Monday 3 March 2014

FAM, PDRM perlu tingkatkan keselamatan perlawanan bolasepak


GEORGE TOWN: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berbincang untuk meningkatkan kawalan keselamatan setiap kali berlangsung perlawanan bola sepak yang melibatkan skuad kebangsaan dengan pasukan pelawat.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata peningkatan kawalan keselamatan penting bagi memastikan tidak ada bahan seperti suar, bom asap atau mercun dibawa masuk ke dalam stadium sehingga boleh mengganggu perlawanan serta mengancam keselamatan.

"Kita kena ingat soal keselamatan. Selama ini saya bertolak ansur kerana pembakaran suar, bom asap dan mercun tidak mengganggu perlawanan dan mengancam keselamatan. Tetapi apa yang berlaku semalam sudah lebih sangat dan perlu diambil tindakan tegas," katanya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kekacauan yang dilakukan penyokong Ultras Malaya yang membakar suar dan mercun sehingga menyebabkan perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dengan Filipina di Stadium Selayang semalam dihentikan selama lapan minit, setelah 31 minit perlawanan berlangsung.

Kedua-dua pasukan akhirnya seri tanpa jaringan.

Khairy mahu PDRM mengemukakan laporan kepada FAM berkaitan punca kejadian tersebut.

"Bagi saya kalau pembakaran suar dan bunga api sudah sampai tahap boleh ganggu perlawanan, ia adalah perkara yang tidak boleh diterima dan sekiranya sudah sampai tahap ganggu perlawaan dan keselamatan ia adalah serius," katanya.

Beliau melancarkan program berbasikal 'Wheel's For All' anjuran Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sains Malaysia (USM) menuju Universiti Songkla, Thailand.

Ia disertai 30 pelajar USM dari 1 hingga 3 Mei depan.


Bernama

3 kementerian berganding bahu beri bantuan kepada kawasan krisis air


KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menggerakkan agensi-agensi di bawah kementerian masing-masing bagi mengatur gerak anggota dan aset yang dimiliki ke kawasan-kawasan yang mengalami krisis air.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata keputusan ini dicapai setelah perbincangan bersama kementerian-kementerian tersebut.

“Kerjasama ini dilaksanakan bagi membantu penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur yang berdepan dengan krisis kekurangan air ketika ini.

“Serentak itu, pejabat saya telah mengadakan mesyuarat khas melibatkan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Lembaga Lebuh Raya Malaysia, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Persatuan Syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia, dan Jabatan Kerajaan Tempatan bagi menyelaras bantuan tersebut,” katanya di dalam satu kenyataan.

Hishammuddin berkata ATM bersedia mengatur gerak sembilan trak ‘water browser’ yang setiap satunya berkapasiti 10,000 liter pada bila-bila masa kepada penduduk yang memerlukan.

“Manakala, Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia bersedia menggerakkan enam trak ‘water browser’ berkapasiti 5,000 hingga 15,000 liter ke kawasan-kawasan kritikal.

“Sementara itu, pihak berkuasa tempatan pula bersedia menggerakkan anggota dan asetnya jika sekiranya bantuan yang disalurkan oleh ATM dan Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia masih tidak mencukupi.

“Kesemua pihak akan bekerjasama rapat dengan SYABAS berhubung lokasi dan kawasan yang memerlukan bantuan. Selain itu, pihak SYABAS juga akan memastikan semua trak water browser akan diuji kualiti airnya terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk pengagihan kepada penduduk,” katanya.

Hishammuddin turut berkata Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) sedia menggerakkan ahli-ahli Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) ke pusat bantuan bekalan air bagi membantu warga emas, wanita atau penduduk untuk mengangkut air ke rumah kediaman mereka.

“Dalam dua minggu ini, pelatih-pelatih PLKN juga boleh digerakkan membantu orang ramai. Ini kerana ketika ini mereka sedang mengikuti modul khidmat komuniti. Antara intipati penting dalam modul ini ialah melakukan khidmat masyarakat,” katanya.

Bermula 13 Februari lalu, ATM telah diatur gerak ke Dengkil membabitkan Kampung Selangor Dredging, Taman Arked dan Kem PLKN Paya Indah.

Untuk operasi tersebut, ATM telah mengaturgerakkan tiga trak ‘water browser’.

Sepanjang 10 hari operasi yang berakhir 22 Febuari lalu, sebanyak 1,015,00 liter air telah diagihkan kepada penduduk di 3 buah lokasi melibatkan 950 buah rumah dan 2,750 penduduk.

Astro Awani 

Ulat bulu mengganas lagi

Ulat bulu mengganas lagi
Ulat bulu yang mati setelah disembur racun perosak. - Foto Sinar Harian


SUNGAI KELAMAH – NEGERI SEMBILAN. Serangan ulat bulu di Taman Pinggiran Sungai Kelamah dan Sekolah Kebangsaan Sungai Kelamah serta rumah berdekatan sekolah berkenaan, sejak tiga minggu lalu menimbulkan rasa kurang selesa kira-kira 300 penduduk.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kehadiran ulat bulu berwarna hitam itu dipercayai datang dari kawasan lapang di taman berkenaan, manakala, penduduk mendakwa bilik pra sekolah yang terletak di kawasan Felda juga diserang ulat bulu.

Seorang penduduk, Normalinah Azmidon, 29, berkata, keadaan itu sering menyebabkan dua anaknya berusia tiga dan lima tahun mengalami masalah kegatalan di bahagian badan.

“Saya rasa kurang selesa dengan keadaan seperti ini dan terpaksa membelanjakan wang untuk membeli racun serangga bagi membunuh ulat bulu berkenaan.

"Sekiranya tidak disembur dengan racun serangga, ia akan memenuhi kawasan rumah dan menjadi aktif dari waktu pagi hingga ke tengah hari,” katanya ketika ditemui di kediamannya, dekat sini.

Seorang lagi penduduk, Hassan Baba, 51, berkata, dia sudah menetap di kawasan perumahan itu lebih empat tahun lalu dan kejadian itu baru pertama kali berlaku di penempatan berkenaan.

"Disebabkan masalah ulat bulu ini, saya terpaksa menutup tingkap dan pintu rumah serta ruang di bawah pintu bagi mengelakkannya masuk ke rumah lebih-lebih lagi rumah saya memang terletak sebelah padang.

"Saya harap ada pihak atau agensi kerajaan berkaitan dapat memberikan kerjasama menghapuskan ulat bulu ini memandangkan penduduk telah mengalami masalah ini sudah hampir sebulan," katanya

Sementara itu, Adun Gemas, Abd Razak Ab Said berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan dia juga sudah meninjau serta melihat sendiri banyak ulat bulu berada di kawasan rumah serta kedai makan di taman berkenaan.

“Buat masa ini, hanya Majlis Daerah Tampin (MDT) yang menghulurkan bantuan meracun ulat bulu berkenaan dan saya berharap ada lagi agensi lain yang dapat membantu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di sini," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penduduk Taman Wawasan, Kuala Pilah yang turut mengadu ulat bulu membanjiri kawasan perumahan mereka sejak tiga minggu lalu.

Sinar Harian 

Fakta menarik tentang Anugerah Akademi

Anugerah Akademi ke-86 akan berlangsung pada hari Isnin dan lebih daripada 225 negara di dunia sedang bersedia untuk menonton acara gemilang ini.

Antara filem yang bersaing untuk anugerah filem terbaik adalah "Graviti", "12 Years A Slave" dan "American Hustle".

Sementara itu, bintang terkenal Leonardo DiCaprio yang sebelum ini pernah tercalon sebanyak tiga kali turut tercalon lagi tahun ini untuk anugerah pelakon lelaki terbaik.

Beliau berhadapan saingan sengit dari pelakon-pelakon lain yang turut tercalon iaitu Christian Bale (American Hustle), Bruce Dern (Nebraska), Chiwetel Ejiofor (12 Years a Slave) dan Matthew McConaughey (Dallas Buyers Club).

Berikut adalah fakta yang anda perlu tahun tentang Anugerah Akademi:



Sumber: Astro Awani