Wednesday 30 October 2013

Muhyiddin mohon maaf jika keluarga Azizan tersinggung

Muhyiddin mohon maaf jika keluarga Azizan tersinggung


YAN:  Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf secara terbuka atas ucapan beliau mengenai kematian mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang dikatakan ada 'kaitan' penghapusan subsidi gula jika keluarga Azizan tersinggung.

"Sebagai manusia, kalau kenyataan itu disalah tafsir atau dirasakan menyinggung perasaan keluarga saya mohon maaf.

"Bukan tujuan saya untuk merendah-rendahkan, atau mencemarkan nama baik Allahyarham kerana beliau adalah pemimpin yang banyak berjasa kerana saya pun banyak menziarahinya ketika beliau masih hidup," kata Muhyiddin kepada pemberita selepas menghadiri Majlis di Madrasah Mazahirul Ulum di Kampung Bukit Choras Dalam disini.

Menurut Muhyiddin, kenyataannya itu bukan ada niat yang jahat atau mengambil kesempatan untuk pilihan raya.

Sebelum itu, pada sidang media yang berlainan pada pagi tadi, PAS Kedah melahirkan kekesalan dengan dakwaan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir yang menyatakan bahawa PAS cuba mempolitikan isu ucapan Muhyiddin mengenai kematian Azizan.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata pimpinan PAS mengharapkan Mukhriz tidak melakukan perkara yang sama dengan menyokong kenyataan itu.

"Setidak-tidaknya pun beliau (Mukhriz) mewakili Timbalan Perdana Menteri tampil memohon maaf kepada ahli keluarga Allahyarham dan seluruh penduduk di DUN Sungai Limau," kata Mahfuz kepada pemberita di Markas PAS PRK DUN Sungai Limau di Bukit Besar

Beliau menambah, Mukhriz sebagai Menteri Besar harus menjaga hubungan dengan seluruh rakyat negeri Kedah kerana Mukhriz mewakili orang Kedah.

Sumber: ASTRO Awani

Rakyat Malaysia ditahan di Filipina disyaki terlibat aktiviti MNLF

Rakyat Malaysia ditahan di Filipina disyaki terlibat aktiviti MNLF


KUALA LUMPUR:  Seorang rakyat tempatan berasal dari Kota Kinabalu ditahan pihak berkuasa Filipina di Zamboanga City, selepas disyaki terlibat dengan aktiviti Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di Selatan Filipina.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Mohammad Mantek memberitahu Bernama, lelaki berusia 55 tahun itu ditahan pada 4 Okt lepas dan kini dibawa ke Manila untuk siasatan lanjut pihak berkuasa Filipina.

"Tangkapan itu ekoran daripada tindakan susulan pihak keselamatan Filipina terhadap individu-individu yang disyaki terlibat dalam insiden serangan oleh anggota MNLF di Zamboanga City pada 9 Sept lepas," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit memandangkan dia masih dalam siasatan pihak berkuasa Filipina.

Diminta mengulas sama ada individu terbabit merupakan individu yang mendakwa kononnya menerima tajaan bagi kegiatan MNLF dalam serangan itu, beliau berkata ia masih dalam siasatan pihak berkuasa Filipina.

Ekoran daripada serangan itu juga, Malaysia sebelum ini mengaktifkan amaran keselamatan di sepanjang sempadan perairan Sabah kerana khuatir ia menular ke negeri itu memandangkan kedudukan Sabah yang terletak berhampiran Selatan Filipina.

"Sehingga kini tiada ancaman keselamatan dikesan di sepanjang perairan Pantai Timur Sabah susulan daripada serangan di Zamboanga City, namun langkah keselamatan dengan mengukuhkan sempadan perairan tetap diteruskan," katanya.

Mohammad berkata pihak keselamatan Malaysia akan mengadakan kerjasama dengan pihak keselamatan Filipina jika diperlukan.

"Setakat ini kita tidak ada masalah untuk beri kerjasama sebab hubungan baik kita dengan kerajaan Filipina," katanya.

Dilaporkan lebih 400 anggota MNLF menyerang Zamboanga City untuk menawan bangunan dewan bandar raya dan menaikkan bendera 'Republik Bangsamoro Merdeka'.

Kira-kira 190 pejuang MNLF terbunuh selepas pertempuran lebih tiga minggu dan 292 suspek ditawan atau menyerah diri.

Menurut laporan akhbar dalam talian negara itu, 23 anggota tentera serta polis terbunuh dan 180 cedera, manakala 12 orang awam maut dalam kejadian itu.

- BERNAMA

Miros dedah punca tragedi ngeri bas terjunam gaung

Miros dedah punca tragedi ngeri bas terjunam gaung
Laporan siasatan nahas akan dibentangkan kepada Kabinet.


KUALA LUMPUR - Laporan siasatan Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros) mendapati kelajuan punca utama kemalangan melibatkan bas ulang alik yang terjunam di Jalan Genting Highlands, Ogos lalu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, laporan itu akan dihantar kepada jawatankuasa khas diketuai Tan Sri Lee Lam Thye minggu depan.

Menurutnya, selain melebihi had laju, faktor keadaan jalan juga salah satu punca utama.

"Jawatankuasa tersebut akan teliti laporan dan dalam tempoh dua bulan laporan penuh akan dibentangkan kepada Kabinet.

"Buku laporan Miros itu bukan hanya meneliti punca kejadian di Genting Highlands tetapi turut menyenaraikan syor bagi memastikan tragedi seumpama itu tidak berulang," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Pada 21 Ogos lalu, tragedi itu mengorbankan 37 nyawa apabila bas dipandu Lim Kok Hoe terjunam 60 meter ke dalam gaung di KM3.5 Jalan Genting Highlands.

Pemandu bas itu, mempunyai 16 saman trafik dan 15 daripadanya di bawah kesalahan melebihi had laju.

Ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai (BN-Bentong), Aziz berkata, kerajaan memandang serius perkara itu dan sebagai pencegahan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menubuhkan seksyen baru iaitu Seksyen Profil Pemandu.

"Sebelum ini JPJ mempunyai kekangan apabila tidak dapat menyenarai hitam pemandu apabila kes tersebut masih belum disebut di mahkamah.

"Oleh itu seksyen baru ini berfungsi menggantung dan membatalkan lesen memandu di bawah sistem mata demerit, bagi penagih dadah dan pemandu kenderaan yang mempunyai saman tertunggak," katanya kepada Dewan Rakyat.

Tambah beliau, seksyen itu juga memudahkan JPJ mengambil tindakan kepada mereka bermasalah dan memberi risiko kepada orang awam.

Ahli Parlimen Sri Gading itu berkata, seksyen itu dalam proses perlaksanaan dan menjangkakan senarai pemandu itu akan dapat diketahui penghujung tahun ini.

Selain itu, menurut Aziz, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) juga mengkaji aspek operasi dan permit bagi laluan lokasi dan reka bentuk jalan.

"Satu pekeliling baru dikeluarkan pada 9 September lalu sebagai penambah baik dalam amalan keselamatan untuk syarat lesen bagi kawasan operasi tanah tinggi berisiko. Selain itu syarikat bas terlibat juga diminta memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi pemandu," katanya.

Aziz berkata, pekeliling baru itu mengguna pakai peraturan antarabangsa dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Melalui Standard Operasi (SOP) pemanduan yang digariskan SPAD juga mewajibkan sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman sebelum bertugas kendali bas di kawasan tanah tinggi," katanya.

Sumber: Sinar Harian

Bongkar punca busuk ’bangkai’

Bongkar busuk ’bangkai’
Penduduk menunjukkan bangkai kepala ikan berulat yang menjadi punca bau busuk melanda kampung mereka sambil diiringi Abdul Yunus (kiri).

Bongkar busuk ’bangkai’
Makanan ikan siap diproses dijemur di tengah panas antara punca bau busuk.

Bongkar busuk ’bangkai’
Bangkai kepala ikan patin yang sudah diproses menjadi makanan ikan.


KUALA KURAU - Busuk dan meloyakan! Itulah yang ditanggung lebih 50 penduduk di Kampung Kedai Dua, di sini sejak seminggu yang lalu.

Bau kurang enak tersebut dipercayai datang dari sebuah kilang memproses makanan ikan berbentuk palet yang beroperasi berhampiran kediaman penduduk.

Penduduk, Zulkifli Anwar, 35, berkata, sebelum kilang tersebut beroperasi setahun yang lalu, pemiliknya memberitahu premis berkenaan menghasilkan makanan ikan menggunakan kiambang liar semata-mata.

Menurutnya, atas alasan itu penduduk bersetuju membenarkan kilang beroperasi di kampung tersebut sejak setahun lalu.

“Bagaimanapun, masalah bau busuk sering berlaku sejak kilang itu beroperasi menyebabkan kami curiga mengenai bahan sebenar digunakan mereka,” katanya ketika ditemui di pekarangan kilang tersebut, di sini, kelmarin.


Penduduk siasat punca bau

Akibat tidak tahan menanggung azab, penduduk, Jamhari Hassan, 50, bersama beberapa penduduk lain memasuki premis berkenaan dan tidak menyangka menemui tiga longgokan bangkai kepala ikan patin sudah berulat diletakkan di dalam tiga tangki besar yang diletakkan di bahagian belakang kilang berkenaan.

Menurutnya, selain tiga tangki tersebut mereka turut menjumpai longgokan usus ayam diletakkan di atas lantai dan ditutup menggunakan kanvas.

"Senario menjijikkan itu mencetuskan tanda tanya di dalam fikiran kami mengenai kelulusan premis berkenaan.

"Kami tertanya-tanya sama ada kilang tersebut mendapat kebenaran pihak berkenaan untuk beroperasi di kawasan penempatan penduduk atau tidak?" katanya.

Bau busuk terhasil daripada kilang tersebut membuatkan lebih 50 penduduk yang tinggal kira-kira satu kilometer dari premis tersebut hidup sengsara.

Penduduk, Talha Lokman berkata, akibat pencemaran bau itu, aktiviti harian penduduk terutamanya ketika makan terganggu malah turut mengundang kehadiran ribuan lalat ke kediaman mereka.

Tambahnya, selain masalah bau, tindakan pengurusan kilang membuang sisa kumbahan ke dalam parit berhampiran turut membimbangkan penduduk kerana ditakuti merosakkan tanaman padi yang diusahakan mereka.

"Parit itu digunakan sebagai sistem pengairan sawah padi dan penduduk takut air tercemar berkenaan mengundang kehadiran makhluk perosak dan sebagainya.

"Perkara itu sudah diadukan kepada pemilik premis, namun tiada tindakan susulan diambil sehingga hari ini," katanya.

Artikel lengkap di Sinar Harian

Abby tidak hormat suami?

Abby

TIDAK hanya mencetuskan kontroversi berkaitan isu politik, timbul pula cerita tidak enak mengenai sikap bekas anggota Elite, Abby Abadi atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan, 36, yang dikatakan tidak menghormati suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24.

Berita yang tersebar di kebanyakan blog itu bukan saja melaporkan aktres itu melayani suaminya dengan kasar, bahkan turut menengking Farhan di hadapan orang ramai.

Situasi itu dikatakan berlaku setelah kereta yang dinaiki mereka rosak selepas pulang dari majlis anjuran Pas, di Sungai Limau, Kedah, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Abby yang telah bernikah dengan Farhan pada 9 Julai lalu itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menganggap ada pihak yang sengaja cuba untuk menjatuhkan kredibilitinya.

“Semua itu fitnah untuk memburukkan saya! Saya tidak meninggi suara atau menengking suami seperti yang didakwa oleh mereka. "Ini semua mainan politik kotor orang yang tidak menyenangi saya,” tegasnya.

Mengulas mengenai persepsi segelintir pihak yang menganggap dia cuba mengawal suaminya atas jurang usia yang ketara, Abby berkata, dia tahu kedudukannya sebagai isteri dan tetap meletakkan suami sebagai ketua keluarga.

“Cukuplah fitnah-fitnah itu. Hubungan saya dan suami baik-baik saja," ujarnya.


Tetap dengan pendirian

Dalam pada itu, Abby turut mengulas kenyataan Presiden Seniman, Zed Zaidi, 33, yang menempelak tindakannya dalam mengaitkan kehidupan artis dan maksiat ketika sesi ceramahnya sebelum ini.

Menurut Abby, dia hanya berkongsi pengalamannya ketika bergelar artis dan tindakan Zed membidasnya itu turut dibayangi jawapan politik.

"Saya lihat kenyataannya tidak realistik. Mengapa dia mahu fitnah saya? Ini perjuangan saya untuk memperbetulkan apa yang berlaku dalam industri hiburan tanah air, yang mana kini terlalu banyak maksiat yang berlaku.

“Namun, siapalah saya kerana saya tidak mempunyai kuasa untuk membentuk dan mendidik acuan dalam industri hiburan. Cuma apa yang dapat saya lakukan adalah berdakwah dan menyebarkan apa yang dibolehkan oleh agama,” katanya.

Mengulas mengenai sikapnya yang tidak disenangi segelintir pihak, ibu kepada tiga cahaya mata ini nyata melahirkan rasa kecewa. Bagaimanapun dia tidak mahu mendendami sesiapa yang tidak menyukainya.

“Saya tidak berdendam dengan sesiapa. Dan saya maafkan ketelanjuran mereka. Bagi saya setiap manusia perlu melalui proses kematangan.

“Saya memberikan peluang kepada sesiapa untuk memperbaiki niat mereka,” akhirinya.

Sumber: Sinar Harian

Ribut St. Jude: 15 terkorban di Eropah

Ribut St. Jude: 15 terkorban di Eropah

LONDON:  Sekurang-kurangnya 15 orang terkorban dalam kejadian ribut St Jude yang melanda rantau Eropah itu.

Enam korban dicatatkan di Jerman.

Empat orang maut selepas kereta mereka ditimpa pokok di barat Jerman.

Manakala seorang nelayan dan kelasi hilang di laut ekoran angin kencang itu akibat ribut St Jude.

Di barat Perancis pula seorang wanita dihanyutkan arus deras dan terdampar di pantai.

Ribut terburuk ini turut melumpuhkan sistem pengangkutan di United Kingdom.

Lebih 130 penerbangan dibatalkan di lapangan terbang paling sibuk di Eropah, Heathrow serta beberapa lapangan terbang lain.

Selain itu, sistem keretapi turut tergendala dan perkhidmatan feri ke Perancis juga ditangguh seketika.

Beberapa kematian dilapor membabitkan kanak-kanak dan seorang warga emas yang terlibat dengan kemalangan jalan raya serta dihempap pokok.

Lebih 270 ribu kediaman terputus bekalan elektrik.

Taufan St. Jude pernah melanda Britain pada 1987 dengan mengorbankan hampir 18 penduduk dan menumbangkan kira-kira 15 juta pokok.

- ASTRO Awani

Jabatan peguam menunggu pengesahan Filipina Kiram akan ditahan

Jabatan peguam menunggu pengesahan Filipino Kiram akan ditahan

Jabatan Peguam Negara sedang menunggu pihak Filipina untuk mengesahkan samada ‘Sultan’ Sulu Jamalul Kiram III dan pengikut-pengikutnya akan didakwa.


"Apa yang saya boleh lakukan? [Jika] mereka hendak mendakwa, apa yang yang ada kaitan dengan aku sekarang? Aku menunggu, tetapi mereka belum memberikan saya apa-apa secara rasmi lagi, " Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memberitahu Astro Awani.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara telah mengkaji kemungkinan mengekstradisi Jamalul dan adiknya, Agbimuddin Kiram, yang mengetuai penceborohan ke Lahad Datu pada bulan Februari.

Abdul Gani telah berkata siasatan dan kes yang perlu dibuat terlebih dahulu sebelum jabatan mempertimbangkan tindakan-tindakan lain, termasuk ekstradisi.

Malaysia dan Filipina tidak mempunyai satu perjanjian ekstradisi.

Jika Filipina memutuskan untuk mendakwa mereka yang dikaitkan dengan pencerobohan kesultanan Sulu ke Sabah, ia dikatakan lebih sukar bagi Malaysia untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Kiram Jamalul dan hampir 40 pengikut beliau akan ditangkap dan didakwa tidak lama lagi.

Memetik sumber yang tidak dinamakan, akhbar Melayu itu melaporkan bahawa Biro Siasatan Kebangsaan Filipina (NBI), yang sedang menyiasat pencerobohan Sulu ke Sabah, telah mengemukakan laporan kepada Kementerian Kehakiman negara itu.  

Suratkhabar itu tersebut memetik kata-kata seorang 'sumber' yang melaporkan kumpulan Sulu tersebut akan didakwa atas tiga pertuduhan iaitu melancarkan perang ke atas negara luar, memiliki senjata api secara haram dan larangan membawa senjata api sewaktu tempoh pilihan raya memandangkan ketika insiden itu, Filipina dalam proses kempen pilihan raya.

Sumber tersebut juga berkata siasatan oleh pihak berkuasa Filipina mendedahkan bahawa pencerobohan tersebut telah dirancang seawal bulan November tahun lepas, sebelum pihak itu mendarat  di pantai timur Sabah pada 12 Februari.

Ia menambah bahawa pihak berkuasa Filipina juga mencari saudara Jamalul Kiram itu, Agbimuddin Kiram yang dilaporkan bersembunyi di negara ini.

Sementara itu, anak perempuan Jamalul 'puteri' Jacel Kiram semalam mendakwa bahawa keluarga telah menerima maklumat daripada sumber-sumber "dalam kerajaan" tentang rancangan untuk mengekstradisi Kiram kepada kerajaan Malaysia.

Jurucakap bagi 'kesultanan' Sulu, Abraham Idjirani, juga memberi amaran bahawa langkah itu akan mencetuskan "Keputusan ganas di Mindanao."

Bagaimanapun, menurut laporan media Filipina, Jurucakap presiden Edwin Lacierda menafikan tuntutan itu.

"Ia hanya tuntutan ... ada pun ... mari kita tunggu (satu) kenyataan rasmi daripada kami," Lacierda berkata.

Pada bulan Februari,  satu kumpulan yang diketuai oleh 'raja muda' Agbimuddin mendarat di Sabah atas tuntutan ke atas negeri itu. Konfrontasi itu membawa kepada kematian lebih daripada 70 orang, kebanyakannya orang-orang yang militan Sulu.
- ASTRO Awani

Kos jalur lebar di Malaysia mahal


KUALA LUMPUR:  Perkhidmatan jalur lebar internet mampu membuka peluang kepada para peniaga termasuk peniaga-peniaga kecil dan luar bandar untuk memasarkan perniagaan mereka.

Bagaimanapun, perunding prinsipal E2B Consulting Sdn Bhd, Ritakamal Sadiman berkata caj perkhidmatan jalur lebar yang dikenakan di Malaysia masih tinggi.

Menurutnya, kos tersebut menyebabkan sesetengah peniaga tidak mengambil peluang untuk menceburkan diri dalam perniagaan ‘online’.

Turut senada dengan beliau ialah presiden PIKOM, Saifubahrim Saleh yang berpendapat bahawa harga caj perkhidmatan jalur lebar di negara perlu diturunkan.

"Kelajuan tu ada, tapi harga untuk dapat kelajuan tu perlu diturunkan," katanya dalam satu sesi temubual AWANI 7.45 semalam.

Kata Saifubahrim, harga telefon bimbit di Malaysia boleh dikatakan murah namun perkhidmatan untuk jalur lebar masih tinggi jika dibandingkan dengan beberapa negara jiran yang cuma caj separuh daripada harga di Malaysia.

Sementara itu, ketua bahagian pengurusan jalur lebar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nor Akmar Shah Minan berkata, negara seperti Singapura mengenakan caj yang lebih murah kerana mereka tidak mempunya banyak keperluan untuk memperluaskan liputan mereka ke kawasan-kawasan lain.

Bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa SKMM sedang berunding dengan pihak kerajaan negeri tentang bagaimana kos memperluaskan liputan jalur lebar dapat dikurangkan.

- ASTRO Awani 

Betulkah desas-desus calon BN tarik diri?

Calon BN nafi tarik diri

YAN - Calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim menafikan desas-desus bahawa beliau akan menarik diri daripada bertanding pada PRK Dun Sungai Limau, 4 November ini.

Beliau menegaskan, isu itu tidak pernah timbul sama sekali, dan beliau komited sepenuhnya terhadap tanggungjawab dan kepercayaan diberikan kepadanya oleh pucuk pimpinan BN.

“Apa yang terjadi sekali pun saya akan teruskan. Isu itu (tarik diri) tak pernah timbul pada saya.Sejak sehari sebelum hari penamaan calon saya sudah bertekad membujur lalu melintang patah, patah sayap bertongkat paruh.

“Saya tidak akan berundur. Saya akan pergi terus. Itu komitmen saya,” katanya kepada pemberita di Pusat Operasi BN di Sungai Limau dekat sini semalam apabila ditanya mengenai desas-desus yang tersebar bahawa beliau akan menarik diri daripada bertanding.

Menyentuh mengenai cara kempennya yang tersendiri, Ahmad Sohaimi berkata, beliau lebih gemar berkempen secara solo tanpa liputan luas media kerana menghormati budaya penduduk Sungai Limau yang tidak gemar strategi kempen besar-besaran dan terlalu agresif.

Meskipun begitu, beliau yakin strateginya selaras pendekatan kempen Pengerusi BN Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan tidak akan merencatkan peluang kemenangan BN.

Sumber

Bubuh arak dalam masakan

Bubuh arak dalam masakan
Dua jenis arak yang dipercayai digunakan chef sebuah hotel di Jerantut.

KUANTAN - Seorang tukang masak sebuah hotel terkenal di Jerantut yang cuba menipu penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) akhirnya mengaku menggunakan arak selepas disoal siasat.

Tukang masak berkenaan pada mulanya mengaku arak jenis wine itu adalah minumannya dan disimpan bersama bahan masakan lain termasuk sos dan kicap.

Bagaimanapun, selepas melihat tulisan tertera Gourmet Cooking Wine yang ditunjukkan penguatkuasa, dia bersetuju bahawa arak itu digunakan untuk memasak masakan Cina.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal Jaip, Noridzuan Abdul Manan berkata, dua jenis arak yang ditemui itu diimport dari China dan dipercayai digunakan ketika menyediakan masakan kepada pelanggan Islam kerana peralatan masakan sama tanpa sebarang pengasingan.

“Kandungan alkoholnya hanya satu peratus tetapi kita tetap serius dengan perkara ini bagi menangani kemaslahatan pelanggan Islam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Noridzuan berkata, semua tukang masak di hotel berkenaan bukan Muslim dan hotel itu juga tidak pernah memohon sijil halal tetapi pemantauan dilaksanakan bertujuan untuk mengetahui status halal masakan yang disajikan.

Menurutnya, pengurusan hotel tidak berminat memohon sijil halal kerana restoran di hadapan dapurnya menghidangkan minuman keras bagi pengunjung bukan Islam.

“Mereka juga tetap mahu meneruskan penggunaan ramuan dan aneka sos yang tidak dapat disahkan status halal yang tidak dapat menepati syarat dan prosedur pensijilan halal,” katanya.

Noridzuan berkata, pemantauan dilaksanakan bersama Pejabat Agama Islam Jerantut dan Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut.

Sumber: Sinar Harian

Shahidan perjelas isu bil elektrik RM2.2 juta kediaman PM

Datuk Seri Shahidan Kassim
Datuk Seri Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini memberi penjelasan berhubung isu bil elektrik kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana.

Shahidan menjelaskan bahawa bil yang tinggi disebabkan ia termasuk penggunaan dewan seminar, bilik mesyuarat dan kuarters kakitangan dan ia bukan hanya digunakan oleh Perdana Menteri dan isteri.

Beliau berkata, demikian dalam sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini bagi menjelaskan apa yang dipertikaikan Dr Ong Kian Ming (DAP-Serdang).

"Sebagai anggota Parlimen dia (Ong) harus tahu bezakan antara kompleks dan rumah...jika seluruh kompleks itu hanya digunakan oleh Perdana Menteri dan isterinya, bil elektrik akan sama seperti mana-mana rumah yang didiami dua orang," kata Shahidan.

Sumber: BERNAMA

Penembusan internet di Malaysia

Penembusan internet di Malaysia


Sumber: ASTRO Awani

M'sia lonjak ke tangga ke-6 negara paling mudah jalankan perniagaan

M'sia lonjak ke tangga keenam negara mudah jalankan perniagaan

Malaysia melonjak ke tempat keenam dari segi mudah menjalankan perniagaan, daripada kedudukan ke-12 sebelum ini dalam kalangan 189 ekonomi di dunia, demikian menurut Laporan Mudah Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2014.

Berikut adalah senarai 10 negara teratas dan 5 paling sukar menjalankan perniagaan seperti yang dikeluarkan Bank Dunia:


10 negara paling mudah menjalankan perniagaan:

1. Singapura

2. Hong Kong

3. New Zealand

4. Amerika Syarikat

5. Denmark

6. Malaysia

7. Korea Selatan

8. Georgia

9. Norway

10. United Kingdom


5 negara paling sukar menjalankan perniagaan:

185. Republic of the Congo

186. South Sudan

187. Libya

188. Central African Republic

189. Chad

Sumber: ASTRO Awani