Chan Wai Li memerhatikan anggota Forensik dari Ibu Pejabat Kontijen Kuala Lumpur memeriksa beg, jaket dan topi suspek yang mencuri begnya. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Dalam kesibukan petugas media tempatan dan antarabangsa membuat liputan berita kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, seorang wartawan TV luar negara mendakwa kehilangan RM15,000 apabila beg miliknya dicuri di sebuah hotel di sini, Khamis.
Selain wang tunai, Chan Wai Li, lelaki berusia 36 tahun dari Now TV, sebuah stesen TV swasta Hong Kong itu turut kehilangan dokumen perjalanan, dompet, kad kredit dan pita rakaman kamera video.
Chan yang merupakan Penolong Pengarang Berita, Now TV mendapati begnya hilang pukul 4 petang, selepas pulang dari pusat beli belah Alamanda yang terletak berhampiran dengan hotel itu setelah membeli kad prabayar bersama dua lagi rakannya.
Beliau membuat liputan berita kehilangan penerbangan MH370 sejak 8 Mac lalu.
Beg galas itu dipercayai dilarikan seorang lelaki yang disyaki sudah berada di sini sejak hari Rabu.
Chan yang kelihatan panik segera memaklumkan kehilangan beg itu kepada pengurusan hotel dan sejurus selepas itu wajah dan pergerakan suspek dapat dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam rakaman CCTV, suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum mengambil beg itu dan meninggalkan hotel itu ketika kebanyakan petugas media sibuk membuat liputan di ruang lobi hotel.
"Saya tak sangka ada orang yang mengambil kesempatan dan mencuri ketika kita (petugas media) buat liputan berita.
"Ada RM15,000 dan dokumen penting seperti pasport dalam beg itu," katanya kepada pemberita.
Chan membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian itu.
Polis mengerakkan sepasukan enam anggota termasuk tiga anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi menyiasat kes kehilangan beg wartawan dari Hong Kong itu.
Pasukan itu yang tiba kira-kira 8.30 malam, melakukan pemeriksaan kira-kira 30 minit di lobi sebuah hotel, iaitu tempat terakhir mangsa meletakkan begnya ketika membuat liputan berkaitan kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) sejak 8 Mac lepas.
Sementara itu di Sepang, jurufoto agensi berita antarabangsa European Press Agency (EPA) Shamshahrin Shamsudin hilang satu set kamera digital bernilai anggaran RM20,000 di sebuah hotel di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
Shamshahrin, 43, berkata kecurian itu berlaku selepas beliau selesai melakukan liputan sidang akhbar harian berkenaan kehilangan pesawat berkenaan.
"Pada 7.20 malam, selepas saya siap kerja-kerja saya dan menunggu rakan menyudahkan kerjanya, saya menerima panggilan daripada anak dan saya meninggalkan kamera saya berserta barangan lain termasuk lens di dalam beg dan diletakkan bersebelahan kawan saya itu.
"Selepas 20 minit menjawab panggilan, saya kembali ke tempat kawan saya berada, namun menyedari kamera saya berserta lens telah hilang," katanya kepada Bernama.
Pemangku Presiden Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) Norhaizat Abdul Samad dalam satu kenyataan Khamis malam berkata kamera itu didapati dilarikan seorang suspek yang berada di ruang lobi hotel kira-kira pukul 7 malam berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dapat mengakses wajah suspek.
Beliau berharap keselamatan di kawasan itu dapat dipertingkatkan memandangkan sejumlah besar jurufoto dan media bertugas membuat liputan berita kehilangan pesawat itu, termasuk media antarabangsa.
Benama