Wednesday 1 October 2014

Berita baik! RON95, diesel naik 20 sen mulai tengah malam ini

Sumber berita ini daripada Astro Awani:

Subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter. Gambar fail

Harga petrol RON95 dan diesel akan mengalami kenaikan sebanyak 20 sen seliter mulai tengah malam ini, menjadikan harga runcit baharu bagi RON95 sebanyak RM2.30 manakala diesel, RM2.20.

Ini berikutan pengumuman daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkenaan subsidi petrol RON95 dan diesel yang dikurangkan sebanyak 20 sen seliter, berkuatkuasa 12.01 pagi, 2 Oktober 2014.

Menurut kenyataan KPDNKK pada Rabu, harga pasaran bagi petrol RON95 pada masa ini ialah RM2.58 seliter dan diesel RM2.52 seliter.

"Walaupun dengan pengurangan kadar subsidi ini, kerajaan masih perlu membelanjakan lebih RM21 bilion untuk subsidi petrol RON95, diesel dan LPG bagi tahun 2014.

"Langkah ini adalah selaras dengan dasar rasionalisasi subsidi kerajaan dalam memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.

"Kerajaan juga dijangka dapat mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan oleh golongan tidak bertanggungjawab," kata kenyataan tersebut.

KPDNKK memaklumkan, dapat menghasilkan penjimatan yang setimpal dan boleh digunakan untuk pembangunan pendidikan, kesihatan, sistem pengangkutan awam yang lebih meluas dan cekap serta meningkatkan keselamatan negara.

"Langkah rasionalisasi subsidi ini merupakan sebahagian daripada usaha mentransformasi ekonomi negara menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

"Kerajaan yakin langkah ini akan mengukuhkan lagi asas kewangan dan ekonomi negara bagi menghadapi cabaran ekonomi global serta memastikan kemakmuran negara dalam jangka masa panjang," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KPDNKK turut mengambil maklum bahawa langkah rasionalisasi subsidi ini akan memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat.

Demi mengurangkan beban yang ditanggung, KPDNKK memberitahu kerajaan akan terus menyediakan pelbagai bantuan untuk meringankan beban, terutama kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Justeru, menurut kenyataan tersebut, kerajaan dijangka menaikkan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan diumumkan dalam Bajet 2015 nanti.

Kejam! Wanita ditemui mati, dikerat dan dibakar

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya dalam kejadian di Kampung Tok Keramat, Juru, Pulau Pinang.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai 'Intan' berusia lewat 20-an dari Teluk Air Tawar, Butterworth turut dipercayai dikerat dan dibakar.

Difahamkan wanita malang yang juga pengusaha kedai runcit itu datang ke rumah lelaki berkenaan pada Isnin lalu untuk bertemu suspek yang berusia 40-an.

Menurut sumber, kejadian disedari oleh anak saudara suspek yang melihat keadaannya yang mencurigakan sebelum memaklumkan kepada ibunya petang semalam.

Ahli keluarga suspek kemudiannya memeriksa kawasan berkenaan petang semalam dan menemui serpihan tulang terbakar dan pakaian dipenuhi darah.

Ekoran itu, laporan polis dibuat dan sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan malam tadi.

Difahamkan pasukan forensik polis yang menjalankan pemeriksaan ditempat kejadian kira- kira jam 2 pagi tadi turut menemui tulang dan gigi dipercayai milik mangsa.

Sementara itu Ketua Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Zahari Noor yang melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian pagi tadi mengesahkan cebisan tulang yang ditemui di kawasan rumah saspek adalah tulang manusia.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Rusli Mohd Nor pula ketika dihubungi memaklumkan pihaknya mendapat maklumat kejadian tersebut daripada orang awam dan sepasukan polis dihantar untuk melakukan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan pihak polis menemui beberapa serpihan tulang yang terbakar hasil pencarian yang dilakukan di kawasan berhampiran rumah wanita yang dilaporkan dibunuh dan dibakar teman lelakinya.

Usaha pencarian saki baki tulang berkenaan sedang diteruskan membabitkan unit forensik, anjing pengesan (k-9) dan pasukan penyelam pasukan polis marin (PPM).

Dalam masa sama, pihaknya kini sedang mengesan suspek juga teman lelaki mangsa.

- Sumber: Astro Awani

Kenaikan elaun empat jawatan utama Selangor akan dikaji semula

AZMIN: Kenaikan elaun empat jawatan utama Selangor akan dikaji semula

SHAH ALAM: Kenaikan elaun empat jawatan utama akan dikaji semula dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November akan datang.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, empat jawatan itu adalah Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Speaker, dan Timbalan Speaker DUN.

Memetik laporan The Malaysian Insider, kenaikan elaun bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pula kekal kerana difikirkan sesuai, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat exco pada pagi Rabu.

Ia merupakan mesyuarat exco pertama yang dipengerusikan Azmin dan dihadiri 10 barisan exco baharu yang dilantik.

"Kita berpendapat kenaikan elaun perlu dikaji semula mengikut kesesuaian dan memutuskan untuk membentangkan semula dalam DUN untuk diputuskan," katanya.

Sidang DUN Selangor pada 27 November tahun lalu meluluskan kenaikan gaji menteri besar sebanyak RM29,250, exco RM20,250, speaker RM22,500, timbalan speaker RM15,750 dan Adun RM11,250.

Kenaikan itu bermula Januari tahun ini.

Sidang DUN pada April kemudiannya meluluskan pemotongan elaun menteri besar menjadi RM14,175.15, exco RM15,000, speaker RM15,000 dan timbalan speaker RM12,000.

Bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam Dewan berkata, jumlah kadar pemotongan itu akan disalurkan ke dalam Tabung Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Namun, elaun sebayak RM11,250 bagi exco masih dikekalkan.

Azmin turut mengumumkan senarai portfolio barisan Exco yang disifatkannya penjenamaan baru dari segi bidang tugas serta mengikut keperluan semasa.

Azmin akan menerajui Exco Kewangan, Pembangunan Tanah, Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor dan Penerangan.

Sementara itu, Elizabeth Wong (Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Dr Daroyah Alwi (Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga), Nik Nazmi Nik Ahmad (Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi), Amirudin Shari (Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan).

Dalam pada itu, Datuk Teng Chang Khim (Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan) , Ean Yong Hian Wah (Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru), Ganabatirau Veraman (Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang), Iskandar Abdul Samad (Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dr Ahmad Yunus Hairi (Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi) dan Zaidy Abdul Talib (Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani)

Dalam perkembangan berkaitan, Azmin berkata, khidmat ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor akan dikekalkan walaupun Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menamatkan khidmat Anwar pada hari terakhir pentadbirannya.

Sebaliknya, Azmin berkata hanya Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor di Plaza Perangsang sahaja yang ditutup.

"Apa yang diputuskan Khalid adalah untuk menutup pejabat penasihat ekonomi," kata Azmin.

"Tidak timbul soal pemecatan," katanya.

Khalid pada hari terakhirnya sebagai Menteri Besar Selangor membuat keputusan dalam mesyuarat exco menutup pejabat Penasihat Ekonomi Selangor atas alasan mahu menjimatkan wang negeri.

- Sumber: Agensi

Kita akan tanam 80 juta pokok sehingga 2019

PALANIVEL: "Kita akan tanam 80 juta pokok sehingga 2019"

CAMERON HIGHLANDS: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kini mensasarkan penanaman sebanyak 80 juta pokok di seluruh negara selepas Kempen Menanam 26 Juta Pokok melebihi sasaran.

Menterinya Datuk Seri G.Palanivel berkata sebanyak 53.13 juta pokok telah ditanam di seluruh negara dengan anggaran keluasan 65,559 hektar sejak kempen berkenaan bermula dari tahun 2010 sehingga Disember 2013.

Oleh yang demikian, 30 juta pokok lagi akan ditanam dalam tempoh lima tahun akan datang dan ia sekaligus melengkapkan sasaran baharu penanaman sebanyak 80 juta pokok.

"Penanaman 30 juta pokok itu yang telah bermula tahun ini akan menumpukan kawasan antaranya yang mengalami penerokaan tanah secara melampau, hutan terosot, pantai dan perbandaran," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kerjasama Strategik Penanaman Pokok di Cameron Highlands, di Hutan Simpan Terla B di sini hari ini.

Beliau berkata penanaman 30 juta pokok itu akan melibatkan penyertaan pelbagai pihak terutama badan bukan kerajaan, syarikat korporat serta seluruh lapisan masyarakat.

Terdahulu dalam ucapannya, Palanivel berkata disebabkan tekanan arus pembangunan, keperluan tanah di Cameron Highlands untuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas semakin meningkat.

"Permintaan yang tinggi terhadap kawasan pertanian di sini menyebabkan berlakunya pembukaan tanah secara berterusan sehingga menceroboh kawasan Hutan Simpan Kekal dan hutan tanah negeri," katanya.

Beliau berkata selain daripada usaha pemuliharaan, kementerian juga mengambil inisiatif untuk meningkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan.

"Pasukan Penguatkuasaan Berpusat (CET) yang ditubuhkan 12 Julai tahun lepas kini melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Perhutanan, Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar serta Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang," katanya.

Palanivel yang turut melancarkan sistem e-LPS hari ini berkata sistem urusan pemberian lesen pendudukan sementara (LPS) itu telah ditambah baik bagi membantu pihak berkuasa melaksanakan pemantauan dan pembangunan tanah bagi tujuan pertanian.

Katanya selain itu pusat arahan Pasukan Penguatkuasaan 1NRE yang turut digerakkan oleh beberapa agensi juga berperanan melaksanakan rondaan dan pemantauan udara secara berkala di lokasi yang dikenal pasti.

Program Kerjasama Strategik Penanaman Pokok di Cameron Highlands dilaksanakan sebagai satu tanggungjawab sosial korporat oleh tujuh syarikat iaitu Tesco Malaysia, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Alam Sekitar Malaysia Sdn Bhd, Petronas, Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Tenaga Nasional Berhad, Golden Ecosystem Sdn Bhd.

Program dipanggil "Cameron Highlands Dreams" itu menumpukan usaha penanaman pokok di kawasan yang telah diceroboh dan terosot yang melibatkan empat spesis pokok hutan iaitu Damar Minyak, Rhu Bukit, Podo dan Meranti Bukit kerana ia mampu mengadaptasi ekosistem pergunungan dan mencapai tumbesaran optimum.

Badan korporat yang bekerjasama dalam projek itu akan membiayai kos penyediaan anak pokok, kerja penanaman dan penyelenggaraan selepas ditanam bagi tempoh lima tahun mengikut keluasan yang ditetapkan.

- Sumber: Bernama

Korban di Jepun cecah 36 orang

Korban di Jepun cecah 36 orang
Pasukan penyelamat sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk berpindah jika gunung meletus lagi.


TOKYO. Angka kematian akibat letusan gunung berapi di Jepun mencecah 36 orang, dan pasukan penyelamat kini terpaksa menghentikan operasi berikutan letupan terbaharu, semalam.


Pegawai Jepun mengumumkan angka kematian terkini selepas lima lagi mayat ditemui, dan pengumuman dibuat kira-kira 72 jam selepas Gunung Ontake meletus.

Sementara itu, jurucakap pengurusan krisis yang enggan dikenali berkata, gegaran gunung berapi telah beberapa kali dikesan sejak Sabtu lalu, dengan dengan keadaan air bawah tanah mendidih dan batu bergerak.

Lebih 1,100 tentera dan anggota bomba ditempatkan berhampiran puncak gunung sebagai sebahagian daripada usaha mencari dan menyelamat mangsa, dipetik dari laporan  CNA. - AFP 

Skuad pelayaran raih emas

Skuad pelayaran raih emas
Pelayar negara meraih pingat emas dalam acara 420 duo lelaki, tiga pingat perak bagi acara optimis lelaki, laser lelaki dan 420 duo wanita di Wangsan Sailing Marina di Incheon pada 30 September.


SKUAD pelayaran mengembalikan keceriaan kontinjen negara pada Temasya Sukan Asia Ke-17 di sini, yang terkejut dengan penarikan balik pingat emas atlet wushu Tai Cheau Xuen selepas gagal ujian doping, dengan memenangi satu pingat emas dan tiga pingat perak pada Selasa.
    
Mohamad Faizal Norizan dan Ahmad Syukri Abdul Aziz meraih pingat emas dengan mengungguli acara 420 Lelaki Dinghy dengan mengumpul 21 mata penalti selepas 12 perlumbaan di Wangsan Sailing Marina.
    
Pingat perak pula dimenangi Ibuki Koizumi/Kotaro Matsuo dari Jepun dengan 27 mata penalti manakala  pingat gangsa menjadi milik Loh Jia Yi/Jonathan Yeo dari Singapura dengan 41 mata penalti.
    
Mohamad Faizal, selaku jurumudi, berkata beliau dan Ahmad Syukri gembira dapat menamatkan perlumbaan itu dengan jayanya, setelah acara itu ditangguhkan semalam kerana faktor cuaca.
    
"Saya dan Ahmad Syukri tidak tertekan walaupun pasangan Singapura dan Jepun bersungguh-sungguh mahu mengatasi kami," katanya kepada pemberita di sini.
   
Tiga pingat perak pula dimenangi menerusi Khairulnizam Afendy dalam acara Laser Lelaki, Dhiauddin Rozaini (Optimist Lelaki) dan Nuraisyah Jamal-Umi Norwahidah Sallahuddin (420 Wanita).
    
Pada Sukan Asia Guangzhou empat tahun lepas, pingat emas dimenangi menerusi gandingan Khairunnisa Mohd Afendy dan Norashikin Mohd Sayed dalam kelas 420 Wanita Antarabangsa.     

Pada Sukan Asia 2006 di Doha, Malaysia meraih satu pingat emas menerusi Rufina Tan dalam kelas Optimist.


- Sumber: Bernama

Lagu 'Terang Bulan' buka tirai filem kontroversi Soekarno

Filem yang berkisarkan biografi Presiden pertama Indonesia, Soekarno membuka tirainya dengan babak yang berlatarbelakangkan lagu ‘Terang Bulan’ iaitu irama asal lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku.

Filem yang turut mencetuskan kontroversi di negaranya ini bakal ditayangkan di pawagam terpilih bermula 2 Oktober ini.

Soekarno (Extended Version), berdurasi 2 jam 30 minit ini hasil karya pengarah terkenal Indonesia, Hanung Bramantyo.

Soekarno telah ditayangkan di Indonesia pada akhir tahun 2013, pada awalnya mendapat tentangan dari keluarga Bapa Kemerdekaan Indonesia itu terutamanya anaknya, Rachmawati Soekarnoputri.

Kontroversi tercetus apabila filem berkenaan diarahkan agar dihentikan tayangannya di Indonesia kerana watak Soekarno dikatakan tidak sesuai dilakonkan oleh Ario Bayu.

Antara yang hadir di tayangan perdana Soekarno (dari kiri) Ario Bayu, Tika Bravani, Maudy Koesnaedi dan sutradara Hanung Bramantyo
Selain Ario sebagai Soekarno, pelakon yang turut membintangi filem ini adalah Lukman Sardi sebagai Hatta, Tanta Ginting sebagai Sjahrir, Maudy Koesnaedi sebagai Inggit Garnasih, Tika Bravani sebagai Fatmawati dan ramai lagi.

Hanung yang ditemui di tayangan perdana filem Soekarno berkata, kesemua pelakon yang dipilih adalah sesuai dengan karakter yang dibawa.

“Semua pelakon punya kesesuaian dengan karekter yang dibawa. Misalnya Ario dipilih kerana Soekarno itu adalah seorang yang gagah, tampan dan berkarisma. Kesemua ciri itu ada pada Ario” katanya.

Menurut Hanung yang merupakan sutradara bagi filem seperti Perahu Kertas, Perempuan Berkalung Sorban dan Ayat-Ayat Cinta, semangat patriotik bukan hanya diterapkan dalam filem sejarah begini malah bagi kesemua filem-filem arahannya.

Ario Bayu sebagai Soekarno
Manakala Ario mengakui sukar baginya untuk membawa watak sebagai seorang pemimpin yang dekat di hati rakyat Indonesia.

“Saya sendiri kurang mengetahui mengenai sejarah negara, memandangkan saya sendiri membesar di New Zealand, jadi apa yang lakukan adalah melakukan banyak kajian mengenai Soekarno” katanya.

Bila ditanya mengenai kontroversi yang tercetus, Ario berkata setiap orang mempunyai pendapat peribadi tersendiri setelah menonton filem ini.

“Apa yang penting saya melakukan apa yang telah diarahkan oleh Hanung. Soal kontroversi itu mungkin tidak ada kerana pada saat filem ini ditayangkan di hadapan keluarga Soekarno, mereka sukakannya” katanya yang turut hadir bersama Tika dan Maudi di tayangan perdana filem tersebut.

Antara babak menarik di dalam filem Soekarno
Ini merupakan kali pertama Ario bekerjasama dengan Hanung dan sebelum ini pernah membintangi filem seperti Java Heat, Catatan Si Boy dan Laskar Pelangi.

Sementara itu, menurut Tika yang membawa watak wanita pertama Indonesia, Fatmawati berkata Hanung banyak membantunya dalam merealisasikan watak tersebut.

"Selain research yang saya lakukan sendiri, Hanung juga banyak membantu.

Apa yang sukar melakonkan watak Fatmawati adalah saya perlu menzahirkan rasa sanjung kepada Soekarno yang berusia 19 tahun lebih tua dari Fatma, sedangkan realitinya usia saya dan Ario tidak banyak beza" katanya yang ditemui di majlis yang sama.

Tayangan perdana yang berlangsung di panggung TGV One Utama pada Isnin, turut dihadiri oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri serta Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Selain itu, beberapa selebriti tempatan seperti Datuk Yusof Haslam, Puan Sri Tiara Jacquelina, Aaron Aziz, Sofia Jane, Vanida Imran dan ramai lagi turut memeriahkan majlis.

- Sumber: Astro Awani

Malaysia akan rayu kes pingat emas pertama negara ditarik balik

Ketua kontinjen negara akan mengemukakan rayuan berhubung dakwaan Majlis Olimpik Asia (OCA) bahawa atlet wushu, Tai Cheau Xuen (gambar) gagal ujian doping.

INCHEON: Kontinjen negara masih belum hilang emas pertama yang diraih menerusi atlet wushu Tai Cheau Xuen dalam kategori gabungan nanquan dan nandao pada Sukan Asia ke-17 di sini.

Ketua kontinjen negara Datuk Daniyal Balagopal Abdullah berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung dakwaan Majlis Olimpik Asia (OCA) bahawa atlet terbabit gagal ujian doping.

Beliau berkata beliau akan mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa sementara Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kerana timbul keraguan terhadap ujian air kencing yang dijalankan terhadap atlet berkenaan.

"Dari awal kita telah pertikaikan cara sampel itu dikendalikan. Kita akan kemukakan rayuan kepada CAS secepat mungkin, pada hari ini juga.

"Saya akan jumpa Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz (ketua pegawai eksekutif institut sukan negara dan pihak Institut Sukan Negara (ISN) dan buat satu rayuan menerusi CAS," katanya.

Menurut Daniyal, terdapat lima sampel atlet termasuk sampel atlet Malaysia yang dibawa bersama dan beliau tidak menafikan sekiranya berlaku kekeliruan atau kesilapan terhadap keputusan ujian yang dibuat.

"Ia adalah kelewatan yang terlalu lama bermula dengan sampel diambil hingga diserahkan kepada makmal.

"Mereka bagi alasan untuk kumpul sekali, baru hendak dibawa ke makmal untuk dibuat ujian. Kita akan merayu. Kita sudah menemuduga atlet terbabit dan kita dapati beliau tidak bersalah," katanya.

- Sumber: Bernama 

Peminat kecewa Jessica Jung keluar daripada Girls' Generation

Jessica Jung keluar daripada kumpulan SNSD.

KUALA LUMPUR: Peminat K-pop terkejut, sedih dan kecewa apabila mendapat tahu salah seorang anggota SNSD ataupun Girls' Generation, Jessica Jung, keluar daripada kumpulan tersebut.

Perbincangan mengenainya hangat di Twitter sehingga menjadikan kata kunci "Jessica", "Sica" dan "SNSD" trending di alam siber.

Menjadi antara ahli yang paling digemari dalam Girls' Generation, keputusan Jessica untuk keluar daripada kumpulan popular K-pop antarabangsa itu mencetuskan persoalan dalam kalangan orang ramai.

Menurut syarikat rakaman kumpulan tersebut, SM Entertainment, mereka terpaksa melepaskan Jessica ekoran aktiviti perniagaannya dalam bidang fesyen yang mengganggu jadual kariernya.

Dalam pada itu, Jessica pula berkata beliau mengutamakan Girls' Generation berbanding aktivitinya yang lain, namun parah dengan keputusan dikeluarkan daripada kumpulan itu.

Selain Jessica, kumpulan Girls' Generation yang digilai kalangan remaja dianggotai lapan ahli lain iaitu Taeyeon, Sunny, Tiffany, Hyoyeon, Yuri, Sooyoung, Yoona dan Seohyun.

Girls' Generation kini berada di China dalam sesi beramah mesra bersama peminat mereka di sana.

- Sumber: Astro Awani