Tuesday 14 January 2014

Ayu Ting Ting bersalin?

Ayu Ting Ting bersalin?

MEDIA Indonesia ketika ini melaporkan, penyanyi, Ayu Ting Ting, baharu sahaja selamat melahirkan bayi perempuan pada 8 Januari lalu.

Beberapa saksi dan jiran tetangga juga mengakui perkara itu dan memberitahu, bayi perempuan itu diberi nama, Balqis.

Enggan menunggu lama, bapa Ayu, Abdul Rozak, menafikan perkara itu dan menganggap ianya hanyalah fitnah dan khabar angin yang tidak benar.

"Ianya tidak benar dan Ayu tidak melahirkan cucu pertama kami dalam masa terdekat ini," katanya.

Sehingga kini, Ayu juga gagal dikesan dan tidak tampil memberikan sebarang penjelasan mengenai isu ini.

Ayu dan Henry Baskoro atau Enji, berkahwin pada 4 Julai lalu namun, bercerai pada 24 Julai setelah Enji melafazkan talak di rumah mereka.

Emma Watson temui cinta baharu

Temui cinta baharu

UMUM tahu, hubungan asmara aktres cantik, Emma Watson dan William Adamowicz telah berakhir tahun lalu.

Kini, bintang berusia 23 tahun itu dikhabarkan sedang menyulam cinta bersama pemain ragbi Oxford University, Matt Janey.

Walaupun hubungan itu masih baru, namun pasangan ini tanpa segan silu mempamerkan kemesraan ketika bercuti di pantai Carribean minggu lalu.

"Hubungan ini masih baru, namun kami kini dalam usaha mengenali karakter masing-masing. Bagi saya, Janey sangat menyenangkan," kata bintang Harry Potter ini.

Hubungan istimewa pasangan ini mula terhidu setelah Watson menemui Janey ketika perlawanan ragbi menentang Cambridge, Disember lalu.

"Pak Lah bukan dari kumpulan yang gangster," - Saifuddin


KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global Datuk Saifuddin Abdullah malam tadi mempertahankan Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung kononnya bekas perdana menteri itu ada kaitan dengan gangsterisme.

“Sudah tentu saya tahu tentang Pekida. Dalamnya ada beberapa kumpulan yang berlainan. Walaupun Pak Lah ialah Ayahanda Pekida, dia daripada kumpulan yang bukan gangster,” kata Saifuddin menjawab satu soalan pada sebuah forum pasca PRU-13 di sini, malam tadi.

Seorang panelis lain, aktivis Hishamuddin Rais sebelum itu mendakwa bahawa geng merupakan sebahagian daripada politik Malaysia sejak 1960-an.

“Geng-geng telah ditubuhkan dan ditaja (oleh parti politik). Bukan mengejutkan kalau kumpulan seperti Perkasa ditaja. Ketua Pekida pula tidak lain tidak bukan ialah Abdullah sendiri,” kata Hishamuddin.

Pekida, sebuah NGO yang terkenal sebagai kumpulan kebajikan kenduri kahwin dan kematian, tekah lama dikaitkan dengan gansterisme. Ia bagaimanapun dinafikan oleh pertubuhan itu yang mendakwa ia mungkin kumpulan serpihan.

Penasihat Pekida Wilayah Persekutuan Datuk Hamzah Daud baru-baru ini memberitahu portal berita FreeMalaysiaToday bahawa ada pihak yang telah keluar daripada Pekida dan menggunakan nama kumpulan itu untuk memukul dan mengugut.

Beliau menegaskan bahawa Pekida yang wujud sejak 1967 ialah sebuah kumpulan kebajikan yang terdiri daripada sukarelawan.

“Pekida macam bapa. Kalau anak buat salah yang buruk namanya bapa," katanya.

Satu kajian mengenai NGO yang dibuat selama lima tahun oleh seorang sarjana PhD Perancis, Sophie Lemiere mendapati bahawa Pekida setia kepada raja, Islam dan orang Melayu.

Bagaimanapun Lemiere juga mendapati Pekida merupakan sebahagian daripada rangkaian NGO yang “memberikan sokongan politik, menghalalkan sebahagian aktivitinya dan mendapat dana daripada parti pemerintah.”

Lemiere, sarjana di Institut Penyelidikan Kontemporari Asia Tenggara-Pusat Penyelidikan Saintifik Nasional Perancis (IRASEC-CNRS) di Paris juga mendapati "matlamat utama kumpulan itu ialah kuasa, keuntungan dan wang yang membayangkan anggotanya terlibat dalam kegiatan haram dan mungkin menggunakan kekerasan."

Kajiannya bertajuk 'Gangsters and Masters: Connivance Militancy in Contemporary Malaysia' melibatkan penyelidikan sejak 2008 sehingga April tahun lalu.


Astro Awani

BR1M 3.0 tidak sulitkan penerima muflis



KUALA LUMPUR: Langkah terbaru kerajaan memperkenal sistem pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia 3.0 (BR1M 3.0) tidak akan menyulitkan penerima yang diisytihar muflis.

Sebaliknya kerajaan mengambil inisiatif membuat pembayaran tunai melalui pejabat daerah bagi golongan berkenaan.

Selain golongan muflis, mereka yang sukar membuka buku akaun kerana terlantar sakit dalam tempoh lama atau tidak mempunyai jalur pada ibu jari juga akan dipertimbang menerima pembayaran bantuan secara tunai.

Penerima baharu yang layak digesa agar segera mengisi borang permohonan sebelum tarikh akhir pada 31 Januari ini.

Ketika ini masih terdapat dua juta pemohon daripada 7.9 juta rakyat layak menerima BR1M 3.0 yang belum membuka akaun bank.

Penerima yang melewat-lewatkan proses pendaftaran berdepan kemungkinan tidak memperoleh perlindungan insurans i-BR1M.

Penerima bantuan turut diminta mengemas kini data peribadi seperti alamat, nombor akaun dan status perkahwinan.

Astro Awani 

Pengantin diculik untuk dikahwini antara adat pelik perkahwinan dunia

KUALA LUMPUR:  Bila disebut tentang perkahwinan tentu kita sudah terfikir mengenai rumitnya memilih warna pelamin, penatnya bersiap pada malam berinai dan remehnya nak membeli barang-barang hantaran.

Jika anda fikir adat perkahwinan di Malaysia merumitkan dan banyak belanja, pernahkah anda cuba melihat bagaimana adat dan cara perkahwinan di luar negara?

Sekurang-kurangnya di negara kita tidak ada adat menculik pengantin perempuan seperti di Kyrgyzstan.

Kyrgyzstan atau dikenali sebagai Republik Kyrgyz merupakan sebuah negara di Asia Tengah.

Islam merupakan agama utama di negara itu dengan kebanyakan mereka bermazhab Hanafi.

Di sana, pengantin perempuan yang diculik untuk dikahwini tidak diizinkan pulang ke pangkuan keluarga sendiri.

Jika anda rasakan perempuan-perempuan di sana malang diperlakukan begitu, sebenarnya mereka lebih bersifat redha dengan apa yang mereka harus lalui.

Diculik untuk dikahwini tandanya wanita itu berharga.

Video dokumentari di bawah menunjukkan pengantin lelaki, Kubanti dalam misinya menculik wanita bernama Nazgul untuk menjadikan wanita itu teman hidupnya.





Sementara itu, orang Tujia di Sichaun, China wajib menjalani ritual menangis selama 30 hari berturut-turut sebelum majlis perkahwinan berlangsung.

Pengantin perempuan itu pula perlu menangis selama satu jam setiap hari.

10 hari kemudian,  ibu pengantin perempuan akan menyertainya dan 10 hari selepas itu giliran neneknya pula untuk bersama-sama menangis.

Adat ini sebenarnya bertujuan sebagai tanda kegembiraan dan kasih sayang yang mendalam.





Manakala, adat orang Tidong di Indonesia menghalang pasangan pengantin yang baru berkahwin ke bilik air untuk membuang air besar (atau kecil) selama tiga hari.

Sebaik sahaja berkahwin, mereka  tidak dibenarkan meninggalkan rumah selama tiga hari tersebut.

Pelik bukan? Malah ketika majlis perkahwinan berlangsung, pasangan pengantin hanya boleh makan dan minum dalam kuantiti yang sedikit.

Orang Tidong percaya jika adat ini diingkari akan membawa nasib malang kepada rumahtangga pasangan berkenaan.

Selepas tiga hari, mereka boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

https://www.youtube.com/watch?v=9nNT1niEZjs

Adat perkahwinan orang Tidong, Indonesia


Amalan perkahwinan kanak-kanak di luar bandar India bukanlah sesuatu yang baru kita dengar.

Budaya itu sudah berakar umbi dalam nilai-nilai budaya dan struktur sosial negara tersebut.

Walaupun undang-undang melarang perkahwinan kanak-kanak, amalan ini masih berleluasa di kebanyakkan rantau di sana.

Dianggarkan bahawa di beberapa bahagian di India seperti di negeri Rajasthan, hampir 80 peratus daripada perkahwinan adalah antara kanak-kanak perempuan di bawah umur 15 tahun.





Adat perkahwinan orang Roma atau Gipsi juga punya keistimewaannya yang tersendiri.

Paling ketara adalah amalan memakai pakaian yang mewah dan menonjol oleh pengantin perempuan.

Pengantin dan keluarga mereka akan bersaing untuk memakai pakaian yang paling cantik dan kadang-kala beratnya lebih daripada pengantin perempuan itu sendiri.





Walauapapun adatnya, yang pasti kepercayaan kepada sesuatu perkara seringkali penyebab wujudnya pantang larang atau adat yang pelik-pelik apatah lagi perkahwinan merupakan perkara yang diiktiraf dan dianggap suci dalam semua agama.

Gambar menarik tentang adat pelik perkahwinan seluruh dunia boleh lihat di ruangan galeri foto di sini.

Syamsul Yusof akhirnya pilih...?

Syamsul Yusof akhirnya pilih...?

KHABAR angin tersebar mengatakan pengarah filem terkenal, Syamsul Yusof telah merisik pelakon cantik, Puteri Sarah Liyana untuk dijadikan isterinya.

Melalui gambar yang tersebar, kelihatan ibu dan bapa Syamsul, Datuk Yusof Haslam serta Datin Patimah Ismail bergambar bersama Puteri Sarah di atas pelamin.

Namun, masih tiada kenyataan dibuat oleh kedua-duanya.

Sebelum ini, Syamsul ada menyuarakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga pada tahun lalu.

Manakala September lalu, menurut ibunya, Syamsul telah memaklumkan mengenai calon menantunya itu.

Melalui temu bual bersama Sinar Harian Online sekitar promosi Gangster Celop, Februari lalu, Syamsul enggan memberi komentar terhadap gosip yang mengaitkan dirinya dengan pelakon cantik itu.

“ Saya tak ada apa-apa komen. Saya dengan Puteri Sarah, kami profesional, kami ‘shoot’ sama. Saya sebenarnya dah tak nak komen lebih-lebih tentang kehidupan peribadi saya.

“Saya lihat banyak lebih ke arah yang bila orang tahu banyak tentang saya, lebih banyak perkara yang negatif daripada positif. Jadi, apabila sampai masa saya akan beritahu. Saya akan kongsi,” katanya.

Sinar Harian 

Isu kangkung: KJ bela Najib

Isu kangkung: KJ bela Najib

SHAH ALAM – Sayur kangkung tiba-tiba menjadi popular gara-gara ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis penyampaian bantuan kepada mangsa banjir di Kemaman, semalam.

Beliau mengambil contoh sayur kangkung antara harga barangan yang turun dalam kemelut ekonomi negara.

Katanya, sebelum ini harga sayur kangkung mahal tetapi kini sudah turun harga namun kerajaan tidak dipuji.

Ekoran kenyataan itu, kecoh di laman sosial Facebook dan Twitter seolah-olah ‘menyindir’ kenyataan tersebut.

Ada yang mengemas kini status memberitahu sayur kangkung menjadi menu hari ini serta memuat naik gambar masakan sayur tersebut.

Dalam perkembangan sama, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan isu itu tidak perlu dibesarkan.

“Tak perlu kecoh tentang kangkung. Najib bagi contoh bukan semua benda naik harga. Ada yang naik sebab faktor cuaca dan lain-lain Rasional sedikitlah,” katanya yang dipetik melalui laman mikro, Twitter, hari ini.

Sinar Harian 

Pelajar dakwa dicabul timbalan pengarah

Pelajar dakwa dicabul timbalan pengarah
Pelajar berkenaan mendakwa diusap dan diraba timbalan pengarah ketika menjalani latihan praktikal. Gambar hiasan.


SEREMBAN – Timbalan Pengarah sebuah jabatan, didakwa mencabul seorang pelajar praktikal di pejabatnya di Wisma Persekutuan, di sini.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku minggu lepas terbongkar selepas pelajar berusia 20-an itu mengadu kepada kakitangan jabatan berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian hanya mangsa dan suspek berada dalam sebuah bilik di pejabat berkenaan.

“Ketika mangsa sedang membuat kerja, suspek secara tiba-tiba menghampiri mangsa lalu mengusap pipi mangsa sebelum tangannya merayap ke anggota badan lain.

“Mangsa kemudian menepis tangan suspek kerana tidak selesa dengan kelakuan timbalan pengarah berusia lingkungan 40-an itu. Namun suspek tidak mengendahkannya lalu meneruskan niat jahatnya itu dengan penuh ghairah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurut sumber, mangsa yang berasal dari Jelebu itu merupakan pelajar di sebuah kolej swasta di Pahang, baru menjalani latihan praktikal di pejabat berkenaan, kira-kira sebulan lalu.

“Akibat tindakan timbalan pengarah tersebut, mangsa kini dilaporkan trauma namun dipercayai masih menjalani latihan praktikal di situ.

“Kakitangan pejabat yang mengetahui mangsa dicabul menasihatkannya agar membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua seksyen ini jika sabit kesalahan.

Sinar Harian