TRAGEDI kemalangan dengan trak tentera lebih kurang tujuh tahun yang lalu menjadi titik tolak kepada Penerbit Karya Prima Production, Nik Nur Ashikin Nik Abdul Majid untuk menerbitkan satu filem patriotik berjudul Bravo 5.
Bagi penerbit ini, pihaknya sudah jemu menghasilkan filem yang tiada makna sebelum ini justeru, memikirkan pula untuk menghasilkan satu filem yang dapat mengembalikan sejarah negara dan pengorbanan wira negara kita.
“Saya tahu yang filem berkaitan tentera ini mungkin kurang diminati penonton negara kita, tetapi bagi saya bukan itu keutamaannya. Apa yang penting saya mahu membuat filem yang ada makna dan memperingati pengorbanan para jurit negara dalam memastikan negara kita sentiasa selamat.
“Dalam filem ini saya ceritakan kisah yang benar-benar berlaku dan ada yang dikomersialkan bagi memberi kelainan dan lebih menarik,” katanya kepada Zass.
Filem yang dijangka menemui penonton pada 10 September akan datang, dengan berlatarkan 1989, mengisahkan lima anggota Komando Tentera Darat Malaysia (Rejimen Gerak Khas) yang ditugaskan mengesan kedudukan gerila komunis yang merancang menguasai kedudukan strategik kawasan tengah Semenanjung Malaysia.
Malangnya perhubungan mereka terputus kerana mengalami kerosakan ‘set peralatan komunikasi’. Tanpa bantuan pasukan sahabat lain yang sepatutnya tiba, mereka terpaksa bertempur dengan hampir 200 anggota gerila komunis.
Filem ini diarahkan oleh Mohd Latiff Zami atau lebih dikenali sebagai Yeop Hitler dengan dibintangi barisan pelakon handalan antaranya Beto Kusyairy, Remy Ishak, Sofi Jikan, Sashi Tharan, Xavier Fong dan Frank Peterson.
Nyata, pertama kali menghasilkan filem aksi dan patriotik, Nik Nur mengakui pihaknya tidak lari daripada menghadapi beberapa cabaran.
“Filem ini telah jalankan penggambaran sejak lima tahun lalu dengan pelbagai cabaran termasuk bajet, kekangan ekonomi dan mendapatkan penaja. Oleh sebab sukar dapatkan penaja, saya telah berusaha sendiri untuk mendapatkan lagi penaja filem ini agar ia dapat direalisasikan juga tanpa putus asa,” katanya.
Sokongan Yang di-Pertuan Agong
Oleh sebab filem ini mendapat kerjasama sepenuhnya dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), justeru buat pertama kalinya, filem pertama patriotik ini akan dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai penaung.
“Insya-ALLAH pada 3 September ini, filem ini akan dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di samping akan melancarkan sekali novel Bravo 5.
“Novel tersebut adalah adaptasi cerita dari filem ke novel. Dengan pelancaran itu membuatkan segala cabaran yang tempuhi sepanjang menjayakan filem ini dirasakan sangat berbaloi,” katanya penuh kesyukuran.
Pastinya untuk mengarahkan filem aksi ini, pemilihan pengarah adalah sangat penting, justeru setelah mendapat persetujuan, akhirnya pengarah Yeop Hitler dipilih untuk mengarahkan filem tersebut.
“Pada mulanya kami tawar kepada dua tiga pengarah terkenal negara ketika itu, namun masing-masing punyai komitmen kerja yang ketat dan akhirnya tiada jodoh dengan mereka.
“Akhirnya setelah diperkenalkan oleh pengarah sinematografi, Hitler sedia menjadi pengarah bagi filem ini kerana dia juga minat akan filem sedemikian.
“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan Hitler melakukan kerja dengan sebaiknya apabila sasaran penggambaran selama 60 hari dapat dicapai,” katanya.
Antara lokasi penggambaran filem ini ialah di Tapah, Cameron Highlands dan beberapa lagi kawasan sekitar Perak dan Pahang termasuk Tugu Negara.
“Kami pilih lokasi tersebut kerana ia bersesuaian dengan cerita. Bukan berlatar belakangkan kejadian sebenar kerana jika mengikut sejarahnya, kejadian berlaku di banyak lagi kawasan.
“Tugu Negara pula menjadi antara lokasi terakhir kami kerana, di situ, ada pelakon mendapat inspirasi untuk melakonkan watak yang dipegang di samping terdapat keluarga bekas parajurit yang turut berada ketika penggambaran di Tugu Negara itu,” katanya.
Latih jadi komando
Apabila bercerita mengenai watak dalam filem yang menjadi pemain utama dalam penceritaan, pastinya penghayatan watak oleh pelakon amat penting jika mahukan filem yang berkualiti.
Justeru, Nik Nur berkata, setiap pelakon memberikan komitmen yang sangat tinggi dalam lakonan mereka termasuk Beto Khusyairi.
“Setiap pelakon diberikan latihan komando terlebih dahulu sebelum memulakan penggambaran bagi memberikan mereka pengalaman menjadi komando sebenar.
“Beto sendiri, apabila habis menjalani latihan, memang berubah sama sekali wataknya, terus menjadi seorang pendiam, tegas, gila-gila memang seperti seorang komando sebenar.
“Hasilnya dalam lakonan dia memberikan komitmen terbaik dan dia jugalah watak utama yang akhirnya sendirian terselamat dari operasi tersebut,” katanya.
Memandangkan filem ini telah lima tahun berjalan, pastinya kos keseluruhan filem memakan kos yang tinggi.
“Memang kos untuk filem ini sedikit tinggi iaitu kira-kira RM3 juta. Kos yang tinggi itu punca utamanya adalah dari segi bayaran. Ada bayaran yang kami perlu lunaskan dua kali akibat pembatalan dan kelewatan, oleh itu kos filem menjadi tinggi,” katanya.
Namun, walaupun terpaksa mengeluarkan dana yang besar, Nik Nur lega apabila semangat yang ditunjukkan ATM untuk filem ini tidak pernah luntur.
“Saya sangat hormat dan menghargai kerjasama pihak Mindef (Kementerian Pertahanan) yang benar-benar memberikan komitmen dalam menjayakan filem ini. Komando yang terlibat tetap ada bersama kami selama 24 jam. Itu yang membuatkan saya bangga bekerjasama dengan mereka. Nampak semangat wira itu,” katanya.
Giat promosi
Bagaimanapun, dalam keterujaan mengharapkan filem ini mendapat sambutan pecah panggung, ada juga kerisauan dalam diri penerbit ini apabila filem berkenaan melibatkan lakonan ATM.
Justeru, bagi memberikan kerjasama yang baik juga di pihak penerbit, kini mereka sedang giat melakukan promosi filem di seluruh negara.
“Kami kini sedang melakukan jelajah promosi ke seluruh negara. Pada masa yang sama, kesemua lagu dalam filem akan dijadikan album Bravo 5. Dalam filem ini terdapat beberapa lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi terkenal termasuk Amy Search, Awi, Hazama dan beberapa lagi penyanyi.
“Pihak kami juga akan melakukan jelajah panggung pacak di beberapa lokasi yang tidak mempunyai panggung wayang agar filem ini boleh ditonton segenap masyarakat termasuk di Kelantan dan kawasan Orang Asli,” katanya.
Pihaknya juga merancang untuk menubuhkan kafe Bravo 5 yang akan turut mendapat kerjasama daripada ATM sendiri.
- Sumber: Sinar Harian