Wednesday 26 August 2015

Bateri iPhone baharu tahan seminggu?

Bateri baharu ini berfungsi menggunakan hidrogen dan oksigen.

Sebuah syarikat dari Britain, Intelligent Energy, mendakwa telah berjaya mencipta bateri telefon pintar iPhone yang mampu bertahan selama seminggu.

Bateri daripada sel bahan api itu berfungsi menggunakan hidrogen dan oksigen. Ia terdiri daripada lapisan keluli dan plastik kedap udara untuk ‘membakar’ oksigen dan hidrogen, dengan lubang kecil di bahagian belakang untuk melepaskan wap air.

Prototaip ini dikhabarkan sedang diuji oleh Apple, dan jika lulus ia akan menggantikan bateri berasaskan lithium dan ion yang biasa didapati dalam telefon pintar hari ini.

Pun begitu, terdapat beberapa isu yang terlebih dahulu perlu diatasi sebelum bateri ini boleh digunakan. Antaranya penggunaan wap air yang terhasil daripada proses kimia.

Keadaan ini dikatakan akan membawa sedikit masalah kepada pengguna kerana ia akan menghasilkan kuasa elektrik, sekaligus memerlukan telefon itu sentiasa diletakkan di kawasan yang punya aliran udara yang baik.

Ini bermakna, pengguna tidak lagi boleh menyimpan telefon di dalam beg atau di dalam poket.

Isu lain pula adalah dari segi berat dan saiznya yang dikatakan lebih besar daripada bateri sedia ada. 

- Sumber: Astro Awani

Lelaki bernama 'Tuhan' disuruh tukar nama

Kad pengenalan lelaki bernama 'Tuhan'.

SURABAYA - INDONESIA. Penguat kuasa agama di Jawa Timur menggesa seorang lelaki yang bernama 'Tuhan' supaya mengubah namanya.

Menurut Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Bahagian Jawa Timur, manusia tidak layak menjadikan perkataan 'Tuhan' sebagai sebahagian daripada nama mereka. 

"Jangan sampai manusia menyembah (manusia) bernama 'Tuhan' nanti," kata Abdussomad Bukhor kepada detiknews.com, semalam.

Abdussomad juga menerangkan bahawa penggunaan nama 'Tuhan' pada nama manusia adalah tidak sesuai dan tepat.

"'Tuhan' memang nama yang baik, tapi tidak sesuai, kerana ia mensyirikkan Tuhan (sebenar). Tuhan adalah zat yang disembah," katanya lagi.

Beliau mencadangkan supaya lelaki tersebut mengubah namanya atau menambah apa-apa nama di hadapan 'Tuhan'. 

Sementara itu, kad pengenalan lelaki berkenaan telah diambil sehinggalah beliau mengubah namanya.

- Sumber: Sinar Harian