Friday, 25 September 2015

Gandingan Keith Foo-Risteena Munim tarikan Girlfriend Kontrak


PELAKON, Keith Foo (kanan) dan Risteena Munim.

KUALA LUMPUR: Gandingan pelakon Keith Foo dan Risteena Munim menerusi filem Girlfriend Kontrak ternyata menarik minat penonton untuk ke pawagam bermula hari ini.

Filem romantik komedi arahan sulung sutradara, Virginia Kennedy, seorang pengarah berasal dari Australia itu mengadunkan jalan cerita menarik, disulami dengan bentangan sinematografi penuh kesenian.

Taruhan terbaharu Grand Brilliance itu turut membariskan pelakon handalan seperti Azad Jazmin, Bront Palarae, Mustapha Kamal, Zarina Zainuddin dan Fara Fauzana.

Filem Girlfriend Kontrak mengisahkan tentang seorang gadis kampung, Alisa (Risteena) yang mempunyai misi untuk menyelamatkan kelip-kelip kesayangannya daripada dimusnahkan oleh syarikat gergasi milik seorang jutawan buaya darat, Umar (Keith Foo), iaitu Monaki Development Corp. Bhd.

Umar mengambil pendekatan mengambil Alisa bekerja dengannya bagi menepis gosip kemusnahan projek pembangunan miliknya sehingga menjadi bualan hangat. 

Alisa secara tidak sengaja turut sama terbabit dalam kontroversi itu setelah menandatangani kontrak menjadi teman wanita Umar.

Konflik juga tercetus antara Umar dan ayahnya yang mahu menyerahkan projek miliknya kepada Zain, bakal abang tiri Umar yang mempunyai hasrat dan dendam untuk menjatuhkan Umar.

Setiap pelakon mempunyai karakter tersendiri untuk ditonjolkan menerusi filem ini. Pujian juga harus diberikan kepada Azad selaku pembantu Keith yang berjaya melakonkan watak lelaki lembut, sekali gus mewarnai keseluruhan filem ini.

- Sumber: BH Online 

Saya selamat, kata Nabil di Makkah

NABIL (tengah) bersama sahabat-sahabat dari Tanah Suci mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha. - Foto ihsan instragram Nabil

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad yang kini sedang berada di Tanah Suci menunaikan ibadah haji, menjelaskan beliau berada dalam keadaan selamat.

Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad berkongsi berita itu selepas dimaklumkan berhubung insiden rempuhan ketika jutaan umat Islam sedang menunaikan ibadah melontar Jamrah di Mina, semalam.

"Saya menerima mesej bertubi-tubi dari keluarga dan kenalan terdekat yang menanyakan mengenai keadaan saya di sini.

"Alhamdulillah, segala-galanya berada dalam keadaan selamat. Malah, kami turut diberikan taklimat ringkas bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

"Terkejut juga apabila dimaklumkan mengenai insiden itu. Saya hanya akan bertolak ke sana pada jam 3 petang," tulis Nabil menerusi aplikasi Whatsapp.

Tambah Nabil, Tabung Haji sudah memberikan taklimat dan panduan keselamatan agar jemaah haji Malaysia bergerak secara berkumpulan dan lebih berhati-hati.

Nabil bertolak ke Makkah pada 19 September lalu dan dijangka pulang ke tanah air 1 Oktober ini.

- Sumber: BH Online 

Jerebu: Tujuh kawasan catat IPU tidak sihat

30 kawasan lain di seluruh negara mencatatkan IPU sederhana dengan bacaan tertinggi direkod di Jerantut, Pahang, 97.

KUALA LUMPUR: Jerebu kembali melanda negara dengan tujuh kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Tujuh kawasan berkenaan membabitkan negeri Johor, Pahang dan Terengganu.

Pencerapan Jabatan Alam Sekitar sehingga 10 pagi tadi menunjukkan Pasir Gudang mencatat 199, Larkin Lama, 192 dan Kota Tinggi, 133.

Di Pahang IPU tidak sihat dicatatkan di Balok Baru, Kuantan, 159, dan Indera Mahkota, Kuantan, 136.

Sementara itu di Terengganu, Kemaman mencatat 150 dan Paka, 110.

30 kawasan lain di seluruh negara mencatatkan IPU sederhana.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Sumber: Rujuk portal http://apims.doe.gov.my/v2/ untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

Lembu terlepas, ibadah korban di UIA kecoh seketika

Lembu yang terlepas dikhabarkan belum berjaya dikesan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Ibadah korban yang dirancang di kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, kecoh seketika apabila salah seekor lembu yang ditambat terlepas.

Menurut status yang dimuat naik di Twitter, ramai di kalangan pelajar dan kakitangan menyatakan lembu berkenaan nampaknya sangat nekad dalam percubaannya untuk melepaskan diri.

Antaranya adalah Syed Azharul Asriq, di laman Facebook, menceritakan bagaimana ada yang mengejar lembu itu menggunakan motosikal, namun tidak berjaya menangkapnya kembali.

Ketika berita ini ditulis, kelibat lembu itu masih belum dapat dijejaki.

Ibadah korban merupakan acara tahunan di universiti berkenaan. Tahun ini, dikhabarkan hampir 60 ekor lembu dikorbankan untuk diagihkan kepada pelajar, fakir miskin dan orang awam.

- Sumber: Astro Awani | September 25, 2015

Ancaman pengganas: Polis jamin KL selamat

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa

KUALA LUMPUR - Polis hari ini memberi jaminan bahawa keselamatan di ibu kota adalah terkawal di sebalik nasihat perjalanan oleh Kedutaan Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Australia di sini kononnya terdapat ancaman pengganas di lokasi tertentu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata demikian sebagai mengulas nasihat perjalanan kedua-dua negara itu bagi rakyat masing-masing supaya mengelakkan Jalan Alor, Bukit Bintang di sini kerana serangan pengganas boleh berlaku.

"Apa jua bentuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat yang berkaitan dengan ancaman keselamatan negara, polis ambil serius dan tidak memandang ringan," katanya ketika dihubungi Bernama, malam tadi.‎

Beliau berkata, pihaknya juga akan menyiasat perkara ini dan akan berjumpa dengan pihak Kedutaan Amerika Syarikat untuk mendapatkan maklumat lanjut. 

- Bernama | 25 September 2015

Jemaah tak ikut arahan punca tragedi?

Insiden rempuhan berlaku kira-kira jam 11.30 pagi (waktu tempatan) ketika jemaah haji sedang melakukan ibadah melontar di Jamrah 24 September 2015. - Sumber Foto Jabatan Pertahanan Awam Saudi

MINA - Menteri Kesihatan Arab Saudi, Khaled Al-Falih dalam satu kenyataan menyalahkan jemaah haji yang tidak berdisiplin sebagai punca insiden rempuhan yang sehingga kini mengorbankan 717 orang.

Menurutnya, tragedi malang itu tidak akan berlaku sekiranya jemaah mengikuti arahan yang telah ditetapkan.

"Banyak jemaah bergerak tanpa menghormati jadual waktu yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Ini adalah punca utama tragedi rempuhan itu.

"Jika mereka mengikuti arahan, kemalangan sebegini dapat dielakkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Rombongan Jemaah Haji Iran, Saeed Ohadi dipetik AFP pula menyalahkan pengurusan Arab Saudi yang bertindak menutup banyak laluan di Mina sehingga memaksa ratusan ribu jemaah terpaksa mengikuti satu laluan yang sama secara serentak.

Ohadi berkata, penutupan laluan menyebabkan tinggal hanya tiga laluan ke kawasan melontar.

"Kejadian hari ini menunjukkan salah urus dan kurangnya perhatian yang serius terhadap keselamatan jemaah. Tidak ada penjelasan lain. Pihak berkuasa Arab Saudi harus bertanggungjawab," katanya.

Jemaah Iran antara yang paling ramai terkorban dalam tragedi rempuhan itu dan sehingga kini, seramai 43 jemaah Iran dilaporkan maut, manakala 60 lagi cedera.

- Sumber: Sinar Harian | 24 September 2015

Tanah kubur jadi pusat pelancongan terkenal

Tanah perkuburan Pere-Lachaise

TAHUKAH anda bahawa tanah perkuburan Pere-Lachaise yang terletak di Arrondissement atau wilayah ke 20 Paris mempunyai reputasi sebagai kawasan perkuburan paling ramai pelawat di dunia.

Bagi kita masyarakat di Timur, begitu janggal menjadikan tanah perkuburan sebagai kawasan pelancongan tetapi di Eropah seperti Perancis, ia sudah menjadi perkara biasa.

Malahan, tanah perkuburan Pere-Lachaise ini turut disenaraikan dalam peta pelancong untuk pelawat asing mengunjungi tanah perkuburan yang gah ini.

Ribuan pengunjung

Saban tahun tanah perkuburan ini menerima ratusan ribu pelawat sama ada dari dalam mahupun luar Perancis.

Tanah perkuburan ini dibuka pada tahun 1804, namanya diambil bersempena paderi Pere Franeoise de la Chaise yang hidup sekitar tahun 1624 hingga 1709 serta tinggal dirumah yang dibina semula pada tahun 1682 di atas tapak sebuah gereja.

Selain itu, tempat ini menjadi saksi pelbagai peristiwa bersejarah di zaman kegemilangan Perancis yang berlaku sejak 200 tahun dahulu, malah di sini ditempatkan tugu peringatan peperangan besar negara itu.

Kini, kawasan perkuburan itu mempamerkan kira-kira 70,000 hiasan yang menghiasi makam golongan kaya dan mashyur selain taman arca seluas 44 hektar.

Namun yang paling kerap dilewati adalah kubur bintang rock Perancis yang poplular sekitar tahun 1960-an Jim Morrison yang terletak di bahagian 6 dan Oscar Wilde bahagian 89.

Di samping itu tokoh mahsyur lain yang turut dikebumikan disitu termasuk komposer genius, Chopuin; penulis drama, Moleira; penyair, Apollinaire; barisan penulis terkemuka iaitu Balzac, Proust, Gertrude Stein dan Collette; seniwati Sarah Bernhardt dan Yves Montad; pelukis seperti Pissaro, Seurat, Modigliani dan Delacroix, penyanyi Edith Piaf dan penari, Isadora Duncan.

Rekod menunjukkan bahawa selang beberapa tahun pembukaannya, lebih 33,000 mayat sudah dikebumikan di situ.

- Sumber: Sinar Harian