Friday, 4 April 2014

Operator kren didakwa cuba bunuh polis

Operator kren didakwa cuba bunuh polis
W Thiruselvan, 38, (kanan) dan Mohd Jefry Rahmat, 29, (tengah) di Mahkamah Majistret di Klang hari ini. - Foto Bernama


KLANG - Seorang operator kren mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis dengan menikamnya menggunakan pisau di Taman Kandis Permai di sini, Februari lepas.

W. Thiruselvan, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Fadhly Yaakob.

Tertuduh didakwa cuba membunuh Lans Koperal Anwar Jaharuddin di Jalan Samarinda 5C, Taman Kandis Permai, pada 7.40 pagi, 21 Februari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. 

Mahkamah membenarkan Thiruselvan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mei ini untuk sebutan semula kes. 

Tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan cuba membunuh diri dengan menggantung dirinya menggunakan kain pelekat di lokap Balai Polis Klang di sini pada 3 pagi, 28 Februari lepas. 

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 21 Februari lepas. 

Selain itu, Thiruselvan dan seorang lagi tertuduh, Mohd Jefry Rahmat, 29, dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan bersama-sama memiliki sebuah lori curi di Jalan Samarinda 5C, Taman Kandis Permai, pada 7.40 pagi, 21 Februari lepas.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun serta denda. 

Mohd Jefry turut dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan dua sebatan selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebatang besi tajam berukuran 10 inci dan menghalang Koperal Anwar menjalankan tugas di tempat, masa dan tarikh yang sama. 

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 29 Mac lepas. 

Pendakwaan bagi kesemua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aida Zainuddin. - Bernama

Penembak hendap terpaksa tinggalkan lokasi

KOTA KINABALU - Sekumpulan penembak hendap VAT69 terpaksa meninggalkan tugasan mereka memantau dua punca air dan simpang tiga jalan tanah merah ke Kampung Tanduo, Lahad Datu buat sementara waktu selepas berlaku pertempuran di kawasan itu pada 1 Mac tahun lepas.

Komander kumpulan VAT69 itu, Inspektor Rosli Wahab berkata bimbang dengan keselamatan pasukannya, beliau mengarahkan mereka berundur 100 meter dari lokasi tugasan masing-masing pada kira-kira 5.30 petang sehingga 6 pagi hari berikutnya.

Beliau berkata lokasi mereka, yang terletak 400 hingga 500 meter dari telaga dan parit serta kira-kira 300 meter dari jalan tanah merah terbabit, diketahui penceroboh selepas mereka terlibat dalam kejadian tembak-menembak pada kira-kira 10 pagi, 1 Mac.

"Masa saya memberi arahan tembak kepada sebahagian anggota saya, penceroboh bersenjata seramai tujuh atau lapan orang itu (di simpang tiga) tidak mengetahui kedudukan kami).

"Hanya apabila anggota saya menembak (ke arah penceroboh), barulah mereka nampak ke arah kami dan membalas tembakan)," katanya.

Selepas pertempuran, Rosli berkata beliau nampak tiga penceroboh mati ditembak pasukannya, menerusi teropong.

Kepada satu soalan peguam Datuk N. Sivananthan, Rosli berkata meskipun berada tidak berapa jauh dengan lokasi pegawai atasannya, Superintendan Mancha Anak Ata dan Deputi Superintendan Hakemal Hawari serta Markas Taktikal VAT69 di Felda Sahabat 16, beliau tidak menghubungi mereka menerusi walkie-talkie.

Sebanyak 30 tertuduh terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan dalam kes ini.

Mereka berdepan pelbagai tuduhan iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April 2013.

Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung 14 April depan. - Bernama

Chong Wei jumpa Du Pengyu separuh akhir esok

Lee Chong Wei

NEW DELHI - Datuk Lee Chong Wei menjadi tunggal negara dalam Kejohanan Badmintion Siri Super Terbuka India selepas beregu wanita dan campuran terkandas di peringkat suku akhir di sini, hari ini.

Chong Wei, selaku juara bertahan dan pemain pilihan utama kejohanan, tidak berdepan dengan masalah untuk melangkah ke separuh akhir apabila menewaskan pemain India Kashyap Parupalli 21-15, 21-13 dalam pertarungan selama 40 minit.

"Dia adalah lawan yang sukar berbanding pencabar lain sebelum ini. Saya melakukan banyak serangan dan pantas untuk menamatkan perlawanan ini," kata pemain nombor satu dunia itu.

Chong Wei akan menentang pemain pilihan ketujuh, Du Pengyu dari China pada separuh akhir esok.

Pengyu melangkah ke separuh akhir selepas menumpaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen 21-11, 22-24, 21-19 dalam saingan selama 68 minit.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki, pemain pilihan kedua, Chen Long dari China akan bertemu dengan pemain Denmark, Jan O Jorgensen.

Sementara itu, hasrat beregu wanita Vivian Hoo/Woon Khe Wei untuk mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila mereka tewas kepada beregu Korea Selatan, Jung Kyung Eun/Kim Ha Na 9-21, 17-21.

Turut mengalami nasib yang sama adalah beregu campuran negara Chan Peng Soon/Lai Pei Jing yang kalah dalam 'rubber-set' kepada gandingan Korea Selatan, Ko Sung Hyun/Kim Ha Na 15-21, 21-19, 10-21. - Bernama

MAHB: KLIA2 selamat digunakan, kata foto tersebar gambar lama


SEPANG: Terminal Penerbangan Tambang Rendah baharu, klia2, selamat digunakan setelah keretakan landasan kapal terbang dibaiki, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi MAHB Datuk Azmi Murad memberitahu isu keretakan tersebut tidak akan mengganggu keseluruhan operasi terminal itu yang akan dibuka pada 2 Mei.

Azmi juga berkata keretakan yang berlaku di landasan kapal terbang itu adalah normal dan bukan keretakan struktur.

Beliau berkata proses kejuruteraan biasa memadai untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Azmi berkata Malindo Air telah melakukan pendaratan percubaan di klia2 pada Oktober lepas, yang membuktikan bahawa landasan tersebut berada dalam keadaan baik.

klia2 kini boleh menampung beban sehingga 100 ton, melebihi berat Superjumbo A380 -- kapal terbang komersil terbesar di dunia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa MHAB akan mengambil tindakan serta-merta seperti pembinaan semula jika keretakan struktur berlaku. Untuk keretakan biasa, pembaikan akan dan telah dijalankan, katanya dalam temu bual di klia2.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berserta gambar di laman blog yang menunjukkan keretakan di klia2 serta keengganan syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia berpindah ke klia2 pada 2 Mei.

Azmi berkata gambar itu merupakan foto lama, dan kini tidak lagi keretakan.

"Keretakan di landasan terbang itu disebabkan oleh proses pemendapan, berlaku susulan kerja paip cerucuk pili bomba.

Kerja paip tersebut kemudian disimen sebelum dilapiskan dengan tar bagi melindungi paip tersebut. Jarak antara cerucuk itu menyebabkan proses pemendapan tidak sekata dan berlaku keretakan, katanya.

Mengenai gambar menunjukkan keretakan pada bangunan di klia2, beliau berkata ia merupakan 'kecacatan liabiliti' dan laporan telah dibuat kepada pihak kontraktor.

"Ia merupakan kecacatan kecil," katanya.

Rabu lepas, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan bahawa LCCT di Sepang akan ditutup pada 9 Mei.

Beliau juga memberi jaminan bahawa keselamatan di landasan, laluan pesawat' dan lain-lain, sudah disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Menurutnya DCA datang ke klia2 untuk melakukan pemeriksaan tersebut. Azmi berkata DCA akan melakukan pemeriksaan akhir pada 10 April ini.

"DCA ialah pihak berkuasa yang akan menentukan sama ada landasan terbang itu selamat, dan bukannya syarikat penerbangan," katanya.

"LCCT sedia ada juga retak. Saya mahu menutup LCCT disebabkan mereka kata keretakan itu bahaya kepada pesawat, dan oleh itu saya mahu memindahkan mereka ke sini (klia2)," katanya.

Bernama

Tidak sensitif, 'Noah' diharam tayangannya di Malaysia


KUALA LUMPUR: Filem Noah tidak akan ditayangkan di Malaysia kerana dianggap sebagai tidak sensitif kepada masyarakat tempatan.

Menurut Pengerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF) Datuk Abdul Halim Abdul Hamid, keputusan ini diambil sebagai langkah “berjaga-jaga“ kerana filem berkaitan nabi Nuh itu dianggap tidak sensitif terhadap orang Islam.

“Filem itu diharamkan kerana kita sebagai orang Islam, kita percaya pada Nabi Nuh dan menurut ajaran Islam, dilarang melakonkan semula aksi watak nabi.

“Mana-mana gambaran nabi dilarang oleh Islam,” Abdul Halim dipetik berkata kepada akhbar The Sun.

LPF anggap filem berkenaan tidak sesuai untuk ditayangkan di Malaysia setelah mempertimbangkan sejarah dan fakta Islam.


Noah

Noah menampilkan barisan pelakon Hollywood seperti Russell Crowe, Jennifer Connelly, Anthony Hopkins dan Emma Watson dan mula ditanyangkan di Amerika Syarikat pada 28 Mac.

Dengan kos sebanyak US$130 juta (RM247 juta), pengritik filem Hollywood mendakwa filem ini tidak menghina Nabi Nuh namun ia hanya satu adaptasi kisah sejarah.

Astro Awani 

Suspek penculikan Semporna turut terlibat dengan kes penculikan lain


KUALA LUMPUR: Suspek penculikan dua wanita termasuk seorang pelancong China dari sebuah resort di Pulau Singgahmata, Semporna pada Rabu malam dipercayai mempunyai kaitan penglibatan dengan kes penculikan di Pulau Pom-Pom dan Pulau Sipadan.


Ketua Pengarah Kawasan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mohammad Mentek memberitahu bahawa seorang daripada penculik tersebut dipercayai terlibat dengan kes penculikan di Pulau Pom-Pom pada tahun lalu.

“Selebihnya pula kita percaya pernah terlibat dalam kes penculikan di Pulau Sipadan pada tahun 2000 dan penculikan yang dilakukan ini adalah hanya untuk menuntut wang tebusan dan mereka ini dipercayai sangat agresif dan aktif di selatan Filipina,” katanya.

Kidnap

Pihak ESSCOM yakin bahawa kedua-dua tebusan tersebut kini berada di suatu lokasi di selatan Filipina.

“Kita sudah mengenal pasti lokasi dimana mereka disembunyikan dan kedua-duanya berada dalam keadaan baik,”.

Mohammad berkata terdapat kemungkinan bahawa adanya penglibatan rakyat tempatan yang berasal dari Filipina yang memberi maklumat kepada penculik-penculik tersebut.

Dalam perkembangan yang sama juga, 15 pekerja asing di Singgahmata Adventures Reef and Resort tersebut telah ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap majikan dan pengusaha resort yang didapati menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah. Telah berulang kali peringatan yang sama diberi termasuk ketika pertemuan dengan pengusaha resort atau pusat pelancongan Sabah baru-babru ini namun ramai lagi yang tidak mahu mematuhinya dan disebabkan itu kita tidak akan berkompromi dalam hal ini,”.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dilapor oleh media sebagai berkata seorang wanita warga China dan seorang pekerja resort rakyat Filipina diculik dari Singgahmata Adventures Reef and Resort oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata, dalam kejadian pukul 10.30 malam Rabu.

Wanita warga China itu yang juga seorang pelajar dikenal pasti sebagai Gao Hua Yua, 29, dari Shanghai manakala pekerja resort pula dikenali sebagai Marcy Dayawan atau Mimi, 40.

Resort di atas air dengan 60 bilik yang beroperasi sejak lebih 10 tahun lepas itu berkedudukan kira-kira dua batu nautika dari pekan Semporna.

Mohammad juga berkata pada 26 Mac lepas, pasukan keselamatan Esscom mengesan lima bot cuba memasuki perairan Semporna, dipercayai untuk melakukan penculikan namun berjaya dipintas oleh pasukan keselamatan.

Astro Awani 

Misi besar Ocean Shield dan HMS Echo jejaki kotak hitam


PERTH: Usaha menjejaki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 kini diperluas kepada pencarian di dalam air bagi mengesan kotak hitam pesawat yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi itu.

Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Angus Houston berkata dalam masa sama usaha pencarian dari udara tetap diteruskan.

Beliau berkata kapal Ocean Shield milik tentera laut Australia dan HMS Echo milik tentera laut British akan menumpukan usaha mengesan kotak hitam itu di laluan sepanjang 240 kilometer di selatan Lautan Hindi.

"Menggunakan 'Towed Pinger Locator' (TPL) dari tentera laut Amerika Syarikat, kedua-dua kapal akan melakukan pencarian dalam satu laluan sejauh 240 km," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Ini merupakan kali pertama pencarian bawah permukaan air dilakukan dalam misi mengesan isyarat daripada kotak hitam penerbangan MH370 tersebut.

Sementara itu, Komander Pasukan Petugas Bersama 658 Laksamana Pertama Peter Leavy dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat, berkata usaha mengesan akan dilakukan pada kedalaman sekurang-kurangnya 3,000 meter.

Dalam usaha ini, kedua-dua kapal harus bergerak pada kelajuan yang rendah sekitar tiga knot, katanya.

Beliau juga berkata usaha harus dijalankan secara tersusun dan berhati-hati bagi memastikan TPL dapat mengesan sebarang isyarat termasuk yang sangat lemah daripada 'pinger'.

Katanya disebabkan tiada bukti kukuh ditemui, pencarian bawah permukaan air itu dibuat berdasarkan analisis data.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan lawatan kerja dua hari ke sini, membincangkan tentang pencarian dalam air dengan rakan sejawatannya dari Australia Tony Abbott.

Beliau juga melihat sendiri usaha pencarian MH370 yang dilaksana dari bandar raya di Australia Barat itu.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac, dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama.

Susulan itu usaha mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka, Laut Andaman dan Lautan Hindi selepas ada penemuan menunjukkan MH370 mengubah haluan jauh daripada laluan asal.

Pada 24 Mac, iaitu hari ke-17 misi pencarian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi, berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB).

Bernama

Kontroversi gambar di Instagram, Adi Putra pilih untuk bersabar

Adi Putra

KUALA LUMPUR: Pelakon Adi Putra memilih untuk berdiam diri dan bersabar setelah sekeping foto yang menunjukkan beliau memakai sehelai tuala tanpa baju dimuat naik di Instagram.

Ia dikatakan dimuat naik oleh bekas suami kepada wanita yang didakwa mempunyai skandal dengan Adi Putra sebelum ini.

"Saya tak tahu dan tak ambil tahu apa yang berlaku. Malah saya tidak akan mengambil tindakan apa-apa selagi ianya tidak melampaui batas.


"Saya sekarang belajar untuk bersabar sahaja dan tidak mampu untuk memarahi mereka. Sedangkan Rasul pun pernah diduga dengan pelbagai musibah sehingga dibaling tahi ke mukanya tapi dia masih bersabar.


"Biarlah orang nak kata cara saya membiarkan pihak sana membuat suka hati ni nampak seperti saya yang bersalah kerana ianya tidak memberi apa-apa kesan kepada saya selain Allah sendiri meletakkan salah itu kepada saya," jelasnya kepada portal Astro Gempak.

Beliau berkata demikian semasa ditemui di sidang media Teater Di Bawah Lindungan Kaabah yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 9-18 Mei depan.

Teater ini juga menampilkan Nasha Aziz, Elfira Loy, Fizo Omar, Dafi Ismail, Liza Abdullah, Zahid AF, Yasmin Hani dan diarahkan oleh Rosminah Mohd Tahir.

Astro Awani 

Bazar bundle Lorong Haji Taib digempur

Bazar bundle Lorong Haji Taib digempur
Gerai warga asing yang disita diangkut lori DBKL dalam operasi kelmarin.


KUALA LUMPUR - Penuh sepuluh lori! Itu hasil tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap aktiviti perniagaan Bazar Bundle di Lorong Haji Taib, Chow Kit kelmarin apabila semua barangan disita setelah mendapati rata-rata operasi jualan dilakukan oleh warga asing.

Operasi perniagaan yang bermula pada waktu petang itu mulanya tenang seperti biasa, namun bertukar kecoh apabila terdapat peniaga warga asing yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak penguatkuasa.

Namun, tindakan penguatkuasa mengepung kawasan laluan antara Lorong Haji Taib di persimpangan Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut berjaya menahan lima warga asing dan menyita 20 gerai.

Ketua Operasi, Tanda Usoh berkata, operasi bermula jam 4 petang dan berakhir jam 9 malam itu merupakan siri keenam Ops Tegas bagi membanteras aktiviti perniagaan warga asing di ibu kota.

Menurutnya, ia hasil risikan selama dua minggu yang dilakukan pihaknya atas aduan yang disalurkan orang awam.

“Daripada maklumat diterima, hampir 80 peratus peniaga di sini adalah warga asing terutamanya warga Bangladesh.

“Jadi hasil tindakan ini, kita telah sita barangan peniagaan mereka dan ia tidak boleh dituntut walaupun oleh pemilik sebenar kerana membabitkan warga asing,” katanya kepada Sinar Harian.

Tindakan diambil di bawah Undang-undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai 1989.

Tanda berkata, kesemua warga asing termasuk tiga warga Bangladesh diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Mana-mana penjaja yang didapati menyewakan gerai atau membiarkan perniagaan diuruskan warga asing, akan ditamatkan lesen,” katanya.

Operasi dijalankan secara bersepadu itu disertai kira-kira 100 orang termasuk anggota penguatkuasa, anggota polis, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Tindakan akan dilaksanakan secara berterusan memastikan ibu kota bersih daripada penjaja warga asing.

Sinar Harian 

Isu Memali: Musa Hitam perjelas kekeliruan

Tun Musa Hitam
Tun Musa Hitam

PADA jam 9.00 malam 27 Mac 2014, saya bersama YB Husam Musa adalah dua ahli panel dalam Majlis Diskusi anjuran Kerajaan Negeri Kelantan bertemakan “Politik Malaysia: Dahulu dan Sekarang”.

Profesor Agoes dari Universiti Kebangsaan Malaysia berperanan sebagai Moderator. Format diskusi menyamai program “HARD TALK” BBC London yang meletakkan syarat bahawa ahli panel tidak dibenar menggunakan skrip atau nota lebih awal tetapi bersedia menghadapi apa juga soalan yang diajukan oleh Moderator.

Sepanjang dua jam, Moderator diskusi bersikap combative, aggresive serta provocative. Dalam pada itu saya akui bahawa Moderator memperlihatkan sifat saksama, berkecuali dan tidak partisan.

Di penghujung diskusi, saya telah diajukan soalan berkaitan peristiwa Memali yang dapat saya rumuskan berpusat kepada tiga perkara berikut:

1. Pengesahan saya bahawa pada hari peristiwa Memali berlaku, Tun Dr. Mahathir berada di negara China dan saya adalah Pemangku Perdana Menteri.

2. Saya bertanggung jawab sepenuhnya kepada peristiwa tersebut.

3. Bagaimanakah perasaan saya dengan peristiwa Memali.

Saya telah memberi respons kepada soalan yang diajukan berteraskan empat aspek berikut:

1. Saya menegur Moderator dengan mengatakan sebagai seorang Profesor, sesuatu perkara yang disuarakan hendaklah berasaskan penyelidikan mendalam dan fakta yang tepat.

2. Pada hari peristiwa Memali (ia itu 19 November 1985) Dr. Mahathir berada di Kuala Lumpur dan saya bukannya Pemangku Perdana Menteri. Moderator menunjukkan reaksi terkejut dan dengan suara yang jelas melafazkan perkataan “My God” yang mengejutkan hadirin.

3. Sebagai Menteri Dalam Negeri saya telah menggariskan panduan umum, memberi ingatan dan mengarahkan pihak polis tentang dua perkara:

(i) Proses undang-undang hendaklah dipatuhi;

(ii) Elakkan kekerasan (violence) dan pertumpahan darah

Namun saya mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap kejadian yang berlaku walaupun saya tidak terlibat secara langsung tetapi menyerahkan kepada budi bicara pihak polis untuk melaksanakan operasi dari segi menentukan waktu terbaik ianya dilakukan serta kaedah dan pendekatan untuk melaksanakan operasi.

4. Saya berterus terang dan dengan ikhlas serta penuh insaf mengaku bahawa titik hitam dalam sejarah karier politik saya ialah peristiwa Memali.

Dalam ruang masa yang diberikan oleh moderator, saya telah menghuraikan urutan peristiwa yang berlaku.

Pada hari kejadian, saya bersama Pemangku Ketua Polis Negara (KPN) telah menemui Perdana Menteri di pejabat beliau dan Pemangku KPN telah memberikan taklimat tentang perkara yang berlaku berikutan operasi Polis di Memali yang melibatkan kematian 4 anggota polis dan 14 orang awam.

Dalam pertemuan tersebut saya memohon agar Dr. Mahathir menangguhkan program lawatan ke Negara China atas tiga sebab:

1. Peristiwa ini berlaku di negeri Kedah; negeri Perdana Menteri sendiri.

2. Peristiwa ini melibatkan orang Melayu beragama Islam.

3. Dengan menangguhkan lawatan ke Negara China, Dr. Mahathir memperlihatkan sifat ia mengutamakan dan mengambil berat terhadap peristiwa yang telah berlaku di dalam negeri.

Dr. Mahathir membuat keputusan untuk tetap berlepas ke Negara China. Saya telah memaklumkan kepadanya cadangan saya untuk membentangkan peristiwa Memali di Parlimen. Di samping itu, saya turut meminta agar semua media, termasuk media luar negara memberi saya ruang 24 jam untuk membolehkan saya mendapat gambaran lebih tepat lagi lengkap. Saya telah membentangkan peristiwa Memali di Dewan Rakyat pada keesokan harinya (20 November 1985) dan selanjutnya mengadakan perjumpaan media.

Kesimpulannya ialah:

1. Bukan niat saya mahu mencetuskan polemik baru berkaitan Memali. Ia dihidupkan semula berikutan respons saya kepada soalan yang diajukan oleh moderator dalam program diskusi yang diadakan.

2. ISU UTAMA dalam perkara ini adalah fakta, sama ada pada hari peristiwa tersebut berlaku, saya menjawat jawatan Pemangku Perdana Menteri kerana Tun Dr. Mahathir berada di luar negara. Berdasarkan penyelidikan daripada bahan-bahan rujukan yang masih dapat saya temui, nyatalah Dr. Mahathir berada di dalam negara pada hari tercetusnya peristiwa Memali dan saya tidak memangku jawatan Perdana Menteri pada hari tersebut.

3. Sewaktu berlangsung prosiding kes dakwaan saya terhadap seorang penulis di mahkamah beberapa tahun lalu di mana dalam kes ini saya berjaya, (ketika itu Dr. Mahathir masih Perdana Menteri), peguam bela bertanya dua soalan yang serupa, sama ada Dr. Mahathir berada di dalam negara pada hari peristiwa Memali berlaku dan adakah saya memangku jawatan Perdana Menteri. Jawapan konsisten saya berikan bahawa beliau berada di dalam negara dan saya tidak memangku jawatan Perdana Menteri. TETAPI TIDAK ADA MEDIA YANG SEDIA MELAPORKAN FAKTA INI.

Sekian lama saya dicerca, dicela dan dinista mengenai peristiwa Memali oleh pelbagai pihak terutama oleh parti Pas. Seingat saya, apatah lagi selepas saya berundur daripada jawatan menteri; tidak ada pihak baik daripada kerajaan, begitu juga Umno yang saya anggotai bersedia menyuarakan fakta yang benar.

Saya pernah menawarkan diri untuk mengadakan wawancara eksklusif dengan media khusus atas subjek peristiwa Memali, tetapi tidak ada pihak media yang bersedia berwawancara dengan saya. Saya sedar dan memahami ketika itu tidak ada pihak yang bersedia berhadapan risiko untuk bercakap perkara yang boleh dianggap menyentuh kedudukan dan batang tubuh seorang Perdana Menteri yang sedang berkuasa.

Sekian lama saya berseorangan untuk mendapatkan keadilan namun saya terus berdoa dan akhirnya program diskusi di Kelantan saya sifatkan sebagai anugerah ILAHI memakbulkan doa saya. Ruang tersebut memberikan saya peluang untuk memperbetulkan fakta sejarah akan peristiwa penting yang melibatkan diri saya. Saya bersyukur ke hadrat ILAHI yang telah memberikan peluang tersebut kepada saya.

Saya sedar perkembangan terbaru ini telah menjemput pelbagai ulasan dan pandangan secara positif dan secara negatif, tidak terkecuali yang berbentuk tohmahan, tuduhan dan fitnah baru ke atas diri saya. Saya serahkan segala-galanya kepada ALLAH yang Maha Mengetahui akan kebenaran dan kepada Nya saya memohon petunjuk dan keadilan.


TUN MUSA HITAM
Disiarkan di Sinar Harian pada 4 April 2014

Balu Ahmad Sarbaini saman SPRM, kerajaan RM8 juta


Masiah@Maziah Manap


KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Balu Penolong Pengarah Kastam Selangor, Masiah@Maziah Manap, 53 dan anaknya, Shahril Ahmad Sarbaini, 30, memfailkan saman sebanyak RM8 juta terhadap Kerajaan Malaysia, SPRM dan tujuh yang lain.

Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed sebelum ini ditemui mati di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jalan Cochrane pada 6 April 2011.

Masiah memfailkan saman menerusi peguam mereka, N Surendran di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Menurut Surendran, writ saman tersebut dikemukakan bagi menuntut keadilan ke atas Allahyarham kerana sehingga kini SPRM dan kerajaan Malaysia masih berdiam diri mengenai punca kematiannya.

"Sudah tiga tahun kes itu telah berlalu, tetapi sehingga ke hari ini, tiada jawapan munasabah dari SPRM dan kerajaan Malaysia kenapa Allahyarham meninggal dunia," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sinar Harian 

Sepasang kekasih mati dalam kereta

KUALA LUMPUR - Seorang isteri terkejut mendapati suaminya dan seorang wanita lain mati dalam sebuah kereta di Taman Metropolitan, Batu Muda di sini, petang tadi.

Pegawai Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan Sabri Sulaiman berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira 5.10 petang tadi.

Ketika di tempat kejadian, lelaki itu yang berumur dalam lingkungan 60-an dan wanita berumur dalam lingkungan 50-an itu telah pun meninggal dunia.

Tiada pengenalan diri ditemui pada mereka, katanya. - Bernama

NGO bidas laporan tidak tepat dan tidak beretika CNN, Fox News


KUALA LUMPUR: Empat badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum bantahan terhadap dua agensi berita dari Amerika Syarikat (AS) yang didakwa membuat liputan berita tidak tepat serta tanggapan buruk terhadap Malaysia berkenaan tragedi pesawat MH370.

Empat NGO itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia(PPIM), Yayasan Media Malaysia (MMF), Persatuan Pengguna Islam Antarabangsa (IMCA) dan Batas Malaysia (Bersekutu).

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan mendakwa dua agensi berita iaitu Cable News Network (CNN) dan Fox News bukan sahaja mengeluarkan berita tidak tepat malah tidak mempunyai etika kewartawanan dalam liputan tragedi MH370.

"Media mempunyai kebebasan, tapi janganlah melampau sehingga menyebarkan pembohongan. 

"Pengamal media perlu lebih bertanggungjawab dalam penulisan berita, kerana berita yang tidak benar boleh mencetus keadaan tidak tenteram dalam kalangan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan AS di sini, kira-kira 3.30 petang.

Beliau berkata, sebagai pengamal media yang profesional, kedua-dua agensi berita itu perlu membuat kajian sebelum mengeluarkan berita berkenaan.

Nadzim berkata, sebagai contohnya, wartawan CNN yang membuat liputan berita itu tidak mempunyai pengetahuan mengenai negara ini dan melaporkan Kuala Lumpur terletak di Indonesia.

Sementara itu, Presiden MMF Dzulkarnain Taib melahirkan rasa kesal terhadap agensi itu yang didakwanya gagal mematuhi etika kewartawanan.

"Kita (MMF) sedia menawarkan latihan asas kewartawanan secara percuma terutamanya kepada CNN dan Fox News," katanya.

Beliau menambah, tindakan pengamal media terbabit diumpamakan sebagai 'pelacur' kewartawanan.

Kira-kira 100 penyokong NGO itu berkumpul di hadapan bangunan kedutaan itu sambil memegang kain rentang tertera perkataan: "malaysia is not a terrorist country, stop spreading lies about Islam and Malaysia" dan "CNN & Fox News Channel Boicott".

Beberapa anggota polis berkawal di sekitar bangunan itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pesawat Malaysia Airlines MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam.

Hasil penyiasatan dan analisis data satelit, perjalanan pesawat itu dirumuskan berakhir di selatan Lautan Hindi. Operasi mencari masih diteruskan dengan kerjasama pelbagai negara.

Bernama

India's princeling Rahul Gandhi seeks 'poison' of power


NEW DELHI: He has never held public office, has likened power to "poison" and seen his father and grandmother assassinated by extremists.

Now Rahul Gandhi wants to become India's prime minister.

If polls are to believed, the 43-year-old is about to lead his Congress party to a crushing defeat when India holds elections from April 7.

In public, the scion of India's most famous dynasty refuses to contemplate defeat at the hands of the Hindu nationalist Bharatiya Janata Party and its right-wing leader, Narendra Modi.

But most analysts believe that Gandhi knows he hasn't a hope of victory, and some question whether a man apparently born to rule really wants the job.

"He is not desperate as he knows his father became prime minister too early ... but I think there's no easy choices in politics," said Rasheed Kidwai, who has written several books about Congress and the Gandhis.

Modi, son of a tea-seller, is India's ultimate rags-to-riches story.

Gandhi was born into a life of privilege, but his younger years were cloaked in tragedy.


Tragic upbringing

He was 14 when his grandmother, prime minister Indira Gandhi, was slain by her Sikh bodyguards in 1984 as revenge for the storming of the Golden Temple in Amritsar.

His father Rajiv Gandhi was then pressed to take over as premier. Seven years later, Rajiv was assassinated by a Tamil suicide bomber.

"In my life I have seen my grandmother die, I have seen my father die, I have seen my grandmother go to jail and I have actually been through a tremendous amount of pain as a child," Rahul Gandhi said in a recent TV interview.

"When these things happen to you, what I had to be scared of I lost. There is absolutely nothing I am scared of."

With Gandhi studying at Harvard, it was left to his Italian-born mother Sonia to pick up the mantle and lead Congress back to power in 2004 before declining to become premier.

After office jobs in London and Mumbai, Rahul Gandhi was sucked into politics himself and entered parliament in 2004 in a seat vacated by his mother, who remains the Congress president.

After a stint as head of its youth wing, his profile rose further when he became Congress vice president in January 2013. But he has still struggled to carve out a reputation as a politician in his own right.

It has not helped that his younger sister Priyanka brims with the charisma Rahul is accused of lacking. A leaked US diplomatic cable, written in 2007, said he was "widely viewed as an empty suit".

As outgoing Prime Minister Manmohan Singh floundered in his second term, Congress looked to Rahul, hoping some of the Gandhi magic would rub off.


'Power is poison'

After becoming Congress number two, Gandhi raised eyebrows by declaring the "power so many people seek is a poison".

He rejected offers to enter government, instead promoting causes such as right-to-information legislation he regards as key to curbing rampant corruption and a food security bill that critics say India can ill afford.

He has been at his most impassioned defending the secular tradition personified by his great-grandfather Jawaharal Nehru, India's first prime minister whose socialist model framed the post-independence economy.

A Hindu nationalist with a reputation for championing big business as chief minister of Gujarat state, Modi is the antithesis of Nehru.

Gandhi has called the election "a clash between these two ideas of India", hammering Modi over communal riots that killed more than 1,000 people -- mostly Muslims -- in Gujarat in 2002.

Kidwai said Gandhi fundamentally objects to Modi's message that India needs a strongman leader, seeing it as a dangerous fallacy to believe "one man can solve the country's problems".

A recent survey found that while 78 percent of Indians view Modi positively, Gandhi's rating was only 50 percent.

The polls also indicate Congress could lose half of its 204 seats in the 543-member parliament.

But such a humiliation will not necessarily end the career of a relative political novice. Gandhi has time on his side if he does want to take on the challenge of rebuilding his family's political vehicle from the wilderness of opposition. - AFP 

Catuan bekalan air diperluaskan

KUALA LUMPUR: Pelan catuan bekalan air peringkat ke empat bermula pada Jumaat sehingga 30 April.

Ia akan melibatkan beberapa kawasan baru di sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Sementara itu, kawasan terbabit catuan fasa satu hingga tiga sebelum ini turut dilanjutkan sehingga hujung bulan ini .

Tinjauan di sekitar Kuala Lumpur mendapati kalangan pengguna sudah mengambil langkah-langkah bagi mendepani catuan yang berterusan tetapi mereka, terutamanya peniaga, memohon agar isu itu ditangani secepat mungkin,

Pemilik restoran di Pantai Dalam ini pula terpaksa berbelanja lebih untuk membeli tong untuk menyimpan air, di samping menggunakan peralatan pakai buang.

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, catuan terpaksa dilakukan kerana paras air di kesemua empangan di Selangor, masih rendah walaupun hujan berlaku di sekitar Lembah Klang kebelakangan ini.

Perluasan catuan air akan menyaksikan bekalan air untuk lebih 63 peratus akaun Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di Kuala Lumpur dan Selangor dicatu.

Astro Awani 

Titik terakhir pesawat menjadi tanda tanya


KUALA LUMPUR: Imej satelit yang menunjukkan pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi tidak semestinya bermaksud ia terhempas ataupun mendarat.

Bekas Panglima Tentera Udara Malaysia, Jeneral Tan Sri Suleiman Mahmud tidak menafikan segala kemungkinan yang boleh berlaku selagi pesawat berkenaan tidak ditemui.

Pandangan beliau itu senada dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan pesawat yang hilang sejak 8 mac itu berakhir di Lautan Hindi Selatan.

"Saya tidak rasa ia bermaksud terhempas atau mendarat. Ia hanya bermaksud kami yakin pesawat itu tidak meninggalkan selatan Lautan Hindi. Ia telah terbang ke kawasan itu dan tidak dilihat meninggalkan tempat itu atau menuju ke destinasi lain." kata Suleiman yang berkhidmat sebagai Panglima Tentera Udara dari 2001 hingga 2003.

Beliau yakin pesawat itu berkemungkinan terbang lebih jauh daripada jangkaan sebelum ini.

"Ianya berakhir di Lautan Hindi. Tetapi satu titik kita tidak boleh pastikan itu sebenarnya titik akhirnya. Sebab di titik akhir yang kita nampak itu minyak dia masih banyak lagi dan mungkin boleh terbang beberapa jam selepas itu. Jadi di mana pergi di mana kita tidak boleh pastikan. Kita hanya dapat menjangka ia menuju ke arah selatan Lautan Hindi." tambah beliau yang mempunyai pengalaman 38 tahun dalam bidang ketenteraan udara.

Berapa lama pesawat itu mampu bertahan selepas berpatah balik daripada laluan asal bergantung kepada bahan api yang dibekalkan dan penggunaan minyak sekiranya tiada masalah teknikal dan pembakaran bahan api seperti biasa.

Biarpun tiada landasan yang ada di tengah Lautan Hindi, namun kawasan daratan terdekat adalah Australia dan juga Sumatra, Indonesia.

Astro Awani 

Potret sendiri 3D satu realiti akhir Mei ini

Sewaktu pelancaran patung lilin di i-City - Foto Astro AWANI


GUANGZHOU : Dengan teknologi canggih 3D, kini hanya memerlukan masa memperaga dan bergaya lebih kurang 10 minit untuk menjadikan potret sendiri 3D satu realiti di Red Carpet@i-City pada akhir Mei ini.

Dengan hanya empat proses -- mengimbas, memperaga, animasi dan visualisasi -- pengunjung boleh membuat miniatur atau 'Mini-Me' mereka sendiri sebagai tanda ingatan atau cendera hati.

3D Mini-Me, dengan ukuran tinggi 25cm hingga 35cm, boleh menjadi satu perkara biasa di majlis perkahwinan sebagai hadiah kepada rakan atau keluarga.

I-Berhad dan Guangdong Great Silence Investment Management Co.Ltd, anak syarikat Zhongshan City Elephant Sculpture Art Co Ltd (ZCESA), hari ini memeterai perjanjian untuk memperkenalkan teknologi imejan 3D canggih yang membolehkan pembinaan model tiga dimensi digital di muzium lilin interaktif
pertama Malaysia, Red Carpet@i-City.

Kerjasama strategik itu membuka laluan bagi Red Carpet@i-City untuk membeli dan membawakan teknologi imejan 3D yang dimiliki oleh Guangdong Great Silence Investment Management ke Malaysia.

Selain daya tarikan 3D, kerjasama strategik itu juga melibatkan pembelian barang pameran lilin baharu dengan ciri-ciri interaktif dipertingkatkan seperti suara, pergerakan, kesan bunyi dan latar teater.

Tan Sri Lim Kim Hong, Pengerusi Eksekutif I-Berhad, pemaju induk i-City, memberi tahu pemberita Malaysia bahawa teknologi ini akan membolehkan pelajar universiti membuka minda mereka kepada lebih banyak inovasi.

"Bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2014, pengunjung asing boleh merasai pengalaman dengan teknologi menarik ini," katanya.

Sementara itu, Liu Zhen, Presiden dan Pengerusi ZCESA berkata ini merupakan fasa pertama kerjasama dengan i-City berkaitan teknologi miniatur 3D, sambil menambah beliau berharap dapat bekerjasama lagi dengan i-City.

Red Carpet@i-City, yang menelan kos RM25 juta diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai muzium lilin pertama dan terbesar negara.

Ia juga merupakan antara daya tarikan utama Tahun Melawat Malaysia 2014.

Bernama

Saya tidak tahu Tun M ada di KL atau tidak sewaktu peristiwa Memali - Ku Li


KUALA LUMPUR: Bekas menteri kabinet Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau tidak tahu sama ada Tun Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur atau tidak semasa peristiwa Memali, 29 tahun dahulu.

"Saya tak ingat, sebenarnya saya tak ingat. Ya, saya pada ketika itu menteri kabinet, Menteri Kewangan.

"Tetapi saya tidak tahu bagaimana peristiwa itu berlaku, saya hanya baca di suratkhabar. Adakah dia pergi ke China?" kata beliau yang merupakan ahli Parlimen Gua Musang.

Kata Tengku Razaleigh, insiden itu berlaku sangat lama dahulu dan menurutnya tanpa mengetahui fakta sebenar, beliau enggan mengulas lanjut.

Insiden Memali di Baling sekali lagi menjadi perhatian apabila bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam mendakwa Tun Mahathir yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu berada di Kuala Lumpur semasa peristiwa tersebut dan bukannya di China seperti yang dikatakan sebelum ini.

Ketika kejadian yang mengorbankan 14 nyawa penduduk kampung itu, Musa turut memegang jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

"Saya rasa mungkin anda patut tanya kedua-dua mereka (Tun Mahathir dan Tun Musa). Salah seorang dari mereka pasti berkata yang benar," tambahnya.

Peristwa berdarah di Kampung Memali, Kedah itu berlaku pada 19 November 1985. Selain 14 orang terkorban dan berpuluh yang lain tercedera, polis juga menahan ratusan penduduk kampung berkenaan yang dikatakan pengikut Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.

Pertempuran antara pihak Polis dan penduduk kampung Memali berlaku apabila Ibrahim Libya cuba ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Musa merupakan individu yang dipersalahkan dalam kejadian tersebut atas kapasitinya sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Namun, ada juga pihak sebelum ini mendakwa Musa mengeluarkan arahan supaya polis bertindak keras ke atas penduduk Kampung Memali kerana mendapat arahan dari Dr Mahathir yang dikatakan berada di China.

Astro Awani 

Orang ramai diminta beri maklum balas tentang gaji minimum


KUALA LUMPUR: Majikan, pekerja dan orang ramai diminta memberi maklum balas tentang pelaksanaan dasar gaji minimum sebelum Julai ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Richard Riot Jaem berkata perkara itu penting untuk membolehkan beliau mengemukakan cadangan mengenainya di mesyuarat Majlis Gaji Kebangsaan yang akan diadakan pada bulan itu.

"Saya minta orang ramai, termasuk majikan dan pekerja memberi cadangan kepada kami tentang bagaimana kami boleh menambah baik gaji minimum," katanya selepas melancarkan 'HR Risk Management Solution' di sini hari ini.

"Semoga, dengan ini, kami boleh pastikan gaji minimum dapat dilaksanakan sepenuhnya dan ia mestilah dalam keadaan menang-menang," katanya.

Memandangkan ketika ini terdapat 645,136 syarikat kecil dan sederhana di Malaysia, maka pelaksanaan sepenuhnya gaji minimum adalah sesuatu yang agak menyulitkan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Riot berkata perusahaaan kecil dan sederhana (SME) patut mengguna pakai amalan sumber manusia yang baik bagi mengurangkan jumlah kes perhubungan perusahaan.

"Antara 2005-2012, 94,879 kes perhubungan perusahaan dirujuk kepada Mahkamah Perhubungan Perusahaan dan 10,500 kes lagi dirujuk pada 2013," katanya.

HR Risk Management Solution adalah kerjasama antara i-HR Consultant Sdn Bhd dan Tune Ins Holdings Bhd.

Ia mengandungi penyediaan pengetahuan dan kandungan tentang sumber manusia melalui portal sumber manusia; penyediaan sokongan nasihat mengenai sumber manusia oleh pengamal pengurusan dan undang-undang mengenai sumber manusia yang berpengalaman dan penyediaan Insurans Liabiliti Pengambilan Pekerja.

Bernama

Hayat bateri kotak hitam berkurangan, carian diteruskan hari ini


KUALA LUMPUR: Dengan hayat bateri kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 tinggal dua hari lagi, pasukan pelbagai negara gigih meneruskan usaha pencarian pesawat itu yang hilang sejak 28 hari lepas.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) di Perth, Australia hari ini menyatakan pasukan berkenaan melakukan pencarian di kawasan seluas 217,000 kilometer persegi, yang terletak kira-kira 1,700 kilometer di barat laut Perth, Australia.

Menurut kenyataan JACC sebanyak 10 pesawat tentera, empat pesawat awam dan sembilan kapal dikerahkan untuk membantu pencarian pesawat itu hari ini.

"Pencarian hari ini memberi tumpuan kepada tiga kawasan dalam sekitar yang sama. Pesawat pertama akan berlepas ke kawasan pencarian pada 6 pagi Waktu Standard Barat," kata JACC yang dilancarkan pada 1 April lepas bagi menyelaraskan pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.

Sejumlah 26 sukarelawan Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) dari Australia Barat, New South Wales dan Victoria juga bertugas sebagai pemerhati udara dalam tiga pesawat awam itu.

"Pesawat awam lain akan beroperasi sebagai geganti komunikasi," kata JACC.

Menurut JACC cuaca hari ini dijangka cerah dengan jarak penglihatan kira-kira 10 kilometer dan asas awan antara 1000 dan 2000 kaki.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia pula akan terus meneliti kawasan perairan yang mungkin dimasuki pesawat itu berdasarkan kepada analisis teknikal pelbagai disiplin komunikasi satelit dan prestasi pesawat.

Analisis teknikal itu diperoleh daripada pasukan penyiasatan nahas udara antarabangsa dari Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan Australia, kata JACC.

Kotak hitam itu antara lainnya mengandungi rakaman suara dan perakam data penerbangan, yang penting bagi menentukan apa berlaku kepada pesawat itu, yang hilang pada 8 Mac lepas.

Hayat bateri kotak hitam itu ialah 30 hari.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.

Pasukan pelbagai negara pada mulanya mencari pesawat itu di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya, selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan, di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Susulan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah Lautan Hindi, barat Perth.

Pada 24 Mac, iaitu 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200ER itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Bernama

Shila Amzah berjaya mara ke kemuncak 'I Am Singer'


KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shila Amzah berjaya mara ke final pertandingan ‘I Am Singer’ musim kedua yang akan berlangsung Jumaat ini di China.

Shila bakal berentap bersama tujuh lagi peserta seperti G.E.M. (Hong Kong), Han Lei (China), Gary Chaw (Malaysia), Zhang Jie (China), Phil Chang (Taiwan) dan Zhou Bichang (China).

Shila yang kini berada di China berasa amat bersyukur dan teruja dengan kejayaan ini.

“Saya telah melakukan persiapan yang secukupnya untuk persembahan saya pada malam final nanti.

"Saya berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan saya untuk malam final nanti dan terima kasih kepada semua yang tidak henti menyokong” kata Shila Amzah di dalam satu kenyataan media dari Warner Music Malaysia.

Shila turut memuatnaik gambarnya di media sosial sewaktu menghadiri sesi latihan sebelum pertandingan berlangsung.


Pada peringkat akhir nanti, peserta akan menyanyi di dua pusingan di mana yang pertama mereka akan berduet bersama artis pilihan dan nyanyian solo pada pusingan kedua.

Hanya lima peserta yang mendapat undian tertinggi akan mara ke pusingan kedua iaitu Grand Finale.

Shila menyertai I Am Singer bermula pada minggu ketujuh dengan mendendangkan lagu 'Xiang Ni De Ye’ yang bermaksud ‘Dikala Malam, Ku Merinduimu’ dan lagu tersebut telah melonjakkan nama Shila di persada antarabangsa.

I am Singer merupakan satu pertandingan nyanyian di China yang disertai oleh bintang-bintang yang sudah mempunyai nama besar.

Pemenang pertandingan ini akan ditentukan melalui undian penonton.

Penonton juga boleh mengundi secara online di laman web Weibohttp://vote.weibo.com/vid=2578278





Astro Awani 

Pelajar MRSM meninggal dunia dua hari selepas dipanah petir


KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan satu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) disahkan meninggal dunia setelah dilaporkan kritikal apabila dipanah petir di padang sekolahnya di Alor Gajah, Melaka.

Menurut laporan portal berita Malaysia Gazette, Johan Jasmin disahkan meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital Melaka jam 3.50 petang tadi.

Johan yang berasal dari Shah Alam sedang berjalan masuk ke bangunan asrama bersama sekumpulan pelajar lain ketika sebelum dipanah petir kira-kira jam 6 petang pada hari Selasa.

Johan kemudian dibawa ke Hospital Alor Gajah oleh seorang guru pemantau sebelum menerima rawatan lanjut di Hospital Melaka.

"Jenazah anak bongsu daripada dua beradik itu dibawa pulang ke rumah mereka di Bukit Jelutong, Selangor dan akan dikebumikan di Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pada 10 pagi esok," kata Pengarah Komunikasi Korporat Mara Rohayah Mohd Zain yang dipetik dari Sinar Harian.

Astro Awani