Thursday, 12 December 2013

Program Angkasawan Malaysia Kedua akan diteruskan - Ewon Ebin


Gambar fail angkasawan pertama negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor bersedia untuk berlepas dengan kapal angkasa SOYUZ TMA 11 dari Stesen Angkasa Antarabangsa Baikonur Cosmodrome di Kazakshtan. -- fotoBE


PUTRAJAYA: Program misi menghantar angkasawan kedua ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk melakukan penyelidikan saintifik akan diteruskan dan tarikhnya akan diumumkan pada masa yang sesuai kelak.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin berkata misi angkasa lepas kedua itu mendapat kerjasama Rusia, Jepun dan beberapa negara lain.

"Kerajaan tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan misi angkasa lepas kedua ini, buat masa ini, kementerian menerusi agensinya akan menganjurkan program-program kesedaran mengenai tujuan sebenar misi menghantar angkasawan kedua ke ISS dan implikasinya dari segi pembangunan sains dan teknologi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pameran Angkasawan bertema 'Memacu Aspirasi' selama sehari anjuran MOSTI dan Yayasan Angkasawan Malaysia di Pusat Maritim di sini Khamis.

Turut hadir Timbalannya Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah dan Angkasawan kedua Negara, Mejar Dr Faiz Khaleed.

"Kementerian kini sedang merangka perincian-perinciannya menerusi perjumpaan, perbincangan dan perundingan bersama para saintis, ahli akademik, anggota politik, orang awam dan mereka yang berkaitan dalam menentukan apakah jenis penyelidikan yang sesuai dilakukan dalam misi angkasawan negara kedua ini nanti.

"Apa yang penting ialah perancangan yang rapi dan menentukan pengisian programnya demi memastikan ia membawa hasil kepada negara kerana orang ramai akan bertanya mengenai apakah hasil yang diperoleh dalam program angkasawan ini setelah membelanjakan wang yang banyak," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata program pameran ini dapat memberi kesedaran mengenai kepentingan melakukan penyelidikan di angkasa lepas dan pada masa yang sama Ewon menyeru pihak swasta memberi sokongan dan sumbangan dalam program angkasawan negara itu kerana ia dapat memberi sumbangan menerusi hasil penyelidikan saintifik.

BERNAMA 

Lagenda 115ZR taruhan baharu Yamaha - pada harga RM5,410

Lagenda 115ZR

ATAS komitmen yang tinggi dalam industri motosikal, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memperkenalkan Yamaha Lagenda generasi kelima. Lagenda baharu ini menjadi harapan Yamaha untuk terus mendominasi pasaran tempatan selepas sepi seketika untuk menampilkan produk baharu berbanding pengeluar lain pada tahun ini.

Sejak dahulu lagi, Yamaha sudah dikenali sebagai pengeluar motosikal moped yang berkualiti dan prestasi. Inovasi berterusan Yamaha dalam pembangunan jentera dua roda memperlihatkan satu kecenderungan pengeluar itu ke arah teknologi mesra alam sekitar.

HLYM membuktikan usaha tersebut dengan membawa model yang mempunyai tahap pelepasan emisi rendah selain penggunaan bahan api yang ekonomi.

Baru-baru ini, saya telah diberi peluang untuk menguji produk terbaharu Yamaha, Lagenda 115 ZR. Dengan tagline ‘Feel The Difference!’, Yamaha cuba menyampaikan mesej istimewa pada Lagenda 115 baharu.

Daripada aspek rekaan, Lagenda 115Z tampil lebih sporty dan sofistikated. Rekaan lampu hadapan dan lampu belakang tampak lebih kemas berbanding model sebelumnya. Saya tertarik dengan warna biru ala jentera perlumbaan Yamaha.

Selain itu, Lagenda baharu menampilkan panel instrumen yang lebih teratur, rekaan pelindung kaki baharu dan ruang simpan bawah tempat duduk yang luas. Rim sports serlahkan imej dan membawa aura perlumbaan untuk tampil lebih bergaya.

Corak perjalanan dari kilang HLYM di Sungai Buloh menuju ke Shah Alam telah melengkapkan sesi tunggang uji kali ini. Dalam sepanjang perjalanan, saya melalui kawasan trafik yang sibuk dan lebuh raya.

Perubahan utama yang dapat saya rasai adalah berkaitan julat rev yang lebih teratur. Ia disebabkan oleh penggunaan sistem suntikan bahan api baharu. Penggunaan teknologi suntikan bahan api bukan sahaja memberikan prestasi yang cemerlang,
bahkan menyumbang kepada penjimatan bahan api yang lebih optimum.

Kuasa enjin empat lejang SOHC 115cc dapat dirasakan daripada awal tunggangan. Saya tidak ada masalah dengan daya pecutan semasa berhenti di lampu isyarat. Kotak gear empat kelajuan berfungsi dengan baik, namun, ada beberapa kali saya sukar untuk menurunkan kedudukan gear. Mungkin kerana perbatuan motosikal ini belum lagi mencecah 1000 kilometer (km), minyak yang digunakan masih likat dan menyebabkan gelinciran gear.

Kuasa enjin silinder tunggal sejukan cecair cukup baik. Jumlah tork 9.9 Nm boleh membuatkan saya melakukan wheelie walaupun dalam gear kedua. Jentera ini boleh mencatatkan kelajuan maksimum 120 kilometer sejam (km/j). Pecutan akhir tidak terlalu membanggakan, namun tetapan ratio gear pendek Lagenda mempunyai kelebihan pada daya pecutan awal.

Daripada aspek pengendalian, secara keseluruhannya ia mudah dikendalikan. Jentera ini tidak berat dan tidak terlalu ringan. Lagenda 115ZR mudah dikawal dan saya cukup gemarkan tetapan kuasa yang diberikan. Karakter enjin pula lebih sesuai untuk digunakan sebagai moped di kawasan bandar.

Sebagai varian premium, Lagenda 115ZR didatangkan dengan beberapa kelengkapan ekstra termasuklah cahaya latar LED berwarna biru pada panel meter yang menarik pada waktu malam. Ruang kebuk simpan juga dilengkapi dengan lampu, perehat kaki boleh lipat dan juga tabung udara pada sistem suspensi belakang.

Yamaha Lagenda 115ZR dijual pada harga RM5,410 tanpa insurans dan cukai jalan. Motosikal ini disertakan dengan jaminan pengeluar selama satu tahun atau jarak perbatuan 10,000 kilometer. Manakala versi asas Lagenda 115Z dijual pada harga RM4,792.00 dan RM5,158 bagi versi tambahan set rim sports dan sistem penghidup elektrik.

Sinar Harian

KDN sahkan Mat Sabu amalkan Syiah

KDN
Kementerian Dalam Negeri


PUTRAJAYA - [VIDEO] [Dikemaskini] Kementerian Dalam Negeri hari ini mengesahkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu terlibat dengan ajaran Syiah berdasarkan beberapa bukti yang dikumpulkan pihak berkuasa daripada percakapan lisan, penulisan dan video di Internet.

Perkara itu didedahkan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi sambil membentangkan 10 bukti yang mengaitkan pemimpin nombor dua Pas itu.

Tambah beliau, Mohamad pernah menggesa supaya umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara Imam Khomeini.

"Bukti itu boleh dilihat melalui tulisannya bertajuk 'Teladan Pemerintahan Nabi Yusuf, Khomeini' dalam ruangan Fikrah terbitan lidah rasmi Pas, Harakah terbitan 5 hingga 15 Julai 2008," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Dakwa beliau lagi, Mohamad secara terang-terangan turut memuji Pemimpin Syiah Lubnan, Sayyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau serta isterinya bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat kali.

Sementara itu, Abdul Rahim turut mendedahkan, Tuan Guru Abd Rahim dari Sungai Jagung, Pendang, Kedah mengesahkan Mohamad merupakan salah seorang penganut Syiah apabila kerap kali melihat pemimpin Pas itu menunaikan solat dengan menggunakan sebiji batu kecil leper di tempat sujudnya.

Sementara itu, tambah Abdul Rahim lagi, antara perbuatan Mohamad yang mencerminkan amalan ajaran Syiah adalah beliau juga dikatakan pernah melafazkan selawat sebagai mana yang diamalkan pengikut Syiah dalam satu ceramah Pas di Madrasah Diniah, Arau, Perlis pada 2005.

"Berdasarkan temuramah antara pegawai KDN, Ustaz Zamihan Mat Zin dengan Dr Abdul Aziz Hanafi pada 11 Disember lalu, Dr Hanafi mengesahkan Mohamad melafazkan selawat tersebut," katanya.

Katanya lagi, berdasarkan maklumat yang diperolehi KDN, Mohamad didapati telah beberapa kali menghadiri kelas pengajian di sebuah rumah di Bukit Merah, Semanggol, Perak pada 2011.

"Kelas pengajian tersebut dikendalikan oleh dua ustaz berfahaman Syiah yang bertugas di salah sebuah sekolah berfahaman Syiah di Gunung Semanggol, Perak," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya KDN dan agensi-agensi kerajaan sentiasa memantau dan peka terhadap ancaman kegiatan serta fahaman Syiah yang kian menular di negara ini.

"Keterangan beliau sendiri melalui kata-kata, penulisan, rakaman ceramah dan aktiviti yang disertainya sama ada dalam dan luar negara, tidak sama sekali menyembunyikan kaitan beliau dengan Syiah.

"Fahaman Syiah boleh menjejaskan aspek keselamatan dan ketenteraman awam termasuklah perpecahan dan keruntuhan nilai persaudaraan ummah," katanya lagi.

Sinar Harian 

Proton: Pengeluar kereta atau 'punching bag'?

Proton Perdana
Model baru Proton Perdana


APABILA Proton mengumumkan model terbaru Perdana, ramai yang respon dengan negatif terhadap rupa bentuk model tersebut yang mirip Honda Accord.

Seperti biasa, cemuhan demi cemuhan dilemparkan kepada Proton di atas pengeluaran model ini. Saya suka untuk memberi pandangan berdasarkan beberapa fakta berikut:

1- Saya kurang senang mendengar kritikan serta cemuhan terhadap Proton ini, tatkala pada masa yang sama apabila Kia mengeluarkan model seakan Audi, ramai yang memuji, juga tatkala Honda mengeluarkan model Accord 2011 yang seakan Audi, ramai juga yang memuji dan membelinya. Bahkan Mazda 6 tahun 2013 juga mirip Lexus, tiada pula yang mencemuh. Mentaliti sebegini wujud sifat dualisma, di mana berlakunya tindakan pilih kasih dalam kritikan.

2- Proton Suprima S adalah satu contoh model yang direka sendiri. Tidak meniru hasil orang lain. Namun bagaimanakah prestasi jualannya? Tidak memberangsangkan. Pengkritik tetap membandingkan Proton dengan Honda, Kia Rio dan seumpamanya. Tapi apabila model yang dikeluarkan mirip Honda, mereka mengutuk pula. Perkara ini saya membuatkan saya tidak faham.

3- Ramai pengkritik tidak memahami hakikat industri automotif yang ‘super-kompetetif’. Kilang Mitsubishi di Australia pada tahun 2006 pernah ditutup selama empat minggu kerana tiada permintaan. Majikan lama saya, Ford Australia di Geelong baru-baru ini telah mengisytiharkan mereka akan menutup kilang mereka mulai tahun 2016 kerana mengalami kerugian yang cukup besar, di mana mereka telah mengumpul kerugian sebanyak AUD$600 juta sejak 5 tahun kebelakangan ini. Ford telah bertapak di Australia selama 90 tahun, jadi bagaimanakah pula agaknya Proton yang hanya 1/3 usia berbanding Ford Australia berdepan dengan cabaran ini?

4- “Rebadging” atau penjenamaan semula bukanlah sesuatu yang aib dalam industri automotif. Pengeluar kereta terbesar dunia, General Motors (GM), telah melakukan strategi ini terhadap puluhan model kenderaan mereka. Cuba bandingkan Chevrolet Tahoe dengan Cadillac Escalade, dan Chevrolet Lumina dengan Holden Redline, kita akan nampak jelas bahawa perbezaannya hanya pada lambang jenama dan hiasan dalaman. Benar, jenama-jenama ini di bawah satu syarikat yang sama iaitu GM, namun dari sudut strategi, tidak ada bezanya antara kedua ini. Bahkan kritikan yang sama tidak pula diberikan kepada Perodua di atas strategi mereka “rebadging” model Myvi dan Daihatsu/Toyota, hanya kerana mereka ada kerjasama rasmi dengan Toyota. Model Perdana yang baru ada kerjasama dengan Honda bahkan Saga yang pertama dahulu pun ada kerjasama dengan Mitsubishi. Kritikan yang “pilih kasih” menyebabkan Proton menjadi ibarat “punching bag”. Buat apa pun dikira salah.

5- Mungkin yang terbaik ialah tutup sahaja Proton, agar tidak ada lagi “punching bag” tempat melepas geram dan kemarahan. Mungkin yang terbaik ialah rakyat Malaysia hidup seperti negara Timur Tengah yang hanya menjadi pelanggan kepada jenama-jenama kereta terbaik dunia. Tak payah susah-susah buat kereta sendiri.

Namun saya rasa seandainya Proton ditutup, akan wujud laungan kemarahan yang baru iaitu “Mengapa Malaysia tidak ada kereta sendiri?”

Akhir kata, saya mengharapkan satu perubahan dalam mentaliti sesetengah rakyat Malaysia. Buat pengetahuan semua, saya sendiri tidak pernah membeli Proton, tetapi saya mengambil sikap berpada-pada dalam kritikan dengan mengetahui besarnya cabaran syarikat kecil Proton dalam persaingan industri automotif dunia. Dengan cabaran masa kini, Proton tak “bungkus” pun dah kira mujur.

Ya betul, jika anda tidak menyukai Proton atau merasakan Proton tidak sesuai dengan gaya hidup anda, tak perlulah membelinya. Tindakan anda tidak membeli Proton telah pun memberi mesej jelas “Saya tak suka Proton”. Namun, yang saya kecewa ialah sikap sesetengah insan yang sudahlah tidak membeli Proton, malah melemparkan cemuhan dan kebencian yang amat kepada Proton, sehinggakan orang yang asalnya ingin membeli Proton pun tak jadi membelinya. Ini ibarat mencurah cuka ke dalam luka.

--------------------------------------------------------------------
Engr. Hj Norzafry B Norhalim
Mantan Presiden Pembina

Norzafry adalah seorang jurutera muslim berjiwa besar, merupakan graduan kejuruteraan di sebuah universiti di Australia. Kini berkhidmat di salah sebuah syarikat besar di Arab Saudi. Pernah menjadi Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) bagi tahun 2011/2012.

Filem kisah cinta Ella

Ella

Ada sesuatu yang istimewa ingin diabadikan pengarah terkenal, Mamat Khalid, menerusi filem susulan, Rock 3. Selain mengekalkan pelakon asal dan mengundang kembali Hasnul Rahmat yang pernah muncul dalam judul sebelum ini, pengarah prolifik itu juga berhasrat mahu melamar bintang rock terkenal, Ella. 

Berita itu pun pernah disiarkan dalam ruangan pojok Kak Pora, akhbar sisipan B*POP, Ahad lalu. 

Ketika dihubungi HIP kelmarin, Mamat mengesahkan dia memang ingin melamar ratu rock negara itu untuk membintangi filem terbarunya. 

Filem ini nanti akan berkisar kepada kisah cinta sepasang rocker iaitu Jijo dan Ella. Sebagai sebuah nama yang cukup besar, terutama pada zaman itu, saya memang mahukan Ella berlakon dalam filem ini. Bagaimanapun, watak Ella akan dibawakan pelakon lain. Kiranya, Ella akan membuat penampilan istimewa dalam filem ini. 

Sebelum ini saya pernah menyuarakan hasrat untuk melamarnya berlakon, cuma perkara itu tidak dibuat secara rasmi. Saya akan menemuinya untuk menyatakan hasrat itu dalam masa terdekat, kata Mamat. 

Berita Harian 

Chong Wei pemain pertama guna teknologi Hawkeye

Lee Chong Wei
Lee Chong Wei


KUALA LUMPUR - Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menjadi pemain pertama menggunakan khidmat sistem teknologi 'Hawkeye' untuk mempersoalkan keputusan penjaga garisan pada Kejohanan Siri Super Akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam ini.

Ketika bertarung pada set kedua menentang pemain China, Wang Zhengming dalam saingan Kumpulan A, Chong Wei mencabar keputusan penjaga garisan.

Chong Wei, selaku pilihan utama, mengalahkan pemain China berusia 23 tahun itu dengan 21-10 dan 21-18.

"Adalah keputusan bijak melaksanakan sistem ini dan adil kepada semua pemain. Kadang-kadang bulu tangkis terlalu laju dan penjaga garisan tidak boleh melihat dengan jelas. Pemain kemudian menyalahkan penjaga garisan," kata Chong Wei kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sedang menggunakan sistem 'Hawkeye', iaitu penggunaan kamera sebagai eksperimen pada kejohanan ini sebelum diperkenalkan pada kejohanan mulai Januari depan.

Setiap pemain diberi dua peluang untuk mencabar keputusan penjaga garisan atau pengadil menolak bantahan penjaga garisan dan sekiranya keputusan penjaga garisan itu betul selepas dikaji semula, maka pemain berkenaan akan hilang satu peluang.

Mengulas perlawanan itu, Chong Wei, 31, berkata beliau pernah menentang lawannya itu pada Kejohanan Dunia sebelum ini. 

"Saya tahu ramai pemain ingin 'belasah' saya di tempat saya...maka saya menjangka perlawanan akan sengit. Saya ingin memberi tumpuan kepada corak permainan saya dan apa yang penting ialah prestasi saya," katanya.

Chong Wei, 31, akan menentang pemain Thailand, Boonsak Ponsana esok. 

Sementara itu dalam acara beregu campuran, gandingan negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying menghadapi tentangan sengit sebelum mengalahkan pasangan suami isteri dari England, Chris Adcock/Gabrielle Adcock dengan 16-21, 21-14 dan 21-19. -- Bernama

AWER gesa tubuh suruhanjaya siasatan diraja berkenaan perjanjian PPA dan IPP


KUALA LUMPUR: Sebuah NGO menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi mencari penyelesaian menyeluruh isu perjanjian pembelian tenaga (PPA) dan penjana tenaga bebas (IPP) yang membebankan ekonomi dan rakyat selama ini.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) yang membuat gesaan itu mahu suruhanjaya siasatan diraja itu memberikan fokus kepada tiga isu utama iaitu ketelusan dalam struktur kos tarif elektrik, PPA dan IPP.

Presidennya S. Piarapakaran berkata, penubuhan suruhanjaya siasatan diraja itu akan jadi satu langkah penting kerajaan untuk memastikan dasar-dasar yang betul dilaksanakan supaya Malaysia kekal berdaya saing bagi jangka masa panjang.

"Sudah sampai masanya bagi kerajaan melihat semula apa yang dilaksanakan dan menilai kesan sebenar beberapa keputusan yang dibuat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau juga menggesa Perdana Menteri dan kabinet menyokong gesaan tersebut bagi membolehkan semua isu berkaitan IPP dan PPA diselesaikan dengan baik.

Cadangan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja ini bukanlah satu isu baru sebaliknya pernah disuarakan oleh bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah dua tahun lalu.

Tengku Razaleigh dalam beberapa ucapan sepanjang tempoh dua tahun ini juga membangkitkan perkara yang sama iaitu perlunya kerajaan menyemak semula perjanjian antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan semua penjana bebas.

Dalam mengetengahkan semula cadangan yang dikemukakan oleh Tengku Razaleigh itu, AWER turut menggariskan terma rujukan yang harus digunapakai oleh suruhanjaya siasatan diraja itu nanti.

Antaranya mengkaji pecahan kos tarif elektrik antara 1990 hingga 2013 dan dasar-dasar yang dilaksanakan sepanjang tempoh itu yang memindahkan kos yang tidak adil kepada pengguna.

AWER juga mahu suruhanjaya siasatan diraja itu meneliti punca kegagalan proses rundingan semula PPA dengan kelompok pertama IPP.

IPP adalah antara projek penswastaan yang dilaksanakan pada awal 1990an ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad bertujuan mengurangkan penggantungan kepada TNB yang merupakan syarikat monopoli tenaga pada masa itu.

Kelompok awal IPP termasuklah YTL Power Generation, Genting Sanyen, Malakoff, Segari Energy Ventures, Prai Power, Powertek, GB3, Tanjung Bin Power dan Kapar Energy.

Dalam kenyataannya, Piarapakaran berkata lanjutan perjanjian dengan IPP kelompok pertama tidak mapan dan bukan satu keputusan yang menjimatkan kos pada jangka masa panjang.

Katanya, ia bertentangan dengan ikrar kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sektor elektrik negara dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.



ASTRO  Awani 


Pemilik restoran nyaris maut ditembak lelaki

SAC Mazlan Kesah - Gambar Fail


BUTTERWORTH: Seorang pemilik restoran nyaris maut setelah ditembak beberapa das oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di Taman Inderawasih, di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata dalam kejadian pukul 8.50 malam itu mangsa yang berusia 52 tahun, baru pulang dari restorannya yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

"Ketika kejadian, mangsa yang sedang memandu kereta jenis Honda CRV ingin membelok masuk ke simpang rumahnya sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal yang bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya.

"Tembakan itu tidak mengenai mangsa kerana beliau sempat memecut keretanya untuk berpatah semula ke restorannya, sebelum menghubungi polis," katanya kepada pemberita ketika melawat tempat kejadian, lewat malam tadi.

Mazlah berkata penunggang dan pembonceng motosikal yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu, bertindak melarikan diri sebaik melepaskan tembakan.

"Mangsa tidak sempat melihat wajah dua lelaki terbabit kerana kejadian itu berlaku dengan pantas " katanya.

Mazlan berkata hasil pemeriksaan, polis menemui tiga kesan tembakan di pintu sebelah kiri penumpang hadapan kereta terbabit dan turut menjumpai kelongsong peluru jenis 9mm Luger.

"Siasatan awal mendapati, suspek menggunakan pistol semi automatik dan setakat ini, motif kejadian masih disiasat.

"Rumah mangsa ada dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) namun kedudukannya tidak menghala ke tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran.


BERNAMA 

Bekas perdana menteri Thai Abhisit Vejjajiva dituduh membunuh

Bekas perdana menteri Thai Abhisit Vejjajiva (tengah) - Foto AFP


BANGKOK: Bekas perdana menteri Thai Abhisit Vejjajiva dituduh atau dakwaan membunuh yang dikaitkan dengan operasi ketenteraan sewaktu tunjuk perasaan berdarah di Bangkok tiga tahun lalu, kata pendakwaraya.

Pertuduhan dilakukan di tengah-tengah kemuncak krisik politik negara itu dimana Perdana Menteri Yingluck Shinawatra sedang didesak oleh pembangkang agar meletakkan jawatan kerana pemerintahannya didakwa dipengaruhi abang beliau, Thaksin.

“Kami telah menjalan pertuduhan (Abhisit),” kata Nanthasak Poonsuk, jurucakap pejabat Ketua Peguam Negara. “Mahkamah telah bersetuju untuk mendengar kes itu.”

Sewaktu pemerintahan Abhisit, lebih 90 dilaporkan terbunuh manakala 1,900 yang lain cedera dalam pertempuran ekoran tunjuk perasaan oleh kumpulan pro-Thaksin atau dikenali sebagai kumpulan “Baju Merah”.

Pendakwaraya menuduh Abhisit dan timbalannya ketika itu, Suthep Thaugsuban mengeluarkan perintah sehingga membawa kepada pembunuhan dan cubaan membunuh oleh kumpulan yang menentangnya.

Abhisit bagaimanapun menolak dakwaan dan tidak mengaku bersalah.

Yingluck awal minggu ini membubarkan parlimen dan menetapkan 2 Februari tahun depan bagi mengadakan pilihan raya.


ASTRO Awani

Helikopter mendarat cemas di tengah laut, 8 nyaris maut

Gambar Fail


KUALA LUMPUR: Enam pekerja syarikat petroleum dan dua juruterbang nyaris maut apabila helikopter yang dinaiki mereka terpaksa membuat pendaratan cemas di tengah laut.

Kejadian berlaku pada jam 7.42 pagi, kira-kira 92 batu nautika dari pesisir pantai Bintulu dan ianya disebabkan oleh faktor cuaca buruk.

Difahamkan ketika itu, helikopter pengangkut jenis Sikorsky S-76 itu yang disewa oleh sebuah syarikat petroleum itu sedang dalam perjalanan untuk membuat tinjauan lokasi penggalian minyak dan gas dikawasan perairan tersebut. 

Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Madang Usat berkata ketika kejadian helikopter tersebut membawa penumpang dari negara Perancis, Finland, Denmark Norway dan Kanada dan mangsa-mangsa menyelamatkan diri dengan keluar dari helikopter tersebut setelah melakukan pendaratan cemas.

“Mangsa-mangsa kemudiannya diselamatkan oleh sebuah kapal yang melalui kawasan tersebut dan terus dibawa ke daratan sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” kata Madang.

Kesemua anak kapal dan penumpang yang terlibat dilaporkan tidak mengalami kecederaan yang serius dan masih lagi dirawat di Hospital Columbia, Miri.

Kes kini diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk siasatan lanjut.

- ASTRO Awani

Waspada individu menyamar polis

Waspada individu menyamar polis
Gari yang digunakan sebagai kunci di tayar motosikal.


KULIM - Orang ramai diminta berhati-hati dengan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai anggota polis.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim berkata, pihaknya berjaya menemui sebuah motosikal dikunci dengan gari di bahagian tayar di tepi jalan Sungai Ular semalam.

Menurutnya, orang awam tidak seharusnya memiliki gari bagi sebarang tujuan kerana setiap tangkapan dibuat oleh orang awam harus diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Sebelum ini PPKM menahan dua individu yang menyamar sebagai anggota polis di sekitar Tasek dan perhentian bas Kulim. Modus operandi yang dilakukan oleh suspek adalah dengan memperkenalkan diri sebagai polis dan memeras ugut orang awam dengan meminta wang dan telefon bimbit dari mereka. Individu ini akan menunjukkan gari yang ada pada diri mereka untuk menakutkan orang awam.

"Mereka yang melakukan kesalahan akan cemas dan terpedaya dengan helah dilakukan oleh suspek. Selain itu, PPKM dan polis pernah menahan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an dalam keadaan mencurigakan di jalan Kilang Lama.

"Dari pemeriksaan dijalankan, polis menemui beberapa barangan polis dalam keretanya termasuk satu buku nota. Setelah siasatan dijalankan mendapati lelaki itu menyamar sebagai anggota polis," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, orang awam seharusnya melaporkan kepada polis sekiranya diugut oleh orang tertentu yang mengaku diri mereka sebagai anggota polis.

"Ini adalah untuk memastikan individu terbabit dapat ditahan dan siasatan dapat dijalankan.

"Memberikan maklumat kepada polis tentang perlakuan jenayah mampu membantu polis menangani perlakuan jenayah selain menahan suspek terlibat," katanya.

Sinar Harian 

Cristiano Ronaldo cipta rekod

CRISTIANO Ronaldo menjadi pemain pertama dalam lipatan sejarah Liga Juara-Juara apabila meledak sembilan gol dalam saingan peringkat kumpulan.

Rekod yang dihasilkan oleh bintang Real Madrid itu dicipta bukan dalam semua perlawanan.

Bintang Portugal itu kembali menyertai Los Blancos dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan B dengan menumpaskan FC Copenhagen, 2-0, awal pagi semalam.

Luka Modric meletakkan Real di depan pada minit ke-25.

Ronaldo hanya memerlukan tiga minit untuk meledakkan jaringan kedua buat Real selepas dimasukkan pada separuh masa kedua.

Penyerang lincah itu berpeluang mencipta hatrik namun satu cubaannya mengenai tiang gol walaupun sudah menewaskan penjaga gawang Copenhagen, Johan Wiland.

Sepakan penaltinya juga gagal dimanfaatkan di mana Wiland dapat menepis percubaannya.

Sinar Harian 

Tambang LRT Monorail naik, orang ramai beri reaksi negatif

Tambang LRT Monorail naik, orang ramai beri reaksi negatif

KUALA LUMPUR:  Pengumuman Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar tentangkenaikan tambang LRT dan Monorail tahun hadapan telah mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

Rata-rata dari mereka kurang berpuas hati dengan cadangan tersebut tambahan pula dengan kenaikkan tarif elektrik, harga barang dan minyak petrol yang berlaku baru-baru ini.









Di Facebook Astro AWANI pula dihujani dengan komen-komen yang turut tidak bersetuju dengan peningkatan tambang tersebut.

MrArtz Paz "Kasihan pelajar yang menaiki LRT "

Faresh Hafiz "Sepatutnya tambang semakin lama semakin turun sebab modal dan keuntungan dah lama dapat dan tercapai."

Rizal Rodzuan "Saya faham selepas PRU akan ada kenaikan harga barang, tapi tak sangka begitu banyak harga barang dan perkhidmatan naik"

Selain itu, tidak kurang juga ada yang mengharapkan agar kadar gaji dinaikkan seiring dengan pengumuman kenaikkan harga barang dan perkhidmatan.




Ada juga yang mahukan agar mutu perkhidmatan LRT dan Monorail diperbaiki sejajar dengan kenaikkan harga tambang.

Armadaramor Shi "Harap dengan kenaikan ini sesuai dengan perkhidmatan yang disediakan"

Fiza Azrin "Memang tunggu lama dah berita ini, servis kena terbaik la harapnya"

Noor Hafiza Bahrudin "Servis perlu perbaiki"

Azura Razak "Kalau dah naik tu, silalah perbaiki mutu perkhidmatan jangan asyik tren 'delayed'".

Menurut Syed Hamid Albar, semakan semula terbabit akan mengambil kira beberapa faktor agar kenaikan itu tidak membebankan pengguna.

ASTRO Awani 

Acara pembukaan Sukan SEA Myanmar berlangsung meriah

SEA GAMES


NAYPYITAW: Upacara pembukaan rasmi Sukan SEA ke-27 di Myanmar yang bertema 'Hijau, Bersih dan Persahabatan' dibuka secara meriah dan berwarna warni di Stadium Utama Wunna Theikdi, di sini, malam ini.

Ketibaan Presiden Myanmar, U Thein Sein dan isteri, Daw Khin Khin Win dan dif-dif kehormat termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di stadium disambut dengan percikan bunga api.

Sekumpulan besar kanak-kanak yang membentuk formasi angka bagi mengira detik sebelum bermulanya pembukaan rasmi memeriahkan lagi majlis berkenaan.

Penonton yang hadir dihiburkan dengan persembahan menarik daripada Orkestra Myanmar yang menggunakan alat muzik tradisional Myanmar iaitu 'Harp' dan 'Xylophone' disusuli dengan upacara menaikkan bendera rasmi temasya, bendera Persekutuan Sukan Asean (SGF) dan bendera Myanmar selaku tuan rumah oleh tentera Myanmar.

Ia diikuti dengan perarakan masuk 11 kontinjen yang bertanding iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste, Vietnam dan Myanmar.

Kontinjen Malaysia diketuai oleh Datuk Wira Amiruddin Embi serta pembawa Jalur Gemilang, Sazali Samad disertai sejumlah 70 atlet dan 57 pegawai segak memakai baju 'Belang Harimau' dan berseluar hitam.

Ia diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Presiden Myanmar sebelum percikan bunga api sekali lagi mewarnai sekitar stadium.

Acara berkenaan diteruskan dengan upacara pembacaan ikrar oleh atlet wushu Myanmar, Sandi Oo sebelum diikuti dengan larian membawa masuk obor temasya oleh bekas penjaga gol wanita Myanmar, Bago Tin Aung yang pernah beraksi pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.

Panahan oleh pemanah kebangsaan Myanmar, Way Lin Tun ke dalam kawah obor menandakan temasya berkenaan dibuka dengan rasmi sehingga 22 Dis ini.

Ini merupakan kali ketiga Myanmar menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar yang melibatkan negara Asia Tenggara itu selepas 1961 dan 1969.

Kontinjen negara berjumlah 556 orang atlet menyertai 29 daripada 33 acara sukan yang dipertandingkan pada edisi kali ini dengan sasaran kutipan 40 pingat emas.

Sukan berkenaan ialah renang, olahraga, memanah, badminton, bola keranjang, snuker dan biliard, tinju, kenu, berbasikal, ekuestrian, bola sepak (termasuk futsal), golf, hoki, judo, karate, mendayung, sepak takraw (chinlone), perahu layar, menembak, ping pong, taekwondo, bola tampar, bina badan, catur, muay Thai, pencak silat, angkat berat dan petanque.

Malaysia tidak menyertai empat acara iaitu vovinam, perlumbaan perahu tradisional, gusti dan kempo.
Pencapaian terbaik Malaysia pada Sukan SEA di luar Kuala Lumpur ialah pada edisi 2007 di Korat, Thailand dengan kutipan 68 pingat emas, 52 perak dan 96 gangsa.


BERNAMA