Friday, 6 September 2013

Pejabat PM dinaik-taraf untuk mencapai indeks bangunan hijau (GBI)

Schneider, KFM naik taraf pejabat PM
Cave (kiri) bersama Nurolamin selepas taklimat kerjasama Schneider Electric dan KFM Holdings untuk menaiktaraf pejabat PM menjadi bangunan cekap tenaga.


PAKAR pengurusan tenaga global, Schneider Electric menjalin kerjasama dengan KFM Holdings Sdn Bhd untuk mengubah pejabat perdana menteri (PMO) menjadi bangunan cekap tenaga menjelang Mei 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif KFM Holdings Nurolamin Abas berkata, syarikatnya memulakan pengubahsuaian itu sejak Oktober 2011 dengan nilai pelaburan RM110 juta. “Pembinaan fizikal projek PMO itu dijangka siap menjelang akhir tahun ni.

“PMO akan menerima sijil indeks bangunan hijau (GBI) oleh Persekutuan Bangunan Hijau Malaysia (MGBC) yang juga merupakan pensijilan tertinggi bagi standard bangunan hijau,” katanya selepas taklimat kerjasama di antara kedua-dua syarikat itu, di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, menerusi projek itu, KFM berupaya mengintegrasi penghawa dingin, lampu, alat pengesan dan meter kuasa menggunakan sistem pengurusan bangunan Schneider dan menawarkan data pintar supaya keputusan bijak dapat dibuat bagi penggunaan tenaga.

Katanya, penjimatan tenaga dapat dikurangkan sehingga 40 peratus atau RM2 juta setahun apabila projek itu selesai dan digunakan nanti.

Katanya, projek PMO akan menjadi projek perintis bagi bangunan kerajaan di Asia.

Sementara itu, Presiden Schneider Electric Malaysia Peter Cave berkata, kerjasama itu menjadi platform membina kesedaran, pengetahuan dan kepakaran untuk mengubahsuai lebih banyak bangunan hijau dan cekap tenaga bagi membantu menjadikan negara hijau pada masa akan datang.


- Sinar Harian

MAS dan AirAsia didenda RM10 juta

Malaysia Airlines 9M-MRD aircraft at Kuala Lumpur - Int (Sepang)


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) mendapati perjanjian kerjasama di antara Malaysian Airline (MAS) dan AirAsia pada 2011 telah melanggar Akta Persaingan 2010.

Dengan itu, kedua-dua syarikat masing-masing dikenakan denda RM10 Juta.

Pengerusi MYCC, Tan Sri Siti Norma Yaakob (gambar) dalam satu kenyataan berkata MAS dan Airasia telah melanggar Seksyen 42 (2b), Akta Persaingan 2010.

Mengikut Akta tersebut syarikat penerbangan tidak dibenarkan terlibat di dalam kerjasama membabitkan perkongsian pasaran penerbangan di dalam Malaysia.

Menurut norma tindakan itu merupakan satu kesalahan serius di bawah Akta itu kerana ia akan menghalang, mengehad dan mengubah persaingan di dalam pasaran barangan dan perkhidmatan.

Tambah norma lagi, denda RM10 juta yang dikenakan kepada MAS dan Airasia itu adalah kurang daripada 10 peratus perolehan syarikat masing-masing antara Januari dan April tahun lalu.

Kedua-dua syarikat diberikan masa 30 hari selepas tarikh denda dikeluarkan untuk menghantar surat perwakilan atau permohonan untuk melakukan perwakilan suara kepada MYCC.

- Astro Awani 

Harga minyak: Menteri sanggup elaun dipotong

 Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sanggup dipotong elaunnya.


Cadangan pemotongan elaun minyak kepada menteri, timbalan menteri dan pegawai kerajaan dalam usaha mengurangkan defisit negara disambut baik pemimpin kerajaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau bersedia dipotong elaun yang diberikan kepadanya jika langkah itu mampu mengukuhkan keadaan ekonomi negara.

“Kalau kita mahu rakyat melihat situasi ini (pengurangan subsidi minyak) dengan berjimat, kita juga sebagai wakil rakyat harus sanggup lakukan perkara sama.

“Baik potong elaun saya sekarang kalau itu boleh bantu kukuhkan ekonomi, saya tidak teragak-agak dan sanggup lakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Perhubungan Umno Negeri yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, semalam.

Sinar Harian semalam melaporkan, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menyarankan elaun minyak yang diperuntukkan kepada pegawai kerajaan termasuk menteri dan timbalan dipotong bagi mengurangkan masalah defisit negara susulan isu pengurangan subsidi diesel dan petrol.

Dalam perkembangan lain, Hishamuddin yang juga pemangku Menteri Pengangkutan, memberi jaminan akan mencari mekanisme bagi memastikan syarikat pengangkutan bas dan lori tidak menaikkan tambang dan kos pengangkutan.

“Dari segi pengurangan subsidi saya harap ia akan dapat salurkan manfaat pada orang ramai, saya akan fikirkan supaya syarikat bas dan lori tidak naikkan harga perkhidmatan mereka dengan bantuan dari kerajaan.

“Supaya orang ramai yang gunakan bas dan barangan yang dibawa menggunakan lori tidak terbeban akibat kenaikan kos,” katanya.

Katanya, pertemuan bersama pengusaha sektor pengangkutan akan diadakan untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi selain mengusulkan cadangan mereka supaya dipertimbangkan dalam bajet akan datang.

“Kita akan lihat jika ada formula yang boleh dipertimbangkan dalam bajet akan datang namun buat masa ini saya minta mereka yang terlibat jangan lakukan sesuatu yang beremosi.

“Jika perkara ini tidak dipolemikkan, saya yakin orang ramai akan faham kerana banyak negara gagal urus ekonomi dengan baik,” katanya.

- Sinar Harian

Bintang Fear Factor sertai Liga Mini Ramp Adrenalin DC




Pelakon dan Bintang Fear Factor Malaysia, Alif Hadi yang juga salah seorang rider DC Shoes Malaysia mengesahkan penyertaannya pada pusingan kedua Liga Mini Ramp Adrenalin DC di Kuantan, 7-8 September ini.

Selain itu, pasukan DC Shoes Malaysia juga diperkuatkan dengan kehadiran Nizar Hashim dan Adam Zari bagi membantu Adam Faisal yang gagal mendapat tempat di podium pada pusingan pertama di Pulau Pinang Jun lalu.

Sebelum ini rider BMX berpengalaman, Zafrin Shah dan pakar ‘vert’ dan ‘bowl’ tempatan, Arina Rahman sudah mengesahkan penyertaan.

Astro Gempak

Dalam kategori skateboarding, Azreen Azman muncul juara pada pusingan pertama di Batu Kawan Pulau Pinang, sementara Raja Ahmad Ashahri menang kategori BMX.

Rancangan khas Liga Mini Ramp Adrenalin DC pusingan kedua di Kuantan akan bersiaran di Astro AWANI pada 28 September, 8:30 malam.

Durian Malaysia gemparkan Sydney

Durian
Ahh! Sedapnya durian ni!


MELBOURNE. Petugas keselamatan dan kecemasan bangunan di Sydney menjadi gempar berikutan ketibaan durian di Harbour City kerana menyangka tempat itu mengalami kebocoran saluran gas apabila terhidu bau yang pelik.

Mujurlah petugas pertanian Malaysia berjaya meyakinkan mereka bahawa bau yang mereka terhidu itu sebenarnya adalah bau durian, bukan gas.

Pengarah pertanian di Konsulat Malaysia Muhammad Rudy Khairudin Mohd Nor berkata 'bau gas' yang mereka terhidu itu berlaku apabila petugas pertanian Malaysia membuka 10 pek durian 'Musang King' dan 'D24' pada 2 petang untuk urusan ujian makmal di pejabat CBD mereka di Sydney.

"Bau durian yang kuat itu memasuki sistem pengalih udara dan merebak ke pejabat lain yang terletak di sebelah pejabat kami di tingkat 15 Bangunan Market St.

"Petugas di pejabat bersebelahan, semuanya orang kulit putih, menjadi gempar kerana menyangka berlaku kebocoran saluran gas...mereka menghubungi unit kecemasan. Dalam hanya beberapa minit, semua penghuni di tingkat itu dipindahkan," katanya.

Muhammad Rudy berkata petugas keselamatan dan kecemasan bergegas ke tingkat 15 untuk menyiasat dan setelah agak berputus asa, mereka menghubungi pihak konsulat untuk mendapatkan jawapannya.

"Kami menjelaskan bahawa bau itu sebenarnya bau durian. Para pegawai berkenaan terperanjat dan hairan kerana baunya seperti gas. Bagaimanapun, mereka yakin dengan penjelasan yang diberi setelah kami tunjukkan kepada mereka buah berkenaan dan baunya," kata beliau.

Muhammad Rudy berkata tiga pegawai teknikal Australia kemudian terhidu bau yang sama tiga jam kemudian: "Mereka membuat pemeriksaan di seluruh pejabat untuk memastikan ia bukan berpunca daripada kebocoran saluran gas."

Untuk mengelak lebih banyak salah faham, pihak konsulat memindahkan durian berkenaan dan urusan ujian makmal ke Malaysia Hall Australia.

"Tiada siapa yang bersungut. Malah, baunya disukai para pelajar Malaysia...yang mungkin begitu rindu dengan bau itu sejak sekian lama. Pernahkah sesiapa menyangka mengeksport durian ke Australia merupakan urusan yang begitu mencabar?," katanya.

Sementara itu, lepasan sekolah La Salle Malaysia di Melbourne merancang untuk menganjurkan Pesta Durian Lasallian November ini, mungkin di kawasan pembangunan eksklusif SP Setia di St Kilda Road.

Walaupun durian amat popular di Sydney, namun buah istimewa ini belum mendapat perhatian di Melbourne, yang mempunyai 70,000 rakyat Malaysia selain 9,000 pelajar.

- Bernama

Rogol: Bekas anggota kumpulan R&B dipenjara

kes rogol

KAJANG - Seorang bekas ahli kumpulan nyanyian terkenal dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah merogol anak tirinya yang berusia 14 tahun, tahun lalu.

Hakim Nor Hazani Hamzah menjatuhkan hukuman atersebut ke atas lelaki yang berusia 38 tahun itu setelah mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.

Dalam penghakimannya, Norhazani berkata, keterangan mangsa telah disokong saksi-saksi lain yang tampil memberi keterangan termasuk guru kaunselingnya.

" Saya percaya pada keterangan saksi pendakwaan kerana semua saksi bebas, ditambah kenyataan pegawai perubatan yang mengesahkan koyakan pada alat sulit mangsa," katanya.

Bagaimanapun menurut hakim, tertuduh tidak membuat apa-apa tindakan atau laporan polis, sebaliknya keterangan yang diberikan semasa pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah rumah, Taman Gombak Jaya, jam 9 pagi pada 9 Februari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika disabit kesalahan.

Kerana rumah, Wan Nor Azlin berseteru dengan bapa



5 SEPT 2013: Harian Metro hari ini memaparkan mengenai dramatis popular, Wan Nor Azlin yang dikatakan berseteru dengan bapanya pasal kes penjualan rumah.

Aktres popular era 90-an ini dikatakan tidak bersetuju dengan tindakan ayahnya, Wan Mohd Hussin Wan Ibrahim, 76, yang mahu menjual rumah yang diduduki mereka di Taman Keramat. Akibatnya kedua beranak ini mula berseteru sehingga terpaksa turun naik mahkamah untuk kepentingan masing-masing.

Wan Mohd Hussin mahu menjual rumah tersebut dan mahu anaknya, Wan Nor Azlin keluar rumah itu untuk memudahkan proses jual beli.

Namun Wan Nor Azlin, 45, enggan berbuat demikian atas alasan dia ada kepentingan selepas memasang kabinet dapur dan almari pakaian walaupun ia dibuat atas kehendak dirinya sendiri.
Sudahnya kedua-dua mereka mula menyaman satu sama lain sehingga menjadi isu besar di mahkamah. Dan hari ini Wan Nor Azlin telah memfailkan notis untuk memberi sebab kenapa bapanya itu tidak boleh dipenjarakan.

Amboi sampai kes nak penjara ni? Bukanlah nak menyebelahi mana-mana pihak namun Murai Batu rasa perkara ini tidak perlu menjadi kes mahkamah sebenarnya. Kedua-duanya sebenarnya perlu bertolak ansur kerana Murai Batu difahamkan, selepas kematian ibu Wan Nor Azlin yang merupakan isteri kepada Wan Mohd Hussin pada tahun 2008, bapanya itu sendiri yang mengajak Wan Nor Azlin tinggal bersamanya.

Jadi Murai Batu rasa mereka sebenarnya amat bergantung kepada satu sama lain dan perlu bertolak ansur dalam hal-hal sebegini. Tapi itulah, kita hanya boleh memberi pendapat dan hanya mereka sekeluarga tahu keadaan sebenar.

Moga perkara ini dapat diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak.

Sumber: MuraiBatu 



Kertas siasatan nahas di Jalan Genting Highlands siap 90 peratus - Polis

Kertas siasatan nahas di Jalan Genting Highlands siap 90 peratus - Polis

Kertas siasatan berhubung nahas membabitkan sebuah bas di Kilometer 3.5 Jalan Genting Highlands pada 21 Ogos lepas, kini siap 90 peratus.

Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata kertas siasatan  itu akan dihantar kepada pihak berkenaan dalam masa terdekat.

"Siasatan pada masa ini hanya memerlukan maklumat daripada agensi-agensi dan pakar terlibat untuk memahami punca sebenar kemalangan," katanya kepada pemberita semasa Ops Laju dan Pelbagai di Kilometer 453 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Hentian Sungai Buloh di sini, awal hari ini.

Beliau berkata kertas siasatan mengambil masa untuk disiapkan berikutan terdapat beberapa elemen penting perlu dititikberatkan daripada agensi terbabit.

"Sebagai contoh, dalam siasatan yang bersangkut dengan penumpang warga asing, kita mungkin ada maklumat tambahan mengenai latar belakangnya dan ini menyebabkan kertas siasatan sukar untuk disiapkan segara," katanya.

Dalam nahas itu, bas terbabit terhumban ke dalam gaung sedalam 60 meter di Jalan Genting Highlands ketika menuruni puncak pusat pelancongan itu mengakibatkan 37 orang termasuk pemandu maut manakala 16 lagi cedera.

- BERNAMA 

Tiga tahun pertama fokus kepada kemahiran guru: PPPM


Tiga tahun pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dilihat sebagai fasa membina asas bagi merealisasikan transformasi pendidikan negara dengan sempurna.

Menurut Pengarah Eksekutif Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu) Dr Habibah Abdul Rahim,  tahun 2013 hingga 2015 adalah untuk mempersiapkan dan memperlengkapkan golongan guru.

“Ia bukan ada inisiatif-inisiatif baru dan bukanlah ‘beban’ tetapi ia perlu dilihat bagaimana hendak meningkatkan tahap profesionalisme guru dari segi bagaimana mereka berdepan dengan murid-murid dan pembelajaran dan pengajaran yang berlaku di bilik darjah,” kata beliau.

Latihan dan sokongan juga akan diberikan kepada guru-guru.

“Dari sokongan itu, kami juga mengharapkan satu akauntabiliti dan peningkatan dari keberhasilan murid-murid.”

- Astro Awani 

Shila Amzah nafi hubungan istimewa dengan Johan


KUALA LUMPUR:  Penyanyi Shila Amzah menafikan dia dan pelakon filem Juvana, Johan A'sari mempunyai hubungan istimewa.

Penyanyi ini meletakkan kehidupannya pada fasa permulaan dan hanya mahu memberi fokus pada kerjaya.

- Astro Awani 

Wajarkah Tanda Putera jadi tontonan wajib rakyat?

Tanda Putera

APA yang terdetik dalam hati banyak orang dan juga dibimbangi oleh sesetengah pihak sejak riuh-rendah kontroversi filem Tanda Puteraakhirnya jadi kenyataan — muncul suara-suara yang menggesa agar filem itu digunakan untuk mengajar sejarah kepada generasi hari ini.

Gesaan itu dibuat oleh pertubuhan haluan kanan Perkasa yang sejak penubuhannya selepas pilihan raya umum 2008 telah berjaya menempatkan diri sebagai wakil suara hati dan nurani orang Melayu dan nampak lebih lantang mengatasi UMNO sendiri.

"Soal bagaimana ia nak ditayangkan, kita sudah pun beri pandangan sebelum ini supaya filem ini ditayangkan di sekolah, ditayangkan di tempat awam dan ditayangkan kepada semua Ahli Parlimen dan wakil rakyat.

"Kita minta itu, malahan kita minta ia ditayangkan secara berturutan di televisyen," kata Naib Presiden Perkasa Datuk Zulkifli Noordin seperti dipetik dalam laporan The Malaysian Insider pada Khamis.

Zulkifli menegaskan bahawa secara prinsipnya Tanda Putera wajib ditonton oleh rakyat untuk mengetahui tentang "sejarah sebenar" di sebalik rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Tanda Putera

Sebelum ada yang melatah melihat gesaan itu sebagai satu idea yang baik dan kemudian mahu mencadangkannya sebagai Tayangan Filem 1Malaysia, marilah kita duduk merenung beberapa perkara terlebih dulu.

Moga-moga ada manfaatnya supaya kita tidak sesat jalan.

Moga-moga kita dilindungi oleh Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Pertama, Tanda Putera bukan tentang 13 Mei. Ia sebuah cerita yang mengambil latar masa yang bertolak daripada peristiwa berdarah itu. Ia sebuah cerita mengenai Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, dua sahabat yang tercampak ke dalam masalah negara tetapi pada masa sama berdepan dengan masalah peribadi. Itu saja.

Kedua, tentang realiti sejarah dan filem sejarah. Walaupun ada pandangan bahawa filem sejarah harus diterima sebagai satu pendekatan baru untuk meneliti sejarah — dan pembikin filem sejarah darjatnya sama seperti pengkaji sejarah — hakikatnya filem sejarah dan buku kajian sejarah tidak serupa.

Apa yang ditunjukkan di layar perak adalah sejarah seperti mana yang ditanggapi oleh sang pengarah. Ia bukan sejarah sebagaimana yang berlaku. Watak-wataknya juga ditampilkan seperti mana yang dibayangkan oleh pelakon. Itu bukan sejarah. Itu sebaliknya adalah sejarah yang dikhayalkan oleh mereka yang terlibat dalam pembikinan filem itu.

Misalkan saja begini: Adakah kita mahu memberitahu generasi hari ini dan akan datang bahawa begitulah rupanya tampang dan gerak serta geri Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail? Selain dua tokoh besar itu, apakah Tanda Putera telah memberikan gambaran yang tepat tentang tokoh-tokoh lain dalam sejarah?

Tanda Putera

Selebihnya, apakah Tanda Putera memberikan gambaran yang tepat tentang peristiwa? Apakah itu sejarah sebagaimana yang berlaku atau ia hanya "sejarah" yang ditanggapi oleh pengarahnya?

Itu sebabnya sebelum ini saya sebutkan bahawa kalau mahu menonton filem, pergilah ke pawagam; kalau mahu memahami sejarah, bacalah buku sejarah.

Kenyataan itu bertolak daripada keyakinan saya bahawa tidak ada mana-mana filem sejarah — bukan hanya Tanda Putera saja tetapi semua filem sejarah — yang harus ditayang secara paksa kepada rakyat. Apatah lagi untuk ditayangkan dengan tujuan "belajar sejarah". Kalau mahu belajar, kita masuk sekolah.

Saya sedar bahawa filem sejarah boleh jadi sebab untuk orang minat kepada sejarah dan kemudiannya berusaha untuk mempelajari sejarah itu sendiri. Tetapi adalah satu dosa kepada bangsa, tanah air dan masa depan kedua-duanya jika negara memaksa rakyat untuk menerima "inilah sejarah".

Hal itu pernah berlaku hampir 30 tahun dulu di Indonesia — dan itu perkara kedua untuk kita renungkan bersama. Antara Oktober 1965 membawa kepada bulan-bulan awal 1966, dianggarkan antara 200,000 hingga 3 juta rakyat republik itu dibunuh atau hilang kerana mereka jadi anggota Parti Komunis Indonesia yang kemudian diharamkan. Mereka yang hanya diragui atau dituding jari sebagai simpati kepada komunis pun ikut sama terkorban dan hilang. Jenayah kemanusiaan yang didokong oleh tentera dan kerajaan itu kemudiannya cuba dihalalkan menggunakan filem.

Beberapa buah filem propaganda dihasilkan untuk mengukuhkan kedudukan Suharto sebagai presiden dan rejim Orde Baru. Yang teratas di antara filem-filem itu ialah Pengkhianatan G30S/PKI yang diulang tayang di televisyen setiap tiba 30 September sebagai mengenang pembunuhan tujuh jeneral kanan tentera yang dikatakan didalangi oleh komunis. Filem yang memakan waktu tayang empat setengah jam itu juga jadi tontonan wajib pelajar. Tonton paksa itu berlaku selama 13 tahun.

Hanya apabila Suharto meletakkan jawatan pada Mei 1998 dan digantikan oleh BJ Habibie barulah tayangan wajib itu dihentikan. Selama 13 tahun, filem itu jadi "buku sejarah" kepada generasi pasca 1965 untuk "memahami" masa silam — biarpun sebetulnya mereka dipaksa untuk faham zaman penuh gelora itu.

Sebagai filem propaganda, Pengkhianatan G30S/PKI dibuat untuk meyakinkan siapa saja yang menontonnya mengenai sudut pandang tertentu — dan hanya sudut pandangan tertentu itu saja — mengenai peristiwa berdarah pembunuhan tujuh jeneral kanan itu.

Tetapi 15 tahun selepas Reformasi dan 15 tahun selepas Indonesia mula menempuh demokrasi, muncul banyak filem lain yang menyelongkar sisi lain sejarah yang sama. Seorang peneliti sejarah dan budaya malah menyifatkan filem-filem mengenai pembantaian 1965 yang dihasilkan selepas pemerintahan Suharto "berjasa membongkar kejahatan terhadap kemanusiaan dan luka bangsa yang selama ini ditabukan oleh negara". Dokumentari Act of Killing misalnya membuka mata dunia dan orang kembali bertanya: apakah sebenarnya yang berlaku?

Propaganda mengenai 1965 tidak lagi berhasil kerana masih ada orang yang berfikir — dan berfikir secara kritis dengan tajam akal. Propaganda sebaliknya akan menyebar apabila daya fikir manusia dibungkam atau dipandu untuk tidak jadi kritis. Beberapa tinjauan pendapat yang dibuat oleh media di Indonesia mendapati jawapan yang hampir sama iaitu rakyat republik itu belajar mengenai sejarah tragedi 1965 daripada filemPengkhianatan G30S/PKI. Dalam satu kaji selidik, 9 daripada 10 yang ditemubual mengaku belajar mengenai komunis dan peristiwa 1965 melalui filem itu.

Apa yang dipaparkan oleh filem itu — baik yang ditunjukkan dengan berlebih-lebihan atau hal-hal yang sengaja dipadamkan — diproses oleh rakyat yang dipaksa menontonnya sebagai "sejarah" atau "kebenaran". Tetapi apa yang sebenarnya berlaku adalah proses pembodohan.

Moga kemungkinan itu dijauhkan daripada kita oleh Tuhan.

Moga Tuhan melindungi kita dan sentiasa menempatkan kita dalam sejahtera.

Moga doa kita diperkenankan.


Oleh: Noor Azam Shairi @ Astro Awani

Isu minyak naik - Kerajaan perlu potong gaji menteri dan timbalan menteri untuk penjimatan: Perkasa

Perkasa: Kerajaan perlu potong gaji menteri dan timbalan menteri untuk penjimatan

Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), menggesa kerajaan supaya memotong gaji pegawai tinggi kerajaan termasuk menteri dan timbalan menteri dari lima hingga 10 peratus sekiranya ingin mengurangkan perbelanjaan negara, lapor Bernama.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dialporkan sebagai berkata cadangan itu dibuat selaras dengan pengurangan subsidi minyak yang menyebabkan harga petrol RON95 dan diesel naik 20 sen bermula 3 September lepas.

"Sepatutnya potongan gaji ini dilakukan serentak dengan pengurangan subsidi minyak RON95 sebanyak 20 sen, maka tentu rakyat boleh rasakan inilah tindakan yang betul dan rakyat boleh terima beban yang sedikit ini," kata Ibrahim.

Sementara itu, The Malaysian Insider melaporkan Ibrahim berkata kerajaan seharusnya turut melaksanakan langkah berjimat cermat dan bukan hanya memotong subsidi minyak untuk mengurangkan defisit negara.

Ibrahim juga dipetik sebagai berkata semasa mengumumkan pemotongan subsidi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu turut mengumumkan program penjimatan dalam agensi-agensi kerajaan.

"Perlulah ada penjimatan kos daripada sebelah kerajaan, selain itu majlis-majlis yang menggunakan wang rakyat juga perlu dikurangkan," kata Ibrahim dalam satu sidang media di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada Khamis.

Katanya Perkasa mendapat maklum balas daripada rakyat yang rata-ratanya gelisah.

"Kalau kerajaan mahu kurangkan defisit negara, beliau sepatutnya serentak mengumumkan penjimatan belanja negara dalam agensi-agensi kerajaan," katanya.

Ibrahim juga mendesak kerajaan supaya lebih menekankan program-program yang lebih produktif dan bukannya berbelanja kepada perkara yang membazir dan tidak bermanfaat.

"Malah pada saya, perayaan Hari Kemerdekaan itu penting, tapi kalau boleh dikurangkan kos dan ditumpukan kepada perayaan-perayaan yang lebih mendatangkan semangat jati diri.

"Ini kira sesetengah perbelanjaan ini tidak produktif, jadi kita cadangkan supaya ada penjimatan," katanya lagi.

Sementara itu, Perkasa menyifatkan cadangan untuk membenarkan kepulangan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng ke negara ini hanya akan 'melukakan hati' rakyat.

Naib Presiden Perkasa Datuk Zulkifli Noordin berkata pengkhianatan Chin Peng dan kekejaman komunis sehingga menyebabkan rakyat hidup menderita serta ribuan menjadi korban semasa zaman darurat tidak boleh dilupakan.

"Kita berpendapat bahawa tangan Chin Peng ini berlumuran dengan darah rakyat Malaysia, bukan sahaja Melayu, tetapi Cina, India dan lain-lain.

"Banyak hati yang akan terluka sekiranya kita membawa balik atau membenarkan Chin Peng pulang," katanya pada sidang media di sini.

Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini meminta kerajaan supaya membenarkan Chin Peng dan anggota PKM yang dilarang memasuki negara ini untuk pulang ke tanah air dan berkata waris keluarga yang dizalimi pengganas komunis akan memaafkan mereka.

Gesaan Karpal itu dibuat selepas bekas Timbalan Ketua Pengarah Cawangan Khas Tan Sri Yuen Yuet Leng, membuat kenyataan sama seperti dilaporkan media sebelum ini.

Zulkifli berkata sekiranya Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia, bekas pemimpin PKM itu masih perlu dibicarakan atas kesalahan dan pengkhianatannya sebelum ini.

- Astro Awani 

Allowing Chin Peng's return will hurt people - Perkasa

Allowing Chin Peng's return will hurt people - Perkasa

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), the Malay right-wing group, on Thursday voiced opposition to a proposal to allow the return to the country of former secretary-general of the outlawed Communist Party of Malaya (CPM) Chin Peng, saying it would hurt the people.

Perkasa vice-president Datuk Zulkifli Noordin said the cruelty of Chin Peng and the communist terrorists which caused the people to suffer and thousands to die could not be forgotten.

"We feel Chin Peng's hands are soiled with the blood of Malaysians, not only the Malays but also the Chinese, Indians and others.

"Many will be hurt if we bring Chin Peng back or allow him to return," he told a news conference.

DAP chairman Karpal Singh today called on the government to allow Chin Peng and other former members of the CPM to return to the country, saying the next-of-kin of the Malaysians killed during the communist insurgency would have a re-look at the position and the time had come to forgive.

Karpal Singh made the call after former Special Branch deputy director Tan Sri Yuen Yuet Leng urged the government to allow Chin Peng and other former CPM members to return to the country.

Zulkifli said if Chin Peng was brought back to Malaysia, the former CPM leader would have to be tried for his past offences.

Also present at the news conference was Perkasa president Datuk Ibrahim Ali.

Ibrahim spoke on the recent increase in the prices of petrol and diesel and said the government should consider deducting the salaries of senior government officers by between five and 10 per cent if it wanted to reduce the national expenditure.

"In fact, the salary deduction should be carried out simultaneously with the reduction in the subsidy for RON95 petrol and diesel by 20 sen," he said, adding that the people would then feel that the government had acted right and could accept the price increase.

Ibrahim also said that the government should reduce expenditure on unimportant activities which involved high cost.


- BERNAMA