Thursday, 30 July 2015

Tunku Hanis selesa 'low profile'


NAMA Tunku Hanis mungkin kurang dikenali di kalangan peminat seni tempatan.

Meskipun begitu pelakon berusia 25 tahun ini sebenarnya sudah melibatkan diri dalam dunia lakonan sejak tujuh tahun lalu.

Malah dia mengakui dirinya sememangnya kurang mendapat perhatian berbanding pelakon wanita sedia ada.

"Saya bukan jenis yang suka pergi ke majlis-majlis seni. Bukan kerana sombong tetapi saya rasa sayang jika diri dan masa saya dicuri untuk perkara-perkara lain.

"Sehingga adakala saya terlupa, saya juga selebriti dan perlu terima keadaan itu kerana telah memilih bidang ini," katanya.

Jelasnya, dia juga lebih selesa bersikap 'low profile' kerana tidak mahu terlalu fokus terhadap bidang ini.

"Saya sendiri mempunyai syarikat yang menguruskan majlis dan acara-acara tertentu.

"Jadi saya tidak mahu pelanggan yang berurusan dengan saya cenderung bekerja dengan saya kerana saya seorang artis, sebaliknya biarlah perniagaan itu berjaya tanpa guna atau menjual nama saya," jelasnya.

Dalam pada itu, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah telenovela berjudul Memori Cinta Suraya.

Telenovela yang mengambil 148 episod itu memerlukan Tunku Hanis memainkan peranan sebagai seorang isteri, yang mana suaminya jatuh cinta kepada wanita lain.

"Untuk drama ini saya menjadi isteri kepada Iqram Dinzly. Walaupun sebelum ini saya dikenali dengan watak antagonis tetapi menerusi watak ini saya menjadi seorang model yang mementingkan penampilan," katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai peranan antagonis yang sering diberikan padanya, katanya, dia tidak kisah dilabel wanita jahat kerana ia membuktikan dia berjaya bawa peranan itu dengan berkesan.

"Selagi tidak menjejaskan diri saya, saya okey sahaja," katanya yang kini di tahun akhir dalam jurusan pengurusan perniagaan di sebuah IPTA tempatan.

- Sumber: Sinar Harian 

Sudah dipatuk ular, bil rawatan pula RM500,000

Keadaan tangan Todd Fassler yang berubah warna selepas dipatuk ular.

CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Malang bagi seorang lelaki yang mengambil selfie bersama ular yang ditemui di dalam semak apabila dia dipatuk reptilia itu.

Lebih malang baginya apabila bil rawatannya mencecah lebih RM500,000.

Menurut Indian Express, tangan Todd Fassler berubah menjadi warna ungu selepas dipatuk seekor ular orok-orok yang diambilnya dari semak pada 4 Julai lepas.

"Badan saya menggigil. Ular tersebut lumpuhkan seluruh badan saya.

"Saya rasa seperti lidah saya terkeluar dari mulut dan mata saya berpusing ke tepi," kata Fassler ketika menyifatkan 'penyeksaan' dipatuk reptilia tersebut.

Fassler yang berasal dari San Diego berjaya dirawat namun dua hospital kehabisan penawar ular.

Beliau kemudian diberikan bil rawatan yang berjumlah USD 153,161 (RM584,493.01).

Syarikat insurans kini sedang berunding dengan pihak hospital untuk menyelesaikan bil rawatan berkenaan.

Sebelum ini, Fassler pernah memelihara seekor ular lain, spesis yang sama-sama selama setahun namun dilepaskan selepas kejadian yang hampir meragut nyawanya itu.

- Sumber: Indian Express

Naik gaji penjawat awam 35 peratus

Azih Muda

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi meminta supaya kerajaan mengkaji semula gaji penjawat awam dengan memberi kenaikan sebanyak 35 peratus pada pembentangan bajet Oktober depan. 

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, Cuepacs telah menyuarakan perkara itu dalam perbincangan sebelum Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), berhubung beberapa perkara yang patut digubal oleh kerajaan bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Harapan Cuepacs selain kita berterima kasih, kerana kerajaan menetapkan kadar imbuhan baharu perumahan RM300 terendah berkuat kuasa 1 Nov, tetapi dalam masa sama kita berhadapan pelbagai isu dan cabaran hari ini, terutama kos sara hidup yang meningkat," katanya pada majlis Aidilfitri Cuepacs di sini hari ini. 

Katanya Cuepacs juga mengharapkan kerajaan memperkenalkan gaji minimum untuk sektor awam serta penyelesaian kepada permintaan agar 252 skim gaji dan elaun perkhidmatan dikaji semula dan ditambah baik. 

Azih berkata, Cuepacs juga mahu kerajaan mengkaji semula pelepasan cukai pendapatan kerana katanya rakyat hari ini termasuk pekerja sektor awam dan swasta terpaksa membayar banyak cukai berganda. 

"Sekarang ni kadar pelepasan income tax untuk anak RM1,000...tapi RM1,000 tak cukup...jadi kerajaan kena tingkatkan seratus peratus pelepasan cukai ini. 

Ceupacs juga berharap kerajaan dalam bajet akan datang, memastikan dasar perumahan negara diwujudkan secara konsisten agar setiap penjawat awam dan setiap rakyat sekurang-kurangnya mampu memiliki sebuah rumah. 

- Sumber: Bernama

Dakwaan Zeti kena serangan jantung hanya khabar angin

Menurut wakil BNM, Zeti bekerja di pejabat seperti biasa dan tidak dimasukkan ke wad seperti didakwa. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami serangan jantung seperti yang dikhabarkan sesetengah pihak.

Astro Awani menghubungi wakil Jabatan Perhubungan Korporat BNM yang kemudian mengesahkan perkara tersebut.

Menurut wakil BNM, Zeti bekerja di pejabat seperti biasa dan tidak dimasukkan ke wad seperti didakwa.

Menurut laporan Malaysia Gazette, Zeti dikatakan tidak hadir di pejabatnya pada pagi Isnin, namun memulakan tugas di pejabat pada sebelah petang.

Zeti sehari dua ini juga menghadiri pelbagai mesyuarat dalaman BNM, sekali gus menafikan khabar angin bahawa beliau dalam keadaan tidak sihat.

- Sumber: Astro Awani