Wednesday, 16 April 2014

Wanita mengaku bunuh enam bayinya yang baru lahir


Megan Huntsman dari Utah, Amerika Syarikat yang mengaku membunuh enam bayi,



UTAH:  Seorang wanita yang berdepan tuduhan membunuh enam anaknya, mengaku melakukan jenayah kejam itu sepanjang tempoh 10 tahun.

Megan Huntsman dari Utah, Amerika Syarikat membuat pengakuan tersebut kepada pasukan penyiasat di mana wanita berusia 39 tahun itu turut mengaku melahirkan tujuh anak dalam tempoh 1996 hingga 2006.

Bagaimanapun, hanya seorang daripada anaknya hidup.

Enam yang lain dibunuh sebaik sahaja dilahirkan dengan cara mencekik dan melemaskan bayi sebelum diletak di dalam kotak di dalam garajnya.

Kenyataan itu selari dengan siasatan polis yang menemui mayat bayi di dalam garaj tersebut.

Huntsman yang telah dihadapkan ke mahkamah dibebaskan dengan ikat jamin US$6 juta iaitu US$1 juta bagi setiap bayi dibunuhnya.

Pengakuan terbabit turut mengejutkan penduduk di kejiranan Hunstman dan mereka berharap, tindakan kejam sedemikian mendapat balasan setimpal.


Astro Awani

Kadar penceraian di Selangor terus meningkat, Gombak catat jumlah tertinggi

Gambar Hiasan

SHAH ALAM: Kadar perceraian dalam kalangan pasangan Islam di Selangor berada pada tahap tinggi setiap tahun sejak 2008, demikian diberitahu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata terdapat 4,069 kes pada 2008, meningkat kepada 4,614 (2009), 5,352 kes (2010), 6,035 kes (2011), 6,098 kes (2012) dan pada 2013 merekodkan 6,028 kes.

Beliau berkata bagi pecahan kadar perceraian mengikut daerah, Gombak merekodkan jumlah tertinggi dengan 1,160 kes diikuti Klang (1,048 kes), Petaling (997 kes) dan Shah Alam (807 kes).

"Kadar perceraian yang tinggi ini memerlukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengkaji semula punca sebenar berlakunya perceraian. Bagaimanapun berdasarkan maklumat, antara punca (kadar perceraian tinggi) ialah ada pasangan berkahwin di luar Selangor tetapi bercerai di negeri ini," katanya.

Halimah berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) yang ingin tahu jumlah perceraian mengikut tahun sejak 2008, pecahan kadar perceraian mengikut daerah serta langkah kerajaan negeri mengurangkan kadar perceraian di negeri itu.

Halimah turut menyenaraikan usaha untuk menangani kadar perceraian yang tinggi, termasuklah menilai semula modul kursus perkahwinan, memberi kaunseling kepada pasangan bermasalah serta membentuk jawatankuasa pendamaian.

Bernama

Hubungan komunikasi dengan Emran semakin baik selepas bercerai - Erra Fazira

Erra Fazira dan Aleesya - Gambar Fail


KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Erra Fazira meminta supaya jangan mendesaknya untuk memberikan sebarang komen mengenai tindakan bekas suaminya, Engku Emran yang meluahkan kata-kata seolah-oleh mahu merujuk semula hubungan mereka yang sudah bercerai di laman sosial Instagram.

Erra Fazira berkata dia kini sedang membina kekuatan diri dan tidak mahu berhadapan dengan isu itu.

"Rasanya, saya tidak ada apa-apa yang perlu dikomen lagi. Saya minta jangan mendesak saya kiri, kanan, depan dan belakang.

"Bayangkan, saya seolah-olah baru hendak membina kekuatan tiba-tiba dipaksa berhadapan dengan isu baru," katanya kepada murai.com.my menerusi aplikasi Whatsapp.

Pada Sabtu lalu, Emran menerusi laman Instagram miliknya telah memuat naik gambar anak mereka Engku Aleesya, 5, yang memakai baju T dengan tulisan #prayformomandayah.

Dalam kapsyen foto tersebut, Emran telah meluahkan hasratnya ingin memenangi hati Erra semula dan mengaku masih mempunyai perasaan cinta terhadap bekas isterinya itu.

Kenyataan Emran membuatkan peminat memberi reaksi positif dengan meletakkan hashtag #prayformomandayah sebagai tanda mendoakan agar hubungan kedua-dua pasangan itu terjalin semula.

Pun begitu, Erra memberitahu hubungan komunikasinya dengan Engku Emran semakin baik selepas sah bercerai pada 18 Februari lalu.

"Saya bersyukur sangat setelah bercerai, komunikasi kami jauh lebih bagus. Allah lebih mengetahui kenapa dan mengapa," luahnya.

Erra berkata dia dan Emran kini mahu memberi sepenuh perhatian kepada pembesaran anaknya, Aleesya.

"Matlamat saya sekarang adalah untuk mendidik dan menjaga Aleesya dengan sebaiknya dari kedua pihak. Malah kami sedang mengatur sebaiknya untuk perkembangan sihat Aleesya," jelasnya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007. -- Astro Gempak

Astro Awani 

Liga Super: Penyokong mengganas ketika perlawanan Perak-JDT

IPOH: Perlawanan Liga Super antara Perak dan Johor Darul Takzim (JDT) malam tadi dicemari keganasan hingga memaksa unit simpanan persekutuan (FRU) menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk meleraikan penyokong.

FRU terpaksa mengambil tindakan drastik itu lantaran daripada provokatif melampau serta tindakan ganas yang dilakukan oleh para penyokong Perak.

Keganasan melampau itu menyebabkan dua petugas media tempatan serta beberapa anggota polis turut cedera akibat terkena objek keras dan mercun.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong ketika dihubungi Astro Awani mengesahkan lapan orang penyokong telah ditangkap polis lanjutan daripada keganasan yang berlaku.

Sebelum itu, penyokong JDT turut diarahkan untuk menunggu di dalam Stadium Perak sebaik perlawanan tamat bagi mengelak berlakunya insiden tidak diingini membabitkan kedua-dua penyokong.

Pihak polis juga terpaksa mengiring empat buah bas bas yang membawa pemain, pegawai serta penyokong JDT sepanjang jalan keluar dari bandaraya Ipoh.

Astro Awani 

Feri Karam: Tiga maut, 293 lagi masih hilang

Feri yang sedang karam - Foto AP

SEOUL: Pegawai pasukan pengawal pantai Korea Selatan mengesahkan pihaknya telah menemui tiga mayat penumpang dalam insiden feri karam awal hari ini.

Pihak berkuasa juga berkata angka terkini mereka yang masih hilang adalah 293 orang setelah hanya 164 penumpang berjaya diselamatkan daripada feri yang sedang membawa 459 penumpang itu.

Angka itu berbeza dengan jumlah yang diumumkan sebelum ini iaitu 368 orang telah diselamatkan.

“Selebihnya dianggap masih hilang,” kata seorang jurucakap kerajaan kepada agensi berita AFP.

Jumlah penumpang juga disahkan hanya 459 penumpang, berbanding laporan awal sejumlah 477 penumpang.

Setakat ini dua identiti penumpang yang meninggal dunia telah disahkan sebagai Park Ji-young, 22, anak kapal feri terbabit dan Jung Cha-woong pelajar tahun dua Sekolah Tinggi Ansan.

Manakala identiti mangsa ketiga sedang dipastikan pihak berkuasa.

Mereka yang terselamat berkata kemungkinan masih ada lebih 100 penumpang di dalam feri terbabit yang hampir karam sepenuhnya.

Selain itu laporan mengatakan 27 yang lain dalam keadaan kritikal. Mereka telah dikejarkan ke Hospital Besar Hankook, Hospital Mokpo Hankook dan Hospital Besar Haenam.

Feri terbabit dikatakan sedang membawa 325 pelajar menuju Pulau Jeju sebelum memberikan isyarat kecemasan pada 8.58 pagi waktu tempatan iaitu ketika belayar sekitar 20 kilometer dari Pulau Byeongpoong.

Sejurus berita diterima, kapal pengawal pantai, kapal dagang dan beberapa helikopter telah dikerahkan dalam operasi menyelamat itu.

Menurut seorang penumpang, mereka mendengar satu bunyi yang kuat sebelum feri itu terhenti. --AFP 

Zahida Rafik gagal ketepi saman bekas pemandu


KUALA LUMPUR - Pelakon Zahida Rafik hari ini gagal mengetepikan saman yang difailkan bekas pemandu peribadinya berhubung tuduhan memfitnah dalam sebuah akhbar tabloid berkaitan kehilangan wang RM200,000.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menolak permohonan Zahida untuk mengetepikan saman yang difailkan Noor Azman Azemi serta memerintahkan Zahida membayar kos RM3,500 kepada lelaki itu.

Hue membuat keputusan itu di dalam kamarnya di hadapan peguam Latheefa Koya yang mewakili Noor Azman dan Jeffrey John yang mewakili Zahida.

Latheefa memberitahu pemberita bahawa Hue menolak permohonan itu atas alasan saman berkenaan bukan suatu kes yang patut ditolak dan mahkamah menetapkan 20 dan 21 Oktober untuk perbicaraan.

Beliau berkata mahkamah juga menolak permohonan defendan untuk mendapatkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu keputusan rayuan.

Pada 27 November tahun lepas, Noor Azman memfailkan saman yang mendakwa pelakon terbabit, yang berlakon dalam filem 'Anak Mami The Movie', secara salah dan berniat jahat membuat kenyataan berunsur memfitnah dalam sebuah artikel yang disiarkan akhbar berkenaan pada 3 Mac tahun lepas.

Noor Azman mendakwa Zahida menuduhnya melesapkan wang itu, yang sepatutnya dimasukkannya ke dalam akaun bank pelakon tersebut.

Menurut Noor Azman, kenyataan itu menggambarkannya sebagai seorang yang tidak amanah, pencuri dan penjenayah serta mencemar nama baiknya dan merosakkan peluangnya untuk mendapat pekerjaan.

Menurut Noor Azman dia direman polis selama empat hari selepas Zahida,39, membuat laporan polis terhadapnya berhubung kehilangan wang itu.

Plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah. - Bernama

'Benda itu memang ada'

'Benda itu memang ada'
Pengawal hanya membenarkan merakam pemandangan bahagian luar pulau.


MELAKA - Menggunakan perkhidmatan bot laju, jeti Pengkalan umbai Pernu kami tinggalkan. Sekitar 20 minit, kaki sudah dapat menjejak Pulau Nangka. Pulau yang kini kembali menjadi sebutan.

Di Pulau ini, sesiapa saja tidak kira orang awam, wartawan atau jurugambar, tidak dibenarkan mengambil gambar atas arahan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim). Kami hanya dibenarkan merakam pemandangan pulau di bahagian luar sahaja.

Pulau Nangka digazetkan sebagi hak milik Perbadanan Muzium Melaka sejak 1997.

Di persisiran pantai, bertemu beberapa petugas dipercayai kakitangan syarikat kontraktor dilantik Perzim untuk menjalankan kerja-kerja pencarian bukti mengenai wujudnya harta karun di pulau ini.

Kami dihalang memasuki kawasan lebih jauh dengan alasan tidak dibenarkan serta memberi amaran kawasan berkenaan amat merbahaya.

Selain bentuk muka bumi yang curam di bahagian belakang, pulau berkenaan dikatakan juga banyak dihuni makhluk halus dan keras.

Hampa kerana hasrat untuk meneroka Pulau Nangka tidak kesampaian, kami kemudian pulang semula ke tanah besar.

Di tanah besar, kami terus mendapatkan syarikat yang terlibat melakukan kerja-kerja penyelidikan di Pulau Nangka.

Dakwaan adanya harta karun bernilai berbilion ringgit di Pulau Nangka, disahkan dengan bukti bergambar yang diperoleh syarikat itu.

Gambar-gambar tersebut merupakan artifak lama dipercayai digunakan pada zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka.


Menurut Pengarah Urusan Smart Partnership International (M) Sdn Bhd, Mohammad Foad Khushairy Mohd. Said, pihaknya mengadakan penyelidikan di pulau berkenaan kali pertama pada Julai 2012 dan menemui tiga tanda besar termasuk ukiran batu berbentuk bulan sabit.

Katanya, batu berkenaan diperbuat daripada batu kuarza yang dilekapkan pada batu laut dipercayai berusia lebih setengah abad di zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka.

“Selain itu, terdapat ukiran batu peta Pulau Nangka sendiri yang menunjukkan simbol bermaksud adanya pinggan mangkuk lama tersimpan di situ.

“Semua itu boleh jelas kelihatan semasa air laut benar-benar surut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Jelas Mohammad Foad, syarikatnya dipertanggungjawabkan untuk mencari bukti bergambar serta menjalankan kajian di Pulau Nangka selama tiga bulan dan akan berakhir sehingga penghujung April ini.

“Mengikut kajian geoteknikal yang dijalankan, memang wujud bahan artifak lama dan selama hampir tiga bulan ini, kami bukan menemui gua seperti didakwa tetapi merupakan bilik-bilik yang dibina oleh orang terdahulu di zaman Kesultanan Islam Melayu Melaka.

“Saya tidak dapat pastikan berapa banyak barangan yang terdapat di dalamnya namun menerusi kajian geoteknikal serta imbasan imej bumi, mendapati memang wujud artifak berkenaan.

“Cuma sekarang ini halangannya struktur batuan yang amat keras dan perlu dipecahkan terlebih dahulu,” katanya.

Menurut beliau, binaan bilik-bilik berkenaan sama seperti struktur binaan Kota Melaka dan kemudiannya dikenali dengan nama Kota A Farmosa yang dibina oleh orang Melayu Melaka sendiri sebenarnya.

“Bilik-bilik berkenaan dibina mempunyai banyak fungsi, antaranya bilik mesyuarat dan pelbagai bilik lain. Lebih kurang 20 tahun lepas ketika struktur pintu utama masih elok, kita boleh masuk tapi sekarang pintu tersebut sudah runtuh jadi kita kena buat pintu baru, itu sebabnya tidak boleh masuk.

Sinar Harian 

'Van bergerak, saya jerit..ibu..ibu'

'Van bergerak, saya jerit..ibu..ibu'
Asiah (kanan) ketika melawat Sakinah (kiri) sambil diperhatikan Nor Aisah.


JOHOR BAHRU - “Saya di belakang..tiga kawan main di depan, lepas tu van bergerak,” ujar Sakinah Roslan, 5.

Sakinah antara lima mangsa lain yang terselamat dalam tragedi van sekolah yang dinaiki mereka menggelongsor sebelum menjunam ke dalam loji kumbahan di Taman Universiti, di sini, kelmarin.

Menurutnya, terkejut dengan keadaan itu, kesemua rakannya menjerit meminta pertolongan termasuk dia yang menjerit memanggil nama ibunya berikutan tidak pernah berdepan dengan situasi cemas sedemikian.

“Saya takut..saya jerit ibu..ibu..kawan-kawan pun jerit. Kami semua menangis,"katanya.

Menurut Sakinah, dia sedar ada pihak datang menyelamatkan semua murid yang berada di dalam van berkenaan.

Sakinah ditemui semasa lawatan Exco Johor, Asiah Md Ariff dan Datuk Ayub Rahmat di Wad Kanak-kanak Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.

Dalam pada itu, ibu Sakinah, Nor Aisah Kasim, 42 berkata, dia mengetahui kejadian itu setelah menerima panggilan daripada suaminya, Roslan Mohd Shah, 33 sekitar jam 11.50 pagi.

“Ketika itu, saya sedang tidur kerana baharu pulang dari kerja dan rasa sangat terkejut serta bimbang dengan keadaan anaknya dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Saya risau kerana fikir bukan setakat Sakinah sahaja yang masuk dalam loji itu tetapi kakaknya yang bersekolah pra sekolah Sekolah Kebangsaan Taman Universiti turut bersama kerana kedua-duanya menaiki van yang sama.

“Sebab saya difahamkan selalunya pemandu van itu ambil murid di sekolah dahulu, sebelum ambil murid di tadika. Jika tidak, mungkin ramai lagi mangsa,” katanya yang bersyukur anaknya terselamat dan reda dengan kejadian itu.

Sementara itu, Asiah berkata, pihaknya akan memastikan pintu pagar loji kumbahan yang rosak itu digantikan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berulang.

“Ini adalah insiden yang pertama kali berlaku selepas tadika berkenaan beroperasi lebih lima tahun. Kita masih menunggu siasatan lanjut berhubung perkara ini,” katanya.

Mengenai tadika berkenaan yang ditutup semalam, beliau berkata, ini disebabkan guru-guru serta murid-murid masih terkejut dengan insiden yang tidak disangka itu dan ia akan kembali beroperasi esok (hari ini).

Terdahulu, seorang mangsa Muhammad Azri Aqif Azhar, 4 telah meninggal dunia dalam insiden menyayat hati itu.

Manakala, selain Sakinah, empat lagi mangsa masih dirawat di HSA iaitu Muhammad Hadif Syauqi Samsol Akamal, 5; Daniel Asyraf Abdullah, 5 dan Danial Aiman Hakimi Md Gefri serta Nur Aima Abd Razak, 5 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.

Sinar Harian 

Pengguna Facebook, waspada pepijat Heartbleed

Facebook

KUALA LUMPUR - Pengguna laman sosial Facebook di negara ini perlu berhati-hati dengan pautan laman sesawang berantai yang disyaki mengandungi pepijat 'Heartbleed', iaitu sejenis penggodam akaun pengguna.

Bermula awal minggu lalu, pepijat Heartbleed atau CVE-2014-0160 yang belum diketahui asal-usulnya, membolehkan penggodam mencuri data peribadi pengguna Facebook bagi tujuan yang tidak baik.

Awal minggu ini, Reuters melaporkan kerajaan Amerika Syarikat mengeluarkan amaran kepada institusi perbankan dan perniagaan di negara itu agar memperketat kawalan keselamatan siber serta berwaspada dengan serangan penggodam yang ingin mencuri maklumat peribadi pelanggan melalui pepijat Heartbleed.

Presiden dan Pengasas Gerakan Belia Teknologi Informasi Khaireel Azlee Abdul Aziz, berkata pepijat Heartbleed disasar kepada pengguna media sosial kerana laman seperti itu mempunyai kandungan data peribadi yang banyak.

"Negara kita merupakan antara pengguna media sosial seperti Facebook yang tertinggi di rantau ini, dan ia menjadi lubuk kepada penggodam untuk mengambil data peribadi malah sehingga ke tahap mereka boleh mengawal akaun media sosial yang dijangkiti pepijat tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Khaireel Azlee juga berkata sebaik sahaja pautan itu ditekan, penggodam boleh mengakses semua data peribadi pengguna termasuk kata laluan, gambar, video, e-mel sehingga ke tahap mengawal akaun sosial pengguna berkenaan.

"Oleh itu, saya menyarankan semua pengguna berhati-hati ketika melayari Facebook dan tidak menekan mana-mana pautan berantai, yang mahukan akaun anda diakses sekiranya ingin melihat video atau gambar yang disertakan di laman sesawang tersebut," kata beliau yang lebih dikenali sebagai Kay Azlee melalui program ICT dan Anda terbitan Bernama Radio24, bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari 7.45 malam hingga 8 malam.

Beliau berkata setiap pengguna laman sosial seperti Facebook perlu mempunyai kesedaran yang tinggi sebelum mendedahkan perkara berhubung kehidupan mereka di laman itu.

"Perlu diingat, sebelum memuat naik apa sahaja, biarlah ia bersifat umum, sebagai contoh tidak memuat naik gambar ahli keluarga supaya orang yang berniat jahat tidak mempunyai akses kepada maklumat kehidupan peribadi anda," katanya.

Sementara itu, laman sesawang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memuat naik amaran berhubung serangan pepijat Heartbleed awal minggu lalu.

Amaran bertarikh 8 April itu dikeluarkan kepada semua agensi dan syarikat telekomunikasi di negara ini bagi memperketat kawalan keselamatan mereka daripada diceroboh penggodam menggunakan pepijat Heartbleed.

Menurut amaran itu, SKMM mengenal pasti 34 laman sesawang yang terjejas dan telahpun memaklumkan kepada mereka untuk memperbaiki kelemahan sistem keselamatan masing-masing dengan segera.

SKMM turut menasihati pengguna Internet agar menukar kata laluan terutama pada akaun media sosial dan e-mel untuk tujuan keselamatan.

Untuk keterangan lanjut berkaitan pepijat Heartbleed, pengguna boleh melayari laman sesawang http://heartbleed.com. - Bernama

Telefon: Polis siasat dakwaan CNN

 Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein


KUALA LUMPUR - Benarkah telefon bimbit milik pembantu juruterbang MH370, Fariq Ahmad Hamid dihidupkan dan dikesan di Pulau Pinang, seperti didakwa sumber dari Amerika Syarikat (AS)?

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, apabila ditanya berkata, polis masih menyiasat perkara itu dan sebarang spekulasi mengenainya boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.

“Saya tidak mahu komen selagi tiada pengesahan. (Kita perlu) memastikan keluarga yang di bawah siasatan tidak tersinggung dari segi emosi dan kedudukan mereka," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Katanya, polis dan agensi risikan antarabangsa sedang menyiasat dan maklumat (yang tidak tepat) akan jejaskan siasatan mereka.

Laman web CNN, semalam memetik sumber rasmi dari AS bahawa telefon bimbit milik Fariq telah dihidupkan dan ia dapat dikesan oleh menara telekomunikasi di Pulau Pinang. Bagaimanapun tiada panggilan dibuat.

Maklumat itu mendorong pasukan penyiasat melihat jutaan rekod panggilan telefon jika ada panggilan telefon yang dibuat dari pesawat itu selepas ia dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu.

Panggilan itu dikatakan dilakukan ketika pesawat tersebut berada pada ketinggian 5,000 kaki dan terbang merentasi Pulau Pinang.

Laporan CNN menyebut, sumber pasukan penyiasat AS itu berkata, telefon bimbit milik Fariq cuba mengesan isyarat telekomunikasi kira-kira 30 minit selepas MH370 membuat pusingan balik ke Semenanjung Malaysia.

Sinar Harian 

Mungkin harta karun milik lanun

Persatuan Sejarah Malaysia
Persatuan Sejarah Malaysia


SHAH ALAM - Persatuan Sejarah Malaysia tidak menolak kemungkinan wujud harta karun di Pulau Nangka, Melaka, seperti kenyataan Ketua Menterinya, Datuk Seri Idris Haron.

Pengerusinya, Datuk Omar Mohd Hashim berkata, jika wujud harta karun tersebut, ia boleh jadi milik lanun-lanun Eropah yang singgah di perairan Melaka.

Menurutnya, perkara seperti menyembunyikan harta adalah amalan lanun-lanun sahaja.

"Itu hanya kemungkinan sahaja. Ini kerana, tidak ada dalam amalan atau hikayat sewaktu Kesultanan Melayu dahulu kisah meninggalkan harta dengan menyembunyikannya.

"Sesiapa sahaja yang melarikan diri termasuk Sultan, mereka akan membawa bersama harta-harta milik mereka dan tidak akan meninggalkan di mana-mana dengan harapan akan berpatah balik untuk mengambil semula," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, perkara menyembunyikan harta boleh jadi dilakukan oleh mana-mana pihak.

"Kebarangkalian harta itu wujud ada, cuma saya tidak boleh kata, ia milik Sultan Mahmud Shah atau mana-mana Sultan.

"Pada zaman itu, saudagar dari China dan India yang menetap di Melaka juga kaya dan mempunyai pengaruh besar, tetapi ia tidak memungkinkan harta-harta itu milik mereka kerana menyembunyikan harta bukan amalan pada era itu," katanya.

Ditanya, adakah mungkin harta dikatakan milik Sultan Mahmud Shah itu ditinggalkan oleh pengiringnya sewaktu Baginda melarikan diri daripada serangan Portugis pada tahun 1511, Omar berkata, perkara itu tidak pernah dinyatakan. 

"Tidak ada cerita hikayat Melayu mengenai perkara sedemikian. Menerusi cerita-cerita lama ini, setiap pengiring Sultan adalah terdiri daripada mereka yang setia.

"Mengikut sejarah, semasa Sultan Mahmud Shah melarikan diri ke Bentan, baginda diiringi hampir 300 pengiring yang membawa harta seperti alat-alat kerajaan (keris dan takhta) dan juga emas. Kesemua mereka ini sangat setia kepada Sultan dan tidak akan mengkhianati dengan mencuri dan menyembunyikan harta tersebut," katanya.

Jelasnya, semasa melarikan diri itu, Sultan dan pengikutnya hanya melalui jalan darat untuk mengelakkan diri daripada ditangkap Portugis.

"Jalan laut tidak selamat buat mereka. Jika mereka melalui jalan laut, akan mudah dikepong tentera Portugis berbanding jalan darat yang lebih kepada perkampungan," katanya.

Dalam pada tu, Omar menjelaskan jika benar wujud harta karun seperti yang dinyatakan, ia adalah milik kerajaan Melaka dan tidak boleh mana-mana pihak mengambilnya.

Sinar Harian 

Jangan percaya skim penipuan MH370

MH370

SHAH ALAM - Keluarga penumpang MH370 perlu mengambil langkah berjaga-jaga berikutan dengan kewujudan skim penipuan menggunakan nama MH370 yang tersebar di China sejak kebelakangan ini.

Ketua MCA Bahagian Muar, Tay Puay Chuan berkata, sebuah akhbar di China telah melaporkan bahawa ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas keluarga penumpang MH370 dengan cuba melakukan penipuan e-mel.

"Ada sesetengah pihak cuba menyamar sebagai pihak MAS, mereka maklumkan pada keluarga penumpang MH370 supaya mereka boleh menuntut pampasan ke atas syarikat MAS namun mereka perlu mendepositkan sejumlah wang sebagai yuran pendaftaran ke dalam akaun yang dipaparkan terlebih dahulu sebelum menuntut pampasan yang dinyatakan," katanya menerusi satu kenyataan media yang disiarkan hari ini.

Menurutnya, keluarga penumpang MH370 perlu berunding dengan pihak MH370 terlebih dahulu untuk mendapatkan pengesahan atau maklumat yang berhubung dengan perkara ini.

Beliau turut menasihati keluarga penumpang MH370 agar terus bertenang dan sentiasa berhubung dengan dengan pihak berkuasa dan pihak MAS untuk bagi sebarang maklumat yang baru diperoleh.

Sinar Harian