Tuesday 25 August 2015

Menteri: Doktor rakam selfie boleh disaman


PUTRAJAYA - Anggota keluarga atau suami kepada pesakit wanita yang dirakam gambar oleh seorang doktor ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Johor Bahru boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pengamal perubatan tersebut. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim berkata, tindakan tersebut telah mengaibkan maruah wanita terbabit apabila gambar berkenaan turut menampakkan bahagian sulitnya. 

"Gambar itu kemudian disebarkan menerusi laman sosial sekaligus boleh memalukan dan menjejaskan imej pesakit wanita terbabit. 

"Selain menyalahi etika sebagai pengamal perubatan, doktor dan kakitangan pada waktu itu tidak wajar merakam gambar kerana mengundang pelbagai tanggapan negatif kepada hospital," katanya kepada media selepas mempengerusikan sesi percambahan minda Mesyuarat Majlis Penasihat dan Perunding Wanita, di sini, hari ini. 

Beliau mengulas tindakan seorang doktor wanita di sebuah hospital di Johor Baharu yang merakam gambar secara selfie sambil menunjukkan isyarat 'peace' dengan pesakit itu dalam posisi bersalin.

Perbuatan itu telah mengundang kemarahan orang ramai terutamanya pengguna laman sosial yang turut mengecam aksi merakam gambar terbabit.

Pada masa sama, Rohani meminta orang ramai agar tidak menyebarkan gambar tersebut kerana ia boleh terus memalukan dan mengaibkan maruah pesakit wanita berkenaan.

"Bayangkan sekiranya perkara ini berlaku pada diri sendiri, mungkin kita turut merasa malu seperti dialami wanita terbabit," katanya.

- Sumber:  Bernama

'Orang berkuasa' kena elak cakap perkara bodoh

Salinan paparan perkongsian oleh Nazir Razak di laman Instagram beliau.

SHAH ALAM - "Isu modal adalah perkara sensitif, berita buruk dan petanda tidak elok akan menjadi semakin teruk, jadi orang yang 'berkuasa' perlu elak bercakap perkara-perkara bodoh."

Demikian kata Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Razak dalam sebuah perkongsian di laman Instagram, hari ini.

Beliau berharap supaya tiada pihak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mampu menjejaskan proses pemulihan ekonomi negara.

Dalam perkongsian tersebut, Nazir menyertakan foto patung lembu yang hampir sama dengan patung 'Wall Street Bull' dalam keadaan rebah.

"Mati atau cedera?," Nazir memulakan kapsyen foto dengan soalan.

"China akan tentukan. Keadaan normal yang baharu (nilai-nilai relatif) akan diguna pakai bagi kebanyakan pasaran yang muncul," katanya lagi.

Ketika ini, nilai mata wang negara-negara membangun Asia menyusut kepada paras paling rendah dalam tempoh beberapa tahun ekoran kejatuhan harga saham di China.

Memetik laporan Reuters, penyusutan itu juga kesan daripada aktiviti penjualan aset oleh pelabur bagi mengurangkan risiko pelaburan masing-masing.

- Sumber: Sinar Harian