Monday, 23 November 2015

KJ minta Chong Wei rehat sebulan


Kejayaan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei merangkul dua kejuaraan Siri Super - Terbuka China dan Terbuka Hong Kong - membuktikan kemampuan pemain senior itu tidak boleh diragui.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin percaya bekas pemain nombor satu dunia itu tidak berdepan masalah untuk berada dalam kelompok empat teratas ranking dunia menjelang Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil tahun depan, untuk mendapat undian lebih selesa pada temasya itu.

"Kebolehan Chong Wei tidak boleh diragui. Beliau membuktikan kemampuannya menewaskan sesiapa sahaja. Chong Wei berada dalam prestasi terbaik untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sekolah Bola Sepak Chelsea FC Malaysia di Pusat Sukan NPNG, Damansara di sini hari ini.

Kedudukan Chong Wei dalam ranking dunia melonjak tiga anak tangga ke ranking keenam selepas menjuarai Terbuka China pada 15 Nov lepas.

Pada masa sama, Khairy mahu Chong Wei menjaga kesihatannya terutama keadaan fizikal kerana pemain berusia 33 tahun itu perlu mengambil masa yang lama untuk pulih sekiranya mengalami kecederaan. 

"Sekarang ini pengurusan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan ISN (Institut Sukan Negara) akan memberi fokus kepada menjaga keadaan fizikal beliau terutama menjelang Sukan Olimpik tahun depan.

"Chong Wei sebelum ini memang tiada pilihan, beliau terpaksa beraksi dalam seberapa banyak kejohanan untuk menaikkan semula kedudukannya dalam ranking dunia. 

"Sekarang semua sudah selesai, Chong Wei boleh berehat selama sebulan dan saya minta dia berehat," katanya.

- Sumber: Astro Arena  

Rani Mukherjee jadi tumpuan

Rani Mukherjee

SELEPAS pulih daripada masalah kesihatan yang dialaminya ketika usia kandungannya mencecah tujuh bulan, aktres Rani Mukherjee teruja untuk mengadakan acara ‘baby shower’ di kediamannya.

Menurut laporan Pink Villa, acara itu akan dilakukan sebelum Januari depan di mana Rani dijangka melahirkan bayi pertamanya hasil perkongsian hidup bersama Aditya Chopra.

“Sejak khabar angin ini tersebar, media di Bollywood dipenuhi dengan cerita menarik mengenai pelakon itu tambahan pula, acara tersebut dikatakan akan dijalankan secara besar besaran.

“Namun sehingga hari ini pasangan tersebut masih belum mengesahkan tentang khabar angin tersebut,”kata sumber.

- Sumber: Sinar Harian 

Benjy bebas atas tuduhan miliki dadah

Benjy

PELAKON drama, Benjy atau Khaeryll Benjamin Ibrahim dan rakannya Julia Ernie Jamaludin dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur sebentar tadi daripada dua pertuduhan memiliki dadah jenis Syabu, Mac lalu.

Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor membuat keputusan itu terhadap Benjy, 38, dan Julia Ernie, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes di akhir pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Benjy dan Julia Ernie didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan berat bersih 3.01gram dan 1.71 gram di sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur, 5 Mac lalu.

Sementara itu Julia Ernie diarah membela diri daripada memiliki dadah jenis sama seberat 0.37 gram.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100, 000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

- Sumber: Sinar Harian 

Nurul Izzah dikritik hebat, kenapa Najib tidak?

Gambar Nurul Izzah bersama Jacel Kiram yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.

SERDANG - DAP mempertikaikan sikap kerajaan terhadap Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berhubung kes gambarnya bersama anak perempuan bekas ketua pengganas Sulu, Jacel Kiram yang dilihat 'double standard'. 

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Zairil Khir Johari berkata, layanan berbeza diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika gambarnya bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sewaktu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York tersebar.

"Saya nampak seperti biasa, ia satu tindakan yang 'double standard' di mana saya rasa ada juga gambar Datuk Seri Najib dengan orang-orang tertentu tapi kenapa YB Izzah kena, Datuk Seri Najib tidak?," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui pada Kongres Kebangsaan Dapsy 2015, di sini, hari ini. 

Gambar Nurul Izzah dan Jacel itu mencetuskan kontroversi berikutan status Jacel sebagai anak kepada Jamalul Kiram III yang sebelum ini mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu dan menjadi dalang pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013. 

Namun menurut Zairil, ia hanya sekeping gambar dan penjelasan sebenar dari Izzah perlu didengar sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Beberapa pemimpin BN mendesak Nurul Izzah meminta maaf kerana dianggap tidak sensitif perasaan mangsa insiden Lahad Datu.

Manakala, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, polis akan memanggil Nurul Izzah minggu depan untuk disoal siasat bagi mengetahui tujuan sebenar pertemuan penuh kontroversi itu. 

Semalam, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyatakan kekesalan dengan kecaman yang diterima, susulan pertemuannya dengan Jacel di Filipina, pada awal bulan ini sambil menegaskan beliau tidak memanggil mesyuarat atau pertemuan serta tidak pernah berkenalan dengan Jacel. 

Beliau adalah antara 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan Naib Presiden Filipina.

- Sumber: Sinar Harian 

5 sebab kenapa Gegar Vaganza 'trending' musim ini

Siti Nordiana antara peserta kegemaran penonton dalam Gegar Vaganza musim kedua ini.

Minggu keenam pertandingan Gegar Vaganza 2 (GV2) menyaksikan ia terus mendapat perhatian ramai.

Berbeza dengan musim pertama tahun lalu, impak pertandingan ini nyata lebih terasa kali ini.

Ramai berpendapat GV2 benar-benar berjaya mengembalikan kegemilangan sebahagian besar bintang yang menyertainya.

Berdasarkan perbualan di laman sosial, kami senaraikan lima sebab mengapa GV2 menjadi trending musim ini.

1. Penyertaan penyanyi berkelas A

Majoriti peserta tahun ini adalah penyanyi yang berada dalam kelas tersendiri dan bukannya one hit wonder. Kebanyakan daripada mereka punya lebih daripada lima buah lagu yang menjadi siulan ramai satu ketika dahulu. Nama mereka juga bukan calang-calang pada zaman mereka.

2. Siti Nordiana (Nana) dan Faradhiya

Tanpa mengetepikan saingan dan pengaruh dari peserta lain, dua nama ini memberi impak yang bukan sedikit kepada penonton. Ramai yang melihat kedua-dua mereka seperti baharu keluar dari kepompong; Nana berjaya meletakkan dirinya jauh daripada identiti penyanyi remaja, manakala Faradhiya membuatkan penonton kembali mengingati bahawa forte asalnya adalah nyanyian.

3. Nabil dan Jihan

Gandingan dua pengacara ini menerima reaksi yang bercampur baur daripada penonton di peringkat awalnya. Nabil terutamanya, sering dikritik gara-gara sikapnya yang gemar menyampuk ketika juri memberikan komen. Namun hakikatnya, mereka adalah penyumbang kepada kemeriahan GV2. Ini terbukti apabila penonton mula panik selepas pihak produksi menggertak untuk menyingkirkan kedua-dua mereka.

4. Juri

Penglibatan juri juga antara faktor yang membangkitkan 'seri' GV2. Pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS, pernah digeruni kerana ketegasan dan personalitinya yang nampak garang. Namun itu semua cerita lama kerana semenjak kebelakangan ini, beliau tampak lebih relaks, sekaligus menyerlah sisi humour yang dimilikinya.

5. Pemilihan lagu

Konsep Gegar Vaganza yang lebih mengutamakan lagu-lagu yang pernah popular di era 80an dan 90an sememangnya menjadi. Lagu-lagu di dua zaman itu kebanyakannya malar segar, dan sudah tentu membuatkan penonton ternanti-nanti gaya persembahan dan nafas baharu dari peserta yang bertanding. 

- Sumber: Astro Awani 

Taylor Swift raih 3 anugerah di AMA 2015

Majlis penyampaian anugerah berprestij Hollywood, American Music Awards berlangsung pagi tadi (waktu Malaysia) di Microsoft Theatre di Los Angeles.

Majlis penyampaian anugerah berprestij American Music Awards (AMA) berlangsung pagi tadi (waktu Malaysia) di Microsoft Theatre di Los Angeles.

Anugerah tersebut merupakan anugerah muzik tahunan Amerika Syarikat yang diwujudkan oleh Dick Clark pada tahun 1973.

Diacarakan oleh Jennifer Lopez, AMA 2015 itu menyaksikan kehadiran selebriti-selebriti dari industri muzik serta hiburan seperti Selena Gomez, Justin Bieber, Kylie Jenner, Kendall Jenner, One Direction dan Nicki Minaj. 

Lanis Morrissette, Demi Lovato, Jared Leto dan Celine Dion adalah antara barisan penyanyi yang membuat persembahan di Microsoft Theatre sempena majlis anugerah ini.

Walaupun tidak dapat menghadiri majlis anugerah AMA ini, Taylor Swift meraih tiga anugerah tahun ini daripada 20 anugerah yang disampaikan.

Penyanyi popular itu memenangi trofi Lagu Terbaik 2015 (Blank Space), Album Pilihan Pop 2015 (1989) dan Artis Pilihan Kotemporari Dewasa.

Anugerah Artis Terbaik 2015 pula diperoleh oleh kumpulan One Direction serta anugerah Penyanyi Lelaki Pilihan Tahunan bagi kategori Pop dimenangi oleh Ed Sheeran.

Bagi kategori wanita Pop pula, anugerah Penyanyi Wanita Pilihan dimenangi oleh Ariana Grande.

Berikut adalah senarai pemenang:

Artis Terbaik Tahunan - One Direction

Artis Baru Terbaik Tahunan - Sam Hunt

Lagu Terbaik Tahunan - Taylor Swift “Blank Space”

Kolaborasi Terbaik Tahunan T-MOBILE - Skrillex & Diplo Featuring Justin Bieber “Where Are Ü Now”

Artis Lelaki Pilihan (POP/ROCK) - Ed Sheeran

Artis Wanita Pilihan (POP/ROCK) - Ariana Grande

Kumpulan atau Duo Pilihan (POP/ROCK) - One Direction

Album Pilihan (POP/ROCK) - Taylor Swift

Artis Perempuan Pilihan (COUNTRY) - Luke Bryan

Artis Lelaki Pilihan (COUNTRY) - Carrie Underwood

Kumpulan atau Duo Pilihan (COUNTRY) - Florida Georgia Line

Album Pilihan (COUNTRY) - Florida Georgia Line Anything Goes

Artis Pilihan (RAP/HIP-HOP) - Nicki Minaj

Album Pilihan (RAP/HIP-HOP) - Nicki Minaj The Pinkprint

Artis Lelaki Pilihan (SOUL/R&B) - The Weeknd

Artis Wanita Pilihan (SOUL/R&B) - Rihanna

Album Pilihan (SOUL/R&B) - The Weeknd Beauty Behind the Madness

Album Pilihan (ROCK ALTERNATIF) - Fall Out Boy

Artis Pilihan (KONTEMPORARI DEWASA) - Taylor Swift

Artis Pilihan (LATIN) - Enrique Iglesias

Artis Pilihan (KONTEMPORARI INSPIRASI) - Casting Crowns

Artis Pilihan (ELECTRONIC DANCE MUSIC (EDM)) - Calvin Harris

Lagu Tema Terbaik - Pitch Perfect 2 


- Sumber: Astro Awani