD Seremban, Kuala Pilah dan Port Dickson.

Berdasarkan senarai penerima bantuan yang disediakan, pengesahan (melalui nombor kad pengenalan) dibuat dengan Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sembilan (JPNNS) sebagai kesahihan atau kewujudan penerima bantuan.

Maklum balas yang diterima daripada JPNNS mendapati seramai 40 orang penerima telah meninggal dunia tetapi nama mereka masih lagi tersenarai dalam senarai penerima bantuan. - ASTRO Awani 

Hari pertama KL Gangster 2 kutip RM200,000

Syamsul Yusof
Syamsul Yusof


SHAH ALAM - Filem KL Gangster 2 yang sempat dipalit kontroversi sebelum penayangannya dikhabarkan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada segi hasil kutipan pada hari pertama tayangan, malam tadi.

Tayangan pertama yang bermula malam tadi berjaya mengutip RM200,000 dan tiga hari tayangan awal pada 27 hingga 29 September lalu berjaya mengumpul RM500,000.

Filem yang menelan kos RM4.4 juta itu mendapat perhatian umum apabila filem tersebut tersebar di laman internet sebelum ditayangkan di pawagam.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam yang juga bapa kepada Syamsul akui yakin filem tersebut tetap mendapat tempat di hati penonton meskipun menjadi mangsa sabotaj.

“Berdasarkan kepada kutipan itu, saya percaya filem ini mampu menarik perhatian orang ramai terutama sekali kepada mereka yang menantikan hasil karya arahan anak saya, Syamsul,” katanya dipetik mStar Online, hari ini.

Filem berkenaan sepatutnya ditayangkan pada Khamis tetapi telah mendapat hak tayangan lebih awal untuk tiga hari bermula 27 hingga 29 September lalu sebagai sokongan terhadap karya tersebut yang telah dicetak rompak.

Kebanyakan panggung menunjukkan jumlah penonton yang ramai sekali gus melegakan hatinya selepas bimbang karya itu tidak mendapat sambutan.

“Alhamdulillah. Saya dapat lihat momentum yang baik terhadap filem ini walaupun karya saya sudah dicetak rompak,” katanya.

Ketika ditanya tentang keadaan Syamsul, beliau akui Syamsul masih tidak dapat menerima karyanya disabotaj.

Katanya, Syamsul juga tidak mahu diganggu sebaliknya mengambil pendekatan untuk menyendiri kerana dia amat kesal dengan peristiwa berkenaan.

“Saya mahu anak saya terus berjuang untuk menghasilkan filem-filem lebih hebat selepas ini dan berharap kejadian yang berlaku bukanlah alasan untuk dia patah semangat,” katanya.


Sumber

Diserbu ketika memadu asmara

Diserbu ketika memadu asmara
Anggota Imigresen (tengah) menahan seorang warga tempatan dan seorang wanita yang dipercayai memberikan khidmat seks di sebuah hotel murah.



TELUK INTAN - Seorang lelaki tempatan yang asyik memadu asmara bersama seorang wanita di sebuah hotel murah di Jalan Raja terkejut apabila diserbu sekumpulan anggota Jabatan Imigresen Cawangan Teluk Intan, dalam satu operasi, malam kelmarin.

Bahkan wanita berkenaan juga turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota Imigresen yang menyertai Ops 6P Bersepadu di hotel murah tersebut.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, operasi yang diketuai beliau turut disertai 12 anggotanya dan dua kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Teluk Intan.

Menurutnya, sebanyak enam lokasi diserbu dalam masa dua jam dan pihaknya berjaya menahan dua wanita di premis berasingan.

"Dua wanita berusia lingkungan 30-an itu disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di hotel murah di sini dan salah seorang daripada mereka dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Hasil risikan dibuat mendapati, hotel murah berkenaan turut menawarkan aktiviti tidak bermoral dengan bayaran sekitar RM30 hingga RM50 bagi satu sesi, malahan pelanggan boleh membawa wanita tersebut ke lokasi lain namun dikenakan caj,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Khairul Anuar berkata, kesemua wanita yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan bagi tujuan siasatan.

Katanya, JPN turut memeriksa wanita yang dikatakan mempunyai kad pengenalan namun, MyKad salah seorang daripadanya diragui.

“Dalam kes ini, JPN turut menyiasat kes tersebut bagi mengesan sindiket mengeluarkan MyKad palsu yang digunakan oleh wanita warga Indonesia tersebut.

“Wanita warga Indonesia berkenaan disiasat di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 dan kini ditempatkan sementara di Depot Langkap untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber

42 maut diserang tebuan di Timur Laut China

42 maut diserang tebuan di Timur Laut China

 BEIJING:  Sejumlah 42 orang maut dan 1,640 cedera akibat diserang tebuan di Wilayah Shaanxi di timur laut China sejak Julai, kata pihak berkuasa kesihatan China pada Khamis.

Suruhanjaya Kesihatan dan Perancang Keluarga Kebangsaan berkata 206 mangsa dimasukkan ke hospital akibat serangan itu.

Bagaimanapun, punca serangan belum dapat disahkan.

Agensi berita Xinhua melaporkan satu garis panduan berhubung kaedah diagnosis dan rawatan bagi mangsa serangan tebuan telah dikeluarkan, manakala agensi tempatan digesa mematuhi prosedur ditetapkan serta memastikan pesakit mendapat rawatan segera.

Agensi kesihatan tempatan digesa menyelaraskan respons berhubung serangan tebuan dengan jabatan pertanian, perhutanan dan bomba, termasuk membunuh serangga berbisa itu di kawasan padat penduduk.

Selain Wilayah Shaanxi, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di selatan negara ini juga melaporkan kejadian serangan tebuan antara Julai dan September. - BERNAMA 

Jangan pergi ke Amerika Syarikat!

Jerman, UK nasihat rakyatnya jangan ke Amerika Syarikat

Jerman dan United Kingdom antara negara yang pertama mengeluarkan kenyataan bagi rakyatnya yang ingin melancong ke Amerika Syarikat bahawa mungkin terdapat kelewatan di jabatan imigresen dan tempat pelancongan susulan penutupan operasi kerajaan AS.

Di dalam notis yang dinaikkan di laman web mereka, Kementerian Luar Jerman memberi amaran “pelancong akan terpaksa menunggu lebih lama di pusat imigresen,” walaupun kawalan trafik udara serta pihak Kastam dan Operasi Keselamatan di lapangan terbang AS beroperasi seperti biasa; manakala kerajaan England juga mengeluarkan amaran yang sama.

Menurut laporan oleh Daily Mail, Persatuan Agen Pelancongan British (ABTA), Persatuan Perdangangan Pelancongan UK bagi pengusaha pelancongan dan agen pelancongan turut memberi amaran kepada pelancong British bahawa mereka mungkin tidak akan menerima ganti rugi untuk perjalanan percutian mereka kecuali ‘sebahagian besar’ perjalanan mereka terjejas akibat penutupan operasi kerajaan AS.

Menurut ABTA, sekitar 30,000 rakyat Britain buat masa ini sedang bercuti di AS dengan hanya sebahagian kecil yang membuat tempahan untuk perjalanan ke taman-taman negara, di mana semuanya telah ditutup.

Rakayt Britain merupakan antara kumpulan terbesar yang kerap melancong ke AS selain rakyat Jerman, menurut statistik Jabatan Perdagangan AS.

Pada Rabu, pemimpin-pemimpin Eropah meluahkan rasa kecewa terhadap kejadian penutupan operasi kerajaan itu, tetapi optimis bahawa kemerosotan ekonomi adalah minimum, asalkan ahli politik AS dapat mencapai kata sepakat dalam masa dua minggu.

“Kerajaan Jerman sedang mengikuti perkembangan semasa di AS secara teliti dan kami kecewa masih tiada sebarang kata putus dibuat berkenaan konflik bajet di AS ini, kata jurucakap kerajaan, Steffen Seibert kepada media, seperti yang dipetik AFP. “Kami berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera.”

Jurucakap Kementerian Ekonomi, Tanja Kraus menambah, “pakar ekonomi kami berkata jika tempoh masa pembekuan perbelanjaan ini pendek dan terdapat kata sepakat dicapai dalam masa dua minggu, maka kesan ekonomi AS dan negara luar tidaklah begitu besar.” - ASTRO Awani 


Pengantin minta maaf: Apa komen anda?

Pengantin minta maaf: Apa komen anda?

Pengantin perempuan yang majlis perkahwinannya di Sungai Petani, Kedah pada Sabtu lalu menyebabkan kematian empat orang kerana keracunan makanan memohon maaf kepada semua yang terlibat atas ketentuan yang berlaku.

Haslina Yusof berkata, beliau sedih dan terkilan dengan kejadian yang menimpa sanak saudara dan tetamu yang hadir pada majlis perkahwinan itu.

Ini laporan penuh yang disiarkan pada Khamis: Keluarga pengantin minta maaf, terkilan kenduri jadi tragedi

Berikut antara komen yang anda kongsikan sebagai reaksi kepada laporan itu:

Al Zoghbi Nawal: Kenduri gotong-royong atau catering sama-sama kena jaga kebersihan. Pembekal ayam pun janganlah bagi ayam yang dah reject untuk kenduri. Aniaya macam ini. Apa-apapun benda dah nak jadi adalah ketentuan Ilahi. Kita tidak boleh nak salahkah tuan rumah. Mungkin kerja ramai-ramai macam-macam hal bpleh terjadi. Apa-apa pun takziah kepada keluarga mangsa. Jiran saya pun masih di hospital. Harap dia cepat sembuh.

Ahmad Shaharudin Latiff: Yang layak memaafkan hanyalah keluarga yang kematian ahli mereka.

Kamaruzaman Kamarudin: Sudah ketentuan. Harap yang gotong-royong kenduri, katering agar lebih berhati-hati. Saya pernah makan di satu majlis tidak lama dulu, dapat rasa masak ayam berbau.

Butik Pengantin Fauzie Kedah: Itulah, tiada siapa yang minta jadi macam ini. Dugaan. Apapun bersabar banyak-banyak.

Adinda Ezlyn: Asbabnya kenduri, sebenarnya sudah takdir.

Nazriyah Abd Ghani: Pengajaran untuk semua. Setiap apa yang Allah bagi itu ada hikmahnya.

Shamsul Nizam J: Sama-sama ambil iktibar.

Mohd Redhawi Yasabah: Pegawai perubatan perlu ada membuat pemantauan kebersihan. Boleh bawa usul ini di parlimen tentang isu kebersihan menyeluruh bukan fokus pada permis perniagaan sahaja.

Roslie Misiran: Harap pihak katering atau yang menyediakan masakan agar lebih utamakan kebersihan serta gangguan lalat yang hinggap. Jangan dibiarkan terdedah.

Kamal Husain: Kalau masak gotong-royong susah nak kesan atau nak salahkan individu. Kalau katering barulah boleh kita terus siasat syarikat itu.

Alyaa Syafiah: Kes kematian kerana keracunan makanan adalah seperti kes pembunuhan. Polis perlu menahan dan mendakwa tukang masak juadah kenduri itu agar tukang masak lain lebih berhati-hati dan bertanggungjawab memastikan masakannya bersih. Farid Aza: Bekalan bahan masakan, penyediaan makanan dan penghidangan semua kena ambil berat.

Nizam Samad: Sungguh simpati dan faham perasaan mereka. Harap keluarga mangsa tidak menyalahkan mereka (atau terus berbuat demikian). Permulaan ini memanglah mereka tentu ada menyalahkan pihak tuan rumah. Kita faham itu kerana kehilangan orang tersayang tetapi harapnya janganlah berpanjangan.

Gafar Rs: Tidak boleh salahkan tuan rumah. Tak ada siapa yang mahu majlisnya menjadi tempat membunuh. Masakan telah diuruskan 100% kepada tukang masak. Tukang masak terdiri dari ramai pembantu yang bergotong-royong melakukan kerja. Tak tahulah dah takdir nasib menimpa, mungkin ada kejadian yang tidak disedari masa memasak. Cuma apa yang boleh dikatakan, harap tuan rumah dan semua yang terlibat dalam bencana ini bersabarlah menerima dugaan yang berat ini.

- ASTRO Awani 

Nahas bot karam Itali, lebih 300 dikuatiri lemas

Nahas bot karam Itali, lebih 300 dikuatiri lemas

LAMPEDUSA:  Kerajaan Itali mengisytiharkan perintah berkabung pada Jumaat susulan tragedi bot pendatang karam di luar pesisir pantai pulau Lampedusa.

Bagi menghormati mereka yang terkorban semua sekolah di seluruh negara itu diarah bertafakur selama seminit sebelum memulakan sesi.

Dalam nahas berkenaan  lebih 100 disahkan mati lemas manakala beratus yang lain dilaporkan masih hilang

Angka kematian dijangka mencecah lebih 300 orang.

Nahas berlaku selepas bot yang sarat membawa pendatang dari  Tripoli, Libya terbakar dan kemudian karam, hampir satu kilometer di pesisir pantai pulau berkenaan.

Ketika itu ia membawa antara 450 hingga 500 penumpang.

Pasukan penyelam pengawal pantai menemui lebih 20 mangsa yang lemas di dasar laut manakala berpuluh yang lain ditemui hanyut.

Pihak berkuasa Itali memaklumkan hampir 200 mangsa berjaya diselamatkan.

Menurut mangsa, kejadian berlaku sebaik bot nelayan yang digunakan dimasuki air dan disusuli dengan kebocoran bahan api.

Salah seorang anak kapal berkenaan kemudian bertindak menyalakan api pada selimut sebagai isyarat kecemasan kepada kapal lain.

Ia bagaimanapun mengundang padah  selepas disambar api.
- ASTRO Awani 

Penulis terkenal Tom Clancy meninggal dunia

Penulis terkenal Tom Clancy meninggal dunia

WASHINGTON:  Penulis Amerika Syarikat Tom Clancy, yang terkenal dengan novel-novel dalam genre ‘Thriller’  dan menjadi inspirasi kepada beberapa filem Hollywood, telah meninggal dunia pada Rabu, menurut laporan media Amerika. Dia meninggal dunia pada usia 66 tahun.

Antara novelnya yang popular dan mendapat sambutan adalah "The Hunt for Red October," "Patriot Games" dan "Clear and Present Danger."

Akhbar The Baltimore Sun dipetik berkata Clancy, yang berasal dari Maryland, meninggal “selepas mengalami kesakitan” di hospital Johns Hopkins. The New York Times turut memetik kenyataan penerbit beliau mengenai pemergiannya..

Novel-novel Clancy sering menggunakan tema era Perang Dingin dan impaknya terhadap dunia.

“Perbezaan diantara fiksyen dan realiti adalah fiksyen harus masuk akal,” beliau pernah berkata.

Beliau juga pernah meminjamkan namanya kepada beberapa permainan video seperti “Tom Clancy’s Splinter Cell: Blacklist” yang dilancarkan oleh Ubisoft pada bulan Ogos.

Beliau  adalah penyokong setia parti Republikan dan juga pemilik bersama pasukan baseball Baltimore Orioles.

- AFP

79,134 bayar balik pinjaman PTPTN bawah insentif diskaun 20 peratus

79,134 bayar balik pinjaman PTPTN bawah insentif diskaun 20 peratus

Insentif diskaun 20 peratus bagi pembayaran balik keseluruhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mendapat sambutan menggalakkan, termasuk daripada mereka yang disenarai hitam.

Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata sejak 1 Okt 2012 hingga tarikh akhir insentif itu Isnin lepas, seramai 4,469 daripada 79,134 peminjam yang melangsaikan hutang mereka, terdiri daripada mereka yang disenarai hitam.

"PTPTN telah menerima pembayaran balik sebanyak RM758.20 juta daripada 79,134 peminjam dan setelah ditolak diskaun 20 peratus, jumlah keseluruhan bayaran pinjaman yang diterima adalah RM606.56 juta," katanya dalam sidang berita di sini hari ini.

Beliau berkata pemberian insentif diskaun 20 peratus yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013, telah membantu mengatasi masalah hutang tertunggak para peminjam PTPTN.

"Pembayaran balik pinjaman PTPTN adalah sangat penting kerana ia memastikan kelestarian PTPTN dan menjamin pembiayaan kepada generasi yang akan datang sebagaimana kemudahan yang diperoleh peminjam PTPTN ketika ini" katanya.

Shamsul Anuar berkata kutipan pembayaran balik pinjaman PTPTN semakin meningkat dengan RM553 juta berjaya dipungut pada 2009, RM638 juta (2010), RM737 juta (2011) dan RM800.47 pada tahun lepas.

Walau bagaimanapun secara keseluruhan bayaran balik pembiayaan pendidikan yang diterima sehingga 31 Ogos lepas hanya RM4.48 bilion atau 48.04 peratus daripada bayaran balik sebenar yang sepatutnya diterima, iaitu sebanyak RM9.33 bilion, katanya.

Jumlah tersebut setelah ditolak penangguhan dan pengecualian bayaran balik berjumlah RM130 juta (RM0.13 bilion), tambahnya.

Katanya, setakat ini seramai 887,337 atau 66.15 peratus daripada keseluruhan 1.341 juta penerima pinjaman PTPTN telah membayar balik pinjaman.

Jelas beliau, para peminjam masih boleh mendapat insentif diskaun 10 peratus jika memulakan bayaran balik pembiayaan PTPTN mengikut jadual bayaran balik yang ditetapkan

"PTPTN sentiasa bersedia untuk berunding sekiranya terdapat kekangan untuk peminjam melaksanakan bayaran balik mengikut jadual dan melakukan penstrukturan semula pinjaman," katanya.

- BERNAMA 

Siapa bayar artis K-Pop?

Siapa bayar artis K-Pop?

Siapa sebenarnya yang membiayai bayaran ke atas artis Korea yang membuat persembahan pada sambutan Hari Belia Negara 2012? Adakah ia dibiayai oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau sebenarnya ditanggung oleh pihak swasta?

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataannya pada Rabu mengakui bahawa konsert K-Pop itu dibiayai oleh KBS.

"Kenyataan awal bahawa konsert itu ditaja oleh pihak swasta dibuat kerana pada ketika itu ada tawaran daripada pihak swasta untuk menaja aktiviti tersebut.

"Namun, tajaan itu akhirnya tidak diberi dan KBS terpaksa tanggung pembayaran untuk konsert K-Pop di Hari Belia (Negara) 2012," katanya dalam satu kenyataan media yang disebarkan di Facebook.

Namun beberapa jam selepas kenyataan Khairy itu, Menteri Belia dan Sukan yang bertanggungjawab semasa penganjuran Hari Belia Negara 2012, Datuk Seri Shabery Chik menjelaskan bahawa wang itu adalah tajaan yang diterima oleh KBS bagi menjayakan Hari Belia Negara 2012.

"Wang tajaan dimasukkan ke dalam akaun MSN (Majlis Sukan Negara) bagi melancarkan pengurussan Hari Belia Negara," katanya.

Shabery sekarang ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Kata Shabery, dakwaan Ketua Audit Negara yang menyatakan KBS membayar K-Pop pada Hari Belia Negara dengan jumlah RM1.6juta adalah benar "kerana ia adalah dari wang tajaan".

"Pihak AG Audit (Ketua Audit Negara) culas dalam menjelaskan perkara sebenara kerana wang sumbangan yang dimasukkan ke dalam akaun Majlis Sukan Negara tidak dinyatakan oleh pihak Audit Negara sebaliknya hanya mengambil kira wang yang keluar dari akaun KBS," tambah kenyataan itu.

Menurut Shabery lagi, wang tajaan yang diterima bagi menjayakan Hari Belia Negara itu berjumlah RM20juta dan tidak ada pembaziran wang rakyat seperti dakwaan pihak pembangkang yang katanya "hanya mengikut rumusan pendek laporan Pihak Audit Negara."

Shabery berharap rakyat "celik mata" kerana kerajaan juga tidak mahu pembaziran berlaku seperti mana yang didedahkan Laporan Audit Negara

Namun dalam isu KBS, Shabery menegaskan ia bukan pembaziran wang rakyat sebaliknya "adalah wang tajaan dari syarikat korporat dalam dan luar negara yang mengambil bahagian pada Hari Belia Negara".

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan syarikat korporat berkenaan.

Ketua Setiausaha KBS, Datuk Mohid Mohamed tahun lalu dilaporkan berkata, KBS tidak menggunakan wang kerajaan bagi membayar persembahan tiga kumpulan K-Pop untuk acara berkenaan sebaliknya kos tersebut dibayar menggunakan wang penajaan

Wang penajaan itu, menurut laporan tersebut, berjumlah RM28 juta dalam bentuk wang tunai, barangan dan pelaksanaan pelbagai program.

Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya yang dikeluarkan pada Selasa menegur KBS kerana membelanjakan sebanyak RM2.94 juta bagi penganjuran Hari Belia Negara 2012 yang disifatkan "tidak dibuat secara berhemat".

KBS dalam maklum balasnya bagaimanapun berpendapat kos itu "masih dalam kadar penjimatan" kerana peningkatan acara dan pengunjung berbanding Hari Belia Negara pada tahun sebelumnya.

"Berpandukan kenaikan ini Kementerian hanyalah berbelanja sebanyak 80% walaupun peningkatan jumlah acara sebanyak 160%," lapor KBS kepada Ketua Audit Negara.
- ASTRO Awani