Penduduk terlibat sebulat suara menyatakan tidak bersetuju menerima sagu hati RM3,000 ditawarkan pemilik tanah.
SEREMBAN - Penduduk Kampung Ulu Temiang, di sini, semalam, sebulat suara menolak wang sagu hati RM3,000 ditawarkan oleh pemilik tanah sebagai menampung kos perpindahan mereka.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke berkata, makluman mengenai tawaran itu diterima secara bertulis oleh pihaknya pada 28 April lalu.
“Penduduk enggan terima sebab jumlahnya terlalu sedikit. Sedangkan yang kita putuskan sebelum ini sekurang-kurangnya RM12,000 setiap seorang.
“Tambahan pula, hanya 46 penduduk layak menerimanya. Walhal, kita hantar 157 nama sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan penduduk di hadapan kampung berkenaan, di sini, semalam.
Turut hadir, Adun Temiang, Ng Chin Tsai dan Adun Lobak, Siow Kim Leong.
Menurut beliau, amaun itu jelas menggambarkan pemilik tanah tidak ikhlas untuk memberikan sagu hati berkenaan.
“Mereka mampu beli tanah seluas kira-kira 40 hektar ini pada harga sekitar RM18 juta. Ini membuktikan pemaju terbabit ada duit, tetapi sengaja tidak mengendahkan penduduk.
“Mereka bukan sahaja tidak hormat pada penduduk, malah saya sekali selaku Ahli Parlimen Seremban,” katanya yang pernah berjumpa dengan pemaju di Putrajaya pada awal Februari lalu, semata-mata untuk berbincang.
Oleh itu, Loke menegaskan, pihaknya tidak mahu lagi mengadakan sebarang perundingan dengan pemilik tanah terbabit.
“Jangan anggap orang kampung ini peminta sedekah. Kita tidak akan mengalah sehinggalah tuntutan penduduk dipenuhi.
“Kita minta semua penduduk terus tinggal di sini. Kita akan pantau dari semasa ke semasa dan bantu apa yang patut,” katanya.
Katanya lagi, DAP juga akan memaklumkan pada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) supaya tidak mengikut sebarang arahan dikeluarkan pemilik untuk memotong bekalan elektrik dan air.
“Jangan risau sebab mereka belum ada kebenaran untuk merancang. Perkara ini disahkan sendiri oleh kerajaan negeri pada Sidang Dun, April lalu.
“Pada masa sama, kerajaan negeri juga akan menggunakan budi bicara untuk berbincang dengan pemaju bagi meningkatkan amaun pampasan kepada penduduk,” katanya.
Sementara itu, Kim Leong memberitahu, pihaknya turut mendapat jaminan daripada Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun yang mereka tidak akan campur tangan dalam hal ini.
“Menerusi pertemuan diadakan pada 20 April lalu, beliau turut menggalakkan penduduk supaya berbincang dengan pemaju kerana tidak mahu berlaku sebarang kekecohan.
“Semalam kita juga sempat jumpa Bailif. Difahamkan pemilik memang ada buat desakan sejak Februari lalu untuk melaksanakan pengusiran, tetapi tidak berjaya dan perkara ini masih dalam perhatian,” katanya.
Dalam pada itu, salah seorang penduduk, Wal Wanat, 47, yang nama suaminya tersenarai selaku penerima sagu hati berkata, RM3,000 memang tidak cukup untuk menampung kos perpindahan.
“Tolak sewa lori, upah angkat barang, deposit sewa rumah, elektrik dan air bagi dua bulan, habislah duit itu. Belum lagi campur kos untuk tukar sekolah anak-anak,” katanya yang sedia berpindah jika amaun sagu hati bersesuaian diberikan.
Berbeza pula halnya bagi Yeah Kwee Leong, 57, yang kurang bernasib baik kerana tidak layak mendapat wang sagu hati daripada pemilik.
“Saya terkejut dan kecewa. Tapi kalau dapat pun, bukannya cukup. Mahu tak mahu, kita akan lawan balik sampai berjaya,” katanya yang memberikan sokongan penuh pada usaha dilaksanakan DAP negeri ini.
Untuk rekod, kemelut dihadapi penduduk Kampung Ulu Temiang, di sini bermula sejak era 80an apabila kerajaan negeri pada masa itu menyerahkan hak pemilikan tanah kepada Lesco Sdn Bhd.
Penduduk yang dipaksa keluar memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Seremban, di mana prosidingnya didengar sehingga ke Mahkamah Persekutuan dan Privy Council, London.
Keputusan kemudian berpihak kepada penduduk dan mereka yang terlibat ditawarkan pampasan sama ada wang tunai RM25,000 atau sebuah kediaman.
Bagaimanapun, syarikat terbabit gagal melunaskan pampasan dijanjikan ekoran masalah dihadapi yang menyebabkan mereka menghentikan operasi.
Kemudian, tanah berkenaan dijual kepada syarikat lain. Kali ini yang membelinya adalah Medan Selasih Sdn Bhd.
Seperti sebelumnya, penduduk memfaikan kes di Mahkamah Tinggi Seremban sekitar 90an atas sebab yang sama dan mereka berjaya dalam tuntutan itu.
Bagaimanapun, Medan Selasih mencagarkan tanah itu kepada bank. Kegagalan membayar pinjaman menyebabkan tanah Kampung Ulu Temiang terpaksa dilelong.
Pada 2012, One Visa Sdn Bhd membeli tanah itu secara lelongan dengan harga RM18 juta dan meminta penduduk berpindah ekoran kawasan itu bakal dibangunkan untuk pembinaan perumahan.
Namun, kali ini tuntutan penduduk di Mahkamah Tinggi Seremban, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan tidak membuahkan hasil.
- Sumber: Sinar Harian