Saturday, 19 April 2014

Orang ramai diminta berwaspada terhadap penularan MERS

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr N.K.S Tharmaseelan

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah penularan wabak "Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV).

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr N.K.S Tharmaseelan berkata tidak perlu bagi sesiapa untuk menukar rancangan perjalanan kerana MERS. Bagaimanapun, pelawat yang hendak ke negara-negara di atau dekat Timur Tengah hendaklah mematuhi langkah berjaga-jaga.

"Mereka hendaklah kerap mencuci tangan dan mengelak daripada orang yang sakit dan menutup hidung dan mulut apabila batuk atau bersin.

"Jika demam dan menunjukkan tanda-tanda jangkitan respiratori seperti batuk atau kesukaran untuk bernafas dalam tempoh 14 hari selepas melawat ke negara-negara di Timur Tengah atau negara jiran, mereka hendaklah segera mendapatkan rawatan dan maklumkan mengenai sejarah perjalanan terbaru mereka," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Rabu lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengesahkan bahawa seorang lelaki meninggal dunia pada 13 April akibat MERS-CoV, kes pertama seperti itu dilaporkan di Asean.

Lelaki itu baru pulang ke tanah air selepas menunaikan umrah.

Tanda-tanda jangkitan MERS adalah seperti demam, kesukaran bernafas, radang paru-paru dan kegagalan buah pinggang.

-- Bernama

Malaysia - Australia tandatangani perjanjian bahagi tugas


KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan Australia akan menandatangani satu perjanjian dalam menentukan tugas mengendalikan apa-apa penemuan yang berkaitan dengan pesawat MH370 termasuk kotak hitam.

Dalam satu laporan oleh New Straits Times (NST), Malaysia sedang menggubal perjanjian berkenaan demi melindungi keselamatan kedua-dua negara dari kesulitan undang-undang yang mungkin timbul semasa fasa pemulihan.

Kerajaan Malaysia berharap perjanjian tersebut dapat dimuktamadkan tidak lama lagi dan diluluskan pada mesyuarat Kabinet minggu hadapan.

Pihak Canberra sedang mengkaji memorandum persefaham tersebut, kata laporan itu.

“ MOU tersebut akan menyatakan tugas dan tanggunggjawab masin-masing dengan terperinci” kata Ketua Penerbangan Awam, Azharuddin Abdul Rahman.

Azharuddin berkata lagi kepada NST , Malaysia akan mengetuai dalam kebanyakan penyiasatan yang dijalankan bersama bantuan oleh kerajaan Australia dan negara-negara lain.

Walaubagaimanapun, kata Azharuddin butiran mengenai perjanjian tersebut tidak boleh didedahkan.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, bermula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi.

Selepas analisis dibuat terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

-- Agensi 

"Tanpa Michael, saya akan mati", jenaka terakhir Karpal

Sangeet Kaur Deo (kiri) bersama ibu Gurmit Kaur dan Sangeeta Kaur Deo (kanan)


IPOH: Sehari sebelum kemalangan, mendiang Karpal Singh ada melawak bersama pekerja-pekerja di pejabatnya dan mengatakan “Tanpa Michael saya akan mati”.

Lalu Michael menjawab, “Tanpa boss (Karpal), saya juga akan mati”.

Perkara tersebut diceritakan oleh anak perempuan mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh pada Sabtu.

Pada masa sama, Sangeet menyifatkan Michael merupakan pekerja yang sangat dedikasi, rajin serta amanah dalam menjalankan tugas beliau.

Menurut Sangeet, Michael telah berkhidmat dengan mendiang ayahnya hampir 9 tahun.

Selain Sangget, anak-anak mendiang yang lain, Ramkarpal Singh dan Man Karpal turut hadir ke Jabatan Forensik HRPB pada Sabtu bagi menguruskan mayat mendiang, Michael Cornelius Jayakrishnan untuk dihantar pulang ke Vellore, India.

Sangeet jelas tidak dapat menahan sebak tatkala mayat mendiang Michael diusung masuk ke dalam van mayat.

Bagi Sangeet, beliau tidak dapat membalas jasa baik Michael yang selama ini banyak berbakti kepada keluarga terutamanya kepada mendiang Karpal.

Mayat mendiang akan menaiki kargo pesawat MH180 yang akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 10 malam Sabtu menuju ke Vellore, India.

-- Astro Awani

Perak terus layu

Perak terus layu
Nasir (kanan) bersaing merebut bola dengan Norshahrul Idlan Talaha.


ENTAH apa agaknya yang berlaku pada skuad Liga Super Perak musim ini, setelah mempamerkan aksi cemerlang di awal musim, The Bos Gaurus (TBG) dilihat seakan mula ‘layu’ pertengahan saingan liga dan berterusan hingga ke penghujung pusingan pertama.

Memasuki pusingan kedua, Kejor Yeop Skor itu dilihat semakin parah apabila tewas pada dua aksi awal kepada Selangor dan terbaru Johor Darul Ta'zim (JDT) di gelanggang sendiri yang sekali gus mencatat sejarah hitam dalam sejarah bola sepak Perak.

HILANG SABAR

Justeru sejurus tamat perlawanan penyokong sudah mula hilang sabar dengan situasi semasa pasukan hingga menyaksikan kekecohan di dalam serta di luar stadium hingga menyebabkan sekelompok penyokong JDT diarahkan berada di trek dan padang demi keselamatan.

Lebih malang apabila ada dalam kalangan petugas media turut cedera dipercayai akibat terkena balingan objek keras dalam suasana kekecohan berkenaan.

Situasi berkenaan secara tidak langsung memaksa campur tangan Pasukan Polis Simpanan Persekutan (FRU) mengawal keadaan hingga terpaksa melepaskan bom asap serta semburan air (water canon) bagi mengawal suasana.

PAMER ISYARAT

Pastinya penyokong sudah mula memberi isyarat kepada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) itu sendiri agar segera bertindak bagi menangani masalah kemerosotan pasukan pada ketika ini.

Apa tidaknya, ketika penyokong sudah mula kembali ghairah memenuhi stadium menyaksikan ‘legasi baru’ skuad Seladang beraksi secara tiba-tiba pula rentetan kekalahan menjelma.

Tidak cukup di gelanggang lawan, kesebelasan pemain turut berputih mata di gelanggang sendiri.

Ya, biarpun kekalahan berkenaan tidak melibatkan jumlah jaringan besar, namun ianya sudah cukup meletakkan skuad TBG pada kedudukan tercorot Liga Super pada ketika ini.

TUGAS BERAT

Aksi menarik pemain import baharu Perak, Milan Purovic pada aksi Liga Super menentang JDT di Stadium Perak, Selasa lalu dilihat berjaya memberi sedikit harapan kepada para penyokong dan pasukan terutamanya ketumpulan penyudah di hadapan gawang lawan yang menghantui pasukan selama ini.

Pastinya tugas berat menanti walau siapa juga yang dilantik mengemudi TBG , samada jurulatih baharu, ataupun mengekalkan khidmat Abu Bakar Fadzim atau Burn.

Di atas kertas, kedudukan Perak kini yang sekadar mengumpul tujuh mata pastinya mengundang resah dalam kalangan penyokong dan kemuncak keresahan berkenaan telah pun dilahirkan menerusi insiden kekecohan di Stadium Perak tempoh hari.

-- Sinar Harian 

Lelaki harap isteri, anak pulang segera

Lelaki harap isteri, anak pulang segera
Gambar Wang Sheng Yan bersama anaknya Wang Jun Hao yang hilang sejak Isnin lalu.

KLUANG - Seorang suami dibelenggu dengan rasa bimbang berikutan isteri dan anak sulungnya keluar rumah dan tidak pulang ke rumah sejak Isnin lalu.

Tan Yong Hong,36, yang bekerja sebagai jurujual kereta berkata, isterinya, Wang Sheng Yan, 34, yang sedang mengandung dua bulan keluar rumah membawa anak sulungnya, Wang Jun Hao,4, tanpa meninggalkan sebarang pesanan kepadanya.

Beliau berkata, isteri dan anaknya keluar dari kediamannya di Yap Tau Sah, di sini lebih kurang jam 8 pagi hasil daripada maklumat jiran-jiran.

“Ketika isteri dan anak saya keluar saya sudah keluar bekerja dan saya hanya tahu pada masa itu isteri saya mengalami tekanan yang kuat disebabkan kelakuannya yang di luar kawalan sehingga keluar rumah.

“Isteri saya mempunyai penyakit yang memerlukannya makan ubat setiap hari tetapi pada hari Ahad itu, dia (isteri) tidak makan ubat sehingga menyebabkannya bertindak keluar rumah dengan membawa anak sulung kami.

“Selalunya jika dia keluar bersiar-siar dia akan pulang semula di rumah tetapi sekarang ini, dia terus menghilangkan diri tanpa sebarang berita sehinggakan kami sekeluarga risau akan keselematan mereka berdua,” katanya kepada Sinar Harian.

Yong Hong yang mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia lima bulan berkata, dia amat risau tahap kesihatan isterinya berikutan isterinya sedang mengandung.

Beliau berkata, sejak kehilangan isteri dan anaknya dia sudah tidak tentu arah, malah semua tempat di sekitar Kluang dicari namun gagal menemuinya.

“Isteri saya tidak mempunyai keluarga di sini kerana semua keluarga belah isteri berada di China dan hanya keluarga saya sahaja yang ada.

“Sekarang ini, saya sibuk menjaga anak kedua saya yang masih kecil dan saya berharap sangat isteri serta anak saya pulang ke rumah dengan segera kerana kami menanti kepulangannya.

“Saya juga berharap kepada sesiapa yang mengenali isteri dan anak saya untuk terus memaklumkan kepada saya. Jika ada sesiapa yang mengetahuinya boleh terus menelefon saya di talian 016-7611883 atau 016-7477214.

“Laporan polis juga telah dibuat oleh ibu saya di IPD Kluang sehari selepas kehilangan isteri dan anak sulung saya,” katanya.

-- Sinar Harian 

Pemimpin berlainan parti politik beri penghormatan terakhir kepada Karpal Singh


GEORGE TOWN: Para pemimpin parti politik tanpa mengira bangsa dan agama terus mengunjungi kediaman mendiang Karpal Singh di sini pada Jumaat untuk memberi penghormatan terakhir.

Antara yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid, Naib Presiden PKR Azmin Ali serta beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional.

Nancy ketika ditemui pemberita, berkata Karpal Singh merupakan seorang pemimpin yang tegas dan peguam yang komited dalam menegakkan keadilan.

"Kali terakhir saya bertemu mendiang ialah ketika perbahasan persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini," kata Nancy yang juga Anggota Parlimen Batang Sadong, Sarawak.

Sementara itu, Jahara yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Air Tawar pula menyifatkan pemergian Karpal Singh sebagai kehilangan besar kepada negara.

"Karpal merupakan seorang peguam yang beretika dan sangat berpegang kepada prinsip yang harus dicontohi oleh semua peguam dan sebagai ahli politik, beliau adalah seorang yang profesional dan tidak sesekali membuat serangan peribadi," katanya.

Azmin yang turut ditemui di kediaman Karpal Singh berkata mendiang merupakan seorang mentor yang sentiasa membantu orang yang kurang berkemampuan.

"Beliau merupakan seorang ikon yang tiada pengganti dan pemergian beliau bukan sahaja satu kehilangan besar kepada Pakatan (Rakyat) tetapi juga seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Karpal Singh maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan serba guna (MPV) yang dinaikinya dan sebuah lori di Km306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurong di Kampar, Perak awal pagi semalam.

-- BERNAMA 

Liong Sik sifatkan Karpal sebagai pelajar yang nakal


GEORGE TOWN: Bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik menyifatkan mendiang Karpal Singh sebagai pelajar yang suka main-main dan selalu gagal dalam peperiksaan.

Dr Ling yang tinggal sebilik dengan Karpal di asrama pada awal 1960-an berkata mereka bersama-sama menuntut di Universiti Malaya di Singapura.

"Kami menginap di asrama yang sama di Dunearn Road di Singapura dan saya mengingati beliau sebagai seorang pelajar nakal yang selalu gagal dalam peperiksaan.

"Semasa saya menjadi presiden kesatuan pelajar, Karpal masih di semester satu sebagai anggota jawatankuasa," kata beliau kepada pemberita sebelum memberi penghormatan terakhir kepada Karpal di sini.

Beliau berkata, pada suatu ketika, Karpal bertekad untuk lulus semua kertas peperiksaan dan memperoleh ijazah untuk menjadi peguam yang dihormati dan beliau telah membuktikannya.

Ketika ditanya mengenai persahabatannya dengan Karpal, Dr Ling berkata kedua-dua mereka menjalin "hubungan rapat secara senyap" memandangkan mereka menyertai parti politik yang berbeza selepas memperoleh ijazah.

"Pernahkah anda mendengar Karpal memarahi Liong Sik atau saya memarahi Karpal. Tidak, kami tidak pernah memarahi satu sama lain disebalik berbeza fahaman politik. Saya hanya memarahi DAP dan beliau cuma memarahi MCA.

"Saya amat merasai kehilangan Karpal dan negara juga kehilangannya," kata bekas menteri pengangkutan itu yang kelihatan sebak apabila menceritakan mengenai kawan lamanya.

Bekas presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu pula berkata Karpal selalu membangkitkan persoalan bagi kepentingan rakyat dalam sidang Dewan Rakyat.

"Saya dan beliau sama-sama menghadiri sidang Parlimen (Dewan Rakyat) selama beberapa tahun dan setiap kali beliau membangkitkan soalan, ia selalu untuk faedah rakyat.

"Apa sahaja soalan yang beliau bangkitkan, saya akan memberi jawapan yang memuaskan. Saya akan menyediakan maklumat lanjut jika beliau memerlukan penjelasan selanjutnya.

"Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada negara dan saya berasa amat sedih kerana kami telah kehilangan seorang rakan yang karib," kata beliau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beliau mengenali Karpal semasa sama-sama menjadi anggota Parlimen pada 1986.

"Kami mungkin berbeza pendapat semasa perbahasan di Parlimen tetapi di luar, kami masih berkawan dan saya rasa pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada negara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gerakan Datuk Dr Cheah Soon Hai berkata kerjaya politik Karpal lebih cemerlang daripada kebanyakan orang yang seangkatan dengannya pada masa itu.

"Karpal meninggalkan warisannya untuk dikenang oleh rakyat Malaysia terutama dalam politik dan juga dalam kalangan pengamal undang-undang," kata beliau.

Mereka yang memberi penghormatan terakhir kepada Karpal di kediamannya di Jalan Utama di sini hari ini termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, naib presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun, Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang, pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang Teng Chang Yeow, ketua pembangkang Dewan Undangan
Negeri Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Karpal Singh terbunuh dalam nahas jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar pukul 1.10 pagi semalam.

Mendiang berusia 74 tahun.

Turut terbunuh dalam nahas itu ialah pembantu peribadi beliau, Michael Cornelius, 39.

-- BERNAMA 

DARPA looking at smarter, safer autopilot



Autonomous aircraft serve their purpose, but there's no question that pilotless passenger flights are a long way off, if they ever become a reality. 

Still, there's obviously room for improvement when it comes to on-board systems that assist pilots in their duties. The Defense Advanced Research Projects Agency (DARPA) is in the process of creating an advanced autopilot system calledALIAS (yes, another acronym). 

The Aircrew Labor In-Cockpit Automation System (there you go) would control military aircraft in all stages of flight, from takeoff to landing -- even during a system failure. Pilots would interact with the system using a touchscreen and voice control, supervising a flight instead of commanding it. 

Of course, we'll see this technology make its way to military planes long before it's adopted by airlines, but ALIAS could play a key role in keeping us all safe at 30,000 feet.

Source: Engadget 

Rumahtangga dikatakan goyah, Adam AF2 enggan ulas panjang


KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman enggan mengulas panjang tentang dakwaan mengenai keretakan rumahtangganya.

Malah dia memohon supaya diberikan sedikit masa sebelum dia mengumumkan kedudukan statusnya dengan isterinya yang juga merupakan bekas anggota kumpulan Elite iaitu Fiza.

“Saya tidak mahu komen panjang tentang perkara ini, doakan sahaja yang terbaik untuk rumah tangga kami.

“Apa-apa cerita tentang rumah tangga kami InshaAllah saya akan beritahu kelak,” katanya seperti yang dipetik mStar Online.

Mengulas mengenai gosip tersebut, Adam mengakui sebagai selebriti segala berita baik dan buruk akan dapat dihidu oleh pihak media dan masyarakat.

“Apa yang saya boleh cakap kami baik-baik sahaja dan tidak bergaduh, kami cuma sibuk dengan kerja masing-masing. Saya anggap ia sebagai satu ujian,” ujarnya.

Selain itu, Adam juga turut menafikan dakwaan melarikan diri daripada pihak media bagi mengelak ditanya mengenai isu rumahtangganya dalam sebuah majlis baru-baru ini.

“Saya balik awal pada majlis berkenaan minggu lalu sebab ada hal peribadi, manakala saya terpaksa membatalkan sebuah sesi fotografi kerana mahu pulang ke Sabah berikutan ada perkara peribadi yang perlu diuruskan,” jelasnya.

Pasangan Adam dan Fiza telah mendirikan rumahtangga pada 26 September 2013.

--ASTRO Awani 

Remaja diliwat dan dirogol teman lelaki

SUNGAI BULOH – Seorang remaja berusia 14 tahun terpaksa menempuh detik hitam dirogol teman lelakinya sendiri dalam kejadian di Kampung Paya Jaras dekat sini, minggu lalu.

Menurut sumber, mangsa yang sudah tidak bersekolah itu dikatakan keluar dari rumah di Tanjong Karang Selangor tanpa pengetahuan keluarganya.

“Mangsa dibawa ke rumah sewa teman lelakinya di Kampung Paya Jaras sebelum dirogol dan diliwat.

“Siasatan mendapati mangsa turut dirogol oleh dua lagi lelaki yang merupakan kawan serumah teman lelakinya," katanya.

Menurutnya, teman lelaki mangsa kini direman selama seminggu bagi membantu siasatan, manakala dua lagi rakannya diburu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 dan 377 kanun keseksaan kerana merogol dan meliwat.

-- Sinar Harian 

'Kerakusan Bom Ikan' menang Hadiah Kewartawanan Malaysia 2013

Wartawan Astro AWANI Tan Su Lin dan juruvideo Hairul Wildan memenangi Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI - Petronas 2013 kategori Berita Video Terbaik.

Laporan khas yang disediakan bertajuk 'Kerakusan Bom Ikan' telah disiarkan di saluran Astro AWANI pada 16 hingga 18 November tahun lalu.

Laporan khas tersebut menewaskan laporan berita 'Bukit Bintang dinodai Pak Arab' oleh NTV7 dan 'Dassault Aviation' oleh BERNAMA TV.

Pemenang menerima hadiah wang tunai RM7,500 masing-masing.

Sebelum ini, Tan Su Lin pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah Hak Asasi Manusia SUHAKAM 2013 untuk Konflik Hak Tanah Orang Asli dan Anugerah Greentech 2013 mengenai Sistem Tadahan Air Hujan.

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam ucapannya beliau memuji wartawan yang telah membuat liputan tragedi MH370 sepanjang bulan lalu sejak pesawat itu hilang pada 8 Mac lalu.

"Kewartawanan bertanggungjawab ialah yang mempertahankan negara bukan menghancurkan negara.
Liputan berita terkini oleh wartawan tempatan dan asing mengenai pesawat MH370 lebih intrik, misteri, komplikated," kata Muhyiddin.

Di majlis itu, Muhyiddin berkata wartawan telah melaksanakan tugas mereka dengan begitu profesional dan mempertahankan kepentingan nasional.

"Etika kewartawanan tidak harus berubah walaupun dunia kewartawanan dilanda teknologi baharu serta pelbagai bentuk media." tambahnya lagi.

Malam Wartawan Malaysia 2014 berlangsung di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor.

--ASTRO Awani 

Kapten feri karam dan dua anak kapal ditangkap


SEOUL: Polis Korea Selatan awal pagi tadi menangkap kapten serta dua anak kapal feri yang karam empat hari lalu.

Lee Joon Seok 68 tahun bakal berdepan lima tuduhan termasuk cuai ketika bertugas dan melanggar undang-undang maritim.

Siasatan mendapati kapten feri tidak mengemudikan kapal tersebut ketika ia karam dan membawa 475 penumpang.

Pendakwa raya pasukan penyiasat insiden itu mendedahkan semasa kejadian kapten ketiga mengemudikan feri tersebut.

Menurutnya, kapten feri tersebut tidak ada sama sekali di bilik kawalan.

Data daripada Kementerian Laut menunjukkan kapal tersebut membelok dengan tajam sebelum menghantar isyarat kecemasan.

Siasatan terhadap tragedi feri karam itu kini difokuskan terhadap mengapa ia tenggelam dengan begitu cepat dan sama ada terdapat keputusan pantas kapten untuk menyelamat dan memindah keluar penumpang.

Setakat ini 29 disahkan terkorban manakala anggota penyelamat masih bertungkus-lumus mencari dan menyelamat 270 lagi mangsa yang dilapor hilang .

-- Astro Awani 

Senarai pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2013

Berikut senarai lengkap pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2013
  • Hadiah Wartawan Kajai : Wan Norhayati Wan Alias (Berita Harian)
  • Anugerah Khas : Khalidah Abidah Amin (bekas wartawan New Straits Times) dan Lailah Elok (RTM Sabah)
  • Hadiah Wartawan Muda A Samad Said : Sakini Mohd Said (Bernama) dan Pauline Wong May Wan (The Heat)
  • Laporan Berita Cemerlang : Pearl Siok Li dan Haresh Singh (The Malay Mail)
  • Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang : Yip Yoke Teng (The Star)
  • Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang : Yushaimi Yahaya, Sharanjit Singh dan Badrol Hisham Bidin (New Straits Times)
  • Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang : Syed Azwan Syed Ali (Berita Harian)
  • Penulisan Rencana Cemerlang : Joseph Wong Fook Ming (Focus Malaysia)
  • Penulisan Kolum/Ruangan Cemerlang : Fauziah Md Arof (Utusan Malaysia)
  • Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang-Petronas : Isabelle Lai Lin Hui (The Star)
  • Kewartawanan Foto Cemerlang : Mohamad Nasarudin Mohamed Adib (Bernama)
  • Kewartawanan Esei Foto Cemerlang : Mohd Aizuddin Akmal Saad (Harian Metro)
  • Berita Video Terbaik : Tan Su Lin dan Hairul Wildan Haroun Al Rashid (Astro Awani)
  • Dokumentari Video Terbaik: Irin Putri Azmi dan Jebat M. Roseli (TV3)
Pemenang Hadiah Kajai menerima wang tunai RM30,000, 100 gram syiling emas dan iPad Mini.

Sementara itu, pemenang kategori lain menerima wang tunai RM15,000, kecuali Anugerah Esei Foto Cemerlang yang menerima wang tunai RM12,500.

'Karpal mesra dan boleh minum bersama' - Shahidan


GEORGETOWN: Itu gambaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mengenai sikap dan peribadi mendiang Karpal Singh.

Beliau yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang karpal di rumahnya di Jalan Utama, Georgetown malam ini mengakui turut merasai kehilangan ahli parlimen yang lantang bersuara di parlimen itu.

Mengulas lanjut, Shahidan menyifatkan kematian ahli parlimen Bukit Gelugor itu sebagai sesuatu yang mengejutkan.

Katanya, berita buruk itu diterima ketika beliau berada di Sabah.

Kali terakhir beliau bertemu dengan mendiang adalah pada minggu lalu di parlimen dan sempat menghantar mendiang ke keretanya.

Sambil mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang, Shahidan turut berpesan kepada anak-anak mendiang agar meneruskan bidang perundangan seperti bapa mereka.

-- Astro Awani 

Wanita seludup dadah untuk anak di mahkamah

Wanita seludup dadah untuk anak di mahkamah
Nor Salawati (tengah) dan pegawainya menunjukkan dadah diseludup wanita di mahkamah.


BALIK PULAU - Seorang wanita berusia 56 tahun, bertindak menyeludup dadah jenis heroin kepada anak lelakinya dalam bilik perbicaraan di Mahkamah Balik Pulau di sini yang menghadapi tuduhan memiliki dadah, kira-kira jam 11.15 pagi, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, wanita itu ditahan selepas polis pengiring ternampak suspek memberi satu bungkusan plastik berwarna hitam kepada anaknya selepas selesai perbicaraan.

Beliau berkata, ketika kejadian, anaknya baru dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selepas menyerahkan bungkusan itu kepada anaknya yang juga orang kena tuduh (OKT), anaknya kemudian menyerahkan bungkusan berkenaan kepada rakannya juga OKT.

“Sebelum itu, polis pengiring memberi amaran kepada wanita berkenaan supaya tidak memberi sebarang benda kerana ternampaknya mengekori OKT sambil memegang sesuatu,” katanya di sini, semalam.

Bagaimanapun, wanita itu berdegil lalu menyerahkan bungkusan kepada anaknya.Berikutan itu, polis merampas bungkusan berkenaan dan menahan OKT serta ibunya.

“Polis mendapati ada empat ketulan mampat yang dibungkus dengan plastik hitam dipercayai dadah jenis heroin. Ia dibalut dengan gumpalan tembakau sebelum dimasukkan dalam beg plastik.

“Dadah seberat 9.4 gram ini bernilai kira-kira RM500,” katanya.

Anak lelaki wanita berkenaan serta rakannya masih dalam tahanan reman penjara bagi kes Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Wanita itu dalam proses reman hari ini (semalam). Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun atau seumur hidup serta 10 sebatan jika bersalah,” katanya.

Sinar Harian 

Fasha Sandha sah hamil anak kedua


Berita kehamilan Fasha Sandha akhirnya terjawab apabila pelakon ini mengesahkan dirinya kini sedang hamil anak kedua. 

"Saya terima rezeki yang Allah berikan ini walaupun ada yang mengatakan jarak anak kedua ini terlalu dekat, kata mereka tak puas Rayfal bermanja dengan saya. Tetapi pada saya ini semua rezeki,” ujar Fasha dalam kenyataan yang dikeluarkan dalam satu laman web. 

Untuk rekod, Fasha dan suami, Jejai telah dikurniakan anak sulung, Putra Rayfal, 1, pada 15 April tahun lalu. 

Tahniah media Hiburan ucapkan buat Fasha dan Jejai, semoga berita ini akan mengeratkan lagi hubungan mereka sekeluarga.

Sumber: MH online

Bakat besar Nicki Minaj

Bakat besar Nicki Minaj
Nicki Minaj


CITA-cita sebenarnya adalah untuk menjadi pelakon terkenal. Namun, rezeki Nicki Minaj atau nama sebenarnya Onika Tanya Maraj nampaknya lebih berpihak pada bidang nyanyian.

Sejak muncul dengan lagu genre hip hop, Super Bass pada 2009, nama Minaj terus melonjak naik walaupun dia mula berkecimpung dalam bidang nyanyian sejak 2007.

Biarpun sering kali terlibat dengan kisah-kisah panas, namun wanita kelahiran Saint James, Trinidad & Tobaggo ini masih tetap menjadi sanjungan ramai kerana bakat besarnya itu.

Membawakan imej patung mainan Barbie. cukup membuatkan penyanyi berusia 31 tahun ini tampak berani dalam soal fesyen.

Tidak cukup dengan itu, ada pula yang menuduh Minaj cuba meniru Lil Kim, kuat membuat gimik dan seorang artis yang palsu.

Begitu pun, itu semua tidak langsung mematahkan semangatnya untuk meneruskan impian agar dikenali ramai peminat seperti mana Mariah Carey.

Memulakan kariernya dalam muzik underground, namanya diangkat sebagai penyanyi rap wanita setelah kolaborasinya dan Guci Mane menerusi lagu Slumber Party begitu 'menjadi'.

Bagaimanapun, nama bekas juri American Idol ini benar-benar berada di puncak kejayaan pada 2009.

Malah, selepas membuat beberapa persembahan yang cukup mengagumkan, akhirnya Minaj dilamar oleh syarikat rakaman Young Money Entertainment.

Kesempatan itu, menyebabkan dia terus menjalinkan kerjasama dengan dua nama besar dalam industri nyanyian iaitu Kanye West dan Rihanna.

Penyanyi sensasi itu kemudiannya melancarkan album studio pertamanya, Pink Friday pada 2010 sekali gus menjulang namanya apabila mendaki tangga pertama di carta Billboard AS.

Kejayaan luar biasa album itu turut membolehkannya dianugerahkan kutipan Platinum oleh Persatuan Industri Rakaman AS (RIAA) hanya sebulan selepas ia mencipta rekod cemerlang itu.

Buka itu saja, Minaj juga mencipta sejarah apabila menjadi penyanyi solo wanita pertama yang berjaya menempatkan tujuh lagunya serentak di carta terkemuka, Billboard Hot 100.

"Sebelum saya melancarkan album lagi, saya sudah ada single pertama iaitu Massive Attack yang mendapat sambutan positif dari seluruh dunia.

"Kemudian, saya menghasilkan pula single kedua, Your Love pada 2012.

"Lagu itu dihasilkan untuk membuktikan saya mampu menyanyi dan pada masa sama membuat rapping.

"Ia menjadi salah satu lagu terbaik dalam Top 100 Carta Billboard dan saya sangat bersyukur," kata pemenang empat anugerah di American Music Awards ini.


Sumbang suara Ice Age 4

Sebagai penggiat seni, Minaj dikenali sebagai penyanyi yang mampu menghasilkan pelbagai suara.

Kemampuannya melakukan rapping juga sangat baik ketika menyanyi.

Dalam satu lagu, Nicki mampu menghasilkan lima atau enam suara berbeza.

Selain berkarier di dunia muzik, Minaj juga menjadi salah seorang penyumbang suara bagi filem keempat Ice Age iaitu Ice Age: Continental Drif.

Dalam filem berkenaan, dia adalah penyumbang suara kepada seekor gajah mammoth bernama Steffie. Mengakui berasa terharu akan pemilihan tersebut, dia berasakan ia adalah satu penghormatan besar buat dirinya.

“Ini adalah satu penghormatan besar buat saya.

“Sebenarnya, hingga kini saya masih tidak dapat mempercayainya,” katanya.

Selain Minaj, filem ini turut menampilkan beberapa artis lain sebagai penyumbang suara seperti Jennifer Lopez (Shira), Seann William Scott (Crash), Heather Morris (Katie) dan Nick Frost (Flynn).


Tampil berlakon

Dalam perkembangan lain, bakat lakonan Minaj dapat dilihat menerusi cubaan pertamanya dalam filem The Other Woman yang bakal menjengah pawagam pada 1 Mei ini.

Dalam filem arahan Nick Cassavetes itu, penyanyi rap sensasi itu akan bergandingan dengan pelakon terkemuka Cameron Diaz, Leslie Mann, Nikolaj Coster-Waldau dan Kate Upton.

Filem bergenre aksi komedi itu menyaksikan Minaj bakal membawakan watak sebagai pembantu kepada Diaz.

The Other Woman mengisahkan tentang cinta tiga segi seorang lelaki yang bernama Mark, sehingga akhirnya menimbulkan kata sepakat daripada ketiga-tiga kekasihnya untuk membalas dendam terhadapnya.

-- Sinar Harian 

Makan minum dalam kelambu

Makan minum dalam kelambu
Walaupun buta, Mohd Harun tetap membantu kakaknya, Che Puteh untuk minum.


POKOK SENA - “Saya sudah puas berubat sejak 20 tahun lalu kerana gatal seluruh badan dan kini mata pula menjadi buta hingga terpaksa berhenti kerja."

Demikian luahan Mohd Harun Hat, 47, dari Kampung Tuba, Mukim Gajah Mati, dekat sini.

Menurutnya, dia kini semakin dihimpit derita apabila terpaksa menjaga kakaknya, Che Puteh Hat, 72, yang mengalami kemalangan tiga tahun lalu dan patah tulang belakang hingga lumpuh.

"Setahun selepas kemalangan itu, kakak yang menghadapi tekanan hidup turut buta.

"Kini segala keperluan kakak saya yang uruskan, namun saya terpaksa meminta saudara yang tinggal berdekatan jika kakak mahu ke tandas," katanya. 

Menceritakan detik permulaan terkena penyakit gatal itu, Mohd Harun berkata, dia mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) tetapi masih tidak sembuh dan terpaksa mendapatkan rawatan di klinik swasta.

"Semasa awal penyakit ini, saya terpaksa makan dan minum dalam kelambu kerana badan tidak boleh kena angin yang boleh mengakibatkan kegatalan.

"Apabila terlalu lama menghidapi penyakit ini, seluruh badan menjadi kehitaman dan saya turut ditinggalkan isteri," katanya.

Menurutnya, kulit badan akan merekah dan jika berhenti mendapatkan rawatan, badan akan berbau busuk hingga lalat hinggap ke badan.

"Sejak mendapat rawatan di klinik swasta, penyakit saya ini mula berkurangan tetapi jika tidak mengambil ubat, badan akan berair serta berbau,” katanya.

Kini, dia hanya bergantung kepada bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan.

"Melalui bantuan ini saya beli ubat dan keperluan harian. Namun masih tidak mencukupi kerana setiap bulan saya terpaksa beli ubat RM80 sebulan dan bakinya tidak cukup untuk menyara kehidupan saya dan kakak.

"Pernah saya memohon menambah wang bantuan dari JKM tetapi ditolak,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu dua beradik itu bolehlah menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional 02130-2900013453-2.

Sinar Harian 

Bas terbabas: 10 penumpang cedera

TEMERLOH - Sepuluh cedera apabila bas ekspres yang dinaiki mereka terbabas dalam kejadian di Km 118 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuala Lumpur awal hari ini.

Menurut jurucakap polis kejadian berlaku 1.20 pagi.

Bas itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan berpusing beberapa kali mengakibatkan pemandu dan beberapa penumpang tercampak keluar, kata jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh ketika dihubungi Bernama.

Katanya kesemua 10 mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah dan keadaan mereka dilapor stabil.

Menurut jurucakap itu jumlah sebenar penumpang belum dapat disahkan.

Beliau turut berkata siasatan awal polis mendapati pemandu bas mungkin mengantuk semasa kejadian.- Bernama

'Selamat untuk sabitkan Anwar'

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA - Adalah selamat untuk mahkamah mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana terdapat cukup keterangan untuk mengesahkan dan membuktikannya, demikian diputuskan Mahkamah Rayuan. 

Mahkamah berkata malah sekiranya diandaikan tiada bukti untuk menyokong keterangan Mohd Saiful tentang fakta berlakunya penetrasi, adalah selamat untuk mensabitkan responden (Anwar). 

Panel tiga hakim Mahakmah Rayuan diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dalam penghakiman bertulis 85 muka surat bertarikh 11 April, berkata terdapat cukup keterangan lain yang membolehkan elemen pertuduhan dapat disahkan dan dibuktikan.

Dalam penghakiman yang diedarkan kepada media hari ini, mahkamah memutuskan isu kemungkinan sampel DNA diambil daripada Mohd Saiful telah diusik oleh pegawai penyiasat kes Superitenden Jude Blacious Pereira dan telah tercemar juga tidak dapat dibuktikan.

"Kami berpendapat andaian bahawa pegawai penyiasat telah mengusik barang bukti (sampel) tidak mempunyai merit. Kami tidak tahu bagaimana hakim perbicaraan yang bijaksana boleh terkhilaf dalam pendapatnya," kata hakim berkenaan.

Berhubung andaian pihak pembelaan bahawa Jude telah mengusik eksibit itu, mahkamah mendapati tindakan pegawai penyiasat berkenaan membuka eksibit itu tidak menyebabkan eksibit itu tercemar. 

Ketiga-tiga hakim itu berkata mereka mengambil kira penjelasan diberikan Jude berhubung tindakannya itu iaitu beliau hanya mematuhi Arahan Tetap Ketua Polis Negara. 

Dua lagi hakim yang mendengar rayuan itu ialah Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh. 

Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9Jan 2012 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26, di sebuah unit Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. 

Panel itu juga berkata mereka mendapati tiada alasan untuk mereka menganggu penemuan hakim perbicaraan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah tentang isu kredibiliti Mohd Saiful dan bahawa tiada yang tidak munasabah dengan keterangannya.

"Mengikut undang-undang, kredibiliti saksi-saksi adalah paling penting bagi hakim perbicaraan. Kami berpuas hati bahawa hakim perbicaraan yang bijaksana telah menimbangkan sewajarnya keterangan saksi pertama pihak pendakwa (Mohd Saiful Bukhari)," menurut panel itu. 

Mereka berkata mahkamah telah meneliti keterangan Mohd Saiful Bukhari dan bersetuju penuh dengan hakim mahkamah tinggi apabila beliau mendapati bahawa tidak sukar untuk memahami kenapa Mohd Saiful berbuat begitu disebalik menegaskan beliau tidak merelakan perbuatan Anwar itu. 

Panel berkenaan berkata mahkamah juga bersetuju dengan keputusan hakim mahkamah tinggi berhubung kredibiliti Mohd Saiful dan tiada yang tidak munasabah dalam keterangannya. 

Mereka juga menyatakan kelewatan membuat laporan polis berhubung dakwaan liwat tidak memudaratkan kes pihak pendakwaan selagi terdapat penjelasan yang kukuh dan boleh diterima berhubung kelewatan itu. 

Mohd Saiful Bukhari membuat laporan polis pada 28 Jun, 2008, dua hari selepas kejadian liwat itu. 

Mengenai isu pengesahan identiti "Lelaki Y", mahkamah memutuskan keterangan ahli kimia Nor Aidora Saedon dari Jabatan Kimia Malaysia adalah amat penting.

Ketiga-tiga hakim berkata Nor Aidora membangunkan profil DNA "Lelaki Y" daripada eksibit iaitu sebatang berus gigi berwarna putih, sehelai tuala kecil "Good Morning" dan satu botol plastik air mineral yang telah kosong yang diperolehi dari sel lokap yang Anwar merupakan satu-satunya penghuni di situ.

Selepas menjalankan analisisnya, Nor Aidora mendapati "Lelaki Y" adalah penyumbang yang sama dengan DNA diambil daripada eksibit ditemui di lokap itu dan beliau merumuskan penyumbang DNA dan "Lelaki Y" adalah daripada sumber sama. 

Panel itu menegaskan undang-undang akan gagal melindungi masyarakat sekiranya mahkamah menerima kemungkinan-kemungkinan andaian yang akan merencatkan pelaksanaan undang-undang dengan adil. 

Anwar dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu. 

Beliau diwakili barisan peguam iaitu mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur manakala pihak pendakwa raya diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Berhubung isu alibi, hakim memutuskan kegagalan Anwar untuk memanggil mana-mana saksi bagi menyokong pembelaannya telah menimbulkan keraguan bona fide ke atas pembelaannya.

Mereka berkata antara saksi yang dinamakan di dalam notis alibi ialah isteri responden dan ketua kakitangannya.

"Saksi-saksi ini sepatutnya ada dan menyebelahi responden jika alibinya adalah tulen," kata panel itu.

Mereka juga mendapati Hakim Mahkamah Tinggi membuat kesilapan yang serius apabila beliau meragui integriti sampel DNA berdasarkan keterangan yang diberi dua pakar saksi pembelaan.

Panel itu juga memutuskan keputusan hakim perbicaraan adalah cacat dan memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan. - Bernama

Harta karun biasa dijaga makhluk halus

Harta karun biasa dijaga makhluk halus
Abd Aziz menunjukkan artifak lama yang berjaya ditemuinya sebelum ini.


MELAKA - Seorang pencari harta karundi negeri ini, Abd Aziz Husin, 59, tidak menafikan kewujudan harta karun di Pulau Nangka dan Pulau Besar, di sini.

Bagaimanapun, katanya, harta berkenaan sukar dimiliki kerana biasanya didampingi makhluk halus.

“Pulau Nangka ini memang banyak harta, tetapi orang cukup ilmu saja boleh dapat. Jika tidak cukup ilmu, memang tak dapat sebab ada 'benda-benda halus' yang menjaga harta ini.

“Jika tidak banyak amalan, lupakan saja untuk mendapatkan harta,” katanya semasa ditemui di kediamannya di Muara Sungai Duyong, dekat sini, semalam.

Abd Aziz yang gemar mencari harta karun sejak 2006 sudah menemui pelbagai artifak lama di sekitar Muara Sungai Duyong.

Antaranya bom, tembikar, dulang timah dan duit syiling, sekali gus mengesahkan kesahihan teori kapal karam di perairan Selat Melaka.

-- Sinar Harian 

Pengacara TV, DJ Mansor kritikal di hospital

Pengacara TV Selangor kritikal di hospital

SHAH ALAM - Exco Belia, Sukan dan Kemudahan Infrastuktur Awam, Dr Yunus Hairi berkesempatan meluangkan masa melawat Pegawai Perhubungan Awam dan Korporat Media Selangorku, Mansor Abu Bakar yang kini kritikal di Hospital Sentosa Klang, semalam.

Mansor yang lebih dikenali sebagai DJ Mansor terlantar di hospital terbabit sejak minggu lalu akibat komplikasi kesihatan demam denggi, jantung, darah tinggi dan paru-paru.

Beliau kini bergantung dengan bantuan pernafasan melalui mesin.

“Saya mengambil kesempatan ini merakamkan kesedihan saya kepada ahli keluarga Saudara DJ Mansor, seorang tenaga penting di sebalik penerbitan TV Selangor yang kini di dalam keadaan yang agak kritikal.

“Saya mengenali Saudara DJ Mansor dengan agak rapat kerana beliau sentiasa menghubungi saya untuk mendapatkan sebarang maklumbalas berkenaan isu-isu di Selangor dan aktiviti serta program di bawah portfolio jagaan saya untuk disebarkan melalui TV Selangor,” katanya.

Yunus berharap semua pihak mendoakan kesihatan DJ Mansor dan sekeluarga dapat bersabar dan tenang menghadapi dugaan itu.

Turut menziarahi DJ Mansor ialah Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail.

-- Sinar Harian 

'Dia sokong saya berhijab'

'Dia sokong saya berhijab'

“DIA sangat menyokong saya. Bila dia sokong, itu bermakna dia suka," jelas aktres cantik, Bella Dally mengenai maklum balas yang diterima daripada kekasihnya yang juga pelakon, Nazim Othman berhubung keputusannya untuk berhijab.

Mengakui masih lagi bersama dengan kekasihnya itu, Bella bagaimanapun tetap tegas dengan keputusannya yang tidak mahu mengulas lanjut mengenai hubungan mereka berdua.

"Saya tidak mahu komen apa-apa tentang perkara itu. Saya minta maaf," katanya kepada Zass.

Sebelum ini, Nazim pernah mengumumkan bahawa percintaan mereka berdua sudah menemui ke titik akhir.

Menceritakan mengenai keputusan penghijrahannya itu, pelakon Vanilla Coklat ini memberitahu keputusan berhijab itu berlaku di atas kerelaannya sendiri.

"Ia bukanlah secara tiba-tiba sebaliknya sudah lama saya menyimpan niat untuk bertudung.

"Saya tidak mengalami sebarang mimpi ngeri atau apa-apa yang berkaitan.

"Tetapi, saya berhijab hanya kerana ALLAH SWT," katanya.

Ketika ditanya adakah dia tidak risau jika mengalami kekurangan tawaran lakonan, Bella bagaimanapun meletakkannya sebagai ketentuan dari-NYA.

"Pada awalnya, rasa risau itulah yang menyebabkan penghijrahan saya tertangguh.

"Tapi, akhirnya saya memandang positif akan perkara itu.

"Setiap rezeki itu datangnya daripada ALLAH SWT dan saya yakin mengenainya," katanya."

Pada masa sama, Bella juga bertuah kerana mendapat sokongan penuh daripada kedua ibu bapa dan rakan-rakan di sekelilingnya.

Kusinero Cinta

Dalam perkembangan terbaharu, Bella kini baharu saja menghabiskan penggambaran drama bersiri 60 episod arahan Feroz Kadir iaitu Kusinero Cinta.

Dalam drama rantaian itu, dia akan bergandingan dengan Aaron Aziz, Tiz Zaqyah dan aktor terkenal dari Filipina, Jericho Rosales.

Mengulas lanjut, Bella memberitahu, dia sangat berbesar hati dan berbangga kerana dapat berlakon di bawah nama-nama besar terutamanya Jericho Rosales.

"Banyak pengalaman yang bagus dan positif yang saya peroleh. Saya sangat senang bekerja dengan mereka semua," katanya.

Jelasnya lagi, penampilannya dalam drama bersiri berkenaan, dia masih lagi belum berhijab dan berharap peminat faham akan situasi tersebut.

"Saya menukar imej sebaik saja penggambaran drama bersiri ini tamat. Jadi, saya tidak rasa ia akan mencetuskan sebarang kontroversi.

"Bagi saya, itu ialah masa silam saya," kata anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini.

Sinar Harian 

'Rindu nak cakap loghat Besut'

'Rindu nak cakap loghat Besut'
Noraini rindu untuk bertutur loghat daerah semula selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian.


BESUT - Seorang remaja, Noraini Ismail yang pernah menggemparkan negara dua tahun lalu kerana boleh bertutur bahasa Korea secara tiba-tiba selepas terlibat kemalangan pada Januari 2012 kini rindu untuk bertutur semula loghat daerah.

Noraini yang kini berusia 19 tahun sehingga kini langsung tidak boleh bertutur loghat Besut (Kelantan) selepas kemalangan tersebut, sebaliknya boleh berbahasa Korea manakala perbualan hariannya menggunakan bahasa Melayu.

Bagaimanapun, kini dia sudah tidak boleh berbahasa Korea, tetapi tetap tidak boleh bertutur loghat Besut menyebabkan dia amat merindui untuk bercakap bahasa itu terutama dengan ahli keluarga dan kawan-kawannya.

“Saya teringin nak cakap loghat Besut balik, tapi nak sebut ‘mak’ dalam loghat daerah ‘mok’ pun susah. Sekarang saya panggil mak mama sahaja sejak kemalangan dulu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Gong Medang, di sini.

Noraini berkata, dia sendiri tidak tahu mengapa lidahnya 'keras' untuk bercakap loghat Besut selepas kemalangan itu walaupun orang sekeliling bertutur loghat daerah.

Katanya, dia berusaha untuk bercakap dan meniru percakapan menggunakan loghat daerah yang menjadi komunikasi hariannya sejak 17 tahun lalu, namun akibat kemalangan tersebut segalanya berubah.

Anak kepada pekerja kilang papan itu bagaimanapun bersyukur kerana kemalangan motosikal yang dialaminya hanya menjejaskan bahasa pertuturannya.

“Mula-mula lepas kemalangan dulu, saya selalu sakit kepala, tapi sekarang dah tak ada dah,” katanya yang tinggal bersama keluarga.

Sinar Harian pada 6 Februari 2012 pernah menyiarkan kisah pelik yang berlaku terhadap seorang pelajar tingkatan lima yang boleh bertutur bahasa Korea dan Mandarin dengan lancar walaupun tidak pernah mengikuti kelas bahasa tersebut.

Kejadian aneh itu berlaku selepas empat hari dia terbabit dalam kemalangan pada jam 2 petang, 13 Januari 2012, apabila motosikal yang dibonceng dirempuh sebuah lori kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat Alor Lintang ketika perjalanan pulang dari sekolah.

Motosikal tersebut yang ditunggang abangnya, Jefri (ketika itu berusia 18 tahun) tiba-tiba dilanggar lori terbabit dari arah belakang menyebabkan Noraini terjatuh dan terhantuk kepala di atas jalan.

Sinar Harian 

Budak penyakit kepala besar terima bantuan

Budak penyakit kepala besar terima bantuan
Adik Mohd Haikal Rosman, 5, yang menghidap penyakit kepala membesar atau 'semilobar holoprosencephaly' dipangku oleh bapanya, Rosmat Samat, 32, dan ibunya Marlina Hashim, 27, ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Duyong, di Melaka hari ini. - Foto Bernama


MELAKA - Sepasang suami isteri hari ini menerima khabar gembira apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka meluluskan bantuan tambahan kepada anak sulung mereka yang menghidap penyakit kepala membesar atau 'semilobar holoprosencephaly' sejak lahir. 

Rosman Samat, 32, dan isteri Marlina Hashim, 27, akan menerima sebuah katil dan kerusi roda bagi kegunaan anak mereka, Mohd Haikal, 5, yang tidak boleh bergerak dan hanya mampu terbaring selain tidak boleh bertutur akibat penyakit itu. 

"Dengan adanya bantuan tambahan ini, ia dapat memberi keselesaan kepada Haikal untuk bergerak dan sedikit sebanyak dapat membantunya untuk lebih bersemangat dan tidak hanya tidur di atas tilam," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Desa Duyong di sini.

Beliau berkata sumbangan itu juga akan memudahkan pergerakan Mohd Haikal yang perlu menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur setiap enam bulan sekali bagi menukar tiub dan mengeluarkan lebihan cecair di kepalanya.

Beliau ketika ini menerima bantuan bulanan JKM sebanyak RM300 sejak 2012 selain bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Rosman yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mempunyai pendapatan sebanyak RM800 sebulan turut merayu bantuan orang ramai meringankan bebannya dalam membeli keperluan Mohd Haikal seperti lampin pakai buang, susu dan keperluan lain yang mencecah RM800 sebulan.

Sementara itu, Penolong Pengarah JKM Melaka Mohd Zamry Abulis yang menyampaikan khabar gembira kepada keluarga itu berkata pihaknya akan terlebih dahulu merujuk kepada pakar perubatan bagi meneliti jenis kerusi roda dan katil yang sesuai dengan Mohd Haikal sebelum menyerahkan bantuan tersebut.

Orang ramai yang berhasrat membantu keluarga Rosman boleh menghubungi pihak Pembela BN di talian 1300 222 352 atau menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional 0412641000064962. - Bernama