Saturday, 15 November 2014

Gempa 7.3 magnitud landa Indonesia, amaran tsunami dikeluarkan

Menurut PTWC, gelombang tsunami boleh melanda wilayah Indonesia dan Filipina, Jepun, Taiwan dan pulau-pulau di Pasifik Selatan.

JAKARTA: Gempa bumi berukuran 7.3 magnitud menggegarkan Kepulauan Maluku di timur Indonesia Sabtu, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran tsunami.

Gempa dasar laut melanda pada kedalaman 46 kilometer pada 10:31 waktu tempatan, 154 kilometer ke barat laut Kota Ternate, kata USGS.

"Gelombang Tsunami berkemungkinan berlaku di pantai yang terletak dalam jarak 300 kilometer," kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC).

Menurut PTWC, gelombang tsunami boleh melanda wilayah Indonesia dan Filipina, Jepun, Taiwan dan pulau-pulau di Pasifik Selatan.

Gelombang tsunami antara 30 sentimeter dan satu meter boleh melanda wilayah Indonesia, kata pusat itu, manakala gelombang di bawah 30 sentimeter telah diramalkan untuk pantai Filipina, menurut PTWC.

"Kami telah mengeluarkan amaran awal tsunami," kata pegawai dari agensi meteorologi Indonesia kepada AFP.

Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik di mana plat benua bertembung, menyebabkan aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap.

Gempa bumi dasar laut terbesar berlaku pada tahun 2004, mencetuskan tsunami yang mengorbankan lebih 170,000 orang di wilayah Aceh, di pulau Sumatera barat, dan beribu-ribu lagi di negara-negara lain berhampiran pantai di Lautan Hindi. 

- Sumber: Astro Awani 

Penyamun putus tangan dilibas parang oleh tuan rumah

Menurut Muhammad Zaki (gambar) polis yang menjalankan pemeriksaan dan siasatan menemui suspek berumur 26 tahun yang cedera putus tangan kanan di dalam semak.

SEREMBAN: Seorang penjenayah putus tangan kanan akibat dilibas dengan parang oleh mangsanya dalam kejadian samun di sebuah rumah di Taman Sikamat Utama, Sikamat di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata dalam kejadian pada 3.30 pagi itu, sekumpulan empat lelaki (suspek) memecah masuk rumah sepasang suami isteri warga Myanmar dan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNCHR).

"Suspek memecah masuk melalui tingkap di ruang tamu sebelum menendang pintu bilik menyebabkan mangsa berusia awal 40-an dan isterinya berusia 30-an terkejut. Dua daripada suspek lelaki kemudian terus serbu kedua-dua mangsa di atas katil dan mangsa lelaki telah ditumbuk bertubi-tubi dan dipukul.

"Bagaimanapun mangsa lelaki Myanmar itu melawan dan berjaya mengambil parang dan terus melibas ke arah suspek mengakibatkan seorang daripada suspek terkena libasan parang dan putus tangan kanan di bahagian pergelangan tangannya.

"Berikutan itu kesemua suspek melarikan diri keluar ikut pintu hadapan rumah," katanya di sini, hari ini.

Katanya polis yang menjalankan pemeriksaan dan siasatan menemui suspek berumur 26 tahun yang cedera putus tangan kanan di dalam semak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa manakala tiga lagi suspek melarikan diri dengan sebuah van putih.

Muhamad Zaki berkata lelaki terbabit yang juga memiliki kad UNHCR kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS).

Katanya polis merampas sebilah parang sepanjang 50cm dengan kesan darah dan turut menjumpai dua utas rantai leher, sepasang subang, dan wang tunai RM50 di tempat kejadian.

"Kerugian dianggarkan RM5,000. Polis juga akan menyiasat dari semua sudut jika ada motif lain," katanya.

- Sumber: Bernama

Dinding berlubang ditolak guna jari

Perbezaaan antara kayu lama dan baharu. Kayu lama (belakang) lebih tahan dan berkualiti berbanding yang baharu.

KUALA TERENGGANU - “Ingatkan tahan, rupa-rupanya tolak dengan jari pun dinding rumah saya boleh berlubang,” rungut Hamzah Hussin, 57.

Menurutnya, rumahnya itu dibina oleh dua pekerja yang dilihatnya sebagai tidak berpengalaman.

Hamzah memberitahu demikian ketika ditanya Sinar Harian mengenai kerja baik pulih rumah nelayan bawah skim bantuan kerajaan Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) yang memperuntukkan RM10,000 untuk kos baik pulih setiap rumah.

“Papan yang digunakan adalah jenis gred 2. Bila hujan air meresap dan mudah rosak,”katanya yang sudah menjadi nelayan selama lebih 28 tahun.

Menurutnya, belum pun sampai setahun, rumahnya yang disewa di atas tanah orang lain itu sudah pun berlubang.

“Saya sendiri boleh bertukang (buat rumah), ada baiknya jika bantuan RM10,000 itu disalurkan terus kepada penerima, saya boleh buat lebih baik lagi,” katanya.

Menurutnya, sebagai anak jati kampung itu, dia kecewa kerana bantuan yang diharapkan seolah-olah cuba ‘dirompak’ senyap-senyap oleh pihak berkepentingan.

"Kerajaan betul prihatin hendak bantu, tapi bila ada yang ambil kesempatan, benda baik itu akhirnya nampak buruk kerana ketamakkan mereka," katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

Lelaki diperdaya RM300,000 dalam penipuan matawang asing

Lelaki diperdaya RM300,000 dalam penipuan matawang asing

LABUAN: Seorang lelaki berusia 39 tahun mendakwa diperdaya lebih RM300,000 oleh seorang warga asing yang baru dikenalinya menerusi media sosial Facebook.

Lelaki tempatan itu melaporkan insiden terbabit kepada polis pada 11 Nov dengan mendakwa satu transaksi pemindahan matawang bank memerangkapnya untuk mempercayai urusniaga itu sebagai tulen, berikutan modus operandi yang begitu licik sehinggakan seolah-olah bukan dilakukan sindiket penipuan matawang asing.

Ketua Polis Labuan Supt Adzhar Othman berkata modus operandi seperti yang didakwa pengadu didalangi beberapa individu warga asing dan tempatan.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa menghubungi seorang warga Amerika yang dikenalinya menerusi Facebook dan kemudian berurusan dengannya berkaitan transaksi pemindahan matawang bank berjumlah US$2 juta menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata dalam 'perbualan Facebook' itu, mangsa diminta berjumpa seorang ejen, seorang warga British berumur 30-an, di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Ogos.

"Bagi menjayakan modus operandi itu, mangsa diminta bertemu seorang lagi warga British yang kemudian menunjukkan kepadanya sebuah beg mengandungi matawang berjumlah US$2 juta.

Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa bersetuju dengan urusniaga itu.

Adzhar berkata mangsa kembali ke Labuan pada hari berikutnya dan diminta memasukkan RM7,050 menerusi Pemindahan Dana Antarabangsa bagi proses transaksi pemindahan matawang ke dalam akaun seorang rakyat tempatan di Labuan.

Beliau berkata mangsa turut menyerahkan US$4,000 tunai kepada ejen itu di sebuah hotel, dan ejen itu memaklumkan kepadanya pemindahan matawang itu akan dilakukan pada 10 Nov.

"Bagaimanapun seorang wanita tempatan menghubungi mangsa dengan memperkenalkan dirinya sebagai pembantu ejen itu dan dia sedang dalam perjalanan untuk menyerahkan matawang terbabit.

"Apa yang memeranjatkan mangsa adalah wanita itu tiba-tiba memberitahunya dia ditahan polis dan mulai saat itu, mangsa merasakan dia terperangkap dan tertipu lalu membuat laporan polis," katanya.

- Sumber: Bernama

Tanam kepala dalam pasir tanda protes


Tony Abbott dikatakan memandang remeh isu perubahan iklim

Lebih 400 warga Australia bertindak menanam kepala mereka ke dalam pasir di pantai Bondi, Sydney kerana tidak berpuas hati dengan polisi Perdana Menteri negara itu, Tony Abbott yang tidak mengambil berat tentang perubahan iklim dunia.

Abbott pada tahun 2009 pernah menyatakan kajian mengenai perubahan iklim bukan satu perkara penting dan mahu memberi fokus pada perkembangan ekonomi.

Tunjuk perasaan dilakukan menjelang persidangan tahunan G20 yang akan berlangsung di Brisbane, Australia pada 15 dan 16 November.

Mereka mendesak agar isu ini menjadi salah satu agenda dalam persidangan berkenaan.

Menurut penganjur, Eden Tehan, demonstrasi ini dilakukan bagi menarik perhatian pemimpin-pemimpin dunia bahawa iklim adalah satu isu signifikan.

“Kami ingin memberitahu kepada pemimpin-pemimpin dunia yang dating ke Persidangan G20 di Brisbane bahawa demonstrasi di pantai ini adalah satu cara untuk dunia tahu kami tidak bersetuju dengan kerajaan terhadap isu perubahan iklim dan mahu melihat tindakan segera dilakukan secara global.” katanya.

Ia mendapat liputan meluas media dan masyarakat yang membuat perkongsian di laman media sosial.

Penunjuk perasaan datang dari pelbagai latar belakang seperti pekerja profesional, pelajar sekolah dan ibu bapa.

Over 400 protest #climatechange burying their head in the sand at #Bondi #headsinsandsalute @smh @photosSMH#Sydney pic.twitter.com/ZGfrsvZQME— Dallas Kilponen (@thinkshootprod) November 13, 2014
Aussies put heads in sand on G20 eve. @TonyAbbottMHRget your head out of the sand on climate:http://t.co/ZPAkS8k3RZ pic.twitter.com/3cgl1UCa5w— 350Australia (@350Australia) November 13, 2014


- Sumber: Astro Awani 

Taylor Swift rebutan majalah terkemuka

Taylor Swift bukan saja mendominasi carta lagu malah pengaruhnya juga membawa ke muka depan majalah terkemuka.

TIME, Bloomberg Businessweek dan Wonderland antara yang memaparkan wajah bintang sensasi remaja itu di halaman depan.

TIME berkongsi cerita mengenai album terbaru Swift berjudul ‘1989’, meraikan kegemilangannya serta pendapat tentang gambaran media terhadap wanita.


(Sumber gambar: laman web TIME)
Bloomberg Businessweek pula memperkatakan tentang peranannya dalam industri muzik.


(Sumber gambar: laman web huffingtonpost.com)
Manakala menerusi Wonderland, Swift berbicara tentang Twitter, muzik dan kehidupan solo.


(Sumber gambar: laman web glamourmagazine.co.uk)
Penyanyi berusia 24 tahun ini menjadi kegemaran peminat terutama remaja kerana sifatnya yang mesra dan rajin retweet serta membalas komen melalui laman social.

Sebelum ini video klip terbarunya, ‘Blank Space’ yang dimuat naik di Youtube berjaya mengumpul lebih 17 juta tontonan dalam tempoh sehari.

Swift turut mengungguli carta paling popular di media sosial Starcount susulan pelancaran album ‘1989’, Oktober lepas.

- Sumber: Astro Awani 

Culik: Rayu kerajaan selamatkan suami

Pek Nyuen (duduk, dua, kiri) bersama ahli Parlimen PR merayu kerajaan bantu bebas suaminya daripada kumpulan penculik.
Pek Nyuen (duduk, dua, kiri) bersama ahli Parlimen PR merayu kerajaan bantu bebas suaminya daripada kumpulan penculik.

KUALA LUMPUR - “Penculik bagi tempoh sehingga hujung November ini. Jika saya gagal serah wang itu, mereka mahu penggal kepala suami saya,” kata Chin Pek Nyuen.

Pek Nyuen adalah isteri kepada penternak ikan Chan Sai Chiun yang diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kampung Sapang Air Kunak, Sabah pada Jun lalu.

Kumpulan penculik itu menuntut wang tebusan RM3 juta sebagai syarat pembebasan Sai Chiun. Menurut Pek Nyuen, dia menerima panggilan terbaru daripada penculik kira-kira jam 11 pagi semalam.

Dia yang ditemui di lobi Parlimen semalam, sekali lagi merayu kerajaan segera membantu membebaskan suaminya selepas mendakwa tidak mendapat maklumat terkini daripada pihak berkuasa mengenai perkembangan semasa kes penculikan Sai Chiun.

“Jika kerajaan tidak mahu bertindak segera, saya tiada pilihan lain untuk turut sama menyerah diri kepada penculik bagi menyelamatkan suami saya,” katanya lagi.

Pada sidang media itu, seramai 10 ahli Parlimen PR hadir memberikan sokongan kepada Pek Nyuen.

Ahli Parlimen Indera Mahkota (PKR), Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, tempoh masa yang diberikan semakin hampir dan jika tiada tindakan drastik kerajaan, dibimbangi mangsa akan menjadi korban pengganas.

“Kami merayu pada kerajaan segera bertindak, kasihanilah ahli keluarga mangsa yang tidak lena tidur sejak lima bulan lalu.

“Mangsa rakyat Malaysia yang tidak bersalah, malah anggota keselamatan kita juga turut menjadi tebusan mereka. Kita menyambut baik usaha Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dalam membantu kes ini, namun masih tidak cukup,” katanya.

Tambah beliau, pasukan keselamatan Malaysia perlu bekerjasama dengan Kerajaan Filipina bagi menangani kes ini dengan segera.

Gesaan sama turut dinyatakan oleh Ahli Parlimen Sandakan (DAP), Stephen Wong agar kerajaan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

“Insiden penculikan ini kerap kali berlaku di Sabah, ini bermakna kita berdepan dengan masalah keselamatan yang serius.

“Saya harap kerajaan segera bertindak walau apa cara sekalipun,” katanya yang mencadangkan kerajaan akur dengan membayar wang tebusan kepada penculik sekiranya tiada jalan terbaik yang ditemui.

Sehingga kini dua rakyat Malaysia termasuk seorang anggota polis marin, Konstabel Zakiah Aleip masih berada dalam tahanan penculik selepas diculik di perairan Sabah.

Setakat ini, dipercayai penculik itu daripada kumpulan Abu Sayaff.

- Sumber: Sinar Harian 

Wayne Rooney buru penampilan ke-100

Rooney mahu setanding Gerrard, Lampard dan Beckham yang beraksi lebih 100 kali untuk England.


KAPTEN England, Wayne Rooney mengidam mencapai kemenangan dalam penampilan ke-100 dirinya untuk Three Lions pada pertembungan menentang Slovenia di Wembley, awal pagi esok.

Bintang Manchester United itu dijangka disenaraikan Roy Hodgson bagi kempen Kumpulan E dan bakal menjadi pemain kesembilan England berjaya melakukannya pada abad ini.

Dia juga akan mengikuti jejak langkah bekas rakan sepasukan seperti Steven Gerrard, Frank Lampard, Ashley Cole dan David Beckham.

"Saya mahu menang dan menjadikan pencapaian ini lebih manis dengan membantu kemenangan keempat England," katanya.

Prestasi pasukan dari Kepulauan British sepanjang kempen ini cukup mengagumkan yang menampilkan aksi terpuji selepas tersingkir awal daripada kejohanan Piala Dunia Brazil, Jun lalu.

Poveglia, pulau ‘penjara’ paling tragis di dunia

Poveglia, pulau ‘penjara’ paling tragis di dunia

Poveglia, pulau ‘penjara’ paling tragis di dunia

Poveglia, pulau ‘penjara’ paling tragis di dunia

MUNGKIN ramai yang tidak tahu sejarah di sebalik keindahan Pulau Poveglia, iaitu salah satu pulau kecil yang terletak di Itali.

Terletak di antara sempadan Itali dan Lido, pulau in dikatakan menyimpan sejarah yang agak menakutkan.

Sejarah bagi pulau ini bermula pada tahun 1379 apabila ia dikatakan menjadi tempat persembunyian bagi pelarian perang ketika berlakunya siri peperangan di Eropah.

Pulau ini tidak didiami oleh sesiapa pada abad-abad berikutnya.

Kisah hitam pulau ini dicatatkan pada tahun 1793 apabila serangan wabak penyakit melanda Itali.

Dikatakan, pulau tersebut menjadi lokasi ‘ideal’ bagi kerajaan Itali untuk mengkuarantin pesakit bagi wabak bubonik, taun, denggi dan sebagainya daripada menjangkiti atau menyebarkan virus kepada penduduk di tanah besar Itali.

Menurut masyarakat tempatan, pesakit yang dihantar ke pulau itu akan dibakar hidup-hidup atau dibiarkan kelaparan sehingga mati.

Malah ada yang mengatakan, sebilangan pesakit yang dibawa ke pulau itu akan dicampakkan ke dalam sebuah lubang yang dipenuhi rangka dan tengkorak manusia.

Pada tahun 1922, sebuah rumah sakit jiwa dibangunkan di pulau indah itu.

Namun wujud pelbagai laporan mengatakan, kesemua pesakit jiwa yang mendapat rawatan di pulau tersebut mati akibat kekejaman doktor yang melakukan pelbagai uji kaji dan eksperimen kejam ke atas pesakit mereka.

Dikatakan, doktor yang merawat pesakit-pesakit di hospital sakit jiwa itu membunuh diri dengan terjun dari menara lama yang terdapat di hospital berkenaan.

Pulau itu terbiar tanpa penghuni sejak tahun 1968. Sehingga kini, Pulau Poveglia seluas 68 kilometer persegi ini mencatatkan kematian sehingga 160,000 nyawa.

Menurut laporan portal The Telegraph pada April tahun ini, pulau tersebut sedang dilelong oleh kerajaan Itali untuk dibangunkan kepada pusat peranginan mewah.

Hasil carian Sinar Harian Online menerusi aplikasi satelit Google Map menunjukkan bangunan lama pulau tersebut masih dikekalkan sehingga kini.

- Sumber: Sinar Harian