Tuesday 27 May 2014

Semua sekolah dilengkapi Internet 4G tahun depan

P Kamalanathan
P Kamalanathan


KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan menyasarkan semua sekolah akan dilengkapi kemudahan Internet 4G menjelang 2015 di bawah program 1BestariNet.

Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan berkata sehingga kini capaian kemudahan itu pada 86.3 peratus atau 8,746 buah sekolah. 

"Kita masih kekurangan kira-kira 14 peratus dan akan mencapainya menjelang 2015. Kita melihat kepada sekolah-sekolah yang mempunyai akses bawah 2G, terutama di kawasan pedalaman," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan The Digital Education Show 2014 di sini hari ini. 

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Amin Senin, Ketua Pegawai Operasi Multimedia Development Corporation (MDeC) Ng Wan Peng dan Pengarah Urusan Terrapin Pte Ltd Katrina Leung. 

Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata program 1BestariNet yang diperkenalkan kementerian itu hujung tahun lepas ternyata memberi impak positif kepada sistem pendidikan negara apabila dijadikan model rujukan oleh beberapa negara maju.

"Bandar-bandar yang begitu moden, hebat dengan teknologi seperti Berlin (di Jerman) masih guna 3G, menunjukkan kita berada di depan malah menjadi negara rujuk kepada negara-negara yang memang hebat dalam bidang pendidikan seperti Finland.

"Finland datang ke sini untuk belajar dan atas dasar apa kita ambil keputusan ini (mewujudkan 1BestariNet). Bagi saya ia satu lonjakan paradigma dan cara berfikir di luar kotak," katanya.

1BestariNet ialah portal pembelajaran yang diperkenal oleh Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran selain merapatkan jurang digital antara pelajar bandar dan luar bandar. 

Menerusi sistem itu sekolah akan dihubungkan dengan pangkalan pembelajaran tunggal menggunakan Internet berkelajuan tinggi 4G.- Bernama

Anak Malaysia bantu Jepun menang Piala Thomas

Izuan (kiri) memberi arahan kepada Momota dalam satu kejohanan di India pada 2011. Foto: (http://izuanibrahim84.blogspot.com
Izuan (kiri) memberi arahan kepada Momota dalam satu kejohanan di India pada 2011. Foto: (http://izuanibrahim84.blogspot.com


DI SEBALIK kejayaan pasukan Jepun merangkul kejuaraan Piala Thomas kelmarin, ramai tidak mengetahui pasukan negara matahari terbit itu sebenarnya dibantu oleh anak Malaysia.

Individu tersebut ialah Izuan Ibrahim. Anak kelahiran Kelantan itu adalah jurulatih kepada pemain perseorangan Jepun, Kento Momota yang menewaskan pemain negara, Chong Wei Feng dengan straight set 21-15, 21-17.

Kemenangan Momota, 19, memastikan Jepun mendahului 2-1 pada aksi final di New Delhi.

Izuan yang merupakan seorang bekas guru ketika ini berkhidmat sebagai jurulatih remaja pasukan kebangsaan Jepun di bawah Nihong Badminton Association dan jurulatih di RS Hamanaka.

Dalam Facebook beliau, Izuan turut memuat naik status menyentuh kehebatan Zulfadli Zulkifli yang mengalahkan Momota di separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia pada 2011.

"Pada 2011, saya tumpang gembira apabila Zulfadli muncul juara dunia. Saya juga sedih apabila gagal membantu Momota di separuh akhir.

"Apa pun, 2014 menyaksikan permainan Momota semakin matang dan dia berjaya menewaskan ramai pemain hebat. Sekarang, saya sedih melihat kedudukan Zulfadli," katanya dipetik dari Facebook beliau.

- Sinar Harian 

'Ayah, ibu datang dalam mimpi'

Shahrizat bersama (dari kanan) Mohd Aidil, Norsyamini, Nor Auni dan Fatin Nabila ketika kunjungannya ke kediaman keluarga adik-beradik itu di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman, Sungkai, semalam.
Shahrizat bersama (dari kanan) Mohd Aidil, Norsyamini, Nor Auni dan Fatin Nabila ketika kunjungannya ke kediaman keluarga adik-beradik itu di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman, Sungkai, semalam.


SUNGKAI – Anak sulung pasangan Jefri Mohd Zain dan Noorsalawati Ibrahim yang maut digilis lori Jumaat lalu, mengakui kerap bermimpikan ayah dan ibunya terutama pada waktu malam.

Mohd Haikal, 16, berkata, kehadiran ayah dan ibunya itu diiringi dengan amanat agar dia menjaga empat adiknya dengan baik, di samping meneruskan pelajaran hingga berjaya.

“Sekali-skala ayah ada datang dalam mimpi… dia tinggalkan pesan jaga adik dan belajar dengan baik.

“Tipulah kalau saya tak rindu mereka, tapi ini takdir dan saya akan pegang pesanan ayah itu,” katanya ketika ditemui sempena kunjungan Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, semalam.

Mohd Haikal berkata, buat masa ini, keadaan adiknya, Fatin Adlina, 14; Mohd Aidil, 10; Norsyamini, 4 dan Nor Auni, 3, kelihatan baik.

Keadaan itu katanya, mungkin didorong situasi dikelilingi saudara mara lain, menyebabkan mereka leka.

“Cuma mini (Norsyamini) dan (Nor) Auni kadang-kadang tercari-cari jugak. Mana ayah dan umi, tapi sekejap je, kemudian dia main semula dengan sepupu lain.

“Malam ada juga dia menangis dan merengek, tapi cuma sekejap,” katanya.

Dia berkata, meskipun tinggal di kampung, rakan-rakan sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras sering menghubunginya untuk memberi kata semangat dan mengucapkan takziah.

Dalam laporan semalam, ibu saudara Zainah Mohd Zain mengakui, dua anak kecil pasangan Jefri, 46, dan Noorsalawati, 40, sering merengek dan menangis seolah-olah merindui kedua ibu bapanya.

Bagi anak kedua, Fatin Nabila, berada dalam kalangan saudara mara sedikit sebanyak membuatkannya tidak terlalu memikirkan ketiadaan kedua ibu bapanya.

Menurutnya, ibu saudara akan membawa mereka kembali ke kediaman ibu bapanya di Cheras sebelum kembali ke kampung sempena cuti sekolah.

“Petang ni (semalam) balik kejap kat rumah, kemas apa yang patut, nanti balik semula ke kampung, selalu kalau cuti pun, kami memang tak pergi mana-mana, selalu kumpul ramai-ramai di rumah,” katanya.

Fatin Nabila merupakan pelajar tingkatan dua di SMK Alam Damai sementara adiknya, Mohd Aidil di Sekolah Kebangsaan (SK) Alam Damai dijadualkan kembali ke sesi persekolahan sebaik tamat cuti sekolah.

Dalam pada itu, Shahrizat dalam kunjungannya menyampaikan sumbangan YKN sebanyak RM5,000.

Katanya, sumbangan berkenaan sebagai tambahan bantuan kolektif RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban kewangan keluarga berkenaan.

“Ini sumbangan tambahan yang kita anggap sebagai permulaan proses tabungan anak-anak ini, jika ada keperluan lain, saya selaku Ketua Wanita Umno sedia untuk membantu khususnya jika ia melibatkan persekolahan mereka.

“Apa yang saya nampak, keperluan keluarga ini dijaga dengan baik di bawah ibu saudara mereka dan kita harap kepentingan anak-anak ini terus terbela,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh salurkan terus ke akaun Mybank 114301042467 atas nama Zainah Mohd Zain atau menghubunginya di talian 019-6065911.

- Sinar Harian 

Daren: Maafkan saya Malaysia

Liew Daren tekad mahu beraksi dalam skuad Piala Thomas di New Delhi, Mei ini.
Liew Daren tekad mahu beraksi dalam skuad Piala Thomas di New Delhi, Mei ini.


KAPTEN skuad negara, Liew Daren memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal memberikan mata kemenangan kepada pasukan Malaysia dalam merebut Piala Thomas, Ahad lepas.

Kekalahan 2-3 ke atas Jepun sekali gus meranapkan impian untuk menamatkan kemarau selama 22 tahun menjulang trofi berkenaan.

Daren yang diturunkan sebagai perseorangan ketiga menjadi sandaran buat seluruh rakyat Malaysia untuk menghadiahkan kemenangan kepada Malaysia setelah terikat 2-2.

Setelah berhempas pulas, Daren akhirnya terpaksa akur tewas di tangan Takuma Ueda 12-21, 21-18, 17-21.

"Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya sudah berikan aksi terbaik tetapi jika ada juga pihak yang mahu salahkan saya, saya tidak boleh berbuat apa-apa," katanya selepas perlawanan malam tadi dipetik BH Online.

Daren berkata, beliau memang terlalu mahu memberikan kemenangan kepada skuad negara selain membuktikan kemampuan sebenarnya selepas aksi hambarnya dalam dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini.

"Apa yang saya boleh katakan, perlawanan ini sedikit sebanyak memberikan motivasi dan pengajaran berguna kepada saya untuk menghadapi kejohanan seterusnya nanti," katanya. -- Sinar Harian