Thursday, 1 August 2013

Mahkamah tolak petisyen batal keputusan Lembah Pantai



KUALA LUMPUR:  Mahkamah Pilihan Raya Kuala Lumpur hari ini  menolak petisyen untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei lalu bagi kerusi parlimen Lembah Pantai.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan bantahan awal ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar untuk menolak petisyen yang difailkan pengundi, Mohamad Sazali Kamilan.

Mahkamah turut memerintahkan pempetisyen membayar kos 40 ribu ringgit.

Keputusan dibuat Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof.

Pada PRU ke-13 lalu Nurul Izzah menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan calon bebas Rusli Baba dengan majoriti 1,847 undi. -- Astro Awani 

Polis namakan suspek tembak pengasas Ambank, pemandu teksi turut ditahan

Polis namakan suspek tembak pengasas Ambank, pemandu teksi turut ditahan
KUALA LUMPUR:  Polis menahan seorang pemandu teksi yang dipercayai telah memandu suspek kes tembak mati pengasas AmBank, Hussain Ahmad Najadi,  75 di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Pemandu teksi yang berumur 44 tahun itu ditahan di sebuah kedai kopi di Sri Petaling pada jam 9 malam oleh sepasukan polis .

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata polis percaya selepas suspek penembak melepaskan beberapa das tembakan yang membunuh Hussain Ahmad Najadi, dia kemudiannya melarikan diri menggunakan teksi yang dibawa oleh suspek pemandu teksi.

“Kita percaya suspek penembak merupakan penumpang tetap teksi tersebut dan selepas kejadian itu, pemandu teksi ini telah menurunkan suspek penembak ini di Jalan Alor,” kata Ku kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

Pemandu teksi itu kini direman selama tujuh hari bermula pada hari ini untuk membantu siasatan.

Berdasarkan rakaman CCTV di tempat berkenaan juga, polis telah mengenal pasti suspek yang dipercayai boleh membantu siasatan polis.

Lelaki tersebut dikenali sebagai Sei Ngan Chai@Chen.
                                                     Rakaman CCTV suspek yang diburu polis

Maklumat dari saksi kejadian pada awalnya, mendakwa terdapat tiga lelaki yang terlibat dalam tembakan itu, namun, apabila disiasat dengan lebih lanjut, polis berjaya mengenal pasti hanya seorang sahaja yang melepaskan tembakan itu.

Lelaki tersebut dikenali sebagai Sei Ngan Chai@Chen dan dia dipercayai berumur dalam lingkungan 30an.

“Lelaki ini pula dipercayai selalu bergerak di kawasan Taman Maluri namun kita belum boleh pastikan sama ada suspek penembak ini merupakan seorang pembunuh upahan atau tidak,” katanya.

Polis meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Sei Ngan Chai@Chen supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis terdekat.