Thursday, 20 June 2013

Muzium lilin pertama Asia Tenggara akan dibuka di i-City

Muzium lilin pertama Asia Tenggara akan dibuka di i-City

SHAH ALAM: Orang ramai berpeluang menyaksikan secara dekat ikon terkenal dunia apabila muzium lilin yang pertama di Asia Tenggara yang bakal dibuka di negara ini.

Red Carpet @ i-City bakal menampilkan 100 patung lilin ikon terkenal dalam pelbagai bidang termasuk sukan dan pemegang rekod dunia.

Berkeluasan 30,000 kaki persegi, Red Carpet @ i-City mempunyai reka bentuk seolah-olah pentas Oscar.

Menurut Pengarah i-Berhad, Monica Ong, pengunjung bakal merasai pengalaman berinteraksi dengan patung lilin berkenaan.

"Ia seakan-akan pentas anugerah Oscar dan mempunyai persekitaran yang sesuai dengan personaliti dipamerkan dan orang ramai dibenarkan untuk menghampiri personaliti kegemaran mereka.

"Orang ramai juga dibenarkan menyentuh dan bermain dengan ikon kegemaran mereka," katanya selepas memperkenalkan Red Carpet @ i-City kepada media.

Antara yang bakal dipamerkan adalah, raja pop, Michael Jackson, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei serta bintang Pop Korea, Psy.

Dibangunkan dengan kos RM25 juta ia juga merupakan salah satu produk pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

i-City mensasarkan kehadiran 30,000 hingga 50,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dalam tempoh sebulan bagi melihat tarikan terbaru itu.

Ia dijangka mula menerima pengunjung pada pertengahan Ogos ini.

Tiket dijualkan dengan harga RM40 bagi kanak-kanak, RM80 bagi dewasa dan RM160 untuk pakej keluarga.

- Astro Awani

Jepun yakin Gunung Fuji dipilih sebagai warisan dunia

Jepun yakin Gunung Fuji dipilih sebagai warisan dunia

PHNOM PENH: Delegasi Jepun yang menghadiri Persidangan Warisan Dunia di Phnom Penh yakin Gunung Fuji akan dipilih sebagai salah satu daripada 32 tapak warisan dunia.

Gunung tertinggi Jepun itu bakal menjadi tapak warisan dunia ke 17 Jepun sekiranya cadangan mewartakannya diluluskan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu, Unesco.

Cadangan mewartakan Gunung Fuji itu dibuat oleh kerajaan Jepun kepada Unesco pada Januari 2012.

Majlis Antarabangsa Mengenai Monumen dan Tapak, iaitu panel penasihat Unesco kemudian mencadangkan pada April lalu supaya Gunung Fuji disenaraikan sebagai salah satu tapak warisan dunia.

Gunung Fuji yang memiliki ketinggian 3,776 meter memainkan peranan penting dalam kehidupan kebudayaan, seni dan agama di Jepun.

Keputusan rasmi mengenai cadangan itu dijangka diumum samada pada 22 atau 23 Jun ini semasa Persidangan Jawatankuasa Warisan dunia di Phnom Penh.

Selain Gunung Fuji, tapak lain yang mungkin akan diwartakan ialah Taman Negara di Gunung Himalaya, Gunung Tianshan di China dan Gunung Etna di Itali.

- Astro Awanio

Jerebu: Indonesia dakwa Singapura 'kebudak-budakan'

Jerebu: Indonesia dakwa Singapura 'kebudak-budakan'

INDONESIA: Indonesia hari ini mendakwa aduan Singapura berhubung keadaan jerebu yang teruk akibat pembakaran hutan di Kepulauan Sumatera sebagai 'kebudak-budakan'.

"Singapura tidak seharusnya bersikap 'kebudak-budakan' dengan terus melontarkan rungutan," menurut Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal jerebu, Agung Laksono di Jakarta.

"Ini bukanlah kemahuan Indonesia, ianya sudah kehendak alam."

Dalam pada itu, Menteri Kebajikan Indonesia memberitahu negara berkenaan akan menolak sebarang bantuan kewangan dari Singapura melainkan dalam jumlah yang besar.

"Melainkan (Singapura) mahu memberikan dana yang besar, kami tidak akan menolak," jelas beliau.

"Jika bantuan berkenaan sekadar setengah juta atau $1 juta, kami tidak memerlukannya. Lebih baik kami gunakan dana sendiri."

Pelbagai persoalan timbul setelah negara jiran yang terjejas bakal mengadakan perbincangan di Jakarta bagi membincangkan jerebu yang melanda negara berkenaan.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) Singapura sekali lagi berlegar sekitar paras "bahaya" iaitu 301 pada waktu tengahari dan mencecah 321 sebelum menjelang malam. Bacaan yang melebihi 200 dikira memberi ancaman kepada kesihatan.

Laksono berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti syarikat mana yang bertanggungjawab menyebabkan jerebu.

- AFP