Monday 15 July 2013

Polis nafi terdapat pergaduhan kaum di Klang


Polis nafi terdapat pergaduhan kaum di Klang

KUALA LUMPUR: Polis hari ini menafikan bahawa berlaku pergaduhan kaum di sekitar daerah Klang, Selangor.

Kenyataan dibuat Pemangku Ketua Polis Selangor, SAC Datuk A. Thaiveegan ekoran khabar angin berkaitan isu pergaduhan yang digembar gemburkan baru-baru ini.

Beliau juga menyeru kepada semua masyarakat agar tidak terpedaya dengan khabar angin tersebut dan menggesa semua agar mendapatkan maklumat sebenar daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Khamis lepas, polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam pergaduhan antara dua kumpulan di Flat Rebana, Bandar Baru Bukit Raja, Kapar.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohamad Shukor Sulong berkata ketiga-tiga lelaki berusia 24, 35 dan 33 tahun itu ditahan secara berasingan di Jeram, Kuala Selangor, dan Klang Utama, Klang.

"Ketiga-tiga suspek ditahan antara 10 malam dan 12 tengah malam tadi... dua daripada mereka diberkas di sebuah rumah di Jeram manakala seorang lagi ditahan di tepi jalan di kawasan Klang Utama.

"Seorang daripada suspek yang ditahan itu merupakan individu yang dikehendaki polis kerana disyaki memukul seorang lelaki dalam pergaduhan itu," katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar turut tampil dengan kenyataan mengenai insiden tersebut.



Kononnya, rusuhan geng berleluasa di Klang. Ini adalah berita palsu. Sila hentikan penyebaran nya atau berhadapan dgn tindakan Polis. — Khalid Abu Bakar (@KBAB51) July 13, 2013


-Astro Awani