Friday 18 September 2015

Khairuddin ditahan petang Jumaat

Katanya, pihak polis akan mengambil keterangan beliau berkenaan bukti yang diserahkan kepada Peguam Negara Switzerland. - Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di kediamannya di sini, lewat petang tadi.

Penahanan Khairuddin telah disahkan oleh peguamnya Matthias Chang ketika dihubungi Astro AWANI, pada Jumaat.

"Khairuddin ditahan di bawah Akta 124C atas tuduhan cuba menggulingkan kerajaan," kata Chang secara ringkas.

Menurut isterinya, Datin Seri Umie Aida ketika dihubungi Astro AWANI, Khairuddin ditahan di kediaman mereka di Mont Kiara, di sini kira-kira pukul 7.30 petang tadi.

"15 orang anggota polis tiba di kawasan rumah, lima hingga enam orang anggota polis naik ke rumah dan yang lain-lain di bawah.

Menurut Umie, polis turut merampas beberapa barang peribadi milik termasuk komputer riba, telefon bimbit dan kad sim telefon bimbit dari kediaman mereka.

Sebelum itu, Khairuddin dalam satu kenyataan di laman Facebook peribadinya, memaklumkan pihak PDRM telah meminta beliau hadir ke Bukit Aman pada Isnin depan untuk diambil keterangan berhubung tindakannya menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa Switzerland berhubung skandal membabitkan syarikat sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Portal berita The Malaysian Insider melaporkan sebelum ini, pegawai kerajaan telah menuduh Khairuddin membuat laporan 'palsu' dan 'bermotifkan politik'

Kata Khairuddin, pihak polis akan mengambil keterangan beliau berkenaan bukti yang diserahkan kepada Peguam Negara Switzerland dan bakal dipanggil untuk proses siasatan di ibu pejabat PDRM Bukit Aman pada hari Isnin depan jam 11 pagi.

Pada 20 Ogos lalu, Khairuddin mengemukakan bukti yang berkaitan dengan 1MDB kepada Peguam Negara Switzerland di Bern, meminta pihak berkuasa negara itu menyiasat aktiviti syarikat tersebut yang melibatkan bank negara itu dan beberapa bank antarabangsa.


Khairuddin memberitahu, beliau terpaksa meleburkan segala kos persiapan untuk ke New York dan London berikutan larangan tersebut.

"Saya sepatutnya berlepas ke New York serta London jam 10.30 pagi hari ini (Jumaat) tetapi telah dilarang, disekat dan disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia atas arahan PDRM. 

- Sumber: Astro Awani | 18 September 2015

Lisa, Yusry kongsi gambar bayi


PASANGAN selebriti Lisa Surihani dan Yusry yang selamat menerima cahaya mata sulung 15 September lalu berkongsi sebuah foto anak mereka di laman sosial Instagram.

Menerusi Instagram program H!Live terbitan Astro, kelihatan Lisa memegang bayinya itu sambil diperhatikan Yusry. 

Bagaimanapun, hanya wajah daripada pandangan sudut tepi sahaja yang dikongsi pasangan ini.

Bayi perempuan tersebut dilahirkan dengan berat 3.4 kilogram di Pantai Medical Centre, Bangsar.

Menerusi kapsyen dalam gambar yang dimuat naik di akaun Instagram H!Live itu juga, nama bayi comel itu akan diumumkan selepas tujuh hari.

- Sumber: Sinar Harian 

Lelaki ‘hilang’ kemaluan dikerat kekasih

Lokasi kejadian - Foto CEN

HANGZHOU - CHINA. Seorang wanita bertindak memotong kemaluan teman lelakinya kerana dia enggan meninggalkan isterinya.

Mangsa, seorang ahli perniagaan yang hanya dikenali sebagai Liu, berusia 50 tahun sebelum ini pernah berjanji untuk meninggalkan isterinya dan akan memulakan hidup baru bersama wanita itu.

Berang kerana janji yang tidak dikotakan selepas menunggu bertahun lamanya, suspek yang dikenali sebagai Zhang bertindak memotong kemaluan teman lelakinya itu.

Dia melakukan perbuatan kejam itu di sebuah bilik hotel di wilayah itu.

Menurut saksi yang juga kakitangan hotel berkenaan, lelaki berkenaan menjerit dan berlari keluar dari bilik dengan kesan darah.

Saksi turut melihat seorang wanita keluar dari bilik hotel berkenaan tidak lama selepas itu.

"Apabila masuk ke dalam bilik, saya menemui gunting dan alat sulit lelaki itu yang terputus," katanya dipetik Metro.uk.

Ahli perniagaan itu dilaporkan belari keluar dari bilik dalam keadaan separuh bogel untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, menurut polis, wanita berkenaan gagal dikesan dan kini sedang dalam buruan polis.

Bagaimanapun, polis enggan mengulas sama ada alat sulitnya berjaya disambung atau tidak.

- Sumber: Sinar Harian 

Tampar Imam: Ada 'benda' suruh jadi imam

Lelaki berkenaan yang ditangkap oleh orang ramai sebelum diserahkan kepada polis.

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki bertindak menampar Imam Masjid Negara ketika solat Jumaat hari ini kerana mendakwa ada suara ghaib mahukan dia mengimamkan solat itu.

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kejadian itu berlaku kira-kira 1.30 tengah hari semasa rakaat pertama solat berkenaan yang dipimpin oleh Mohd Zuhairee Mohd Yatim, 39.

Lelaki warga negara India berusia 31 tahun itu datang dari arah belakang ketika imam sedang membaca surah al-Fatihah, kata Zainol.

Difahamkan lelaki berkenaan cuba merampas mikrofon yang berada pada jubah dipakai Mohd Zuhairee namun gagal menyebabkannya berang lalu mengambil tindakan
menampar imam itu secara tiba-tiba.

Pihak pengurusan masjid kemudiannya membawa lelaki berkenaan keluar serta-merta dan menyerahkannya kepada pihak polis.

Zainol berkata lelaki itu telah ditahan polis dan disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan awal polis mendapati lelaki berkenaan dipercayai mengalami masalah mental dan sering bercakap seorang diri," katanya.

Zainol berkata imam itu ditampar di sebelah pipi kanan dan telah menyebabkan mangsa mengalami sakit kepala akibat kesan tamparan.

Insiden itu berlaku selama kira-kira tiga minit sebelum Mohd Zuhairee kembali mengimamkan solat Jumaat dan meminta semua makmum solat semula.

Bilal bertugas Mohamed Shukri Che Yusoh, 23, berkata beliau tidak menyangka insiden itu boleh berlaku.

"Sebelum ini tidak pernah berlaku perkara seperti ini di sini (Masjid Negara), saya agak terkejut dan syukur keadaan terkawal,” katanya.

- Sumber: Bernama

Ini dia Proton Perdana versi baharu

Sedutan video promo filem Kapsul yang menampilkan Proton Perdana versi baharu.

PELAYAR laman sosial dan peminat Proton teruja selepas filem terbaru, Kapsul menampilkan Proton perdana versi baharu.

Melalui laman Facebook Kapsul The Movie, sebuah video promo berdurasi 53 saat memberikan gambaran ringkas Proton Perdana berkenaan.

Bahagian belakang Proton Perdana berkenaan menampilkan lampu brek LED baharu dan reka bentuk mewah.

Jelas terpampang logo Proton sambil dihiasi jalur berwarna chrome, memberikan penampilan eksekutif.

Tiada pandangan dari hadapan atau tepi mahupun menyeluruh untuk produk terbaru Proton tersebut.

Setakat ini, tiada maklumat rasmi terbaru daripada pihak Proton sendiri.

Filem Kapsul bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 17 September ini dengan penampilan khas Dr Mahathir.

- Sumber: Sinar Harian

Lelaki China boleh miliki iPhone 6s dengan menderma sperma

Terdapat bank sperma yang terus menawarkan iPhone 6s sebagai ganjaran kepada penderma sperma yang terpilih. - Gambar hiasan

SHANGHAI: Warga China khususnya lelaki memberi reaksi yang bercampur apabila beberapa bank sperma di republik itu menawarkan wang sejumlah 6,000 yuan (RM3,897) iaitu setara dengan harga iPhone 6s sebagai tukaran mendapatkan sperma sihat.

Lebih mengejutkan, ada pula bank sperma yang terus menawarkan iPhone 6s sebagai ganjaran kepada penderma sperma yang terpilih, lapor agensi media tempatan Shanghaiist.

Salah sebuah hospital yang membuka tawaran itu adalah Hospital Ruijin, namun lelaki yang berkeinginan untuk menderma sperma perlu lulus beberapa syarat khas.

Calon penderma sperma perlu memiliki ukuran ketinggian 165cm, kelayakan akademik sekurang-kurangnya sarjana muda, pemegang kad pengenalan China dan tidak mewarisi sebarang penyakit keturunan atau genetik.

Jika penderma yang terpilih mahu menderma lagi, perlu ada waktu senggang antara hari pengambilan sperma iaitu tempoh 48 jam.

Selain itu, calon perlu melalui prosedur pemeriksaan kesihatan menyeluruh termasuk ujian kromosom bagi mengetahui status kesuburan sperma.

Sekiranya lulus ujian, calon penderma hanya perlu memberikan sampel sperma untuk dibekukan. Sebagai balasan , penderma akan dibayar sebanyak 6,000 yuan bagi setiap 17 mililiter.

- Sumber: Agensi