Tuesday 12 May 2015

Enam suspek kes bunuh dan bakar ditahan

KOTA BHARU: Polis menahan enam susek berhubung kes bunuh dan bakar seorang lelaki di ladang sawit Cherang Tuli, Padang Pak Amat, Pasir Puteh.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata kesemua mereka termasuk seorang wanita ditahan sejam selepas insiden.

- Sumber: Astro Awani 

Zamarul Hisham, Diana Rafar rujuk semula

Gambar mereka sekeluarga dalam Instagram Zamarul Hisyam.

PASANGAN pelakon Zamarul Hisham dan Diana Rafar yang bercerai Januari lalu dilaporkan akan rujuk semula 16 Mei ini.

Menerusi sebuah akhbar tempatan, Diana mengakui perpisahan ini membuatkan perasaan sayang antara mereka semakin bertambah dan menganggapnya sebagai satu hikmah berganda buat dirinya.

“Mungkin jodoh kami masih kuat bersama, keputusan untuk rujuk semula adalah yang terbaik buat kami sekeluarga.

"Memandangkan saya dan Zamarul pernah bernikah pada 16 Mei 2009, jadi tarikh sama dipilih untuk rujuk semua. Doakan semoga segalanya dipermudahkan,” katanya.

Sebelum ini pasangan ini berkahwin selama enam tahun dan dikurniakan seorang anak lelaki, Kashfi Haikal.

- Sumber: Sinar Harian 

Netizen tak puas hati Kanye West bergelar doktor

West dianugerahkan ijazah kedoktoran oleh Institut Seni Chicago, Amerika Syarikat.

KUALA LUMPUR: Kecoh jadinya apabila artis rap antarabangsa, Kanye West, dianugerahkan ijazah kedoktoran oleh sebuah institusi pendidikan terkemuka.

West dianugerahkan ijazah berkenaan oleh Institut Seni Chicago, Amerika Syarikat. Pemilihan tersebut dibuat sebagai menghargai pembabitan West yang disifatkan sebagai insan seni kreatif dan tidak takut untuk mencuba sesuatu yang baru.

Di laman sosial, netizen meluahkan rasa tidak puas hati dan menyifatkan artis yang hanya dikenali kerana kontroversi dan perkahwinan dengan Kim Kardashian itu tidak layak menerima pengiktirafan setinggi itu.

Pengiktirafan ini sekaligus melayakkan West bergelar Doktor.

Anugerah itu disampaikan semalam ketika majlis konvokesyen institut berkenaan yang menyaksikan graduasi kira-kira 900 orang pelajar. 

- Sumber: Astro Awani 

Student, 16, beaten to death over towel incident

KOTA BHARU: A vocational college student in Bachok died after he was believed to have been beaten up by a senior student in the college hostel over a misunderstanding.

In the incident around midnight last night, the victim, Mohamad Nur Akram Zime, 16, was allegedly kicked by the 17-year-old senior, believed to due to former putting his towel over the headboard of the suspect's bed.

The victim's father, Zime Yakoob, said based on eyewitness' accounts, his son was said to have been kicked twice -- in the neck and body.

The victim before this was studying at Sekolah Menengah Sains Tengku Abdulllah in Raub, Pahang before being transferred to the vocational college three months ago so he could be nearer to his family.

Zime said, he last saw his son, who was the fourth of seven siblings, just last week.

The victim's elder brother, Mohd Nor Aminuddin, said Mohamad Nur Akram was an easygoing person and was not problematic.

"He's a little shy around people, but he likes to help. The last I saw him was on Labour Day," said Mohd Nor Aminuddin.

Mohamad Nur Akram's body was first sent to the Raja Perempuan Zainab II Hospital's forensics unit for post-mortem before it was taken to Wakaf Berangan cemetery in Pasir Puteh for burial.

Meanwhile, Kelantan police chief Datuk Mazlan Lazim, said the victim had died of severe injuries on the right of the neck after being hit by a strong blow.

"The victim was given cardio-pulmonary resuscitation (CPR) before being sent to a health clinic in Bachok where he was pronounced dead at 1.30am this morning," he was quoted by Bernama as saying.

"The victim's blood flow to the brain was severed as a result of a fatal kick by the suspect who is believed to have self-defence skills such as silat or tomoi," he reportedly said.

Mazlan said the suspect, who hails from Melor here, was detained by police at 12.30pm.

He said police considered the case as solved with the arrest of the suspect, adding that the suspect will be remanded tomorrow.

The case is investigated under Section 302 of the Penal Code for murder which carries the mandatory death penalty if convicted.

- Source: Astro Awani 

Suspek pukul pelajar sembunyi lebih satu jam di siling rumah


Polis: Suspek pukul pelajar sembunyi lebih satu jam di siling rumah - Gambar fail

KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes pukul seorang pelajar tingkatan lima, awal bulan ini dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Balok Sejahtera di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata, semasa serbuan pada 3 pagi itu, suspek yang berusia 20 tahun itu bersembunyi di bumbung siling rumahnya menyebabkan polis terpaksa mengambil masa hampir sejam sebelum berjaya mengesannya.

"Selepas hampir satu jam menggeledah rumah berkenaan, suspek akhirnya ditemui sedang meniarap di atas bumbung siling dan diarahkan turun untuk menyerahkan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek dikehendaki polis selepas seorang pelajar tingkatan lima membuat laporan polis di Balai Polis Gebeng mendakwa dipukul suspek bersama sekumpulan rakannya semasa pulang dari sekolah pada 8 Mei lepas.

Katanya, semasa kejadian suspek yang dikatakan menaiki sebuah Perodua Viva hitam telah memukul pelajar berkenaan secara bergiir-gilir bersama rakan-rakannya sehingga mencederakan beliau.

"Akibat kecederaan itu, mangsa, berusia 17 tahun, terpaksa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Balok sebelum dibenarkan pulang, kira-kira 8 malam," katanya.

Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa menyebabkan lelaki berkenaan memanggil rakannya untuk memukul mangsa.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman di IPD Kuantan untuk membantu siasatan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Jenayah. 

- Sumber: Bernama

Diberi pampasan kerana dipaksa makan babi

Gambar hiasan

HOLSTEBRO - DENMARK. Seorang pelajar wanita Islam diberikan pampasan sebanyak USD 6,000 (RM21, 674) selepas dipaksa memakan babi.

Menurut suratkhabar Denmark, Politiken, pelajar tersebut yang tidak dedahkan namanya diberitahu supaya memakan makanan yang dimasaknya seperti pelajar-pelajar kulinari yang lain.

Pelajar tersebut berusia 24 tahun tersebut berasal dari Libya dan telah dibawa ke Denmark ketika beliau masih seorang bayi.

Beberapa hidangan yang dimasak pelajar-pelajar kulinari sekolah kulinari Holstebro tersebut mengandungi daging babi.

Difahamkan, pelajar tersebut yang enggan untuk makan masakannya kemudian disuruh untuk merasainya dan tidak menelan makanan tersebut.

Pelajar tersebut merakam pertelingkahan tersebut dan kemudian menyerahkan kepada pihak mahkamah sebagai bahan bukti.

Sekolah kulinari tersebut diarah memberi pampasan USD75,000 namun telah dicabar di Mahkamah Tinggi Danish, dimana pampasan dikurangkan kepada USD 6,000.

- Sumber: Politiken, via Sinar Harian 

Diberkas selepas muatnaik foto selfie

Gambar hiasan

HUBEI - CHINA. Polis berjaya memberkas seorang pelarian jenayah selepas berjaya mengesan gambar selfie yang dimuatnaik ketika sedang bercuti di laman sosial.

Qin, 27, menjadi buruan polis sejak tahun lalu sebagai pembunuh upahan dan telah mendatangkan kecederaan kepada beberapa individu.

Menurut Shanghai Daily, polis menemui gambar yang dimuatnaik Qi semasa menyambut perayaan 'May Day' di Pergunungan Wudang di wilayah Hubei.

Foto tersebut diserahkan kepada polis oleh salah seorang kenalan lelaki itu selepas dia memuatnaik gambar percutiannya di laman sosial WeChat.

Polis berkata, Qin berjaya diberkas selepas pihaknya berjaya mengesan lokasi penjenayah itu melalui latar belakang gambar percutian yang dimuatnaiknya itu.

- Sumber: Sinar Harian 

Amah Indonesia dapat IC, BR1M?

Sedutan rakaman amah dakwa terima IC dan bayaran dipercayai BR1M

SHAH ALAM - Sebuah video viral di laman sosial Facebook tersebar apabila seorang amah warganegara Indonesia mendakwa mendapat IC dan sejumlah wang yang didakwa sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Rakaman berdurasi 2 minit dan 41 saat tersebut mengandungi dialog di antara perakam video, dipercayai majikannya bersama amah tersebut.

Amah tersebut mendedahkan beliau menerima RM500, didakwa bayaran BR1M.

Beliau juga mendakwa sudah tinggal di Malaysia selama 15 tahun tanpa pasport dan dokumen perjalanan, dan menerima kad pengenalan Februari lepas.

"Siapa yang bagi IC?," tanya perakam video.

"Itulah saya tak tahu. Mereka tak cakap," balas amah terbabit.

Tinjauan Sinar Online mendapati video tersebut sudah ditonton lebih 30,000 pelayar semenjak dimuatnaik pada 9 Mei lepas dan rata-rata terkejut dengan pendedahan berkenaan.

"Senang dapat IC...dapat BR1M pula," kata Salma.

"Pihak berwajib sila siasat," kata Hafiz.

"Ini baru orang Indonesia. Belum Bangladesh lagi," luah Nazira.

- Sumber: Sinar Harian 

Angin kuat, zink berterbangan di Putrajaya

Pokok tumbang berhampiran pondok menunggu bas di Presint 4 akibat hujan lebat dan angin kencang yang melanda kawasan Putrajaya pada lewat petang hari ini.

PUTRAJAYA - Hujan lebat berserta angin kencang yang melanda kawasan Putrajaya hari ini mengakibatkan insiden pokok tumbang dan kenderaan dihempap pokok.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Mohd Hafidz Yaacob berkata, dua buah kenderaan dilaporkan dihempap sebuah pokok berdekatan Yayasan Kepimpinan Putrajaya, Presint 8 dalam kejadian kira-kira 30 minit yang bermula 3.40 petang tadi.

Beliau berkata, pihaknya tidak menerima laporan mengenai mangsa cedera berkaitan kejadian itu.

Dalam pada itu, beberapa objek termasuk kepingan zink dilihat berterbangan dan terkena beberapa buah kenderaan di kawasan Presint 4 di sini. 

- Sumber: Bernama

Diana Rafar, Zamarul Hisyam nikah semula 14 Mei ini

DIANA Rafar bersama bekas suaminya, Zamarul Hisyam.

KUALA LUMPUR: Kuasa Tuhan dan berkat doa ramai, akhirnya Diana Rafar akan bernikah semula dengan bekas suaminya, Zamarul Hisyam pada 14 Mei ini. 

Pasangan ini bercerai 15 Januari lalu dan hasil perkongsian hidup mereka pada 16 Mei 2009, mereka dikurniakan seorang anak bernama Kashfi Haikal. 

Perancangan asal memang pasangan ini ingin ke mahkamah untuk bernikah semula pada tarikh hari perkahwinan mereka.

Cuma kebetulan 16 Mei ini jatuh pada hari Sabtu, maka tarikh itu dianjak ke 14 Mei. Bagaimanapun pasangan ini merahsiakan mahkamah mana yang akan menjadi saksi mereka nikah semula. 

"Asalnya memang nak tarikh perkahwinan kami menjadi saksi ikatan kami terpateri semula. Tapi apakan daya, ia jatuh pada hujung minggu . Tapi tak mengapa, semua ini sudah tertulis begitu," kata Zamarul kepada BH Online. 

Ditanya mengenai komen untuk bernikah semula, Zamarul memanjat kesyukuran kerana ujian yang dihadapi terhadap kemelut rumah tangga mereka akan berakhir dengan sebuah penamat yang diharap baik sekali gus untuk kebaikan bersama.

"Alhamdulillah ikatan jodoh masih kuat. Ada hikmah di sebalik perceraian kami. Setiap apa yang terjadi membuatkan saya dan dia lebih bersyukur dan menghargai hidup. 

"Kami juga tidak ambil kesempatan di atas perpisahan ini untuk mencari pengganti atau hidup bebas. Apa yang terjadi menjadi ruang kami memperbetulkan keadaan menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

"Ruang ini juga menjadi landasan untuk silaturahim yang terputus itu bercantum kembali. Termasuk mengatasi masalah kecil supaya tidak terus melarat. 

"Akhirnya ia juga bertitik tolak kepada niat kami untuk kembali mengecap bahagia bersama. Belum tentu kalau kami ada orang lain, orang kedua mahupun ketiga itu akan jadi lebih baik daripada yang pertama," katanya.

Diana pula berkata, semua ini terjadi atas kehendak Tuhan.

"Jodoh pertemuan, ajal maut semua atas-Nya. Kita merancang tapi tak mampu menandingi kuasa Tuhan. 

"Alhamdulillah jodoh kami masih panjang untuk kembali bersama. Kalau berusaha sebanyak mana pun, kalau Tuhan sudah tak izinkan maka tak jadi juga," katanya.

Tambah Diana, selama menjadi ibu tunggal, dia lebih banyak menyerah apa saja kepada Tuhan.

"Atas doa orang di luar sana yang menginginkan kami kembali, akhirnya ia dimakbulkan," kata duta Dr Glow itu.

- Sumber: BH Online 

Maut dipukul pelajar senior di asrama


KOTA BHARU - Seorang pelajar kolej vokasional di Bachok maut disyaki dipukul pelajar senior di bilik asrama.

Dalam kejadian tengah malam tadi, mangsa Mohamad Nur Akram Zime, 16, dikatakan sedang tidur sebelum dikejutkan seorang pelajar berusia 17 tahun yang kemudian bertindak memukulnya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata Mohamad Nur Akram dilapor tidak sedarkan diri selepas disepak pelajar senior terbabit. 

"Mangsa kemudian diberi bantuan pernafasan tetapi masih tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke sebuah klinik kesihatan di Bachok dan disahkan meninggal pada jam 1.30 pagi tadi.

"Pelajar junior itu didakwa tidak menghormati pelajar senior terbabit sehingga menyebabkan pelajar senior itu merasa marah lalu memukul mangsa," katanya kepada pemberita.

Mazlan berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal akibat kecederaan di leher akibat terkena pukulan kuat.

"Mangsa didapati putus saluran darah di bahagian otak akibat terkena sepakan maut daripada suspek. Suspek dipercayai mempunyai ilmu mempertahankan diri seperti silat atau tomoi," katanya. 

Beliau berkata suspek yang berasal dari Melor telah ditahan dan akan direman esok.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mayat mangsa disemadikan di Tanah Perkuburan Wakaf Berangan, Pasir Puteh. 

- Sumber: Bernama

PKR beri amaran jangan guna dana awam untuk bayar hutang 1MDB

Rafizi (gambar) berkata pinjaman yang dibuat oleh 1MDB itu dilaporkan di dalam majalah-majalah kewangan antarabangsa dan menarik minat perhatian pasaran kewangan antarabangsa.

PETALING JAYA: PKR hari ini memberi amaran kepada kerajaan pusat agar tidak menggunakan dana awam bagi menyelesaikan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada konsortium enam bank antarabangsa yang diketuai oleh Deutsche Bank.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata hutang berjumlah RM3.6 bilion itu dibuat Oktober tahun lepas, perlu dibayar selewat-lewatnya September tahun ini.

Rafizi berkata pinjaman yang dibuat oleh 1MDB itu dilaporkan di dalam majalah-majalah kewangan antarabangsa dan menarik minat perhatian pasaran kewangan antarabangsa di saat firma pelaburan tersebut berhadapan dengan masalah membayar hutangnya kepada bank-bank tempatan.

"Saya cuba mengumpul maklumat tidak rasmi daripada pemberi maklumat yang bekerja di bank-bank terbabit dan daripada pasaran kewangan untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai pinjaman ini.

"Maklumat tidak rasmi yang saya dapati amat membimbangkan kerana terma pinjaman itu amat membebankan rakyat," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehinya, cagaran-cagaran pinjaman itu adalah wang simpanan 1MDB di BSI Singapura yang sebelum ini telah dilaporkan tidak wujud.

Katanya, jika cagaran ini tidak wujud, ada kemungkinan besar 1MDB perlu mendapatkan dana lain untuk menggantikan cagaran tersebut

"Saya dimaklumkan satu surat sokongan dikeluarkan oleh Putrajaya yang membolehkan pinjaman ini diluluskan kepada 1MDB. Apa terma-terma surat sokongan itu?" soalnya.

Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR itu turut mempersoalkan kadar faedah yang dikenakan dalam tempoh setahun tersebut.

"Adakah benar kadar faedah bagi tempoh setahun adalah 11% seperti dimaklumkan kepada saya? Jika benar, kadar ini sudah mencecah kadar 'overdraft' dan menunjukkan terdesaknya 1MDB," katanya.

Rafzi juga bimbang jika pinjaman yang dibuat oleh 1MDB ini merupakan satu lagi "bail out" yang terpaksa ditanggung rakyat susulan hutang berkenaan perlu dibayar dalam tempoh terdekat ini.

"Sebelum ini, setiap kali 1MDB perlu membayar hutangnya, kerajaan terpaksa menyuntik wang atau satu urus niaga yang merugikan rakyat akan berlaku," katanya.

Beliau memberi dua contoh kerajaan terpaksa menyuntik wang firma pelaburan itu, antaranya adalah pada Mac 2015 lalu, apabila kerajaan terpaksa menyuntik RM950 juta dalam bentuk "standby credit" yang kebetulan diluluskan beberapa minggu sebelum 1MDB perlu membayar hutang.

Selain itu, pada Mei 2015, Lembaga Tabung Haji membeli hartanah di Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1MDB pada kadar untung berlipat kali ganda kepada 1MDB yang kebetulan dimuktamadkan beberapa minggu sebelum 1MDB perlu membayar hutang.

"Saya yakin jika rakyat tidak mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berlaku telus mengenai hutang RM3.6 bilion yang perlu dibayar 1MDB menjelang September ini, lebih banyak dana rakyat dan harta kerajaan akan disuntik ke dalam 1MDB untuk membayar hutang ini," katanya. 

- Sumber: Astro Awani 

Mahkamah arah SPRM bayar RM600,000 kepada keluarga Teoh Beng Hock

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membayar ganti rugi sebanyak RM600,000 kepada keluarga Teoh Beng Hock.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membayar ganti rugi sebanyak RM600,000 kepada keluarga Teoh Beng Hock.

Peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo berkata pihak defenden, iaitu Kerajaan Malaysia, SPRM dan 10 anggotanya, turut diarahkan membayar RM60,000 sebagai kos.

Gobind berkata pihak defendan telah bersetuju untuk membayar jumlah yang diarahkan itu dan keluarga Teoh telah bersetuju dengannya.

Namun demikian, Gobind berkata keluarga Teoh masih mahu individu yang bertanggungjawab di atas kematian Teoh, didakwa di mahkamah.

“Ini merupakan kemenangan besar kepada keluarga Teoh. Selepas enam tahun bertempuran di persada undang-undang, mereka kini mempunyai pengakuan SPRM dan kerajaan bahawa mereka bertanggungjawab untuk kematiannya.

"Kami akan terus mendesak polis bertindak dalam kes ini. Kami sudah melakukan segala apa yng mungkin dari segi undang-undang. Sekarang terpulang kepada polis untuk melakukan apa yang perlu dan kami tidak akan berhenti berjuang demi keadilan untuk Teoh," kata Gobind di dalam satu kenyataan.

Gobind, yang mengambil alih kes itu dari mendiang bapanya Karpal Singh, berkata beliau tidak akan menerima apa-apa bayaran daripada keluarga Teoh dan ini juga merupakan permintaan ayahnya.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas dipanggil ke pejabat SPRM bagi merekodkan keterangan atas dakwaan salah guna dana awam ke atas majikannya.

Mahkamah Rayuan pada September tahun lalu mengenepikan keputusan koroner dalam inkues sebelum ini dan memutuskan bahawa kematian Teoh adalah kematian dalam tahanan apabila dia ditahan oleh (SPRM) dan menolak dakwaan bahawa mendiang membunuh diri.

Teoh, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat SPRM, pada pagi 16 Julai 2009.

- Sumber: Astro Awani 

Cerita wanita & lukisan graviti ini mampu buat anda rasa teruja


Selepas dua bulan suntuk meneliti karya-karya yang dikemukakan, 10 seniman graffiti terhandal, yang telah memperlihatkan bakat seni yang sangat baik, berjaya melangkah ke pusingan akhir pertandingan Inisiatif Seni Nando’s 2015. Pertandingan secara langsung yang dijalankan di aras bumbung Avenue K menyaksikan setiap peserta menterjemahkan kepintaran seni mereka ke atas kanvas dengan mengungkapkan tafsiran mereka terhadap tema ‘Seni Anda. Kisah Anda’ menerusi imejan nyata dan huruf-huruf.


Nando’s memperkenalkan kategori Seni Grafiti tahun lalu dan mendapat sambutan memberangsangkan – sebanyak 36 penyertaan daripada anak-anak muda Malaysia berlatar belakang yang berbeza, dari kalangan pelajar kolej dan universiti juga termasuk pelukis muda yang belajar sendiri. Bentuk seni yang telah menjadi berita hangat di seluruh negara ini mempunyai kumpulan pengikut yang ramai dan semakin mendapat sokongan masyarakat kota. 

“Nando’s sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan wadah buat golongan muda Malaysia berjiwa seni untuk mengasah bakat mereka. Daripada berita-berita hangat sejak kebelakangan ini, seni jalanan tidak syak lagi merupakan sesuatu yang menarik hati mereka sebagai suatu media pengungkapan dan dialog yang segar dan berpengaruh. Namun begitu kami di Nando’s berpendapat bahawa Grafiti belum lagi beroleh status Seni dan pihak kami berhasrat mengubah tanggapan itu melalui Graffiti Jam,” ujar Ian Cruddas, Ketua Pegawai Eksekutif Nando’s Chickenland Malaysia Sdn. Bhd.

Bilangan penyertaan bagi Seni Grafiti tahun ini meningkat kepada 56. 10 finalis terbaik yang telah disaring terdiri daripada empat pelajar kolej/universiti dan enam karyawan seni muda yang menjadikan Grafiti sebagai suatu kecintaan dan suatu kerjaya. Untuk menobatkan para pemenang pertandingan tahun ini, Nando’s mengadakan suatu acara segar rancak secara langsung, diberi nama Graffiti Jam, bertujuan menilai kemahiran seni yang diperlukan untuk menghasilkan mahakarya setiap individu. Seniman-seniman aerosol ini begitu bersemangat untuk mencipta, bukan memusnah.


Pertarungan, yang bermula selepas matahari terbenam membabitkan barisan hakim, Ian Cruddas, KetuaPegawai Eksekutif Nando’s Malaysia, Kenji Chai suatu nama yang gah dalam dunia Seni Grafiti dan Bapa Seni Jalanan itu sendiri, Phobia a.k.a. Bee berserta para penyokong tegar. Ketika para petanding sudah asyik bekerja untuk menghasilkan karya mereka, maka bermulalah Graffiti Jam yang turut disaksikan para tetamu. Untuk memeriahkan lagi suasana, para hadirin diberi peluang untuk mencuba-cuba membuat Grafiti dengan diberi bimbingan oleh seniman Grafiti yang tidak asing lagi, Kenji Chai dan juga para pemenang Inisiatif Seni Nando’s tahun lalu dalam kategori Grafiti, Lok Chern a.k.a Cloakwork dan Edmund Yew a.k.a Nestwo.


Bunyi siren yang nyaring menandakan berakhirnya pertandingan yang dirasakan berlalu begitu pantas. Rasa gentar dan rasa penuh harap para peserta seolah-olah dapat dirasai ketika para hakim meneliti karya-karya yang siap satu persatu. Selepas perbincangan dan kata putus tercapai, Chong Hong Shi dengan karya seninya bertajuk “Courage”, Amirul Shah Bin Mumgahir dengan karya seninya yang berwarna-warni bertajuk “Fusion”, Nurul Syakirah Saparudin dengan karya seninya yang bertajuk “Eating Celna” , dan Mohd Zulfadli Bin Ahmad Nawawi terpilih sebagai 4 finalis Grafiti terbaik Inisiatif Seni Nando’s. Mohd Zulfadli juga membawa pulang hadiah ‘Pilihan Media’ bagi acara malam itu dengan karya seninya yang bertajuk “I Need More”.

“Sejak kemunculannya kali pertama beberapa waktu dahulu, Grafiti telah berkembang menjadi suatu medium pengungkapan sosial bagi sesetengah individu yang sangat berbakat. Dewasa ini, anda dapat membezakan dengan jelas antara sebuah mahakarya dengan sesuatu yang tak ubah contengan di muka dinding. Pihak kami yakin dengan memberi ruang kepada insan-insan seni ini untuk menyerlahkan bakat tersebut dan kemudian mempertontonkan daya kreativiti hebat ini untuk tatapan orang ramai, nescaya usaha ini akan menolong mendidik, mempromosi dan mengembangkan bentuk seni ini lebih jauh,” sambung Ian lagi.

Untuk mengetahui siapakah di antara empat seniman berbakat ini yang akan menjadi Pemenang Hadiah Utama Grafiti, jangan lupa datang ke finale akhir Inisiatif Seni Nando’s 2015 pada 27 Mei di Publika! Grand Finale Inisiatif Seni Nando’s 2015 bukan sekadar upacara penyampaian hadiah bagi kategori Seni Halus, Seni Digital dan Seni Grafiti/Street Art, pameran akan turut diadakan dari 27 Mei hingga 7 Jun bagi karya-karya yang telah dikemukakan bagi pertandingan tahun ini.
Di acara Grand Finale itu nanti, Nando’s akan membahagi-bahagikan hadiah-hadiah bernilai sehingga RM85,000 bagi kategori berikut.

Hadiah-hadiah lumayan yang disediakan:Kategori seni halus & seni digital:
· Hadiah utama – Pameran solo bertajaan penuh, RM5,000 tunai, dan baucar Nando’s bernilai RM500
· Pemenang kedua – RM3,000 tunai, baucar Nando’s bernilai RM500
· Pemenang ketiga – RM2,000 tunai, baucar Nando’s bernilai RM500
· Hadiah sagu hati (x3) – RM1,000 tunai, baucar Nando’s bernilai RM500

Kategori grafiti/street art:
· Hadiah utama – RM5,000 tunai, baucar Nando’s bernilai RM500
· Hadiah sagu hati (x3) – RM2,000 tunai, baucar Nando’s bernilai RM500
Untuk maklumat lanjut mengenai Inisiatif Seni Nando’s, layari www.nandos.com.my/artinitiative

Ditipu bekas ibu mertua, rugi RM850,000

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu trak makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu bekas ibu mertuanya membabitkan kerugian RM850,000, tiga tahun lalu.

Nicholas Kenneth Manuel, 44, didakwa menipu Yap Yan @ Yap Yoke Yong, 73, dengan memperdaya beliau untuk mempercayai bahawa perjanjian yang perlu ditandatangani Yap adalah untuk pinjaman wang sedangkan perjanjian tersebut adalah penjualan rumah milik wanita itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Messrs T G Lim & Partners, Blok B-7-2-1 Megan Salak Park, Jalan 1/12E Taman Desa Petaling, Cheras di sini, pada 24 Dis 2012. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Noor Mousa Azaddin memohon wang jaminan rendah atas alasan anak guamnya perlu menyara tiga orang anak selain belum mendapat gaji kerana baru bekerja.   

Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor memerintahkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula. 

- Sumber: Bernama

Kereta terbang terhempas ketika ujian

Kereta terbang AeroMobil terhempas, Jumaat lepas.

SLOVAKIA - Kereta terbang pertama di dunia keluaran sebuah syarikat teknologi terhempas dalam satu ujian penerbangan di Slovakia, Jumaat lepas.

Menurut Fox News, kereta terbang tersebut yang juga prototaip ketiga keluaran syarikat AeroMobil dikemudi penciptanya, Stefan Klein ketika kejadian.

Saksi memberitahu, kereta terbang tersebut berpusing dan memaksa Klein membuka payung terjun pada ketinggian 900 kaki untuk pendaratan yang selamat.

Kereta terbang tersebut remuk teruk manakala Klein selamat tanpa sebarang kecederaan.

Menurut kenyataan dari AeroMobil, data penerbangan dari ujian tersebut akan digunakan dalam ujian akan datang selepas kereta terbang tersebut dibaiki.

"Dalam proses mencipta kenderaan baru, terutamanya prototaip, kemungkinan sesuatu yang buruk terjadi adalah tinggi, dan ianya normal.

"Ini adalah tempoh 'belajar' dan penting untuk kami untuk mengenal pasti (masalah) dan memperbaikinya dalam rekaan kami yang seterusnya," dipetik dari kenyataan tersebut.

AeroMobil bertanggungjawab menghasilkan kereta terbang tersebut sejak tahun 1990 dan enjin Rotax 912 yang digunakan mampu diisi di stesen minyak konvensional.

- Sumber: Fox News via Sinar Harian 

PNB pula penyelamat 1MDB, kata Rafizi

Rafizi Ramli

PETALING JAYA - Selain Lembaga Tabung Haji (TH), Permodalan Nasional Berhad (PNB) didakwa turut terlibat meminjamkan wang berjumlah RM579.2 juta kepada syarikat pelaburan kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, penglibatan PNB itu mengesahkan kebimbangannya bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menggunakan dana awam untuk menyelamatkan 1MDB.

"TH telah meminjamkan sebanyak RM920.8 juta kepada 1MDB melalui pembelian bon sukuk yang diterbitkan dalam Februari 2014. TH sahkan pembelian sukuk ini berhubung pembangunan Bandar Malaysia oleh 1MDB dan hasil pinjaman sukuk ini akan digunakan untuk membiayai pembinaan kem-kem tentera dan infrastruktur berkaitan bagi memindahkan‎ operasi sedia ada di Kem Sungai Besi sebelum ini.

"Terbitan hutang melalui bon sukuk oleh 1MDB ini melibatkan pembelian sukuk oleh dua agensi pelaburan kerajaan iaitu TH dan PNB. Bermakna, sejumlah RM920.8 ‎juta telah dipinjamkan TH kepada 1MDB, baki RM579.2 juta pula telah dipinjamkan PNB kepada 1MDB," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau mendakwa, hasil semakannya, 1MDB merancang untuk menerbitkan sehingga RM2.5 bilion sukuk bagi membiayai pembangunan Bandar Malaysia.

"...di samping hutang sebanyak RM2 bilion yang diperolehi dari Ambank juga bagi tujuan pembangunan Bandar Malaysia.
Malangnya, sehingga sekarang kita masih belum melihat kemajuan yang meyakinkan bahawa Bandar Malaysia ini akan mendatangkan keuntungan yang membolehkan 1MDB membayar kembali hutangnya.

"Soalan paling besar, apa yang telah terjadi kepada RM3.5 bilion (RM1.5 bilion dari sukuk yang dipinjam dari TH dan PNB serta RM2 bilion pinjaman dari Ambank) yang telah dipinjam setakat ini kononnya untuk membangunkan Bandar Malaysia?

"Penglibatan PNB dalam memberi hutang kepada 1MDB kini mengesahkan kebimbangan saya bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan menggunakan dana-dana awam untuk menyelamatkan 1MDB," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini, hanya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ‎yang mengesahkan tidak terlibat dalam apa-apa transaksi dengan 1MDB.

Namun, dakwanya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ‎masih belum membuat sebarang pengesahan.

- Sumber: Sinar Harian 

Sari betik hanya herba, bukan ubat rawatan denggi yang diiktiraf

SUBRAMANIAM: Kementerian Kesihatan tidak iktiraf sari betik jadi alternatif rawatan denggi.

MELAKA: Jus sari daun betik yang dikatakan boleh merawat demam denggi hanya boleh diiktiraf sebagai herba dan bukannya satu daripada ubat yang diiktiraf Kementerian Kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata ini kerana produk berkenaan perlu melalui pelbagai proses saintifik termasuk proses klinikal untuk diiktiraf kementerian.

"Saya tidak dimaklumkan terdapat mana-mana syarikat yang telah menjalani proses klinikal bagi penghasilan jus betik yang mampu merawat denggi jadi ia boleh dijual sebagai herba dan bukannya ubat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Malaysia 2015 di sini hari ini.

Penasihat syarikat Al Faris Enterprise, Datuk Dr Shuib Saidin hari ini dilaporkan berkata mengambil inisiatif menghasilkan produk jus minuman sebagai alternatif untuk rawatan denggi.

Katanya, jus yang berasaskan daun betik itu mampu menghasilkan platlet darah di dalam badan pesakit bagi merawat denggi dan demam denggi berdarah dengan lebih cepat.

Jelasnya, produk yang mengandungi beberapa enzim itu mampu membantu menghalang duplikasi virus sekali gus mengaktifkan proses penyembuhan demam denggi.

Dalam perkembangan berasaingan, Subramaniam berkata, kementeriannya sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengkaji semula pembekuan perjawatan baharu untuk kementeriannya.

Beliau berkata pembekuan itu dikhuatiri akan memberi kesan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat terutama melibatkan pembukaan hospital atau klinik baharu.

"Bila kita meluaskan perkhidmatan melalui pembukaan hospital atau klinik baharu, jawatan tambahan mesti diberikan dan ia tidak boleh dibekukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman JPA berhubung pembekuan perjawatan baharu sebagai langkah pengawalan saiz dan pendekatan rasionalisasi perkhidmatan awam yang pernah dilaksanakan pada 2008, 2010 dan 2011.

JPA dalam dalam kenyataannya Jumaat lepas berkata pembekuan pewujudan perjawatan baharu dalam perkhidmatan awam akan diimbangi dengan usaha menambah peluang pekerjaan di sektor swasta.

- Sumber: Astro Awani 

Dua pesakit kanser cilik jadi kawan karib ketika jalani rawatan kemoterapi

Dua kanak-kanak perempuan yang menghidapi peyakit kanser telah membentuk persahabatan yang akrab semasa rawatan di Hospital Kanak- Kanak Texas.

KUALA LUMPUR: Ketika dilanda musibah, sokongan daripada keluarga dan orang terdekat amat diperlukan bagi mengurangi penderitaan yang ditanggung.

Bagi dua kanak-kanak perempuan yang menghidap kanser di Hospital Kanak-Kanak Texas, sokongan itu datang daripada pesakit lain yang sama-sama menjalani rawatan.

Memetik laporan Metro.UK, dua kanak-kanak itu - Ava Garcia berusia 4 tahun dan Penny Smith, 3 - telah menjalinkan persahabatan yang akrab sejak mereka berdua tiba di Hospital Kanak-Kanak Texas.

Ava Garcia disahkan menghidap penyakit kanser buah pinggang pada Ogos lepas, manakala Penny disahkan menghidap kanser otot sejak Mei 2014.

Difahamkan, Ava dan Penny menjadi kawan karib semasa menerima rawatan selepas menjalani pembedahan.

Mereka berdua dikatakan menjalani rawatan kemoterapi itu bersama, seolah-olah rawatan itu menyeronokkan.


Menurut laporan ABC News, ibu Penny, Cindy Sagan berkata walaupun anaknya tahu rawatan kemoterapi itu menyakitkan, Penny masih riang untuk pergi ke hospital demi keseronokan yang dialaminya bersama Ava.

Walaupun mereka menjadi kawan baik melalui tragedi, persamaan mereka melengkapi satu sama lain untuk menempuh penjalanan yang pahit ini,” kata Sagan.

Malah, apabila dua pesakit cilik ini melalui trauma yang lazim dikaitkan dengan rawatan kemoterapi seperti keguguran rambut, mereka akan memberi sokongan kepada satu sama lain.


Ibu Ava, Christina Garcia berkata, perkara ini membuatkan anaknya lebih tabah dan selesa semasa menjalani rawatan kemoterapi.

“Ava tidak takut kerana dia mempunyai kawan yang juga kelihatan seperti dia,” kata Christina.

Walaupun gembira dengan perkembangan ini, kedua-kedua ibu bapa pasangan cilik itu tidak tahu berapa lama lagi anak-anak mereka dapat hidup, apatah lagi dengan berita bahawa kesihatan Penny dilaporkan semakin merosot.

Namun begitu, mereka masih berharap agar dua anak ini dapat berjuang bersama dalam melawan kanser.

- Sumber: Agensi 

PAC perlu libat wakil antarabangsa dalam siasatan 1MDB - Dr Ramon

DR RAMON: PAC perlu libatkan wakil antarabangsa dalam siasatan 1MDB.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dinasihat untuk menggunakan pakar antarabangsa sebagai rujukan dalam prosiding siasatan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 19 Mei ini.

Pengerusi Pusat untuk Kajian Dasar Awam Institut Kajian Strategi & Kepimpinan (ASLI), Tan Sri Dr Ramon Navaratnam berkata, ia sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap isu yang melibatkan sensitiviti rakyat akhir-akhir ini.

"Lebih baik PAC mengambil badan bebas dan antarabangsa untuk bersama dalam siasatan 1MDB. Ia dilihat mengeluarkan persepsi wakil politik, sekali gus membebaskan pemikiran masyarakat siasatan itu mempunyai elemen bias.

"Masyarakat takut hasilnya tidak adil jika tiada wakil luar, ia sekali gus menjamin keyakinan rakyat terhadap kredibiliti PAC itu sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Ramon mengulas Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang berkata pihaknya akan memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF) Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negara (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah di dalam siasatan PAC.

Katanya, pada minggu berikutnya, 26 Mei 2015 pula akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB ketika ini, Arul Kanda Kandasamy serta mantan CEO Datuk Shahrul Ibrahim Halmi yang berkhidmat dari tahun Mac 2009 hingga Mac 2013.

Dalam pada itu, kata Dr Ramon, PAC disaran menambah kakitangan dan ahli pakar di dalam proses siasatan berkenaan.

"Selain itu, sedikit peruntukan tambahan perlu disediakan kepada prosiding siasatan untuk memastikan dunia luar melihat proses dijalankan dengan penuh integriti.

"Ia melibatkan wang rakyat, jadi seharusnya ia memberi hasil yang benar-benar memuaskan hati semua pihak," jelasnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendesak ahli perniagaan Jho Low segera pulang ke negara ini untuk berdepan PAC.

Katanya, Jho Low juga perlu berani berhadapan media secara terbuka dan mempertahankan diri apabila diasak soalan yang bakal ditanyakan wartawan.

- Sumber: Astro Awani

Denda, penjara jika tak solat Jumaat mulai 1 Jun

Gambar hiasan

ALOR SETAR - Bermula 1 Jun ini, umat Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, kata Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).

Ketua Pegawai Penguatkuasa Jaik, Syeikh Ahmad Fisol Omar berkata, mereka yang didapati bersalah boleh disaman tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

"Kita tidak mengeluarkan saman secara membuta. Kita akan bertindak mengikut aduan yang dilaporkan orang awam terutama sekali yang tinggal dalam kariah sendiri.

"Sekiranya pesalah gagal memberi kerjasama, kita juga akan memohon waran tangkap dari Hakim Mahkamah Syariah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Syeikh Ahmad berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai kehadiran lelaki Islam di tempat-tempat awam di negeri ini ketika waktu solat Jumaat, dan berharap undang-undang itu dapat membendung perbuatan meninggalkan solat Jumaat. 

Perkara tentang Seksyen 13 berkenaan kegagalan menunaikan solat Jumaat itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014, yang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri tahun lepas.

Penguatkuasaan sepatutnya bermula pada 1 Februari lepas tetapi Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaik akan hanya mula menguatkuasakan secara sepenuhnya 1 Jun ini.

Syeikh Ahmad berkata, Jaik mengadakan jelajah di 12 daerah di negeri ini untuk memberi penerangan kepada pihak yang boleh membantu dalam menguatkuasakan undang-undang itu.

"Poster dan pekeliling tentang undang-undang itu turut diedarkan kepada 568 masjid di seluruh Kedah," katanya.

Beliau berkata, orang awam boleh mendapatkan borang aduan ketidakhadiran solat Jumaat itu di pejabat-pejabat agama daerah dan maklumat pelapor akan dirahsiakan. 

- Sumber: Bernama