Thursday, 6 August 2015

Bekas anggota One Direction, Zayn Malik putus tunang



Bekas penyanyi One Direction, Zayn Malik membatalkan pertunangannya dengan Perrie Edwards, lapor media antarabangsa. - Gambar AP

Peminat Zayn Malik hari ini dikejutkan dengan berita perpisahan bekas anggota kumpulan popular One direction itu dengan tunangnya, anggota kumpulan Little Mix, Perrie Edwards.

Memetik laporan People, Zayn Malik telah membuat keputusan untuk memutuskan pertunangannya dengan Perrie dua minggu lalu. 

Difahamkan, penyanyi berusia 22 tahun itu menghubungi Perrie dan memberitahu keputusan beliau untuk mengakhiri pertunangan mereka.

Walaupun Perrie setuju dengan keputusan tunangnya itu, penyanyi berusia 22 tahun itu dilapor 'berendam air mata' dengan tindakan Zayn.

Menurut satu sumber kepada People, Perrie kini menerima sokongan dari rakan-rakannya dan dia kesal dengan tindakan Zayn. 

Zayn dan Perrie bertemu pada tahun 2011 dan mula menjalinkan hubungan pada tahun 2012, sebelum pasangan pop itu bertunang pada tahun 2013.

Selepas bertunang, pasangan ini telah dibelenggu oleh khabar angin mengenai bila mereka akan berkahwin, namun mereka tidak pernah merancang perkahwinan mereka. 

Bagaimanapun, sehingga kini, pasangan itu masih belum memberi sebarang komen atas berita putus tunang mereka itu

Semestinya yang paling kecoh di laman sosial adalah peminat kedua-dua mereka yang mengharapkan hubungan pasangan itu berakhir ke jinjang pelamin.

- Sumber: Astro Awani 

Bagaimana Malaysia sahkan flaperon yang ditemui milik MH370?

Pengesahan pada awal pagi semalam, dilihat sebagai jejak pertama ke arah mencari jawapan dalam misi pencarian pesawat berkenaan yang hilang sejak 8 Mac 2014.

KUALA LUMPUR: Serpihan sayap yang dikenali sebagai flaperon di Pulau Reunion, Perancis disahkan milik pesawat MH370 adalah kerana ciri-cirinya yang sepadan dengan rekod milik syarikat Malaysia Airlines (MAS).

“Konklusi penemuan itu tercapai apabila pasukan teknikal mendapati rekod-rekod teknikal dan penyelenggaraan MAS sama dengan flaperon yang ditemui,” kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu sidang media, Khamis.

Bila ditanya mengapa negara mengesahkan ia milik MH370 sedangkan pihak berkuasa Perancis pada sidang media pada hari yang sama berkata siasatan ke atas flaperon berkenaan masih dijalankan, Liow berkata pengesahan itu turut dibuat berdasarkan lokasi penemuan flaperon yang konsisten dengan corak hanyutan yang telah ditentukan oleh pasukan pakar yang terpilih.

Pasukan itu terdiri daripada pakar MAS, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) serta pasukan penyiasat antarabangsa.

“Tanpa bukti fizikal, tentu sukar untuk kita tentukan. Sekarang kita sudah menemui flaperon ini yang diharapkan dapat mendekatkan kita kepada lebih banyak penemuan seterusnya merungkai misteri kehilangan MH370,” kata Liow.

Pasukan pencari temui tingkap dan kusyen tempat duduk pesawat

Sementara itu, Tiong Lai melaporkan pasukan mencari yang berada di Pulau Reunion turut menemui beberapa serpihan yang dipercayai daripada sebuah pesawat.

Tambahnya antara yang ditemui termasuk bahagian tingkap dan kusyen tempat duduk.

Bahagian tersebut telah dihantar kepada pihak berkuasa Perancis untuk diteliti dan disahkan status.

Sementara itu, Liow mengesahkan mesyuarat tiga pihak antara Malaysia, China dan Australia akan diadakan bagi menentukan fasa pencarian setertusnya.

Setakat ini, tarikh mesyuarat berkenaan belum dimuktamadkan.

Dua sidang media pada awal pagi Khamis

Pada awal pagi Khamis, Perdana Menteri mengesahkan secara konklusif bahawa penemuan flaperon di Pulau Reunion adalah sisa pesawat milik MAS MH370.

Sejurus selepas pengumuman tersebut, pendakwaraya , Serge Mackowiak dalam satu sidang media di Perancis, tidak mengisytiharkan penemuan itu sah sebagai serpihan MH370 sebaliknya memaklumkan bahawa penemuan itu boleh dikatakan sebagai satu ‘anggapan yang kukuh’ bahawa ia milik MH370.

Mackowiak juga berkata, keputusan itu adalah berdasarkan data teknikal yang dibekalkan oleh kedua-dua pengeluar dan syarikat penerbangan namun ia tidak memberi sebarang petunjuk bahawa pakar-pakar telah menjumpai nombor siri atau tanda unik yang menghubungkan kepada misteri kehilangan pesawat.

- Sumber: Astro Awani 

Tangkapan 3 pegawai SPRM jejaskan siasatan - Mustafar Ali

MUSTAFAR: Tindakan yang diambil ke atas Pegawai Penyiasat sedikit sebanyak menjejaskan proses siasatan.

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali mengakui siasatan terhadap kes SRC International Sdn Bhd terjejas akibat penahanan tiga pegawai SPRM pada Rabu.

"Seorang Pegawai Kanan dipanggil polis dan dibenarkan pulang ke pejabat sekitar 6 petang. Tapi dua lagi ditangkap polis untuk siasatan dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

"Salah seorang daripadanya adalah pegawai penyiasat yang menyiasat kes SRC International.

"Penyiasatan kes masih diteruskan dan kita jalankan secara bebas, telus dan profesional," katanya ketika ditemui oleh media di Menara Prisma, di sini pada Rabu.

Beliau turut mengakui tindakan yang diambil ke atas pegawai penyiasat SPRM sedikit sebanyak menjejaskan proses siasatan.

"Saya sahkan mereka dipanggil ke IPD Putrajaya, bilik pejabat mereka digeledah dan dibuat pembongkaran, selepas itu dibawa ke rumah masing-masing," tambahnya.

Pada Rabu, tiga pegawai SPRM telah ditahan polis untuk membantu siasatan terhadap SRC International, yang dahulunya antara entiti 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

- Sumber: Astro Awani 

Pengesahan penyelenggaraan sama dengan rekod MAS‎

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada sidang media di kementeriannya, Khamis, berhubung penemuan serpihan sayap kapal terbang berukuran dua meter di Pulau Reunion minggu lalu disahkan milik pesawat MH370.

PUTRAJAYA - Malaysia yakin flaperon yang dijumpai di Pulau Reunion adalah milik pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 setelah para pakarnya mengesahkan bahawa satu tanda pengesahan penyenggaraan yang terdapat pada bahagian pesawat itu adalh sama dengan yang terdapat dalam rekod MAS.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pasukan pakar Malaysia‎ daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), MAS dan Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa Malaysia (ICAO) di Toulouse mengesahkan bahawa bahagian pesawat itu adalah milik MH370.

"Kesimpulan ini dibuat kerana butiran teknikal mengenai flaperon itu sama dengan yang terdapat dalam rekod MAS.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa keputusan Malaysia ini datangnya daripada pasukan pakar Malaysia. Satu perkara yang amat jelas ialah pasukan kami memiliki rekodnya sendiri (rekod penyenggaraan MAS).

"Kami mengesahkan bahawa bahagian itu adalah milik MAS berdasarkan rekod penyenggaraan dan pada waktu yang sama, tanda pengesahan yang terdapat pada flaperon itu telah dikenal pasti oleh pakar penyenggaraan MAS. Lebih penting, warna serta butiran lain mengesahkan lagi tentang perkara ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Awal hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan flaperon yang dijumpai di Pulau Reunion pada 29 Julai adalah kepunyaan MH370, yang hilang kira-kira 17 bulan lepas.

Pesawat itu hilang daripada pengesanan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Pada 29 Julai, sebahagian daripada sayap sebuah pesawat dikenali sebagai flaperon, dijumpai di Pulau Reunion dan dipercayai berasal daripada sebuah pesawat Boeing 777.

Flaperon itu diterbangkan ke Paris sebelum dibawa ke Toulouse pada 1 Ogos di bawah rangka kerja penyiasatan kehakiman Perancis, yang diketuai hakim penyiasatan, M. Alain Gaudino, untuk dibuat pemeriksaan lanjut dan disahkan asal usulnya.

Tiong Lai berkata Malaysia menghormati rancangan pihak berkuasa Perancis untuk meneruskan proses pengesahan alat itu.

Menurut beliau, oleh kerana Pulau Reunion terletak di wilayah Perancis, maka mereka berhak untuk meneruskan siasatan itu.

"Saya menghormati pandangan mereka kerana mereka ingin mendapatkan pengesahan lanjut. Mereka boleh meneruskannya. Bagi kami, kami yakin ia berasal daripada MH370," katanya.

Tiong Lai berkata lokasi flaperon itu ditemui menepati hasil analisis hanyutan yang dilakukan pakar.

Katanya, walaupun serpihan lain pesawat juga dijumpai di pulau itu, namun ia perlu dibuat pemeriksaan lanjut untuk mengesahkan ia berasal daripada MH370.

Tiong Lai berkata mesyuarat tiga pihak MH370 akan diadakan bagi membincangkan tindakan selanjutnya berhubung operasi mencari pesawat malang itu.

"Kita akan membincangkan perancangan seterusnya sama ada mencari di kawasan yang sedia ada atau kawasan baharu berdasarkan pandangan pasukan pakar yang terlibat," katanya.

- Sumber: Bernama

‘Malaikat’ dari langit mana derma RM2.6 bilion?

Gambar hiasan

BERITA yang disampaikan stesen televisyen mulai malam tadi hingga pagi ini menyebutkan bahawa SPRM mengesahkan akaun berjumlah RM2.6 bilion milik Najib Tun Abdul Razak bukan dari 1MDB tapi dari penderma. 

Mmmmm… ‘malaikat’ (penderma) dari langit mana ye yang begitu sangat murah hati menderma sampai RM2.6 bilion. 

Sehingga bila agaknya rakyat Malaysia akan disogokkan dengan kenyataan-kenyataan yang sangat meragukan dan tak masuk akal? 

Bingai dan dungu sangatkah semua rakyat Malaysia nih sehingga tidak mampu membaca apa yang tersirat di sebalik wayang yang sedang dimainkan ketika ini? 

SPRM sudah diterajui oleh orang baru yang baru dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak. 

Seluruh Kabinet baru yang dilantik oleh sang Perdana Menteri ketika ini adalah mekanisme atau jentera perang (konspirasi) mempertahankan Najib dari sebarang kaitan yang boleh membawa imej negatif khususnya mengenai sekandal 1MDB. 

Pelaksanaan undang-undang, Rukun Negara seolah-olah sudah tidak berfungsi bahkan seperti tidak wujud lagi. 

Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan dan Kesusilaan, semuanya sudah dinjak-injak di bawah telapak kaki mereka yang merasa sangat berkuasa dan berkedudukan. 

Bahkan Majlis Tertinggi dan seluruh anggota parti yang menjadi sandaran hampir seluruh bangsa Melayu di Negara ini seolah-olah sudah menukar kulit untuk menjadi zombie yang tidak mampu mengeluarkan apa-apa pandangan selain mendengar dan menerima arahan dari kuasa tertinggi parti yang juga sebagai Perdana Menteri. 

MasyaALLAH, malapetaka apa sebenarnya yang sedang menimpa negaraku yang tercinta ini?

Apa yang disebut oleh suatu pihak bahawa kononnya ada konspirasi menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat sebenarnya tidak pernah wujud. 

Skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Sri Najib itulah yang wujud sebenarnya. 

Benar atau tidak, maka pasukan penyiasat dari badan-badan yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan sebagai mewakili suara rakyat seluruhnya mulai menjalankan siasatannya. 

Isunya adalah Najib sang Perdana Menteri yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan sebagai peneraju kepimpinan untuk mengangkat martabat bangsa agama dan negara. 

Apabila si peneraju mulai terpalit dengan berbagai isu yang meragukan dan merosakkan kepercayaan rakyat, adalah menjadi tanggungjawab sesiapa sahaja khususnya mereka yang terdekat sama ada Majlis Tertinggi atau badan penasihat mempersoalkan dan memperincikan hal yang berlaku sebenarnya. 

Menyedari kedudukannya sebagai Perdana Menteri akan tergugat, Najib terlebih dahulu melakukan tindakan drastik dengan mengugurkan Tan Sri Muhyiddin Yasin dari jawatan TPM, kerana Muhyiddinlah yang memohon penjelasan dari Najib tentang isu 1MDB. 

Pada waktu yang sama Ketua Pasukan Khas yang menyiasat skandal 1MDB Abdul Gani Patail secara tiba-tiba juga dilucutkan dari jawatan Peguam Negara. Nasib yang sama menimpa kepada beberapa pegawai tinggi SPRM. 

Gara-gara tindakan Najib itu semuanya menjadi bisu. Majlis Tertinggi bisu, Bahagian-Bahagian apatah lagi Cawangan lagi bisu. 

Kalau ada pun suara dari Johor sebagaimana yang disuarakan oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Sinar Harian Rabu 5 Ogos 2015) halaman 2). 

Barangkali kerana semangat perjuangan Umno yang asal masih hidup di Istana Johor (tempat bermula dan lahirnya Umno - 11 Mei 1946). Selain itu semuanya menjaga ‘periuk nasi’ masing-masing. 

Bahkan para cendekiawan, agamawan (ulamak ?), budayawan dan entah apa-apa awan lagi semuanya turut sama menjadi bisu, tidak upaya untuk menyuarakan kebenaran dan kejujurannya masing-masing terhadap isu yang sedang mencalar bangsa dan Negara ini. 

Lebih menghairankan tokoh-tokoh agama termasuklah mufti atau bekas-bekas mufti yang biasanya dan dahulunya begitu ‘bersemangat’ memperkatakan tentang amal maaruf nahi mungkar juga ikut sama ‘menikus’, seolah-olah apa yang sedang berlaku ketika ini tidak ada kaitan dengan kemungkaran, bahkan lebih dari itu boleh menukar akidah manusia dari mentaati (takut/zuhud) kepada ALLAH dan Rasul menjadi takut kepada seseorang yang menyebabkan nanti akan kehilangan kedudukan, pangkat dan gaji (upah). 

Demikianlah apabila agama (Tuhan), undang-undang, kesopanan dan kesusilaan bahkan raja dan negara pun sudah dikesampingkan. Sedemikian itu apakah nilai manusianya yang setiap waktu kononnya menyembah dan mengakui kebesaran serta kekuasaan ALLAH Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya? 

Ringgit, pangkat kedudukan ternyata lebih diimankan, bahkan menjadi kiblat atau hala tuju sembahan (berhala). Demikianlah senarionya, seolah-olah Tuhan sudah mati di hati mereka. Walhal ALLAH sentiasa memberi rezeki dari sumber yang manusia sendiri tidak mengetahuinya. 

Pepatah Melayu lama menyebutkan “Bangkai gajah tak boleh ditutup dengan nyiru..”. Siapakah gajah, siapakah bangkai, siapakah nyiru. Dan bau bangkai itu sedang membuak serta menyebar ke setiap lubang hidung mereka yang masih sihat dan berakal serta mengenal erti kebenaran dan kebohongan yang melingkari kehidupannya. I 

Saatnya akan sampai apabila malaikat mulai mencabut ubun-ubunnya dan ketika itu hanya mata yang terbelalak kerana malaikat Zabaniah sudah menanti untuk membayar segala ‘kebaikan’ yang pernah dilakukan selama hayatnya yang diamanahkan untuk menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran. Subhanallah...Allahu Akbar…


Khalid Salleh
Pelakon Terbaik Asia Pasifik 1998
----------------------------------------------------------------------

- Sumber: Sinar Harian | Ogos 6, 2015