Friday, 21 August 2015

‘Mereka peguam, bukan tidak tahu undang-undang’


SHAH ALAM - Pihak yang menyuarakan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digulingkan namun dalam masa sama mengekalkan kerajaan sedia ada sebenarnya tahu perkara itu tidak boleh berlaku.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, kumpulan seperti Bersih 4.0 seolah-olah tidak tahu peraturan sebaliknya tetap memilih untuk mengelirukan rakyat.

“... mereka bukan tidak tahu undang-undang negara kita. Tekanan-tekanan yang mengatakan ‘kami bukan nak tumbangkan kerajaan tapi kami tidak mahu Najib sahaja’, ini satu kenyataan yang mengelirukan rakyat.

“Hakikatnya mereka tahu. Ramai peguam dalam parti dan NGO termasuk Ambiga (Bekas Pengerusi Bersama Bersih),” katanya kepada Sinar Online.

Tiada istilah hanya mengguling Perdana Menteri tetapi mengekalkan kerajaan kerana jika Perdana Menteri melepaskan jawatannya, barisan Kabinet juga bakal bubar mengikut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“....perkara itu tidak dapat dielakkan kerana ia adalah sistem negara ini. Dalam Perlembagaan, kalau nak guling Perdana Menteri, kena guling jawatan dan pemerintahannya sekali. Itu pakej.

“Boleh rujuk Perkara 43. Kalau turunkan jemaah menteri, maka kita turunkan kerajaan. Katakanlah saya tak nak Najib, saya nak Muhyiddin (bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin), maka turun Najib, naik Muhyiddin.

“Itu tidak boleh. Sebab Najib adalah Perdana Menteri kepada jemaah menteri. Ini sistem kita,” katanya lagi.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, di bawah Perkara 43 (4) berkenaan jemaah menteri, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletakkan jawatan jemaah menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Abdul Halim, tekanan yang diberikan kepada Najib hari ini adalah untuk ‘memaksa’ supaya Ahli Parlimen Pekan itu memanggil pilihan raya awal.

“Jika berlaku undi tidak percaya di Parlimen, Najib akan letak jawatan bersama-sama jemaah menterinya. Tak boleh pula menterinya kata tak mahu letak jawatan atau beliau boleh membubarkan dewan (Dewan Rakyat) untuk laksanakan pilihan raya awal.

“Mana satu pun, memang akan menyebabkan berlakunya pilihan raya. Ini yang mereka nak. Mereka mahu tekan Najib supaya buat pilihan raya awal,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian

Foto eskalator KL Sentral 'runtuh' jadi viral

Keadaan eskalator yang rosak di KL Sentral

BULAN lalu, seorang wanita di China maut selepas terjatuh apabila lantai eskalator 'runtuh' di sebuah pusat membeli-belah.

Namun heboh di media sosial mengenai kejadian yang hampir serupa berlaku di negara ini beberapa hari lalu namun ia tidak melibatkan kecederaan.

Seorang pengguna media sosial, Ikhwan melalui laman Facebooknya memuatnaik foto yang menunjukkan keadaan lantai eskalator di KL sentral yang 'runtuh'.

Menurut Ikhwan, dia yang berada di lokasi kejadian ketika itu hendak menggunakan eskalator berkenaan sebelum pemijak lantai itu tiba-tiba terjatuh.

"Kejadian berlaku petang tadi (18 Ogos) di KL Sentral, 3 meter belakang aku, tiba-tiba benda ni (eskalator) rosak, yang di belakang aku semua selamat..dekat nak sama macam kes di China tempoh hari", tulisnya.

Walau bagaimanapun, menurut Ikhwan, tiada kecederaan dilaporkan.

- Sumber: Sinar Harian