MELAKA: Polis hari ini meminta orang ramai agar tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan melalui media sosial kononnya air akan dilepaskan dari empangan di negeri-negeri yang sedang dilanda banjir.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebaliknya menasihatkan orang ramai agar mendapatkan maklumat tepat mengenai kejadian banjir daripada sumber yang sah.
"Media sosial boleh dibaca, tetapi jangan percaya bulat-bulat...dengar daripada sumber yang sah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Khalid pengumuman mengenai banjir akan dilakukan pihak berkuasa dan media arus perdana.
Beliau turut menasihatkan mangsa banjir supaya mematuhi arahan polis, pasukan bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam sekiranya diarah untuk berpindah.
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata siasatan polis mendapati tiada kesan penderaan terhadap mayat tiga beradik perempuan yang ditemui mati di Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar, Kedah pada Sabtu dan Ahad lepas.
"Setakat ini, siasatan tidak menunjukkan tanda penderaan, tetapi keadaan mayat ditemui itu meragukan kami walaupun sebab kematian ketiga-tiganya adalah lemas, jadi polis mengklasifikasikan kes ini sebagai bunuh," katanya.
Justeru, beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes terbabit.
Dalam kejadian itu, mayat Puteri Nurul Akma, 3 dan Nur Izzati Husna, 12 ditemui pada 3.45 petang Ahad lepas dalam terusan Mada di Kampung Padang Tani, Langgar, kira-kira 3.5 kilometer dari tempat mayat kakak mereka Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui di sawah Kampung Alor Senibong, Langgar pada petang Sabtu.
Tiga beradik itu keluar dari rumah mereka dengan motosikal ditunggangi Nor Syafikah Nadia pada 7.30 malam, Jumaat lepas dan tidak pulang selepas itu.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang remaja berusia 16 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Astro Awani