Shahida enggan mengikut anggota MBMB ketika ditemui di Taman Bunga Merdeka jam 3.20 pagi semalam.
MELIHATKAN seorang remaja yang cuba mengeraskan diri ketika ditarik anggota penguatkuasa, membuatkan saya sedar betapa beruntungnya mempunyai keluarga yang ‘peduli’.
Menyaksikan dia menangis dan menjerit-jerit kerana tidak mahu ‘diangkut’ oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat saya bersyukurnya kerana tidak mengikut nafsu amarah dan fikiran dangkal untuk melarikan diri dari rumah sepertinya setiap kali merajuk dengan keluarga ketika masih di bangku sekolah rendah.
Tangan genggam gam
Jeritannya memecahkan kesunyian dinihari di kawasan Taman Bunga Merdeka, memancing perhatian bukan sahaja anggota penguatkuasa yang menyertai operasi malah orang awam berada di kawasan berhampiran Pusat Beli Belah Dataran Pahlawan dan Menara Taming Sari di Banda Hilir pada jam 3.20 pagi.
Remaja dikenali sebagai Shahida (bukan nama sebenar), berusia 17 tahun itu pada mulanya tenang menjawab setiap soalan diajukan anggota penguatkuasa JKM diketuai Noor Hayati Zaman, sambil tangan menggenggam sebungkus plastik kecil dipercayai mengandungi gam.
Namun dia mula menangis dan menjerit enggan mengikut penguatkuasa sebelum diserahkan kepada keluarga apabila diberitahu remaja di bawah umur dilindungi Akta Kanak-kanak dan perlu diselamatkan daripada bergelandangan. Keadaan itu membuatkan kepala saya ligat berfikir, apa sebenarnya masalah yang menghantui dirinya.
"Tak nak balik! Tak nak jumpa mak!"
Itu antara ayat yang diulang, disulam tangisan sepanjang berjalan dan ‘diheret’ ke lori Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersama tujuh lagi gelandangan termasuk tiga remaja bawah umur dan seorang wanita kurang upaya (OKU) berusia 38 tahun yang mengaku sebagai kakak angkat Shahida.
Sebagai pemerhati, saya mengharap dia dan keluarga menemui penyelesaian yang baik apa jua pun masalah pun dihadapi.
Berkongsi selimut, bertilam rumput
Operasi bersepadu MBMB turut disertai penguatkuasa Imigresen, Pejabat Kesihatan Melaka Tengah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu kemudian ke Padang Dataran Pahlawan sebelum menemui pasangan sebuah kolej di negeri ini yang tidur berkongsi selimut.
Suasana sepi di kawasan lapang bertukar riuh ketika pemeriksaan terhadap pengunjung di situ bagaimanapun langsung tidak mengganggu lena kedua-dua remaja berusia 19 tahun berkenaan.
Malah walau bertilamkan rumput dan berbumbung langit, pasangan yang nyenyak berselubung hanya menyedari kehadiran penguatkuasa di kawasan padang itu selepas dikejutkan seorang pegawai MBMB.
Rasa kasihan menyelubungi diri apabila gadis yang berasal dari negeri di sebelah utara itu mendakwa datang ke Melaka untuk menguruskan penangguhan pengajian berikutan masalah keluarga serta terpaksa ‘squatting’ di asrama beberapa hari sebelum rakan-rakan tidak lagi membenarkan dia menumpang di asrama dikhuatiri diketahui pihak kolej.
Disebabkan tidak punya cukup wang dia terpaksa tidur di padang berkenaan sementara menunggu jam 9 pagi untuk pulang ke kampung menaiki bas dari Melaka Sentral.
Apabila melihat tindakan teman lelaki yang lagaknya seperti hero membawa sehelai sahaja selimut untuk bekalan tidur mereka memercikkan rasa geram di hati. Tindakan mereka juga pasti boleh membangkitkan rasa marah sesiapa sahaja apabila tidur bersama-sama sedangkan tiada ikatan sah antara kedua-duanya.
Namun tindakan bersahaja dengan hujah pembelaan yang boleh dianggap sebagai ‘after thought’ antaranya tidak melakukan apa-apa mampu mencuit hati setiap kami. Teman wanitanya bagaimanapun diselamatkan JKM yang berjanji akan menghantarnya ke terminal bas sebelum jam 9 pagi.
Operasi yang disertai 60 anggota selama hampir lima jam bermula 12 tengah malam itu turut menahan empat pasangan termasuk pasangan dari institut pengajian tinggi (IPT) di Alor Gajah, di tiga hotel bajet di sekitar Banda Hilir, yang disyaki berkhalwat.
Pelajar wanita berusia 19 tahun dan teman lelakinya yang berusia 21 tahun kemudian diserahkan kepada JAIM untuk tindakan lanjut.
- Sumber: Sinar Harian