Wednesday, 24 June 2015

Oops! Gmail beri masa 30 saat untuk 'Undo Send'

KUALA LUMPUR: Tersilap hantar emel? Sebelum anda memalukan diri anda dengan ejaan atau maklumat yang salah, anda boleh membuat pembatalan penghantaran emel berkenaan, atau dikenali sebagai ‘Undo Send’, dengan akaun Gmail. 

Ciri ini pada mulanya boleh digunakan oleh pengguna tertentu Gmail sahaja sejak 2009.

Kini ia merupakan ciri yang tetap dan boleh digunakan oleh semua pengguna secara berperingkat dalam tempoh dua minggu ini.

Anda hanya perlu ke ‘Settings’ dan tentukan tempoh pembatalan supaya anda mempunyai masa untuk klik ‘batal’.

Menurut majalah Wired, tempoh yang diberikan adalah 5, 10, 20 atau 30 saat iaitu masa yang cukup untuk anda mengubah fikiran.

Ia sesuai untuk mereka yang mahu membuat pembetulan kepada kandungan emel berkenaan sebelum ia dibaca oleh pihak penerima.

Gmail merupakan salah satu produk milik syarikat gergasi internet Google yang dilancarkan secara rasminya kepada umum pada tahun 2007. 

- Sumber: Astro Awani

Harith Iskander jijik gambar anak sendiri di laman web lucah



Harith Iskander tertanya jika gambar beliau mendukung anak lelakinya di laman web lucah mempunyai unsur pedofilia. - Gambar Facebook/Harith Iskander

KUALA LUMPUR: Hati siapa yang tidak retak apabila melihat gambar anak sendiri disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggunjawab.

Selebriti terkenal tanahair, Harith Iskander meluahkan rasa jijik kerana gambar anak sulungnya yang berusia tiga tahun dimuat naik di sebuah laman web lucah, baru-baru ini.

Harith ketika dihubungi Astro AWANI menyedari perkara tersebut pagi Rabu ketika mendapat notifikasi ‘Google Alert’ menerusi emel pada Rabu.

“Menerusi notifikasi emel tersebut, ada artikel bertajuk macam ‘Gambar terbaru anak Harith Iskander’.

"Saya tidak dapat lihat laman web berkenaan menerusi telefon pintar jadi saya menggunakan komputer riba untuk melihat laman web berkenaan.

“Ternyata ia merupakan laman lucah oleh kerana ia mempunyai beberapa perkataan seperti ‘porn’ dan ‘seks’. Laman web itu juga dalam Bahasa Malaysia. 

“Memang ada gambar saya mendukung anak lelaki saya. Disebelah gambar bayi itu adalah gambar wanita bogel.

Beliau turut menyedari bahawa laman web berkenaan turut mengandungi gambar anak penyanyi dan pelakon, Erra Fazira dan penyanyi, Tomok.

“Saya tidak tahu apa niat mereka untuk membuat ini. Satu tidak tahu sama ada mereka mahu menggunakan nama saya ‘Harith Iskandar’ untuk meningkatkan ‘pageviews’ atau ia mungkin ada unsur pedofilia.

Harith akui tidak layari laman web berkenaan dalam tempoh yang lama kerana jijik dengan laman web berkenaan.

“Isteri saya pun sama jijik dan meluat dengan laman web berkenaan,” katanya.

Harith akui ada yang memberitahu beliau jangan meletakkan gambar anak-anak di media sosial, namun beliau berkata perkara berkenaan tidak boleh dielak di zaman sekarang.

“Semua orang mahu memuat naik gambar keluarga mereka, dan mereka mahu kongsi kegembiraan keluarga mereka.

“Saya tidak rasa takut setakat ini kerana kalau laman web itu diturunkan, orang lain boleh membuat laman web yang lain. Ada sahaja orang yang sakit di luar sana,” katanya.

Setakat ini, Harith memberitahu akan membuat laporan polis dan laporan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Khamis.

“Sememangnya saya mahu laman web lucah itu diturunkan serta merta,” kata Harith.

Harith melangsungkan perkahwinan dengan Dr Jezamine Lim Iskander beberapa tahun lalu dan dikurniakan sepasang cahayamata, Zander Xayne dan Alessandrea Jayne Iskander, lapan bulan. 

- Sumber: Astro Awani

Pemandu bas pakai stoking ketika memandu dikritik

Aksi yang berjaya dirakam

HANOI - VIETNAM. Seorang pemandu bas dirakam melakukan aksi berbahaya dengan memandu sebuah bas sambil memakai stoking dan menyarung kasutnya.

Lelaki yang tidak dikenali dirakam memandu bas yang membawa 40 penumpang dalam perjalanan dari wilayah tengah Binh Dinh ke wilayah Ba Ria Vung di Vietnam.

Perbuatan pemandu itu dirakam oleh salah seorang daripada penumpang dan video rakaman aksi berbahaya lelaki tersebut mula tersebar selepas disiarkan stesen televisyen tempatan.

Dalam rakaman video yang berdurasi 1.07 minit itu menunjukkan seorang lelaki memakai stoking dan kemudian menyarungkan kasut dan mengikat tali kasut semasa sedang memandu sebuah bas.

Penumpang yang merekodkan kejadian itu berkata, pemandu tersebut tidak menyedari bahawa perbuatannya itu disedari oleh penumpang yang berada di dalam bas berkenaan.

"Apabila bas tiba di destinasi terakhir, pemandu tersebut memainkan muzik dan kemudian terus menyarungkan stokin dan kasutnya.

"Pemandu itu tidak melihat jalan raya dihadapannya dan hanya sesekali memegang stereng kenderaan itu," katanya dipetik Mirror.uk

Rata-rata pengguna media sosial mengutuk tindakan tidak berhemah pemandu terbabit walaupun bas berkenaan tiba ke destinasi dengan selamat.

"Lesen pemandu tersebut perlu ditarik balik kerana memandu dalam keadaan berbahaya," kata salah seorang pengguna.

Pemandu tersebut kini dicari oleh pihak berkuasa selepas satu salinan video berkenaan diserahkan kepada pihak polis

- Sumber: Sinar Harian 

Ramadan pertama Najwa Mahiaddin sebagai isteri

Najwa Mahiaddin


MESKIPUN hampir empat bulan bergelar isteri, penyanyi bertaraf antarabangsa, Najwa Mahiaddin mengakui kehidupannya kini tidak mengalami perubahan yang begitu ketara.

Perasaan itu didorong dengan keadaannya kini yang bekerja dalam bidang sama dengan suaminya, Idris Koh Heng Hui, ditambah masih menetap di rumah keluarganya.

Biarpun bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri, namun pelantun lagu Got To Go itu mengakui tidak mempunyai masalah besar dalam membahagikan masa demi memenuhi tuntutan kerjanya. Lebih bertuah, suaminya juga adalah seorang pemuzik dan ahli kumpulan Bassment Syndicate, sekali gus pemilik Le Koof Music.

"Hidup saya masih lagi sama. Lagipun, suami saya juga terlibat dalam industri muzik yang sama. Masing-masing memahami. Kadang-kadang, saya banyak berkolaborasi dengannya sewaktu mengadakan persembahan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka

Puasa bersama Sony Music Malaysia, baru-baru ini.

Tambah artis berusia 28 tahun itu lagi, suaminya adalah pendorong utama dan penyokong kuat kepadanya.

"Saya seronok apabila suami berada selalu di sisi. Sebab dia penyokong utama saya.

"Contohnya, jika saya rasa gementar sebelum buat persembahan, dia akan tenangkan saya dan beri semangat.

"Apabila dia ada, saya rasa lebih bersemangat untuk membuat kerja sekali gus mencuba untuk memberikan yang terbaik," katanya yang selamat mendirikan rumah tangga pada 26 Mac lalu selepas tujuh tahun berkenalan dan menyulam cinta.

Lebih bermakna, penyanyi lagu How Long Must I Wait itu teruja menyambut ketibaan Ramadan di samping suami tersayang.

"Ya, walaupun kami baru berkahwin tetapi suami saya sudah pun mula berpuasa sejak lima tahun lalu. Jadi, dari mula saya kenal dia, dia memang dah mula belajar berpuasa.

"Sebelum berkahwin lagi, dia sudah mula mendalami agama Islam, jadi kehadiran saya adalah lebih kepada membantu dan membimbingnya. Sebab banyak perkara yang dia sudah tahu.

"Lagipun, dia memeluk Islam bukanlah atas niat mahu berkahwin semata-mata tetapi kerana minatnya pada agama Islam itu sendiri," katanya.

Kali ini, kata Najwa, pengalaman berpuasa lebih manis kerana melibatkan penyertaan daripada kaum keluarganya, sekali gus memberikan sejarah paling bermakna buat suaminya itu.

"Tahun ini, lebih kepada pengalamannya secara rasmi lebih-lebih lagi sejak bergelar suami. Dia agak seronok menjalani ibadah puasa sementelah lagi dikelilingi oleh keluarga.

"Kami bersahur dan berbuka bersama-sama. Alhamdulillah, suami seorang yang senang dan tidak cerewet. Makan saja apa yang dihidangkan.

"Itu eksperimen pertamanya dengan keluarga saya sekali gus memberi pengalaman baharu buatnya," katanya yang bakal pulang ke Muar bagi menyambut lebaran nanti.

Siri jelajah negara

Selepas sekian lama menyepi, anak perempuan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini berhasrat untuk merancakkan kembali perjalanan karier seninya.

"Ya, sudah pasti saya ada pelbagai rancangan untuk dilaksanakan. Saya ada merancang untuk melaksanakan siri jelajah dalam mempromosikan album Aurora.

"Mungkin ia bukan konsert yang bersifat besar-besaran tetapi ia lebih kepada perjumpaan dengan peminat. Ia satu rancangan istimewa daripada saya buat peminat setia saya.

"Pada masa sama, saya juga baru saja melancarkan video klip bagi lagu Seri Mersing," katanya.

Bagaimanapun, bagi merealisasikannya, pihaknya kini masih lagi mencari penaja selain lokasi bersesuaian.

Dalam perkembangan lain, pemenang Artis Baru Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM-18) ini baru saja pulang dari Singapura kerana terlibat dalam menjayakan persembahan penutup di temasya Sukan SEA ke-28, baru-baru ini.

"Bukan saya saja yang terlibat tetapi ia turut disertai oleh penyanyi berbakat besar, Loque.

"Malah, kami persembahkan lagu ciptaan Loque yang berjudul Lahirnya Lagenda berkonsepkan Nusantara.

"Alhamdulillah, setelah berhempas pulas, akhirnya semua berjalan lancar.

"Saya terharu kerana diberi kesempatan mewakili Malaysia dalam menjayakan persembahan tersebut, apatah lagi negara kita bakal menjadi tuan rumah untuk temasya berkenaan dalam tempoh dua tahun lagi," katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Gelombang panas Pakistan, kematian cecah 700 orang

Beribu-beribu penduduk di rawat di hospital dan berada dalam keadaan serius.

KARACHI - PAKISTAN. Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif mengumumkan langkah-langkah kecemasan selepas angka kematian akibat gelombang panas yang melanda selatan wilayah Sindh mencecah 700 orang.

Pihak berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) berkata, pihaknya telah menerima arahan daripada Perdana Menteri untuk mengambil tindakan segera menghadapi krisis ini.

Ini berikutan selepas, Setiausaha Kesihatan Wilayah Sindh, Saeed Mangnejo berkata, 612 mangsa maut di hospital kerajaan di bandar Karachi sejak empat hari lalu manakala 80 yang lain dilaporkan maut di hospital swasta.

Manakala beribu yang lain masih dirawat dan berada dalam keadaan serius.

Kebanyakan mangsa terdiri daripada warga tua dan keluarga yang berpendapatan rendah.

Sementara itu, pegawai kerajaan dikritik kerana tidak melakukan tindakan yang sewajarnya untuk menghadapi krisis ini.


Beberapa penduduk berang dengan tindakan pihak berkuasa yang telah menghadkan penggunaan pendingin hawa dan kipas.

Menurut laporan BBC, cuaca panas bukanlah perkara luar biasa di Pakistan, namun perkara ini diburukkan lagi dengan tindakan pemotongan bekalan.

Beberapa tunjuk perasaan diadakan di Karachi di mana penduduk berang dan menyalahkan kerajaan dan badan utiliti Karachi, K Electric kerana kegagalan untuk membekalkan bekalan mencukupi bagi mengelakkan kematian.

- Sumber: Sinar Harian 

Hadi arah Adun Pas Selangor sokong Azmin

Abdul Hadi Awang 

SHAH ALAM - Kesemua Adun Pas di Selangor diarahkan supaya terus setia bersama Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali bagi mengekalkan kedudukan kerajaan negeri yang memerintah pada hari ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berkata, Pas Pusat sudah pun memberi arahan kepada Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad untuk menyampaikan perkara itu kepada semua Adun Pas di negeri ini.

"Ingin saya pertegaskan bahawa, kerjasama Pas dengan komponen dalam PR di Selangor adalah dalam kerangka untuk mempertahankan kerajaan yang dibina bersama melalui kepercayaan rakyat," katanya.

Abdul Hadi dalam kenyataan media sama turut menegaskan “Pas akan terus dan tetap melaksanakan tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat, selagi mana ianya tidak bercanggah dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah”; dan juga nyata termaktub dalam Perlembagan Pas [Fasal 7(1)] bahawa hukum tertinggi dalam perlembagaan Pas ialah al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ ulama dan Qiyas".

"Pas sesungguhnya menyedari bahawa iklim kerjasama yang dibina dalam PR pada waktu ini adalah pada tahap yang paling mencabar dan berdepan dengan perbezaan prinsip yang memerlukan penyelesaian yang adil bagi memenuhi aspirasi seluruh rakyat yang mahukan perubahan.

“Bagi Pas, muafakat asal yang dibina adalah kebersamaan dalam perkara yang dipersetujui dan menjadi kepentingan bersama, manakala dalam masa yang sama mengiktiraf kewujudan perbezaan pandangan dan prinsip perjuangan parti masing-masing di kalangan parti dalam PR," tegas Abdul Hadi lagi.

DAP Selangor baru-baru ini menyarankan pembentukan kerajaan gabungan di negeri Selangor sebagai alternatif sekiranya Pas bertindak menarik diri daripada memberi sokongan kepada kepimpinan Azmin.

- Sumber: Sinar Harian 

Wanita maut melintas jalan dilanggar dua kereta


Gambar hiasan

JOHOR BAHRU - Seorang wanita pejalan kaki maut selepas dilanggar dua kereta ketika melintas jalan di Km31.5 Jalan Kluang-Ayer Hitam, berhampiran Taman UPC, Ayer Hitam, dekat Batu Pahat, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Kominsioner Din Ahmad berkata, dalam kemalangan 6.50 pagi itu, mangsa, Soo Yi Jing, 24, dari Taman UPC, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di paha, badan dan kepala.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila Yi Jing yang sedang melintas jalan dilanggar sebuah kereta dari arah Batu Pahat yang menyebabkannya tercampak ke laluan bertentangan. 

"Yi Jing seterusnya dilanggar pula sebuah Proton Saga dan diseret ke tepi jalan," kata Din.

Beliau berkata, kereta pertama yang melanggar Soo masih gagal dikesan dan tiada saksi ketika kejadian berlaku.

Katanya, mayat Yi Jing kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk bedah siasat. 

-Sumber: Bernama

Najib perlu bercuti hingga selesai siasatan


Tuan Ibrahim
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bercuti daripada tugasnya sehingga selesai siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan terbaru skandal Mara Inc dalam pembelian hartanah berkontroversi di Australia.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu wajar dilakukan pemimpin itu bagi memastikan Jabatan Audit Negara tidak diganggu dalam menyiapkan laporan 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Memandangkan Najib sendiri yang mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan telus terhadap kes ini, maka wajarlah Najib mengambil langkah pertama untuk bercuti, begitu juga dengan (Pengerusi Mara, Tan Sri) Annuar Musa sehingga siasatan selesai.

“Cuti ini pun wajar untuk memastikan persepsi ‘tiada gangguan’ terhadap kerja Jabatan Audit dalam menyiapkan laporan 1MDB kepada PAC yang dijangka siapa pada akhir bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa memberi tempoh tujuh hari kepada anak syarikatnya Mara Inc untuk menjawab berhubung dakwaan skandal pembelian hartanah di Melbourne, Australia.

Annuar berkata, Mara akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti pembelian blok apartmen Dudley International House yang dijadikan asrama pelajar tajaan agensi kerajaan itu sepertimana yang dilapor akhbar The Age.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim juga berkata pendedahan Annuar tentang pembelian hartanah tersebut yang didakwa diluluskan oleh Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Najib sendiri adalah sangat memalukan.

“Pendedahan Annuar Musa menandakan pemimpin Umno sudah mula keberatan untuk menanggung tugas menjawab keputusan-keputusan perniagaan yang kontroversi yang melibatkan Najib.

“Banyak keputusan perniagaan berkontroversi seperti 1MDB, penyenaraian Felda Global Venture (FGV), Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji dan kini Mara telah berlaku di bawah kepimpinan Najib,” katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian

Anak teringat lauk kesukaan Harun Salim Bachik

Danial Al-Rashid

SHAH ALAM - “Arwah suka ikan terubuk bakar,” itu jawapan pertama yang keluar daripada mulut anak pelawak tanah air, Allahyarham Harun Salim Bachik, Danial Al-Rashid ketika ditanya makanan kegemaran bapanya ketika berbuka puasa.

Ketika ditanya lagi tentang kenangan Ramadan dia bersama Allahyarham, Danial berkata, beliau sempat berbuka puasa bersama–sama bapanya beberapa kali dan lazimnya suasana berlangsung dengan harmoni dan ceria.

“Kami berbuka seperti biasa. Cuma dua tiga minggu sebelum arwah pergi dia banyak sangat bercakap, satu sikap arwah ini dia tidak banyak bercakap kalau orang biasa berjumpa dengan dia akan kata dia pendiam.

“...tetapi sebelum meninggal dunia arwah banyak bercakap,” ujar Danial kepada Sinar Online.

Danial yang juga merupakan anak kedua Allahyarham turut menambah, satu perkara yang begitu membuatkannya teringat akan bapanya ialah mengenai sikapnya yang sukar menolak permintaan orang lain sekiranya mereka berdepan dengan masalah.

“Contohnya katalah saya tiada duit, dia tidak pernah cakap yang dia tidak ada duit, dia akan beri, begitu juga sekiranya kawan-kawan yang lain meminta pertolongan daripadanya,” katanya.

Sementara ketika ditanya mengenai penglibatannya dalam Pas, Danial berkata arwah tidak kisah akan ‘pegangan’ yang diambil olehnya itu.

“Arwah tahu saya aktif dengan Pas dan dia tidak ada masalah dengan itu, kami selalu berbincang tentang perihal perkembangan politik semasa,” katanya.

Harun Salim Bachik atau nama sebanarnya Harun Amina Rashid, 55, meninggal dunia selepas rebah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol di Bukit Merah, Perak, pada bulan Mac yang lalu. Al-Fatihah.

- Sumber: Sinar harian

Pelarian harap dapat jumpa isteri, anak


ALOR SETAR - Bersempena Ramadan, seorang bekas tahanan kem pemerdagangan manusia di Padang Besar, Thailand menaruh harapan untuk bertemu dengan anak dan isterinya yang kini ditahan di Depoh Tahanan Imigresen, Belantik di Sik.

Muzamil Hamid Hussein, 24, berkata, isterinya, Menara Mohamad Shafi, 22, dan anak lelaki mereka, Nur Mustafa, dua tahun lima bulan ditahan di depoh Imigresen itu selepas bot yang dinaiki mereka mendarat di perairan Langkawi bulan lepas.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan anak dan isteri kira-kira satu tahun lepas, sebelum saya meninggalkan kampung halaman di Maungdaw, Myanmar untuk menaiki bot menuju ke Malaysia.

"Saya harap pihak berkuasa Malaysia memberikan sedikit kelonggaran pada bulan Ramadan dan atas dasar kemanusiaan bagi membenarkan saya bertemu anak dan isteri saya, " kata pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu kepada Bernama hari ini.

Muzamil yang kini bekerja di Kuala Lumpur diberitahu tentang kehadiran isteri dan anaknya di depoh tahanan Imigresen terbabit oleh seorang rakannya yang baru sahaja dibebaskan daripada pusat itu.

Rakannya dibebaskan daripada depoh itu berikutan statusnya sebagai pemegang kad UNHCR.

Sepanjang penahanannya di depoh Imigresen itu, isterinya yang merupakan pemegang kad pelarian yang dikeluarkan oleh pejabat UNHCR India diberikan nombor identifikasi "1037", manakala anak lelakinya "1038".

Apa yang lebih membimbangkan, katanya, adalah keadaan kesihatan anak dan isterinya tidak berapa baik pada ketika ini, berkemungkinan berpunca daripada tempoh perjalanan bot yang memakan masa hampir satu bulan untuk ke Malaysia.

"Perasaan saya tidak menentu ketika ini, kerana rakan saya beritahu anak dan isteri saya tidak sihat. Saya diberitahu (oleh rakan), isteri saya sukar untuk bergerak dan berjalan.

“Kali terakhir beliau berhubungan dengan isterinya menerusi telefon adalah sejurus sebelum kedua-dua mereka belayar menaiki bot nelayan terbabit menuju ke perairan Langkawi dua bulan lepas.

"Itu adalah kali terakhir saya bercakap dengan dia," kata Muzamil, yang turut menghabiskan masa sebulan di atas bot yang membawanya ke Thailand, sebelum ditahan di kem transit sindiket di Padang Besar selama 10 hari.

Beliau berkata, walaupun dimaklumkan oleh persatuan kebajikan, Rohingya Society Malaysia (RSM) Kedah usahanya untuk bertemu dengan anak dan isterinya di depoh Imigresen itu bakal menemui kegagalan, tetapi dia akan tetap mencuba.

Timbalan Pengerusi RSM Kedah, Yusof Ali berkata, Jabatan Imigresen setakat ini tidak membenarkan tahanan-tahanan Rohingya di depoh Imigresen itu menerima sebarang pengunjung.

"Saya menerima banyak panggilan daripada keluarga di Myanmar yang mahu mengetahui sama ada anggota keluarga mereka sedang ditahan di depoh Imigresen itu atau sama ada mereka masih hidup atau mati.

“Ia adalah situasi yang menyedihkan di mana anggota keluarga di Myanmar itu gagal menghubungi anak, adik-beradik atau saudara-mara mereka sejurus selepas menaiki bot-bot yang membawa mereka ke Malaysia atau Thailand,” katanya. 

-Sumber: Bernama

1MDB: Emel bocor PetroSaudi telah dipinda

1Malaysia Development Berhad

KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berkata, siasatan awal ke atas bekas kakitangan PetroSaudi yang ditahan kerana cubaan peras ugut berkaitan e-mel maklumat milik PetroSaudi menunjukkan sebahagian daripada e-mel yang dibocorkan itu telah dipinda.

Dalam satu kenyataan di sini, 1MDB berkata, ia yakin pihak berkuasa akan menyiasat secara terperinci, mengumpul fakta dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

"1MDB juga berjanji akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan mereka ke atas perkara ini," katanya. 

- Sumber: Bernama

Pengarah Hospital Sungai Buloh mohon maaf atas insiden tuala mandi

Seorang pelawat di Hospital Sungai Buloh telah disuruh menutup bahagian kakinya oleh beberapa orang pengawal keselamatan. - Facebook

KUALA LUMPUR: Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Khalid Ibrahim pada Selasa memohon maaf di atas insiden meminta seorang pelawat hospital memakai tuala mandi bagi memasuki hospital tersebut.

Dalam satu kenyataan media, Dr Khalid memohon maaf kepada mangsa yang bernama Nisha di atas kesulitan yang dihadapinya. 

Kenyataan Dr Khalid yang dimuat naik di Facebook pada Selasa
"Kami memohon maaf di atas insiden berkenaan. Perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan kami tidak menghalang mana-mana pelawat dari memasuki hospital hanya kerana pakaian mereka.

"Bagaimanapun, kami menggalakkan orang ramai untuk berpakaian sopan ketika melawat pesakit," katanya melalui sebuah kenyataan Facebook.

Dr Khalid berkata, kejadian itu berlaku disebabkan oleh 'salah faham' dan aduan telah dibuat terhadap pengawal keselamatan yang memberikan arahan tersebut.

Sebelum ini, seorang pengguna Facebook bernama "Nisha Daddygal" mendakwa dipaksa memakai tuala mandi oleh pengawal keselamatan Hospital Sungai Buloh hanya kerana memakai seluar pendek ketika melawat pesakit bersama ayahnya.

Pada 21 Jun lalu, Nisha berkongsi insiden yang berlaku terhadapnya di Facebook dimana dia dilarang untuk memasuki ke kawasan hospital oleh pengawal keselamatan hanya kerana memakai seluar pendek.
Status yang dimuat naik 'Nisha Daddygal' di Facebook
Menurut Nisha, sebaik sahaja dia sampai di pagar hospital, terdapat beberapa orang pengawal keselamatan menahannya dan berkata dia tidak boleh masuk kerana memakai seluar pendek.



Foto-foto yang dimuat naik Nisha di Facebook

"Seperti yang diarahkan, ayah saya kemudian terpaksa masuk ke dalam wad dan meminjam kain tuala pesakit dan memberikan kepada saya untuk menutup bahagian lutut dan pinggang," tulis Nisha.

- Sumber: Astro Awani

Komposer Titanic maut nahas pesawat

James Horner

KOMPOSER runut bunyi filem terkenal Titanic, James Horner, 61, maut dalam nahas pesawat di California Selatan.

Menurut laporan, pesawat satu enjin milik pemuzik yang berusia 61 tahun ini terhempas pagi semalam dekat Quatal Canyon di Los Padres National Forest, kira-kira 100 kilometer dari Los Angeles.

Pihak berkuasa tempatan berkata, juruterbang pesawat malang yang dipercayai dikendalikan James terbunuh dan tiada penumpang lain di dalam pesawat tersebut.

Peguam komposer, Jay Cooper berkata, pesawat tersebut kepunyaan James dan tiada sebarang maklumat diterima daripadanya sejak insiden tersebut.

"Pesawat itu adalah miliknya, dan jika bukan dia di dalam pesawat, pasti dia akan telefon," katanya dipetik Metro.uk

James adalah seorang komposer prolifik dan mencipta beberapa runut bunyi untuk filem-filem terkenal termasuk Avatar, Troy,How The Grinch Stole Christmas, A Beautiful Mind, Aliens, Braveheart, Apollo 13 dan juga beberapa filem Star Trek.

Bagaimanapun, karya James yang paling mendapat perhatian ialah runut bunyi filem Titanic, My Heart Will Go On malah pernah memenangi Anugerah Oscar untuk Skor Muzik Asli dan Muzik Asli Terbaik.

- Sumber: Sinar Harian

Ada sebab kenapa Tun M selalu turun bazar

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempat meninjau gerai-gerai yang menjual juadah berbuka puasa di bazar Ramadan Stadium Shah Alam

SHAH ALAM - "Nak cari popia," itu jawapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya tujuan beliau selalu turun ke bazar Ramadan.

Katanya popia merupakan antara makanan wajib beliau sekiranya ingin berbuka puasa. 

"‎Tun teringat Pekan Rabu kah?’ soal seorang pengunjung yang turut mengambil kesempatan bertanya kepada beliau? 

“Pekan Rabu tidak berapa ada popia, cuma ada pulut udang. 

“Sini tidak ada pulut udang, orang sini tak tahu buat pulut udang, orang Kedah sahaja boleh," selorohnya ketika ditemui Sinar Online di Bazar Ramadan Shah Alam Seksyen 13 hari ini. 

Sementara itu, Sinar Online difahamkan, selain popia Dr Mahathir turut menyukai putu piring. 

"Tun juga kalau ke bazar akan cari putu piring, itu antara kegemaran beliau," katanya. 

Kehadiran Dr Mahathir ke Bazar Ramadan Shah Alam hari ini menyebabkan keadaan sesak seketika disebabkan orang ramai tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan 'berselfie' dengan beliau. 

Bayangkan, sebaik beliau memulakan langkah untuk bergerak orang ramai sudah mula mengerumi beliau. 

Namun Dr Mahathir dengan gaya bersahaja dan santai tetap menyantuni orang ramai yang berada di bazar tersebut. 

Bazar Ramadan Shah Alam merupakan bazar keempat yang dikunjungi oleh Dr Mahathir tahun ini, selepas bazar di Kampung Baru, Putrajaya dan Keramat.

- Sumber: Sinar Harian