Saturday, 21 September 2013

Fouziah Gous, Md Zhafran selamat diijabkabul

Foto ihsan Instagram Fouziah Gous
Foto ihsan Instagram Fouziah Gous


PELAKON terkenal, Fouziah Gous selamat diijabkabulkan dengan ahli perniagaan, Md Zhafran Md Yusof dengan sekali lafaz tepat jam 9.42 malam tadi, 21 September.

Fouziah Gous dan Md Zhafran dinikahkan di Dewan Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Selangor.

Pasangan ini telah dinikahkan oleh jurunikah Ustaz Muhd Sujak Mohd Dasuki dengan mas kahwin RM1,112 beserta hantaran berjumlah RM50,000.

Fouziah menerima tujuh dulang hantaran yang berbalas sembilan.

Pasangan ini bertunang Mei lalu.

Majlis resepsi pengantin perempuan akan diadakan pada 29 September ini di Hotel J.W Marriot, Putrajaya.

Sumber

17 nyaris maut bas jatuh gaung

17 nyaris maut bas jatuh gaung
Keadaan bas ekspres membawa 17 penumpang yang terjunam setelah terlibat dalam kemalangan.


SLIM RIVER – Seramai 17 penumpang sebuah bas ekspres nyaris maut apabila kenderaan yang dinaiki itu terjunam ke dalam gaung sedalam hampir enam meter setelah terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 308.1 (arah Utara), Lebuh raya Utara Selatan (PLUS), di sini, petang tadi (Sept 20).

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, semua penumpang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Ipoh sebelum bas berkenaan hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah kereta jenis Mazda yang terbabas.

Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Superintendan Sharul Othman Mansor berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dalam perjalanan dari Selatan ke Utara itu hilang kawalan ketika cuba untuk memotong bas berkenaan.

Menurutnya, kegagalan cubaan memotong itu menyebabkan kereta melanggar besi pembahagi jalan sebelum berpusing beberapa kali di hadapan bas.

“Bas cuba untuk mengelak dari merempuh kereta itu, tetapi tidak berjaya menyebabkan kedua-dua kenderaan jatuh ke tebing lebuh raya.

“Buat masa ini, tiada kematian dilaporkan, semua penumpang selamat apabila hanya mengalami cedera ringan.

“Kesemua mereka dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan lanjut, buat masa ini, semua mangsa termasuk pemandu bas dilaporkan stabil.

“Pemandu kereta dilaporkan parah dan patah tangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Md Zin Mohd Saaidin berkata, bomba yang menerima panggilan pada jam 5.33 petang bergegas ke lokasi, berjaya mengeluarkan lapan mangsa yang cedera.

Katanya, kebanyakan mangsa lain diselamatkan orang awam.

“Kita terpaksa melakukan kerja pembersihan di tempat kejadian berikutan tumpahan minyak berlaku semasa pelanggaran.

“Operasi menyelamat yang disertai tujuh anggota tamat pada jam 6.34 petang tadi,” katanya.


Sumber

Senarai calon jawatan utama Umno Pusat

Berikut ialah senarai calon yang berdaftar untuk bertanding jawatan utama Umno Pusat pada pemilihan bulan depan, selepas tempoh pendaftaran calon berakhir pada jam 5 petang ini:


PENGERUSI TETAP :
1. Tan Sri Badruddin Amiruldin (penyandang/menang tanpa bertanding)
    
PRESIDEN:
1. Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak (penyandang/menang tanpa bertanding)



TIMBALAN PRESIDEN:
1. Tan Sri Muhyiddin Yassin (penyandang/menang tanpa bertanding)



NAIB PRESIDEN:
1. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (penyandang)
2. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (penyandang)
3. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (penyandang)
4. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad
5. Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir
6. Datuk Seri Mohd Ali Rustam



KETUA WANITA:
1. Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (penyandang)
2. Raihan Suleiman Palestin
3. Datuk Maznah Mazlan



NAIB KETUA WANITA:
1. Datuk Suraya Yaacub
2. Datuk Azizah Mohd Dun
3. Datuk Hamidah Osman



KETUA PEMUDA:
1. Khairy Jamaluddin Abu Bakar (penyandang)
2. Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi
3. Syed Rosli Syed Harman Jamalullail
4. Abd Karim Ali
5. Irwan Ambak Khalid Izhar



NAIB KETUA PEMUDA:
1. Jamawi Jaafar
2. Lokman Noor Adam
3. Mohd Iruan Zulkefli
4. Khairul Azwan Harun



KETUA PUTERI:
1. Mas Ermieyanti Shamsudin
2. Jamilah Hanim Othman



NAIB KETUA PUTERI:
1. Datin Norsabrina Mohd Noor
2. Zahida Zarikh Khan
3. Nazliah Ali
    
Senarai penuh calon yang akan bertanding pemilihan Umno 2013 dijangka diumum pada Rabu.

- Bernama


Baju dalam di pagar asrama

Baju dalam di pagar asrama
Sekeping kadbod bertulis ‘Pakaian Yang Tidak Dituntut Oleh Pelajar’ turut diletakkan pada pagar.


BAGAN SERAI - Bukan hanya baju dan seluar, malah pakaian dalam pelajar perempuan turut digantung pada pagar asrama sekolah.

Itu tindakan dilakukan pengurusan asrama sebuah sekolah agama di Kerian yang mendakwa ia sebagai hukuman dan denda terhadap pelajar yang gagal menuntut pakaian mereka.

Bapa seorang pelajar sekolah itu yang hanya ingin dikenali sebagai Shafie, 49, berkata, dia kesal dengan tindakan tersebut yang disifatkannya tidak wajar.

Menurutnya, tindakan keterlaluan dan memalukan pelajar itu diketahuinya ketika menghantar anak perempuannya pulang ke asrama Ahad lalu.

"Tindakan pihak pengurusan asrama sekolah ini sememangnya mengejutkan ibu bapa.

"Pakaian anak-anak kami digantung dan dipamerkan di pagar dan sekeping kadbod tertulis ‘Pakaian Yang Tidak Dituntut Oleh Pelajar’ turut diletakkan pada pagar," katanya kepada Sinar Harian.

Shafie berkata, pihak pengurusan sekolah sepatutnya mempertimbangkan hukuman lain yang lebih wajar.

“Kes ini sebenarnya hukuman terbaru dikenakan pengurusan asrama selepas hukuman denda keterlaluan lain dikenakan sebelum ini terhadap beberapa pelajar perempuan di sini, termasuklah hukuman ketuk ketampi sebanyak 100 kali diselangi berjalan itik sejauh 200 meter pada 26 Jun lalu.

“Persoalannya, mengapa tidak dikenakan hukuman lebih rasional terhadap pelajar yang bersalah?.

"Saya gesa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menyiasat isu ini supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.

Shafie berkata, susulan insiden itu, pihaknya mengemukakan aduan bertulis kepada pihak pentadbiran sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian dan JPN Perak.

Menurutnya, tujuan aduan dikemukakan bukannya untuk mempertahankan kesalahan dilakukan pelajar tetapi mahu pihak pengurusan asrama sekolah terbabit lebih rasional dalam mengenakan hukuman ke atas mereka.

Katanya, tindakan mengantungkan pakaian dalam bukan hanya memalukan pelajar perempuan sekolah itu malah menjadikan mereka trauma kerana diejek pelajar lelaki yang menetap di blok bertentangan asrama pelajar perempuan.

Dia berkata, sebelum ini anaknya dan pelajar perempuan lain pernah dikenakan hukuman lain yang disifatkannya juga tidak wajar.

“Saya mendesak pentadbiran sekolah memberi jaminan kejadian sebegini tidak berulang memandangkan tindakan menjatuhkan hukuman keterlaluan ke atas pelajar seolah-olah sudah menjadi budaya sekolah ini,” katanya.

Sementara itu, pengurusan sekolah itu enggan mengulas isu tersebut kerana Sinar Harian difahamkan, pihak terbabit tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan tanpa kebenaran pihak JPN.

Sumber

Wanita berbaju kurung jadi sasaran penjenayah

Pakai baju kurung mudah dirogol
Demonstrasi khas bagaimana penjenayah mengambil kesempatan tanpa mangsa menyedarinya.


Wanita yang memakai baju kurung mudah menjadi sasaran penjenayah.

Pegawai Perhubungan Awam AMANITA PDRM, Inspektor Q Sheila berkata, berdasarkan trend kes rogol terkini, kebanyakan mangsa yang memakai baju kurung mudah menjadi mangsa disebabkan pakaian itu.

Menurutnya, pakaian itu juga boleh dijadikan peralatan untuk memudahkan suspek melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Saya tidak cakap tidak boleh pakai baju kurung, tetapi wanita harus berhati-hati kerana pelaku ini berada di mana sahaja. Jadi sebagai wanita tidak seharusnya kita memberi peluang kepada mereka,” katanya ketika memberi ceramah pada Kempen Pencegahan Jenayah & Keganasan Terhadap Wanita dengan kerjasama KRT Taman gasing Indah, di Dewan Sivik MBPJ, semalam.

Menurutnya, aksesori lain yang sering dipakai oleh wanita pada tubuh badan tanpa disedari juga berisiko menjadi senjata kepada penjenayah.

“Klip rambut, beg tangan, kerongsang boleh digunakan penjenayah sebagai senjata kerana ada kes barang ini digunakan untuk mencederakan mangsa. Jadi kena kurangkan pemakaian aksesori pada tubuh,” katanya.

Selain itu, wanita juga perlu bijak sekiranya berada berseorangan terutama di dalam lif dan kawasan tempat letak kereta.

“Berdiri dalam posisi yang rapat dengan dinding lif juga membantu agar penjenayah tidak boleh mengambil kesempatan, begitu juga ketika meletakkan kenderaan di parkir yang sunyi, sentiasa memerhatikan keadaan sekeliling sebelum masuk dan keluar dari kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar wanita mempunyai peralatan bagi menangkis serangan penjenayah.

“Peralatan ini banyak di pasaran, boleh beli mana yang sesuai dan lazimnya pilihlah peralatan yang mudah dibawa dan digunakan,” katanya.

Sumber