Sunday, 21 June 2015

Pemimpin Umno sebelum ini ‘malu alah’ dengan Tun M


SHAH ALAM – Setelah membiarkan Presiden Umno berjuang sendiri ‘menentang’ bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sejak kebelakangan ini muncul beberapa pimpinan Umno yang dilihat bangkit mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Antaranya Speaker Dun Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Pemerhati politik, Prof Madya Dr Mohammad Fuad Othman berpendapat sikap berdiam diri pimpinan Umno itu selama ini dianggap sebagai ‘malu alah’ kepada Dr Mahathir yang pernah menjadi ketua mereka sebelum ini.

“Sebelum ini, para pemimpin Umno mungkin malu alah kepada Tun Mahathir dan beri peluang kepada Tun Mahathir dan Najib selesaikan masalah itu antara mereka berdua.

“Tapi apabila serangan bertubi-tubi tidak berhenti, mungkin dari situ mulalah seorang dua muncul mempertahankan bosnya. Mungkin sudah tiba masanya wakil-wakil kerajaan ini bangkit membela Najib,” katanya kepada Sinar Online.

Krisis antara Dr Mahathir dengan Najib masih berterusan sehingga hari ini, antaranya isu berkaitan kontroversi syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan wang berbilion ringgit.

Sementara itu, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, pembelaan itu sebagai tanda pemimpin-pemimpin itu menunjukkan kesetiaan kepada Najib.

“Apa yang mereka lakukan itu untuk menunjukkan kesetiaan mereka kepada bos mereka. Sudah memang tanggungjawab mereka sebagai ahli parti untuk menyokong aspirasi dan dasar kerajaan. Memang wajar dilakukan oleh mereka,” katanya.

Meskipun begitu katanya, pemimpin Umno kini dalam dilema apabila pertembungan itu berlaku antara bekas ketua dan ketua mereka sekarang.

“Tapi inilah dilema pemimpin Umno sekarang apabila berlaku pertembungan antara bekas bos dengan bos sekarang. Mereka pasti berbelah bahagi kerana mereka hormat pada Tun Mahathir dan Najib.

“Bekas-bekas pemimpin yang rapat dengan Tun sudah tentu mempertahankan Tun kerana mereka lebih kenal Tun daripada Najib. Pemimpin yang ada sekarang ini masih berkhidmat sudah tentu akan pertahankan pimpinan yang ada sekarang. Ini normal,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat isu antara dua pemimpin itu perlu diselesaikan segera demi kepentingan rakyat.

“Isu antara Tun dengan Najib perlu diselesaikan segera. Kerana apa yang penting sekarang adalah berkhidmat kepada rakyat.

“Ahli politik pun tak boleh pentingkan diri sendiri. Jika persepsi rakyat buruk, ia tidak elok untuk imej kerajaan serta boleh menjejaskan sokongan,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Sudah 20 tahun beroperasi: Kilang jijik ditutup serta-merta

Keratan muka depan akhbar Sinar Harian edisi Perak hari ini.

Nasir (tengah) menunjukkan produk asam jawa dihasilkan kilang terbabit yang dirampas dan disita dengan jumlah keseluruhan bernilai RM14,000.

BAGAN SERAI - Menjijikkan. Itulah keadaan dalam sebuah kilang memproses serta membungkus produk asam jawa, tepung jagung dan tepung kastard di sini sewaktu diserbu peguatkuasa pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Parit Buntar, pagi kelmarin.

Keadaan dalam premis berkenaan yang agak gelap itu sangat kotor di mana lantainya berair dan berbau busuk, bumbung kilang bocor, peralatan kilang serta rak penyimpanan bahan mentah berkarat.

KPDNKK cawangan Parit Buntar bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kerian bertindak merampas dan menyita produk asam jawa dan tepung jagung bernilai RM14,000 dan mengarah premis itu ditutup serta-merta selama 14 hari bermula kelmarin.

Lebih mengejutkan apabila didapati produk yang dikeluarkan kilang itu disahkan menggunakan logo halal yang tidak mendapat pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (Jaipk).

Ketua PPDNKK Cawangan Parit Buntar, Nasir Mohamad berkata, serbuan ke atas kilang itu dilakukan pada jam 11.30 pagi kelmarin bagi pemeriksaan logo halal pada produk keluaran premis berkenaan.

Menurutnya, sewaktu pemeriksaan dijalankan empat anggotanya di kilang itu, mereka terkejut mendapat keadaan persekitaran premis tersebut sangat kotor dan menjijikkan.

“Saya segera memaklumkan perkara itu kepada PKD Kerian dan meminta membuat pemeriksaan segera terhadap kondisi kebersihan kilang tersebut.

“Manakala pemilik kilang yang berusia 62 tahun gagal mengemukakan bukti menunjukkan logo halal yang digunakan mendapat pengesahan Jakim atau Jaipk,” katanya sewaktu ditemui media di pejabatnya di sini, semalam.

Beroperasi lebih 20 tahun

Apabila pemeriksaan dilakukan empat pegawai PKD Kerian, Nasir berkata, kilang yang sudah beroperasi lebih 20 tahun itu didapati mengalami masalah kebersihan yang kritikal dari segenap aspek.

Jelasnya, PKD Kerian turut membuat tindakan susulan dengan mengarahkan premis itu ditutup selama 14 hari bagi membolehkan pemiliknya menjalankan kerja-kerja pembersihan mengikuti spesifikasi ditetapkan jabatan itu.

“Bagi pihak kami pula, tindakan susulan adalah menyita 78 kotak asam jawa, 48 kotak tepung jagung dan 22 guni plastik pembungkusan produk yang dilabelkan atas nama sebuah syarikat tempatan.

“Jumlah keseluruhan hasil rampasan dianggarkan RM14,000 dan kes akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Nasir berkata, pihaknya kini menunggu keputusan ujian sampel produk makanan yang dikeluarkan kilang itu oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi memastikan sama ada kualiti produk tercemar disebabkan kondisi kebersihan yang sangat menyedihkan.

Menurutnya, jika disahkan tercemar, KPDNKK tidak teragak-agak untuk mengarahkan kesemua produk keluaran kilang itu ditarik balik daripada pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Berdasarkan siasatan ke atas pemilik kilang, mereka memberi alasan keadaan premis tersebut kotor disebabkan pengurusan dalam proses berpindah ke kilang baharu di Taiping.

“Bagaimanapun, beberapa pekerja kilang memberitahu kami keadaan premis memang kotor sejak dahulu lagi, bahkan ada ketikanya bahan mentah yang dibekalkan dari negara Indonesia dilonggokkan di atas lantai premis begitu sahaja,” katanya.

Nasir turut mendedahkan kilang berkenaan baharu mendapat kelulusan kontrak membekalkan produk asam jawa, tepung jagung dan tepung kastard ke negara Brunei baru-baru ini.

Jelasnya, isu produk kilang berkenaan sebenarnya sudah mendapat perhatian KPDNKK sejak dahulu lagi apabila ada pengguna dari Ampang, Selangor mengemukakan aduan terjumpa puntung rokok di dalam produk asam jawa yang dibeli.

“Apabila siasatan dibuat, kami mendapati logo halal yang diletakkan pada produk berkenaan amat meragukan.

“Saya menasihatkan kepada semua pengguna supaya membeli produk berlogo halal yang disahkan Jakim bagi mengelakkan pembelian produk meragukan dan tidak selamat,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Kerajaan gabungan alternatif jika Pas tarik diri

Azmin Ali

SHAH ALAM - Saranan DAP Selangor mengenai pembentukan kerajaan gabungan di negeri itu adalah alternatif sekiranya Pas bertindak menarik diri daripada memberi sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zaheruddin Othman berkata, syor DAP itu sebagai satu langkah ke hadapan persediaan bagi memastikan kerajaan Selangor tidak tumbang.

“Cadangan ini dikemukakan bertujuan mengekalkan kuasa mereka (DAP dan PKR) dalam kerajaan negeri.

“Seboleh mungkin DAP dan PKR cuba mempertahankan dan kekal memerintah di Selangor selama yang mungkin hingga PRU14,” katanya.

Zaheruddin berkata, beliau yakin sekiranya Mohamed Azmin menerima cadangan DAP itu, mustahil untuk Adun Pas melepaskan jawatan sebaliknya akan terus berjuang mengekalkan kedudukan mereka.

Katanya, kerjasama PR yang dibentuk sebelum ini bertujuan memancing undi dan meyakinkan rakyat, namun dalam hal menubuhkan kerajaan negeri adalah sesuatu berbeza.

“Tunggulah menjelang PRU14 nanti PR akan muncul semula. Sewajarnya lepas pilihan raya mereka perlu mesyuarat semula untuk bentuk kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berkata, semua parti bekas PR wajar meletakkan kepentingan rakyat dan juga agenda reformasi di dalam pentadbiran dan tatakelola negeri menjangkaui permainan politiking yang tiada kesudahannya.

“Kerajaan gabungan atau campuran di Selangor adalah wajar demi kelangsungan pentadbiran yang lebih baik dalam tempoh dua tahun berbaki dan sebagai manifestasi kepada perlaksanaan tanggungjawab di atas mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

“Dengan kewujudan kerajaan campuran baru ini juga diharapkan agar pihak wakil rakyat Umno juga dapat mempertimbangkan untuk menyertainya demi kepentingan rakyat di kawasan mereka,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Harry Kane and Raheem Sterling valuations are 'a joke'

Rio Ferdinand has branded the reported valuations of England duo Harry Kane and Raheem Sterling “a joke”.

The former England captain took to Twitter to vent his frustration following speculation linking Tottenham striker Kane with a £40 million switch to Manchester United and Liverpool winger Sterling with a £50m move to Manchester City.

Ferdinand compared the touted fees to those of star Premier League pair Sergio Aguero and Alexis Sanchez. Both players were proven internationals before their arrival in England, with Aguero joining Manchester City for £38m and Sanchez moving to Arsenal for £32m.

“English players are soooo overpriced right now it's a joke!” he said. “Kane & sterling have huge potential but 40m & 50m...aguero 38m & sanchez 32m!!!”

That provoked some users to question Ferdinand’s own transfer to United, who broke the British transfer record to land him from Leeds for £30m.

But the defender, who announced his retirement from football in May, retaliated: “Look at the amount of PL & CL games I had played in before the manutd move...oh and a world cup! Don't compare me please! There are others.”

Fans can expect more forthright views from Ferdinand, who is increasing his punditry work at BT Sport from next season.

Eurosport 's View

Ferdinand is right, £40-50m for a largely unproven player is ridiculous. But what choice do clubs have? With the Premier League elite facing more stringent squad regulations and a dearth of decent home grown talent available, it’s inevitable prices will become inflated.

There aren’t many home grown players who would command a regular spot at a top four club, so the scuffle to sign the likes of Kane and Sterling is bound to be fierce – with teams now able to extract a lot more money for them.

Until the country starts churning out a stream of talented players, the snag will remain.


- Source: Eurosport - Ben Snowbally

Idris Jala tempelak Bloomberg berhubung artikel mengenai Malaysia

Idris Jala berkata, pembaharuan fiskal negara berjaya dilaksanakan seterusnya mengurangkan defisit fiskal Malaysia bagi tempoh lima tahun lepas, selain memastikan hutang awam hanya pada 53 peratus daripada KDNK.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala menempelak Bloomberg berhubung artikel baru-baru ini oleh kolumnisnya, William Pesek.

Dalam surat terbuka kepada penyedia maklumat kewangan dan perniagaan itu, Idris berkata luahan terkini Pesek, "Malaysia Gets a Dose of Real Talk", konsisten dengan siri artikel yang mengkritik Malaysia dan kepimpinannya.

"Dalam komentari di Bloomberg View, beliau mula dengan merujuk kepada masalah ekonomi asas dan pertumbuhan perlahan yang berterusan, yang katanya disebabkan dasar-dasar berasaskan kaum yang menyekat inovasi, mengutamakan kroni dan menolak syarikat-syarikat multinasional.

"Hakikatnya, bagaimanapun, antara 2009 dan 2014, Pendapatan Negara Kasar Malaysia berkembang sebanyak 47.7 peratus. Pertumbuhan pada tahun lepas pada enam peratus, dan dalam tempoh empat tahun akan datang, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi mengunjurkan Malaysia akan menikmati pertumbuhan tahunan 5.6 peratus," katanya

Idris berkata adalah tidak munasabah untuk menyifatkannya sebagai 'perlahan' dan sebaliknya, majalah The Economist melaporkan pada bulan lepas bahawa Suruhanjaya Eropah mengunjurkan pertumbuhan pada 2015 sebanyak 1.5 peratus, yang akan menjadi pencapaian terbaik zon Euro sejak 2011.

"Kadar pertumbuhan hampir empat kali ganda dan beberapa negara paling maju di dunia tidak menyatakan 'masalah'," katanya.

Beliau juga berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Program Transformasi Ekonomi pada 2010 dan menekankan beberapa pencapaian utama, termasuk hakikat bahawa dalam tempoh lima tahun lepas, pertumbuhan pelaburan tahunan 2.5 kali lebih daripada tahun-tahun sebelumnya. 

"Setiap tahun, jumlah pelaburan mencecah rekod baharu bagi Malaysia. Sebahagian besar pelaburan ini adalah daripada sektor swasta. Jika sektor swasta tidak mempunyai keyakinan pada Malaysia seperti didakwa oleh Pesek, mengapa mereka memasukkan rekod pelaburan tahun ke tahun di bawah pentadbiran Najib?" katanya.

Beliau juga berkata pembaharuan fiskal negara berjaya dilaksanakan, mengurangkan defisit fiskal Malaysia bagi tempoh lima tahun lepas, manakala memastikan hutang awam hanya pada 53 peratus daripada keluaran dalam negara kasar.

"Tahap hutang awam ini jauh lebih rendah berbanding di kebanyakan negara, seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jepun dan Singapura.

"Ketiga, seperti dinyatakan dalam Laporan Prospek Ekonomi Global Bank Dunia 2014, usaha Malaysia untuk mengurangkan kemiskinan telah mencatat kejayaan besar, hampir menghapuskan kemiskinan mutlak kepada kurang daripada satu peratus.

"Sejak 2009, kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah meningkat dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 12 peratus, lebih tinggi berbanding purata negara sebanyak lapan peratus. Inflasi dipastikan pada hanya 2.4 peratus dan melalui pelaksanaan undang-undang gaji minimum, kami telah mengeluarkan 2.9 juta orang daripada kemiskinan mutlak dengan segera. 

"Keempat, kami menyentuh kehidupan lima juta orang melalui jalan luar bandar, projek air dan elektrik. Ini merupakan kemungkinan perbelanjaan kerajaan yang terbesar dalam tempoh lima tahun dalam sejarah Malaysia. Semua ini dilakukan atas nama pembangunan ekonomi yang inklusif," katanya.

Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), terus menyangkal apa yang disebut sebagai gambaran negatif yang dinyatakan oleh Pesek.

Mengenai turun naik ringgit, Idris mencadangkan kolumnis itu berbincang dengan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, antara gabenor bank pusat yang paling dikagumi di dunia. 

Beliau berkata Zeti telah berulang kali menyatakan bahawa ringgit terkurang nilai dan apabila harga minyak turun, persepsi yang salah terhadap tahap pergantungan ekonomi Malaysia kepada sektor minyak dan gas, telah menyebabkan pasaran berpendapat Malaysia akan lebih terjejas berbanding yang lain.

"Sudah tentu ringgit terkurang nilai. Ia tidak mencerminkan nilai-nilai asas kami, yang teguh dan kukuh," Idris memetik Zeti sebagai berkata baru-baru ini.

Mengenai perkara lain yang dinyatakan Pesek iaitu Najib "meningkatkan pergantungan ekonomi ke atas pengeluaran minyak dan gas", beliau berkata Dana Kewangan Antarabangsa mempercayai sebaliknya.

"Tajuk bagi laporan 'Economic Health Check' pada Mac ini ialah, 'Favorable Prospects for Malaysia’s Diversified Economy'," katanya.

Menurut Idris, pendapat Pesek seolah-olah tidak mempunyai kaitan yang kukuh dengan fakta.

"Beliau memberikan agenda sebenar beliau apabila menulis wartawan yang berpangkalan di Asia merasai kehilangan Tun Dr Mahathir Mohamad sejak bekas perdana menteri itu melepaskan jawatan pada 2003 dan menyarankan kepimpinan politik lama segera dikembalikan.

"Ia mungkin nostalgia untuk masa lalu dan jarak beliau dari Malaysia telah mengaburi penilaiannya, dan menyebabkan beliau menulis selaran tidak berasas ke atas perdana menteri ketika ini dalam usaha mengambil hati Mahathir.

"Beliau kelihatannya seperti telah menukar fikiran mengenai bekas perdana menteri itu. Baru tahun lepas, beliau menulis bahawa sistem yang sempit dan dimanipulasi juri berkaitan dengan tindakan tegas, juara negara dan subsidi lumayan yang didukung Mahathir, yang menghalang kemajuan ekonomi," katanya.

Idris berkata Pesek kemudiannya membuat kesimpulan bahawa rakyat Malaysia perlu mencari inspirasi baharu dengan melihat ke hadapan, bukannya kembali kepada 1990.

"Kami bersetuju. Mengapa beliau kini berasakan kita perlu melihat kembali kepada sistem yang beliau gambarkan dengan cara merendahkan pada tahun lepas?" katanya.

Idris berkata Malaysia telah melalui transformasi ekonomi yang mengagumkan di bawah Najib dan negara berada pada landasan untuk mencapai matlamat status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Dalam nada tegas, Idris berkata jika Pesek tidak bersetuju dengan mana-mana di atas, beliau mungkin, perlu berbincang dengan editor-editor beliau.

"Bagaimanapun, laporan telah dikeluarkan, oleh tidak lain dan tidak bukan, Bloomberg," katanya.

- Sumber: Bernama 

'Industri muzik Malaysia mungkin berkubur'


SHEILA: Muzik adalah lebih daripada sekadar wadah hiburan malah bertindak menyentuh deria, membina karakter dan mengajar manusia supaya lebih memahami soal emosi keinsanan.

KUALA LUMPUR: Khalayak di Malaysia tidak meletakkan penghormatan yang sewajarnya kepada seni muzik dan penggiatnya sekali gus dikhuatiri akan menoktahkan hayat industri tersebut di negara ini.

‘Firasat’ dan kebimbangan itu dizahirkan oleh penyanyi legenda negara Datuk Sheila Majid ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Dalam menyambut ulang tahun ke-30 penglibatan beliau dalam dunia seni suara tempatan dan antarabangsa, Sheila turut menyelitkan kisah 'sedih' yang berlaku di dalam dunia seni muzik negara.

“Khalayak perlu tahu betapa pentingnya untuk memanjangkan hayat seseorang artis. Kita tidak boleh kata kita suka pada seseorang artis itu tetapi masih memuat turun hasil karyanya secara percuma dan meminta pertunjukan percuma.

“Bagaimana hendak lihat golongan artis itu meneruskan kerjaya? Bukankah itu mata pencarian mereka?” luah Sheila.

Menurut beliau, khalayak sentiasa mengharapkan seseorang artis menghasilkan karya terbaik tetapi mereka tidak mahu membayar harganya. Perkara tersebut, katanya, membuatkan golongan penggiat seni hilang pulangan pelaburan mereka.

Tambahnya, sekadar menyukai seseorang artis tidak membantu menjana pendapatan dan akibatnya ramai artis dan penggiat seni berputus asa.

“Sememangnya muzik di Malaysia tidak mendapat penghormatan yang sewajarnya. Suatu hari nanti, industri muzik Malaysia akan mati,” kata Sheila.

WADAH KEHIDUPAN

Sheila mengajak orang ramai berfikir, apakah perkara yang lazim dilakukan dalam kehidupan seharian, ketika bangun daripada tidur dan sedang bersiap memulakan aktiviti harian, bukankah kita membuka radio atau televisyen?

Dalam banyak aspek kehidupan, kita mengharapkan muzik dan kesannya. Maka bayangkan kehidupan yang tiada bunyi-bunyian dan melodi, semuanya akan menjadi bosan.

Menurut Sheila, muzik adalah lebih daripada sekadar wadah hiburan malah bertindak menyentuh deria, membina karakter dan mengajar manusia supaya lebih memahami soal emosi keinsanan.

“Itu yang kita kurang. Di negara ini, bila bercakap tentang hiburan, orang hanya memikirkan tentang lawak slapstik. Muzik semakin dipandang sepi malah di sekolah pun ia tidak lagi diajar.

“Kita perlukan sokongan kerajaan dan juga orang ramai untuk menghidupkan industri ini. Dunia hiburan negara bukan sekadar slapstik dan gosip,” tegas Sheila.

Dalam pada berharap kesedaran itu mengubah suasana di negara ini, Sheila mengakui cemburu dengan kerancakan industri seni muzik di negara jiran khususnya Indonesia serta pengaruh kuat gerakan K-Pop yang mendapat sokongan teguh pemerintah Korea.

"Anda fikir K-Pop itu baharu? Ia sudahpun dirancang sejak sekian lama. Pemerintah Korea membelanjakan berbilion dolar untuk meningkatkan taraf industri seni mereka, termasuk memberi pendidikan tentang seni dan muzik kepada kanak-kanak sekolah.

"Mereka juga mengajar penggiat seninya mendalami kursus bahasa Inggeris. Lihat saja hasil pertama mereka iaitu penyanyi Rain," jelas Sheila.

KUASA BERTAHAN

Berkongsi mengenai kemampuan beliau untuk terus berada di persada muzik tanah air, Sheila berkata bahawa semua itu memerlukan kesabaran dan daya tahan yang tinggi.

“Saya tiada resipi khusus untuk bertahan lama. Anda harus menyukai apa yang anda lakukan. Lebih daripada itu, peminat sejati juga faktor yang memberi motivasi dalam kerjaya kerana merekalah yang akan menyokong kerja anda,” ujar Sheila.

Menurutnya, dalam senario semasa yang kekurangan pihak penaja yang menyokong bakat-bakat tempatan, penggiat seni sepertinya hanya berbekalkan azam dan kecintaan yang kuat dalam bidang yang diceburi.

“Itulah yang membuatkan seseorang artis terus ada dalam industri. Mereka terus ada kerana minat, komitmen dan disiplin.

“Ini pastinya bukan sebuah kehidupan yang penuh glamor. Jika anda mengharapkan itu, anda akan kecewa,” kata Sheila.

- Sumber: Astro Awani 

Digantung empat perlawanan: Kempen Copa America Neymar berakhir

Kapten Brazil itu dikenakan pergantungan empat perlawanan berikutan kad merah yang diterimanya semasa aksi bertemu Colombia. - Foto AP

Neymar terpaksa melupakan baki kempen Copa America, sekali gus menjejaskan peluang Brazil untuk bergelar juara. 

Kapten Brazil itu dikenakan pergantungan empat perlawanan berikutan kad merah yang diterimanya semasa aksi bertemu Colombia.

Bintang Barcelona itu dibuang selepas wisel penamat susulan perbalahan di atas padang, apabila dia bertindak menyepak bola ke arah pemain lawan, Pablo Armero dan kemudiannya dilihat cuba menanduk Jeison Murillo. 

Neymar pada mulanya dikenakan pergantungan satu perlawanan, namun kemudiannya ditambah kepada empat. 

Ini bermakna Neymar akan terlepas perlawanan terakhir Kumpulan C bertemu Venezuela dan tiga peringkat kalah mati, andai pasukan bimbingan Dunga mara jauh. 

Neymar turut didenda USD10,000 (RM37,393).

Penyerang Colombia, Carlos Bacca yang menolak Neymar semasa pertelagahan itu turut dilayangkan kad mereka, dengan pergantungan dua perlawanan dan denda USD5,000 (RM18,696).

Brazil tewas 1-0 dalam perlawanan itu namun berpeluang untuk lolos daripada Kumpulan C, dengan menjuarai kumpulan jika berjaya menundukkan Venezuela.

- Sumber: Astro Arena 

Gambar polis alih perhatian anak kecil jadi viral

Seorang anggota polis mendukung kanak-kanak perempuan membelakangkan kenderaan keluarganya yang kemalangan dan meragut nyawa bapanya.

BRIGHTON - COLORADO. Sekeping gambar menyayat hati mula tersebar apabila seorang anggota polis dilihat mendukung seorang kanak-kanak perempuan dan cuba mengalihkan perhatiannya di lokasi kejadian kemalangan maut yang meragut nyawa bapanya.

Memetik laporan Mirror.co.uk, polis tersebut mengalihkan perhatian kanak-kanak perempuan itu dengan menunjukkan ke arah lain membelakangkan kenderaan ayahnya yang terbalik.

Menurut polis, dalam tragedi itu, seorang lelaki maut manakala seorang perempuan dan seorang kanak-kanak dikejarkan ke hospital.

Tiga lagi kanak-kanak yang turut terlibat dalam kemalangan itu dilaporkan hanya cedera ringan.

Menurut saksi, kenderaan itu hilang kawalan selepas salah satu tayarnya pecah dan berpusing beberapa kali.

- Sumber: mirror.co.uk

Video nasi impit beras palsu tidak benar

Komen orang ramai di Facebook mengenai video berkenaan.

SHAH ALAM - Video berdurasi 41 saat dengan tajuk tertulis ‘nasi impit yang diperbuat dari beras palsu’ mula tersebar di laman sosial dipercayai sejak 12 Jun lalu. Berdasarkan video tersebut, seorang pelanggan menunjukkan nasi impit yang hancur dan berair selepas digenggam.

Pelanggan tersebut kemudiannya enggan makan nasi impit yang dihidang bersama sate yang telah dipesan.

Bagaimanapun terdapat komen yang ditulis orang ramai di laman sosial Facebook berkenaan mengatakan nasi impit tersebut telah disejuk bekukan.

Ada yang berpendapat, nasi impit itu hancur kerana ia disejuk bekukan dalam tempoh lama bagi mengelak basi dan kemudiannya dipanaskan semula, bukan kerana dimasak menggunakan beras palsu.

Timbul keraguan dan persoalan mengenai video terbabit yang tidak langsung menyentuh mengenai beras tiruan yang dipercayai sengaja diadakan untuk menakutkan orang ramai.

Ini kerana hanya tangan yang memicit nasi impit tanpa wajah individu terbabit dan dikukuhkan dengan kapsyen yang mendakwa nasi impit mengandungi beras tiruan.

Tinjauan Sinar Harian di Bangi mendapati restoran sate yang dimaksudkan tidak wujud sekaligus menafikan kesahihan video berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan Malaysia tidak mengimport beras dari China selain turut menafikan kewujudan beras tiruan di negara ini.

- Sumber: Sinar Harian 

Lagi saya nak lupakan, lagi orang ingatkan, kata Sheila Majid



Segalanya istimewa dan lucu apabila mengimbas semula pengalaman penglibatan Datuk Sheila Majid dalam filem Ali Setan pada 30 tahun dahulu, apatah lagi perkara-perkara yang mencuit hati itu dinyatakan sendiri oleh pemegang watak ‘Latifah’ tersebut.

“Wow! Betapa pantas masa berlalu,” kalimat yang terpacul dari mulut penyanyi unggulan itu memulakan sesi temubual bersama Astro AWANI pada petang Sabtu.

Sheila secara peribadi memberitahu bahawa pengalamannya berlakon dalam filem Ali Setan suatu yang hebat kerana berpeluang digandingkan dengan nama-nama besar dalam dunia seni lakon tanah air.

PENGALAMAN BERLAKON

“Saya ditawarkan watak itu dan saya ingin mencuba memandangkan saya tidak pernah melakukannya.
“Namun, setelah proses penggambaran itu selesai semuanya, barulah saya tahu bahawa saya tidak sesuai untuk menjadi pelakon,” ujar Sheila sambil diiringi gelak kecil.

Jelas beliau, oleh kerana dirinya sendiri menyedari bahawa dia tiada bakat berlakon, Sheila mengambil keputusan bahawa filem itu yang pertama dan yang terakhir buatnya.

“Tapi saya gembira melakukannya,” ujar Sheila.


Pelantun lagu ‘Sinaran’ itu turut memberitahu dirinya bertuah apabila dapat bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat seperti Ogy, Azmil, Jins Shamsuddin, Liza Abdullah, Izi Yahya, Shah Rezza dan lain-lain.

Sepanjang proses penggambaran itu, Sheila menyatakan bahawa beliau telah berkenalan dengan ramai kawan baharu memandangkan kesemua pelakon dan krew telah ‘berkampung’ dan bekerja bersama di Universiti Sains Malaysia.

Filem Ali Setan berjaya, menurut Sheila, kerana sasaran penonton dan juga kekuatan jalan ceritanya yang relevan dengan orang muda ketika itu.

“Hakikatnya, orang mudalah yang menyukai filem dan muzik. Merekalah yang akan pergi menonton memandangkan mereka tidak terikat dengan tanggungjawab. Ramai yang bercakap mengenainya.

“Jalan ceritanya juga menyeronokkan dan kebanyakan penonton muda dapat membayangkan diri mereka dalam filem itu.

“Secara tidak langsung, ia menjadi popular seperti impak filem Grease,” ujar Sheila.

TIDAK SANGKA

Selain kemeriahan tiga dekad filem Ali Setan, memang kebetulan pula Sheila pada tahun ini turut menyambut ulang tahun ke-30 penglibatannya dalam industri muzik. Bagi beliau, keazaman dan usaha bersungguh membawa dirinya ke tahap yang dinikmatinya hari ini.

“Saya sebenarnya gembira apabila Ali Setan, filem yang saya ingin lupakan, telah menjadi sebuah filem ikonik sehingga ke hari ini. Ia satu penghargaan buat semua yang terlibat dalam pembikinannya,” kata Sheila.

Penyanyi kesayangan warga ASEAN itu turut menyedari bahawa saban tahun, kerap juga filem tersebut diulang tayang di televisyen.

“Kalau saya tertonton juga, saya akan berasa ‘geli’,” katanya dalam nada jenaka.

Beliau mengakui watak itu memang tidak ‘tertampung’ oleh bakat lakonannya yang mentah ketika itu kerana ia memerlukan penghayatan emosi, seperti memerlukannya menangis dan bergaduh.

“Ya, saya memang terkejut dengan sambutan terhadap filem itu selama ini. Siap dengan tagline ‘Tipah tertipu’ yang orang popularkan.

“Lagi aku nak lupa, lagi orang ingatkan,” ujar Sheila tertawa.

Sepanjang bulan Ramadan ini, Sheila mengambil peluang untuk menghabiskan waktu selama 30 hari eksklusif untuk diri sendiri dan keluarganya.

Tanpa mengambil sebarang tawaran tugas, Sheila lebih mengutamakan peluang keemasan untuk beristirahat, menghabiskan waktu kualiti dengan keluarga dan meningkatkan amalan ibadah. 

- Sumber: Astro Awani 

Simulasi: Dua maut bom meletup

Anggota dari Unit Hazmat Perak melakukan pemeriksaan berhampiran sebuah bas bagi memastikan tiada bahan kimia yang dikeluarkan akibat letupan tersebut.

Sebahagian daripada mangsa yang cedera diberikan rawatan selepas sebutir bom meletup di tapak parkir Stesen KTM, Kuala Kangsar, baru-baru ini.

BANDAR KUALA KANGSAR - Dua maut manakala 22 lagi cedera selepas sebutir bom meletup di tapak parkir Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kuala Kangsar, baru-baru ini.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu menyebabkan tapak parkir berkenaan menjadi huru-hara.

Namun sebelum bom itu meletup, Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Perak terlebih dahulu berjaya memusnahkan sebiji bom yang turut berada di lokasi berhampiran.

Begitu pun, semua insiden itu bukanlah benar-benar terjadi kerana ia merupakan sebahagian daripada simulasi menghadapi bencana seperti ancaman bom yang dianjurkan Jawatankuasa Latihan Bencana Daerah Kuala Kangsar.

Pengerusinya, Dr Muhammad Najib Adnan berkata, ancaman bom dipilih memandangkan pengganas atau penjenayah sering menggunakan bom kimia, biologikal atau radiasi kepada orang awam.

Menurutnya, bom jenis itu bukan sahaja menyebabkan maut, malah mendatangkan kesan kecederaan yang maksimum kepada mangsa termasuk kepada petugas keselamatan.

“Senario latihan ini julung kali diadakan dan kali ini ia bertujuan memberi pendedahan kepada anggota keselamatan dan penyelamat terhadap prosedur tepat apabila berlaku perkara sebegini.

“Simulasi ini juga bertujuan menilai tahap kesediaan menghadapi bencana di peringkat daerah dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan. Ia juga bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran semua pihak terlibat.

“Malah, aktiviti ini juga dilihat merupakan antara medium terbaik untuk meningkatkan kerjasama antara agensi yang akan bekerjasama sekiranya berlaku bencana di kawasan ini,” katanya.

Katanya, simulasi pada kali ini disertai kira-kira 200 anggota dari pelbagai agensi termasuk dari Balai Polis Kuala Kangsar, Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertindak sebagai penasihat dan juga pasukan Hazmat Perak.

“Berdasarkan dari apa yang dilakukan, saya boleh merumuskan simulasi pada kali ini berjaya mencapai matlamatnya. Terima kasih kepada semua agensi terlibat,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian