Tuesday, 4 March 2014

Polis tahan 18 suspek bantu siasatan kes bunuh Ketua Wanita UMNO Felda Semenchu

-gambar arkib

JOHOR BAHRU: Polis telah menahan 18 suspek yang kesemuanya positif dadah untuk membantu siasatan dalam kes kematian Ketua Wanita UMNO Cawangan Felda Semenchu, Zalifah Jamaluddin.

Menurut Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kesemua lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan pembunuhan wanita berusia 68 tahun itu merupakan penduduk tempatan.

“Rampasan pasukan khas yg diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah sedang berusaha bertukus lumus menyelesaikan kes ini, saya menggesa siapa yang mengetahui kes ini maklum kepada kami,” kata Mohd Mokhtar.

Pada 28 Februari lalu, Zalifah, 68 ditemui mati di rumahnya di Felda Semenchu dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.

Hasil siasatan mendapati mangsa telah dirompak pada pukul 12.30 tengahari, hari yang sama ekoran keadaan rumah yang berselerak.

Terdapat kesan lebam di badan mangsa berikutan pergelutan dengan suspek.

Astro Awani 

Budak 5 tahun disahkan maut akibat keracunan bakteria Salmonella

KUALA TERENGGANU: Kematian kanak-kanak berusia 5 tahun dikesan akibat bakteria Salmonella, bakteria sama meragut empat nyawa di Kedah Oktober tahun lalu.

Jabatan Kesihatan Negeri mengesahkan punca kematian mangsa, Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilme, yang meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital semalam.

“Dehidrasi yang teruk, pesakit ini telah pun mengalami muntah muntah dan cirit birit mulai 1 haribulan Mac setelah memakan makanan yang dibeli di sebuah pasar malam di daerah Kuala Terengganu,” kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr. Anwa Sulaiman.

Dalam pada itu 68 pesakit dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah akibat keracunan makanan mulai pukul 8:45 malam 1 Mac sehingga 7:00 pagi Selasa.

Daripada jumlah itu, 18 orang adalah kanak-kanak.

Jabatan Kesihatan Negeri juga mengesahkan mereka dipercayai memakan 4 jenis makanan yang dijual di pasar malam Dataran Syahbandar antara 28 Februari hingga 1 Mac.

“Kesemua pesakit ini mempunyai kaitan dengan 4 jenis makanan yg dijual di pasar malam di Dataran Syahbandar atau di Padang Hiliran… dan makan yg terlibat adalah seperti nasi gorengt putih,nasi goreng merah,kuey tiow goreng atau mee goreng,” katanya.

Beliau juga menyarankan semua semua klinik mengambil serius simptom keracunan ketika musim panas dan kering.

Astro Awani 

Anggota polis maut diserang hendap warga asing di Klang


KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis peronda maut manakala rakan setugasnya cedera selepas diserang hendap sekumpulan warga asing dalam satu kejadian di Taman Sentosa di sini awal hari ini.

Koperal Raja Aizam Raja Mohd, 53, yang cedera di kepala maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) manakala Koperal Mohd Aidil Mustafa, 29, masih menerima rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, kedua-dua mereka daripada unit kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan diserang hendap ketika meronda di Lorong Yusuf Shahbudin 44D, Taman Sentosa.

"Dalam pergelutan itu, seorang anggota polis ditikam dan meninggal dunia kemudiannya manakala seorang lagi ditetak di muka," katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi jenazah Raja Aizam di HTAR.

Difahamkan dalam pergelutan yang berlaku, pistol milik Raja Aizam telah dirampas suspek yang cuba menembak Mohd Aidil tetapi senjata itu gagal berfungsi sebelum ia dirampas Mohd Aidil dan kemudian menembak dua suspek.

Khalid berkata dua suspek ditembak mati dalam kejadian itu dan sebilah pisau ditemui berhampiran Raja Aizam.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menyifatkan serangan terhadap anggota polis oleh warga asing sebagai tindakan melampau dan keterlaluan.


Bernama

Buaya kalah, ditelan ular sawa


SYDNEY: Seekor ular dipercayai jenis ular sawa menelan seekor buaya selepas bergelut selama beberapa jam di hadapan orang ramai.

Travis Corlis yang menyaksikan pergelutan antara dua haiwan ganas itu di Lake Moondarra, Queensland berkata, ular sawa itu kelihatan sihat dan panjangnya kira-kira 10 kaki (tiga meter).

Ular sepanjang kira-kira tiga kaki itu dilihat membelit kuat buaya malang tersebut, katanya dalam satu laporan AFP.

“Pergelutan antara kedua-duan haiwan itu berlaku di dalam, kelihatan sangat hebat... Kami hanya berdiri dan melihat dengan penuh kagum,” ujar Corlis.

Corlis berkata selepas beberapa jam kedua-dua haiwan itu bergelut, ular sawa terbabit mengheret buaya itu ke tebing tasik dan melepaskannya, yang pada masa itu dilihat telah mati.

"Selepas kira-kira 10 minit lepas itu, buaya sudah 'hilang',” katanya.

Isteri Corlis, Tiffany, yang juga turut menyaksikan peristiwa itu berkata, ianya amat sukar dipercayai.

"Kami ingatkan ular tersebut mungkin telah makan melebihi kemampuannya," terang Tiffany.

"Melihat kepada keadaan ular itu selepas selesai menelan buaya tersebut, anda boleh nampak bentuk sisik kasar, kaki dan segala-galanya di dalam perut ular," tambahnya lagi.

Tiffany berkata, buaya malang tersebut berusaha untuk menaikkan kepalanya dari dalam air, dan kedua-dua haiwan terbabit memang kelihatan penat dalam pergelutan yang dikatakan memakan masa beberapa jam itu.

Buaya itu kemudiannya seakan-akan berputus asa dan menyerah, sekaligus membiarkan dirinya dibelit ular sawa terbabit.

Corlis juga mengaku dirinya sering melihat ular dan buaya ada di kawasan yang sama, namun jarang melihat haiwan reptilian ini saling bertarung dengan sengit.

Kewujudan buaya air tawar yang terdapat di tasik Moondarra itu lebih ketara setelah kemarau baru-baru ini menyebabkan pengurangan paras air.

Astro Awani 

Azizul mengaku pukul anak dua atau tiga kali setahun, tidak pernah di Sweden


KUALA LUMPUR: Azizul Raheem Awaluddin memberi kenyataan di Mahkamah Daerah Solna, di hadapan ketua hakim, Mattias Moller pada Isnin. 

Azizul mengaku memukul anak-anaknya, namun jarang-jarang sekali, sebanyak lebih kurang dua atau tiga kali setahun dan tidak pernah di Sweden, hanya di Malaysia dan Afrika Selatan.

Azizul menyangkal semua kenyataan anak-anaknya yang mendakwa kempat-empat mereka didera dalam jangkamasa tiga tahun mulai 2010 semasa mereka berada di Sweden. 

Rotan yang dijumpai di rumah mereka di Sweden, menurut Azizul, tidak pernah digunakan sebagai objek memukul. Kedua-dua rotan itu hanyalah cendera hati yang diterimanya satu masa dahulu.

Kebanyakan kejadian yang dilaporkan anak-anaknya melalui video testimoni yang dimainkan di mahkamah minggu lepas, tidak dapat diingati oleh Azizul. 

Menurut rakan terdekat yang menetap di Sweden yang turut menghadiri perbicaraan memberitahu Astro AWANI, bahawa Azizul yang duduk di sebelah peguam Jonas Tamm, kelihatan tegas sewaktu menjawab soalan-soalan pendakwaraya, Anna Arnell.

Pendakwaraya menyoal dalam bahasa Sweden yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

Azizul dan Shalwati telah ditahan sejak Disember tahun lalu kerana dipercayai mendera keempat-empat anak mereka yang kini berada dalam jagaan ibu saudara di Kelantan.

Kesemua mereka dibawa pulang dari Sweden oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin, pada awal bulan ini.

Anak sulung pasangan tersebut, Aishah, 14, dan Ammar kini bersekolah di SMK Padang Kala sementara Adam, 11 dan Arif pula menuntut di SK Padang Kala, Kota Bharu.

Perbicaraan tersebut akan bersambung pada 5 Mac nanti.

Astro Awani 

Kanak-kanak 5 tahun maut selepas makan hidangan pasar malam

Gambar Hiasan

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun meninggal dunia hari ini akibat keracunan makanan dipercayai selepas memakan lauk yang dibeli dari sebuah pasar malam di sini, Sabtu lepas.

Muhammad Iqbal Rafie meninggal dunia kira-kira 1 petang semalam ketika dalam perjalanan untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Ibunya Siti Zuriana Mohd Yusoff, 28, berkata anak tunggalnya itu ke pasar malam itu bersama-sama suaminya pada kira-kira 6.30 petang dan membeli ayam goreng, nasi goreng dan air keladi.

Beliau berkata hanya suaminya Rafie Mohd Ilme, 31, dan anaknya yang menjamah makanan itu sebaik mereka tiba di rumah mereka di Bukit Payung Marang.

"Kira-kira 7 pagi semalam, mereka mengadu sakit perut dan cirit-birit sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bukit Payong.

"Sehingga pagi tadi, keadaan anak dan suami masih serupa dan kami sekali lagi ke klinik kesihatan sama untuk rawatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat HSNZ di sini.

Sebaik tiba di pusat kesihatan itu, keadaan anaknya semakin lemah dan terpaksa menerima bantuan pernafasan sebelum dikejarkan ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

Siti Zuriana berkata semasa dalam perjalanan ke HSNZ, beliau menyedari nadi anaknya tiada manakala suaminya yang bertugas sebagai tentera di Kem Padang Midin masih lemah.

"Sebelum ini, Muhammad Iqbal cergas dan aktif serta tidak menghidapi sebarang penyakit," katanya.
Rafie pula berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap peniaga pasar malam itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Muhammad Pehimi Yusof berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kematian kanak-kanak itu.

Pihaknya masih menunggu laporan daripada doktor berhubung kes itu dan jika berpunca daripada keracunan makanan, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap peniaga terbabit, katanya ketika dihubungi.

Astro Awani